Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zahida trauma cari pemandu


KEJADIAN diperdaya oleh pemandu baru-baru ini, membuatkan pelakon Zahida Mohamed Rafik, 37, begitu berhati-hati untuk mempercayai orang.

Kata Zahida, kejadian yang tidak disangka itu benar-benar memberi pengajaran kepadanya agar tidak mudah terlalu percaya pada orang biarpun sudah lama dikenali.

“Siapa tahu rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Saya harap orang lain ambil iktibar atas apa yang berlaku pada saya ini.

“Sekarang kes itu masih dalam siasatan polis dan saya tidak boleh memberi sebarang komen. Tapi kalau ditanya tentang perasaan memang saya kesal kerana mudah sangat percaya pada orang. Mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya tenang.

Zahida yang ditemui pada majlis resepsi Danny X-Factor dengan Zaidatul Norfazlin Zakaria di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, sekarang ini dia lebih senang memandu kenderaan sendiri.

Sebelum ini Zahida membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kerana wang milik syarikat keluarganya berjumlah RM200,000 dilarikan pemandu peribadi selepas diarah memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun banknya.

Syarikat perniagaan keluarganya, Aliran Samudra Trading Co., itu sudah beroperasi selama lima tahun dan menjalani perniagaan seperti pembekal makanan beku, bidang keselamatan dan beberapa perniagaan lain.

Bagaimanapun kata Zahida, ada rakan yang bersimpati dan memperkenalkan beberapa calon pemandu kepadanya.

“Saya diperkenalkan dengan tiga orang calon pemandu yang memang dikenali oleh rakan-rakan. Tapi, entahlah... Saya masih trauma untuk mencari pemandu baru.

“Saya memang memerlukan pemandu untuk urusan perniagaan tapi sampai sekarang perasaan trauma dengan pemandu belum hilang.

“Tunggulah bila hati saya kembali tenang, barulah saya fikir ambil pemandu. Jadi kalau nak kemana-mana sekarang ini, minta tolong kawan-kawan sahaja,” katanya terus terang.

Tawaran berlakon

Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie berkata, kali terakhir dia beraksi adalah untuk filem Indonesia, May, terbitan 2008.

Pelakon kacukan Melayu-Pakistan itu berkata, dia amat merindui bidang lakonan namun setiap kali menerima tawaran sering bertentangan dengan jadual kerja.

“Saya tidak pernah berhenti berlakon cuma masa saya tidak mengizinkan. Bayangkan macam mana saya nak berlakon, kalau dapat tawaran tatkala sibuk dengan urusan bisnes.

“Memang ada beberapa tawaran tapi seperti yang dikata tadi, waktu tidak bersesuaian. Tengoklah kalau ada kelapangan, pasti saya berlakon," katanya terus terang.

Pada pertemuan itu sempat diaju soalan pada Zahida, tidakkah dia ingin mengikut jejak langkah rakan-rakan lain menuju ke gerbang perkahwinan.

Sambil tersenyum Zahida berkata, dia sudah ada teman rapat yang dikenali sejak tujuh tahun lalu. Cuma ketika ini mereka belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

“Setakat ini dia faham dengan kedudukan saya yang sibuk menguruskan perniagaan keluarga. Malah dia juga sibuk dengan perniagaannya.

“Entahlah, kalau nak rasai suasana berumah tangga, agaknya sudah lama saya melalui itu. Mana taknya, saya masih lagi menetap bersama keluarga. Kat rumah saya itu, hari-hari bising dengan gelak tawa anak saudara seramai lima orang. Mereka adalah penghibur hati saya,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails