Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Sleeq tumpang tuah
Mendengar cerita kumpulan yang mempertaruhkan irama hip-hop dan R & B ini, terselit rasa simpati bila mengetahui tentang perjuangan mereka yang memakan masa begitu lama.
Bayangkan, sejak dari 2005, mereka masuk ke industri hiburan di bawah naungan KRU Singapura, nama kumpulan duo dari Singapura ini tidak begitu dikenali.
Sehinggalah mereka berkolaborasi dengan penyanyi popular tanah air, Ramlah Ram, menerusi lagu Sesaat Kau Datang, nama Sleeq terus mendaki populariti.
Sambutan yang diterima amat baik, bukan sahaja mereka berjaya menarik hati peminat Ramlah Ram, sebaliknya juga menarik peminat baru mereka di tanah air.
Kejayaan mereka melalui kolaborasi itu terbukti setelah lagu tersebut berjaya dicalonkan di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke 19 melalui kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu.
Seolah-olah percaya dengan taruhan resipi mereka, Sleeq terus mencuba dengan kolaborasi bersama artis tempatan.
Hasilnya, Sleeq selepas itu tampil pula dengan sensasi penyanyi YouTube, Najwa Latiff melalui lagu Untuk Dia. Lagu itu akhirnya menjadi siulan anak muda sekali gus memperkukuhkan lagi nama Sleeq dalam industri tanah air.
Namun, di sebalik kejayaan mereka, Sleeq dikatakan seolah-olah cuba menggunakan taktik mudah dengan menggunakan artis tempatan sebagai batu loncatan untuk terus mengukuhkan nama mereka.
Menafikan perkara tersebut, Sleeq yang dianggotai oleh Alif dan Syarif berkata, perkara itu tidak dirancang sebaliknya berlaku secara kebetulan dan ia menampakkan hasil yang begitu baik.
"Kami tidak mengkhususkan dengan artis mana yang kami ingin kolaborasi. Ia bergantung kepada lagu sebenarnya, jika sesuai untuk dinyanyi bersama, maka kami nyanyikan bersama.
"Ternyata, melalui kolaborasi yang kami lakukan ia berjaya membawa tuah kepada kami untuk menaikkan nama Sleeq dan ia bukan satu rancangan, sebaliknya secara kebetulan sahaja," ujar Alif yang kini sedang menjalani National Service Singapore.
Tambah Alif, lagu Sesaat Kau Datang bersama Ramlah Ram juga dilakukan setelah peminat Ramlah di Singapura yang mencadangkannya.
"Peminat Ramlah Ram di Singapura yang mengusulkan kepada kami untuk melakukan duet bersama dan kami memenuhi permintaan melalui lagu itu.
"Tidak pula terfikir untuk meluaskan pengaruh kami ke Malaysia dengan menggunakan pengaruh Ramlah Ram kerana kami sendiri melakukan ia kerana minat, bukan dengan sebab tertentu.
"Kami tidak terkesan dengan apa yang dikatakan oleh orang luar, sebaliknya kami bersyukur kerana kolaborasi yang kami lakukan semuanya mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat," ujarnya.
Walau apa pun yang dilakukan oleh Sleeq, tidak ada salahnya untuk mereka bergandingan dengan sesiapa pun, asalkan irama dan lirik yang dihasilkan benar-benar berkualiti.
Susah jadikan pengajaran
Memakan masa yang lama untuk menaikkan nama Sleeq, ia memberi satu bentuk pengajaran kepada mereka kerana kepayahan lalu yang banyak mematangkan.
Sebelum ini, Sleeq pernah bernaung di bawah dua syarikat rakaman sebelum bernaung bersama Aaronaziz Production.
"Bersama dua syarikat rakaman terdahulu banyak memberi Sleeq pengajaran daripada segi pengurusan dan sebagainya," jelas Syarif.
Sleeq turut memberitahu pernah rasa untuk berhenti daripada menyanyi setelah dua kali cubaan mereka untuk berada di industri seni seakan dihalang kerana masalah pengurusan.
"Masa itu pernah juga rasa macam hendak berhenti tetapi sokongan daripada rakan-rakan kami yang menyebabkan kami terus kekal untuk berada di industri ini," ujarnya.
Tambah Syarif, ketika itu juga, Aaron Aziz menawarkan kepada mereka untuk berada di bawah syarikat produksi miliknya.
"Abang Aaron memang banyak membantu dan membimbing kami dalam industri ini. Sebelum ini, tidak ada yang membimbing kami seperti abang Aaron. Semangat itu yang membuat kami terus bangkit untuk memperjuangkan Sleeq," jelasnya.
Malah, jelas Syarif lagi, kepayahan masa lampau yang banyak membantu mereka untuk terus kekal dalam industri ini.
Kerja secara profesional
Menyentuh mengenai hubungan mereka sebagai sepupu, jelas Syarif, hubungan tersebut hanya di luar waktu bekerja sahaja, sebaliknya jika di studio, mereka akan menjadi seperti rakan sekerja.
"Dalam keluarga kami, hanya kami sahaja sepupu yang sama umur. malah, hanya kami sahaja juga yang aktif dalam bidang muzik," jelasnya.
Tambah Syarif, tipulah sekiranya sebelum ini mereka tidak bergaduh, tetapi ia adalah sesuatu yang biasa buat mereka.
"Bergaduh ini bagus sebenarnya sebab bila kita bergaduh melibatkan perkara muzik, masing-masing akan melontarkan idea dan memberi penambahan baru pada muzik kami," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]