Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rawatan Penyakit Batu Karang Sharifah Zarina Tidak Berhasil

Penyanyi Sharifah Zarina menghidap penyakit batu karang dan usaha membuangnya tidak berhasil. Sharifah Zarina, 32, berkata, dia telah menjalani rawatan laser bagi membuang batu karang tersebut pada 24 April lalu, di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini. Saya pernah membuang batu karang pada tahun 2006 lalu melalui beberapa rawatan, tetapi tidak sangka ia jadi semula, malah lebih besar daripada sebelum ini. “Pada 24 April lalu saya menjalani rawatan laser untuk membuangnya, namun dua minggu selepas itu ia masih lagi ada dan pihak hospital akan buat semula pemeriksaan untuk mencari jalan lain membuangnya,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat. Tambah penyanyi Langit Ke Tujuh ini, kedudukan batu karang yang terletak dalam buah pinggangnya membuatkan ia tidak boleh dibuang melalui kaedah pembedahan. Bagaimanapun, dia mengakui tidak pernah mencuba rawatan tradisional sebagai cara alternatif yang kebiasaan digunakan segelintir pesakit batu karang. “Batu karang yang saya hadapi ini agak rumit untuk dibuang kerana ia jauh di bawah buah pinggang dan hanya beberapa kaedah sahaja yang boleh dilakukan. “Rawatan laser yang saya buat pun tidak berkesan dan sekarang mereka sedang fikir cara lain, kalau boleh saya tidak mahu melakukan laser lagi sebab ia sakit dan memerlukan kos yang tinggi. “Rawatan tradisional saya tidak pernah pula cuba kerana apabila rasa sakit saya hanya terus ke hospital sahaja,” katanya. Dalam pada itu, Sharifah Zarina berkata, dia masih boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa namun dia sentiasa bergantung kepada ubat dan perlu meminum air yang banyak bagi mengurangkan kesakitan.

Majlis resepsi Misha Omar meriah

Majlis resepsi perkahwinan penyanyi, Misha Omar, 32, atau nama sebenarnya, Samihah Omar dengan pasangannya Firos Ezzwan Rossly, 32, di Hotel Renaissance di sini malam tadi, meriah dengan kehadiran kira-kira 450 tetamu. Keanggunan kedua-dua mempelai terserlah dengan busana berwarna merah hati yang menekankan konsep mo­den kontemperori hasil rekaan Syaiful Baharim. Majlis resepsi itu dimulakan de­ngan bacaan selawat serta doa sebelum ahli keluarga kedua-dua pengantin menepung tawar pasangan mempelai dalam suasana yang cukup indah. Majlis yang diacarakan oleh penya­nyi Adibah Noor itu turut dihadiri oleh beberapa rakan artis seperti Datuk M Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa, Datuk Hattan serta Nurul. Para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan daripada Dina Nadzir, Jaclyn Victor, Salamiah Hassan dan Fara Fauzana. Dalam pada itu, Misha dan Firos ketika ditemui selepas selesai majlis resepsi berkata, mereka sekeluarga lega setelah majlis ijab kabul serta resepsi yang diatur berjalan dengan baik serta penuh kemeriahan. "Majlis ini telah dimeriahkan dengan rakan-rakan selebriti yang hadir menghiburkan tetamu dan ini adalah hadiah perkahwinan yang cukup bermakna buat saya. "Selain itu, ini juga adalah tanda penghargaan saya untuk menyambut keluarga suami," katanya di sini malam tadi. Misha turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada yang telah menyediakan konsep yang cukup indah dalam merealisasikan impian perkahwinannya. "Ini adalah majlis perkahwinan yang saya idamkan selama ini dan saya sa­ngat berpuas hati dengan segala persiapan termasuk dua persalinan daripada Syaiful Baharim yang cukup indah. "Di kesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada te­ta­mu yang hadir dan sentiasa mendoakan kebahagiaan kami," katanya.

Ani Maiyuni kaki bomoh

Kisah artis dan bomoh ini bukan kisah baharu, tetapi artis jadi bomoh memang satu dalam sejuta. Khabarnya penyanyi Ani Maiyuni kini sudah menjadi bomoh, takut pula Aida dengar pengakuan ini. Jadi siapa-siapa yang pernah buat perhitungan dengan Ani perlu lebih berhati-hati selepas ini, ialah silap hari bulan tidak sempat popular nanti sudah kecundang. Khabarnya kerjaya Ani ini baharu lagi, tetapi jangan risau menurut Ani dia tidak akan gunakan kelebihannya ini di luar hanya untuk beberapa hari sahaja. Pelik pulak, boleh ya guna untuk seketika sahaja kuasa bomoh-bomoh ini. “Memang saya seorang bomoh. “Tetapi jangan risau, kuasa saya ini terbatas,"katanya. Aida tanyakan kepada Ani apa bezanya kuasa bomoh Ani dengan bomoh lain, katanya kuasa bomohnya itu hanya menjadi kalau di atas pentas sahaja. Patutlah rupa-rupanya Ani kini sedang giat menjalani latihan untuk teater Bomoh Dharai. Risau pula kita, kalau artis-artis kini pun sudah sibuk menjadi bomoh, kesianlah bomoh pula terpaksa bersaing. Tetapi jangan terkejut sebenarnya memang ada sebahagian artis kita ini menggunakan perkhidmatan ilmu hitam untuk melariskan kerjaya. Menurut Ani mungkin kalau ada mereka yang di luar sana mahu melihat kesan sebenar ilmu hitam ini, boleh menonton teater lakonannya yang akan di pentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 22 sehingga 24 Mei depan.

Detik terindah Misha

HARI Jumaat, 2 Mei 2014 bersamaan 2 Rejab 1435. Cuti hujung minggu menjadikan bandar Kota Bharu, Kelantan cukup tenang. Malah mungkin lebih tenang daripada kebiasaan. Suasana itu seolah-olah menggambarkan ketenangan sanubari Misha Omar saat figura pelantun lagu 'berhantu', Bunga-Bunga Cinta ini sah bergelar isteri kepada Firos Ezzwan Rossly tepat pukul 9.30 pagi. Sebelum ini, dia mungkin pernah tunduk dan menangis apabila diuji dengan kehilangan bapa tersayang serta majlis pernikahan yang terpaksa ditangguh beberapa kali. Episod duka itu berterusan apabila dia juga dituduh berstatus janda kerana pernah berkahwin. Kali ini, air mata Misha tumpah lagi. Bezanya, dia kini sudah mampu mendongak dengan bibir yang tidak lekang dengan senyuman bahagia. Deraian air matanya pula mengalir untuk meluah jutaan rasa gembira dan kesyukuran kerana akhirnya, cinta mereka berdua tersimpul rapi menerusi ikatan perkahwinan yang sah. “Ketika suami mengucup ubun-ubun, saat itu bagaikan satu pengalaman baharu yang amat menakjubkan bagi saya," ujar Misha, ringkas namun mendalam. Misha, 32, atau nama sebenarnya, Samihah Omar bergelar isteri yang sah kepada Firos, 32, seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) dari Subang Jaya dengan hanya sekali lafaz. Majlis akad nikah itu berlangsung santai di Hotel Renaissance, Kota Bharu dan disempurnakan oleh abang Misha yang juga walinya, Mohd. Rose sambil disaksikan Imam Mukim Chempaka, Ahmad Khamil Mat. Misha yang tampil anggun dengan busana serba putih rekaan Syaiful Baharim menerima lima dulang hantaran, manakala Firos yang segak berbaju Melayu moden turut membalas lima dulang hantaran. Uniknya pernikahan mereka, Misha menerima sepasang gelang emas sebagai mas kahwin daripada insan tercinta manakala tiada wang hantaran disediakan. Dalam majlis yang diacarakan oleh Adibah Nor itu, rakan artis iaitu Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nadzir bertindak sebagai pembawa dulang serta pengapit pengantin perempuan. Kelibat penyanyi Amy Mastura dan Salamiah Hassan serta penggiat seni lain juga kelihatan untuk memberi sokongan dan berkongsi kebahagiaan kedua-dua mempelai. Misha yang kini popular dengan single terbaharu, Angin Syurga dalam pada itu turut menerima kejutan istimewa daripada ibu Firos, Asmah Kenin apabila menerima seutas rantai emas sebagai hadiah perkahwinan. Mereka diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di hotel sama pada sebelah malam manakala pihak lelaki memilih 12 Mei ini untuk meraikan mereka di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Encik Mimpi terus berkarya

POPULAR menerusi lagu Rindukanlah yang dipertaruhkan sebagai single pertamanya, jejaka bertopeng yang hanya mahu dikenali dengan nama pentas Encik Mimpi kembali dengan karya terbaharunya, Ayuh Tinggalkan Dia yang diciptanya sendiri. Tidak sekali mahu menanggalkan topeng mukanya yang dianggap identiti dirinya itu, Encik Mimpi kali ini mempertaruhkan karyanya sendiri apabila lagu dan lirik single baharu berkenaan adalah sepenuhnya dikerah daripada idea dan keringatnya. Mengisahkan luahan rasa seorang jejaka yang begitu mencintai gadis idaman hatinya yang sudah pun mempunyai kekasih hati, namun kesetiaannya dibalas dengan kecurangan kekasih tersebut. Bait-bait lirik tersebut disampaikan dengan penuh kata harapan buat gadis berkenaan yang diharap mampu dimilikinya, sekali gus menasihati agar tinggalkan sahaja lelaki yang tidak menghargai kesetiaan seorang kekasih. Setiap perkataan yang tersurat dalam liriknya membawa maksud yang begitu sinis, sebagai luahan rasa yang tidak kesampaian secara terus, tetapi akan dapat difahami jika dirungkai satu-persatu makna yang tersirat. Sementara itu, mengulas mengenai muziknya, lagu Ayuh Tinggalkan Dia berentak agak catchy, bersesuaian dengan jiwa muda jejaka misteri yang baru menginjak usia 25 tahun ini, berbanding single Rindukanlah yang melodinya digubah sedikit perlahan. Oleh yang demikian, lagu yang disifatkan mesra pendengar, dijangka mampu meniti populariti tersendiri kerana mempunyai disampaikan begitu bersahaja dan santai, di samping memenuhi cita rasa semasa. Pun begitu, menyentuh klip videonya, ia teramatlah ringkas, sekalipun ia divisualkan secara selamba dan terdapat beberapa elemen humor diselitkan. Mungkin disebabkan pelakonnya terutama bakat wanita yang agak kaku, ia sedikit sebanyak menampakkan cela dalam klip berkenaan, ditambah pula suntingan yang tidak begitu kemas dan menarik. Apapun, keseluruhannya ia masih boleh diterima berdasarkan suai padan dengan bait lirik serta rentak lagu yang dipersembahkan Encik Mimpi.

Almy Nadia Enggan Kongsi Kisah Rumah Tangga

Pelakon Almy Nadia memutuskan untuk mengunci mulut daripada menceritakan segala hal rumah tangga yang dibina bersama pelakon Fizz Fairuz. Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati permintaan ibunya agar apa juga yang berlaku dalam rumah tangga tidak diceritakan kepada umum khususnya media. “Ibu memberi nasihat agar tidak menceritakan hal rumah tangga kepada umum kerana ia terlalu peribadi. “Selain itu saya tidak mahu ada pihak yang tidak suka dengan cerita tentang kami. Tiidak semua orang suka kita, jadi lebih baik saya dengar nasihat ibu. ”Selalunya apa yang orang tua cakap itu betul,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. Almy selamat diijabkabulkan dengan pelakon Fizz Fairuz dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, pada 26 April lalu. Majlis resepsi pihak perempuan akan di adakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 31 Mei ini, manakala pihak lelaki pada 7 Jun depan di Raub, Pahang. Dalam pada itu, ditanya tentang gangguan daripada pihak luar terhadap rumah tangganya Almy berkata setakat ini kehidupan mereka berjalan lancar dan dia tidak mahu fikir tentang hal itu. Dia juga menganggap alam perkahwinan dan kehidupan berumahtangga merupakan sebuah kisah baharu dalam dirinya selain bergelar seorang isteri. “Setakat ini Alhamdulillah tiada sebarang gangguan tidak diingini dan saya malas nak fikir perkara seperti itu. “Saya anggap perkara yang sudah lepas sudah habis dan kini buka buku baru,” katanya. Sementara itu, Almy berkata, mereka belum merancang untuk berbulan madu berikutan terlalu sibuk dengan persiapan majlis resepsi kedua-dua belah pihak yang bakal berlangsung. “Insya-Allah lepas selesai majlis resepsi kedua-dua pihak dan selepas majlis Anugerah Bintang Popular barulah kami fikir untuk berbulan madu. “Sekarang ini banyak duit habis, jadi kenalah kerja dulu baru boleh fikir tentang bulan madu,” katanya.

Chef Ismail Pesan Jangan Ambil Makanan Berlebih-Lebihan

Chef selebriti terkenal iaitu Datuk Chef Ismail menasihati semua golongan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam hal penjagaan kesihatan dan tidak mengambil makanan secara berlebih-lebihan. Chef Ismail atau nama sebenarnya Ismail Ahmad, 55, berkata, dia amat risau dengan tabiat itu sehingga ia memberi kesan apabila mereka menghidap penyakit yang serius. "Takut rasanya apabila melihat kanak-kanak kecil sudah mempunyai masalah penyakit berat badan dan lebih teruk lagi mereka terkena diabetis. "Ini semua kerana cara pemakanan yang tidak betul. Kebanyakan masyarakat mudah terkena penyakit akibat pemakanan. Apatah lagi dengan pelbagai bahan pengawet dan pewarna di pasaran yang boleh menjejaskan kesihatan kita," katanya kepada mStar Online di Restoran Rebung di sini pada Selasa. Chef Ismail yang juga duta produk mi segera Mamee Chef ditemui pada majlis Hari Mamee bagi meraikan sambutan Hari Ibu pada 11 Mei ini.
Hadir sama pengurus pemasaran Mamee-Double Decker Sdn Bhd, Soong Shan Mee, penerbit drama, Ziela Jalil, dua pengacara iaitu Aidid Marcello dan Karl Shafek. Dalam pada itu, Chef Ismail turut menepis dakwaan segelintir masyarakat yang menganggap mi segera juga boleh mendatangkan penyakit. "Berdasarkan mi segera yang saya wakili (Mamee) ia bukanlah sejenis makanan yang memudaratkan kesihatan. "Bagi saya, sekiranya pola pemakanan kita betul, tidak ada masalah untuk kita memakan mi segera sekali pun," tuturnya. Dalam pada itu semasa majlis Mamee telah meraikan lima pemenang bertuah hasil daripada isian slogan di Facebook sempena Hari Mamee. "Hari Mamee merupakan salan satu platform yang digunakan untuk mendekatkan jenama Mamee Chef dengan pelanggan bertuah yang dijemput melalui Facebook. "Pelanggan bertuah tersebut dapat meluangkan masa bersama tiga selebriti jemputan selain menyertai tiga jenis aktiviti disediakan oleh pihak Mamee," ujar Soong Shan Mee.

Nomad Sesak Nafas Kerana Gemuruh Di Pentas

Penyanyi baharu Nomad mendedahkan dia masih gagal mengawal rasa gemuruh ketika membuat persembahan pentas sehingga ia mengganggu tumpuannya untuk bergelar penyanyi. Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd Alieef Ayub, 25, berkata, kesan rasa gemuruh dan debaran itu membuatkan dia sukar bernafas dan tidak boleh menyampaikan lagu dengan baik. "Saya masih belum pandai untuk mengawal rasa gemuruh ketika di atas pentas besar terutamanya dalam sesevuah pertandingan. "Rasa gemuruh dan takut membuatkan saya sukar untuk bernafas dengan baik sehingga akhirnya menganggu nyanyian saya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nomad yang popular dengan lagu Tetap Menantimu juga mengaku sudah bersedia untuk berhadapan dengan kritikan dan kontroversi menjadi seorang selebriti. Setakat ini dia pernah dikritik dan dikatakan tidak mampu menyanyi dengan baik oleh peminat menerusi laman sosial.
"Di laman sosial ramai yang bagi komen dan kritikan yang teruk juga. Ada yang komen saya tidak boleh menyanyi dan nyanyian bukan bidang saya. "Tapi saya anggap ia sebagai pembakar semangat dan saya masih berusaha memperbaiki diri menjadi penyanyi lebih baik," katanya. Bagaimanapun dia bersyukur ramai pengikut dan peminatnya yang tetap memberi sokongan untuk dia terus berada dalam bidang ini. Sementara itu, Nomad berkata, dia kini sudah keluar dengan single kedua berjudul Sebuah Janji. Biarpun mengakui tidak terlalu mengemari lagu tersebut, namun dia percaya percaturan yang dibuat oleh pihak pengurusannya iaitu Indigital Sdn Bhd adalah yang terbaik buatnya. "Single kedua saya agak rancak dan berbeza berbanding single pertama. Pada awalnya saya agak kurang gemar kerana saya lebih suka lagu genre balada. "Sebagai orang baru dan tidak tahu tentang industri muzik ini, saya hanya mengikut sahaja apa rancangan pihak pengurusan saya," katanya.

Karl Shafek Minta Video Siang Ikan Tidak Jadi Isu

Pelakon Karl Shafek berharap tidak ada pihak mensensasikan isu rakaman video ikan hidup disiang yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad lalu. Karl Shafek atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 34, berasa terkejut apabila video tersebut menjadi sensitif kepada segelintir pihak yang menyifatkan rakaman itu menunjukkan seseorang itu kejam kerana menyiang ikan yang masih hidup tanpa memastikan ia mati terlebih dahulu. "Sebenarnya saya cuma nak tunjuk cara nak masak ikan yang segar sebab itu saya mengeluarkan rakaman video tersebut di Instagram. "Tak sangka pula ia menjadi sensitif kepada segelintir peminat sedangkan ia merupakan perkara biasa dalam menyiang ikan segar. Ikan itu disiang oleh makcik saya yang menjual ikan patin. Saya hanya merakamkan video. "Saya harap perkara ini tidak disensasikan kerana ia sekadar video biasa," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Isnin. Pada Ahad lalu, Karl telah memuatnaik sebuah video individu sedang menyiang ikan patin yang masih hidup. Video itu mendapat komen daripada para peminat yang mengatakan individu berkenaan sangat kejam kerana menyiang ikan tanpa mengetuk kepala agar ia mati terlebih dahulu sebelum menyiangnya. Ramai yang menganggap Karl Shafek yang menyiang ikan tersebut. Sementara itu, Karl Shafek berkata, dia seorang yang gemar berkongsi cerita mengenai jenis masakan yang ingin dimasak di Instagram. "Sebenarnya saya seorang yang suka memasak begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain. "Maklumlah adik-beradik saya tiga orang dan semuanya lelaki. Kami semua diajar memasak oleh emak. Dan apabila masing-masing dah tahu masak, ketika emak sakit, kamilah yang akan memasak untuk dia," ujarnya. Dalam perkembangan lain, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Masihkah Ada Kasih dan Rindu Awak 200% untuk siaran TV3.

Perginya Aziz Sattar Tidak Mungkin Ada Pengganti

Ketika dunia hiburan baharu sahaja dikejutkan dengan kematian biduanita Kartina Dahari dan dramatis Sidek Hussain, satu lagi berita sedih muncul apabila seniman Datuk Abdul Aziz Sattar pula menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa. Kematian Allahyarham pada usia 89 tahun memberi kesan kepada seluruh peminat filem Melayu kerana lakonannya bukan sahaja menjadi fenomena malah berjaya dikenang oleh setiap generasi sehingga ke hari ini. Aziz atau lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia dan kemudiannya membesar di Pasir Panjang Singapura menjalani kehidupan sukar apabila terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja pada usia 11 tahun ekoran serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu ketika itu. Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.
Biarpun tidak dapat meneruskan persekolahan namun kelebihan yang ada pada Aziz iaitu bakat seninya sejak usianya 10 tahun mampu membawa tuah selain beliau juga sering mengadakan persembahan di majlis perkahwinan di kampungnya. Dari situ, bakatnya terus berkembang dan kebolehannya sebagai penghibur dan pelawak terus mendapat perhatian sehinggalah dia bersma dua orang sahabat dipelawa untuk bekerja di studio Malay Film Production (MFP) sebagai krew penggambaran atas bantuan pelakon Shariff Dol. Berkat kesabarannya Aziz diberikan watak pembantu dalam filem Putus Harapan pada tahun 1953 arahan B. N. Rao sebagai seorang guru sekolah. Biarpun bukan peranan utama namun dia berjaya menjiwai watak berkenaan disamping pelakon utamanya iaitu P.Ramlee, Rokiah Jaafar dan Nordin Ahmad.
Ekoran kejayaannya membawakan watak dalam filem itu dengan baik, pihak pengurusan memberikan kontrak selama tiga tahun untuk bernaung bawah MFP dan di situlah bermulanya karier Allahyarham sebagai pelakon. Aziz telah membintangi lebih daripada 50 buah filem sepanjang kariernya namun sudah tentu paling meninggalkan kesan kepada penonton adalah kemunculannya dalam filem Bujang Lapok bersama P.Ramlee dan S. Shamsuddin pada tahun 1957. Ramli, Sudin dan Aziz - tiga watak yang sehingga kini melekat di hati peminat filem Melayu siri Bujang Lapok dan kejayaan filem itu melonjakkan nama Aziz sebagai salah seorang pelakon dan pelawak terbaik dalam era filem Melayu.
Keserasian tiga sahabat itu membuatkan mereka sering digandingkan bersama antaranya termasuklah Pendekar Bujang Lapok (1959), Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok (1961). Penutupan MFP pada tahun 1967 telah membuka lembaran baharu kepada kerjaya seni Aziz apabila dia mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur bagi merancakkan kembali dunia perfileman Melayu yang hampir pupus ketika itu. Kolaborasi dengan M.Borhan sehingga tertubuhnya Sabah Film meneruskan kerjaya Aziz sebagai pengarah apabila terhasilnya filem Keluarga Si Comat yang turut diarahkan oleh Aziz pada 1975. Tidak hanya mengarah, Aziz turut berlakon dan menulis skrip filem berkenaan yang membariskan pelakon seperti S. Shamsudin, Ibrahim Pendek dan Junainah M.Amin.
Selain Keluarga Si Comat, Aziz turut mengarahkan beberapa buah karya lagi dalam kariernya seperti Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993). Penubuhan syarikat produksi dan penerbitan filem itu telah menjadi pencetus kepada kebangkitan era baharu industri perfileman Melayu sejak itu dan berkembang sehingga ke hari ini. Kontroversi Biarpun personalitinya kelihatan bersahaja dan mudah didekati namun Aziz turut dikenali dengan kelantangannya dalam menyuarakan hak sebagai seorang artis veteran dan pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Beberapa kali penulis sempat menghadiri beberapa acara melibatkan persatuan hiburan di negara ini, Aziz tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir biarpun sekadar mendengar apa yang dibincangkan.
Kata-kata yang diluahkan sama ada pendapat atau pun cadangan sentiasa mendapat perhatian dalam meningkatkan industri perfileman Malaysia. Kelantangannya bersuara bagi menegakkan hak sebagai seorang artis veteran juga sering mendapat perhatian malah keputusannya melepaskan jawatan dalam Karyawan kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez bukti dia bukan mudah dipermainkan. Namun Aziz tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan hibanya apabila ada pihak mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadapnya membuatkan dia merajuk hati dengan situasi dalam industri seni ketika itu. Namun rajuk si Pak Ajis tidak lama kerana sifat pemaaf dan saling memperbetulkan semua salah faham akhirnya menjernihkan semula kemelut yang berlaku.
Dalam pada itu dialognya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok iaitu “siapa tak sayang bini daa…” tetap menjadi ingatan sehingga ke hari ini. Dek kerana populariti dialog itu, maka terhasilah filem yang dibaut dalam bentuk cekera padat video (VCD) iaitu Siapa Tak Sayang Bini hasil tulisan skrip Allahyarham pada tahun 2003. Pemergiannya pada pagi Selasa akibat serangan jantung di Pusat Perubatan KPJ Kajang kira-kira pukul 2 pagi mengejutkan seluruh masyarakat tidak kira tua mahu pun muda. Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini selepas solat Zohor dan pemergiannya ditangisi peminat-peminatnya. Malah rakan artis dari segenap lapisan umur turut berhimpun bagi memberi penghormatan kepadanya selain mereka turut menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan cukup berharga kepada industri perfileman negara.
Allahyarham pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950-an. Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai). Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100. Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012. Hasil perkongsian hidup Aziz dengan perkahwinannya yang terdahulu, beliau dikurniakan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit. Pemergian Aziz Sattar umpama hilangnya sebutir permata. Semoga Allah memberi rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah. Rakan Artis Kongsi Rasa Sedih
Datuk Rosyam Nor Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor sentiasa mengingati Allahyarham sebagai seorang penyelamat kepada industri penerbitan filem ketika ia mengalami kesuraman pada tahun 1980-an menerusi karya arahannya seperti Perawan Malam, Setinggan dan Bujang Lapok Kembali Daa!. Jelas Rosyam, Aziz juga adalah seorang mentor kepadanya ketika mula-mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan pengarahan ketika itu dan pesanannya juga jangan berputus asa untuk berjaya dalam bidang perfileman sentiasa disemat dalam dirinya. "Beberapa filem arahannya pada tahun 1980-an kembali menyemarakkan minat penonton biarpun industri mengalami kesuraman dan nasihatnya supaya sentiasa menimba ilmu dan tidak berputus asa untuk berjaya sentiasa saya pegang sehingga ke hari ini," katanya.
Mustafa Maarof Datuk Mustafa Maarof pula memberitahu memori bersama Aziz ketika bersama-sama bergelar aktor di Studio Jalan Ampas, Singapura antara kenangan manis dalam hidupnya. Jelas Mustafa, biarpun karektornya yang sentiasa ceria dan sentiasa disenangi oleh rakan-rakan namun dia menyifatkan Aziz seorang yang cukup tegas dan mengambil berat terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kebajikan pelakon. "Terlalu banyak memori saya bersamanya dan jika dikupas satu persatu barangkali ia tidak akan berkesudahan namun Allahyarham adalah antara insan yang rapat dengan saya ketika zaman Jalan Ampas. "Biarpun tahu dia menderita penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu namun dia tidak pernah mengadu mengenai kesakitan yang dialami dan sentiasa bersemangat," katanya.
Freddie Fernandez Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez pula menyifatkan semangat dan perjuangan tanpa jemu Aziz memperjuangkan nasib artis veteran sentiasa dikenang oleh semua pihak. Jelas Freddie, Aziz sentiasa bersemangat apabila timbul isu-isu mengenai artis veteran dan ia telah banyak membuka mata banyak pihak. "Satu kehilangan besar kepada semua dan tiada siapa boleh menggantikan tempat Aziz Sattar," katanya.
Aizat Amdan "Tiada lagi legasi Bujang Lapok. Itu luahan artis muda Aizat Amdan namun sebagai seorang artis generasi muda dia membesar dengan filem-filem lakonan Aziz membuatkan pelakon itu sentiasa dekat dengannya. Jelas Aizat, karya-karya yang ditinggalkan oleh Seniman itu akan sentiasa diingati oleh semua kaum di negara ini yang banyak memberi kenangan manis. "Arwah akan sentiasa hidup dalam setiap diri kita kerana kebanyakan daripada kita menonton lakonannya yang sentiasa mencuit hati dan ia sentiasa segar biarpun ditonton berulang kali," katanya.
Melissa Saila Melissa Saila tidak menyangka sambutan hari lahir ibunya iaitu Mariani yang ke 81 tahun baru-baru ini merupakan pertemuan terakhirnya. "Saya tidak pernah menyangka itu adalah kali terakhir saya bertemu dengannya dan kami sempat berbual-bual ketika dia hadir ke majlis dan ceria sepanjang majlis. "Biarpun dia bukan pelakon dari zaman saya tetapi hubungan kami sangat rapat dan dia sering memberi dorongan untuk saya meneruskan perjuangan dalam bidang seni," jelasnya.

