Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Mahu lebih matang - Diana Danielle
SELEPAS mengharungi pelbagai dugaan dalam tempoh tiga tahun bergelar pasangan kekasih, akhirnya Diana Danielle, 21, dan Farid Kamil, 31, mengambil keputusan mengikat tali pertunangan.
Detik permulaan sewaktu menjalin percintaan, pasangan itu sering mengelak apabila ditanya tentang hubungan mereka. Sebaliknya baik Farid atau Diana sering memberi jawapan klise yang mereka adalah teman rapat.
Pasangan itu mengambil langkah sedemikian bagi mengelak kisah hubungan cinta mereka menjadi topik utama berbanding perjalanan seni masing-masing.
Pada Ogos tahun lalu, percintaan mereka turut mendapat perhatian ramai apabila Farid tampil membuat laporan polis kerana diugut, semuanya gara-gara menjalin hubungan dengan Diana.
Biarpun diugut oleh individu yang tidak bertanggungjawab namun hubungan yang mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga itu terus teguh.
Namun pada tahun ini, mereka lebih bersikap terbuka tapi masih dalam tahap berjaga-jaga untuk bercerita lanjut tentang percintaan.
Malah majlis pertunangannya juga dirai dalam suasana tertutup yang hanya dihadiri kaum keluarga dan saudara terdekat.
Walaupun satu Malaya sudah tahu yang mereka sah bertunang pada Ahad lalu namun ketika diaju persoalan berkaitan, Diana seboleh mungkin mengelak dan menjawab sekadar perlu sahaja.
Dia yang ditemui pada majlis sidang media filem animasi 3D Super Squad di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Rabu lalu berkata, masyarakat luar tidak perlu mengetahui semua hal peribadinya.
"Cukuplah sekadar orang ramai mengetahui yang saya dan Farid sudahpun mengikat tali pertunangan. Majlis itu membuktikan yang hubungan kami serius.
"Kami bertunang selama setahun dan sekarang ini saya sedang belajar menyesuaikan diri sebagai tunangan orang," katanya yang menerima sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibu Farid pada majlis pertunangan tersebut.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia juga tidak pernah menganggap jarak usia yang jauh berbeza dengan Farid sebagai penghalang untuknya melangkah ke alam perkahwinan.
Baginya, hubungan cinta yang suci perlu disatukan dengan ikatan sah dan dalam tempoh pertunangan selama setahun itu, dia mengakui akan belajar selok belok menjadi wanita yang lebih matang.
"Seperti orang lain, bercinta dan kemudian bertunang. Jadi tidak ada apa yang perlu dihebohkan tentang majlis yang diadakan untuk kalangan ahli keluarga itu.
"Saya sedar dalam tempoh bertunang banyak dugaan tapi saya akan cuba untuk laluinya sebaik-baiknya sebelum melangkah ke peringkat seterusnya," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Kami Histeria terbitan Red Communications.
Dalam majlis pertunangan yang berlangsung pada petang Ahad lalu itu, selain menerima sebentuk cincin tanda, Diana juga menerima tiga dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas lima dulang.
Antara barang hantaran yang diterima kedua-dua pihak termasuk termasuk senaskhah Al-Quran, pakaian dan kasut.
Belum ada tarikh
Meskipun kedua belah pihak menetapkan tempoh pertunangan selama setahun namun Diana mengakui yang kedua-dua pihak masih belum mempunyai tarikh sebenar untuk disatukan sebagai suami isteri.
Malah biarpun sudah bergelar tunangan orang, Diana berkata, dia tidak mahu terlalu teruja mengenai fasa baru dalam hidupnya.
Sebaliknya tegas pelakon tersebut dia lebih selesa melalui detik-detik indah tersebut sama seperti pasangan lain.
Katanya, dia turut akan mendalami ilmu agama sebagai persiapan sebelum melangkah ke alam rumah tangga kelak.
"Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan lancar dan saya tidak mahu terlalu memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini.
"Banyak perkara yang perlu dilakukan dalam kerjaya kerana saya mahu setiap kali muncul mampu memberi kesan kepada penonton.
"Sememangnya saya tidak sabar menunggu tayangan filem Hanyut dan Azazil," akuinya yang juga merupakan duta produk NanoWhite itu lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]