Semalam OHBULAN! ada melaporkan keputusan kes saman fitnah Lisdawati terhadap Nadia Mustafa berakhir dengan kekalahan Nadia yang diperintahkan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Lisdawati.
Menurut portal hiburan, Gua, Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa ketika diminta mengulas kekalahannya, menerima keputusan mahkamah tersebut dengan hati yang terbuka malah tidak akan mempertikaikannya.
Walaubagaimanapun, selepas perbincangan dan mendapat nasihat peguam, Nadia membuat keputusan untuk memfailkan rayuan dalam masa terdekat kerana merasakan dia masih punya hak untuk berbuat sedemikian.
“Walaupun keputusan mahkamah tidak berpihak kepada saya, saya tidak perlu rasa takut ataupun malu kerana saya percaya saya tidak melakukan kesalahan. Hanya saya dan dia (Lisdawati) sahaja yang tahu kedudukan sebenar,” jelas Nadia.
Tambah Nadia lagi, dia bersyukur mahkamah hanya mengarahkan dia membayar sejumlah RM50,000 bukan RM250,000 seperti yang dituntut Lisdawati sebelum ini. Selain itu juga, Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan Nadia membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman semalam hingga tarikh kes tersebut selesai dan perlu melunaskan kos mengikut skala.
Kronologi kes saman fitnah yang difailkan oleh Lisdawati ini bermula selepas Lisdawati mendakwa dirinya tidak pernah meminjam wang daripada Nadia sebaliknya hanya meminjam sejumlah wang daripada teman lelaki Nadia pada masa itu, Mohd Roslan Omar.
Lisdawati turut menyifatkan kenyataan Nadia lewat temubual dengan majalah Media Hiburan yang disiarkan di dalam edisi 8 Januari – 14 Januari 2005 berunsur jahat dan fitnah yang sengaja menjatuhkannya.