Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Danny ditinggal isteri


SEBAIK melangkah ke alam rumah tangga, semua pasangan mahu diri dimanja dan dibelai oleh suami atau isteri serta berusaha mewujudkan suasana romantik.

Namun semua itu tidak dapat dinikmati oleh Danny X-Factor atau Mohd. Khardanie Anwa, 32, selepas bernikah dengan Lyn atau Zaidatul Norfazlin Zakaria, 26, pada 16 September tahun lalu.

Menurut Danny, walaupun sudah bergelar suami tetapi dia masih terasa seperti orang bujang kerana semua perkara perlu dilakukan sendiri.

Ini kerana isteri kesayangannya yang bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan AirAsia X kerap meninggalkannya keseorangan di rumah.

"Boleh dikatakan dalam seminggu, dua hari sahaja saya berpeluang menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Dalam tempoh itulah, saya dan Lyn akan habiskan masa bersama.

"Selalunya bila ditinggalkan keseorangan, saya akan tumpukan perhatian pada kerja dan pastikan dua hari yang dikira golden time itu, saya habiskan bersama isteri," jelasnya.

Katanya, walaupun kehidupan mereka ketika ini tidak seperti pasangan lain namun, dia mampu tidur lena kerana tahu isterinya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pramugari.

Dek sikap Lyn yang sederhana, memahami dan menyokong dirinya membuatkan Danny tidak ragu-ragu untuk melepaskan isteri bekerja jauh di mata.

"Bila berjauhan terasa rindu, tapi sekarang inikan zaman canggih. Semuanya di hujung jari, jadi setiap hari boleh dengar suara dia.

"Paling seronok apabila kami dapat bersama kerana banyak perkara yang akan kami bualkan bersama. Lyn dengan ceritanya dan saya dengan cerita sendiri," jelasnya yang menggemari masakan lala masak cili Lyn.

Danny yang kelihatan berisi itu berkata, dia gembira kerana sudah bergelar suami dan berazam akan menjadi suami mithali kepada Lyn.

"Saya akan cuba jadi suami terbaik untuk isteri seperti mana didikan yang diberikan oleh kedua ibu bapa dan mereka adalah contoh untuk saya," katanya terus terang.

Danny yang ditemui pada majlis resepsinya di Zebra Square, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Ahad lalu berkata, dia yang banyak menguruskan persiapan majlis itu kerana kesibukan kerja Lyn.

Majlis resepsi yang julung kali diadakan di situ merupakan idea Datuk Raja Rezza Shah dari Nusantara Gems Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai perancang perkahwinan.

Meskipun sudah enam bulan melangsungkan pernikahan, namun majlis resepsi berkonsep ala taman dan santai yang diadakan untuk merai rakan-rakan terdekat itu mempunyai nostalgia tersendiri.

"Sebenarnya, hari ini (25 Mac 2012) genap setahun saya dan Lyn berkenalan. Perkenalan kami biasa-biasa sahaja. Kami diperkenalkan oleh seorang rakan.

"Mula-mula saya nak cuba berkenalan, dia jual mahal. Selepas beberapa bulan, hubungan kami kembali bersambung dengan ucapan selamat tahun baru yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)," cerita Danny.

Kata Danny, dia tidak mengambil masa lama untuk melamar Lyn dan dalam tempoh enam bulan bertunang barulah mereka mengenali isi hati masing-masing.

Danny yang merasakan hidupnya kini lengkap berkata, buat masa sekarang dia dan isteri tidak terburu-buru untuk mendapatkan anak dan mengakui mereka mengamalkan perancangan keluarga.

"Bukan tak mahu cahaya mata cuma waktu ini biarlah Lyn terbang ke mana-mana destinasi yang dia hendak. Sebab kalau sudah hamil nanti dia tidak boleh 'terbang'.

"Lagipun kami belum sempat berbulan madu. Belum puas bersama lagi. Namun kalau sudah ditakdirkan mendapat rezeki awal, kami tidak menolak," katanya.

Pada majlis yang mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Izatt Salon, Flora Etc dan Hairi Tajuddin, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan dendangan Sabhi Saddi, Aida AF9 dan Fazli Zainal.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Biarlah Rahsia, Ombak Rindu, Mau Dibawa Ke Mana, Sedetik Lebih dan Love Story.

Manakala rakan-rakan artis yang hadir antaranya, Zahida Rafik, Mustapha Kamal dan isteri, Susan Menon, Linda Rafar dan suami, Syed Aiman, anggota X-Factor (Fendi, Shah dan Zack), Amyza Aznan dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails