Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya ingat mati – Diana Amir


HIJRAH pelakon Diana Amir yang kini dilihat selesa mengenakan hijab menimbulkan banyak cakap-cakap di belakang.

Maaf ya, bukan cakap buruk. Tapi ramai yang cukup suka dengan perubahan drastik wanita berusia 25 tahun ini yang nampak manis.

Tak kurang juga yang melahirkan rasa terkejut dengan tindakan nekadnya ini.

Iyalah, rasanya baru sahaja melihat kelibat Diana dalam persalinan kasualnya dengan rambut beralun cantik melepasi paras bahunya baru-baru ini.

Tiba-tiba dia hadir dalam imej baru yang kini lebih terampil dan dekat dengan imej seorang muslimah.

Pertemuan dengan empunya diri baru-baru ini di sebuah restoran di Ampang membolehkan Pancaindera mengorek cerita dan luahan rasa hati wanita yang berasal dari Johor Bharu ini.

Cerita Diana, genap dua minggu bertudung, jiwanya tenang selepas dibayangi rasa takut apabila diberi ‘peringatan’ berhubung kematian dan hari kiamat.

“Banyak kali saya mimpi pasal hari kiamat. Sampai saya rasa macam nak mati. Mungkin itu petunjuk dari Allah S.W.T yang memberi jalan dan membuka pintu untuk saya segera berubah.

“Jujurnya, semasa belajar di universiti, saya memang memakai tudung. Tapi saya ni nakal, sekejap pakai kejap tidak.

“Lepas tu bila jadi pelakon, saya dah tak pakai. Alasannya sebab saya nak cari kebahagiaan duniawi. Nak cuba mana-mana watak yang saya suka dan sebagainya,” katanya.

Selain mimpi, cerita Diana, hatinya terbuka untuk berubah selepas tertarik dengan cerita sahabatnya, Adeep Fabulous Cats yang difahamkan telah berhijrah terlebih dahulu sebelum Diana.

“Adeep banyak bercakap pasal hal- hal kerohanian dan dari situ, saya tertarik untuk turut sama melakukan kebaikan.

“Lagipun saya rasa diri ini banyak dosa. Apa pun dosa yang saya buat, sudah pastilah ayah dan ibu saya yang menanggungnya.

“Tak tergamak rasanya nak bebankan ayah dengan dosa saya sedangkan ayah bagi saya adalah seorang yang baik,” ujarnya.

Ketika ini pandangan matanya mula basah dek air mata yang bergenang.

Dalam perlahan tutur Diana, hijrah yang dilakukannya ini juga tidak dilakukan atas desakan siapa-siapa.

Sebaliknya, ia memang lahir dari hati kecilnya yang mendambakan untuk berada lebih dekat dengan Maha Pencipta.

“Bukan sebab teman lelaki. Tidak! Saya tidak punyai sesiapa yang istimewa sekarang. Keluarga juga tidak mendesak. Sebaliknya ini memang pilihan saya sendiri.

“Saya tak mahu hadir dalam keadaan yang tak bersedia ketika menghadapi hari perhitungan apatah lagi dengan calitan dosa..

“Saya nak kenal agama saya, agama Islam yang saya pegang selama ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Proses yang panjang

Dalam pada itu, mohon pelakon filem 321 Cinta ini, dia tidak mahu masyarakat menaruh harapan yang keterlaluan terhadap dirinya apabila menyentuh mengenai soal hijrah ini.

Baginya, setiap perubahan yang dilakukan mempunyai proses yang bukannya singkat, tetapi berpanjangan.

Ujar Diana, ia juga bukan menyentuh mengenai isu hijab semata-mata, tetapi ia melibatkan cara bagaimana dia mencorak amalan hariannya demi mencapai keredhaan Allah S.W.T.

“Pendek kata, saya sedang belajar dan ia adalah proses. Saya sedang berusaha membetulkan solat saya.

“Bukan cuma untuk mencukupkan waktu, tapi dari segi bacaan dan kusyuknya dalam solat,” ujarnya.

Kata Diana lagi, dia juga bersyukur kerana perubahannya itu mendapat banyak sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya terutama keluarga dan teman-teman.

Malah, kata Diana, dia turut memberitahu pihak produksi MIG terutama kepada penerbit David Teoh mengenai niatnya untuk bertukar imej dan ternyata David turut memberi sokongan kuat kepadanya.

“Orang pertama yang saya maklumkan mengenai hijrah saya ini ialah David. Sangka saya pada mulanya, dia akan membangkang. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Dia kata tak apa, saya sudah matang jadi boleh berfikir dengan baik.

“Daripada situ saya fikir, tak semestinya kalau bertudung, seseorang pelakon itu dah tak diberikan tawaran lagi.

“Sebenarnya ia terletak pada rezeki. Allah S.W.T beri rezeki dalam pelbagai cara. Jujurnya, bila saya dah bertudung ni pun, tawaran masih datang pada saya. Alhamdulillah..” katanya.

Sementara itu, Diana juga memohon agar masyarakat tidak lagi mengaitkan imej dahulunya yang mungkin menimbulkan rasa kurang selesa di mata umum sebelum ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails