SUATU masa dahulu, ketika kedua-duanya masih muda remaja, mereka pernah dikenali sebagai pasangan kekasih.
Namun entah di mana silapnya, kasih antara pelakon dan pengarah Pierra Andre dan Yana Samsudin putus di tengah jalan.
Malah Pierre sempat mencipta kontroversi apabila dikaitkan bercinta dengan beberapa gadis termasuk pelakon Fasha Sandha.
Sedangkan Yana pula lebih senang menumpukan perhatian dalam kerjaya di bidang lakonan dan pengarahan.
Namun semakin meningkat dewasa, kedua-duanya juga semakin matang meniti kehidupan dan kini selepas beberapa tahun berputus kasih, mereka tetap selesa bersama biar hanya untuk bergelar rakan sekerja.
Pun begitu, kemesraan yang ditunjukkan kedua rakan baik ini mula menimbulkan pelbagai persepsi sehingga ada yang mengatakan Yana dan Pierre kini kembali hangat bercinta.
Semuanya kerana kedua-duanya terbabit dalam filem Tiga Temu Janji arahan Hashim Rejab yang bakal ditayangkan 5 April nanti.
Tidak mahu melepaskan peluang untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik kemesraan mereka, baru-baru ini Hits berpeluang untuk Yana dan Pierre ketika majlis pelancaran filem Kita, arahan terbaru Pierre atau nama sebenarnya, Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 27.
Yang nyata, kedua-dua mereka tidak berselindung mengenai hubungan masing-masing malah begitu berani dan berterus terang membuka isi hati sebenar.
Yana atau Norliana Samsudin, 28 dan Pierre juga sering kali membuat suasana temuramah bersama Hits itu sebagai medan buat mereka berdua mendengar sendiri luahan rasa hati masing-masing.
“Dia sebahagian dari hidup saya” - Pierre
MULA mengenali Yana atau lebih manja dengan panggilan ‘gomuk’ selepas menamatkan zaman persekolahan, kata Pierre, dia menjalinkan hubungan dengan Yana ketika sama-sama berlakon dalam sebuah telemovie bertajuk Tarian Melayu Terakhir.
Malah Pierre mengakui bahawa dia mengenali Yana lebih daripada mana-mana gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini.
“Walaupun kami pernah bercinta dan putus cinta namun itu tidak menjadi sebab untuk kami melupakan terus hubungan kami.
“Hubungan Yana dan keluarga saya masih lagi baik sehingga kini walaupun sudah empat tahun kami berpisah. Sebenarnya walau jauh mana pun dia pergi, dia tetap di hati saya,” kata Pierre jujur.
Merupakan kali kedua mengambil Yana berlakon di bawah arahannya, Pierre berkata, pemilihannya kali ini lebih tepat berbanding kali pertama kerana dia kurang berpuas hati dengan lakonan bekas kekasihnya itu.
“Secara jujurnya pada pertama kali saya mengarah Yana untuk filem pendek bertajuk Lampu Merah, saya boleh katakan yang dia tidak boleh berlakon.
“Bagaimanapun selepas mengikuti perkembangan karier Yana, saya percaya dia kini menjadi antara pelakon kegemaran saya,” ujarnya.
Mengakui bahawa bukan niat mengambil Yana berlakon semata-mata untuk mendekatkan diri dengan bekas kekasihnya itu, bagi Pierre, dia sangat menghormati sikap professional yang ditunjukkan Yana sewaktu bekerja.
Malah katanya pemilihan Yana sebagai pelakon dalam filem Kita kerana yakin dengan kemampuan pelakon dan pengarah muda itu.
“Rasanya tidak salah untuk saya sebagai pengarah memilih pelakon yang saya percaya mampu membawakan watak untuk filem kita ini.
“Saya kenal Yana dan saya yakin dia mampu untuk membawakan watak sebagai seorang gadis yang tinggal di kawasan rumah flat,” katanya.
Pernah menyatakan bahawa dia ingin menamatkan zaman bujang seawal umur 25 tahun, Pierre memberitahu, dia sememangnya seorang lelaki yang sukakan kehidupan berkeluarga.
“Saya sebenarnya mahu mempunyai keluarga secepat yang mungkin. Bagaimanapun ini semua ketentuan, kita hanya mampu merancang,” katanya sambil mengerling manja ke arah Yana.
Ditanya soalan sama ada dia akan bersedih sekiranya mereka berdua tidak ditakdirkan untuk bersama, Pierre mengakui tentang hakikat perasaan yang satu itu.
“Saya akui tentunya perasaan sedih itu akan hadir memandangkan saya sudah lama mengenali dia.
“Bagaimanapun saya percaya kepada jodoh, walau dengan siapa pun jodoh Yana, saya harap dia bahagia,” katanya mendatar.