Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sharifah Amani Akui Dah Penat 'Direjam'

Sejak percubaan pertamanya menerusi filem pendek berjudul Sangkar pada tahun lalu, kemudian dia menghasilkan pula Hometown, pelakon kecil molek Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya atau mesra disapa dengan panggilan Nani ini, memberitahu dia sekarang semakin jatuh cinta dengan kerja-kerja pengarahan. Malah gadis berusia 26 tahun ini mengakui kesempatan duduk di kerusi pengarah membuka peluang luas untuknya mengekspresikan apa yang dirasa dan dipendam selama ini ke dalam karya-karya bikinannya. "Seronok mengarah. Tapi saya masih tetap berlakon. Saya tak tinggalkan dunia lakonan. Cuma sejak kebelakangan ni mood saya lebih kepada nak berkarya sebagai seorang pengarah", katanya ketika ditemui di majlis tayangan Ikal Mayang, bertempat di GSC Garden, Mid Valley, semalam. Terkini, pelakon yang mula dikenali menerusi watak Orked dalam filem Sepet ini tampil dengan satu lagi filem pendek berjudul, Hawa. Penghasilan filem tersebut bagi menjayakan projek siri filem pendek Women:Girls yang diberi nama Ikal Mayang sempena meraikan Hari Wanita Sedunia 2013 (disambut pada 8 Mac). Nani merupakan antara 15 pengarah terdiri daripada selebriti wanita popular yang menjayakan projek berkenaan. Bertemakan Agenda Jantina: Menjana Momentum projek filem pendek yang memaparkan suara golongan hawa dalam pelbagai isu ini turut melibatkan selebriti seperti Melissa Saila, Datin Sofia Jane, Ida Nerina, Fauziah Nawi, Vanida Imran, Mislina Mustafa, Dira Abu Zahar dan Nanu Baharuddin. Menurut Nani, dia berbangga dapat melibatkan diri dalam projek terbitan Garang Picture dan Big Entertainment itu. Sebagai antara pengarah muda, banyak yang dipelajari daripada mereka yang jauh lebih berpengalaman daripadanya. "Sepanjang terlibat dengan projek ni, saya dapat timba banyak pengalaman antaranya daripada Sofia Jane, Vanida Imran dan Fauziah Nawi. Bagi saya mereka semua ni adalah hero. "Semasa penerbit, Low Ngai Yuen telefon dan beritahu saya tentang projek ini, idea saya terus datang mencurah-curah. Saya siapkan skrip Hawa dalam masa satu hari saja. Semasa penggambaran, saya bertuah sebab mempunyai kru produksi yang hebat dan banyak membantu saya", katanya. Bagaimanapun, kalau dua filem pendek arahanya sebelum ini pernah ditayangkan pada umum, tetapi untuk Hawa, Nani berkata dia lebih selesa untuk tidak ditayangkan pada khalayak. Dek kerana sudah masak dengan mentaliti masyarakat, Nani dapat merasakan Hawa sukar untuk diterima sesetengah pihak. Kerana sekali imbas, Hawa menyelitkan elemen sensitiviti masyarakat. Jelas anak kepada bekas wartawan, pelakon dan guru lakonan Fatimah Abu Bakar ini, dia hanya mahu berkongsi tentang cerita yang diilhamkannya bukan mahu mencetus apa-apa kontroversi. "Saya tak kisah kalau dikritik. Tapi saya dah penat 'direjam'. Tak perlu saya jelaskannya sebab saya pasti ramai yang tahu, kan. Jadi saya lebih selesa dan tak mengapa lah kalau Hawa tak ditayangkan pada umum. Sebab saya hanya nak berkarya. "Sejujurnya saya hanya nak bercerita tentang cerita saya. Hawa sebuah cerita tentang persahabatan. Seorang budak perempuan yang melalui pelbagai cabaran dan berdepan dengan perkara yang dia tak boleh nak ubah. Akhirnya dia dapat jalan penyelesaian dengan solat. "Saya hanya nak mengekspresikan apa yang saya rasa. Tak fikir pun nak api-apikan sesiapa apatahlagi nak selitkan agenda tersendiri. Arwah Yasmin Ahmad pernah berkata kepada saya, kalau nak buat filem ni, tak perlu ada agenda-agenda tersembunyi dan sebagainya, kita buat saja", katanya. Sebelum ini Nani memang dikenali dengan kelantangan menyuarakan sesuatu pandangan. Bahkan nama pelakon Wanita Terbaik Anugerah Filem Festival ke-19 (FFM19) ini pernah panas ekoran isu keberaniannya membotakkan kepala demi filem Mualaf dan kontroversi gara-gara berkata yang dia akan kelihatan bodoh jika membuat ucapan dalam Bahasa Melayu, sewaktu di satu majlis anugerah berprestij tanah air. Dalam perkembangan lain Nani juga sibuk menjalani penggambaran Bikin Filem arahan Nik Amir. Filem terbitan Playground Production itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Siti Saleha dan ramai lagi. - mD
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails