Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Setahun Eja tidak berlakon


RINDUNYA membuak-buak kerana sudah sampai ketika yang dinanti-nanti untuk turun ke lokasi yang sangat dicintai.

Kata hati yang satu itu mahu dipenuhi tetapi dibantah jiwa secara halus. Begitulah dilema yang kadangkala merasuk emosi wanita bernama Siti Shahrizah Saifuddin, 38.

Realitinya, sudah lebih setahun kerja lakonan tidak terisi dalam jadual hariannya. Drama terakhir yang disertainya ialah Tasbih Cinta, itu pun sekitar tahun 2008 dan sehingga kini ada episod yang belum disudahkan.

Sepintas lalu, jelitawan yang akrab disapa Eja ini seperti berperang dengan perasaan sendiri. Berbelas tahun bergelar isteri namun tanggungjawab sebagai ibu yang baru digalasnya selama enam bulan sungguh mencabar dirasakan.

Naluri ibu

"Setidak-tidaknya saya akan kembali bersemangat dan merasa sedikit puas jika saya dapat keluar bekerja.

"Saya bukan jenis wanita yang gemar duduk di rumah. Saya mula bekerja sejak tamat sekolah pada usia belasan tahun.

"Tempoh berpantang selepas bersalin merupakan 'cuti' paling panjang saya setakat ini," katanya yang hanya mendedahkan status perkahwinan setelah hamil anak pertama tahun lalu.

Benar keluarga kini menjadi perkara nombor satu Eja, bukan lagi kerjaya yang glamor itu. Namun, perasaan rindu terhadap dunia lakonan masih mampu ditahan.

Kehadiran Nur Eishal, enam bulan, telah mengubah 100 peratus roda hidup Eja.

"Saya ingin keluar bekerja tetapi setiap kali memandang mata anak, saya seperti tidak sanggup untuk berenggang dengannya.

"Sekarang baru saya faham dan semakin menghargai pengorbanan seorang ibu.

"Menjaga dan membesarkan anak tidak dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Kalaulah ada 48 jam dalam sehari, 48 jam itulah saya akan tumpukan kepada anak," lirihnya bersulam senyum.

Namun, kemanisan bergelar ibu telah dicemari insiden yang menakutkan apabila si kecil didakwa didera si pembantu rumah.

Berita bayi cedera di rumah pengasuh atau tercekik susu dek kelalaian orang gaji sememangnya telah lama membuatkan Eja tidak sanggup melepaskan anak daripada pangkuan.

Orang gaji

"Dalam berjaga-jaga, pengalaman menakutkan itu datang juga kepada saya. Sebelum ini tidak pernah sekali pun pembantu rumah saya itu memandikan bayi atau membasuh botol susu anak saya.

"Semuanya dilakukan dengan kudrat saya. Dia cuma membantu kerja-kerja rumah yang lain.

"Saya cuma curi-curi keluar rumah ketika Eishal tidur pada waktu malam untuk berurut badan selama dua tiga jam. Itu pun masih sempat dia diapa-apakan oleh pembantu rumah.

"Bila ditanya, dia tidak mengaku. Saya ada bukti. Ada gambar kesan-kesan luka di badan Eishal yang saya rakamkan.

"Tetapi memandangkan kes itu sudah menjadi kes polis, saya dinasihatkan tidak mendedahkan rakaman itu kepada media," katanya sambil menunjukkan rakaman kesan luka si kecilnya kepada penulis.

Tambah Eja, sebaik sahaja habis berpantang, dia menerima banyak tawaran berlakon tetapi ditolaknya.

Katanya, dia menunggu masa yang sesuai kerana mahu melihat si bayi membesar di depan mata. Sifat keibuan mendesak Eja melakukan semuanya sendiri demi anak.

"Sebab itulah saya ambil pembantu rumah dengan harapan setelah tiga bulan saya menjaga Eishal, saya boleh keluar bekerja. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Genap 100 hari, orang gaji itu cabut lari setelah sikap buruknya dapat saya hidu," getusnya geram.

Pasang CCTV

Pembantu rumah Eja yang hanya dikenali sebagai Mona atau Susie lari dari rumah pada 18 Februari lalu. Susie ialah pembantu rumah kelima Eja tetapi dia benar-benar mengejutkan Eja dan suami, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49.

Untuk lebih berwaspada, pasangan itu kini memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Mereka juga tidak akan mengambil pembantu rumah yang baru buat sementara waktu.

Masih bergelar jurucakap untuk produk penjagaan kecantikan dan pelangsingan badan, Bio-essence sejak Oktober 2009, Eja kini terpaksa meminta bantuan suami untuk menjadi 'Mr. Mama'.

"Komitmen saya dengan Bio-esssence sudah termaktub dalam kontrak.

"Mahu tidak mahu, saya harus mengikuti setiap sesi promosi serta bengkel yang telah dirancang syarikat berkenaan," katanya.

Tiada pilihan selain memanjangkan tempoh 'berehat', Eja pasrah dengan perjalanan yang harus ditempuhi.

Tidak mahu membebankan ibu dan adik-beradik yang lain, dilema dan keinginannya untuk kembali melalui laluan kelmarin memerlukan banyak masa untuk dipulihkan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails