Kami bukan lesbian



PENYANYI popular Hong Kong, Joey Yung terkejut apabila dia dikatakan menjalin hubungan sejenis dengan kawan baiknya, Denise Ho.

Joey bersama beberapa orang kawannya telah menyertai konsert Denise, Supergoo 2009 di Coliseum, Hong Kong baru-baru ini. Apabila Denise menyampaikan lagu bertemakan hubungan sesama jenis berjudul Lawrence and Lewis yang didedikasi kepada Joey, dia menyanyi bersama.

"Saya amat kagum bagaimana orang boleh membuat konklusi sebegitu. Wanita juga boleh menjadi kawan baik," kata Joey apabila ditanya mengenai perkara itu semasa menghadiri sidang media mempromosikan album Mandarin keenamnya, Hen Mang serta album Kantonis ke-14, A Time For Us.

Joey, 29, sebenarnya sudah menjadi kawan kepada Denise, 32, sebelum mereka menyertai dunia hiburan. Joey yang sudah berkecimpung dalam dunia hiburan selama 10 tahun kini sedang sibuk dengan konsert serta album barunya.

Apabila ditanya mengenai penghias muka album Mandarin terbarunya yang menyerupai album pop diva Jepun, Ayumi Hamasaki, dia menjawab, "Saya pernah melihat penghias muka album Ayumi tetapi tidak dapat mengesan kesamaannya sehingga membaca laporan berita itu.

"Sebagai artis, ia adalah mustahil bagi saya untuk menjaga semua benda. Jadi saya juga perlu bergantung kepada pengarah seni dan pasukan kreativiti."

Bekerjasama dengan penyanyi, JJ Lin, 28, untuk menerbitkan lagu Is This Love? untuk album Mandarin, Joey memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia bekerjasama dengan penerbit yang lebih muda daripadanya.

"Walaupun saya gembira dengan kerjasama itu, tapi saya tidak mungkin akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih muda kerana masalah komunikasi," katanya.