Saya tidak mahal! - Zahiril


PELAKON kacak yang menggenggam trofi pelakon lelaki harapan terbaik pada festival filem Malaysia ke-22 di Sabah baru-baru Zahiril Adzim, 25, nampaknya semakin mencurah-curah rezekinya.

Walaupun ada kata-kata sinis kononnya lepas menang anugerah, harga untuk Zahiril sudah semakin mahal bahkan ramai penerbit kononnya takut untuk menggunakan khidmat Zahiril, hakikat sebenarnya tidaklah begitu.

Zahiril yang ditemui oleh teman Marilyn di set penggambaran drama bersiri terbarunya berjudul Lembing dan Layang sebuah drama sejarah memberitahu, dia sedikit kecewa apabila ramai penerbit menganggap harganya kini mahal.

"Saya ada dengar selalunya selepas artis menang anugerah macam ada badi, penerbit takut nak ambil berlakon kononnya harga dah naik dan macam-macam lagi.

"Sedangkan saya tidak pernah mengubah harga kerana berlakon merupakan minat. Tetapi kalau ada yang nak bagi lebih saya terima sahaja sebab dah rezeki," ujarnya sambil ketawa.

Meskipun begitu, rezeki Zahiril tetap melimpah ruah dan tawaran lakonan tidak putus-putus. Bertuah badan!

Dalam usia yang masih muda sudah menang anugerah besar berbaloilah dengan bakat lakonannya yang tidak pernah menghampakan penonton. Marilyn pun suka tengok Zahiril berlakon!