Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dira Helmi saling melengkapi


KELEGAAN dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah pelakon dan pengacara rancangan popular Melodi, Dira Abu Zahar sebaik sahaja sah menjadi isteri kepada pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof tanggal 11.11.11 lalu.

Manakan tidak, pada tarikh yang dianggap ramai sebagai amat unik malah 'keramat' buat sesetengah individu kerana ia tidak lagi akan muncul di masa hadapan itu adalah hari penuh bermakna buat Dira.

Ini kerana, tarikh itu menandakan figura berusia 27 tahun itu kini kembali menjejakkan kaki ke alam rumah tangga dan bergelar isteri, selepas perkahwinan pertamanya selama tiga tahun bersama salah seorang anggota kumpulan Bau, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid atau Ash, 28, berakhir dengan episod perceraian pada 8 April tahun lepas.

Ditemani zuriat tunggal hasil perkahwinannya bersama Ash, Tengku Anggun Deandra yang sudah mencecah usia dua tahun, Dira dan Helmi dinikahkah oleh Imam 1 Masjid Merlimau Pasir, Mat Yamin Long menjelang pukul 4.16 petang dengan tiga kali lafaz nikah.

Majlis resepsi serba sederhana itu diadakan di kediaman keluarga pemilik nama lengkap Khaidirah Abu Zahar di Batu Gajah, Merlimau, Melaka yang menyaksikan kedua-dua mempelai kelihatan bak pinang dibelah dua apabila menggayakan persalinan serba putih rekaan Anizam Yusof, manakala solekan Dira hasil sentuhan Zamri Zainol.

Dira yang merupakan anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin menerima mas kahwin sebanyak RM7,777.77 dan wang hantaran berjumlah RM17,171.71 daripada Helmi. Sememangnya cukup unik. Sudahlah memilih tarikh 11.11.11 untuk melangsungkan perkahwinan, angka wang hantaran dan mas kahwin masing-masing pula diwakili nombor satu dan tujuh.

Apa yang menarik, biarpun pengantin perempuan lebih dikenali umum atas dasar kerjayanya sebagai hos Melodi dan pelakon, namun pengantin lelaki juga tidak betah untuk beramah mesra dan melayan kerenah pihak media yang mengajukan soalan demi soalan bertubi-tubi kepada mereka.

Setiap topik yang dibincangkan, bukan sahaja menyaksikan Dira yang membuka mulut tetapi Helmi turut tidak ketinggalan memberikan info menjadikan sesi temuramah dengan pasangan pengantin ini agak meriah!

Kata Dira, dia dan Helmi memilih nombor satu dan tujuh sebagai mas kahwin dan hantaran kerana kedua-dua nombor berkenaan merupakan nombor kegemaran mereka berdua.

Mengenai 11.11.11 sebagai hari pernikahan pula, akui Dira, tarikh itu dipilih memandangkan ia cantik dan mudah diingati selain jatuh pada hari yang mulia dalam Islam iaitu hari Jumaat.

"Harapan saya ialah rumahtangga yang dibina ini juga cantik secantik tarikh hari ini (11.11.11) dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Itu harapan setiap insan yang berkahwin tidak kira apa tarikh sekalipun," luah Dira yang pernah membintangi drama Tower 13, Akinabalu dan Arjuna.

Helmi, 33, pula berkata, dia dan Dira sebenarnya merancang untuk bernikah pada 1 Julai tahun ini namun kesibukan tugas masing-masing menyebabkan ia terpaksa ditangguh dan mereka akhirnya bersetuju memilih 11.11.11.

Air dan Api

Helmi dalam pada itu mengakui betapa dia sangat gembira bergelar suami kepada Dira kerana apa yang dirancang selama ini berjalan lancar walaupun perkenalan mereka singkat, tidak sampai setahun.

Boleh dikatakan ia merupakan cinta kilat antara Dira dan Helmi.

Namun, impak daripada kelancaran dalam perhubungan itu sebagaimana dijelaskan Helmi, dan takdir pula mengatakan jodoh mereka kuat untuk bergelar suami isteri, lantas segala-galanya itu lalu bersatu menjadi pencetus kepada penyatuan Dira dan Helmi untuk melayari bahtera rumahtangga.

"Saya sudah lama simpan niat nak kahwin dan Alhamdulillah bertemu Dira kami tak ambil masa yang lama untuk bercinta. Mungkin seru dah sampai dan jodoh kami kuat. Umur saya sudah mencecah 33, kawan-lawan cakap tunggu apa lagi. Dira pelengkap hidup saya," bicara bekas tunang aktres dan model popular Nasha Aziz itu.

Dalam senyuman yang cukup manis, Dira yang berada di sisi Helmi lantas menjelaskan hubungannya dan Helmi mula rapat ketika mereka terbabit dengan penggambaran drama arahan Afdlin Shauki, Untuk Tiga Hari pada penghujung tahun lepas sebelum mereka kemudian mengambil keputusan untuk bertunang 15 Februari lalu.

Bukan itu sahaja, tambah Dira, Helmi juga merupakan seorang yang tenang dan menyifatkan lelaki itu sebagai air yang dapat menyejukkan dirinya setiap kali dia berada dalam keadaan marah.

Ditambah pula dengan keserasian dan kemesraan antara Helmi dan Anggun membuatkan Dira benar-benar terharu dan tersentuh lalu yakin dengan keputusannya untuk hidup bersama Helmi adalah tepat selepas Helmi melamarnya selepas kira-kira enam bulan tempoh perkenalan mereka.

"Saya bersyukur kerana abang Helmi menerima Anggun seadanya dan mengatakan dia sangat menyayangi saya dan Anggun. Bukan saya yang pinta, tetapi dia sendiri yang mahu membina keserasian dengan Anggun," ucap Dira.

Sementara Helmi pula mencelah, katanya: "Sememangnya, saya seorang yang gemar pada kanak-kanak-kanak dan mempunyai ramai anak saudara. Anggun akan saya anggap seperti anak sendiri. Tentang sikap Dira yang ada kalanya boleh diibaratkan seperti api khususnya ketika dia sedang marah, saya sememangnya menyukai sikapnya itu. Ini kerana kami boleh bertolak ansur dan mudah menyelesaikan segala masalah yang timbul."

Menyentuh mengenai kerjaya pula, Helmi berkata, dia tiada halangan jika Dira meneruskan penglibatannya dalam bidang seni.

"Saya juga terlibat dalam bidang sama seperti Dira. Sejak bertunang lagi kami dah pandai susun masa untuk bersama," katanya yang merancang untuk berbulan madu di Eropah penghujung tahun ini selepas berbulan madu di Bali dalam tempoh terdekat ini.

Motosikal kuasa tinggi

Majlis resepsi yang berlangsung di kediaman Dira di Melaka itu bukan sahaja dimeriahkan dengan kunjungan sanak saudara dan sahabat handai tetapi juga rakan-rakan artis Dira dan Helmi termasuklah Afdlin Shauki, Reizman Khuzaimi dan Harun Salim Bachik.

Namun, antara elemen yang memeriahkan lagi majlis perkahwinan Dira dan Helmi ini sudah tentu barangan hantaran mereka yang ternyata unik, sama unik dengan tarikh perkahwinan dan angka wang hantaran serta mas kahwin mereka.

Pihak pengantin perempuan menerima sembilan dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang termasuklah beg tangan, minyak wangi, telekung, iPad 2, topi keledar berwarna putih, kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi.

Khusus buat pihak pengantin lelaki pula, pengantin perempuan membalas dengan 11 dulang hantaran antaranya komputer riba Apple Macbook Air, senaskhah al-Quran, dompet, kurma, coklat, buah-buahan, minyak wangi, kasut dan topi keledar berwarna hitam.

Menariknya, topi keledar dan kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi ternyata berjaya membezakan dan menjadikan barangan hantaran Dira dan Helmi unik dan lain daripada pengantin yang lain.

Sementelah berhampiran pintu utama kediaman Dira, lokasi berlangsungnya majlis perkahwinannya itu turut dihiasi dengan tiga keping foto bersaiz mega yang menunjukkan Dira dan Helmi bersama motosikal kuasa tinggi. Apakah kisah di sebaliknya?

"Dira dan Helmi sememangnya gemar menunggang motosikal kuasa tinggi dan kami berkongsi hobi ini," akui Dira ringkas. Namun, pada majlis resepsi tersebut, Helmi muncul ke lokasi majlis dengan menaiki kereta Lamborghini dan bukan dengan menunggang motosikal kuasa tinggi.

Ini kerana acara menunggang motosikal kuasa tinggi sudah ditetapkan untuk dilakukan pada majlis resepsi kedua Dira dan Helmi yang bakal berlangsung di Lanai@Matic, di Kuala Lumpur malam Ahad lepas.

Acara gilang-gemilang yang turut dimeriahkan dengan percikan bunga api di udara itu menyaksikan rombongan tujuh buah motosilkal berkuasa tinggi termasuk yang ditunggang Dira dan Helmi secara berasingan tiba di lokasi majlis resepsi yang bertemakan rock-chic dengan kostum pengantin hasil kombinasi warna hitam dan putih.

Memeriahkan lagi majlis resepsi tersebut adalah kemunculan rakan-rakan artis termasuklah Nabil Raja Lawak, Bront Palarae, Sharifah Amani dan ibunya, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Shahira dan suami, Ijoy serta tidak ketinggalan pasangan pelakon muda yang bakal melangsungkan perkahwinan menjelang 20 November ini, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails