Miera Liyana tidak berdendam terhadap Shahz Jaszle
Umum sudah mengetahui bahawa pelakon cantik Miera Liyana adalah bekas kekasih kepada Shahz Jaszle atau kini lebih mesra dipanggil Shahrizal.
Pun begitu, menerusi laporan pihak media mStar hari ini, Miera telah memaklumkan bahawa sejak hubungannya dengan Shahrizal berakhir, dia langsung tidak menyimpan perasaan dendam atau marah kepada pelakon kacak tersebut. Malah, dia turut mendoakan kebahagiaan Shahrizal dengan pasangan barunya.
"Saya tiada apa-apa perasaan dendam atau marah kepada Shahrizal kerana hubungan kami telah pun menjadi sejarah dan apa juga keputusan yang dia buat adalah untuk masa depannya. Saya doakan yang terbaik buat dia." ujar Miera Liyana.
Selain itu, Miera turut mengaku kegagalan hubungannya dengan Shahrizal Jaszle merupakan satu hikmah yang besar dan mengajarnya agar tidak lalai kerana cinta.
"Masa bercinta dengan dia (Shahrizal Jaszle) saya rasakan dia adalah segala-galanya sehingga saya lupa tentang perkara lain namun kekecohan dalam perhubungan kami akhirnya memberi saya hikmah yang cukup besar," akui gadis manis ini.
Apabila ditanya tentang perkembangan terbarunya, Miera memberitahu dia kini sedang menantikan tayangan filem lakonannya berjudul 'Pencinta', 'Pecah', 'Lebuhraya Ke Neraka' dan 'Dendam Orang Mati'. Kesemua filem tersebut bakal ditayangkan pada tahun hadapan.