
SAYA dan dia tiada masalah apa-apa pun. Saya dengan dia macam biasa sahaja. Kami berdua tak pernah bergaduh pun, mungkin semua itu salah sangka orang sahaja," jelas Tasha Shila ketika ditanya mengenai hubungan dinginnya sebelum ini dengan Neelofa.
Tasha berkata, perkara tersebut tidak perlu lagi diperbesarkan kerana hubungannya dengan pengacara Nona dan MeleTOP itu seperti biasa.
Saya dan dia sama-sama pelakon, kami bekerja dalam bidang yang sama. Jadi saya lebih suka berfikiran positif, tak guna kalau perkara kecil seperti ini nak dipanjangkan lagi," kata Tasha mengulas mengenai kemelut yang pernah melanda mereka sebelum ini.
Mengimbas kembali peristiwa tersebut, kedua-dua pelakon ini dikatakan tidak sebulu akibat rasa cemburu gara-gara kemenangan Tasha pada satu anugerah.
Hampir setahun juga mereka bersengketa gara-gara kelancangan mulut Neelofa memberi komen di laman sosial Twitter miliknya tentang kemenangan Tasha itu.
Namun pertemuan kedua-dua artis ini tanpa sengaja di TV3 nyata telah menyatukan hubungan mereka semula apabila Neelofa meminta maaf kepada Tasha.
Bagi Tasha, dia menganggap pertemuan itu merupakan satu perkara yang tidak dirancang tetapi dia berkeras enggan mengulas mengenai permohonan maaf Neelofa seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Memang benar kami ada bertemu di TV3 beberapa hari lalu. Namun saya rasa tiada apa untuk diulas mengenai pertemuan saya dengannya.
Lagipun ini bukanlah kali pertama saya bertemu dengan Neelofa di sana. Saya tidak mahu memberi sebarang komen, nanti tersalah cakap benda ini bertambah berpanjangan pula.
Saya buat macam biasa, itu lebih memadai bagi saya. Sejak dari awal lagi, saya lebih suka berfikiran terbuka dan bertindak profesional serta fokus kepada keutamaan saya iaitu kerjaya saya sekarang.
Bagi pihak saya sendiri, selepas perkara yang berlaku tahun lalu itu pun saya tidak mengambil tahu mengenainya dan tidak merasakan ada masalah antara kami berdua," jelas Tasha.
Enggan terus memanjangkan kisah kontroversinya ini, Tasha berkata dia hanya ingin fokus dalam kerjayanya sebagai pelakon dan mahu terus melupakan perkara ini lagi.
Bakal ke Paris
Dalam pada itu, aktres yang popular menerusi siri televisyen, Gemilang itu akan menyertai dua lagi pelakon popular, Fathia Latiff dan Fizo Omar terbang ke kota Paris sempena bermulanya penerbangan kendalian syarikat penerbangan Air France, April ini.
Mereka bertiga akan disertai oleh 20 peminat setia atau pembeli terawal pakej istimewa yang ditawarkan Air France untuk bersama-sama menjelajah Perancis selama lapan hari tujuh malam.
Saya sangat teruja apabila pertama kali dimaklumkan bahawa saya dipilih bersama Fizo dan Fathia akan terbang ke Perancis.
Sudah lama saya impikan untuk pergi ke sana. Saya tak pernah sampai ke sana sebelum ini, ini kali pertama saya. Saya memang teruja kerana saya suka melancong.
Saya akan ambil peluang ini untuk sama-sama meraikan kali pertama penerbangan ini sampai ke kota Paris bersama peminat saya," jelas Tasha mengenai penerbangan ini.
Rombongan ini akan berlepas dengan pesawat pertama yang akan memulakan operasinya bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Paris pada 23 April nanti.