Hefny Sahad Bukan Dalang Nad Zainal Putus Cinta

Pelakon Nad Zainal menegaskan hubungan cintanya yang sudah berakhir dengan Azwan Kombos bukan disebabkan pihak ketiga sebaliknya berpunca daripada masalah di antara mereka sendiri. Nad atau nama sebenarnya, Nadia Zainal, 24, berkata, hubungan mereka retak juga bukan kerana cinta lokasinya dengan Hefny Sahad ketika berlakon telefilem Mengintai Syurga Mama pada April lalu seperti mana diperkatakan orang. "Apa yang berlaku antara kami tiada kena mengena dengan pihak ketiga mahupun Hefny. "Saya ada sebab peribadi dan biarlah perkara itu saya simpan sendiri. Lagipun saya dan Azwan sudah berbincang menyelesaikan masalah berkenaan dan ia dianggap sudah selesai. Tidak elok rasanya apabila berlaku masalah di antara kami, ia dikaitkan dengan orang lain," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Nad diminta mengulas mengenai keretakan hubungan cintanya dengan Azwan, 29, yang kononnya berpunca daripada pihak ketiga iaitu Hefny. Mereka dikatakan menjalin hubungan cinta selepas terbabit dalam telefilem Mengintai Syurga Mama, terbitan Zeel Production. Azwan menerusi laporan mStar Online Isnin lalu terkejut dengan kenyataan Nad sedangkan dia menganggap hubungan mereka masih baik seperti biasa.
Sementara itu, Hefny yang dihubungi mStar Online pula terkejut apabila dikatakan menjadi punca perhubungan cinta Nad dan Azwan putus. Katanya, hubungan pasangan itu putus sebelum dia dan Nad menjalani penggambaran drama berkenaan. "Setahu saya, mereka putus sebelum kami digandingkan bersama dalam telefilem itu. Terkejut pula apabila ada orang nak kaitkan saya sebagai punca masalah cinta mereka. "Diakui saya dan Nad mula akrab sejak berlakon bersama. Dia banyak meluahkan masalah peribadinya kepada saya. Dan saya tahu sebab apa mereka putus. Tetapi terus terang saya katakan, saya bukanlah punca putusnya hubungan mereka itu," tegasnya.

Natasha Hudson, Suami Ambil Diploma Dalami Islam

Pelakon Natasha Hudson menjelaskan keputusannya menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Pengajian Islam di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat adalah salah satu cara untuk mendalami agama Islam. Natasha atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson 32, berkata, dia tidak mahu penghijrahannya hanya sekadar di bibir sebaliknya mahu memperbaiki diri dengan cara diredai Allah. "Saya tidak mahu sekadar berhijrah pada kata-kata dan ingin mendalami ilmu tentang Islam dan itu adalah tujuan utama mengapa saya dan suami mengambil diploma dalam pendidikan Islam. "Masih banyak perkara yang saya tidak faham dan menerusi pembelajaran ini ia banyak memberi manfaat dan pemahaman tentang Islam dalam diri saya," katanya kepada mStar Online. Tambah Natasha, dia juga bertuah kerana suaminya, Carleed atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 34, turut mengambil kursus dalam bidang serupa selain mereka dapat berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pendapat tentang pembelajaran masing-masing.
Malah kata Natasha, mereka bukan sahaja dapat menambah ilmu tetapi hubungan suami-isteri akan menjadi lebih akrab dan romantik. Mereka juga sudah bercadang untuk menyambung pengajian sehingga peringkat ijazah selepas menerima diploma pada akhir Mei ini. "Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah dan Insya-Allah jika ada rezeki kami akan menyambung ke peringkat ijazah pula memandangkan Institut Arees bakal dibuka di Malaysia tidak lama lagi. "Biarpun sibuk dengan keluarga ia tidak menjadikan kami lemah untuk mencari ilmu malah hubungan kami semakin rapat," ujarnya. Dalam pada itu, Natasha berkata, dia sudah bersedia untuk kembali ke dunia lakonan selepas menyepi bagi memberikan tumpuan kepada keluarga dan perniagaan dalam taliannya. Natasha mengakui rindu untuk kembali berlakon dan berharap dapat memegang watak yang bersesuaian dengan penampilannya yang sudah bertudung. "Rindu itu memang ada tetapi sebelum ini ada beberapa komitmen yang perlu saya utamakan dan kini saya sudah bersedia untuk kembali berlakon jika masih ada rezeki saya. "Pun begitu saya akan lebih selektif terhadap watak yang diberikan agar sesuai dengan imej dan penampilan saya sebagai muslimah," jelasnya. Sementara itu, Natasha yang turut sibuk menguruskan perniagaan pakaian muslimahnya iaitu Dreamclouds memberitahu bakal melancarkan pakaian bayi perempuan dalam masa terdekat. Jelas Natasha, dia ingin memfokuskan kepada pakaian bayi perempuan kerana pilihan yang ada di pasaran agak terhad terutamanya bagi yang berumur satu hingga tiga tahun. "Kadang-kadang nak cari gaun yang comel dan cantik untuk bayi perempuan memang sukar jadi dari situ timbul idea saya untuk melancarkan jenama baharu saya ini kepada pelangaan dalam masa terdekat. "Malah saya juga dalam proses menyiapkan laman web rasmi untuk tujuan tersebut," ujarnya.

Siti Nuhaliza Kesal Lagu Baharu Dicetak Rompak

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin begitu kesal apabila single lagu terbaharunya Jaga Dia Untukku yang dipasarkan menerusi iTunes pada 3 April lalu telah dicetak rompak. Siti, 35, berkata, pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah menghubungi syarikatnya iaitu Siti Nurhaliza Production bagi memaklumkan lagu tersebut boleh dimuat turun secara percuma tanpa sebarang urusan pembelian di beberapa laman internet. "Ini sesuatu yang sangat mengecewakan kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesusahan pihak lain yang menghasilkan lagu tersebut. "Saya sendiri telah turun padang mempromosikan lagu ini secara eksklusif di radio Hot FM pada 3 Mei lalu. "Malah para peminat saya juga mendapatkan lagu ini dengan melanggan di iTunes. Tetapi pada masa sama, ada pihak yang tidak bertanggungjawab `mencuri' hasil kerja orang lain," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Tambah Siti, walaupun isu cetak rompak sudah lama menjadi masalah tetapi beliau berharap agar peminat atau penyokong industri muzik diberi kesedaran mengenai kesalahan dan impak sesebuah lagu yang dimuat turun secara haram. "Jika saya sahaja yang berusaha memantau hal ini memang sukar. Bagi saya, semua pihak yang bertanggungjawab harus ada peranan masing-masing. Saya juga sering mengingatkan para peminat untuk mendapatkan album atau single saya dengan cara yang sah dan asli," ujarnya. Bagaimanapun Siti berkata, dia bersyukur mengenai perkembangan penjualan lagu Jaga Dia Untukku yang mendapat kedudukan pada carta pertama di iTunes Malaysia. Siti juga gembira kerana masih ada lagi masyarakat yang memberi sokongan terhadap industri muzik tempatan. Sementara itu, Presiden RIM iaitu Norman Abdul Halim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan serius terhadap isu lagu-lagu tempatan yang dicetak rompak secara digital. "Bukan hanya lagu Siti, tetapi mana-mana penyanyi yang membuat laporan mengenai isu ini, pihak kami akan mengambil tindakan yang serius. "Setakat ini, RIM turut bekerjasama dengan pihak polis serta syarikat perisian komputer untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab itu," tegasnya. Jaga Dia Untukku adalah ciptaan Aubrey Suwito dan lirik hasil tulisan Rozisangdewi. Ia dirakamkan pada Januari 2014.

