Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Persiapan Sederhana Yana Samsudin Sambut Kelahiran Bayi

Pelakon Yana Samsudin memberitahu dia dan suaminya Fadzil Zahari teruja dan tidak sabar untuk menunggu kelahiran bayi pertama mereka yang bakal dilahirkan pada minggu pertama Syawal ini. Bagaimanapun, Yana atau nama sebenarnya berkata, dia juga masih belum menetapkan sama ada untuk bersalin di Kuala Lumpur atau di kampung halamannya di Yong Peng, Johor. "Saya tidak tahu akan bersalin di mana kerana menurut doktor jika saya mahu bersalin di Kuala Lumpur saya tidak boleh balik kampung beraya, namun hati saya pula ingin menyambut raya bersama keluarga di kampung. "Lagi pula, tahun ini giliran saya beraya di kampung halaman Yong Peng, Johor, setakat ini masih berfikir-fikir lagi," ujarnya. Yana berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kesihatan dan kandungannya yang kini sudah mencecah lapan bulan. Yana bergelar isteri kepada aktor dan penulis skrip Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015.
Sementara itu, ditanya tentang persiapan menyambut kelahiran bayi, Yana berkata, dia hanya membeli baju-baju dan barang keperluan bayi secara sederhana sahaja. Katanya, sejak hamil, dia berasa kurang nafsu untuk membeli belah seperti sebelum ini. "Saya banyak beli baju bayi sahaja, barang-barang lain tidak beli lagi, setiap kali keluar untuk beli barang saya tidak tahu untuk beli apa dan akhirnya beli baju sahaja. "Sejak hamil pun saya jarang menghabiskan masa untuk membeli belah sehingga suami saya pun pelik kerana dia tahu saya seorang yang suka shopping," ujarnya. Dalam pada itu, Yana berkata, dia belum bersedia untuk berkongsi jantina anak yang sedang dikandungnya bagi membuat kejutan kepada peminat. Katanya, biarlah perkara itu diketahui selepas bayi sulungnya itu selamat dilahirkan. Selain itu, berkongsi pengalaman sepanjang hamil, Yana berkata, dia tidak terlalu banyak karenah dan mengalami alahan seperti ibu mengandung lain.
Katanya, lapan bulan yang dilalui berjalan dengan lancar dan kandungannya mula kelihatan sejak memasuki bulan keenam. "Saya mengetahui bahawa saya hamil pada usia kadungan tiga bulan dan pada masa itu saya rasa terkejut dan sedih kerana tidak menjaga kandungan itu. "Tiga bulan itu saya banyak lakukan aktiviti termasuk menaiki kapal terbang, saya tidak mengalami alahan membuatkan saya tidak mengesyaki yang saya sedang hamil ketika itu. "Selepas mengetahuinya saya rasa bersalah dan membuat keputusan untuk berehat sahaja sehingga selamat melahirkan bayi," ujar Yana. Sementara itu, ditanya tentang kerjaya selepas bergelar ibu, Yana berkata, dia belum memikirkan lagi soal tersebut. "Tawaran untuk filem dah ada selepas saya habis pantang, tapi saya tidak buat keputusan lagi kerana saya tidak tahu bagaimana keadaannya nanti. "Kalau boleh memang saya ingin beri keutamaan kepada keluarga terlebih dahulu," ujarnya.

Siti Nurhaliza Terdetik Jual Kuih Depan Rumah

enyanyi Datuk Siti Nurhaliza berkata, kerinduan menjual kuih pada zaman remaja menyebabkan hatinya pernah terdetik untuk membuka gerai menjual kuih di hadapan rumahnya di Ampang, dekat sini pada bulan Ramadan. Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, 37, berkata, perasaan sebegitu timbul memandangkan dia bersama adik-beradiknya pernah berniaga kuih-muih di bazar Ramadan sambil menyaksikan kemeriahan orang ramai mencari juadah berbuka. "Tidak dinafikan sesekali datang perasaan rindu nak berniaga seperti dulu apatah lagi pembantu rumah saya sememangnya pakar memasak dan berkebolehan membuat kuih-muih. “Perkara ini membuatkan hati saya beberapa kali terdetik nak membuka sebuah gerai kecil-kecilan menjual kuih-muih di depan rumah sekarang ini. "Tetapi tidak pula saya suarakan hasrat itu kepada suami, sekadar terniat di hati sendiri,” kata Siti Nurhaliza kepada mStar Online.
Menurut Siti, disebabkan kesibukan kerjayanya, maka dia terpaksa memendam perasaan berkenaan. Bagi melepaskan rindu suasana lampaunya Siti akan ke bazaar Ramadan bagi mencari makanan dan kuih kegemarannya seperti karipap, apam balik dan ayam percik. Siti menjelaskan sekali pun ke bazar Ramadan dianggap satu terapi kerana dapat melihat juadah di hadapan mata, dia terpaksa membataskan keinginan itu kerana mudah timbul rasa kesian dan serba salah apabila ramai peniaga mula memanggilnya membeli juadah di gerai mereka. “Suatu ketika kita pernah berada di tempat mereka dan saya faham perasaan mereka amat mengharapkan kita membeli di gerai mereka. "Bagi mengelakkan rasa serba-salah itu, saya hadkan waktu ke bazar Ramadan. "Paling tidak saya hanya tunggu di kereta dan sesekali membuka tingkap menegur makcik-makcik berniaga,” ujar Siti. Menurut Siti, selama berpuasa di Kuala Lumpur dia sukar mendapatkan sejenis kuih kegemaran iaitu karipap sira pedas yang lazimnya ditemui di bazar-bazar di kampungnya di Kuala Lipis, Pahang. Sebagai ganti, dia hanya akan membeli popia berinti pedas kerana rasanya seakan-akan sama, cuma tidak sesedap karipap sira pedas yang diidamkan. Bercerita tentang kerjaya seni, biarpun masih dalam tempoh beristirehat menyertai aktiviti berbentuk nyanyian, Siti sempat merakamkan sebuah lagu Hari Raya bersama komposer Pak Ngah Suhaimi berjudul Hari Kemenangan. "Kami sangat teruja bila dapat bekerjasama semula setelah 10 tahun. "Istimewanya lagu raya kali ini, kami sepakat tidak lagi mahu gunakan bait-bait klise seperti ketupat lemang, juadah, bertandang dan sebagainya tetapi liriknya lebih berat namun masih sesuai untuk suasana hari raya," katanya

Dua Tahun 'Solo', Sari Yanti Belum Sedia Kahwin Lagi

Pelakon Sari Yanti masih belum terfikir untuk mencari pengganti selepas bercerai dengan bekas suaminya, Mohd Edy Casmadi Che Hussin pada 11 Disember 2014. Pemilik nama sebenar Sari Yanti Mohamad Nazari, 32, itu berkata, buat masa ini dia selesa dengan kehidupan solo selain dapat memberi fokus kepada pembesaran dua anak lelaki dan karier seninya. "Jujurnya saya sendiri tidak tahu sama ada saya sudah bersedia atau pun tidak untuk berkahwin semula. "Pada tahap sekarang saya tidak terlalu memikirkan soal perkahwinan kerana sibuk menguruskan anak-anak selain karier juga padat dengan pelbagai aktiviti," katanya kepada mStar Online. Sari Yanti dan Mohd Edy berkahwin pada 16 Januari 2009 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Barr Al Aliy, 6, dan Basit Al-Haq, 4. Dalam pada itu, Sari Yanti berkata, sebagai manusia biasa perasaan sunyi dan ingin hidup dalam alam rumah tangga adalah perkara biasa dan mengakui pernah berfikir mengenainya.
Bagaimanapun dia menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan ketentuan Allah. "Jika saya belum pernah berkahwin mungkin saya agak risau kerana belum berumah tangga tetapi saya sudah melalui kitaran berkahwin, mempunyai anak dan bercerai. "Ada saya terfikir tentangnya tetapi ia sekadar itu sahaja dan tidak terburu-buru pun hendak mencari pengganti. "Insya-Allah jika ada jodoh pasti saya berkahwin dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Sari Yanti berkata, dia kini lebih selektif terhadap tawaran lakonan diberikan kepadanya kerana ingin menyesuaikan masa anak-anaknya. "Saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil projek yang memerlukan waktu panjang di lokasi kerana anak-anak pun sudah bersekolah jadi keperluan mereka perlu saya utamakan. "Atas sebab itu juga saya banyak mengambil tawaran telefilem berbanding drama bersiri kerana waktu penggambaran lebih pendek," katanya. Sementara itu, Sari Yanti berkata, dia bakal muncul dalam sebuah drama berjudul Lip Lap Raya yang menggandingkannya dengan pelakon berasal dari Uzbekistan, Daler Yusof.

"Orang Lain Buat Salah Nama Saya Busuk" - Aweera

Penyanyi Aweera menyedari ada pihak tidak berpuas hati dengannya apabila dia dikatakan mungkir janji dan sering membatalkan persembahan di saat-saat akhir jika mendapat tawaran lebih lumayan. Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, 25, berkata, tuduhan berkenaan tidak adil kerana dia juga mangsa dalam situasi itu kerana kebanyakan urusan persembahan diuruskan oleh pihak syarikat rakamannya, Sony Music. "Saya sebenarnya sudah letih apabila pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya tanpa orang tahu mengenai situasi sebenar. "Tetapi kesalahan yang dibuat oleh pihak lain dituding jari ke arah saya tetapi sebenarnya saya juga mangsa keadaan. "Tuduhan itu tidak adil kerana saya bukan seperti didakwa malah ada tawaran dibuat syarikat pengurusan saya sendiri tidak dimaklumkan tetapi akhirnya nama saya yang busuk," katanya. Dalam pada itu, Aweera berkata, dia juga tidak pernah bersikap 'demand' terhadap tawaran diberikan kerana sedar dia bukan seorang penyanyi bertaraf kelas atas untuk berbuat demikian. Malah kata Aweera, selain persembahan diuruskan pihak Sony Music, dia bersama pengurusnya turut mencari tawaran dan ia bukan datang bergolek kepadanya. "Saya bukan penyanyi yang bayarannya sekali menyanyi boleh menapung perbelanjaan untuk sebulan tetapi orang salah faham ingat saya bersikap 'demand' dan sesuka hati membatalkan persembahan. "Saya cari tawaran sendiri kerana ini punca rezeki saya dan takkan saya hendak buat seperti apa yang didakwa itu. Apa yang berlaku adalah masalah komunikasi," katanya. Sementara itu, Aweera berkata, dakwaan dan kontroversi yang melandanya sebelum ini banyak mengajar dia menjadi lebih matang. "Hendak kata saya lama atau baru sangat sebagai penyanyi tidak juga tetapi banyak saya belajar dan ia mematangkan saya. "Saya tidak pernah anggap diri saya besar dalam industri dan tahu kedudukan saya," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aweera berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya selepas sambutan hari raya nanti.

Ika Nabella Bakal Kahwin Julai Depan

Pelakon Ika Nabella bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang ahli perniagaan iaitu Muhammad Zaid, 29, pada penghujung Julai depan selepas mengikat tali pertunangan pada 14 Mei lalu. Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, 27, berkata, mereka sepakat untuk segera melangsungkan perkahwinan kerana telah lama merancang berumah tangga selain tidak mahu bertunang terlalu lama. "Insya-Allah dengan restu kedua-dua belah pihak kami akan disatukan sebagai suami-isteri pada penghujung Julai depan. "Bagaimanapun kami masih memilih tarikh sesuai dan kemungkinan majlis berkenaan diadakan dalam bulan Syawal juga," katanya. Ika berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran salon Amyssrite Hairdressing Ampang dekat sini baru-baru ini. Dalam pada itu, Ika berkata, pada mulanya dia tidak mahu bertunang namun atas permintaan keluarganya mereka mengadakan majlis tersebut secara kecil-kecilan di kediamannya di Bayan Lepas, Pulau Pinang. "Saya memang mahu terus berkahwin tetapi memandangkan saya anak perempuan tunggal keluarga mahu saya mahu mengadakan majlis pertunangan sebelum berkahwin.
"Majlis itu pun secara kecil-kecilan sahaja yang dihadiri oleh keluarga terdekat," jelasnya. Sementara itu, Ika berkata, persiapan perkahwinannya sudah 80 peratus siap dan seperti bakal pengantin lain, dia turut merasai debaran sebelum disatukan dengan pasangannya. "Persiapan sudah beberapa bulan lalu dilakukan dan Alhamdulillah hanya tinggal perkara-perkara kecil sahaja untuk diuruskan. "Sudah tentu saya gementar untuk disatukan dengan lelaki pilihan saya dan berharap semua mendoakan yang baik-baik untuk kami," katanya. Dalam perkembangan lain, Ika mengakui kerjaya seninya agak perlahan selepas insiden dia dipukul oleh pengarah Azma Aizal Yusoof ketika menjalani penggambaran drama berjudul Dawai Asmara pada 2 November tahun lalu. Jelas Ika, sejak kejadian itu dia masih menerima tawaran lakonan namun lebih tertumpu kepada projek telefilem selain banyak membuat kemunculan di acara-acara hiburan. "Saya kini sudah kembali aktif sepenuhnya dan tidak mahu lagi mengenang kejadian tersebut memandangkan Azma pun sudah meminta maaf dan saya pun tidak menyimpan sebarang dendam terhadapnya. "Selepas kejadian saya banyak ambil telefilem dan kini saya mula ambil tawaran drama bersiri dan jadual pun mula padat," katanya.

Mawar Tercabar Kepakaran Memasak Fizo Omar

Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar, berkata, dia berasa tercabar dengan bakat dan kebolehan suaminya yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan sekali gus menuntutnya untuk mempelajari ilmu masakan secara lebih terperinci. Mawar atau nama sebenarnya Mawar Abdul Karim, 27, berkata, biarpun diketahui mengenai bakat suaminya dalam bidang masakan, itu bukan alasan untuk dia terus bersikap lepas tangan menyerahkan tugas-tugas di dapur kepada Fizo. "Saya akui kalau di rumah, Fizo yang banyak berada di dapur berbanding saya kerana memasak adalah kesukaan dia manakala saya pula lebih kepada mengemas. Almaklumlah, lelaki kalau buat kerja dapur akan jadi tunggang langgang dan di situlah tugas saya (mengemas). "Tiga tahun mendirikan rumah tangga, jujur ada juga rasa tercabar dengan situasi itu. Justeru, saya tawar diri untuk cuba dalami ilmu memasak dengan Fizo apatah lagi kami sekarang telah memiliki restoran sendiri iaitu 'FizoMawar Kitchen' yang dibuka pada Disember tahun lalu,” katanya.
Mawar ditemui pada sidang media kerjasama F&N dan Fizo Mawar untuk lima mini episod bagi siaran YouTube untuk kempen 'Aroma Kasih Sayang'. Sidang media diadakan di FizoMawar Kitchen, di sini, Selasa. Kata Mawar lagi, hasil daripada pembelajaran itu, dia kini mahir menyediakan sajian tomyam ala Thai, kebab dan beberapa sajian pencuci mulut selain mengakui agak teruja untuk ke dapur menyediakan sajian berbuka puasa kepada suami dan keluarga. "Satu petua yang baru saya belajar, dalam masakan bersantan Fizo tidak galakkan saya menggunakan santan sebaliknya menggantikannya dengan susu cair F&N atas beberapa sebab antaranya untuk lebih sedap dan lauk tidak cepat basi,” katanya. Sementara itu Fizo pula berkata, memasak merupakan satu terapi buat dirinya sehingga pada satu tahap hendak ke pasar pun membuatkan dia rasa begitu teruja. Dalam perkembangan sama, Fizo kini baru sahaja pulang dari Bangkok, dan Phuket, Thailand untuk mendalami ilmu masakan sebagai persiapan menerbitkan sebuah program masakan sendiri tidak lama lagi. "Selama lima hari di sana, saya sempat belajar beberapa menu dalam melengkapkan 50 menu dalam senarai awal saya. InsyaAllah Ramadan nanti Chef tersebut akan datang ke Malaysia untuk menyambung tunjuk ajar," katanya.
Mengulas tawaran sebagai duta bersama produk F&N pula, Fizo dan Mawar menganggap kerjasama yang berpanjangan bersama syarikat itu sebelum ini memberi ruang kepada mereka untuk ditawarkan menjayakan kempen 'Aroma Kasih Syaang’ bagi mini episod berkenaan. "Rancangan ini boleh disaksikan di laman YouTube sebanyak lima episod di bulan Ramadan ini di mana pihak F&N cuba mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang menerusi setiap resipi dan masakan. "Di sini, saya dan mawar secara eksklusif akan menyediakan sajian dari ilham kami sendiri menggunakan susu pekat manis dan susu sejat dari jenama F&N,” katanya.

Ibu Hazama Puji Bakal Menantu Berbudi Bahasa

Ibu kepada Hazama Azmi iaitu Hasmah Zahari, merestui hubungan cinta antara anaknya dengan pemuzik Genervie Kam selepas penyanyi itu mendedahkan bakal bernikah selepas Hari Raya Aidilfitri depan. Hasmah, 59, berkata, pihaknya merestui hubungan pasangan berkenaan dan menerima baik kehadiran Genervie untuk menjadi sebahagain daripada ahli keluarga mereka. "Makcik restu hubungan Hazama dengan Genervie. Alhamdulillah, dia (Genervie) seorang yang berbudi bahasa dan ramah orangnya. "Makcik tidak halang untuk Hazama dan Gevervie kahwin," katanya
Terdahulu Hazama, 32, dilaporkan telah membuka mulut untuk menikahi Genervie Kam, 36, selepas Syawal nanti dalam satu majlis tertutup yang bakal dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja. Langkah mengadakan majlis secara tertutup itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada Genervie yang dijangka memeluk Islam pada Ramadan nanti. Bagaimanapun Hazama yang hampir tiga tahun bercinta dengan wanita berkenaan belum menetapkan tarikh untuk mereka diijabkabulkan. Dalam pada itu ditanya mengenai keistimewaan Genervie pada pandangan mata seorang ibu, Hasmah berkata, dia tertarik dengan sikap wanita berkenaan yang ‘lebih Melayu’ berbanding orang Melayu sendiri. Kata Hasmah, Genervie pandai memasak dan antara makanan kegemarannya ialah ikan patin dan juga masakan tempoyak. "Dia macam orang Melayu. Kadang-kadang lebih Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Bayangkanlah… tempoyak pun dia suka makan dan juga ikan patin. "Ada sesetengah orang Melayu pun tak suka tempoyak," katanya memuji bakal menantunya itu.
Jelas Hasmah, dia sudah beberapa kali bertemu dengan Genervie dan tidak kekok untuk mereka berbual bersama-sama. Ujar Hasmah, sebagai seorang ibu dia mengharapakan hubungan anaknya dan Genervie akan berakhir sebagai suami-isteri dan sentaisa mendoakan kebaikan mereka berdua. "Makcik serahkan segala-galanya kepada Hazama untuk buat pilihan mengenai calon isteri dia. Sebagai orang tua, makcik doakan yang terbaik buat mereka," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails