Penghijrahan membawa hikmah - Nora Ariffin

Bagi Wan Nora Afiza Ariffin atau kini mahu dikenali sebagai Nora Ariffin, dia sendiri tidak pernah menyangka bahawa masa berlalu begitu pantas apabila sudah melangkah ke satu fasa baru dalam hidupnya. Bibirnya tidak pernah henti melafazkan syukur kerana terus diberi kesihatan baik dan peluang melayari kehidupan bahagia agar lebih mendekatkan dirinya dengan Yang Maha Esa. "Hakikat sebenarnya, skop penghijrahan ini sangat luas. Bagi wanita seperti saya misalnya, berhijrah tidak hanya terletak kepada pemakaian tudung semata-mata. "Tetapi bagi saya, penghijrahan merangkumi pelbagai aspek baik dari segi pemikiran, ilmu, pergaulan, akhlak dan pelbagai lagi. "Saya harus akui untuk berubah, ia bukan sesuatu yang mudah dan cabarannya sangat besar. Saya dapat merasainya sendiri dan apa yang lebih bermakna apabila penghijrahan itu dilakukan kerana Allah SWT. "Bagi saya seandainya ia dilakukan semata-mata kerana manusia, percayalah ia tidak akan berkekalan. Jika dilakukan kerana Allah, pasti akan terasa keindahannya," jelas Nora yang ditemui di ibu negara, baru-baru ini. Kata ibu kepada tiga orang cahaya mata ini lagi, dia amat bertuah kerana memiliki suami dan anak-anak yang sentiasa memberi kekuatan kepadanya. Masih segar dalam ingatannya, permulaan segala-galanya bagaimana dia tekad untuk berhijrah empat tahun lalu. Jelas juara Bintang HMI 1991 ini, dia cukup bahagia dan gembira dengan kehidupan yang telah diberikan Allah kepadanya. Tetapi entah mengapa hatinya mula terdetik apabila teringatkan anak-anaknya yang semuanya cemerlang dan dididik dengan didikan agama yang cukup. Sedangkan dirinya ketika itu, tidak memberikan contoh yang baik kepada anak-anak apabila tidak bertudung dan mendedahkan aurat kepada masyarakat. "Bayangkan, pelbagai soalan yang berlegar di minda saya ketika itu sebaik sahaja saya keluar dari bilik anak-anak kerana mahu melihat mereka tidur. "Seolah-olah ada suara yang berbisik mengatakan saya perlu menjadi teladan baik jika mahu anak-anak saya terus menjadi anak soleh dan solehah. "Jujurnya, saya memang tersentak dengan soalan-soalan tersebut sehingga membuka fikiran untuk saya melakukan sesuatu," cerita Nora lagi. Begitu juga dengan pemakaian tudung yang hanya dikenakan apabila melawat anak-anaknya yang bersekolah di sekolah agama. Sehinggakan, Nora memberitahu dia merasakan dirinya sebagai seorang yang hipokrit apabila melakukan perkara seperti itu. Tetapi disebabkan pintu hatinya belum terbuka untuk menutup aurat sepenuhnya, dia melakukan juga walaupun dia sendiri tidak berasa seronok berbuat demikian. "Disebabkan rasa ego, perasaan bersalah itu diabaikan sahaja sehinggalah satu hari, anak perempuan saya, Putri Dahlia datang kepada saya. "Dia mengatakan bahawa cikgu agamanya di sekolah memberitahu seandainya wanita yang tidak menutup aurat akan masuk neraka. "Saya hanya mampu tersenyum dan berkata cikgunya itu hanya memandai-mandai sahaja. Walhal, saya tahu perkara itu adalah satu kenyataan tetapi sekali lagi kerana ego, saya menyangkalnya," jelas penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu balada seperti Di Persimpangan Dilema, Hanya Satu dan Menyemai Cinta Bersamamu ini penuh bersungguh.