
"Saya lebih selesa jadi karyawan saja. Kalau bercakap soal berkhidmat untuk masyarakat, saya kira penglibatan saya sebagai anak seni lebih meluas. Berbanding kalau saya menjadi wakil rakyat (Y.B) saya hanya akan tertumpu kepada satu kawasan saja, iaitu kawasan saya.
"Dengan lagu dan karya-karya saya itu, ia boleh salurkan menerusi pelbagai media untuk masyarakat", itu reaksi pelakon dan penyanyi popular ND Lala ketika ditanya tidakkah dia berhasrat mahu menceburi dunia politik.
Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Diari Y.B ini dikatakan berpotensi sebagai calon dan masuk bertanding. Tambahan lagu yang pernah memenangi kategori Irama Malaysia dalam Anugerah Juara Lagu 1995 itu begitu sininom lebih-lebih lagi saat menjelang pilihan raya umum.
Sehinggakan lagu seloka ciptaannya bersama penulis lirik Adi Al Hadi itu sudah dianggap sebagai lagu khas untuk para wakil rakyat juga calon-calon bakal wakil rakyat .
ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah, 52, berkata biarlah dia sekadar menyanyikan saja lagu itu malah biarlah lagu itu saja yang berkumandang baik di televisyen mahupun di radio selagi ada permintaan daripada peminat. Tetapi tidaklah sampai beliau berfikir mahu bergelar Yang Berhormat.
" Semasa menulis lagu itu bersama Adi, kami ada membuat kajian mengenai tanggungjawab yang digalas mereka yang bergelar YB. Bukan senang sebenarnya bila kita jadi YB. Bagi saya, hendak menjaga empat orang anak pun banyak yang ketikadsempurnaanya, inikan pula nak jaga kawasan. Biarlah nyanyi menyanyi lagunya saja, tak terfikir nak jadi YB", kata bapa kepada penyanyi Shila Amzah ini.
Dalam perkembangan lain, ND Lala sekeluarga termasuk Shila, telah berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah selama dua minggu.
- mD