Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Detik terindah Misha

HARI Jumaat, 2 Mei 2014 bersamaan 2 Rejab 1435. Cuti hujung minggu menjadikan bandar Kota Bharu, Kelantan cukup tenang. Malah mungkin lebih tenang daripada kebiasaan. Suasana itu seolah-olah menggambarkan ketenangan sanubari Misha Omar saat figura pelantun lagu 'berhantu', Bunga-Bunga Cinta ini sah bergelar isteri kepada Firos Ezzwan Rossly tepat pukul 9.30 pagi. Sebelum ini, dia mungkin pernah tunduk dan menangis apabila diuji dengan kehilangan bapa tersayang serta majlis pernikahan yang terpaksa ditangguh beberapa kali. Episod duka itu berterusan apabila dia juga dituduh berstatus janda kerana pernah berkahwin. Kali ini, air mata Misha tumpah lagi. Bezanya, dia kini sudah mampu mendongak dengan bibir yang tidak lekang dengan senyuman bahagia. Deraian air matanya pula mengalir untuk meluah jutaan rasa gembira dan kesyukuran kerana akhirnya, cinta mereka berdua tersimpul rapi menerusi ikatan perkahwinan yang sah. “Ketika suami mengucup ubun-ubun, saat itu bagaikan satu pengalaman baharu yang amat menakjubkan bagi saya," ujar Misha, ringkas namun mendalam. Misha, 32, atau nama sebenarnya, Samihah Omar bergelar isteri yang sah kepada Firos, 32, seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) dari Subang Jaya dengan hanya sekali lafaz. Majlis akad nikah itu berlangsung santai di Hotel Renaissance, Kota Bharu dan disempurnakan oleh abang Misha yang juga walinya, Mohd. Rose sambil disaksikan Imam Mukim Chempaka, Ahmad Khamil Mat. Misha yang tampil anggun dengan busana serba putih rekaan Syaiful Baharim menerima lima dulang hantaran, manakala Firos yang segak berbaju Melayu moden turut membalas lima dulang hantaran. Uniknya pernikahan mereka, Misha menerima sepasang gelang emas sebagai mas kahwin daripada insan tercinta manakala tiada wang hantaran disediakan. Dalam majlis yang diacarakan oleh Adibah Nor itu, rakan artis iaitu Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nadzir bertindak sebagai pembawa dulang serta pengapit pengantin perempuan. Kelibat penyanyi Amy Mastura dan Salamiah Hassan serta penggiat seni lain juga kelihatan untuk memberi sokongan dan berkongsi kebahagiaan kedua-dua mempelai. Misha yang kini popular dengan single terbaharu, Angin Syurga dalam pada itu turut menerima kejutan istimewa daripada ibu Firos, Asmah Kenin apabila menerima seutas rantai emas sebagai hadiah perkahwinan. Mereka diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di hotel sama pada sebelah malam manakala pihak lelaki memilih 12 Mei ini untuk meraikan mereka di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails