Mak Mah tidak lupa Tompel
Ruminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah sentiasa terkenang nostalgia pahit manis meskipun dia hanya sempat menjadi isteri Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramlie Jaafar selama dua tahun dua bulan sahaja.
Menurut Mak Mah atau nama sebenarnya Rominah Sedik, biarpun tempoh berumahtangga dengan Tompel singkat tetapi banyak perkara positif yang dipelajari daripada pelawak legenda tersebut.
"Suami saya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1973. Ketika itu, usianya 56 tahun dan dua anak hasil perkahwinan saya dengannya iaitu Adlin dan Azlan masih kecil lagi.
"Sepanjang perkahwinan saya dengan Tompel, saya dapati dia seorang yang baik dan tidak suka memarahi isteri. Selain kelakar orangnya, suami saya itu seorang yang sangat kuat bekerja tanpa mengira siang ataupun malam.
"Contohnya, kalau arwah suami saya menulis skrip drama televisyen yang diarahkannya, dia akan menghabiskannya sampai ke pagi. Sifat itu banyak diwarisi oleh anak-anak terutama Adlin," katanya kepada S3 baru-baru ini.
Katanya, Adlin anak bongsu daripada dua beradik hasil perkahwinannya dengan Tompel itu paling banyak dipengaruhi sifat bapanya yang rajin bekerja serta meneruskan bakat seni arwah sebagai pelakon, pengarah dan penulis skrip.
Jelas Mak Mah, dia bertemu jodoh dengan Tompel sewaktu sama-sama terbabit dalam drama bersiri televisyen terbitan RTM berjudul Keluarga Tompel pada tahun 1969.
Dia yang berlakon dalam Keluarga Tompel arahan pelawak itu tertarik dengan sikap suaminya yang kelakar dan kemudiannya menerima lamaran menjadi isteri Allahyarham sewaktu drama bersiri 13 episod itu sedang popular.
"Saya merupakan salah seorang daripada tiga isteri arwah. Saya pula sebelum ini pernah berkahwin dengan suami pertama, Mohd. Taib Hussin pada 1961 sebelum berkahwin dengan arwah Tompel tidak lama selepas itu.
"Drama bersiri Keluarga Tompel banyak meninggalkan kenangan manis buat saya kerana disitulah saya bertemu jodoh dengan Tompel. Malah saya juga tidak boleh lupakan watak lakonan saya ketika itu.
"Dalam drama tersebut, saya melakonkan watak Mak Mah, seorang wanita tua yang berumur 55 tahun walaupun ketika itu umur saya baru 23 tahun. Orang panggil nama saya Mak Mah sejak dari saat itu sampailah sekarang," jelasnya mengimbau nostalgia lampau.
Tambah Mak Mah, dia bersyukur kerana bidang lakonan bukan sahaja telah mempertemukan jodohnya dengan insan seni istimewa itu tetapi turut meletakkan namanya sebagai pelakon dalam bidang lakonan tanah air sehingga kini.
Malah filem berjudul Anak Bapak arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dilakonkannya bersama Tompel pada pertengahan tahun 1960-an itu juga masih diminati ramai sehinggalah ke hari ini.
Anak kedua daripada 16 beradik itu tidak menafikan pembabitan awalnya dalam perbahasan dan deklamasi sajak sewaktu zaman persekolahan banyak membantu mengembangkan bakat seninya.
"Sewaktu zaman persekolahan saya pada tahun 1956, saya selalu mewakili sekolah dalam pertandingan bahas dan membaca sajak. Saya pernah menjadi juara dalam pertandingan bersyair seluruh Selangor pada 1957.
"Saya juga pernah menjadi juara Ratu Kebaya daerah Klang, Selangor pada awal tahun 1960-an. Selepas itu, saya mula terbabit dalam pementasan bangsawan antaranya bertajuk Raden Mas dan Laila Manja.
"Pada masa sama, saya aktif dalam pasukan Askar Wataniah dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Majlis Belia Malaysia. Selepas itu, barulah saya terbabit dalam bidang lakonan drama televisyen dan filem sehinggalah sekarang," tuturnya.
Anak kelahiran Meru, Klang ini telah berlakon puluhan filem antara yang terbaru, Puteri Gunung Ledang, Jangan Pandang Belakang, Congkak, Pensil, Magika dan yang terbaru, Momok Jangan Cari Pasal.
Pada usianya yang mencecah 66 tahun kini, Mak Mah berasa gembira dengan kehidupan yang telah dilalui dalam bidang lakonan selama lebih 40 tahun dan juga di samping keluarganya yang boleh dikategorikan sebagai sebuah keluarga besar.
"Saya bersyukur kerana bukan sahaja mempunyai anak-anak sendiri tetapi juga lebih 10 anak tiri hasil perkahwinan bekas-bekas suami saya dengan isteri mereka. Saya seperti menjadi ibu segera yang mempunyai ramai anak pada satu masa.
"Saya anggap semua anak tiri saya itu seperti anak-anak saya sendiri. Mereka juga menganggap saya seperti ibu mereka. Saya juga mempunyai tiga lagi anak iaitu Mohd. Ali, Mohd. Ramadan dan Siti Hadijah, hasil perkahwinan saya dengan Ahmad Safari tidak lama dulu.
"Selain itu, saya juga dikurniakan seorang anak hasil perkahwinan saya dengan Mohd. Taib iaitu Mohd. Hakim. Daripada tiga perkahwinan itu, saya dikurniakan enam orang anak semuanya," kata nenek kepada lapan orang cucu ini lagi.