Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Padah mirip wajah Anak Pontianak-Lufya


Lufya letih menepis tanggapan negatif peminat seni bahawa dirinya adalah aktres remaja Zarina An-Julie

KEMUNCULAN drama bersiri Impian Sunsilk (musim kedua) menerusi TV3, sedikit sebanyak mengembalikan ingatan peminat kepada kelincahan bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), Lufya, 24, selepas sekian lama dia menghilangkan diri daripada industri seni. Sebelum itu Lufya dikhabarkan terpalit dengan pelbagai cerita negatif seperti sombong dan ‘bermulut longkang’!

Kontroversi yang melanda dirinya tidak terhenti begitu saja apabila sejak kemunculannya di pentas seni, dirinya acap kali dibayangi kisah hitam yang pernah melanda aktres drama bersiri popular Anak Pontianak iaitu Zarina An-Julie Fahizul, 22, yang pernah menggemparkan industri hiburan dengan kemunculan beberapa keping gambar lucah yang konon dirinya. Semuanya gara-gara Lufya dan Zarina mempunyai wajah hampir sama!

Selain itu, gambar Zarina berpakaian seksi bersama teman-teman berhibur di tepi pantai dan pusat hiburan pernah tersebar meluas di Internet, sekali gus keadaan itu memberi tekanan kepada Lufya apabila dia sering menjadi mangsa sindiran ‘mulut jahat’ setiap kali terserempak dengan masyarakat yang menganggap dirinya Zarina!

Kisah Lufya pernah dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak gara-gara sikap negatifnya sebelum menyertai AF6 juga pernah menjadi perdebatan media massa. Dia juga dikatakan pernah lari dari rumah ketika usia awal remajanya. Justeru, kesempatan bertemu Lufya baru-baru ini, dia meleraikan apa yang sebenarnya terjadi dalam hidupnya, selain bercakap kisah cintanya dengan seorang jurufoto sebuah majalah hiburan.

“Tuduhan yang pernah dilemparkan kepada saya adalah daripada mereka yang tidak mengenali saya secara dekat. Sebagai bintang AF, buat apalah saya nak sombong dengan orang apabila kejayaan saya selama ini pun adalah daripada sokongan peminat. Saya masih mencari tapak dalam bidang seni, jadi kenapa nak buat sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kebencian orang ramai. Apabila bekerja, saya nak jumpa lebih ramai kawan.

Apabila ada dakwaan mengatakan saya suka cakap lepas, saya akui terutama ketika mengutarakan idea, namun saya cakap baik-baik, bukannya orang kata saya cakap lepas macam ‘mulut longkang’! Apabila ada sesuatu perkara yang saya tak setuju, saya bersuara dengan ikhlas, tapi bukannya secara kasar. Saya sedar, diri ini bukan siapa-siapa, buat apa cakap yang bukan-bukan, nanti memakan diri sendiri saja.

Mungkin dalam kita bekerja itu, ada individu yang sakit hati dengan kita apabila menyebarkan cerita negatif mengenai kelakuan saya. Tak semua orang suka walaupun kita tak pernah menyakiti hati mereka. Justeru, segala dakwaan mengatakan saya sombong dan suka cakap lepas adalah tidak berasas, kenali saya dulu, baru tahu saya ini bagaimana orangnya.”

‘Datang dekat-dekat nak menggatal’

“Apabila saya berjalan di luar, tiba-tiba orang pandang diri saya semacam saja, saya tak selesa. Lepas itu orang cakap, ‘Kita pernah jumpa kat Port Dickson, takkan tak ingat?’ Apabila saya buka cermin mata hitam, baru mereka perasan, dia orang dah salah orang. Memang saya tak nafikan, muka saya dan Zarina (An-Julie) ada iras-iras. Mungkin disebabkan itu, ada pihak yang melabel saya dengan pelbagai cerita negatif.

Apabila kami mempunyai wajah yang seakan sama, secara tak langsung saya terkena tempiasnya. Tapi, nak buat macam mana, orang di luar sana terlalu mudah menjatuhkan hukuman. Saya pun sedih kerana saya sendiri mengenali Zarina sebagai teman artis. Kebetulan kami pun tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan, justeru ada ketikanya kami terserempak di restoran, kami hai hai. Memang tak ada masalah, kami berkawan.

Saya harap Zarina tak ambil hati apabila masyarakat mengaitkan dirinya dengan saya. Saya sendiri tak mahu perkara seumpamanya berlaku. Bagi saya, setiap kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang terjadi sebelum ini adalah antara dirinya dan keluarga. Namun, sebagai kawan artis, saya sentiasa memberinya sokongan daripada segenap ruang, lagipun antara saya dan Zarina, kami tidak pernah bermasalah.

Cuma, perkara negatif yang pernah dikaitkan dengan Zarina, saya tak suka apabila orang ramai melabel saya dengan isu negatif juga. Saya kerja ikhlas dengan niat membina nama dalam industri seni, tapi apabila saya pula dikaitkan dengan gejala negatif, tak seronoklah. Sebagai komuniti dalam masyarakat, jangan terlalu cepat menghukum. Berilah peluang kepada Zarina memperbaiki kesilapannya, lagipun dia seorang pelakon berbakat.

Samalah halnya dengan diri saya, apabila saya berjalan, ada mata yang memandang dengan niat negatif, datang dekat-dekat nak menggatal, saya tak selesa! Lepas tu jerit-jerit, ‘Hey, jumpa kat Port Dickson buat-buat tak kenal pulak’, saya harap mereka menghentikan perbuatan itu serta-merta. Kenali diri saya betul-betul, Zarina ke Lufya?”

Lari dari rumah hanya salah faham

“Saya juga tak pernah dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak seperti yang didakwa sesetengah pihak. Saya beranggapan, mereka salah orang! Saya tak pernah terjebak dengan gejala sosial serius sehingga terpaksa dimasukkan ke pusat pemilihan akhlak. Semua cerita itu adalah tuduhan tidak berasas.

Begitu juga dengan dakwaan saya lari dari rumah, tak benar! Pun begitu, cerita sebenarnya begini. Ketika itu keluarga kami berdepan dengan sedikit masalah. Bagi menenangkan fikiran, saya keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga. Saya tidur di rumah nenek, sebaliknya ibu mencari saya di rumah kawan-kawan. Justeru, apabila berlakunya situasi seumpamanya, kawan-kawan beranggapan, saya lari dari rumah, sebenarnya tak...

Memanglah, ada segelintir kawan-kawan yang suka menyebarkan cerita negatif, saya jadi mangsa. Ketika saya berada di dalam AF, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengungkit kisah silam dan secara tak langsung mencalar nama baik saya. Saya juga pernah menghilangkan diri seketika daripada industri disebabkan terlalu kecewa dengan pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan, saya pulang kampung tenangkan fikiran.

Kini saya bangkit semula daripada kekecewaan, segar daripada segala masalah yang pernah timbul. Namun, rezeki saya lebih ke arah lakonan. Memang ada niat nak menghasilkan lagu, tapi saya memerlukan sedikit masa lagi. Ketika ini saya sedang tulis lagu sendiri, melodi pun buat sendiri dan kalau boleh nak susun muzik sendiri.

Tapi, dalam masa sama, untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur, saya buat iklan dan berlakon drama. Sekalipun saya masih merangkak di bidang nyanyian, tapi Alhamdulillah, masih ada lagi tawaran pertunjukan pentas. Cita-cita untuk bergelar penyanyi belum tercapai sepenuhnya, tapi dengan rezeki iklan dan lakonan, saya teruskan saja perjuangan ini.

Terus-terang, dalam usia begini, kawan itu adalah, tapi nak kata fikir sampai nak kahwin, rasanya belum lagi. Gosip saya bercinta dengan jurufoto adalah tidak benar. Sebenarnya dia adalah kawan ketika zaman persekolahan dulu. Tapi, sampai sekarang masih ada cakap-cakap yang mendakwa kami masih berhubungan, sebaliknya cerita itu tidak benar. Tambahan pula jurufoto berkenaan sudah berkahwin, justeru tak perlu diungkit kisah lama.”

INFO: Lufya

•NAMA PENUH: Lutfyah Sheikh Omar
•TARIKH LAHIR: 2 Februari 1985
•KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
•ASAL: Johor Bahru, Johor
•DARAH CAMPURAN: Ayah (Arab & Malaysia), ibu ( Arab & Indonesia)
•IKATAN KEKELUARGAAN: Anak saudara aktres popular Betty Banafe
•PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru
•KOMERSIAL: Pantene, Lipton, Good Maid, Avon, Elle dan Nokia
•PENCAPAIAN: Finalis Akademi Fantasia 6 (AF6) (2008), namun terkeluar pada konsert minggu ketiga
•DRAMA: Awekku Bukan Awekmu, Banifsha, 6 Sharifah, Tuah Kembali, Impian Sunsilk (musim kedua) dan Bukan Bidadari
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails