Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kesempurnaan - Anuar Zain
BANYAK suka duka tersimpan di dalam lubuk jiwa lelaki ini. Seiring dengan usianya yang kini sudah menjangkau 40-an, Anuar Zain sudah mampu tersenyum dengan kualiti yang dicipta melengkapi perjalanannya sebagai seorang penyanyi lelaki yang sehingga kini belum mampu digugat.
Walaupun silih ganti penyanyi lelaki yang muncul dalam dunia hiburan, percayalah, belum ada yang berani dan mampu merampas kedudukan yang ada dimilikinya sekarang.
Malah, untungnya Anuar Zain, dia merupakan kesayangan jutaan peminat yang mengangkat dan memujanya.
Bukan semata kerana lagu, tetapi kerana dirinya sendiri. Personaliti, imej dan auranya, semua terangkum menjadi satu.
Berpeluang bertemu dengan anak kelahiran Merlimau, Melaka ini tempoh hari membolehkan Pancaindera mencungkil cerita dan sisi "seorang Anuar Zain".
Ringan mulut dan tidak lokek memberi kerjasama baik kepada Pancaindera, Anuar yang murah dengan senyuman rancak berkongsi kisahnya walau ketika temu bual ini diadakan, jadualnya sepanjang hari tersebut cukup padat.
Tuah Kain PelikatSegala-galanya bermula dengan Kain Pelikat. Lagu itu adalah lagu pertama yang dinyanyikan oleh Anuar Zain bersama Elena yang kemudiannya memberi ruang buat Anuar mengenal apa itu populariti ketika pada zaman remajanya.
Di sana sini semua orang memperkatakan tentang remaja lelaki ini yang ternyata berjaya mencuri perhatian melalui nyanyian bersahajanya.
Ketika itu, dia berdiri di atas kaki sendiri tanpa dibayangi aura kakaknya, Ziana Zain yang semasa itu belum melibatkan diri dalam dunia hiburan.
Selepas 11 tahun meninggalkan dunia nyanyian kerana bertugas sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS), Anuar kembali bergelar penyanyi.
Umpama satu kemunculan yang ditunggu-tunggu, Anuar kembali menggegar dunia hiburan seterusnya mencipta populariti menerusi lagu Bila Resah, Jangan Bersedih Lagi, Kita dan Musim Berlalu.
Anuar kemudiannya semakin digilai ramai apabila dia kemudiannya berjaya membuai jutaan jiwa peminatnya menerusi seleksi lagu-lagu cinta menusuk kalbu seperti Mungkin, Keabadian Cinta dan Sesucinya Cintamu.
Label eksklusifMengenali jejaka berbintang Aquarius ini, dia adalah seorang individu yang begitu mementingkan kesempurnaan dalam setiap karya yang ingin dipersembahkan kepada semua.
Tidak suka melakukan kerja sambil lewa, Anuar mengaku itu adalah sifat yang sukar dikikis olehnya sepanjang bergelar artis.
Malah kesempurnaan juga dapat dilihat dari segi tingkah lakunya sehingga kadangkala dia dilabel sebagai artis eksklusif lantaran enggan terlalu terbuka dengan dunia luar.
Maklumlah seorang bintang harus ada ego dan menjaga tona eksklusif dalam diri agar imej tidak tercalar dengan sebarang cerita dan kontroversi kurang enak.
"Saya tak kata diri saya seorang bintang. Tapi bohong jugalah kalau saya cakap saya tak tahu orang menganggap dan meletak gred saya begitu.
"Ini semua rezeki kerana hubungan saya dengan kerjaya dibina atas dasar ikhlas. Kalau ditanya, saya tak rasa diri saya eksklusif sehingga saya bersikap sombong pada orang.
"Walau cuma dengan senyuman, saya akan melayan peminat atau sesiapa sahaja dengan positif.
"Dari segi kerja, saya cuma akan lakukan apa yang saya suka dan selesa. Saya memang begitu. Bukan apa, bila kita buat apa yang kita selesa, suka dan minat, kita akan buat dengan sepenuh hati.
"Saya tahu mungkin ada sesetengah pihak yang berkecil hati jika saya pernah menolak tawaran persembahan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya saya jujur dari awal daripada bersetuju tetapi melakukan perkara itu dengan separuh hati.
"Kemudian ia mendatangkan kesulitan pada orang lain, saya tidak suka begitu," katanya.
Privasi AnuarRamai yang sedia maklum, Anuar tidak seperti kebanyakan artis lain yang sudi mendedahkan privasi dirinya secara keterlaluan dengan peminat.
Maka, jangan dipersoalkan kenapa dia sehingga sekarang tidak memiliki akaun peribadi laman sosial Twitter seperti lazimnya seseorang artis menganggap ia adalah satu keperluan untuk mendekati peminat.
Anuar ada penjelasan tersendiri. Baginya, dia lebih suka menyimpan sesetengah perkara peribadi untuk dirinya sendiri dan bukan untuk dikongsi dengan orang lain.
"Satu-satunya laman sosial yang saya ada adalah Facebook dan ia adalah untuk kegunaan rasmi iaitu www.facebook.com/anuarzainnetwork.
"Saya lebih senang menggunakan instagram untuk berkongsi dengan peminat. Pun begitu, saya masih keluar dengan kawan-kawan seperti biasa cuma saya akui agak tidak selesa berkongsi barang-barang peribadi saya dengan peminat.
"Kenapa saya tak ada Twitter? Ya saya akui ia bagus dari satu sudut. Tapi harus diingat, ia juga boleh menjadi satu senjata yang kejam dalam sesetengah situasi yang boleh mencetuskan isu negatif," katanya.
Jejaka idaman MalayaMasih bergelar lelaki bujang saat usia sudah 40-an, Anuar sedari dulu tidak pernah mampu mengelak dari pertanyaan-pertanyaan klise mengenai bilakah dia mahu menamatkan zaman solonya itu.
Lalu, ke mana sahaja dia pergi, tidak pernah gagal dia meraih perhatian wanita-wanita di luar sana yang begitu mengilai dirinya.
Dihurung dan dikerumuni wanita itu satu perkara yang biasa dilalui oleh Anuar sepanjang dia bergelar penyanyi.
Aura jejaka sempurna itu seumpama lengkap pada dirinya. Maka jangan memandang pelik jika ramai yang mengaku jatuh cinta pada lelaki ini.
Sungguhpun tahu dirinya digilai ramai wanita dan dia mampu memilih sesiapa sahaja untuk menjadi suri hatinya, Anuar tetap teguh dengan jawapannya sebagaimana yang sudah-sudah.
Menganggap dirinya sudah berkahwin lama, Anuar mahu peminat jangan tersalah anggap.
"Saya sudah lama berkahwin dengan karier saya. Selama 30 tahun ini, saya hadapinya dengan rasa suka dan duka.
"Ia sudah cukup untuk saya sekurang-kurangnya buat masa ini. Tetapi terima kasihlah kepada yang prihatin bertanya selama ini.
"Saya lebih senang untuk menjawab yang cinta itu tidak perlu dicari. Jodoh biarlah ditemukan. Itulah kata-kata yang saya pegang sehingga hari ini. Jika belum sampai maka belum lagilah tu," katanya.
3 Dekad Muzik, Cinta & SanubariSejak dari kecil kata Anuar, sejak sudah mula mengenal dunia nyanyian, dia tidak pernah membayangkan kedudukan selesa yang dicapainya kini.
Daripada menjadi seorang penyanyi lelaki paling mahal dibayar setakat ini dalam dunia seni, sehinggalah berupaya merancang agenda konsert pertama dalam kariernya, Anuar melakar sejarahnya sendiri.
Mengaku tidak mampu membendung rasa debarnya saat membilang hari, Anuar mahu segalanya sempurna untuk konsert sulungnya yang diberi nama 3 Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang akan berlangsung 14 hari lagi.
"Saya bukan sahaja menyanyi, tetapi membuat persembahan. Apa yang saya janjikan adalah keseronokan buat semua yang hadir.
"Saya akui akan ada sedikit kejutan tapi biarlah mereka rasainya sendiri bila berada di stadium itu nanti dan tak perlu diceritakan di sini," katanya.
Dalam pada itu, dia yang meletakkan segala keutamaan kepada peminat sungguhpun mengaku sepanjang perancangan konsert itu dibuat dalam suasana yang tidak mudah.
"Kesulitan itu tentunya ada, namun ia dapat diatasi dari semasa ke semasa. Apa yang penting, saya akan memberikan yang terbaik buat peminat yang selama ini berkongsi kembara seni saya.
"Ini bukan sahaja sejarah buat saya, malah satu ukiran sejarah buat peminat saya," katanya.
Konsert 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari akan diadakan pada 16 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]