Bekas kekasih Ayu Raudhah bertemu cinta baru?


Ayu bersama Pekin merakamkan gambar kenangan sempena Syawal tidak lama dulu.


Pekin meraikan Aidilfitri bersama Sharifah Nor Idayu di Kelantan, baru-baru ini

HAMPIR sebulan umat Islam meraikan kemuliaan Syawal. Justeru, boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja jemputan majlis rumah terbuka. Disebabkan leka dengan hidangan makanan lazat dan minuman manis terutama yang banyak kandungan lemak serta gula, beberapa hari lalu Zubir 'berehat' di rumah saja gara-gara paras gula di dalam badan melebihi hadnya, tapi salah diri sendiri, reda sajalah dan belajar 'insaf' mengawal pemakanan setiap hari.

Pun begitu, gosip tetap gosip. Gosip tidak pernah kenal erti 'rehat' dan 'insaf'. Peminat sedia maklum, adik aktres jelita Rozita Che Wan iaitu Ayu Raudhah yang pernah menjalin hubungan cinta dengan aktor Mohd Iznan Ibrahim atau Pekin sejak enam tahun lalu dan baru saja putus kasih kira-kira setahun lalu, mengakui ketika ini, dia berkawan rapat dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

"Saya suka Zaquan, dia caring (penyayang) dan sweet (manis)," kata Ayu Raudhah ketika ditanya mengenai gosip hubungannya dengan Zaquan menerusi sebuah akhbar tabloid harian, sedikit masa lalu.

Itu cerita Ayu, kali ini Zubir mendapat perkhabaran terbaru mengenai bekas kekasih Ayu iaitu Pekin. Khabarnya selepas berpisah dengan Ayu, dia baru-baru ini sudah bertemu pengganti. Menariknya, penggantinya juga bernama Ayu atau nama penuhnya Sharifah Nor Idayu. Ayu ni pernah Zubir gosipkan menjalin hubungan baik dengan komposer terkenal Ajai sebelum Ajai bernikah dengan pilihan hatinya, Norliza atau Liza, baru-baru ini.

Ayu yang kini menetap di Kuantan, Pahang sebenarnya berasal dari Kelantan. Dia juga sepupu kepada aktres popular Kuza, Kuna dan Kuni. Zubir dimaklumkan, ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Ayu pulang ke Kelantan dan khabarnya dari situlah Pekin dan Ayu bertemu dan menjalin perkenalan.

"Zubir, aku dengar cerita lain pula. Sebenarnya kalau Ayu itu yang pernah kau gosipkan dengan Ajai, dah lama kenal dengan Pekin. Maklum sajalah, Pekin juga berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Kalau tak silap aku, rumah Ayu dan Pekin di Kelantan tu, taklah jauh mana, orang kata mereka jiran sekampung. Kalaulah benar gosip terbaru mengatakan mereka bercinta, bagus sangatlah, satu negeri, senang nak balik beraya nanti!," kata seorang sumber kepada Zubir.

Menerusi maklumat lain, Zubir difahamkan, ketika meraikan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Pekin dan Ayu kebetulan bertemu di sebuah lobi hotel terkemuka di Kelantan selepas menziarahi kenalan masing-masing di hotel berkenaan. Disebabkan sudah lama tidak bertemu, mereka sepakat untuk bergambar sama. Nak dibuatkan cerita, gambar kenangan itu sudah terlepas ke tangan Zubir...

Zubir harap baik Ayu mahupun Pekin tidak panik melihat gambar mereka terpampang di akhbar. Sekiranya benar, mereka bercinta, berkasih, Alhamdulillah, yalah, dua-dua pun sudah kembali solo. Namun, sekiranya mereka lebih selesa sebagai kenalan sekampung, kenalan sesama artis, tidak mengapalah, berkawanlah dulu, manalah tahu, suatu hari nanti, kawan baik boleh bertukar sebagai kekasih, dah banyak kes seumpamanya...

Namun, satu sumber lain memberitahu Zubir petang Khamis lalu, ada teman baiknya terserempak dengan Pekin dan Ayu Raudhah sama-sama berbuka puasa tidak lama dulu, ooops! Bagi Zubir, apa salahnya, sekalipun tidak lagi dikenali sebagai pasangan kekasih, namun ikatan silaturahim itu janganlah diputuskan.

ZUBIR: Aktres popular pukul canang nak bertunang, bernikah awal tahun depan, alih-alih si kekasih buat kenyataan tak jadi kahwin, tak malu ke?