Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Selamat Berbahagia Lana" - Johan As'ari

Pelakon Johan As'ari mengucapkan selamat berbahagia buat bekas kekasihnya Lana Nodin yang akan mengumumkan pasangan hidupnya pada petang Rabu (petang ini). Johan, 29, berkata, sebagai seorang yang pernah mengenali rapat wanita itu, dia gembira dengan perkhabaran tersebut dan mendoakan mereka akan menemui kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. "Saya mendapat tahu tentang berita Lana bakal berkahwin daripada laporan media dan sebagai lelaki yang pernah rapat dengannya saya gembira dengan berita itu kerana dia menemui cinta sejatinya. "Saya sentiasa mendoakan kesejahteraannya dan berharap Lana akan bahagia bersama lelaki pilihannya sehingga ke akhir hayat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Lana dijangka akan mendedahkan butiran mengenai perancangan perkahwinan selain memperkenalkan bakal suaminya dalam satu sidang media yang bakal diadakan di Hotel Istana Kuala Lumpur pada pukul 3 petang Rabu. Dalam pada itu, Johan berkata, biarpun jodoh mereka tidak kesampaian namun dia tidak pernah menyimpan dendam atau benci terhadap Lana sebaliknya menganggap kehadiran wanita itu banyak mengajarnya mengenai erti kehidupan. "Lana adalah seorang wanita yang baik dan sepanjang mengenalinya dia banyak mengajar saya tentang cara untuk memahami kaum wanita dengan lebih baik. "Meskipun tiada jodoh diantara kami itu bukan bererti saya perlu membencinya kerana dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya," katanya. Sementara itu, Johan berkata, dia akan menghadiri majlis perkahwinan Lana sekiranya wanita itu menjemputnya untuk memeriahkan acara itu nanti. "Insya-Allah sudah pasti saya akan datang jika dijemput untuk berbuat demikian," katanya. Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai keadaan ibunya, Datin Firdaus Abdul Kader, 58, yang diserang penyakit strok (angin ahmar) minggu lalu, Johan berkata, ibunya masih dirawat di Hospital Serdang.

Mr Os 'Cuti' Bawa Teksi Akibat Pembedahan Tonsil

Pelawak Mr Os semakin pulih selepas dimasukan ke Hospital Selayang selama lapan hari sejak 14 Mac lalu kerana menjalani pembedahan penyakit tonsil. Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, 54, ketika dihubungi berkata, dia kini semakin sihat selepas membuat pembedahan penyakit itu. Ia sekali gus menamatkan spekulasi tidak benar di media-media sosial mengatakan pelawak itu meninggal dunia. "Saya telah dimasukan ke hospital selama lapan hari untuk lakukan pembedahan atas masalah kesihatan yang dialami. "Kesihatan saya kian beransur pulih selepas keluar dari hospital dan kini masih lagi berehat daripada melakukan sebarang aktiviti luar supaya penyakit itu benar-benar pulih," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu. Jelas Os, dia harus mendapatkan rawatan susulan dari hospital berlainan kerana setiap hospital mempunyai kepakaran yang berbeza. "Saya harus berpindah-randah dari hospital Selayang ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kerana setiap hospital mempunyai pakar yang berbeza," katanya yang kini tinggal di Gombak, Selangor bersama keluarga. Sementara itu, Os berkata, dia berharap peminat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya agar kembali sihat seperti sedia-kala. "Saya harap peminat di luar sana dapat sama-sama mendoakan kesejahtera saya agar saya kembali sihat dan dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa," katanya yang keluar hospital Selayang Sabtu lalu. Sementara itu mengenai kerjanya sebagai pemandu teksi Os berkata, dia akan meneruskan kerjayanya itu apabila penyakitnya benar-benar pulih.

Imej Seksi Juliana Evans Ada Batasnya

Pelakon Juliana Evans berkata, dia mempunyai batas tertentu dalam berpakaian khususnya untuk kelihatan seksi dan sentiasa meletakkannya sebagai syarat pada setiap sesi fotografi dan tawaran lakonan untuk mengelak sebarang kontroversi di kemudian hari. Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, 26, berkata, perkara tersebut sudah dipraktikkan sejak berada dalam industri hiburan terutamanya sepanjang tiga tahun menyambung pengajian di luar negara. "Saya berpakaian seksi ada batasannya, yang mana saya meletakkan perkara tersebut sebagai syarat sebelum menerima tawaran fotografi atau berlakon terutamanya ketika berada di luar negara kerana saya tidak mahu perkara itu akan menimbulkan isu. "Ketika belajar di Machigan, Amerika Syarikat saya ada juga buat peragaan dan terima tawaran untuk fotografi dan berlakon dengan agensi di sana, tetapi awal-awal lagi saya sudah letak syarat dan batasan tertentu. "Saya akan beritahu bahawa saya masih orang Malaysia dan mempunyai adat budaya serta mempunyai batasan dalam melakukan segala hal, " ujarnya kepada mStar Online.
Juliana menyambung pengajian selama tiga tahun peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang komunikasi massa di Western Michigan University, Amerika Syarikat pada 2012. Dalam pada itu, Juliana yang kini sudah kembali aktif dalam industri seni tanah air berkata dia juga bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kontroversi. "Saya sentiasa berhati-hati agar tidak mencetuskan kontroversi, ketika saya di luar negara dahulu pun saya beringat bahawa apa sahaja aktiviti saya disana tidak melampaui batas. Saya tahu jika silap langkah pasti saya dituduh terkena kejutan budaya. "Begitu juga bila aktif semula dalam industri, sudah tentu saya sentiasa bersedia dan berhati-hati agar tidak timbul kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik saya," ujarnya. Sementara itu, Juliana berkata, dia tidak meyangka rezekinya lebih melimpah ruah setelah kembali semula dalam industri hiburan tanah air. > Katanya, biarpun menyedari terlalu banyak artis baharu wanita, namun namanya masih menjadi pilihan untuk menjadi jurucakap produk iklan dan menerima tawaran berlakon. "Alhamdulillah, saya juga tidak sangka rezeki saya melimpah ruah sampai ada yang terpaksa ditolak. Pada awalnya saya ingat populariti saya dan merundum kerana sudah tiga tahun tinggalkan negara," ujarnya. Selain itu, menyentuh soal gosip percintaan dengan penyanyi SonaOne, Juliana berkata, mereka hanya sekadar kawan semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Katanya, dia bertemu pemuda itu kerana menemani rakan baiknya Kaka Azraff untuk perbincangan single kolaborasi dengan penyanyi itu. "Saya tidak ada hubungan istimewa dengan SonaOne dan kali terakhir saya bercakap dengan dia pun ketika gosip ini keluar iaitu awal bulan lalu. Dia hanya gelak dan anggap perkara ini sesuatu yang kelakar. "Kalau berjumpa pun kami keluar beramai-ramai kerana saya jumpa dia pun sebab menemani Kaka yang ada projek lagu baru dengan SonaOne," ujarnya.

Pengetahuan Tentang Islam Buka Hati Lana Terima Lamaran David

Pelakon Lana Nodin menjelaskan pengetahuan mendalam David McKienzie tentang Islam antara faktor dia menerima lamaran pemuda itu untuk menjadi suaminya. Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 35, berkata, dia terkejut David atau nama Islamnya Mohd Daud McKienzie mengetahui banyak perkara tentang Islam. "Semasa di awal perkenalan kami saya sudah menegaskan kepadanya bahawa sekiranya dia ingin mengahwini saya dia perlu menukar agamanya. "Bagaimanapun saya pula yang terkejut kerana dia mengetahui perkara itu selain memberikan penjelasan lain tentang Islam dan membuatkan saya terpaku dengannya. "Malah dia memberitahu banyak bergaul dengan masyarakat Islam ketika menetap di Dubai selama 7 tahun selain belajar tentang Islam daripada mereka," katanya kepada mStar Online.
Lana ditemui pada sidang media pengumuman perkahwinannya dengan David yang diadakan di Hotel Istana di sini pada Rabu. Pada majlis itu, Lana memberitahu bakal melangsungkan perkahwinan dengan David yang juga seorang pemain bola tampar Amerika Syarikat itu pada 15 Mei depan. David pernah mewakili negaranya pada peringkat Olimpik sukan itu. Pasangan berkenaan berkenalan ketika bertemu pada sebuah majlis di Singapura pada 26 Oktober lalu. David kemudiannya melamar Lana ketika mereka bercuti di New York, Amerika Syarikat pada 3 Januari lalu. Dalam pada itu, Lana berkata, kekasihnya itu sendiri memilih nama Islamnya Daud bersempena dengan nama salah seorang Nabi ketika menukar agamanya dari Kristian pada 5 Disember tahun lalu.
"Dia memberitahu saya, David adalah nama Nabi Daud dalam bahasa Inggeris dan sebab itu dia memilih nama berkenaan," ujarnya. Sementara itu, Lana berkata, David seorang yang berani dan jujur selain mengamalkan gaya hidup sihat. Malah kata Lana, faktor David yang mempunyai darah campur negara Asia apabila ibunya orang Filipina membuatkan dia lebih selesa kerana dia memahami budaya masyarakat Timur. "Biasanya lelaki Barat gemar berpesta, merokok dan minum alkohol tetapi tidak David. "Malah dia sangat memahami budaya Asia biarpun dibesarkan di Los Angeles, California kerana ibunya berdarah Fillipina," katanya. Dalam perkembangan sama, David ketika mengulas tentang hubungannya dengan Lana memberitahu dia pada awalnya tidak mengetahui bakal isterinya itu adalah seorang selebriti. Namun katanya, selepas melihat reaksi masyarakat di negara ini terhadap Lana semasa mereka keluar berdua menyebabkan dia mengesyaki sesuatu dan mula membuat carian di Google.
"Saya pelik apabila keluar dengannya orang pasti akan memandangnya dan mengambil gambar membuatkan saya tertanya-tanya siapa dia sebenarnya? "Apabila saya membuat carian di Google baharulah saya tahu dia seorang pelakon dan ada pihak menggelarnya sebagai 'Pamela Anderson' Malaysia," katanya. Bagaimanapun kata David, dia menyukai Lana kerana sifat terbuka wanita berkenaan selain dia baik hati dan penyayang. "Pertama kali berbual dengannya di telefon kami berbual selama tujuh jam dan saya suka berbual dengannya kerana dia sangat terbuka dan banyak idea. "Malah keluarga dan teman-teman saya amat menyenanginya," katanya. Pasangan itu bakal disatukan sebagai suami isteri pada majlis yang dijangka akan diadakan di Hotel Istana dengan menggunakan khidmat Bill Bora dan pelakon Lisdawati sebagai perancang perkahwinannya.

Awal Tidak Dapat Kawal Marah Fizikal Anak Dikritik - Scha

Pelakon Scha Alyahya memberitahu tindakan suaminya iaitu Awal Ashaari naik berang dengan komen pengikut Instagram yang mengkritik fizikal anak mereka, Lara Alana adalah kerana tidak dapat mengawal perasaan marah. Scha, 32, berkata, suaminya merupakan seorang yang mudah terasa hati dan menunjukkan reaksi terhadap perasaannya terutama apabila melibatkan orang yang tersayang. "Awal seorang yang mudah menunjukkan ekspresi yang dia rasa, kalau marah dia akan tunjukkan, begitu juga kalau sayang pun kita boleh nampak cara dia. Itu memang dia. "Berbeza dengan saya, kalau ikutkan memang saya pun geram bila ada yang beri komen begitu. Tetapi saya tidak suka tunjuk dan layan perkara itu," ujarnya kepada mStar Online pada majlis pelancaran “Scha Alyahya for Fashion Valet”, di Damansara Performing Art Centre, di sini, Rabu.
Scha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan suaminya yang berang apabila pengikut Instagram menegur hidung anak mereka, Lara Alana yang kini berusia 7 bulan. Peminat itu memberi petua kepada Awal agar kerap mengurut hidung anaknya supaya kelihatan lebih mancung. Scha berkata, dia mengambil sikap enggan melayan kritikan dan komen pengikut laman sosial itu yang dianggap boleh menjatuhkan moral mereka sebagai ibu bapa. "Saya anggap perkara itu sebagai lumrah sejak wujudnya Instagram dan bagi saya ia lebih banyak kepada hentaman. Apa sahaja gambar yang dimuat naik pasti ada sahaja yang mereka kritik termasuklah fizikal Lara. "Apa yang saya cakap dengan Awal, kita tidak tahu siapa mereka yang kritik itu dan bagaimana mereka dibesarkan, jadi kalau kita layan moral kita akan jatuh," katanya. Dalam pada itu, Scha berkata, ketika membuat keputusan untuk membuka laman sosial untuk kanak-kanak itu, mereka sudah bersedia untuk menerima segala respons daripada masyarakat.
Dia juga tidak mahu terlalu memikirkan golongan minoriti yang sentiasa bersikap negatif, sebaliknya memberi perhatian kepada mereka yang suka melihat pembesaran kanak-kanak itu. “Masa Awal buat keputusan untuk bukan Instagram Lara lagi kami dah bersedia untuk terima kritikan. Namun kenapa kita lihat golongan minoriti yang tidak suka kita daripda selebihnya suka melihat perkembangan Lara," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang majlis fesyen tersebut, Scha bakal keluar dengan kolaborasi rekaan fesyennya bersama jenama Fashion Valet. Sebanyak 11 rekaan skirt, seluar dan baju mengikut pilihan cita rasanya yang sudah mula dijual di laman web Fashion Valet. "Sepatutnya pelancaran ini sebelum saya bersalin tetapi masa tidak sesuai kerana saya mengandung dan terpaksa ditangguhkan. "Sebanyak 11 rekaan skirt, seluar dan baju mengikut citarasa saya dan rekaan yang dipilih oleh pengasas Fashion Valet. Ia berharga sekitar RM129 hingga RM159 sahaja," ujarnya.

ANITA SARAWAK 'BERPISAH' DENGAN MAHATHIR

Penyanyi dan pengacara bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak diberitakan telah berpisah dengan suaminya Mahathir Abdullah akibat perkahwinan mereka dilanda masalah. Malah menerusi laporan BiPop, pasangan ini dikhabarkan sudah berpisah sejak tahun lalu dan kini Anita atau lebih dikenali sebagai Kak Nita kembali menyanyi di tempat lamanya iaitu di Caesar’s Palace, Las Vegas, USA.
Hubungan mereka dikatakan dingin berhubung satu insiden yang mana melibatkan kawan baik Anita sendiri sehinggakan menjerumus kepada masalah rumah. Apa-apa pun, marilah kita doakan yang terbaik untuk mereka.

Ada Sebab Hairul Azreen Tidak Muncul Majlis Pertunangan Sendiri

Pelakon Hairul Azreen menjelaskan dia sengaja tidak hadir ke majlis pertunangannya dengan Hanis Zalikha yang berlangsung di kediaman aktres itu di Bukit Jelutong dekat sini pada Sabtu lalu. Hairul, 27, berkata, dia mahu memberi penghormatan kepada keluarganya untuk mewakilinya pada majlis itu selain ingin merasai debaran bergelar tunangan orang. "Saya memang sengaja tidak pergi masa bertunang malah tidak muncul selepas majlis selesai berlangsung kerana ingin memberi peluang kepada keluarga terutamanya ibu untuk mengenali bakal menantunya lebih dekat. "Sebelum ini pun saya sudah melamar Hanis dalam sebuah program siaran langsung jadi kali ini biarlah saya diwakili keluarga sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad. Pasangan itu bakal melangsungkan pernikahan pada 5 Jun depan manakala majlis resepsi akan diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 14 Jun. Tambah Hairul, biarpun tidak menghadiri majlis pertunangannya dia tetap berasa gementar tentang majlis berkenaan dan bersyukur semuanya berjalan lancar. "Gementar melamar Hanis semasa dalam program Gegar Verganza pun tidak macam ini dan macam-macam yang saya fikirkan.
Ibu Hairul menyarungkan cincin pertunangan di jari Hanis. Foto Ihsan Omaroza. "Tetapi Alhamdulillah semuanya selesai dan saya harap peminat dapat doakan yang baik-baik untuk kami berdua," katanya. Dalam pada itu, Hairul berkata, dia sendiri meminta disatukan dengan Hanis pada 5 Jun depan kerana tidak mahu menunggu lama untuk memperisterikan wanita itu. Jelas Hairul, sebelum melamar Hanis dalam program Gegar Verganza pada Januari lalu, dia sudah bersedia untuk ke alam perkahwinan dan tidak melihat ada sebarang sebab untuk dia melambat-lambatkan perkara yang dituntut dalam agama Islam. "Sebelum melamar Hanis lagi saya sudah bersedia dari semua segi terutamanya dari segi kewangan dan sebab itu saya berani melamarnya. "Atas dasar itu juga saya tidak mahu melengah-lengahkan perkara baik dan hanya mengikat tali pertunangan selama tiga bulan sahaja," katanya. Sementara itu, Hairul berkata, dia kini sibuk menguruskan studionya yang menyediakan set hospital untuk tujuan penggambaran drama dan filem. Jelas Hairul, setakat ini dia menerima banyak permintaan daripada produksi untuk menggunakan set tersebut dan merancang untuk mengembangkan lagi bisnesnya itu. "Saya sudah lima bulan tidak berlakon kerana sibuk menguruskan studio saya dan Alhamdulillah permintaan untuk menggunakan set hospital sangat tinggi daripada produksi. "Malah saya merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan itu selain berhasrat melibatkan diri dalam bisnes lain selepas ini," ujarnya.

Tuduhan Tidak Berdisiplin Calarkan Nama Miera Leyana

Pelakon Miera Leyana menganggap tuduhan kononnya dia tidak berdisiplin ketika menjayakan penggambaran sebuah drama bersiri mampu mencalarkan imejnya sebagai seorang artis. Miera, 22, berkata, dakwaan berkenaan tidak adil buat dirinya kerana ia mampu memberi impak terhadap kerjayanya sekiranya ia dibaca oleh penerbit atau produksi lain tanpa mengetahui kisah sebenar. "Sebelum ini saya tidak ambil hati jika ada cerita gosip mengenai saya ditulis tetapi apabila ia melibatkan soal kerja saya rasa ia melampau dan tidak adil tanpa bertanya sendiri kepada saya terlebih dahulu. "Ini adalah periuk nasi saya, bayangkan kalau ada penerbit atau produksi membaca cerita itu sudah pasti pandangan mereka terhadap saya berubah walaupun saya tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad. Miera mengulas mengenai gosip kononnya dia sering datang lewat dan menimbulkan masalah selain memberikan pelbagai alasan tidak munasabah ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersiri. Tambahnya, sekiranya benar dia bersikap sedemikian dia yakin kerjaya lakonannya sudah lama terkubur dan dia pertama kali mendengar dakwaan seperti itu. "Saya sudah berlakon dengan pelbagai produksi dan Alhamdulillah setakat ini belum lagi timbul isu disiplin seperti mana dakwaan pihak tersebut.
Miera mahu memberikan fokus kepada karier lakonannya. "Bukan hendak kata saya seorang manusia sempurna tetapi saya cuba memberikan komitmen terbaik dalam melunaskan tanggungjawab diberikan," ujarnya. Dalam pada itu, Miera mengakui dia tidak menghadiri satu sesi fotografi bersama barisan pelakon drama berkenaan dan masalah alahan pada kulit menjadi punca kepada perkara itu. Bagaimanapun kata Miera, dia terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak produksi dan mereka memahami situasinya dan membenarkannya tidak hadir pada sesi fotografi itu. "Saya bukan cuba cipta alasan tetapi kulit wajah saya memang tengah teruk ketika itu dan pihak produksi juga mengetahui mengenainya dan membenarkan saya menarik diri daripada sesi fotografi berkenaan. "Sekarang lain pula ceritanya kononnya saya sengaja mencipta alasan wahal mereka tahu perkara sebenarnya. Sekiranya mereka tetap mahu saya pergi ke sesi fotografi itu, saya pasti datang," katanya. Sementara itu, bercakap soal peribadi, Miera berkata, dia kini tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal berkenaan kerana terlalu sibuk dengan karier lakonannya. Jelas Miera lagi, dia tidak terdesak atau tertekan untuk mencari teman hidup memandangkan usianya yang masih muda. "Kehidupan saya kini tertumpu kepada kerja dan sekarang bukan masanya untuk mencari teman lelaki. Lagipun usia saya masih muda dan lebih baik saya fokus kepada kerjaya," katanya. Dalam perkembangan lain, Miera berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Memori Cinta Suraya sebanyak 140 episod. Drama terbitan Global Station itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Afiq Muiz, Hisyam Hamid dan Anzalna Nasir.

Aiman Hakim & Nur Fathia Tangguh Kahwin Kerana Halangan Kontrak Iklan

Pelakon Aiman Hakim memberitahu salah satu punca dia dan kekasihnya pelakon Nur Fathia Latiff, 27, belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat adalah disebabkan terikat dengan kontrak iklan. Aiman atau nama sebanarnya Aiman Hakim Ridza, 25, berkata, mereka berdua masih dalam kontrak produk iklan yang memerlukan status tersebut (solo) dikekalkan dalam tempoh masa tertentu. "Kami tiada masalah lain kerana keluarga kami sudah kenal masing-masing cuma masalah jadual kerja yang padat dan masih dalam kontrak iklan. "Saya ada kontrak dengan Garnier selama lima tahun dan Fathia pula terikat dengan produk kosmetik Avon. Bukan tidak boleh kahwin tetapi perlu beritahu awal-awal kerana mereka perlu tukar branding iklan tersebut," ujarnya kepada mStar Online.
Hubungan cinta Fathia dan Aiman kembali bertaut. Aiman berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan hubungan percintaannya dengan pelakon Fathia yang dilaporkan putus Februari lalu sudah bersambung semula. Sementara itu, ditanya mendalam tentang hubungan yang pernah terputus itu, Aiman berkata, ia adalah asam garam setiap hubungan percintaan. "Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan percintaan sudah tentu ada naik dan turunnya. Sekarang hubungan kami semakin baik dan saya harap semua doakan yang terbaik sahaja. "Saya tidak mahu ulas perkara ini dan mahu terus fikir ke hadapan sahaja," ujarnya. Dalam pada itu, Aiman berkata, dia kini bersikap terbuka dalam bercerita tentang hubungan percintaan tersebut berikutan ai adalah sesuatu perkara positif. Katanya, pengalaman beberapa tahun dalam industri hiburan membuatkan dirinya semakin matang untuk berhadapan dengan isu dan kontroversi.

Syafiq Kyle Terkejut Dituduh Pukul Uqasha Senrose

Pelakon Syafiq Kyle terkejut selepas dituduh memukul kekasihnya iaitu Uqasha Senrose kononnya sehingga wanita berkenaan mengalami kecederaan pada wajah. Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 23, berkata, dia tidak takut dengan dakwaan tersebut kerana ia sama sekali tidak benar dan menganggap ia sebagai mengarut. "Tidak ada gunanya saya menghabiskan tenaga dengan melayan gosip murahan seperti itu kerana saya sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya asas cerita berkenaan. "Banyak benda yang tidak benar dilaporkan tentang saya dan yang terbaharu ini tiada bezanya kerana ia remah dan mengarut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Komen peminat yang mendakwa Syafiq seorang kaki pukul dan pernah bertindak memukul Uqasha. Syafiq mengulas tuduhan dalam ruangan komen peminat menerusi artikel di portal Rotikaya yang mendakwa pasangan itu sudah berpisah dan kini Uqasha sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki dikenali sebagai Ben Ali. Menerusi komen itu, peminat berkenaan melabel Syafiq sebagai lelaki dayus kerana memukul Uqasha dan mereka patut berpisah. Dalam pada itu, Syafiq berkata, dia tidak pasti apakah motif sebenar disebalik dakwaan tersebut namun ia sama sekali tidak memberi kesan kepadanya. Malah kata Syafiq, sepanjang bergelar artis dia tidak pernah memberi perhatian atau membaca ruangan gosip.
Syafiq menjelaskan hubungan Uqasha dengan Ben hanya sekadar kawan baik. "Pihak yang buat dakwaan itu nampaknya tidak mengenali saya secara peribadi dan atas dasar apa dia buat dakwaan seperti itu?" soalnya. Sementara itu, Syafiq berkata, hubungannya dengan Uqasha masih berjalan seperti biasa dan dakwaan kononnya mereka sudah berpisah tidak benar. Malah kata Syafiq, dakwaan kononnya Uqasha kini sudah menemui pengganti dengan seorang pelakon baru yang dikenali sebagai Ben Ali adalah tidak benar dan lelaki berkenaan adalah sahabat baik Uqasha.
"Uqasha dan Ben sudah berkawan baik sebelum kami kenal lagi malah saya sendiri rapat dengan pemuda itu. "Dakwaan mereka bercinta adalah tidak benar dan gosip itu saya anggap bersifat kebudak-budakkan kerana ia hanya berdasarkan telahan tanpa sebarang bukti kukuh," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Syafiq berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran drama istimewa bersempena sambutan Hari Guru berjudul Kerana Dia Juga Cikgu untuk siaran slot Cerekarama di TV3. Drama terbitan Langkah Karya Production Sdn Bhd itu, diarahkan oleh Keoi Khalid dan turut membariskan barisan pelakon seperti Rita Rudaini, Azhan Rani, Izzuan Fikri dan Mak Wan Latah.

Komen Lucah: Nora Danish Anggap Anak-Anak Semakin Biadab

Pelakon Nora Danish meminta ibu-bapa agar melakukan pemantauan terhadap anak-anak mereka ketika melayari Internet termasuklah laman sosial untuk mengelak mereka menjadi biadab. Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, perkara tersebut bakal mendedahkan kanak-kanak untuk menulis secara terbuka dengan komen yang biadap dan berunsur lucah. "Saya juga mempunyai seorang anak, jangan biarkan teknologi moden membuatkan mereka menjadi biadap. Terlalu awal untuk mereka menerima benda-benda sebegini. Di Instagram banyak benda-benda lain juga, gambar lucah pun banyak. "Kalau orang dewasa yang komen begitu, saya akan block sahaja. Tetapi ini kanak-kanak yang sangat mengecewakan saya," ujarnya seperti ditulis di laman Instagram miliknya pada pagi Selasa.
Nora berkata demikian kerana sering menerima komen berunsur lucah dan biadap daripada kanak-kanak di laman sosial instagram miliknya tanpa perasaan malu. Dia yang mempunyai 1.7 juta pengikut di laman Instgram menganggap tindakannya untuk menegur perkara itu adalah sebagai satu tanggungjawab dan keperihatinan terhadap masalah tersebut. "Setiap hari saya menerima komen berunsur lucah dan biadap daripada kanak-kanak. Jika instagram ini membuatkan mereka biadap janganlah beri mereka telefon. "Anda mungkin tidak sedar kerana bukan anda yang menerima komen setiap hari dengan banyak," ujarnya.

Fara Fauzana Mahu Daki Gunung Kinabalu

Pengacara dan penyampai radio Fara Fauzana ingin mencipta sejarah baru dalam hidupnya iaitu mendaki Gunung Kinabalu, Sabah pada tahun ini. Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 35, berkata, keputusan itu diambilnya selepas dia berjaya melakukan aktiviti berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia lima tahun lalu. "Pada mulanya saya merancang untuk mendaki Kinabalu pada Februari lalu, tetapi disebabkan kekangan tugas, saya terpaksa manunda ke bulan April depan. "Walaubagaimanapun, saya tetap menunaikan hajat saya pada tahun ini juga kerana ia merupakan hasrat saya yang harus dilaksanakan untuk berada di atas gunung tersebut selepas kejayaan berbasikal pada lima tahun lalu," katanya kepada mStar Online.
Fara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media 'Pengumuman Pelantikan Duta Produk Pharmaton' di Talent Lounge, PJ Trade Centre, Damansara Perdana di sini, Selasa. Pihak Pharmaton telah melantik Fara Fauzana dan cef selebriti, Sherson Lian sebagai wajah terbaharu produk tersebut. Dalam perkembangan berkaitan Fara berkata, persedian awal untuk mendaki Gunung Kinabalu telah dilakukannya pada tahun lalu agar memperoleh ketahanan mental sebelum melalui cabaran yang sebenar. "Sebagai persedian awal saya telah berjaya mendaki Bukit Broga, (Semenyeh) dan Gunung Datuk (Rembau). "Jika mempunyai masa saya akan pergi ke gim sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. "Saya juga melakukan senaman lain sekurang-kurangnya sejam sehari agar badan saya mengeluarkan peluh selain menyihatkan tubuh badan," katanya. Mengenai Pharmaton, Fara berkata, dengan mengamal produk berkenaan ia dapat memberi tenaga tambahan kepadanya untuk kembali cergas kerana tugasnya sebagai penyampai radio.

Rampas Kekasih: Kaka Azraff Tak Pernah Elak Jumpa Tasha Shilla

Penyanyi Kaka Azraff tidak muncul pada majlis berinai pelakon Sharifah Sakinah pada 21 Mac lalu bukan kerana mahu mengelak bertemu Tasha Shilla selepas dia dikatakan merampas kekasih wanita itu. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 26, sebaliknya berkata, dia terikat dengan penggambaran drama berjudul Dunia Generasi Baru. "Bukan saya tidak mahu datang tetapi ketika majlis itu berlangsung saya sedang menjalani penggambaran drama. Bukan majlis itu sahaja, majlis resepsi Hanez Suraya pun saya tidak dapat datang. "Saya tidak pernah berniat untuk mengelak daripada siapa pun termasuk Tasha Shilla kerana saya tahu bahawa saya tidak bersalah dalam hubungan mereka," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Bukan Hal Aku, di pejabat Warner Music, di sini, Selasa. Kaka diminta mengulas tentang ketidakhadirannya pada majlis malam berinai Sharifah Sakinah pada Sabtu lalu selepas timbul gosip dia bimbang berjumpa Tasha Shilla kerana merampas kekasih wanita itu, Hans Wong.
Kaka dan Tasha Shilla merupakan antara rakan baik yang pernah mengikut Sharifah Sakinah bercuti di Bali bagi meraikan pesta ‘Bridal Shower’ pelakon itu pada Januari lalu. Khabar angin sebelum ini mengatakan Kaka menjadi punca hubungan percintaan Tasha Shilla dan kekasihnya Hans berantakan. Dalam pada itu, Kaka memberitahu dia enggan mengulas panjang tentang gosip tersebut berikutan ia adalah satu fitnah yang berat buat dirinya. "Saya tidak mahu cakap banyak tentang perkara itu dan biar Hans dan Tasha yang buka mulut menjelaskannya, lagi pun saya dengar mereka sudah berbaik semula. "Saya anggap khabar angin ini hanyalah satu fitnah dan satu hari nanti orang akan tahu kebenarannya," ujar Kaka. Sementara itu, ditanya tentang hubungannya dengan pelakon wanita itu apabila timbul gosip tersebut, Kaka berkata dia hanya mengenali Tasha sebagai rakan artis dan hanya bertemu pada majlis-majlis hiburan sahaja. Dalam pada itu, bercerita tentang single Bukan Hal Aku, Kaka berkata ia adalah lagu yang benar-benar menepati cita rasanya.
Katanya, lagu tersebut juga menceritakan tentang perjalanannya dalam industri nyanyian tanah air. "Saya seorang peminat lagu hip-hop dan lagu Bukan Hal Aku ini benar-benar kena dengan jiwa saya. "Lagu ini santai didengar dan ia menceritakan tentang perjalanan kerjaya nyanyian saya juga dalam industri," katanya. Lagu Bukan Hal Aku nyanyian Kaka featuring Sleeq merupakan ciptaan The Good Fella.

Ibu Diserang Strok, Johan As'ari Mohon Doa Peminat

Ibu kepada pelakon Johan As'ari iaitu Datin Firdaus Abdul Kader, 58, diserang penyakit strok (angin ahmar) kira-kira pukul 12 tengah hari, Jumaat di kediamannya di Subang Jaya dekat sini. Johan, 29, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat sebelum ibunya tiba-tiba rebah ketika sedang berehat di ruang tamu. "Sebenarnya ini bukan kali pertama ibu mengalami serangan strok kerana sebelum ini dia pernah tiga kali diserang penyakit sama tetapi hanya mild strok (strok ringan) dan kembali pulih seperti sedia kala. "Ini adalah kejadian kali keempat tetapi saya berasa sedih kerana keadaannya agak membimbangkan berbanding sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat. Jelas Johan, semasa ibunya rebah dia dan adiknya segera memapah dan membawa wanita berkenaan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan di unit kecemasan. Dalam pada itu, Johan berkata, buat masa ini dia sedang menunggu laporan daripada doktor untuk mengetahui situasi penyakit ibunya itu. Kata Johan, bahagian kiri badan ibunya tidak memberi respons selain tidak bermaya untuk bercakap. "Resah hati saya hanya Allah yang tahu kerana kali ini keadaan ibu agak teruk. Doktor telah memindahkan ibu daripada wad kecemasan biasa ke 'bilik merah' selain tidak membenarkan kami untuk berada dalam wad buat masa ini," jelasnya yang sebak menceritakan situasi itu. Sementara itu, Johan berkata, dia berharap peminat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ibunya agar wanita berkenaan kembali sihat seperti sedia kala. "Ibu adalah nyawa saya dan luluh hati saya melihatnya dalam keadaan begitu. Saya harap peminat dapat sama-sama mendoakan kesejahteraannya agar beliau kembali sihat," katanya.

Bakat AG (Hot FM) Semakin Dipandang Serius

Penyampai radio Hot FM iaitu AG bersyukur bakatnya sebagai pengacara mula dipandang serius selepas diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos acara besar seperti Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014). AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat, 35, berkata, kepercayaan diberikan bukan kerana dia sekadar pilihan kedua sebaliknya ia adalah usaha dia dari bawah untuk mencapai tahap tersebut. "Setiap pengacara ada matlamat mereka dalam bidang ini dan begitu juga saya. Kepercayaan diberikan bukan datang bergolek sebaliknya menerusi usaha dari bawah. "Saya bersyukur kerana mula dipandang sebagai hos dan kepercayaan itu saya terima dan perlu menggalasnya dengan baik," katanya kepada mStar Online. DFKL 2015 bakal berlangsung pada malam Sabtu (malam ini) dan AG akan bergandingan dengan pelakon Yana Samsudin pada acara yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu.
AG dan Yana Samsudin. Dalam pada itu, AG berkata, dia tidak melihat pemilihannya sebagai hos dua acara besar itu selepas ketiadaan beberapa nama besar lain untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. Sebaliknya kata AG, bidang pengacaraan juga mempunyai kitaran dan dia sendiri sudah bersedia sekiranya tidak diperlukan lagi selepas ini. "Hidup ini umpama roda. Pengacara datang dan pergi. Mungkin sekarang masa saya tetapi persediaan juga perlu dilakukan sekiranya tidak diperlukan lagi selepas ini. "Itu adalah hakikat yang perlu semua termasuk saya hadapi," ujarnya. Sementara itu, AG berkata, dia tidak berasa terlalu tertekan untuk mengendalikan dua acara besar dalam tempoh terdekat kerana padanya persediaan rapi dapat membantunya mengatasi perasaan itu. "Insya-Allah dengan persediaan rapi dan latihan secukupnya semuanya akan berjalan dengan lancar. "Sebagai seorang pengacara saya tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan perasaan gemuruh itu biarpun ia adalah perkara biasa," katanya.

Kamal Adli Diserang di Instagram Kerana Gosip Cinta Emma Maembong

Pelakon Kamal Adli memberitahu diserang oleh segelintir pengguna laman sosial akibat gosip hubungannya dengan pelakon Emma Maembong. Kamal, 29, berkata, rata-rata menulis ayat yang tidak sopan dan meminta dia agar tidak menganggu hubungan percintaan pelakon itu dengan pelawak Zizan Razak. "Sejak gosip itu saya dihentam di laman sosial di instagram terutama peminat daripada kedua-dua artis itu. "Mereka menulis perkataan yang tidak seduai dan meminta saya menjaukan diri daripada pasangan ini, ada juga yang ingin ingin berjumpa saya untuk berhentam, "Saya gelak sahaja baca komen-komen mereka dan terfikir bagaimana boleh terlalu obses dengan artis," ujarnya.
Kamal berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip hubungan rapat dengan aktres Emma Maembong dan membawa pelakon itu bertemu keluarga. Kamal dalam satu kenyataan kepada Mstar Online pada Selasa telah menafikan perkara tersebut dan menjelaskan hubungan rapat tidak lebih sebagai seorang rakan sekerja. Kamal turut meminta agar peminat-peminat kedua-dua belah pihak bertenang dan menunggu jawapan daripada pasangan tersebut tentang cerita sebanar. Dalam pada itu, ditanya tentang hubungannya dengan Zizan Razak, Kamal berkata, dia tidak menghubungi pelawak itu kerana kedua-dua mereka sudah berpisah. "Masa gosip saya hantar Emma ke lapangan terbang dulu saya ada hubungi Zizan untuk menjernihkan perkara itu, namun gosip yang bawa dia jumpa keluarga ini saya malas lagi nak layan," ujarnya.

Isu Bakal Bertunang Buat Nelydia Senrose Tertekan

Pelakon Nelydia Senrose memberitahu dakwaan bakal mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat dengan kekasihnya Qi Razali membuatkan dirinya tertekan dengan pertanyaan daripada pelbagai pihak. Nelydia, 21, berkata, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan tentang isu tersebut bagi menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak. “Ada baiknya saya tidak komen apa-apa kerana berita buat saya tertekan kerana ramai sangat yang bertanya hal itu. Lagi pula ia bukan keluar daripada mulut saya. “Ia bukan kerana saya ingin memberi hak eksklusif pada mana-mana stesen televisyen tetapi saya mahu menjaga hati keluarga masing-masing, namun apa yang boleh saya cakap maklumat yang diberi di blog hiburan bahawa kami confirm akan bertunang adalah tidak benar,” ujarnya kepada mStar Online. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu pertunangannya dengan pelakon Qi Razali yang dikatakan bakal dilangsungkan dalam masa terdekat. Dia ditemui pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015, yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, Sabtu. Nelydia memenangi kategori Hero dan Heroin Pilihan menerusi drama Setitik Kasih Darmia bersama pelakon Sharnaaz Ahmad. Sementara itu, Nelydia turut menafikan dia kini sedang memerlahankan kerjayanya untuk persiapan pertunangan tersebut. “Ramai yang bertanya tentang perkara itu, namun saya rasa tidak perlu untuk bercakap apa-apa dulu yang tidak pasti. “Saya masih sibuk berlakon, selagi ada yang tawarkan watak yang baik saya akan ambil,” ujarnya. Sementara itu, mengulas tentang kemenangannya sebagai Hero dan Heroin Pilihan, Nelydia berkata, keserasian antara dia dan Sharnaaz Ahmad mudah dicapai dalam setiap drama. Katanya, Sharnaaz merupakan pelakon yang berkualiti dan mempu melakonkan setiap watak dengan baik. “Ini kali kedua kami menang pasangan serasi dan keserasian antara kami kadang-kala disalah erti hingga ke luar set penggambaran. “Bagi saya Sharnaaz pelakon yang bagus dan berkualiti. Dia faham dan tahu apa yang saya cuba sampaikan kepadanya walau tidak terdapat dalam skrip,” katanya.

Nazim Bakal Dedah Kisah Pembedahan Di Kepala

Pelakon Nazim Othman bakal mendedahkan penyakit yang dihidapinya sehingga dia terpaksa melakukan pembedahan di kepala. Pendedahan itu akan dibuat dalam program hlive! Apa Kata Malaysia pada Isnin (esok) pukul 9.30 malam di saluran Astro RIA (104) dan Astro Maya HD (135). Ia dihoskan oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi. Hlive dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Ahad memberitahu, dalam temubual itu, Nazim memberi penjelasan terhadap tindakannya untuk berahsia mengenai penyakit berkenaan. "Situasi saya (kali ini) rumit kerana pembedahan ini melibatkan anggota badan yang penting dan serius. Ada kemungkinan saya hilang deria atau kemungkinan lain yang lebih besar," kata Nazim. Berat badan pelakon berusia 31 tahun itu naik sebanyak lima kilogram kesan ubat-ubatan selepas pembedahan. "Bila saya muat naik gambar di Instagram, orang lain tidak tahu yang sebenarnya saya sudah pun menjalani pembedahan," tambah Nazim yang tampil dengan beanie (aksesori kepala) bagi menutup parut kepalanya dalam rancangan itu. Turut dikongsikan bersama hLive! Apa Kata Malaysia ialah saat-saat getir sebelum pembedahan dan impak pembedahan tersebut kepada seluruh kehidupannya.

Kes Dadah: Benjy Mampu Bayar Jamin Selepas 9 Hari Didakwa

Selepas sembilan hari didakwa atas dua tuduhan memiliki dadah dan gagal membayar wang jaminan, Benjy akhirnya dapat 'keluar' daripada penjara setelah Mahkamah membenarkan rayuannya untuk menurunkan kadar jaminan. Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Noor hari ini membenarkan rayuan Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim supaya mahkamah menetapkan jaminan yang lebih rendah memandangkan beliau tidak berkemampuan. Nur A'minahtul Mardiah menetapkan RM5,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan dia melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan. Ketika rayuan peguam Farhan Read yang mewakili Benjy berkata pihak penjamin iaitu tunang dan abang angkat kepada anak guamnya itu hanya mempunyai wang sebanyak RM5,000 sahaja dan tidak mampu membayar lebih daripada itu. Sebelum ini, pada 11 Mac lalu mahkamah yang sama menetapkan RM6,500 dengan seorang penjamin terhadap Benjy namun dia gagal membayar kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi. Benjy, 37, yang popular pada tahun 90-an mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah bersama seorang wanita, Julia Ernie Jamaludin, 26. Mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 9.33 gram dan memiliki dadah jenis sama 3.4 gram di The Reeds Boutique Hotel, No. 9 Jalan Yap Ah Shak, Dang Wangi di sini, pukul 9.30 malam, 5 Mac lepas. Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 14 April depan untuk sebutan kes. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

Nur Risteena Tangguh Belajar Kerana Tawaran Berlakon

Pelakon Nur Risteena menjelaskan keputusannya menangguhkan pengajiannya dalam bidang Komunikasi Massa kerana tawaran lakonan yang datang terlalu banyak. Nur Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 25, berkata, dia juga menyedari tindakannya itu telah menyebabkan segelintir pihak memandang serong terhadapnya dan menganggap dia mengejar glamor. "Saya pilih untuk utamakan karier lakonan kerana tawaran yang datang begitu banyak dan rasanya sayang untuk menolaknya begitu sahaja. "Bukan pelajaran itu tidak penting tetapi ini peluang saya untuk mengumpul wang dan membantu keluarga dan tidak ramai yang memahami perkara itu," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, pelakon yang pernah popular menerusi drama Playboy Itu Suami Aku pernah dikatakan tidak bercakap benar kononnya dia adalah lepasan ijazah dalam jurusan Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pelakon itu menjelaskan dia tidak pernah membuat kenyataan tersebut dan menjelaskan dia sebenarnya menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu.
Nur Risteena tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015. Dalam pada itu, Nur Risteena berkata, pilihannya itu tidak bererti dia tidak mementingkan pelajaran sebaliknya sedang mencari masa sesuai untuk menghabiskan baki dua semester pengajian. Malah dia merancang untuk menyambung kembali pengajiannya di UiTM secara separuh masa atau menerusi pendidikan jarak jauh yang lebih bersesuaian dengan jadual sebagai pelakon. Pengorbanan yang saya lakukan itu bukan mudah tetapi ia juga tidak bererti saya tidak berminat untuk menamatkan pengajian dan sedang mencari masa sesuai untuk berbuat demikian," katanya. Dalam perkembangan lain, Nur Risteena memberitahu dia terkejut apabila mendapat pencalonan menerusi kategori Pelakon Wanita Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini. Jelasnya, pencalonan itu memberi erti besar kepadanya biarpun tidak mengharapkan sebarang kemenangan pada malam itu nanti. "Dicalonkan pun sudah buat saya terkejut kerana tidak menyangka akan tersenarai bersama finalis yang lebih berpengalaman daripada saya," ujarnya. Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Nur Risteena berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama untuk TV3 selain sedang menunggu tiga filem lakonannya iaitu Girlfriend Kontrak, Anak Mami Nasi Kandaq dan Chowrasta ditayangkan di pawagam tahun ini.

Butik Dirompak, Nora Danish Nyaris Tanggung Rugi

Pelakon Nora Danish bernasib baik apabila perabot kafe dan baju jubah jenamanya yang ditempatkan di sebuah butik di Bangsar tidak dicuri dalam satu rompakan yang berlaku pada Selasa lalu. Nora, 32, berkata, dia terkejut apabila diberitahu tentang kejadian itu dan bergegas ke butik berkenaan untuk memeriksa barang-barang perabot yang bernilai kira-kira RM100,000 yang dihias di butik itu. "Saya sangat terkejut apabila mereka memberitahu butik itu dirompak pada pagi Selasa lalu dan saya terus bergegas untuk memeriksa barang-barang saya. "Ketika itu saya baru sahaja bawa masuk perabot sofa, kerusi dan meja untuk dihias di kafe yang bakal dilancarkan itu. Nasib baik semua barang saya masih ada dan baju jubah saya juga tidak diambil. "Mereka ambil jubah-jubah jenama luar negara yang mahal berharga ribuan ringgit," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Khamis.
Nora berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem Isteri Untuk Dijual di Wisma Metrowealth, di sini, Khamis. Katanya, butik berkenaan kerugian lebih RM20,000 dan pemiliknya sudah pun membuat laporan polis pada Selasa lalu. Nora berkata, dia bakal membuka sebuah kafe Kopi & Xoxo di butik berkenaan yang akan dilancarkan secara rasmi pada 27 Mac ini. Katanya, setakat ini dia masih memikirkan tentang menu yang bakal dijual selain mampu menarik pengunjung datang ke kafe tersebut. "Persiapan daripada segi persiapan sudah hampir siap yang mana saya dan kawan-kawan perempuan saya buat sendiri semuannya. "Sekarang kami sedang dalam fasa untuk mencari menu yang sesuai dan mampu menarik orang untuk datang ke kafe itu. Saya mahu orang datang kerana makanan yang kita jual sedap," ujarnya.

Zain Saidin Jadi Duta Ubat Seks Untuk Bantu Kurangkan Cerai

Pelakon Zain Saidin memberitahu tujuan utama dia menjadi duta ubat seks adalah untuk melihat kebahagiaan pasangan suami-isteri yang mungkin mempunyai masalah rumah tangga berpunca daripada masalah kesihatan batin. Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 31, berkata, dia juga berharap dengan adanya produk tersebut ia dapat membantu mengurangkan kadar perceraian yang berpunca daripada masalah berkenaan. "Saya tidak rasa jadi duta produk ini sesuatu yang memalukan kerana realitinya masalah dingin hubungan kelamin sememangnya berlaku yang mana ada pasangan mempunyai masalah terhadap kesihatan batin mereka. "Pada saya ia bertujuan baik untuk menyelamatkan rumah tangga seseorang seterusnya ia mungkin dapat mengurangkan kadar perceraian di negara ini," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini pada Khamis. Zain berkata demikian ketika diminta mengulas tentang beberapa gambar yang dimuat naik di laman Instagram miliknya bagi mempromosikan produk ubat tenaga batin Pesona Rugosa.
Gambar yang dimuat naik Zain di Instagram miliknya bagi mempromosikan produk tersebut. Tambahnya, sebagai seorang lelaki dia turut mengakui bahawa kesihatan batin adalah perkara yang perlu diambil berat dalam melayari hubungan rumah tangga. "Saya anggap tawaran untuk saya menjadi juru cakap produk ini adalah rezeki selepas kahwin dan rezeki anak saya. Jadi saya ambil sahaja peluang itu kerana ia bukan sesuatu yang salah. "Tentang promosi pula pengurusan saya yang uruskannya," ujar Zain. Lebih Tenang Selepas Tunaikan Umrah Sementara itu, ditanya tentang perubahan selepas menunaikan ibadah umrah awal Mac lalu, Zain berkata, kehidupannya kini lebih tenang. Tambahnya, lebih mengembirakan apabila isterinya pelakon Rozita Che Wan mengambil keputusan untuk terus bertudung selepas pulang daripada melakukan ibadah itu. "Alhamdulillah kehidupan kini lebih tenang dan baik, isteri saya pun ambil keputusan untuk bertudung lepas pulang daripada mengerjakan umrah. "Saya suka dia bertudung kerana perkara itu dia buat tanpa paksaan dan ketika dia benar-benar bersedia," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas tentang anaknya Aaishah Dhia Rana dilaporkan sebagai bayi paling popular dan berduit, Zain berkata ia adalah rezeki untuk kanak-kanak itu. Bagaimanapun sebagai bapa, dia juga memilih dan menerima tawaran tajaan bersesuaian dengan usia serta tidak menjejaskan pembesaran bayinya. "Tidaklah berduit tetapi dia banyak dapat sponser sahaja dan bagi saya itu rezeki dia. Kami tidak ambil pun duit dia kerana itu semua untuk masa depan dia nanti. "Memang banyak penaja yang datang tetapi kami juga memastikan tajaan itu tidak menjejaskan pembesaran dia," katanya.

'Perkahwinan Bukti Cinta Terhadap Hanez Suraya' - Romie

Suami kepada Hanez Suraya iaitu Romie Razin Adilha Abd Rais memberitahu perkahwinan adalah bukti dia mencintai wanita berkenaan biarpun sebelum ini hubungan mereka dilanda pelbagai kontroversi. Romie, 35, berkata, dia berharap semua cerita kurang enak mengenai mereka sebelum ini tidak akan dibangkitkan lagi kerana ia sudah menjadi sejarah dalam hidup mereka berdua. "Selepas apa yang kami berdua lalui, Alhamdulillah ia berakhir dengan ikatan yang sah dan berharap tiada apa lagi akan dibangkitkan selepas ini. "Pernikahan ini adalah bukti saya cintakan Hanez dan mahu menjadi seorang suami yang baik dan membimbingnya ke arah kebaikkan selepas ini," katanya. Terdahulu, pasangan berkenaan sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Putra di sini, Sabtu. Hanez, 30, dinikahkan sendiri oleh bapanya, Abdul Aziz Mohd Said di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Abd Manaf Mat dengan mas kahwin sebanyak RM20,000.
Romie dan Hanez selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Dalam pada itu, Romie berkata, dia kagum dengan kecekalan Hanez menghadapi semua kontroversi sehingga membuatkan dia sedar wanita berkenaan adalah pasangan hidupnya yang sesuai. Jelas Romie, penerimaan Hanez terhadap dua anaknya juga membuatkan dia terharu kerana bukan semua wanita sanggup menerima lelaki yang telah pun mempunyai tanggungjawab besar. "Baharu sahaja kahwin, Hanez sudah ada dua anak dan bukan semua wanita sanggup untuk terima tanggungjawab itu. "Tetapi dia cekal dan kuat untuk berhadapan dengan segala cabaran yang dlalui sebelum ini dan doa saya jodoh kami akan berkekalan selama-lamanya," katanya. Sementara itu, Hanez berkata, selepas ini dia akan menumpukan perhatian kepada perkahwinannya dan akan meletakkan karier lakonan ditangga kedua. Pun begitu kata Hanez, dia akan tetap menerima tawaran lakonan yang diberikan kepadanya namun sekiranya mendapat keizinan daripada suaminya. "Masih akan berlakon tetapi buat masa ini rumah tangga dan anak-anak menjadi keutamaan. "Romie juga tidak menghalang saya terus berlakon tetapi saya ingin perlahankan seketika dan itu keputusan saya," ujarnya yang ingin segera menimang cahaya mata. Dalam perkembangan lain, pasangan itu memberitahu merancang untuk mengerjakan ibadah Umrah di Mekkah pada April depan sebagai destinasi bulan madu mereka.

Isteri Dedah Sikap Romantik Amir (Raja Lawak)

Isteri kepada pelawak Amir (Raja Lawak) iaitu Nur Intan Syafinaz Shaari mendedahkan sikap romantik suaminya telah membuatkan dia jatuh cinta dan selesa bersama lelaki itu. Nur Intan, 21, berkata, hadiah sejambak bunga ros yang diberikan Amir kira-kira dua tahun lalu ketika ingin melamarnya sebagai kekasih menjadi memori paling berharga buatnya. "Ramai yang tidak tahu Amir sebenarnya seorang romantik disebalik sikap selamba dan lucu yang ada padanya. "Paling memberi kesan dihati saya semasa kami berkunjung ke Port Dickson dan dia tiba-tiba membawa sejambak bunga dan suasana ketika itu sangat romantik," katanya. Terdahulu, pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di kediaman Nur Intan di Kampung Gajah, Sungai Buloh pada petang Sabtu. Amir atau nama sebenanrnya, Mohammad Amirullah Azmi, 27, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 manakala RM13,000 sebagai wang hantaran. Akad nikah itu disempurnakan oleh Jurunikah Masjid Kampung Gajah Sungai Buloh, Mahmud Ahmad dan berwakil walikan bapa pengantin perempuan, Shaari Sabri. Dalam pada itu, Amir berkata, dia berasa bersyukur dapat memperisterikan Nur Intan dan menyifatkan dirinya bertuah kerana wanita berkenaan sangat memahami dirinya secara peribadi dan profesional. Jelas Amir, isterinya itu sangat memahami kerjayanya sebagai pelawak dan sentiasa menjadi pendorongnya untuk lebih berjaya pada masa hadapan. "Sepanjang kami berkawan dan bercinta dialah yang banyak beri semangat kepada saya dan begitu memahami saya. "Saya harap perkahwinan ini akan berkekalan sampai akhir hayat kami berdua," katanya. Sementara itu, Amir berkata, selepas ini dia akan menetap di rumah mertuanya buat sementara waktu sebelum mencari tempat tinggal sesuai untuk mereka memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Jelas Amir, dia juga berharap akan segera menimang cahaya mata sebagai pelengkap kepada rumah tangga mereka. "Perkahwinan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk membahagiakan orang yang saya sayangi," jelasnya yang merancang membawa isterinya berbulan madu destinasi dalam negara. Dalam perkembangan lain, pasangan itu akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada Ahad (hari ini) di rumah pihak perempuan sebelum mengadakan majlis sama di Kelantan.

Setahun Kahwin, Puteri Sarah Masih Proses Kenali Syamsul Yusof

Pelakon Puteri Sarah memberitahu tidak sedar bahawa usia perkahwinannya dengan pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, 31, sudah pun memasuki ulang tahun pertama pada 8 Mac lalu. Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 30, berkata, kedua-dua mereka masih lagi dalam proses mengenali antara satu sama lain dan belajar menjalankan tanggungjawab seorang isteri. "Saya tak rasa seperti sudah setahun usia perkahwinan kami, ia seperti baru semalam sahaja sebab kami masih lagi mengenali satu sama lain. "Saya juga masih belajar banyak perkara tentang Syamsul dan masih belajar menjalankan tanggungjawab sebagai isteri," ujarnya kepada mStar Online. Puteri Sarah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang usia genap setahun perkahwinan mereka pada 8 Mac 2014. Sementara itu, Sarah berkata, setahun melayari kehidupan berumah tangga ini banyak mengajarnya tentang perkongsian hidup sebagai suami isteri disamping mengutamakan tanggungjawab sebagai isteri. "Dalam tempoh setahun ini saya banyak belajar tentang perkongsian hidup bersama pasangan kita, yang mana keutamaan kini diberikan kepada suami. "Kalau dulu kita hanya fikir fasal kita sahaja, namun sekarang sebelum pergi kerja perlu uruskan hal suami dan balik kerja juga begitu," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang kerjaya lakonan, katanya, dia sudah tidak berminat untuk berlakon sejak mendirikan rumah tangga. Kata Sarah, dia kini lebih menumpukan perhatian terhadap bidang pungurusan butik dan janama pakaian muslimah Shara by Puteri Sarah yang diusahakan sejak setahun lalu. "Sejak pakai tudung saya dah jarang berlakon dan selepas berumah tangga saya memang ingin berhenti terus untuk menumpukan perhatian sebagai isteri sahaja. "Namun, saya akan bekerja sebagai pengurus di sebuah butik iaitu Rumoda di Bangsar. Bekerja di butik lebih banyak masa untuk bersama keluarga dan suami," ujarnya.

Nina Iskandar Komen Putus Tunang, Buka Tudung

Pelakon berasal daripada Brunei, Nina Iskandar menjelaskan bahawa hal berkaitan pertunangan dengan ahli perniagaan Ahmed Haiqal, 31, adalah terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum. Nina, 24, berkata, dia tidak mahu mengulas panjang tentang perkara itu dan berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat hubungan mereka. "Ini adalah hal peribadi dan saya tidak selesa untuk komen panjang lebar tentang perkara ini. "Bagaimanapun, sekurang-kurangnya anda doakan sahaja yang terbaik buat diri saya," ujarnya kepada mStar Online di sini, Ahad. Nina berkata demikian ketika diminta mengulas tentang ruangan pojok di akhbar mingguan tentang hubungan pertunangannya yang dikatakan sudah berakhir. Sementara itu, Nina juga menafikan hubungannya dengan pihak pengurusan MIG renggang dan kini sudah pulang ke Brunei.
Malah, dia juga terkilan apabila didakwa meminta simpati daripada syarikat pengurusan tersebut supaya memberinya tawaran berlakon. "Gosip itu tak logik, tuduh saya minta simpati dekat MIG untuk dapat tawaran, apa pula, saya masih dalam kontrak pihak pengurusan itu. "Lagi pula saya baru sahaja selesai penggambaran dua buah drama siri yang bakal keluar di slot Azalea berjudul Dendam Semalam dan Padamu Aku Bersujud pada April ini. "Saya balik Brunei pun untuk berehat sekejap bersama keluarga dan Insya-Allah akan balik semua ke Kuala Lumpur bulan hadapan," ujarnya. Dalam pada itu, Nina turut ditanya tentang gambar yang dimuat naik di laman Instagram menerima kritikan pengikutnya yang menuduh dia sudah tidak bertudung. Katanya, perkara itu terlalu sensitif untuk dijelaskan dan dia enggan mengambil peduli tentang kritikan masyarakat di laman sosial. "Ramai artis yang ketika fotografi hanya pakai turban meskipun mereka berhijab. Isu inimemang sensitif dan orang yang suka mengkritik selalunya memang hanya mencari kesalahan kita. "Saya manusia biasa yang dicipta dengan kelebihan dan kekurangan sendiri. Ini hidup saya dan saya bukan hidup untuk orang lain, jadi biarlah apa mereka nak kata," ujarnya. Nina mengambil keputusan untuk berhijab pada Mei tahun lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails