Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Istana Budaya Jawab Tuduhan Bunga Citra Lestari

Tuntutan bayaran yang tinggi menjadi punca penganjur konsert Stanza Cinta iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Istana Budaya tidak dapat memberi ruang kepada penyanyi dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari untuk menyertai persembahan itu. Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, penganjur dan juga artis berkenaan juga tidak pernah menandatangani sebarang kontrak sebagai tanda persetujuan untuk membawa artis berkenaan ke negara ini. "Kami menghubungi Bunga untuk bertanya tentang bayaran dan harga dia agak tinggi, sementara pihak UUM tidak mampu untuk membayarnya dengan harga itu. "Tidak lama selepas itu kami terus menghubunginya semula dan membatalkan hasrat tersebut. Tiada sebarang kontrak dibuat antara kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu. Mohamed Juhari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bunga Citra Lestari yang melahirkan rasa terkilan tidak dapat menjayakan Konsert Stanza Cinta di Istana Budaya pada 4 dan 5 April lalu.
Bunga juga mendakwa dia telah menolak beberapa tawaran di Indonesia bagi menjayakan konsert tersebut. Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, konsert Stanza Cinta yang dianjurkan bukan sebuah persembahan kormersial seperti konsert Afgan, Marcell dan Dayang Nurfaizah sebaliknya sebuah konsert ulang tahun dianjurkan universiti. "Ia sebuah konsert yang memperuntukan bajet rendah tetapi saya yang memberi idea untuk membawa Bunga dalam konsert itu kerana dia ada nilai kormersial. "Namun apabila harga tinggi, ia tidak mencapai persetujuan pihak universiti dan akhirnya kami menggantikan dia dengan penyanyi tempatan sahaja," katanya. Konsert Stanza Cinta yang berlangsung pada 4 dan 5 April lalu itu dijayakan oleh Jaclyn Victor, Amy Search, Noh Salleh, Adira dan Haziq. Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, belum ada sebarang perancangan untuk membawa artis Indonesia untuk beraksi di pentas Istana Budaya buat masa ini. "Kutipan sangat perlahan untuk konsert. Konsert Glenn Fredly yang sepatutnya berlangsung malam ini (Rabu) terpaksa dibatalkan kerana kurang sambutan," ujarnya.

Adam (AF2) & Fiza (Elite) Cerai Talak Satu Selepas 7 Bulan Nikah

Pasangan selebriti Adam (AF) dan Fiza (Elite) sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada tengah hari Isnin selepas tujuh bulan menjadi suami-isteri. Lafaz cerai dilakukan dihadapan hakim syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi kira-kira pukul 1.05 petang mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia dan Fiza bercerai secara baik tanpa sebarang tuntutan. "Ya, hari ni sudah jatuh talak. Dan itulah ia," katanya ringkas selepas selesai prosiding kes perceraian mereka.
Fiiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, pula menyifatkan mereka sudah tiada jodoh selepas pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga dilakukan. "Saya anggap kami tiada jodoh. Siapa yang nak bercerai bukan? Tambah pula ini adalah perkahwinan saya yang kedua. "Saya reda dengan ketentuan Allah," katanya. Terdahulu suasana di ruang mahkamah menjadi kecoh apabila Fiza memohon kepada mahkamah agar mengarahkan para wartawan tidak berada di dalam ruang mahkamah. Fiza berkata, dia enggan kisah peribadinya bersama Adam didedahkan pihak media kepada umum. Permohonan itu kemudiannya dibenarkan oleh Tuan Muhamad Nazri. "Saya memohon agar kes kami dibicarakan tanpa wartawan atau pihak-pihak lain dalam ruang mahkamah ini. "Ini adalah atas alasan saya seorang selebriti yang dikenali. Saya tidak mahu masyarakat tahu tentang hak peribadi kami," kata Fiza sebelum bermulanya prosiding. Adam dan Fiza tiba di mahkamah sekitar pukul 12 tengah hari dan prosiding kes penceraian mereka bermula kira-kira 45 minit kemudian.
Pasangan itu telah bernikah pada 26 September tahun lalu hanya selepas dua bulan berkenalan. Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010. Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5. Ia merupakan perkahwinan pertama buat Adam.

Almy Nadia Menangis Sepanjang Majlis Pernikahan

Aktres Almy Nadia mengakui terlalu gemuruh sehingga menitiskan air mata sepanjang berlangsungnya majlis pernikahannya bersama aktor Fizz Fairuz yang berlangsung di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang pada petang Sabtu. Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, dia berasa risau sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini memandangkan pelbagai dugaan dan cabaran yang dilaluinya bersama Fizz, 35, sebelum ini. "Alhamdulillah, kami sangat lega dan gembira akhirnya disatukan bersama. Sukar untuk saya ekspresikan bagaimana rasa perasaan itu. "Sepanjang majlis pernikahan berlangsung, saya tidak henti-henti menangis. Risau dengan segala kemungkinan yang terjadi," katanya kepada mStar Online yang dihubungi di sini pada Sabtu.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 35, sah bergelar suami kepada aktres Almy Nadia dengan sekali lafaz pada Sabtu dengan mas kahwin sebanyak RM1,001. Fizz turut memberikan Almy wang hantaran RM20,000. Pasangan itu telah menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun. Sepanjang tempoh percintaan itu mereka pernah putus dan menjalinkan hubungan semula. Dalam pada itu, Almy turut memiliki seorang anak angkat bernama Nur Afrina Darwisya, berusia lima tahun. Beritahu Almy, buat masa ini mereka belum mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja lakonan. "Kami tak rancang apa-apa pun, rancang kahwin sahaja. Yang lain-lain tak terfikir pun sebab Isnin ini Fizz akan sibuk di lokasi penggambaran. "Yang penting kami dah kahwin. Jadi tiada lagi soalan daripada media mahu pun sesiapa sahaja iaitu bila nak kahwin?" selorohnya. Majlis resepsi pasangan itu akan berlangsung pada 30 Mei depan di Hotel Vistana, Pulau Pinang.

Bina rumah untuk bakal isteri - Hans Isaac

TELAH banyak usaha yang dilakukan jejaka berusia 41 untuk melayakkan dia bergelar suami. Selain bersedia mengubah cara hidupnya, Hans Isaac juga sedang dalam perancangan untuk membina rumah buat bakal isterinya kelak. Si bujang ini dalam realiti kehidupannya kini melalui gaya hidup sama seperti lelaki yang sudah berkeluarga. Menjelaskan yang dia akan mengumumkan satu keputusan besar pada penghujung tahun ini, tentunya ramai yang mendoakan agar ada khabar gembira disampaikan. Apakah si cantik Neelofa orangnya? Opsss... Hans hanya ketawa dan cuba mengelak dalam temubual oleh wartawan Aida Rizmariza Kamaluddin. Apa cerita terkini Hans? Katanya sudah ada buah hati baharu, boleh mendedahkan siapa cinta hati itu? HI: Selepas apa yang berlaku sebelum-sebelum ini semua orang tahu saya menjadi sedikit berahsia. Apa juga status saya sekarang, biarlah rahsia. Hanya boleh berkongsi bahawa sekarang ini saya sedang gembira dengan kehidupan ini. Memang sekarang ini saya banyak tumpukan perhatian kepada soal kehidupan peribadi, berbeza dari dahulu. Sekarang saya mahu seimbangkan semua. Jadi, pegangan hidup saya kini "Work smart not hard". Hits: Apa yang berbeza tentang Hans dahulu dan sekarang? Jika dahulu saya kerja 18 jam sehari. kini saya ambil pendekatan berbeza. Selepas waktu makan tengah hari, saya akan buat aktiviti lain dan bukan lagi bekerja. Memang orang nampak saya masih bujang tetapi sebenarnya sekarang saya sudah melalui kehidupan bagaikan lelaki yang sudah berkeluarga. Dulu saya mengejar sesuatu dalam kerjaya, tetapi sekarang fikiran saya tidak minat dalam soal itu lagi. Ini masa yang sesuai untuk saya utamakan kehendak peribadi. Bila sebenarnya Hans akan menamatkan zaman bujang? Saya bukan jenis berkawan setahun dan terus ajak berkahwin. Saya juga tidak akan sama sekali 'menggunakan' pasangan saya, jadi memang tidak akan nampak saya berdua di mana-mana majlis. Saya memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun. Apa-apa juga keputusan akan diketahui pada Disember ini. Apa lagi persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga? Saya dalam usaha untuk membina rumah baharu. Memang sekarang ini saya sudah ada rumah sendiri tetapi kalau boleh saya mahu yang lebih luas. Dan saya akan hadiahkan rumah ini kepada isteri saya. Sebesar mana rumah itu nanti, tengok kemampuan saya. Wah... beruntungnya wanita itu, bukan? Jangan cakap begitu. Saya pun ada 'perangai' saya sendiri yang perlu bakal isteri saya itu hadapi. Dalam soal ini saya tidak boleh fikir diri saya seorang, begitu juga dia. Kami kena saling berfikir untuk saling membahagiakan. Hans sebelum ini memang yakin tidak akan menerbitkan filem Melayu lagi, bagaimana sekarang? Apa aktiviti seni baharu? Saya masih dengan pendirian saya, bagaimanapun soal itu tidak akan menyentuh lakonan. Saya masih boleh berlakon dalam filem Melayu, tetapi bukan menerbitkannya. Kami juga dalam perancangan untuk mementaskan semula Teater Muzikal Supermokh pada 8 hingga 21 September depan di Istana Budaya. Kali bezanya harga tiket itu akan sedikit lebih murah dari sebelum ini.

Nurul berniaga pula

AGAK lama juga Nurul Huda Abdul Wahab, 37, tidak muncul dengan album baharu dan gara-gara itu, ramai yang beranggapan dia kurang aktif dalam bidang seni. Tambahan pula sejak melahirkan Zachary Depp pada 9 Oktober 2013, dia pasti sibuk mengurus anak keduanya, selepas Ayu Nazirah Mohd. Faizal, yang sudah berusia 15 tahun itu. Isteri kepada Eric Daniel Depp, 48, itu berkata, walaupun tanpa produk baharu, dia tetap mendapat undangan mengadakan persembahan. "Saya masih aktif cuma tidak ada album baharu saja. Sekarang ini saya sedang tunggu Shila Amzah buat lagu. Saya faham dia tengah sibuk sekarang ini, lambat pun tak apa kerana saya tahu kalau dia buat kerja mesti yang terbaik. "Lagipun sekarang ini saya sibuk dengan perniagaan atas talian. Saya baru sahaja lancar jualan baju kurung Pahang di bawah jenama Newrules Collection," ceritanya kepada Hits. Menurut Nurul, sudah lama dia berangan untuk menjual baju dengan jenama sendiri dan idea itu baru sahaja terlaksana. "Sebenarnya idea nak jual baju kurung Pahang timbul selepas saya hadiahkan sepasang baju kepada mertua. Dia kata baju tu cantik dan mencadangkan saya supaya menjual. "Dari situ saya tergerak untuk buat jualan baju kurung Pahang. Lagipun saya memang ada tukang jahit yang sudah lama menjahit baju kurung untuk saya iaitu kakak angkat, kak Sha. Baju jahitannya memang selesa dipakai," katanya. Bermula dari situlah, Nurul mengambil inisiatif untuk mempamerkan baju jahitan Sha di atas talian dan katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan. "Kami menjual 12 jenis rekaan yang diperbuat daripada kain kapas, linen dan grid dalam tiga saiz (L,M,S) dengan pelbagai warna. Saya bukan setakat menjual, sebelum digunting menjadi baju, saya dan Kak Sha sama-sama pergi membeli kain. "Walaupun baharu dibuka tetapi permintaan amat menggalakkan. Harga yang kami tawar untuk sepasang baju adalah RM280 termasuk wang hantaran sekali. Biarpun permintaan banyak, saya tidak ada masalah kerana kak Sha cekap dalam kerja-kerjanya," jelas Nurul. Rupa-rupanya, di waktu yang sama Nurul juga cuba mengintai untuk berniaga kasut pula. Katanya, dia memilih untuk menjual kasut kerana kesukaannya yang suka mengumpul kasut. "Saya pilih produk yang saya suka dan tahu, macam kasut ni. Buat permulaan, saya hanya ubah sedikit sahaja rekaan kasut sedia ada di kilang. Sebenarnya saya ada beberapa rekaan kasut, sekarang ini tunggu masa yang sesuai sahaja untuk dihasilkan. "Cukuplah setakat ini niaga baju kurung Pahang, kasut dan air beralkali. Disebabkan sibuk dengan bisnes ini, saya terpaksa tangguh dulu untuk rakam single baharu. Lagipun Shila sibuk dengan kerjaya dia, jadi saya pun tidak kisah. Sebenarnya bila sudah berniaga ini, seronok pula dan lagipun, suami sentiasa memberi sokongan," katanya terus terang.

Selesa bawa anak ke lokasi

"CAHAYA mata itu amanat daripada Yang Maha Esa." Begitulah ungkapan yang tertanam dalam diri pengacara dan pelakon kecil molek Shera Aiyob ketika berbicara mengenai putera sulungnya, Nadi Anaqi yang kini sudah berusia sepuluh bulan. Bertemu dengan pelakon kecil molek di lokasi penggambaran drama Masihkah Ada Kasih di Putrajaya baru-baru ini, Shera kelihatan gembira dan bahagia di sisi anaknya. Sesekali, ada masa rehat dia akan menjenguk Anaqi yang ditinggalkan bersama emak saudaranya ketika berada di lokasi penggambaran. Sebenarnya, begitulah rutin harian Shera setelah bergelar seorang ibu. Tekad Shera untuk tidak sesekali leka dalam menunaikan tanggungjawab bergelar ibu walaupun sibuk dengan kerjaya. Begitu juga dengan suaminya, Zahiril Adzim yang juga seorang pelakon. Komitmen menjaga anak yang masih kecil tanpa bantuan orang lain juga bukan satu bebanan yang memeritkan rutin kehidupan berkeluarga buat dirinya. "Saya lebih selesa menjaga anak tanpa bantuan pengasuh atau menghantar ke taska untuk dijaga. Atas permintaan suami dan keluarga, kami mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan Anaqi kepada orang lain. "Saya sanggup berkorban asalkan tidak menyusahkan keluarga saya mahupun keluarga mertua dalam soal penjagaan anak. Selepas habis pantang, saya terus memulakan penggambaran. Saya bawa Anaqi ke set kerana dia masih menyusu badan. Suami akan upah orang gaji sementara dan hanya akan menjaga Anaqi ketika dalam set," tutur Shera.
Suami restu kerja Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Shera berkata, suami sangat merestui apa yang dilakukan. Malah keputusan untuk menerima tawaran bergantung pada dirinya sendiri. "Suami tidak pernah melarang. Dia cuma nasihatkan saya untuk bertahan kerana cabaran terbesar buat diri saya adalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan anak. Memang Zahiril memahami kerjaya saya dan tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang lakonan. Dia akan menyokong apa jua keputusan saya, asalkan tidak mengabaikan anak," katanya. Dalam pada itu, Shera berkata, suaminya juga akan menjaga anaknya jika ada masa terluang dan merasakan dirinya beruntung kerana dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka. "Suami saya banyak membantu, dia boleh menjaga Anaqi dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya jika ada kelapangan, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Shera lagi. Disoal pula berkenaan watak yang diidamkan, Shera berkata, dia mengimpikan watak kasar yang tidak keterlaluan. "Watak itu yang betul-betul saya inginkan memandangkan saya sering membawakan watak sebagai wanita lembut. Saya mahu watak yang menguji lakonan saya lepas ini," jelasnya. Berkenaan watak yang dibawakan dalam drama 40 episod, Masihkah Ada Kasih itu, Shera membawakan watak Manisah, seorang wanita yang lemah-lembut tetapi tegas untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya. Takut ambil pembantu rumah Ketika ditanya sebab utama membawa anak ke lokasi penggambaran, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahirah Aiyob, 28, kes penderaan yang semakin meningkat membuatkan dia dan suami juga tidak mempercayai khidmat pembantu rumah bagi mengurus keperluan anak sulung mereka. "Zahiril tidak mahu ambil pembantu, dia takut kerana banyak kes penderaan oleh pembantu rumah yang kita dengar sekarang. Oleh itu, saya memilih untuk membawa Anaqi dan gembira dia membesar depan mata saya sendiri. Nasib baik Anaqi seorang bayi yang tidak banyak kerenah. "Dia (Anaqi) hanya akan menangis apabila bila lapar dan mahu tidur," katanya. Malah, kata Shera, suaminya juga melarang dia menonton video-video kes dera yang semakin berleluasa. "Suami memang tak bagi saya melihat klip-klip video kes dera. Kalau dia tahu, dia akan marah. Sebab itu juga, sampai sekarang saya takut untuk mempercayai orang yang tidak dikenali," ujarnya biarpun ada terfikir untuk mengambil orang gaji. Ditanya mengenai perkembangan anaknya, Shera berkata, Anaqi kini sudah pandai mengenali orang sekeliling berdasarkan reaksi yang ditunjukkan. "Kalau dia kenal orang itu, dia akan ketawa, kalau tak kenal, dia akan jadi takut," kata Shera sambil memberitahu Anaqi lebih rapat dengan dirinya berbanding Zahiril.

Linda Hashim Bersalin, Nama Anak Jelita Clarissa

Isteri kepada pelakon Beego iaitu Linda Hashim selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.62 kilogram pada pukul 12.20 pagi Rabu. Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 34, berkata, isterinya yang kini berada di Hospital Pakar KPJ Tawakkal dekat sini, bersalin secara normal dan kini berada dalam keadaan baik. "Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan bayi kami dengan selamat awal pagi tadi dan semuanya berada dalam keadaan baik," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Beego memberitahu, dia dan isterinya sepakat memberikan nama Jelita Clarissa kepada bayi mereka yang membei maksud 'Jelita Yang Jelas'.
Pelakon itu juga memberitahu dia dan isterinya menitiskan air mata apabila Jelita selamat dilahirkan selain berasa cukup gembira dengan kehadiran Jelita kerana ia melengkapi rumah tangga mereka. "Perasaan saya sangat terharu apabila pertama kali lihat Jelita malah saya dan Linda menangis, syukur semuanya selamat dan berharap Jelita akan dipelihara kesempurnaannya oleh Allah," jelasnya. Beego dan Linda berkahwin pada 8 Jun tahun lalu selepas menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun.

Wardina Dengar Penjelasan Ustaz Don, Gantung Status FB

Keraguan pelakon Wardina Safiyyah mengenai kesahihan ceramah agama Ustaz Don yang dikatakan menggunakan hadis-hadis palsu terjawab apabila dia dapat bercakap dengan penceramah itu. Wardina berkata, ustaz tersebut telah memberi penjelasan dan menjawab kemusykilan yang timbul selain dia juga turut meminta maaf terhadap isu berkenaan yang menjadi kontroversi. "Saya sudah berhubung secara peribadi dengan Ustaz Don melalui telefon dan dia sudah memberi penjelasannya. "Hanya Allah lebih tahu segala-galanya dan saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa. Wardina juga enggan mengulas secara terperinci apa yang dibualkan dengan ustaz berkenaan. Dalam pada itu, Wardina berkata, dia mengambil pendekatan memohon maaf kepada Ustaz Don apabila banyak pihak mengehentamnya selepas dia bertindak berkongsi rakaman kompilasi video ceramah yang dikatakan mengaibkan ustaz tersebut. Sementara itu, pelakon Spanar Jaya itu memberitahu dia tidak akan memuat naik sebarang status lagi dan menyerahkan pengendalian laman Facebook miliknya kepada pihak pengurusan buat sementara waktu. Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang provoksi yang ditimbulkan oleh pengguna laman sosial itu yang boleh memburukan lagi keadaan. "Saya tidak akan muat naik apa-apa status buat masa ini bagi meredakan keadaan, semua perkara tentang laman sosial ini akan dikendalikan oleh admin," katanya. Pada 16 April lalu, Wardina telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya dengan mempersoalkan kandungan ceramah Ustaz Don melalui video yang telah tersebar di Internet. Bagaimanapun, kenyataan tersebut disalah tafsir dan mendapat reaksi negatif daripada segelintir pelayar laman sosial dengan menganggap Wardina cuba mengaibkan ustaz berkenaan. Bagaimanapun Ustaz Don dalam reaksi balasnya menerusi rakaman video menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu fitnah apabila rakaman ceramahnya yang disebarkan itu merupakan kandungan yang sudah diedit. Ustaz Don atau Don Daniyal merupakan hos bagi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di TV AlHijrah.

"Tiada Siapa Boleh Campur Urusan Lakonan Saya" - Nelydia Senrose

Pelakon Nelydia Senrose menjelaskan keputusan menerima tawaran bagi melakonkan adegan romantik atau mesra dalam sesebuah drama atau filem merupakan keputusannya sendiri tanpa melibatkan pihak lain termasuklah kekasihnya Qi Razali. Nelydia, 20, berkata, sebagai wanita yang sudah dewasa, dia tahu menjaga batasan ketika berlakon asalkan ia tidak menjejaskan maruah diri dan keluarga. "Segala keputusan menerima sesebuah tawaran adalah daripada diri saya sendiri. Dia (Qi Razali) tiada hak untuk tentukan limit kepada saya. Dia pun tak pernah meletakkan apa-apa batas kepada saya apabila saya berlakon. Tak perlu ada orang untuk mengajar saya untuk masuk campur urusan lakonan saya. Soal personal saya, ia letak tepi,” katanya kepada mStar Online. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang adegan mesra antara dia dengan pelakon utama drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta Sharnaaz Ahmad yang dikatakan keterlaluan. Adegan-adegan tersebut didakwa menimbulkan perasaan cemburu oleh kekasihnya Qi Razali apabila melihat gambar-gambar lakonan mereka dimuat naik oleh pelakon lelaki tersebut di laman sosial Instagram. Katanya, dalam hubungan percintaan salah faham merupakan sesuatu yang normal, bagaimanapun perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik.
Dalam pada itu, Nelydia turut mengakui ada beberapa babak lakonannya bersama Sharnaaz yang agak keterlaluan. Namun, katanya ia hanyalah sebagai memenuhi tuntutan watak yang tertulis dalam novel asalnya. "Ya, saya akui ada babak lakonan kami yang agak keterlaluan, tetapi itu hanya kehendak novel yang memerlukan kami memberikan yang terbaik", katanya. Bercerita tentang pengalaman melakonkan watak Mastura dalam drama tersebut, Nelydia berkata ada babak yang membuatkan dia malu untuk melakonkannya. Katanya, babak yang memerlukan dia mengusap perut dan bercakap dengan bayi yang dikandungnya itu membuatkan dia segan dengan diri sendiri. "Saya tidak pernah mengandung, banyak kali diulang kerana saya sukar untuk fokus dan segan dengan diri sendiri," ujarnya. Drama bersiri 60 episod itu dibarisi pelakon seperti Iqram Dinzly, Datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Adeline Tsen dan Tony Eusoff. Ia telah disiarkan sejak 9 Disember 2013 di Astro Mustika

Tidak Mungkin Elaine Daly Cintakan Hans Isaac

Pelakon dan pengacara Elaine Daly menegaskan dia tidak mungkin kembali bercinta dengan Hans Isaac kerana sudah menganggap pengarah dan aktor itu seperti abang kandungnya. Elaine menjelaskan khabar angin mengatakan mereka kembali bercinta selepas Hans memuat naik gambar mereka bersama keluarga masing-masing menikmati makan malam bukan suatu isu besar. "Cerita tentang percintaan kami sudah berlalu hampir 12 tahun namun hubungan kami masih akrab seperti adik-beradik malah saya menganggapnya seperti abang. "Malah kami sering berjumpa dengan disertai oleh ahli keluarga lain kerana hubungan kami semua memang rapat dan teman lelaki saya turut menyertai pertemuan itu," katanya kepada mStar Online. Elaine ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu musim bunga dan panas jenama Dressing Paula di G Tower dekat sini, Rabu. Selain Elaine, antara selebriti lain yang turut hadir pada acara itu adalah Daphnie Iking, Atilia dan Julie Woon. Dalam pada itu, bercakap mengenai kekasihnya, Elaine berkata, dia tidak pernah mengimpikan akan bertemu seorang lelaki yang disifatkan cukup penyayang dan romantik terhadapnya.
Jelas Elaine, biarpun baharu sahaja mengenali lelaki yang berasal dari Afrika Selatan itu namun hatinya tertarik dengan sifat yang ada padanya. "Saya kagum dengannya kerana dia berjaya membuatkan saya bercakap tentang dia secara terbuka dan saya berada dalam fasa yang sangat bahagia. "Kebaikannya, sifat romantis dan keterbukaan dia menerima saya seadanya membuatkan saya tahu dia adalah cinta sejati saya," katanya. Jelas Elaine lagi, dia bertambah kagum dengan teman lelakinya itu kerana fasih berbahasa Malaysia selain mengetahui pelbagai perkara tentang negara ini. "Dia adalah seorang doktor dan telah menetap di Malaysia selama 10 tahun malah boleh menyanyikan lagu Negaraku dengan baik selain menghafal Rukun Negara. "Ia membuatkan hubungan itu bertambah mudah kerana dia faham budaya kita sebagai rakyat Malaysia," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Elaine yang juga salah seorang Pengarah Urusan Kebangsaan, Miss Universe Malaysia berkata, dia kini sibuk dengan pelbagai aktiviti untuk pertandingan itu tahun ini. Malah kata Elaine, pihaknya akan menjelajah ke seluruh Malaysia bermula Mei depan bagi mencari calon pertandingan tersebut. "Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tahun ini kami akan mencari di seluruh Malaysia calon sesuai untuk pertandingan tersebut. "Fokus kami bukan sahaja tentang kecantikan tetapi melihat kepada pakej keseluruhan yang dapat diketengahkan pada peringkat antarabangsa," ujarnya. Malah kata Elaine, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengumumkan projek terbaharu itu.

Sharnaaz Enggan Mati Tak Tutup Mata Kerana Lisdawati

Pelakon Sharnaaz Ahmad ingin bersemuka dengan aktres Lisdawati dan suaminya Fauzi Nawawi selepas wanita itu selamat bersalin bagi menyelesaikan isu pertelingkahan di antara mereka ketika penggambaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta. Sharnaaz, 29, berkata, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sehingga mampu menjejaskan kesihatan Lisdawati yang kini sedang sarat mengandung anak ketiga. “Pergaduhan saya dan Lisdawati itu biarlah berlalu, tetapi saya rasa ia patut diselesaikan kerana saya tidak mahu kalau saya mati, mata tidak tertutup rapat. “Tapi tunggu masa yang sesuai mungkin selepas dia beranak dahulu baru bincang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Encorp Strand Mall, di sini, malam Selasa lalu. Sharnaaz berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi antara dia dan Lisdawati apabila wanita itu mendakwa diserang dan diugut Sharnaaz ketika penggambaran drama berkenaan. Dalam kejadian Februari lalu itu, Lisda membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi sebagai langkah keselamatan. Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia enggan memanjangkan dan bercakap tentang perkara tersebut lagi. Tak Perlu Tunggu Sehingga Bersalin - Lisdawati Sementara itu, pelakon Lisdawati yang dihubungi berkata, Sharnaaz tidak perlu menunggu sehingga dia bersalin untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Kata Lisda, banyak cara dan teknologi terkini yang membolehkan aktor itu menghubunginya jika benar-benar berniat untuk berbuat demikian. "Saya tidak mahu panjangkan hal ini jika dia tidak buka mulut lagi, tetapi kalau dia kata ingin berdamai tidak perlulah nak tunggu sampai saya bersalin. "Banyak cara kalau ingin berjumpa atau telefon sahaja kalau benar-benar ikhlas untuk bersemuka dan berdamai," katanya.
Tambah Lisda, sebagai pelakon lebih senior dia lebih lama dalam industri dan pernah melalui pelbagai kontroversi lebih teruk daripada itu. Sementara itu, Lisda, dia tidak dapat hadir pada tayangan episod akhir drama tersebut berikutan keretanya mengalami kerosakan dan terpaksa dihantar ke bengkel. "Saya sudah siap-siap nak datang tetapi kereta pulak buat hal dan terpaksa ke bengkel untuk dibetulkan, pada mulanya memang saya ingin menonton bersama-sama dan bertemu peminat drama itu," katanya yang kini sarat mengandung lapan bulan. Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta mula disiarkan sejak 9 Disember lalu pada setiap Isnin hingga Rabu bermula pukul 10 malam di Astro Mustika (saluran 134).

Juliza Adzlizan Bertudung, Tiada Lagi Baju Seksi

Penyanyi Juliza Adzlizan memberitahu keputusannya untuk tampil sopan dengan imej bertudung bukan kerana melalui kejadian-kejadian aneh seperti segelintir individu atau sengaja mahu mengikut trend terkini. Sebaliknya, Juliza, 47, berkata, penghijraan tersebut dilakukan selepas dia merasakan sudah bersedia menjadi seorang muslimah yang mengamalkan tanggung jawab dengan sempurna. "Saya sudah lama berniat untuk bertudung tetapi banyak sahaja kekangan terutamanya daripada segi pemakaian. Banyak koleksi pakaian saya yang kurang sesuai untuk dipakai dengan tudung. "Jadi saya terpaksa ambil masa beli pakaian yang sesuai sikit-sikit dan tudung, lagipun saya jarang keluar rumah, sepanjang masa saya duduk rumah sahaja buat kek," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu. Tambah Juliza, dia mula merancang untuk bertudung sejak beberapa bulan lalu, terutama sekali ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan. Bagaimanapun, baharu semalam (Selasa) dia mengakui benar-benar yakin untuk muncul dengan imej tersebut. "Beberapa bulan lalu saya dah pakai tetapi untuk ke majlis-majlis tertentu sahaja, bila saya pakai saya rasa diri saya sempurna dan lengkap. "Semalam baru saya pakai betul-betul dan yakin dengan keputusan saya ini, bukan apa, saya tidak mahu hanya pakai tudung tetapi amalan agama yang wajib masih lagi tidak bersedia. "Saya mahu bila saya berubah dalam keadaan yang saya sendiri sudah kuat keyakinan dan bersedia untuk mengamalkan ajaran Islam dengan baik," katanya yang mengakui tidak pernah memikirkan trend tudung yang ingin digayakan. Tambahnya, keputusan itu turut mendapat sokongan dan reaksi positif daripada suami dan anak-anaknya. Dalam pada itu, tambah Juliza, sejak tidak aktif dalam industri hiburan, banyak baju-baju seksi yang pernah dipakainya diberikan kepada orang.
Katanya, dia kini banyak membeli baju yang besar seperti baju kurung dan jubah yang senang untuk dipakai. "Baju-baju lama saya semua sudah saya beri pada orang. Lagi pula saiz baju sekarang sudah tidak muat lagi untuk saya pakai. "Sejak duduk di rumah badan saya semakin membesar, jadi saya lebih selesa sarung baju yang senang dipakai seperti baju T, baju kurung dan jubah untuk kemana-mana," katanya. Sementara itu, Juliza berkata dia kini sibuk dengan perniagaan kek secara dalam talian. Pada mulanya, dia mengambil tempahan secara 'suka-suka', bagaimanapun ia menjadi perniagaan serius apabila kek tersebut mendapat permintaan ramai. "Saya buat untuk anak-anak sahaja dan bila ada kawan yang ingin tempah saya buat juga. Namun apabila orang bercakap daripada mulut ke mulut kata kek saya sedap, ramai pula yang ingin buat tempahan. "Tiga bulan pertama sejak Oktober tahun lalu saya sudah buat lebih 100 biji kek dan saya sangat tidak sangka ia menjadi semakin serius ketika ini," katanya yang terpaksa mengambil kelas seni dekorasi kek. Juliza berkata, dia kini sedang mencari pembantu bagi membuat persiapan untuk tempahan kek pada bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti. Dia mengakui bersyukur kerana minat tersebut mendapat sokongan suami yang banyak membatu melakukan kerja-kerja rumah apabila dia sibuk di dapur. "Pada awalnya memang suami saya tidak faham dan rimas melihat rumah bersepah bila saya sibuk membuat kek, namun lama kelamaan dia pula yang bantu saya. "Dia tahu saya hanya sibuk pada akhir minggu sahaja, jadi dia akan balik awal dan banyak tolong buat kerja-kerja rumah," katanya.

Fiza (Elite) Minta Tidak Dicaci Berhubung Isu Cerai

Pelakon Fiza (Elite) meminta semua pihak tidak mencacinya selepas berita dia memfailkan perceraian terhadap suaminya penyanyi Adam (AF2) tersebar. Fiza atau nama sebenar Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 32, berkata dia menyedari sebagai seorang artis segala berita tentang masalah peribadi akan diketahui umum. “Saya manusia biasa yang tidak lepas daripada kesilapan. Cuma apa yang kami buat ada yang tidak puas hati dan menghentam, saya tidak salahkan mana-mana pihak kerana nama pun public figure. “Tetapi saya agak sedih dan terkilan bila baca blog tentang saya, ada yang cakap semua ini salah saya, saya 'masuk air', saya itu dan saya ini, bukan saya minta untuk jadi begini,” katanya melalui status terbaharu laman sosial Instagram miliknya. Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Fiza memfailkan permohonan cerai terhadap Mohd Aizam Mat Saman, 31, atau Adam (AF2) selepas rumah tangga mereka dikatakan menghadapi masalah. Sumber berkata, kes mereka akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam dekat sini pada Isnin depan. Fiza juga sejak beberapa minggu ini sering meluahkan perasaan melalui laman sosial Instagram miliknya iaitu menggunakan nama 'puterimahsuri81'.
Sementara itu, Fiza berkata, cacian dan tomahan yang diberikan terhadapnya akan memberi kesan terhadap pembesaran anak-anaknya.Fiza meminta agar masyarakat memberi sedikit rasa simpati terhadap dia dan anak-anak untuk melalui masa-masa sukar ini. “Tolonglah jangan hukum saya dengan pelbagai cacian dan tomahan, perkara dahulu jangan diungkit lagi. “Saya ada anak-anak, apa akan jadi bila anak saya besar nanti dan tahu hal ini? Berilah sedikit rasa simpati terhadap saya, anak-anak dan keluarga saya,” pintanya. Adam dan Fiza bernikah pada 26 September tahun lalu hanya selepas dua bulan berkenalan. Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010. Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq, mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4.

Mercedes Hadiah Ulang Tahun Perkahwinan Ifa Raziah

Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah menerima sebuah kereta jenis Mercedes C200 daripada suami Mohd Yani Abdul Rahman sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke 10 pada Khamis. Ifa, 39, berkata, dia tidak menyangka menerima hadiah tersebut kerana tujuan asalnya ke kedai kereta adalah untuk membeli sebuah kereta keluarga. "Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kami ke sepuluh tahun dan tidak sangka suami menghadiahkan saya sebuah kereta Mercedes. Pada asalnya kami ke kedai kereta adalah untuk membeli kereta keluarga iaitu jenama Hyundai Santa Fe dan tidak sangka dia belikan satu juga untuk saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Ifa berkahwin dengan Mohd Yani pada 24 April 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohammad Shakir Aqili yang berusia sembilan tahun.
Manakala dia juga mempunyai seorang anak perempuan iaitu Sharifah Putri Umairah, 15, hasil perkahwinan pertamanya. Tambah Ifa, ia merupakan hadiah pertama sempena ulang tahun perkahwinan mereka, manakala kereta keduanya. "Saya bukan jenis yang suka bertukar kereta, dulu suami saya beri hadiah kereta sempena kelahiran anak pertama iaitu sembilan tahun lalu iaitu BMW 3 Series yang saya pakai hingga sekarang," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang kehidupan rumah tangga, Ifa mengakui melalui pelbagai dugaan sepanjang 10 tahun hubungan tersebut. Katanya, sifat tolaransi dan menerima seadaanya pasangan merupakan kunci kebahagian rumah tangga. "Sepanjang sepuluh tahun ini memang saya bahagia biarpun apa orang kata tentang saya dan suami, saya tidak pernah peduli. "Apa yang penting ialah percaya satu sama lain dan menerima diri masing-masing seadanya. Ia menjadi kekuatan kami sehingga kini," ujarnya. Tambah Ifa, salah satu pengalaman pahitnya pula apabila diserbu Jabatan Agama Islam Kedah ketika menginap di sebuah hotel di negeri tersebut atas urusan kerja. Katanya, perkara itu merupakan peristiwa yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
"Saya tidak tahu ini kategori kenangan pahit atau manis tetapi ia memang tidak dapat dilupakan kerana kami disangka berkhalwat, walhal kami suami-isteri. "Pada malam itu memang kecoh, bagaimanapun semuanya selesai apabila pihak yang membuat serbuan mendapat tahu kami pasangan yang sah," ujarnya. Dalam pada itu, Ifa turut memberi nasihat kepada pasangan muda atau yang ingin mendirikan rumah tangga agar memikirkan kesediaan mereka sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama. Katanya, sebuah rumah tangga yang dibina bukan untuk seketika sahaja, malah sepanjang hayat. "Saya pun pernah mengalami kegagalan rumah tangga, kita tidak tahu jodoh kita sampai mana tetapi kalau boleh kita kekalkan apa yang kita ada. "Bagi yang ingin berkahwin perlu fikir sebaik mungkin kerana bila kita berkahwin bermakna kita bersedia untuk berkongsi hidup dengan orang lain," katanya.

Fauzi Nawawi Terkejut Dituduh Gagal Bayar Sewa Pejabat

Pelakon Fauzi Nawawi terkejut apabila ada pihak cuba memburukkan namanya sehingga tergamak menuduh dia tidak membayar sewa pejabatnya yang terletak di Cheras dekat sini selama lima bulan. Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, berkata, sehingga kini dia belum pernah berdepan dengan masalah lewat membayar sewa pejabat dan khabar angin negatif itu dianggap sebagai satu gosip yang tidak masuk akal. "Tak bayar sewa pejabat lima bulan? Macam tak logik jer. "Macam mana sampai hal pejabat saya pun orang boleh ambil tahu? Mereka pernah sampai ke pejabat saya ke?," soalnya kepada mStar Online. Pelakon ini diminta mengulas gosip yang kedengaran kononnya dia tidak Pada Rabu lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan Fauzi tidak membayar sewa pejabatnya selama lima bulan kerana kesempitan wang. Hal itu dikatakan berpunca kerana dia kurang mendapat tawaran berlakon. Bagaimanapun, Fauzi menafikan semua tuduhan itu termasuklah memberitahu dia menolak pelbagai tawaran kerana mahu memberi fokus dalam perniagaannya di bawah syarikat Perfect Illusion Corp Sdn Bhd. "Saya dah kurang mengambil kerja-kerja lakonan kerana sibuk dengan projek tender kerajaan. "Projek apa? Saya tidak boleh nak kongsikan lagi. Cuma yang pasti saya sedang mencuba nasib di bidang baru. "Semua ini adalah demi menjamin masa depan keluarga. Untuk isteri serta anak-anak, Insya-Allah," ujarnya. Bagaimanapun Fauzi berkata, dia mengambil khabar angin negatif itu sebagai perkara positif kerana merasakan masih ada pihak yang ingin tahu tentang dirinya. "Saya anggap, apabila digosipkan mengenai sesuatu perkara, kiranya saya masih diperlukan dalam industri seni tempatan ini. Kalau tak, kira saya dah tak lakulah kan...," selorohnya.

Pada Usia Tua, Mariani Penat Jadi 'Hantu'

Pelakon veteran Mariani mendedahkan dia sudah penat untuk memegang watak hantu yang sering ditawarkan kepadanya memandangkan usianya sudah semakin lanjut. Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 81, berkata, tidak mudah baginya melakonkan watak itu kerana ia memerlukan tenaga walaupun tidak banyak dialog yang diperlukan. Lebih menyedihkan, ada juga sesetengah syarikat produksi yang mengambil kesempatan dengan menawarkannya bayaran rendah dan tidak berbaloi dengan hasil kerja yang dilakukan. “Pada usia sebegini, bukan budak untuk saya membawakan watak hantu. Walaupun tidak banyak dialog, tetapi kadang-kala solekan yang tebal membuatkan saya berasa kaku dan tidak boleh bergerak selain ia memaksa saya mengeluarkan tenaga yang banyak. “Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini saya banyak tolak tawaran itu. Anak saya, Melissa Saila pun tidak membenarkan saya mengambil tawaran sebegitu lagi,” katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Mariani berkata, dia kini sudah nekad untuk menetapkan harga bayarannya sebanyak RM1,000 sehari kepada mana-mana produksi yang ingin mengambilnya berlakon sama seperti bayaran yang diberikan kepada sesetengah artis popular lain. Katanya, harga bayaran yang ditetapkan itu membuatkan tidak banyak syarikat produksi yang ingin menawarkannya berlakon namun dia tetap dengan keputusan untuk tidak menurunkan harganya. "Nampak macam besar amaunnya tetapi sebagai seorang pelakon yang lama di bidang ini, harga itu sangat kecil. Pada hal artis-artis muda lain mendapat pendapatan yang lebih tinggi daripada apa yang saya minta. "Dan kerana itu juga tidak banyak produksi yang mahu mengambil saya berlakon, tetapi tidak mengapa. Saya hanya akan bekerja dengan pihak yang menghargai kerja saya sahaja," ujarnya.
Mengenai sambutan hari lahirnya yang ke 81 tahun pada Ahad lalu Mariani berkata, dia tidak menyangka umurnya mampu mencecah angka itu manakala keadaan kesihatannya juga sihat. "Alhamdulillah saya masih lagi hidup pada usia ini. Syukur kepada Allah. Ketika melahirkan Melissa, usia saya sudah pun 39 tahun dan ketika itu saya risau adakah saya mampu melihat anak bongsu saya itu 20 tahun selepas kelahirannya? "Sekarang ini Melissa sudah pun 42 tahun dan saya masih lagi bernafas. "Ramai yang bertanya apa rahsia saya kekal sihat? Entahlah... tiada rahsia, sebaliknya saya sentiasa berfikiran positif dalam segala hal dan elakkan berfikiran burukterhadap orang lain," tuturnya. Kira-kira 200 tetamu hadir pada majlis ulang tahun kelahirannya yang diadakan di Saloma Bistro Jalan Ampang di sini termasuklah Uwei, Dian P.Ramlee, Rozita Rohaizat, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Aziz Satar, Hail Amir, Uji Rashid, Aspalela Abdullah dan Dior.

Ella cari kelainan

ELLA bukanlah satu nama asing di pentas muzik tempatan Penyanyi yang diberi julukan Ratu Rock Malaysia itu juga mempunyai pengaruh yang amat besar memandangkan pengalaman selama 31 tahun yang dimilikinya. Selaku orang lama yang berpengalaman serta dilengkapi bakat luar biasa, kebarangkalian bagi pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 47 ini gagal dalam memasarkan produk seninya adalah rendah peratusannya. Jika dia tampil dengan single baharu secara solo sekalipun, tidak mustahil Ella masih mampu lagi untuk mendapat perhatian pendengar muzik tempatan, terutamanya sokongan daripada peminat setianya sejak mula dia bergelar anak seni. Walau bagaimanapun, Ella tetap mahukan kelainan dalam setiap hasil kreatifnya bagi menghargai jasa-jasa peminat yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan yang dikecapinya kini. Terkini, Ella yang pernah berduet dengan nama besar antaranya Datuk Ramli Sarip, Amy Search, Awie dan penyanyi Indonesia Deddy Dores tampil pula dengan buah tangan terbaharu apabila memilih seorang lagi penyanyi dari seberang iaitu Anji sebagai rakan duetnya menerusi dua buah lagu. Lagu yang diberi judul Pilu dan Risalah Hati itu amat mengujakan Ella kerana beranggapan vokal yang dipersembahkan Anji begitu menakjubkan, selain menyuntik keistimewaan terhadap kedua-dua karya ciptaan Adi Priyo daripada kumpulan Sixth Sense itu. “Sudah sekian lama saya tidak muncul dengan single baharu. Disebabkan faktor itu, saya yakin peminat di luar sana menantikan suatu kelainan daripada saya. Sebab itulah saya memilih untuk berduet dengan Anji. “Selain mempunyai suara gemersik yang bersesuaian untuk 'disatukan' dengan vokal saya, Anji turut mempunyai pengaruh tersendiri di pasaran muzik Indonesia. Ia secara tidak langsung mempromosikan nama Ella di sana," katanya kepada Hits menjelaskan strategi pemasarannya. Gandingan serasi Mengulas mengenai pemilihan Anji yang dilihat tidak begitu popular di persada muzik Malaysia, Ella berkata, ia bukanlah suatu masalah besar kerana dia lebih percaya sesuatu produk yang berkualiti mampu mengatasi isu tersebut. “Gandingan vokal kami amat serasi. Alunan suara Anju memikat hati saya dan saya begitu pasti bahawa dialah calon tepat untuk menjadi rakan duet saya. Sekalipun saya memilih seseorang penyanyi Indonesia yang ada nama di sini tetapi suara kami tidak serasi, maka tiada gunanya juga kerana hasilnya tidak berkualiti. “Sebab itulah saya memastikan sesuatu karya itu lebih berkualiti berbanding hanya bergantung terhadap populariti seseorang artis atau penyanyi. Apa yang pasti, Anji pada kaca mata saya adalah pasangan duet paling sesuai," jelas Ella menetapkan pendiriannya. Pada masa yang sama, Ella menyatakan bahawa dia begitu selesa dengan sikap Anji yang begitu terbuka membicarakan soal muzik serta menerima kritikan dengan baik sekiranya ada pendapat antara mereka berdua yang bercanggah. “Anji sangat optimistik. Jika ada yang tidak kena, kami dapat menyelesaikannya dengan kadar segera disebabkan keterbukaan masing-masing menerima pandangan," tambahnya.

Lisa Surihani Tidak Akan Tonton Cerita Seram

Pelakon dan pengacara Lisa Surihani merupakan seorang yang penakut dan tidak akan menonton atau mendengar kisah seram terutamanya cerita-cerita hantu. Lisa, 28, berkata, dia mengalami perasaan takut sejak kecil dan sering terbawa-bawa perasaan itu ketika bersendirian. “Saya bukan seorang yang suka dengar cerita hantu dan saya tidak faham kenapa orang tengok cerita sebegitu? “Sejak kecil lagi saya memang takut untuk menonton cerita hantu kerana ia akan menggangu tidur saya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran HBO Sentral Bahasa Malaysia, di Hotel Grand Hyatt, di sini pada Isnin. Lisa Surihani turut diumum sebagai hos pertama rancangan yang memaparkan filem-filem terbaharu di pawagam dalam versi bahasa Malaysia. Bagaimanapun, Lisa berkata, dia pernah menerima tawaran berlakon filem genre tersebut berjudul Dendam Orang Mati. “Selalunya saya memang tolak mentah-mentah filem genre seram, namun ada satu filem berjudul Dendam Orang Mati yang saya terima kerana watak saya dalam filem itu sangat mencabar. “Ia cerita psiko tetapi lokasi penggambaran di tempat-tempat yang memang menakutkan dan saya terpaksa meminta suami (Yusry Abdul Halim) untuk menemani saya ketika di lokasi,” katanya. Tambah Lisa, dia juga terkilan kerana disebabkan perasaan takut itu juga dia tidak dapat memberikan sokongan kepada kawan-kawan baiknya yang berlakon dalam filem-filem seram. Dalam pada itu, Lisa yang mengacarakan program HBO Sentral itu mengakui teruja dan berbesar hati kerana menjadi hos pertama rancangan tersebut. Dia akan memastikan cara penyampaian agar lebih interaktif bagi menyalurkan maklumat tentang filem-filem terbaharu di pawagam. “Saya seorang pelakon dan peminat filem, jadi saya berbangga apabila Astro memilih saya untuk menjadi hos rancangan ini. “Mereka mahu saya bawa rancangan ini mengikut cara saya sendiri, namun apa yang sukar apabila saya terpaksa bercakap sendirian di skrin hijau dengan hanya membayangkan apa yang keluar di televisyen,” ujarnya. Episod pertama HBO Sentral akan bersiaran pada 27 April ini, pukul 7.15 malam di saluran HBO (saluran 411/431).

Solat Hajat Punca Afiq Muiz Pulang Ke Rumah - Ibu

Ibu kepada aktor Afiq Muiz iaitu Hasliza Mohd berkata antara punca anaknya itu lembut hati selepas insiden pergaduhan diantara mereka sehingga pelakon itu digelar anak durhaka adalah kerana doa dan solat hajat yang dilakukannya tanpa henti. Menurut Hasliza atau lebih mesra dengan panggilan Ummi, sejak dia mendedahkan aktor itu berubah sikap, dia bersama anak-anaknya yang lain tidak pernah berhenti memohon doa kepada Allah agar anaknya itu kembali semula ke pangkuan keluarga. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berkat doa dan solat hajat yang dilakukan tanpa henti, akhirnya doa saya termakbul. Afiq kembali ke pangkuan keluarga. “Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak pernah membenci dia. Sebaliknya hanya berdoa agar dia kembali berubah sikap. Setiap hari, namanya tidak pernah lekang daripada bibir saya,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Isnin. Tambah Ummi, Afiq telah menghubunginya pada awal Januari lalu dan ia benar-benar membuatkan dia terkejut sehingga menitiskan air mata tanda bersyukur. Ketika itu, Afiq telah memohon maaf dan menginsafi segala kesilapannya yang lalu dan memberitahu ingin pulang ke rumah, kedua-dua mereka menangis bersama sepanjang perbualan di telefon. “Saya cakap pada dia, baliklah nak… Ummi rindu… Ummi nak peluk Afiq… Susah nak ceritakan perasaan gembira ketika Afiq menghubungi saya ketika itu. “Alhamdulillah, apa yang telah berlaku ada hikmahnya. Walaupun saya dihina kononnya sengaja mahu mencari publisiti, saya tidak kisah dengan tanggapan orang. Yang penting Afiq kembali kepada saya. “Sebagai seorang ibu saya akan memarahinya agar dia tidak hanyut dan lupa diri. Tidak ada seorang ibu pun yang mahu melihat kejatuhan anaknya,” tutur Ummi. Dalam pada itu, Ummi memberitahu, Afiq sudah banyak berubah sejak kembali menetap bersamanya dan tidak lagi bersikap panas baran seperti sebelum ini. Sementara itu, Ummi berkata, dia berharap pertelingkahan antaranya dengan Afiq dapat dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa serta anak-anak yang lain. "Memandangkan kisah saya dan Afiq sudah diketahui umum, saya mahu ia menjadi pengajaran besar kepada semua masyarakat. "Belajarlah menghargai ibu-bapa kerana mereka menjaga anak-anak bagai menatang minyak yang penuh,” ujarnya.

Sham (Kamikaze) Kecewa Dendam Bekas Isteri

Bekas gitaris kumpulan Kamikaze iaitu Sham tampil menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menjawab tuduhan bersikap hipokrit biarpun sudah berhijrah seperti mana didakwa oleh bekas isterinya, Farazila Abdul Jabar dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu. Sham atau nama sebenarnya, Shamril Mohd Salleh, 38, menerusi laman Facebook miliknya berkata, apa yang berlaku diantara dia dengan bekas isteri sudah menjadi sejarah dan tuduhan Farazila adalah hak peribadinya. "Apa yang berlaku di antara saya dan bekas isteri saya sudah menjadi sejarah hidup saya. Dan jika pihak beliau masih tidak berpuas hati, maka itu adalah hak beliau untuk menuduh saya dengan pelbagai cerita bagi meraih simpati orang ramai untuk kepentingan peribadi. "Saya tidak perlu untuk menjawab kepada sesiapa pun tentang perkara ini kerana saya dan beliau tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi," katanya. Pendakwah bebas itu mengulas mengenai kenyataan Farazila yang membuat tuduhan secara terbuka terhadap Sham. Wanita itu turut menuduh bekas suaminya itu bersikap hipokrit selain menggambarkannya sebagai lupa diri apabila masyarakat sekeliling menyanjungnya. Dalam pada itu, Sham berkata, tindakan Farazila menjaja kisah rumah tangga mereka jelas bermotifkan dendam dan ingin memalukan dia kepada orang ramai. Malah kata Sham, sejak mereka bercerai dia tidak pernah memburuk-burukkan bekas isterinya itu kepada orang lain seperti mana dilakukan Farazila terhadapnya.
"Saya tidak nampak apa jua alasan untuk menjaja kisah rumah tangga apatah lagi jika kenyataan media tersebut bermotifkan dendam dan memalukan saya di khalayak ramai. "Sebagaimana diketahui umum saya tidak pernah walau sekali pun membuat apa-apa kenyataan tentang dia (Farazila) apatah lagi mengaitkan dia dalam apa juga keadaan sebagaimana didakwa," jelasnya lagi. Bagaimanapun kata Sham, dia tetap mendoakan kebahagiaan untuk bekas isterinya itu dan berdoa agar wanita berkenaan terus tabah mengharungi kehidupannya selepas ini. "Saya doakan agar dia terus tabah mengharungi hidupnya dengan segala cara untuk bahagia, Insya-Allah," ujarnya. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 1 September 2011. Sham ketika ini merupakan suami kepada Nurul Halimin Mohd Salleh, 34, yang juga kakak kepada penyanyi Maulana (AF). Mereka dikatakan telah berkahwin pada Januari 2012.

Fiza Elite fail penceraian?

BELUM sampai setahun usia rumah tangga mereka tetapi macam-macam dugaan yang telah dilemparkan umum kepada pasangan ini. Tak habis-habis orang dalam industri bercerita tentang rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini sedang dilanda badai. Syed rasa bukan sekali dua kita mendengar kisah rumah tangga mereka mengalami masalah sebaliknya sudah diperkatakan sejak dulu. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan pasangan ini, sejak akhir tahun lalu lagi perkahwinan mereka dikhabarkan menghadapi tekanan. Syed masih ingat macam-macam cerita yang tersebar kononnya Fiza bergaduh besar dengan Adam. Dan berita tersebut telah dijelaskan secara terperici oleh Fiza untuk menenangkan keadaan ketika orang memberikan tumpuan kepada mereka. Iyalah apabila cerita rumah tangga sendiri mula diperkatakan, mana boleh duduk diam. Lebih-lebih lagi apabila orang luar lebih tahu apa yang berlaku daripada mereka sendiri. Tapi baru-baru ini cerita rumah tangga Fiza-Adam sekali lagi diperkatakan apabila ada sumber memberitahu masing-masing semakin kurang persefahaman sehingga membuatkan teman-teman rapat mengetahui masalah sebenar. Sejauh mana kebenaran tak pula Syed ketahui tetapi khabarnya Fiza ada ke mahkamah pertengahan minggu lalu untuk merujuk masalah rumah tangga ke pejabat agama. Walaupun pemergian Fiza ke mahkamah tidak diketahui ramai tapi ada sumber yang mendedahkan Fiza dikhabarkan memfailkan penceraian pada hari Rabu lalu di Shah Alam, Selangor. Cuma sampai sekarang Syed masih tak dapat pastikan sama ada dakwaan memfailkan penceraian itu benar atau Fiza sekadar ke sana mencari penyelesaian kepada isu rumah tangga yang sedang dihadapinya.

Bapa Komen Isu Shila Amzah Berseluar Ketat Di China

Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu ND Lala mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden anaknya itu dikatakan berpakaian tidak sesuai sebagai seorang wanita Muslim dalam sebuah program televisyen di Beijing, China baru-baru ini. ND Lala berkata, sebagai manusia, anaknya itu tidak terlepas dalam melakukan kesilapan selain berpendapat kejadian itu berlaku secara tidak sengaja. "Rakaman program itu dibuat pada pukul 1.30 pagi apabila pihak penerbit ingin menambah sebuah lagi lagu untuk dinyanyikan Shila itu dan anak saya bersetuju untuk berbuat demikian. "Bagaimanapun timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan pada persembahan lain dan jika mahu kembali ke hotel bagi mengambil pakaian, ia memakan masa selama satu jam. "Jadi kami memilih pakaian disediakan produksi dan seluar yang dipakai Shila bukan 'legging' seperti didakwa cuma warnanya sahaja tidak sesuai untuk wanita berhijab sepertinya," katanya. ND Lala ditemui pada sidang media Konsert Cinta oleh Shila Amzah di Menara Kuala Lumpur di sini, Jumaat.
Konsert itu bakal berlangsung di Shanghai,China pada 16 Ogos depan manakala peminat di Malaysia akan dihiburkan pada 13 September 2014. Persembahan di Kuala Lumpur akan diadakan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam. ND Lala mengulas mengenai komen negatif yang diterima Shila apabila tampil dengan gaun pendek dengan seluar ketat dari rona kulit yang kelihatan seolah-olah penyanyi itu mendedahkan auratnya biarpun bertudung. Dalam pada itu, Shila yang turut hadir ke sidang media itu berkata, dia semakin selesa menetap di Beijing dan ia telah mematangkan pemikirannya selain mampu berdikari dengan baik. Kata Shila, penguasaan bahasa Mandarin yang dipelajari juga semakin baik dan dia kini lebih yakin untuk bertutur dengan orang lain menggunakan bahasa itu. "Semua yang berlaku cukup pantas tetapi saya bersyukur kerana dapat belajar pelbagai perkara daripada pengalaman tinggal di luar negara. "Biarpun bukan mudah untuk mengadaptasi budaya luar serta bahasa mereka tetapi saya kini lebih kuat dan dapat mengharunginya dengan baik," katanya. Pada sidang media berkenaan yang turut dihadiri oleh wakil media dari akhbar Cina, Shila menjawab soalan mereka dengan fasih dalam bahasa Mandarin. Sementara itu, bercakap mengenai konsert sulungnya itu, Shila berkata, dia tidak berniat untuk membelakangkan peminatnya di Malaysia apabila mengadakan persembahan di Shanghai terlebih dahulu. "Ini adalah impian saya yang akhirnya bakal terlaksana. Biarpun akan mengadakan konsert di Shanghai terlebih dahulu namun saya berjanji akan memberikan persembahan paling istimewa buat peminat di Malaysia nanti," katanya. Tambah Shila, dia juga berbangga apabila kedua-dua konsertnya itu nanti akan menggunakan tenaga sepenuhnya produksi Malaysia di mana Jennifer Thomson dan Helen Yap akan bertindak sebagai penerbit konsert. Malah katanya, dia juga akan menyampaikan lebih 20 buah termasuk lagu-lagu berbahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris. Katanya lagi, dia juga akan menampilkan penyanyi bertaraf antarabangsa dalam konsert itu sebagai tetamu undangan. "Siapa artis jemputan saya tidak boleh beritahu sekarang dan peminat kena tunggu pada hari persembahan," jelasnya. Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd. Tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88. Shila akan mengumumkan tarikh penjualan tiket dalam sidang media khas yang akan diadakan pada Mei depan.

Nelydia Senrose Ada Sebab Padam Gambar Qi Razali Di Instagram

Pelakon Nelydia Senrose mempunyai sebab dan alasan tertentu membuang gambar-gambar dia bersama kekasihnya pelakon dan pengacara Qi Razali di laman sosial Instagram. Nelydia, 20, yang enggan berkongsi punca dia memadam gambar tersebut sebaliknya memberitahu ia adalah bagi menjaga hati banyak pihak. “Saya ada alasan saya sendiri kenapa saya membuang gambar-gambar kami di Instagram itu. “Apa yang boleh saya katakan ialah tindakan itu untuk menjaga hati banyak pihak dan ia hanya sementara, kalau keadaan sudah reda saya akan muat naik semula gambar kami,” katanya. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya memadam gambar-gambar dia dan kekasihnya Qi Razali yang dimuat naik di Instagram. Perkara tersebut telah menimbulkan persoalan kononnya hubungan percintaannya sudah berakhir selepas dikaitkan dengan kontroversi bercinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Sementara itu, Nelydia menafikan dakwaan putus cinta itu, sebaliknya dia mengakui masih menjalani hubungan sebagai pasangan kekasih dan mengenali hati budi masing-masing. “Keputusan saya padam gambar tiada kena mengena dengan hubungan percintaan saya dengan Qi. Kami masih bersama seperti dahulu dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” ujarnya. Sementara itu, kekasihnya, Qi yang ditemui pula berkata, mereka belum merancang untuk mendirikan rumah tangga buat sementara waktu bagi memberi keutamaan kepada kerjaya masing-masing. Bagaimanapun, dia mengakui ada merancang untuk melangkah ke fasa baharu terhadap hubungan itu dalam masa terdekat. “Dia (Nelydia) masih muda dan baru ingin mengasah bakat untuk mencapai satu tahap dalam kerjayanya. “Saya tidak cakap bila berkahwin akan menyekat rezeki kami, tetapi ia sedikit sebanyak akan menganggu fokus dia kepada kerjayanya kerana beri tumpuan pada keluarga. “Namun saya ada merancang sesuatu yang rasmi tidak lama lagi,” katanya.

Resepsi Perkahwinan Syamsul & Syafiq Meriah

Majlis resepsi bagi meraikan perkahwinan dua anak lelaki pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq erlangsung dalam suasana cukup meriah di Dewan Perdana Felda di sini pada malam Jumaat. Acara yang bermula pada pukul 8 malam itu menyaksikan hampir 1,000 tetamu memenuhi ruang dewan tersebut terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis. Memilih konsep persandingan tradisional Melayu, Syamsul dan isterinya, Puteri Sarah Liyana tampil dengan busana dari warna jingga muda manakala Syafiq dan pasangan, Aeisyah Zainal memilih rona perak. Kedua-dua pasangan pengantin berarak masuk ke dalam dewan utama diringi ahli keluarga terdekat untuk bersanding di pelamin utama.
Ahli keluarga pihak pengantin lelaki juga tampil dengan gaya sedondon apabila memilih pakaian berwarna putih sebagai tema mereka sekeluarga. Sepanjang berlangsungnya majlis yang dikendalikan oleh Datuk AC Mizal dan Serina Redzuwan itu, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi terkenal seperti Hail Amir, Uji Rashid, Ziana Zain dan Mawi. Terdahulu, Syamsul, 30, dan Puteri Sarah, 29, sah bergelar suami-isteri pada 9 Mac lalu selepas diijabkabulkan di Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara, dekat sini. Manakala Syafiq, 22 dan Aeisyah, 21, disatukan pada 5 April lalu dalam satu majlis yang diadakan di Surau Tabung Haji, Kuala Lumpur.

Zain Saidin Enggan Tahu Jantina Anak

Pelakon Zain Saidin tidak mahu mengetahui apakah jantina anak yang sedang dikandungkan oleh isterinya, Rozita Che Wan apabila wanita itu membuat imbasan kandungannya nanti. Zain, 30, berkata, dia mahu perkara itu menjadi satu kejutan kepadanya biarpun isterinya teruja untuk mengetahui jantina anak mereka. "Saya terima dengan rasa syukur tidak kira apa anak yang bakal lahir itu nanti lelaki atau pun perempuan kerana yang lebih penting isteri dan anak kami nanti selamat dan sihat. "Tetapi jika diberi pilihan saya mahukan anak lelaki dan isteri pula mahukan sebaliknya," katanya kepada mStar Online. Zain dan Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Cik Ta ditemui ketika pelancaran dan pelantikan mereka sebagai duta MV Bistro & Kafe di The Strand Kota Damansara di sini, Sabtu. Bagaimanapun kata Zain, Rozita tidak sabar untuk mengetahui jantina anak mereka dan kebarangkalian sukar untuk perkara itu dirahsiakan. "Apabila isteri tahu mengenai jantina anak kami pasti saya akan tahu juga akhirnya kerana dia akan membeli barangan mengikut jantina bayi itu nanti," katanya.
Dalam pada itu, Zain berkata, dia bimbang sekiranya tidak dapat menemani isterinya di bilik bersalin pada Oktober depan untuk menyambut anak mereka kerana dia dijadualkan berada di London pada tarikh Rozita dijangka bersalin. Jelas Zain, pemergiannya ke negara itu bagi menjalani penggambaran program Oh My English! musim ketiga di sana. "Saya agak risau kerana pada tarikh isteri saya dijangka bersalin itu saya berada di London dan berharap sangat dapat menemaninya untuk menyambut kelahiran anak pertama kami. "Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pihak produksi kerana barangkali jadual itu boleh dianjakkan bagi membolehkan saya menemani isteri nanti," ujarnya. Sementara itu, Zain berkata, dia akan sentiasa memastikan Rozita mendapat rehat secukupnya dan berasa lega apabila wanita berkenaan memberitahu tidak mahu bekerja sepanjang tempoh pengandung. Malah kata Zain, dia juga gembira apabila Rozita tidak mengalami sebarang alahan teruk pada peringkat awal kehamilannya namun mengakui selera makan isterinya bertambah. "Alhamdulillah setakat ini segala-galanya berjalan lancar dan isteri juga tidak mengidam perkara yang pelik-pelik cuma selera makannya bertambah. "Sebagai suami sudah tentu saya harapkan isteri saya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan akan memastikan dia sentiasa mendapat rehat yang cukup," katanya. Dalam perkembangan lain, Zain berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran Oh My English! musim ketiga selain baharu sahaja menyiapkan sebuah drama bersiri berjudul Walaupun Sedetik Cuma untuk siaran TV Al-Hijrah.

"Saya Bukan Sombong Tetapi Pemalu" - Gambit

Pelakon dan penerbit Gambit Saifullah menjelaskan tuduhan dia bersikap sombong dan sukar didekati yang dilemparkan kepadanya langsung tidak mencerminkan siapa dirinya yang sebenar. Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 29, berkata, tuduhan tersebut adalah tidak adil buatnya kerana dia bukanlah seorang individu seperti itu. "Label yang diberikan itu saya sudah dengar lama dulu tetapi ramai orang tidak tahu bahawa saya sebenarnya seorang pemalu apabila berhadapan dengan orang yang saya baru jumpa. "Hanya kerana sifat itu saya terus dilabel sombong dan sukar didekati tetapi saya tidak kisah kerana bagi yang mengenali saya secara peribadi mereka tahu siapa saya sebenarnya," katanya. Dalam pada itu, Gambit memberitahu dia terpaksa menjalani pembedahan dalam masa terdekat selepas mengalami 'meniscal tear' atau koyakkan tisu pada bahagian lutut kaki kanannya akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak. Gambit berkata, kecederaan itu telah dialaminya sejak beberapa bulan lalu namun ia semakin serius sejak akhir-akhir ini.
"Kecederaan pada lutut ini sebenarnya sudah lama akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak sebelum ini namun semenjak akhir-akhir ini ia bertambah teruk dan doktor menasihati saya untuk menjalani pembedahan itu dalam kadar segera. "Jika saya tidak buat pembedahan itu, kecederaan akan bertambah teruk dan ia memberi masalah lain kepada kaki saya," jelasnya. Tambah Gambit, selepas pembedahan dia memerlukan masa sehingga tiga minggu sebelum pulih sepenuhnya selain diminta oleh doktor untuk tidak terlalu aktif dalam bidang sukan. Sementara itu, Gambit berkata, dia kini sibuk menguruskan syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn Bhd yang semakin berkembang dalam menerbitkan program televisyen seperti program berbentuk majalah, telefilem dan video korporat. Jelas Gambit, dia kelihatan sepi daripada bidang lakonan bukan kerana tidak mempunyai tawaran sebaliknya sibuk menguruskan syarikatnya itu. "Tawaran berlakon masih ada, Alhamdulillah... cuma saya perlu bijak mengimbangi jadual kerana sibuk dengan pelbagai kerja belakang tabir namun saya tidak pernah melupakan bidang itu," katanya.

Natasha Hudson Bengang Tudung Kena Ciplak

Pelakon Natasha Hudson berasa marah dan kecewa apabila ada pihak yang meniru tudung yang direka khas untuk jenama miliknya iaitu Dreamcloud. Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 32, berkata, individu yang tidak bertanggungjawab itu telah membeli tudung rekaannya secara dalam talian dan kemudian menciplak semula rekaan itu dan kemudian dijual menggunakan jenama lain. “Saya memang marah apabila mendapat tahu ada pihak yang membeli tudung saya semata-mata mahu menciplak dan selepas itu dijual pula kepada orang ramai menggunakan label lain. “Saya rasa perkara sebegini tidak adil buat saya yang bersusah payah menghasilkan tudung tersebut,” katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun tambah Natasha, dia belum berniat untuk mengambil isu tersebut secara serius hingga dibawa ke mahkamah sebaliknya berharap tiada pihak yang melakukan perkara sebegitu lagi. Dalam pada itu, Natasha berkata, dia tidak menghalang jika ada peniaga baharu yang ingin mengambil inspirasi tudung rekaannya tetapi janganlah meniru seratus peratus ciptaannya itu. “Saya percaya bagi peniaga baru, seperti saya juga sebelum ini, kita memerlukan inspirasi dalam mereka sesuatu rekaan pakaian mahupun tudung. “Tetapi kalau boleh, janganlah tiru bulat-bulat, itu tidak adil,” ujarnya. Ditanya, adakah dia sudah bersedia sekiranya terdapat individu lain yang tidak bertanggungjawab menciplak rekaan tudungnya itu, Natasha berkata, dia sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan. “Tirulah jika mahu tiru. Macam mana sekalipun orang tetap tahu sesebuah rekaan itu bermula daripada siapa. “Lagipun saya tidak boleh nak buat apa jika ada yang masih berdegil mahu menciplak,” tuturnya.

Shahrizal Jaszle Curang Lagi! Tunang Enggan Komen

Belum pun selesai kontroversi kes tangkap khalwatnya, pelakon Shahrizal Jaszle muncul dengan kisah panas baharu apabila dia dikatakan curang selepas gambar mesranya bersama seorang wanita tersebar di laman sosial Instagram. Lebih memeranjatkan, pelakon itu yang juga dikenali sebagai Shahz Jaszle pada Sabtu lalu turut mengesahkan wanita berkenaan adalah kekasihnya walaupun dia masih tunangan orang. “Hey @jijiezainal, dia gf (girlfriend) kita la skrg (sekarang),” katanya menjawab pertanyaan salah seorang pengikut laman sosial itu menerusi akaun wanita yang dikaitkan iaitu Hanis Husna (@hanis_husna). Bagaimanapun, Shahrizal, 26, tidak menjelaskan status pertunangannya dengan, Redzwani Puteri, 26, sebaliknya Hanis pula menyatakan bahawa pemuda itu sudah pun putus tunang.
Pada foto tersebut, wanita berkenaan memuat naik foto mesra mereka dengan kapsyen-kapsyen romantis. Tidak lama kemudian Shahrizal turut memuat naik foto dia bersama Hanis di laman Instagram miliknya pula . Namun dia meminta kepada pengikutnya supaya tidak mengkritik foto berkenaan. “Saya tidak kisah apa yang akan kamu (pengikut Instagram) katakan. Jika ingin komen, sila jaga kata-kata kamu. Kerana kamu tidak tahu apa yang telah saya lalui sebelum ini,” ujarnya dalam bahasa Inggeris.
Foto tersebut turut mendapat perhatian Redzwani sendiri apabila dia memberi komen ‘Apa ini?’, namun komen tersebut telah dipadamkan oleh Shahrizal. Redzwani yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad enggan memberi sebarang komen berkaitan perkara itu. Sebelum ini dia pernah berkata hatinya tetap mempercayai kejujuran Shahrizal walaupun pelakon itu pernah ditangkap khalwat. Shahrizal pula gagal dihubungi. Terdahulu, pada 10 April lalu, Redzwani memberitahu mStar Online hubungannya dengan Shahrizal masih lagi baik walaupun tunangnya itu sedang menghadapi perbicaraan kes khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini.
Pelakon itu ditangkap khalwat ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013. Insiden itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Sebelum ini Shahrizal pernah dikaitkan dengan pelakon Miera Liyana dan Maria Farida.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails