
KELAHIRAN anak kedua kepada pasangan selebriti, Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepah dan isterinya, Siti Sarah Raisuddin kini melengkapkan lagi keluarga mereka apabila hajat pasangan itu untuk memiliki sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan telah dimakbulkan.
Kehadiran cahaya mata kedua pasangan romantis itu dilahirkan Sarah pada 17 Mei lalu pada pukul 4.46 petang dan kegembiraan itu dikongsi sendiri oleh Shuib melalui laman sosial Twitternya.
Shuib menambah, walaupun puterinya tidak dilahirkan secara normal kerana terdapat beberapa komplikasi tetapi anaknya itu sihat dan cukup sifat, malah kandungan berat badan bayinya yang seberat 3.6 kilogram amat melegakan hatinya.
Sebelum ini, Shuib dan Sarah telah dikurniakan cahaya mata sulung pada
4 Disember 2011.
Kosmo! yang menemui Shuib sewaktu penggambaran rancangan realiti Redah Kasi Pecah Ekstravaganza di Pulau Pinang, baru-baru ini berbicara dengannya tentang zuriat baharu mereka.
Kosmo!: Tahniah Shuib dan Sarah untuk kelahiran bayi kedua. Boleh ceritakan sedikit pengalaman anda semasa Sarah melahirkan anak kedua kalian?
SHUIB: Terima kasih. Pengalaman mendapat anak kedua berbeza dengan anak pertama saya iaitu Uwais Alqarani. Kali ini, Sarah melahirkan anak kedua dengan cara pembedahan, jadi sepanjang 48 jam sewaktu proses mahu melahirkan berjalan, saya sentiasa bersama dengan Sarah sehingga bayi selamat dilahirkan. Kalau dahulunya saya tidak dapat melihat sepenuhnya proses tersebut tapi kali ini saya dapat lihat dari awal sehingga akhir. Masya-Allah, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya saat berpeluang melihat keseluruhan proses kelahiran. Alhamdulillah, saya sudah dapat sepasang cahaya mata dan inilah saat yang saya nanti-nantikan.
Boleh anda jelaskan maksud di sebalik nama bayi perempuan anda?
Kami sepakat memberi anak perempuan kami dengan nama Dzakira Talita Zahra. Dalam bahasa Arab, ia bermaksud dalam bahasa Arab, gadis yang berzikir bagai bunga.

Bagaimana reaksi Sarah apabila anda mendapat tawaran untuk menyertai rancangan realiti Redah Kasi Pecah Ekstravaganza ini memandangkan dia baru saja selamat bersalin?
Sebenarnya saya sudah dapat tawaran ini sebelum Sarah melahirkan anak kami, jadi saya sudah pun berbincang dengan isteri saya dan syukur Sarah bersalin sebelum penggambaran bermula. Malah, saya juga menganggap ini adalah rezeki anak perempuan kami. Buat masa ini, Sarah berpantang dan anak-anak dijaga di rumah keluarganya. Lagipun, saya suka dengan aktiviti lasak sebegini, jadi isteri saya tidak menghalang dan menyokong saya. Dia begitu memahami.
Selain daripada menyertai rancangan realiti Redah Kasi Pecah Ekstravanganza, apakah perkembangan terbaharu anda?
Sepahtu akan melancarkan album kami yang bukan berbentuk komedi sebelum Aidilfitri ini. Album tersebut diterbitkan oleh Sheikh Qalam dan antara komposer yang terlibat dalam album ini ialah Taja Meet Uncle Husssain, Aidit Alfian dan KRU.