Amy sambung cuti selepas raya


SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyaksikan vokalis kumpulan rock veteran Search, Amy akan bercuti panjang bersama isteri dan tiga anaknya.

Penyanyi rock itu bukan setakat meraikan Hari Lebaran di rumah ibunya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Johor tetapi dia juga akan terus bercuti bersama keluarganya di Pulau Pinang.

Menurut rocker berusia 53 tahun ini, dia mengambil kesempatan musim perayaan untuk membawa keluarganya bercuti bersamanya.

Amy dan isteri, Nourish Hassan bersama tiga anak mereka Alexander Zulkarnain, 7, Sania Samara, 6, dan Qaqa At-Tameemi, 2 tahun balik ke rumah ibu Amy pada 26 Ogos lalu.

“Anak-anak begitu teruja untuk beraya bersama nenek mereka, Fatimah Idris, 78, Pada raya kedua (esok) kami semua akan pulang ke Kuala Lumpur.

“Selepas itu, pada hari raya yang ketiga pula saya akan beraya di rumah keluarga mertua saya di Kulim, Kedah selama dua atau tiga hari.

“Selepas itu, kami akan terus bercuti di mana isteri saya telah pun menempah bilik di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang pada 4 hingga 7 September ini,” katanya kepada Hits.

Pada pertemuan di kediamannya di Kota Damansara, Selangor itu, Amy berkata, fokus beraya tahun ini lebih diutamakan sebelum mereka bercuti.

Ini kerana katanya, ia bagi memberi peluang kepada anak-anaknya meraikan Hari Lebaran terutamanya bersama ibunya yang kini semakin uzur di kampungnya itu.

“Sebab itu, untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri kali ini, saya dan isteri sengaja membuat persiapan raya lebih awal di mana ia dilakukan sebelum bulan Ramadan lagi.

“Saya telahpun membelikan dua pasang baju raya untuk setiap anak saya. Saya sengaja tidak mahu membuat persiapan raya di saat-saat akhir.

“Sebabnya, kalau boleh sepanjang bulan puasa ini tumpuan lebih diberikan kepada keluarga di rumah dan mengerjakan amal ibadat terutamanya solat terawih pada malam hari,” jelasnya.

Malah, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman berkata, dia turut berasakan kemeriahan raya apabila memandu sendiri pulang ke kampungnya.

Bapa kepada lima anak ini memandu sendiri kereta Toyota Alphardnya ke Johor Bahru bagi meraikan Aidilfitri bersama ibu serta kakaknya, Azizah Abdul Rahman, 54.

“Saya lebih selesa memandu kereta sendiri untuk pulang ke kampung bersama-sama keluarga saya. Insya-Allah saya akan beraya dengan kesemua anak saya termasuklah Nabila Huda.

“Cuma raya ini saya tidak dapat bersama anak saya, Alisya, 14, yang kini tinggal bersama bekas isteri saya di Texas, Amerika Syarikat,” ujarnya.

Jelas Amy, apabila di kampung dia lebih gemar menikmati juadah-juadah raya di pagi raya yang dimasak sendiri oleh ibu dan kakaknya yang mempunyai tiga orang anak.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, antara hidangan yang menjadi kegemaranya ialah rendang perut.

“Selain itu, ibu saya juga akan memasak asam pedas dan rendang daging untuk hidangan kami sekeluarga dan tetamu yang berkunjung pada hari raya,” cerita Amy.

Tambah Amy lagi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dia dan Search akan mengadakan konsert ulang tahun 30 kumpulannya yang dijangka diadakan pada 15 Oktober ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.