
SELALUNYA seseorang penyanyi yang kemudiannya cuba untuk menjinakkan diri dalam bidang lakonan dapat diterima ramai dan dia boleh berjaya dalam bidang lakonan.
Namun, kebanyakan anak seni yang bermula sebagai seorang pelakon dan kemudiannya terjun ke bidang nyanyian pula, entah dimana silapnya tidak cukup menyengat berbanding bidang lakonan mereka.
Ada yang berkata kerana bakat nyanyian bukan sesuatu yang senang dapat. Tidak seperti bidang lakonan yang kalau dilatih setiap hari akan memperoleh hasil yang diinginkan.
Akhirnya mereka yang asal pelakon akan pulang kepada kerjaya seni mereka yang asal dengan berlakon kembali kerana di situlah punca pendapatan mereka.
Walau apa pun kata orang, Diana Danielle, pelakon muda yang semakin meningkat naik tetap optimis dengan keputusannya untuk bergelar penyanyi pula.
Meskipun ada yang mempertikaikan kebolehan dan kesungguhan Diana untuk menceburi bidang nyanyian, dia tetap tegas dengan pilihannya dan berjanji untuk memberikan yang terbaik.
“Mungkin tak ramai yang pernah mendengar saya menyanyi, sebab itulah mereka meragui kebolehan saya.
“Sejak kecil saya menyimpan hasrat hendak menjadi penyanyi dan bukan pelakon.
“Tetapi apabila dapat peluang berlakon, saya berpendapat jadi pelakon mungkin dapat memudahkan niat saya untuk jadi penyanyi sebab dapat kenal ramai orang dan peluang pun lebih mudah.
“Lama kelamaan saya rasa seronok pula berlakon dan disebabkan sibuk dengan dunia lakonan, saya tidak dapat meneruskan cita-cita asal saya.
“Tapi sekarang ini, saya ingin serius dalam bidang nyanyian dan kini dalam perbincangan untuk menghasilkan single pertama secepat mungkin,” ujar si jelita berusia 18 tahun ini ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah Diana, dia tidak dapat mengulas lanjut tentang konsep lagu yang akan dibawanya kerana semuanya masih di dalam perbincangan dan mereka akan memilih konsep yang bersesuaian dengan suaranya.
Diana yang pernah menyanyi bersama Imran Ajmain dalam sebuah lagu berjudul Hanya Di Radio berkata, single berkenaan sebagai satu percubaan untuk melihat reaksi para peminat bidang seni suara.
“Single yang akan disiapkan sebelum hujung tahun ini dijadikan sebagai penentu kepada kerjaya nyanyian saya,” tambahnya yang meminati lagu berirama jazz dan mengagumi penyanyi seperti Norah Jones dan Datuk Sheila Majid.
Diana dan Natrah
Selain serius menghasilkan single pertamanya, Diana yang juga penuntut jurusan Biosains di Universiti Nottingham, Semenyih ini bakal muncul dalam teater Natrah arahan pengarah tersohor, Erma Fatima.
Menurut Diana, dia kini sudah mula membuat kajian terhadap watak Natrah melalui pembacaan buku-buku mengenai Natrah.
Mengakui tanggungjawab yang digalasnya agak besar kerana membawa watak seorang yang disayangi ramai dalam cubaan pertamanya berlakon teater, Diana berjanji akan memberikan yang terbaik.
“Saya bernasib baik kerana buku mengenai Natrah banyak dihasilkan dan ia memudahkan saya untuk faham dan mendalami watak Natrah ini,” jelasnya yang percaya mampu membawakan watak Natrah setelah mendapat kepercayaan daripada pengarah tersohor tanah air itu.
Diminta mengulas mengenai sikap Erma yang tegas dan garang, Diana berkata, dia sudah lama mengenali sutradara itu dan sudah biasa bekerja di bawah pengarah tersebut.
“Saya tak takut bahkan saya sudah lama mengenali dia. Nasihat saya kepada sesiapa yang tidak mengenali Erma, janganlah ambil hati bila dengar apa yang dia kata, tegur atau marah.
“Memang dia tegas tetapi hati dia baik sangat dan saya pun memang rapat dengan dia, jadi tidak ada masalah bekerja dengan dia,” tambahnya.
Teater Natrah akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 17 hingga 25 November ini.