Hafsham tidak gentar bersaing


BARANGKALI nama Othman Hafsham begitu asing pada pendengaran penonton filem tempatan generasi baru. Tetapi, kalau diselak kembali lembaran seninya, dia bukan pengarah sembarangan.

Filem-filemnya seperti Adik Manja, Mekanik dan Rahsia merupakan karya yang telah meletakkan namanya sebagai salah seorang pengarah handalan negara.

Ditambah dengan dua trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia yang dimenanginya menerusi filem Mekanik dan Rahsia sudah cukup membuktikan kehebatannya sebagai seorang sutradara.

Selepas sembilan tahun tidak muncul dengan filem baru, pengarah yang mesra disapa sebagai Hafsham ini mengakui agak gementar dengan penerimaan filem kelapan arahannya, Karipap Karipap Cinta (KKC).

Mula ditayangkan hari ini (30 Ogos), filem yang menampilkan bakat baru seperti Gambit Saifullah dan Melia Aimellia juga dilihat sebagai kayu ukur untuk Hafsham.

Sesungguhnya, dia mahu melihat KKC mendapat sambutan yang baik daripada penonton sinema tempatan selepas sekian lama tidak mengarahkan karya baru.

Bukan untuk bersaing dengan pengarah muda sebaliknya, Hafsham mahu terus berkarya kerana kecintaan yang mendalam kepada dunia yang telah memahatkan namanya di persada seni.

“Saya sendiri tidak kisah untuk bersaing kerana setiap pengarah ada sentuhan mereka sendiri. Jujurnya, saya melihat perkembangan yang sangat positif dalam industri perfileman tanah air masa kini.

“Kebanyakan pengarah muda kita mempunyai misi dan wawasan serta daya kreatif yang sangat tinggi. Mengambil contoh diri saya sendiri di mana saya tidak segan untuk belajar perkara baru dan mendekatkan diri dengan teknologi terkini.

“Saya mempunyai tiga orang anak dan mereka juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan saya. Kalau kita sendiri tidak mengambil inisiatif berbuat demikian, pastinya kita sendiri yang akan ketinggalan,” kata Hafsham sewaktu ditemui usai pratonton KKC di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hafsham yang pernah mengarahkan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1 ini juga mempunyai alasan sendiri dia mengambil risiko dengan menerbitkan dan mengarahkan KKC.

Salah satunya adalah kerana jalan ceritanya yang cukup mencuit hati Hafsham sehingga dia tertarik untuk mengadaptasinya.

Kata Hafsham, semuanya berlaku tahun lalu sebaik sahaja dia mula membaca novel tulisan Nazri M. Annuar itu dalam tempoh beberapa hari sahaja selepas mendapat tahu akan kehebatan dan populariti novel itu.

Tidak menunggu lama, Hafsham telah bertemu dengan penerbit buku berkenaan untuk mendapatkan kebenaran dan hak cipta bagi mengadaptasinya ke filem.

“Pada ketika itu juga, saya sudah mempunyai skrip filem yang dihasilkan sendiri. Selepas dinasihati oleh kawan saya, Amir Muhammad, saya mengubah fikiran untuk mengarahkan KKC.

“Tetapi, saya tetap menggunakan khidmat Nazri untuk menulis lakon layarnya kerana hanya dia sahaja yang tahu perjalanan dan senario cerita tersebut,” ujar Hafsham tentang filem yang menelan belanja RM1.7 juta itu lagi.

Namun kata pengarah yang juga dikenali menerusi filem Ujang dan Driving School itu lagi, dia tidak melihat KKC sebagai sebuah karya komedi sepenuhnya.

Sebaliknya, Hafsham menjelaskan KKC ada terselit elemen serius yang mampu membawa penonton mengikut arus filem ini.

“Apa yang membanggakan saya apabila filem ini dibintangi oleh bukan pelakon komedi. Sebagai pengarah dan bekerjasama dengan pelakon baru seperti Gambit dan Melia, saya berpuas hati dengan persembahan mereka.

“Sesuatu yang membuatkan saya rasa bangga apabila aktor berkaliber seperti Eman Manan mahu membintangi KKC.

“Seperti mana yang sedia maklum, bukan mudah untuk memujuk Eman membintangi mana-mana filem tanpa skrip yang kuat. Alhamdulilah, KKC berjaya menarik minat Eman dan ia bagaikan satu penghormatan buat saya apabila Eman bersetuju membintangi KKC.

“Sudah lama saya mahu bekerja dengan Eman tetapi tidak ada rezeki. Wataknya dalam filem KKC menonjolkan sisi berbeza Eman yang belum pernah ditonton sebelum ini,” jelasnya yang begitu terhibur dengan babak Eman menyanyikan lagu Aku Tak Percaya Cinta dendangan asal Liyana Jasmay.

Walaupun perlu bersaing dengan filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham sepanjang musim perayaan ini, Hafsham lebih selesa untuk mengambil sikap optimis.

Bagi Hafsham, baik buruknya sesebuah filem itu terletak kepada kekuatan jalan ceritanya. Seandainya cerita itu bagus kata Hafsham, ia akan menjadi buah mulut orang untuk mempengaruhi mereka yang lain mengunjungi pawagam.

“Saya boleh katakan KKC adalah penentu kerjaya saya kerana jika filem ini mencatatkan kutipan pecah panggung, saya boleh mengarahkan filem lain selepas ini,” kata Hafsham yang sudah pun mempunyai dua skrip baru iaitu Misi Mila dan Traktor Babe yang juga mempunyai sentuhan keharmonian kaum di Malaysia.