Terpaksa Tanggung Suami Buat Enot Serik Kahwin

Pelakon Enot berasa serik untuk berkahwin semula selepas gagal dengan dua perkahwinannya yang terdahulu termasuklah melalui pengalaman ‘menanggung suami’. Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 34, berkata, biarlah dia bergelar ibu tunggal kepada dua orang anaknya iaitu Andriana Balqis, 13, dan Ariana Qaseh Qistina, 7, daripada menjadi isteri yang terpaksa bekerja untuk suami. "Saya harap sangat agar tidak berkahwin lagi. Saya lebih rela menjadi ibu tunggal selamanya daripada menanggung suami. "Apa yang membuatkan saya serik ialah kedua-dua perkahwinan saya yang terdahulu mempunyai masalah yang sama. Sebab itu saya fobia dan serik," katanya kepada mStar Online pada Rabu. Pelakon yang dikenali menerusi drama Mat Despatch ini pernah berkahwin dengan Zainul Abidin Mat Noor, 42, pada 21 November 2008 dan bercerai pada Mac tahun lalu.
Sebelum itu dia juga pernah bercerai pada tahun 2006 selepas mempunyai dua orang anak iaitu Andriana dan Ariana. Bagaimanapun, tambah Enot, dia akan menerima takdir sekiranya diberi peluang untuk berkahwin buat kali ketiga. "Tetapi kalau nak tahu, jika mana-mana lelaki yang cuba dekat dengan saya, cepat-cepat saya akan elak. "Tak pun… saya cuba melakukan perangai buruk agar ia dapat memberi persepsi negatif mengenai diri saya," ujarnya. Sementara itu, Enot turut menasihatkan kepada semua golongan wanita supaya berhati-hati dalam memilih suami. Katanya, setiap wanita perlu memastikan seseorang lelaki itu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh agar kehidupan tidak merana pada kemudian hari. "Saya nasihatkan, carilah lelaki yang bukan sekadar menyayangi kita tetapi mempunyai kewangan kukuh. "Tak perlu nak kaya, asalkan mereka rajin dan mampu menanggung kita, cukuplah," ujarnya

Biarpun Dikritik, Zain & Rozita Tak Akan Buang Gambar Romantis

Pelakon Zain Saidin menjelaskan kritikan sesetengah pihak terhadap gambar romantisnya bersama isteri, Rozita Che Wan yang dimuat naik di laman sosial Instagram bukan satu perkara mengejutkan. Zain, 30, berkata, setiap foto yang mereka kongsi sentiasa mendapat teguran dan komen daripada pengikut di laman tersebut namun mereka tidak terlalu memberikan perhatian kepada perkara berkenaan. "Letaklah gambar apa pun mesti akan jadi perhatian. Pertikaian orang tentang foto itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah kami sudah biasa dengan situasi ini. "Malah saya sudah mengjangkakan reaksi peminat apabila saya memuat naik gambar itu dan saya tidak mahu ulas panjang mengenai perkara itu," katanya kepada mStar Online. Pelakon itu mengulas mengenai foto romantisnya bersama Rozita ketika bercuti di Koh Samui, Thailand baru-baru ini yang mendapat perhatian meluas daripada peminat mereka sehingga ada yang menasihat pasangan itu tidak terlalu mendedahkan perihal rumah tangga mereka kepada umum. Zain ditemui selepas majli pelancaran musim ketiga program Oh My English! (OME) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Serdanng dekat sini pada Rabu. OME musim ketiga bakal bersiaran pada 18 Mei ini pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di Astro TVIQ (610) dan Astro Maya HD (135).
Dalam pada itu, Zain berkata, dia tidak berhasrat untuk memadam gambar berkenaan daripada akaun Instagramnya selagi ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada pihak lain. "Setakat ini saya tidak melihat ia mendatangkan apa-apa keburukan dan jika ada baharulah saya akan buang gambar itu," jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai OME, Zain berkata, dia teruja dengan musim terbaharu itu kerana ia bakal menampilkan banyak kelaunan selain penampilan wajah baharu pelakon seperti Fauziah Ahmad Daud, Nadiya Nissa dan Carmen Soo. Malah kata Zain, dia juga semakin selesa membawakan watak sebagai Mr. Henry Middelton selepas tiga musim bersama rancangan itu kerana ia membantu menambahkan lagi jumlah penonton terutamanya di kalangan pelajar sekolah. "Musim kali ini juga kami lebih banyak menjalani penggambaran di luar studio selain penampilan wajah-wajah baharu bagi menyerikan lagi OME," katanya. Dalam perkembangan lain Zain berkata, selain memberi tumpuan kepada OME, dia juga bakal ke New Zealand untuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri terbaharu pada penghujung Mei ini.

Seniman Aziz Sattar Meninggal Dunia

Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang dekat sini kira-kira pukul 2 pagi Selasa. Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi. “Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam Twitter miliknya itu. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung. Abu Ubaidah ketika dihubungi pula berkata, Aziz tiba-tiba mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi sebelum tidak sedarkan diri selepas itu. Jelas Abu Ubaidah lagi, dia berada di hospital berkenaan ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dan redha dengan pemergian datuk kesayangannya itu. "Sebelum ini keadaannya stabil kerana doktor mengatakan ia hanya serangan jantung biasa namun Allah lebih menyayanginya dan kami sekeluarga redh dengan pemergiannya, katanya. Dalam pada itu, Abu Ubaidah berkata, jenazah telah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Bandar Tun Hussien Onn dekat sini sebelum urusan memandikan jenazah dilakukan pada pukul 11 pagi. Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Cheras. Terdahulu pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU). Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok. Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950an.
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993). Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk. Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai). Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak. Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.

Suami Yakin Fitnah Misha Omar Lenyap Lepas Kahwin

Suami kepada penyanyi Misha Omar, Firos Ezzwan Rossly yakin fitnah dan gosip tentang isterinya yang bertebaran sebelum ini akan lenyap selepas mereka sah disatukan pada Jumaat (semalam). Firos, 32, berkata, penyatuan mereka sebagai suami-isteri adalah pengakhiran kepada semua cakap-cakap itu dan bersyukur mereka diberi kekuatan untuk mengharungi semua dugaan sebelum disatukan. "Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan segala cakap-cakap yang tidak baik mengenai isteri saya sudah pun terjawab apabila kami disatukan. "Saya berasa sebak selepas disatukan bukan sahaja kerana gembira tetapi lega semua tohmahan tentang Misha akhirnya berakhir," katanya kepada mStar Online. Firos yang juga seorang juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 32, terdahulu selamat dinikahkan dalam sebuah majlis yang sederhana di Hotel Renaissance di sini. Misha menerima sepasang gelang emas sebagai Mas Kahwin sebagai simbolik cinta mereka. Tambah Misha, dia tidak perlu mempertahankan gosip buruk tentangnya kerana paling penting perkahwinannya dengan Firos adalah nyata.
"Dari dahulu lagi saya tidak melayan gosip buruk mengenai diri saya dan membalas cakap-cakap tersebut dengan perkara nyata seperti hari ini (perkahwinan dengan Firos), katanya. Dalam pada itu, Misha berkata, biarpun perasaannya gementar saat dijabkabulkan dengan Firos namun ia adalah saat paling gembira dalam hidupnya. "Perasaan gemuruh ketika mengadakan persembahan pun tidak macam ini tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya. Sementara itu, Firos berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk terus membenarkan isterinya bergiat aktif dalam bidang seni. Jelas Firos, dia yakin Misha dapat menjaga batas dan nama baiknya sebagai seorang isteri selepas ini. "Tiada sebab kenapa saya perlu halang dia untuk aktif dalam bidang seni malah akan sentiasa menyokongnya," katanya. Dalam perkembangan lain, Misha berkata, dia dan suaminya merancang ingin berbulan madu di New York namun masih belum menetapkan tarikh untuk ke sana. Ini kerana kata Misha, jadual mereka yang padat membuatkan perancangan itu terpaksa ditamgguhkan terlebih dahulu. "Kami hanya cuti selama seminggu sahaja untuk berkahwin dan perancangan untuk berbulan madu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu. "Kemungkinan saya akan ikut suami ke destinasi penerbangan ketika dia bertugas kelak, seperti di Sydney atau Melbourne," jelasnya. Mengulas mengenai perancangan mereka untuk menimang cahaya mata, Firos dan Misha sepakat untuk menyerahkan segalanya kepada ketentuan Tuhan sahaja. "Soal anak, kami serah kepada rezeki dan ketentuan Allah. Saya suka budak-budak. Mungkin saya mahu anak seramai enam atau lapan orang," ujar Firos berjenaka. Terdahulu Misha sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Februari lalu namun ia terpaksa ditangguhkan bagi menghormati kematian ayahnya, Omar Ismail pada 30 November tahun lalu.

Kamelia Syermain Tidak Tiru Yuna

Penyanyi baharu Kamelia Syermain berharap tiada pihak yang cuba menyamakan imej pemakaiannya dengan penyanyi Yuna, memandangkan kedua-dua mereka mempunyai gaya penampilan yang hampir sama. Kamelia atau nama sebenarnya Kamelia Kamil, 21, berkata, penampilan yang dibawakannya lebih kasual sesuai dengan muzik RnB Pop yang ditampilkan menerusi single lagu pertama, Khabar Aku. "Rasanya imej saya dan Yuna jauh berbeza tetapi dia merupakan salah seorang daripada idola saya dalam industri muzik tempatan. "Tetapi kami memiliki karakter serta pendekatan muzik yang berbeza. Diharap tiada pihak yang menyamakan saya dan dia (Yuna)," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Kamelia yang merupakan artis naungan Seventeen Eleven Music berkata, dia berasa teruja mahu melihat respons daripada peminat muzik tempatan mengenai Khabar Aku, lagu taruhan pertamanya itu. Khabar Aku merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Alyph (Sleeq) dan Kamelia yakin muzik yang ditampilkan itu akan memberi kesan yang tersendiri buat sesiapa pun yang mendengar. "Seronok rasanya apabila dapat berkerjasama dengan kumpulan Sleeq dalam pembikinan single Khabar Aku dan berharap ia akan diterima ramai. "Pada asalnya lagu itu bertajuk Apa Khabar namun terpaksa ditukar kepada Khabar Aku pada saat akhir kerana ia mempunyai persamaan dengan lagu daripada Joe Flizzow & Sonaone. "Takut orang keliru pula apabila mempunyai dua tajuk lagu yang sama," katanya.

Shila Amzah Tidak Berani Berhadapan Dengan Lee Hom

Penyanyi yang sedang mencipta nama di China, Shila Amzah mengakui tidak mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan penyanyi pujaannya iaitu Wang Lee Hom sekiranya diberi peluang berbuat demikian. Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 24, berkata, dia yakin akan berasa gementar jika bertemu Lee Hom kerana terlalu meminati penyanyi terkenal itu. "Saya tidak pasti sama ada saya mampu berhadapan dengannya atau pun tidak kerana pasti perasaan gementar menyelubungi diri saya kerana begitu meminatinya," katanya kepada mStar.
Shila bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 13 September depan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam namun sebelum itu pada 16 Ogos dia terlebih dahulu menghiburkan peminat di Shangai, China. Dalam pada itu, Shila berkata, dia berbesar hati sekiranya dapat berduet dengan penyanyi pujaannya itu pada konsertnya itu nanti namun tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyedari kesibukan jadual Lee Hom. Bagaimanapun kata Shila, jika diberi peluang dia ingin mendendangkan lagu popular Lee Hom iaitu Forever Love yang pernah didendangkannya ketika menyertai pertandingan Asian Wave 2012. "Kebetulan konsert saya itu nanti bertemakan cinta dan jika dapat berduet dengan Lee Hom sudah tentu salah satu impian saya akan tercapai biarpun akan berasa gementar," ujarnya.
Pun begitu kata Shila, pada konsert itu nanti dia menjanjikan penampilan artis bertaraf antarabangsa untuk berkongsi pentas dengannya khas buat para peminatnya. Sementara itu, Shila berkata, dia juga sedang sibuk menyiapkan album berbahasa Mandarin pertamanya dan berharap ia dapat dilancarkan secepat mungkin buat para peminatnya di China dan Malaysia. Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd dan tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88. Bagaimanapun tarikh penjualan tiket akan diumumkan dalam satu sidang media khas yang akan diadakan pada Mei ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails