Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nora Luang Masa Ziarah Fasha & Anaknya

Seronok melihat hubungan baik kedua-dua selebriti ini, Nora Danish dan Fasha Sandha. Semua maklum, Fasha kini sedang dalam berpantang. Jadi, Nora pun tak ketinggalan meluangkan masa melawat Fasha dan anaknya yang diberi nama, Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram. Awal malam tadi, Nora menerusi laman Instagramnya berkongsi sekeping gambar - dia bersama anak lelaki kesayanganya Rayqal, menziarahi dua beranak itu. Rayqal pun seronok dapat adik baru, ya... Nora menulis, mengucapkan tahniah kepada Fasha dan Jejai atas kelahiran cahaya mata mereka dan memuji kecomelan Rayfal. Semoga hubungan baik Nora dan Fasha berkekalan selamanya.

Beza Usia 16 Tahun Bukan Penghalang Cinta Qi dan Nelydia

Sebelum ini baik Qi Razali, 35, mahupun Nelydia Senrose, 19, lebih senang membuat kenyataan yang mereka berkawan rapat. Terbaharu, kedua-duanya mengaku kini bercinta - hubungan yang sekarang ini semakin erat dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing. "Sebelum ini kami tidak pernah membuat kenyataan tentang status hubungan kami. Ya, kami memang berkawan dan saya akui hubungan dengan Nelydia sekarang bertambah rapat. Saya boleh melabelkan hubungan kami kini berada dalam peringkat proses mengenali hati budi masing-masing," jelas Qi tanpa berselindung. Pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu bagaimanapun memberitahu dia masih belum melamar Nelydia sebagai kekasih dan tidak pernah luahkan perasaan cinta kepada pelakon yang mula popular menerusi drama Setia Hujung Nyawa itu, sehingga sekarang. Tambah Qi, walaupun mempunyai perbezaan usia sebanyak 16 tahun, faktor usia tidak menjadi halangan buat mereka menjalinkan hubungan dengan lebih rapat. Kedua-duanya mula berkawan sejak sama-sama berlakon dalam drama Friday I'm In Love sekitar tahun lalu dan hubungan tersebut mula menjadi lebih rapat, sejak empat bulan lalu. Awalnya, hubungan tersebut turut menimbulkan kontroversi apabila Nelydia didakwa menjadi punca perpisahan Qi dengan penyanyi Yuna. Namun Qi menyangkal dakwaan tersebut dengan menjelaskan, "Punca utama perpisahan saya dan Yuna adalah disebabkan jarak kami yang berjauhan. Ia tidak berkaitan langsung dengan Nelydia. Dia (Nelydia) bukan orang ketiga yang menyebabkan hubungan saya dan Yuna dahulu putus. "Lagipun hubungan kami (Yuna) sudah tinggal sejarah dan rasanya tidak perlu lagi mengaitkan diri saya dan Yuna kerana masing-masing sudah mencari haluan hidup sendiri." katanya. sumber : Kosmo!

Tak Kenal Nas-T, Gembira Nabila Bercinta - Amy Search

Ibu bapa mana yang tidak mahu anaknya mengecap bahagia. Begitu juga lagenda Rock tanah air, Amy (Search) yang menyambut baik mengenai perihal anak perempuannya Nabila Huda yang kini sedang hangat bercinta dengan pelakon dan DJ, Nas-T. Menurut Amy, dia juga sebetulnya tidak mengenali pemuda yang telah berjaya menambat hati anaknya itu. Namun beliau tidak menghalang senadainya itu yang terbaik buat Nabila. Malah mengharapkan pasangan itu sentiasa boleh menerima kekurangan diri masing-masing. "Saya tak tahu apa-apa tentang kisah hubungan cinta dia (Nabila) sehinggalah saya membaca surat khabar. Sebagai bapa, tentunya saya mahukan dia berbahagia dan mendapat pasangan yang baik. Apapun hubungan mereka masih baru lagi... "Saya tak kenal Nas-T, tak tahu yang dia artis. Saya belum jumpa lagi dengan dia. Tapi Kalau Nas-T adalah orang yang betul-betul sesuai dengan Nabila, saya rasa hubungan itu haruslah kekal. Nabila dan Nas-T juga kena saling memahami, sebagai manusia biasa mereka perlu mengenali hati budi dan saling menerima buruk baik diri masing-masing", katanya kepada Malaysia Digest.com ketika diminta mengulas mengenai hubungan Nabila dan Nas-T. Vokalis kumpulan Search itu ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular (ABPBH'12) bertempat di hotel Holiday Villa, Subang, semalam. Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Nabila sebagai Pelakon Drama Wanita Popular, Amy berkata walaupun beliau tiada di Malaysia ketika berita kemenangan tersebut namun berita itu cukup membanggkan dan menyentuh perasaan beliau juga seluruh keluarganya. Tambah figura berusia 55 tahun ini, beliau tidak pernah menyangka yang Nabila lebih menyerlah dalam dunia lakonan berbanding nyanyian. Bagaimanapun Amy percaya, pengiktirafan yang diterima aktres itu adalah atas kegigihan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam setiap hasil kerjanya selama ini. "Saya dan keluarga masa tu berada di Turki. Kami ketika tu berada di dalam bas untuk ke satu destinasi. Saya dapat tahu dia menang, melalui Twitter. Saya bangga dengan dia. Kami sekeluarga masa tu memang sangat gembira dan emosional lah. "Sebenarnya masa mula-mula dulu saya macam tak percaya yang dia nak berlakon. Saya pernah tanya pada dia, betul ker dia nak terjun bidang lakonan? Sebab saya ingatkan dia lebih pada menyanyi. Tapi dia memang seorang yang sangat berkerja keras. Dia tahu apa yang dia nak. Saya harap dia akan tunjukkan pencapaian yang lebih baik lagi selepas ini", katanya. - mD

Memey Suhaiza Teruskan Hasrat Berhijab

Beberapa hari selepas percubaannya tampil dengan imej berhijab, pelakon Memey Suhaiza telah pun membut keputusan akan terus kekal bertudung. Lebih-lebih lagi hasratnya itu disambut baik oleh suaminya, Norman Hakim. Menerusi sebuah portal hiburan, Memey memberitahu keputusan yag dibuat bukan kerana desakan sesiapa, tetapi datang dari hatinya sendiri. Memandangkan selama beberapa hari ini dia berasa sangat selesa dan tidak janggal apabila mengenakan tudung, jadi, adalah lebih baik jika dia terus membuat perubahan sekarang. Dalam pada itu, kata Memey, dia sebenar sudah memberitahu niatnya untuk bertudung kepada Norman sejak seminggu yang lalu. Namun, tidak bersedia untuk mengheboh-hebohkan perkara itu kepada umum kerana bimbang ada pihak yang mungkin tersalah anggap dengan perubahannya. Apapun, Memey bersyukur dan gembira dengan perubahan dirinya dan berharap peminat doakan yang terbaik untuk dia dan keluarga. Buat masa ini dia mahu memberi tumpuan pada keluarga namum Memey berkata yang dia akan tetap berlakon walaupun kini sudah berhijab. - sumber : gua.com

Ibu Zizan Pilih Siapa, Emma Atau Jue Evans?

Sekitar minggu lalu, Zizan Razak mengumumkan dia sedang megenali hati budi seorang wanita yang dikenali sebagai Rohani. Namun enggan memndedahkan lebih lanjut mengenai wanita tersebut. Zizan pun sebelum ini pernah di gosipkan menjalin hubungan dengan artis wanita seperti Juliana Evans (Jue Evans). Kemudian Nora Danish dan seterusnya, pelakon yang sedang meningkat naik namanya, Emma Maembong. Menerusi Berita Harian hari ini menyebut, ibu kepada pelakon dan pelawak terkenal itu iaitu Anai Ibrahim mendedahkan anak kesayangannya itu pernah membawa pulang beberapa wanita ke rumah, untuk diperkenalkan kepadanya, termasuklah dua pelakon wanita berwajah Pan Asia, Juliana Evans dan Emma Maembong. Namun menurut wanita berusia 59 tahun itu, Emma sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu apabila pelakon yang mula popular menerusi siri Kau Yang Terindah itu berkunjung ke rumahnya ketika Hari Raya. “Saya tidak kisah siapa pun wanita yang menjadi pilihan Zizan, sama ada artis ataupun orang biasa. Malah, dari mana asal gadis berkenaan pun bukannya hal utama. Semuanya terpulang kepada Zizan untuk menentukan. Paling penting, bakal isterinya harus memahami kerjaya Zizan yang sentiasa sibuk, dan wanita terbabit juga tidak boleh mudah rasa cemburu", katanya. Tambah Anai, memang menjadi kebiasaan bagi Zizan apabila setiap kali mengenali seseorang wanita, dia akan memperkenalkan wanita itu kepadanya. Ibu Zizan juga memberitahu dalam ramai-ramai kawan Zizan, beliau berkenan dengan Juliana Evans. Bagaimanapun mengetahui bahwa perhubungan yang wujud antara mereka tidak lebih sekadar teman rapat. “Buat masa ini dia belum memberitahu saya, siapa teman wanitanya. Cuma sepanjang memperkenalkan beberapa wanita kepada saya, saya berkenan dengan Juliana. Tetapi saya tahu, kasih sayang yang wujud antara mereka tidak lebih sekadar teman rapat,” katanya. - mD

Kami Kenal Sejak Zaman Myspace - Hairul Azreen

Sejak putus cinta dengan pelakon Faralyna kira-kira tujuh bulan lalu, pelakon Hairul Azreen kini dikatakan sudah menemui pengganti. Dakwaan tersebut timbul berikutan terpampang gambar-gambar mesranya bersama blogger terkenal Hanis Zalikha, di laman sosial Instagram. Benarkah mereka sedang hangat bercinta? "Saya mengenali Hanis sejak dari bangku sekolah lagi, kami mengenali melalui laman sosial Myspace. Sebetulnya hubungan kami berdua agak lama terputus sebelum ditemukan kembali di dalam industri ini. "Buat masa ini kedua kami masih memberi fokus buat kerjaya sahaja. Apa yang menjadikan kami lebih rapat kini adalah sikap suka membantu Hanis", katanya sekaligus memberitahu hubungan mereka buat masa ini lebih kepada atas dasar kerja sahaja. Menurut pelakon drma SSetia Hujung Nyawa ini, dia bakal terlibat dalam bidang pengacaraan. Justeru dia banyak mendapat bantuan daripada Hanis yang memang lebih berpengalaman daripadanya. Sementara mengulas mengenai Hanis dikatakan menjadi punca perpisahannya dengan Faralyna, Hairul Azreen berkata, "Sebetulnya sudah hampir enam ke tujuh bulan saya berpisah, dan hubungan saya dengan Hanis memang baharu sahaja rapat. Namun itu bukan bermakna kami bercinta, kami hanya berkawan buat masa ini dan saya tidak fikir lagi ke arah itu. "Biar saya berterus-terang, sebenarnya saya berada di tengah-tengah, sama ada saya bercinta atau tidak itu belum tahu lagi. Namun jika ditakdirkan kami tidak bercinta semestinya dia akan kekal menjadi rakan saya".

Ikrar Cinta Ryzal Jaafar Pada Sara Ali

Mulai 6 Mei depan, penonton bakal menyaksikan perjalanan cinta dua insan ini meneru drama Luluhnya Sebuah Ikrar. Mengisahkan Yati (Sara Ali), gadis manis yang baru memulakan latihan praktikal di sebuah firma guaman. Perwatakannya yang manis dan merendah diri namun tegas dengan pendiriannya telah membuatkan bakal pewaris syarikat itu, Shahrul (Ryzal Jaafar) terpikat. Kesunggahan Shahrul untuk menawan hatinya, Yati membuatkan gadis itu akhirnya jatuh cinta pada kelembutan dan karisma yang ditunjukkan pemuda tersebut. Shahrul telah diperkenalkan kepada kedua ibu bapa Yati dan mereka menyenangi Shahrul. Apabila tiba giliran Shahrul untuk memperkenalkan Yati kepada keluarganya, kehadiran Yati langsung tidak disenangi. Kerana cinta, Shahrul tekad untuk mengahwini Yati walaupun tidak mendapat restu ibu bapanya. Namun malang menimpa Yati apabila dia telah dirogol sebelum hari pernikahannya. Adakah Shahrul masih setia dengan ikrar cintanya pada Yati? Jangan lupa untuk ikuti drama Luluhnya Sebuah Ikrar yang turut dijayakan oleh Zul Ariffin dan Ruzana Ibrahim, di slot Ratu setiap Isnin dan Selasa, jam 8.30 malam di TV9! - mD

Wawa enggan cakap Sabah

COMEL dan genit orangnya, rambut panjang mengurai, kulit pula putih melepak. Tambahan pula, berlakon pun makin hari makin matang. Pendek kata, Wawa Zainal memang ada pakej untuk jadi selebriti. Selama ini Diva jarang pula dengar tak manis tentang Wawa, mungkin itu antara sebab kenapa nama Wawa sekarang tengah meletup-letup. Tapi baru-baru ini, Diva cuma rasa pelik pula setelah ada mulut jahat yang bercerita pasal sikap Wawa. Kata sumber itu, dia teruja bertemu dan bersemuka dengan Wawa dalam satu acara hiburan. Tambah teruja lagi, mereka sebenarnya dari Sabah, tak tahulah sama ada dari daerah Lahad Datu, daerah asal Wawa atau tidak. Hendak dijadikan cerita, sumber Diva tadi pun tukar lidahnya jadi 'lidah Sabah', sudah sah-sah satu negeri. Harapan dia, Wawa akan sambut salam Sabah itu dengan bercakap dialek Sabah macam dia juga. Malangnya, Wawa buat muka selamba dan tak pedulikan dialek Sabah yang sebutir-sebutir masuk telinganya. Kata sumber itu kepada Diva, puaslah dia cakap Sabah tapi Wawa tetap balas balik macam dialek Sabah itu tak beri apa-apa kesan kepada dirinya. Sudah terbiasa dengan cakap Kuala Lumpur agaknya, sumber Diva itu pun satu hal. Budak Wawa itu artis, mungkin dia anggap percakapan mereka itu cukup formal, jadi kalau nak diterjemahkan dalam dialek Sabah, bunyinya agak lain pula. Diva teringat sahabat Diva yang asalnya dari satu daerah di Malaysia, tapi kalau ditanya asal kelahirannya, cepat-cepat dibilangnya asal dari Jerman. Nak tahu kenapa, kalau dia bercakap dialek daerahnya ibarat sama juga dia cakap bahasa Jerman, jarang anak Kuala Lumpur nak faham.

Fizz membasuh trauma

BERDENTUM bagai guruh kemudian hingar-bingar kontroversi terletus, dia bagaimanapun memilih untuk membisu. Baginya bercakap hanya pada ketika perlu, takut terlebih akhirnya diri sendiri yang menanggung impak. Dikritik dan diselar, dia dijatuhkan hukum karma. Semuanya sedang dimamah dan ditelan walaupun kelat sehingga ada yang tersekat di kerongkong. Fizz Fairuz menerima nasib yang tidak diundang akibat salah percaturan. Bunga yang disunting milik orang. Itulah terjadi kepada aktor popular itu apabila wanita yang dilamar penuh adat dalam sebuah majlis peminangan akhirnya diberitakan sebagai isteri orang. Malunya bukan kepalang walhal sebelum itu Fizz membisu saat diburu media gara-gara melangsungkan pertunangan tanpa pengetahuan umum. Lebih parah lagi, pertunangan dengan wanita bernama Azlyn Massiela itu juga dilihat sebagai bukti kecurangan Fizz terhadap Almy Nadia. Dihentam dari kiri dan kanan, dikecam sebagai lari daripada masalah dan enggan bekerjasama dengan media, Fizz tiba-tiba dibayangi mendung kelabu. "Dua minggu saya berdiam diri, duduk rumah dan berfikir masak-masak. Saya biarkan setiap panggilan telefon yang masuk, saya tahu orang pasti marahkan saya. "Rasanya berdiam itu lebih baik daripada saya mengeluarkan kenyataan yang dalam keadaan saya yang masih keliru, bingung, kecewa dan marah. Tempoh itu juga saya cuba mencari kebenaran. Orang kata saya lari, bersembunyi dan macam-macam. Senior-senior dalam bidang lakonan pun banyak yang berikan saya nasihat. Kalau saya terus berjumpa media, akan berlaku situasi balas-membalas dan banyak salah faham akan timbul," katanya yang semakin menemui kejernihan. Tragedi tetap tragedi, bagi Fizz juga, apa yang berlaku juga bukanlah bencana yang akan meruntuhkan ketahanan kariernya. Jika ada pernah beranggapan perkara itu satu muslihat demi agenda meraih semula populariti yang dikatakan semakin menurun, pandangan itu juga terlalu jauh daripada hakikat. "Selebriti jadi popular kerana peminat menyukai pembawaan diri, kerja, produk drama atau filem mereka. Bukan kerana gosip atau cerita sensasi begitu. Mungkin ada yang popular kerana cerita sensasi tapi adakah ia berkekalan. Untuk sampai ke tahap sekarang, saya ambil masa yang sangat lama, pandangan itu salah," katanya yang bagaimanapun tidak mahu menghukum mana-mana pihak. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, itu wayang hidup yang terpancar daripada kelibat Fizz. Hujan panas sudahpun reda namun, ada juga merasakan imejnya tercalar gara-gara kisah jodoh dan cinta yang tidak kesampaian itu. "Saya tak rasa begitu. Rasanya banyak pihak yang sudah faham situasi sebenar. Semua sudah kembali normal. Kalau saya keluar pun, saya tak nampak orang pandang serong kepada saya. "Tempat saya di sini, jadi tidak akan pandang ke belakang semata-mata kerana peristiwa begitu. Saya ingat lagi kata-kata seorang pelakon senior, katanya jangan biarkan karier saya dihancur oleh seorang wanita. Fizz hari ini tetap Fizz yang dahulu. Cuma sebagai lelaki saya menjadi semakin matang dan lebih berhati-hati dengan wanita," katanya yang berharap menemui wanita yang lebih baik untuk dijadikan calon isteri. Ketagih bahagia Sebagai lelaki yang sudah berusia 33 tahun, selain terus bertahan dalam industri lakonan Fizz tidak menafikan impiannya keduanya ialah berkahwin dan mempunyai cahaya mata. "Seperti kata ibu saya, jika bertemu calon yang sesuai, yang dipastikan bukan kekasih, tunang atau isteri orang, dia mahu saya segera berkahwin. Saya juga teringin untuk hidup bahagia bersama seorang wanita yang sah sebagai isteri, mahu jalan-jalan sambil tolak kereta sorong anak," luahnya tanpa mahu mengungkit cerita lama saat nama Almy Nadia cuba diselitkan dalam perbualan. Tidak mahu terburu-buru membicarakan soal teman pengganti, sebalik jalan terbentang dalam karier lakonan mahu ditempuhi sebaik-baiknya. Itu tekad Fizz. "Karier jadi keutamaan saya sekarang. Rasanya anak seni memang begini, jiwa mereka sensitif dan saya sendiri agak trauma atas apa yang berlaku," beritahu pemilik nama Mohd. Fairuz Zainal Abidin sedikit beremosi. Harap impak Bisikan Syaitan Mengenal erti lakonan sejak tahun 1996, sehingga kini Fizz menganggap pencariannya untuk mencapai impak tertinggi dalam karakter terhasil menerusi drama bersiri Nur Kasih, empat tahun lalu. "Betapa karakter dan skrip sesebuah karya itu memberi pengaruh ke atas penerimaan peminat dalam industri. Sebab itulah saya beranggapan, seseorang pelakon juga harus buat pilihan yang tepat," ujarnya sambil menamakan filem Hantu Kapchai juga sebagai antara filem yang berjaya memberi impak kepada dirinya di arena perfileman. Bakal muncul sebagai Kamil menerusi sebuah filem seram berjudul Bisikan Syaitan, filem arahan pengarah muda Faizul A. Rashid itu juga antara filem yang dinanti-nantikan olehnya. Menjalankan penggambaran sekitar dua tahun lalu, filem terbitan Lightbulb Pictures itu bakal menemui penonton pada 2 Mei nanti. "Ini filem genre seram ketiga selepas Orang Minyak dan Dendam Orang Mati. Saya anggap Faizul seorang pengarah yang bijak, dia banyak buat kajian. Kelebihannya sebagai seorang editor juga boleh pengaruhi efek seram filem berkenaan," katanya membawa watak Kamil, suami kepada Soraya lakonan Nabila Huda dalam filem itu. Turut berganding dengan pelakon Wan Sharmila sebagai adik kandungnya bernama Kamilia, bagi Fizz kolaborasi dalam Bisikan Syaitan itu satu pertaruhan karakter dan penghayatan lakonan bukannya menjual sensasi atau populariti semata-mata. "Saya, Nabila dan Sharmila berdiri atas garis yang sama. Kami satu kepala. Nabila dan Sharmila pula jenis pelakon yang sanggup berlakon dengan 'muka pecah' janji boleh beri lakonan yang mantap," katanya yang turut berganding dengan Wan Sharmila dalam sebuah siri gameshow bertajuk Seiring Jalan untuk RTM. Di sebalik kisah Kamil, suami dan lelaki yang menggunakan ilmu hitam untuk kesenangan dunia, Fizz percaya elemen seram dan alam ghaib dalam filem bukanlah sesuatu yang mustahil dalam kehidupan. "Datuk saya seorang pawang. Dahulu, pernah juga saya mengikut dia pergi berubat. Walaupun bercerita tentang ilmu hitam tapi di hujung cerita, kita sebenarnya bukan mempromosikan kebatilan tetapi ada juga moral cuba yang diterapkan," ungkap Fizz yang kini sibuk di lokasi drama bersiri Mencari Cinta.

Bukan merajuk - Nita

LEBIH tiga tahun mengembara dari satu pulau ke satu pulau tidak membuat dirinya merasa bosan. Melihatkan keindahan alam yang tidak ternilai memberi seribu satu rasa kemanisan biarpun terpaksa melepaskan dunia glamor yang pernah dikecapinya sebelum ini. Bagi Nita Hamzah dia tidak pernah ralat meletakkan ketepi populariti semata-mata memberi tumpuan kepada bidang selaman yang sangat diminatinya. Malah dia menjadikan laut sebagai tempat paling istimewa sehingga sanggup menetap di Pulau Tioman untuk meneruskan minat itu. "Tidak ada istilah merajuk atau apa-apa sebab pun yang membawa saya ke sini. Ada juga orang bertanya betul ke saya merajuk dengan industri sampai sanggup duduk di pulau. Tak adalah macam itu sebab saya memang minat menyelam. "Kebetulan sekitar tahun 2010 dulu saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Daripada suka-suka terus jadi serius. Kalau nak tahu saya juga merupakan salah seorang jurulatih menyelam di bawah syarikat Dive Asia dan mengajar mereka yang berminat menyelam. "Mungkin ini kerjaya saya sekarang. Cuma minat nak menyanyi itu masih belum padam dan tak akan berakhir. Saya masih lagi mahu bergelar penyanyi macam dulu juga," ujar Nita. Wanita yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Malaysian Idol ini memberitahu yang dia telah merancang banyak perkara untuk meneruskan kelangsungan dalam industri termasuk merakamkan lagu baru tidak lama lagi. Jelas Nita dia akan menggunakan khidmat seorang komposer berbakat besar tetapi perkara tersebut masih dalam proses perbincangan dan tetap akan dilaksanakan dalam tahun ini juga. "Ramai sangat peminat tanya kenapa tak aktif macam dulu. Sebenarnya niat nak menyanyi dan ada lagu baru macam orang lain tak pernah mati. Mungkin kebanyakan masa habis di laut membuatkan saya kekurangan masa. "Kalau ada undangan nyanyian, sesi fotografi atau apa sahaja saya tetap akan turun ke Kuala Lumpur (KL). Cuma nak menetap di KL itu susah sikit sebab saya dah jadi jurulatih menyelam. Jadi kena menyeimbangkan antara kedua-duanya," tambahnya lagi. Rancang kahwinMenjelaskan soal cinta pula, seperti yang sedia maklum hubungan Nita bersama dengan Raja Razis, 36 tahun sudah pun melangkau ke fasa serius. Cinta yang mula berputik di lautan itu terus mekar berkembang dari sehari ke sehari memandangkan mereka berkongsi minat yang sama sejak mula bertemu dulu. Raja Razis yang juga merupakan jurulatih menyelam di tempat yang sama ada menyatakan hasrat untuk menyuntingnya sebagai isteri tetapi belum tiba waktu yang sesuai untuk mereka mengikat cinta ke jenjang pelamin. "Selepas saya terlibat dalam aktiviti inilah saya bertemu dengannya. Tak sangka pula daripada persahabatan timbul perasaan cinta yang akhirnya membawa kami sama-sama ke Tioman ini. "Tak manis sebenarnya untuk saya bercakap lebih-lebih soal kahwin. Insya-Allah kalau ada jodoh memang kami akan segera menamatkan hubungan ini ke alam perkahwinan. "Yang menjadi halangan hanyalah masa. Hampir setiap hujung minggu ada sahaja pelajar dan orang perseorangan yang datang dan perlu diuruskan. Bila masa pula nak menghadiri kursus kahwin dan sebagainya. "Tapi memang impian saya mahu berkahwin, ada cahaya mata dan hidup berkeluarga. Semoga apa yang dirancang ini akan menjadi kenyataan tak lama lagi," kata Nita tertawa. Baru-baru ini Nita telah pun menyertai program Astro Kasih yang berjaya mengumpulkan beratus-ratus penyelam untuk membersihkan laut di beberapa pulau sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Paling manis apabila nama mereka yang menyertai program berkenaan diabadikan di dalam Guinness World Record sebagai kerja-kerja pembersihan melalui kaedah penyelaman selama 168 jam. Nita merupakan salah seorang daripada 134 penyelam menyertai aktiviti sukarelawan Astro Kasih selain penyelam-penyelam lain dari seluruh dunia.

Kontroversi, seksi dan Raja Ilya

HAMPIR dua tahun Pancaindera memujuk wanita bernama penuh Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau Raja Ilya ini untuk menjadi penghias kulit. Bagaimanapun pelakon filem Tamil berjudul Appalam yang diadaptasi daripada filem Papadom itu sentiasa memberi alasan kononnya dia tidak mahu menonjolkan diri. Semuanya gara-gara penyebaran gambar 'panas' wanita berusia 28 tahun ini yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab. Kejadian mengaibkan itu telah memaksa Raja Ilya menyembunyikan diri buat sementara waktu. Apa pun itu cerita lama. Kini Raja Ilya sudah bersedia untuk menjejak kembali langkahnya sebagai anak wayang yang terhenti seketika. Malah Raja Ilya yang terbaharu juga kelihatan semakin optimis tentang hala tuju karier seninya. Lebih penting lagi, Raja Ilya menetapkan pendirian untuk tidak mengulas kembali sejarah hitamnya yang hampir menenggelamkan impian bergelar pelakon disegani. "Yang lepas itu, lepaslah. Cerita lama itu dah basi. Saya tidak berminat nak ungkit semula," kata Raja Ilya yang merasakan kehidupan masa hadapan adalah fokus utamanya pada hari ini. Mengulas faktor yang mendorong dia bangkit semula dan kembali aktif di pentas lakonan, Raja Ilya mengakui sudah bosan menyembunyikan diri. Terlalu menjaga hati orang sekeliling sehingga mengetepikan perasaan sendiri, itu yang menyebabkan dia bertegas untuk kembali. Drama bersiri Mana Hilangnya Juwita di Astro Ria merupakan lakonan pertamanya sejak keluar dari persembunyian sekitar pertengahan tahun lalu. Ratu filem Tamil antarabangsa?Bagaimanapun hasrat Raja Ilya untuk tidak menimbulkan sebarang kontroversi selepas menjadikan profesion lakonan sebagai kerjaya utama terbantut. Terbaharu Raja Ilya dihimpit dengan satu lagi kontroversi apabila dikatakan mengeluarkan kenyataan berani mengatakan namanya lebih dikenali di arena filem dan drama Tamil antarabangsa berbanding tempatan. Kenyataan tersebut diterbitkan di sebuah portal hiburan hingga menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pihak. Kesannya pelakon drama Kiah Spy itu dilabel perasan hebat. Bagaimanapun wanita yang berketurunan Malayalam, Arab dan Melayu itu menyangkal yang kenyataan tersebut keluar daripada mulutnya. Menafikan dirinya seorang yang bersikap defensif, Raja Ilya menegaskan bahawa kenyataannya itu dibuat hasil persepsi penulis portal hiburan berkenaan. "Takkanlah saya sengaja beri kenyataan panas sebegitu untuk tarik perhatian? Mana mungkin saya sengaja cipta topik untuk jadi bahan di saat kemunculan semula saya. "Penulis itu sememangnya telah salah faham tentang apa yang diceritakan oleh saya," tegasnya. Mengulas sama ada Raja Ilya mempunyai masalah dengan penulis daripada portal hiburan berkenaan, pantas dia menggeleng. Sekali lagi, Raja Ilya menjelaskan bahawa populariti yang diraih dalam industri filem dan drama Tamil tanah air sama seperti pelakon Erra Fazira yang dikenali sebagai primadona Melayu. Nama Raja Ilya dikenali di kalangan pemain industri filem dan drama Tamil tanah air kerana dia merupakan satu-satunya pelakon Melayu yang boleh berkomunikasi bahasa Tamil dan Hindi selain pelakon filem Estet, Jasmine Micheal. Disebabkan tiada persaingan seperti pelakon drama atau filem Melayu menyebabkan Raja Ilya semakin masyhur di kalangan peminat drama Tamil selepas membintangi drama berjudul Tup Periyum Pulli, Agguran dan Puthiyal. Mengulas tentang langkahnya ke peringkat antarabangsa Raja Ilya berkata, dia bakal menjalani penggambaran di Madras, India untuk menjayakan sebuah filem komedi Tamil, bulan depan. Filem berjudul Briyani itu bakal diarahkan oleh pengarah Venkat Prabhu dan turut dibintangi pelakon utamanya Karthi bersama pasangannya, Hansika Motwani. Biarpun hanya sebagai pelakon sokongan namun itu sudah memberi kepuasan maksimum buat Raja Ilya. Seksikah saya?Pelakon filem Janin ini juga pernah dikaitkan dengan cerita pakaian seksi sewaktu menghadiri sebuah majlis anugerah baru-baru ini. Gaun labuh berwarna coklat yang telus di bahagian paha dan belakang menjadi perhatian kerana keberaniannya memakai fesyen sebegitu. "Ada orang kata baju saya itu sangat menjolok mata tapi bagi saya tidak. Malah saya menyukai baju itu kerana fesyennya unik. Baju itu seperti 'seksi dalam sopan' sebab terbuka di bahagian belakang dan paha. "Namun begitu ada orang cakap saya sengaja tarik perhatian orang ramai dengan pakai baju sebegitu. Memang tidaklah," katanya yang cukup mengagumi hasil kerja pereka baju Raffiey Nasir. Pemegang watak antagonis Haliza dalam drama Dahlia terbitan Global Station itu juga tidak rela memalukan dirinya dengan mencipta kontroversi murahan sebegitu. Lantaran itu Raja Ilya enggan mengambil pusing persepsi masyarakat sekeliling asalkan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Appalam di Malaysian Tamil Award 2011 ini tahu batasnya.

Ingat saya bodohkah? - Afiq Muiz

CERITA mengenai artis tak sebulu dengan pihak pengurusan bukanlah satu perkara yang aneh untuk didengar. Apalagi untuk industri hiburan di Malaysia yang tidaklah sebesar mana ini. Nak dijadikan cerita, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Mimpi Cinderella, Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, 21, atau Afiq Muiz baru-baru ini dah terjerat dalam isu bergaduh dengan pihak pengurusan. Memanglah sekarang dia tidak lagi bernaung di bawah pengurusan itu. Tapi banyak mulut dah menjaja cerita buruk mengenai sikap Afiq. Didakwa besar kepala satu hal, Afiq juga dikatakan terlalu mengikut kata teman wanitanya, Eina Azman yang juga merupakan seorang pelakon. Sekali gus membelakangkan pengurusannya ketika itu. Ibarat dah tempah tiket cari nahas dan orang pun dah mula mengata, Afiq tampil memberi penjelasan. Kecoh satu Malaysia mengenai sikap Afiq yang dikatakan dah besar kepala sejak semakin popular. Apa ceritanya? Macam inilah... cuba fikir logik, takkanlah saya nak sombong tak tentu pasal. Orang kata saya lupa diri dan besar kepala, rasanya saya masih lagi kenal diri sendiri dan saya bukan seperti apa yang dikatakan. Perubahan drastik. Khabarnya Afiq dulu tidak begini. Apa masalah antara Afiq dan pihak pengurusan dulu? Ini semua cerita tak betul. Saya tak pernah bergaduh dengan pihak pengurusan dan saya juga mengundur diri dengan cara baik. Tiada masalah. Difahamkan Afiq dengan pengurusan dulu tak pernah tandatangan sebarang kontrak. Betul ke? Ya. Tak pernah wujud sebarang kontrak antara saya dengan mereka. Saya ibarat artis di bawah tempoh percubaan dengan pengurusan itu. Sebab itu bila saya buat keputusan untuk angkat kaki, hal itu tidak menjadi masalah dan tidak sepatutnya ada isu yang timbul kerana tak ada kontrak. Jadi saya sendiri pun tak faham kenapa tiba-tiba keluar isu saya lupa dirilah, besar kepalalah. Macam tak logik. Afiq juga dituduh selalu mengikut telunjuk dan melebih-lebihkan teman wanita. Yang ini apa pula penjelasan Afiq? Adakah saya ini bodoh sangat? Bodoh sangat sampai nak kena jadi lelaki lurus bendul ikut sahaja telunjuk teman wanita? Tak perlulah. Saya lelaki dan saya ada pendirian. Kenapa saya perlu dengar cakap perempuan. Satu lagi, saya dengan Eina bukannya pasangan kekasih. Dia cuma kawan biasa saja. Tak ada yang serius di antara kami. Afiq rasa adakah ini antara cubaan segelintir pihak yang mahu melihat Afiq jatuh? Maksudnya dengan mereka cerita begini? Kalau nak tahu, saya sekarang sangat-sangat tertekan dengan isu yang timbul. Orang tuduh saya besar kepala, ikut cakap perempuan. Apa ini? Saya tak menolak yang isu ini sengaja direka dan ada orang cuba jatuhkan saya. Jujurnya, kalau saya tahu siapa yang buat cerita macam ini, sekali pun dia datang minta maaf pada saya, ingatlah, saya tak akan maafkan dia! Amboi... Ini betul-betul simpan dalam hati. Kalau orang minta maaf, maafkan sajalah. Ini soal maruah. Takkanlah saya nak biarkan saja apa orang cakap dan buat pada saya. Saya malu, Cerita hal peribadi kan? Kalau cerita tentang kerjaya tak apalah. Ini bukan mendatangkan publisiti yang baik untuk saya. Mestilah saya tak suka. Bagi Afiq, relevan tak bila pihak pengurusan artis masuk campur hal peribadi seseorang artis di bawah naungannya? Tak relevan langsung. Bagi saya, hal kerja adalah hal kerja. Hal peribadi adalah hal peribadi. Kedua-dua pihak sama ada pengurusan atau artis kena profesional. Saya tak maksudkan cuma saya saja dalam hal ini, pengurusan artis lain pun sama juga. Dah bergerak sendiri sekarang, Afiq rasa lebih selesa begitu atau bagaimana? Lebih mudah dan selesa urus segalanya sendiri. Saya tak perlu pening kepala dan orang nak berurusan dengan saya juga mudah. Saya pun memang lebih suka berdikari. Jadi tak ada masalah.

Nas Adila Tetap Usaha Biarpun Hampir Gagal Jadi Artis

Penyanyi Nas Adila tidak pernah berputus asa untuk mencipta nama sebagai penyanyi terkenal biarpun popularitinya tidak sehebat artis wanita lain. Nas, 27, berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi mendapat perhatian peminat, dia menganggap perkara itu sebagai satu cabaran buatnya sebelum mengecap kejayaan. "Saya pernah kena tipu dan bermacam-macam lagi sepanjang jadi artis sebagai usaha untuk bakat sebagai penyanyi diberi perhatian oleh peminat namun gagal. "Tetapi itu bukan bererti saya perlu mengalah kerana ia sebenarnya membuatkan diri saya lebih kuat," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nas berkata, walaupun tidak popular namun dia bersyukur undangan nyanyian sentiasa ada malah adakalanya terpaksa menolak kerana jadual yang padat. "Mungkin wajah saya tidak selalu muncul di televisyen jadi orang tidak perasan. Tetapi Alhamdulillah undangan nyanyian masih ada," katanya yang baru sahaja selesai membuat persembahan bersama Jamal Abdillah di beberapa buah negeri. Sementara itu, Nas berkata tumpuannya juga terletak kepada studio tariannya yang diusahakan sejak akhir tahun lalu dan bersyukur ia mendapat sambutan baik. Dalam perkembangan lain, Nas kini sedang sibuk dengan pementasan teater Hantu Ke Tapah yang akan dipentaskan di Pulau Langkawi, Kedah pada Jun depan. Selain Nas, teater tersebut turut dilakonkan oleh Ezad Lazim, Aliff (AF), Ani Mayuni dan Fairus Selamat.

Mariani Cerita Petua Kekal Sihat & Tidak Pernah Minta Bayaran

Pelakon veteran, Mariani tidak pernah meletakkan sebarang harga kepada pihak produksi yang ingin mengambilnya berlakon dalam drama atau filem terbitan mereka. Mariani atau nama sebenarnya Mariani Ismail, 80, berkata, apa juga nilai bayaran yang diterimanya adalah rezeki daripada Allah. "Sepanjang saya berlakon belum pernah saya meletakkan 'wang hantaran' kepada pihak produksi dan saya biar mereka yang tentukan sesuai dengan pengalaman yang saya ada. "Biar berapa pun yang mereka berikan saya tetap terima dan menganggap ia sebagai rezeki saya daripada Allah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 80 di Saloma Bistro, malam Jumaat lalu. Pada majlis berkenaan, Mariani diraikan penuh meriah dengan kehadiran rakan-rakan artis seperti Datin Umi Kalthom, Mimi Loma, Tan Sri Jins Samsuddin dan Datuk Maria Menado. Turut hadir anak-anaknya dan sanak saudara. Bagaimanapun kata Mariani, setakat ini dia berpuas hati dengan bayaran yang diberikan oleh pihak produksi malah ada di antara mereka yang memberikannya bonus. Dalam pada itu, Mariani berkata, beliau akan terus berlakon selagi diperlukan dan mahu melihat industri lakonan dan perfileman tempatan terus berkembang maju. "Sejak saya berusia belasan tahun saya sudah berlakon dan akan terus berlakon selagi diperlukan dan lakonan membuatkan saya terus aktif selain dapat menyumbangkan sesuatu kepada industri," katanya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai rahsianya kekal sihat, Mariani memberitahu dia mengamalkan petua berjalan kaki dari Chow Kit ke Masjid India dekat sini setiap pagi. Katanya aktiviti itu dilakukan sejak sekian lama dan selain dapat menjaga kesihatan beliau juga berpeluang bertemu dengan peminat yang menyapa jika terserempak dengannya. "Ini mungkin adalah salah satu sebab saya masih sihat kerana mengamalkan berjalan kaki setiap hari dan saya tidak pernah merungut malah seronok dapat melakukannya kerana tidak mahu manjakan diri pada usia sekarang," jelasnya. Tambah Mariani, beliau juga sentiasa berfikiran positif dan hidup dalam keadaan gembira. Dalam perkembangan lain, Mariani baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama berjudul Laila Majnun dan Anak Hero. Mariani sebelum ini terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Masam-Masam Manis, Nasib Si Labu Labi, Tiga Abdul dan Ahmad Albab.

Nazim Othman Cerewet Dengan Penampilan

Pelakon Nazim Othman mengakui agak cerewet dengan penampilan diri dan akan memastikan imejnya sentiasa kelihatan terurus dan bersesuaian dengan statusnya sebagai selebriti. Nazim, 29, berkata, perkara itu menjadi keutamaannya kerana dia berpendapat menerusi imej ia akan menggambarkan personaliti seseorang. "Orang mungkin menilai kita daripada apa yang mereka lihat pada luaran dan sebab itu saya sangat mementingkan penampilan tambahan pula sebagai seorang selebriti saya mesti menjaga imej supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat," katanya. Bagaimanapun kata Nazim, itu tidak bererti dia akan berpakaian kemas sepanjang masa tetapi mengikut kesesuaian sesuatu majlis atau pun tempat yang ingin ditujui. "Kalau setiap hari nak berpakaian cantik dan kemas susah juga tetapi ia perlu mengikut kesesuaian dengan majlis dan tempat yang ingin ditujui," katanya. Dalam pada itu, Nazim berkata, dia bukanlah seorang yang terlalu obses dengan pakaian berjenama tetapi memilih sesuatu barangan itu mengikut selera dan kesesuaian. "Kadang-kadang barang yang murah itu pun ada yang cantik dan sesuai. Jenama bukan satu isu tetapi cara kita sesuaikan sesuatu pakaian supaya tampak menarik. "Paling penting ia dapat mencerminkan personaliti dan imej kita yang tersendiri," katanya. Sementara itu, Nazim memberitahu, dia tidak terlalu memikirkan mengenai populariti sebagai artis sebaliknya mahu memberi fokus kepada karier lakonan yang semakin mendapat perhatian. "Populariti itu pada saya satu bonus dan ia akan datang dengan sendiri. Paling penting kena usaha lebih keras supaya dapat mengukuhkan nama dalam industri. Tambahan pula persaingan sekarang semakin hebat," katanya. Nazim bakal muncul dengan sebuah drama bersiri baru berjudul Epilog Cinta Kirana menerusi slot Samarinda di TV3. Selain Nazim drama bersiri arahan Azmi Hatta itu turut menampilkan pelakon seperti Tasha Shilla, Raja Ilya, Alif Aziz dan Arash Mohamad.

Hamil 3 Bulan, Tidak Halang Anne Ngasri Sertai Kempen Suami

Walaupun sedang hamil tiga bulan, pelakon Anne Ngasri tetap menemani suaminya, Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 29, berkata, setiap Jumaat hingga Ahad dia dan suaminya akan ke Pontian, Johor untuk membantu calon di kawasan tersebut memperkukuhkan kempen bagi kemenangan Barisan Nasional (BN). "Keadaan saya yang hamil tidak menghalang untuk saya menemani suami berkempen malah saya cukup bersemangat. "Bagaimanapun bukan setiap hari saya keluar berkempen tetapi mengikut kesesuaian dalam keadaan berbadan dua. Namun peluang turun berkempen cukup menyeronokkan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Dalam pada itu, Anne berkata, pengalaman pertama turun padang membantu calon PRU-13 bagi Parlimen Pontian iaitu Datuk Ahmad Maslan sangat berharga buatnya. Jelas Anne, dia tidak berasa kekok menyertai aktiviti itu kerana dia sendiri adalah seorang ahli Umno. Sementara itu, Anne berkata, selepas ini dia akan mengurangkan aktiviti seni sehingga dijangka bersalin pada September depan. Kandungannya kali ini tidak mempunyai sebarang masalah dan pengalaman melahirkan tiga cahaya mata sebelum ini banyak membantu Anne mengawal situasi. "Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan peluang ini saya akan gunakan untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan Insya-Allah saya akan kembali aktif selepas bersalin kelak," katanya. Anne dan Sumali mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 22 Disember 2012. Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 4, dan Nazharah Afrozah yang kini berusia tiga tahun. Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim, 8, hasil perkahwinan terdahulunya.

Ada Pihak Ambil Kesempatan Kerana Dafi Anak Menteri

Penyanyi Dafi melahirkan rasa terkilan dengan sikap beberapa individu yang cuba berbuat baik dengannya untuk mendapatkan projek disebabkan dia anak seorang menteri. Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi, 25, yang merupakan anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan itu membuatkan dia benar-benar berasa dipergunakan oleh individu berkenaan. "Saya sering didatangi individu yang mahu berkawan dengan saya atas sebab-sebab tertentu. "Pada mulanya saya anggap mereka ikhlas. Tetapi lama- lama saya dapat rasakan mereka mempunyai niat tertentu. "Mereka ingat, berkawan dengan saya akan memudahkan mereka mendapatkan projek-projek perniagaan daripada bapa saya?" katanya yang akan berhati-hati dalam memilih kawan. Sementara itu, Dafi turut mendedahkan dia sudah lama hidup solo tanpa kekasih sejak enam tahun dahulu. Dafi turut menyifatkan dirinya kurang romantik sehinggakan tidak ramai wanita yang senang untuk menjadikannya sebagai pasangan kekasih. "Memang saya bukan seperti kebanyakan lelaki yang bersifat budiman dan romantik.Mungkin kerana itu saya tiada kekasih kut," selorohnya yang menjangkakan akan berkahwin dalam masa lima tahun lagi.

Adam Corrie Hilang Pendapatan Selepas Dituduh Sertai PAS

Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah hilang mata pencarian sehingga kerugian RM40 ribu gara-gara terdapat laporan mengatakan kononnya dia menyertai parti pembangkang iaitu PAS. Adam Corrie, 45, berkata, dia telah dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab yang merakamkan gambarnya dalam sebuah ceramah agama di Taiping, Perak yang disertai Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din. "Salah ke saya menghadiri ceramah agama? Kenapa mereka perlu memanipulasikan gambar ketika saya berada di situ? Saya mahu berjumpa Haron Din untuk bertanya kepadanya petua mendapatkan anak cara Islam,” katanya kepada mStar Online pada Khamis. Adam Corrie ditemui di pejabat Persatuan Seniman Malaysia di Taman Melawati di sini selepas membuat laporan berhubung perkara itu kepada presiden persatuan berkenaan, Zed Zaidi. Katanya, pada majlis agama itu, dia tidak sempat berjumpa dengan pemimpin PAS berkenaan tetapi agak terkejut apabila gambarnya telah dimanipulasikan di Internet oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan syarikat produksi drama di negara ini enggan menawarkannya berlakon Akibat insiden berkenaan dia juga terpaksa menganggur sejak empat bulan lalu yang mengakibatkan dia kehilangan pendapatan kira-kira RM40,000 dalam tempoh berkenaan. Tambah Corrie, gambarnya dengan salah seorang ahli PAS itu turut dimanipulasikan. "Apabila keadaan ini berlaku, ia sedikit sebanyak mengganggu pendapatan saya yang mana saya mengharapkan daripada sumber berlakon untuk menyara isteri dan keluarga. "Saya mahu jelaskan di sini bahawa saya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik kerana saya seorang yang neutral. "Tujuan saya menghadiri ceramah hanya ingin mendapatkan ilmu sebagai seorang mualaf," ujarnya.

Sheera Ajak Golongan Muda Keluar Mengundi

Pelakon Sheera Iskandar menyeru golongan muda yang menjadi pengundi berdaftar untuk keluar mengundi pada 5 Mei ini bagi menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan demi masa depan yang lebih cerah. Sheera, atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar 28, berkata, golongan muda sepertinya turut berperanan dalam menentukan hala tuju negara terutama dalam memilih sebuah kerajaan yang diyakini mengutamakan kebajikan rakyat. "Mungkin ketika masih muda kita fikir politik tidak penting dan anggap benda ini remeh. "Tapi sebenarnya tak, kita nak hidup dalam negara yang maju dan nak terus ke depan. Jadi jangan biarkan orang lain tentukan hidup kita, kita sendiri perlu tentukan," katanya ketika ditemui di Pasar Tani Taman Wira, Mergong di sini, Jumaat. Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) kali ini menyaksikan peningkatan pengundi muda yang ramai iaitu berjumlah 5.5 juta atau kira-kira 42 peratus daripada 13.3 juta pengundi berdaftar. Sheera antara 11 artis yang mengikuti program Ziarah Syukur bagi membantu Barisan Nasional (BN) berkempen pada PRU-13 ini di Kedah. Alor Setar merupakan lokasi jelajah ke tiga di Kedah selepas kumpulan artis berkenaan mula menemui orang ramai di kawasan Parlimen Padang Terap dan Parlimen Kulim Bandar-Baharu sejak Selasa lalu. Program yang dijayakan Pengerusi Eksekutif Intenkreatif Sdn Bhd, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar itu bakal meneruskan siri jelajah mereka ke kawasan Parlimen Pendang dan Parlimen Jerlun. Mengulas lanjut Sheera yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid berkata, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk pulang mengundi di kawasan Parlimen Pasir Mas di Kelantan. "Ini kali pertama saya akan mengundi, jadi Insya-Allah saya akan pulang menunaikan tanggungjawab saya," katanya yang mengetahui mengenai calon PRU-13 di kawasannya iaitu Datuk Ibrahim Ali sebagai calon Bebas dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz daripada PAS.

Norman suka lihat Memey bertudung

PADA hari Ahad lalu pelakon Memey Suhaiza membuat kemunculan di khalayak ramai dengan tampil bertudung litup ketika menghadiri acara hari sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim. Beberapa keping gambarnya bertudung turut dimuat naik ke laman Instagram miliknya, sehingga ramai peminat yang menyangka bahawa isteri kepada pelakon Norman Hakim itu sudah mengikut jejak langkah beberapa artis yang kini sudah bertudung. Bagaimanapun, Memey yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini memberitahu, dia tidak mahu peminat salah sangka apabila menganggap dirinya kini sudah bertudung. Sebaliknya, pelakon yang baru dikurniakan cahaya mata, Mohamed Darwisz Hakim itu menyatakan sehingga kini dia masih lagi belum bertudung sepenuhnya, tetapi masih dalam proses percubaan untuk memakai tudung. Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan Memey selepas bergelar ibu? MEMEY: Ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk diperkatakan, tetapi apabila dikurniakan cahaya mata sudah tentu ia menjadi pelengkap kepada kehidupan saya sebagai seorang isteri. Setelah tamat berpantang pada awal April lalu, adakah anda sudah kembali berlakon? Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Roda-Roda KL. Namun begitu, setiap kali ke lokasi penggambaran, saya selalu berasa berat hati untuk berpisah seketika dengan anak kerana terlalu rindu. Sebenarnya, selepas melahirkan anak sudah banyak tawaran berlakon yang diterima, tetapi dalam tempoh sekarang ini saya terima tawaran yang memerlukan saya berlakon di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Bagaimanakah pula dengan anak apabila anda menjalani penggambaran? Tanggungjawab menjaga anak saya serahkan segalanya kepada adik saya yang selama ini memang bekerja dengan saya. Cuma, saya telah memintanya supaya menjaga Darwisz di rumah sahaja. Adakah suami tidak kisah apabila anda kembali aktif berlakon setelah memiliki cahaya mata? Saya sangat beruntung kerana suami tidak pernah menghalang saya aktif berlakon semula. Dia cukup memahami minat saya yang mendalam terhadap dunia lakonan, namun dia tetap meletakkan syarat supaya kepentingan keluarga perlu lebih diutamakan berbanding kerjaya. Baru-baru ini terdapat beberapa keping gambar yang memaparkan anda bertudung sewaktu muncul di khalayak ramai. Adakah sekarang ini anda sudah bertudung sepenuhnya? Ketika ini saya masih lagi belum bertudung dan lakonan saya dalam Roda-Roda KL juga tidak menampilkan saya memakai tudung. Apa yang boleh dikatakan, saya masih lagi dalam proses belajar lagi. Kalau boleh saya tidak mahu peminat keliru dengan penampilan saya itu dan begitu mengharapkan doa daripada peminat agar pintu hati saya terbuka sepenuhnya untuk bertudung. Apakah pandangan suami apabila melihat anda sudah mula berjinak-jinak untuk memakai tudung? Sudah tentu suami merupakan orang yang paling gembira dan memberitahu dia memang suka lihat saya bertudung. Bagaimanapun, dia tidak memaksa saya dan berpesan supaya setiap perubahan yang dilakukannya itu mestilah niat kerana Allah tanpa paksaan daripada sesiapa.

Neelofa tidak terasa

NEELOFA pulang awal dari sebuah majlis anugerah, gara-gara namanya tidak diumumkan sebagai pemenang? Tak habis-habis perempuan seorang dengan cerita panas, sekali gus membuktikan Lofa memang macam 'pisang panas', laris di mana saja'. Ditemui di majlis pelancaran filem Lemak Kampung Santan baru-baru ini, Neelofa memberitahu, tidak ada istilah merajuk atau membawa diri. Menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka, dengan pengalaman hijau dalam bidang ini, bukan anugerah yang didambakan. "Keesokan harinya saya terlibat dengan penggambaran filem. Jadi, saya fikir lebih baik saya pulang awal untuk mendapatkan rehat yang mencukupi. Saya tak merajuk pun," katanya. Ironinya, anugerah kategori yang mempertandingkan nama Neelofa ini disampaikan oleh Tasha Shilla, artis muda yang dikatakan punya 'masalah' dengan Lofa. Jika diimbau kembali ada 'cerita' ketika mengumumkan nama pemenang anugerah tersebut, menjelaskan keadaan sebenar hubungan antara Neelofa dan Tasha yang masih dingin. Secara jujur Neelofa berkata, dia sebenarnya lebih senang untuk tidak mengambil kisah dengan apa yang berlaku. "Saya tak tengok reaksi Tasha ketika tu sebab tengah bersedia di belakang pentas. Keesokan harinya, kak Fara (Fara Fauzana) menghubungi saya dan bertanya: "Adik, awak okay dengan Tasha Shilla?" "Saya tanya balik, kenapa pula?" Kemudian kak Fara kata tasha tak sepatutnya buat reaksi macam tu... Dia tak tahu ker kita ni baik? Lofa cakap, tak apalah, biar saja." Menurut Lofa, memang ada pihak memberitahu terdapat komen-komen yang mengatakan Tasha berlaku biadap terhadap dirinya. "Bagaimanapun, saya tak mahu bersuara apa-apa. Saya tetap hormati dia, kerana dia pernah menegur saya. Bagi saya adalah sesuatu yang baik untuk seseorang yang tidak menyukai kita dan menegur kita dahulu," katanya . Bercerita mengenai filem terbarunya berjudul Lemak Kampung Santan, membawa watak sebagai seorang gadis kampung bukanlah sesuatu yang sukar kerana pernah tinggal di kampung selama enam tahun. "Saya tidak tahu ada orang yang mengatakan saya tidak boleh bawa watak gadis kampung. Bagi saya watak sebegini dekat dengan saya memandangkan saya juga berasal dari kampung. "Di antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah terlibat dengan sebuah babak yang memerlukan saya menunggang motosikal. Pengalaman berlakon bersama pelakon hebat lain seperti Hans Isaac, Khir Rahman dan ramai lagi memberi peluang untuk saya menambah ilmu lakonan," katanya.

Sedang laris di pasaran - Mardiana Alwi

PELAKON Mardiana Alwi harus memilih sama ada dia perlu meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah di Fakulti Drama, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur ataupun memberi seratus peratus tumpuan kepada bidang lakonan. Sebabnya ketika mengikuti pengajian Seni Persembahan Drama di UM, pelakon berusia 25 tahun ini semakin banyak dihujani pelbagai tawaran berlakon teater, drama televisyen dan telemovie sehingga dia sukar untuk menolaknya. Justeru, Mardiana nekad melupakan terus pengajiannya itu kerana menganggap tawaran-tawaran berlakon yang diterima sejak kebelakangan ini sebagai rezeki datang bergolek yang diidam-idamkan oleh semua pelakon. "Saya tidak terkilan dengan keputusan saya berhenti belajar di UM walaupun saya sudah sampai ke pengajian tahun yang kedua. Ketika itulah saya paling banyak menerima tawaran berlakon drama dan telemovie. "Malah, saya juga banyak menjalani penggambaran di luar kawasan Kuala Lumpur termasuklah sehingga ke Pulau Pinang dan Sabah yang mengambil masa yang lama. Itu juga salah satu sebab saya nekad berhenti belajar. "Saya sudah berbincang dengan ibu bapa dan mereka bersetuju dengan keputusan saya itu. Kalau ada masa saya akan sambung belajar semula," katanya kepada Hits selepas sidang akhbar teater Nyonya & The Gang baru-baru ini. Teater arahan arahan Rosminah Tahir dan Siti Rohayah Attan itu turut membabitkannya sebagai salah seorang pelakon utama yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 14 hingga 29 Jun ini. Turut membintangi teater karya Wisran Hadi dan Siti Rohayah Attan antaranya Misha Omar, Fara Fauzana, Amy Mastura, Rozita Che Wan dan Taiyuddin Bakar. Menurut Mardiana, dia sudah berfikir semasak-masaknya perkara itu selain mengambil kira faktor-faktor lain agar keputusan itu bukan sahaja memberi kebaikan kepadanya tetapi turut tidak menyusahkan pihak-pihak lain. "Saya juga telah berbincang dengan Dekan Fakulti Drama UM iaitu Effendi Shamsuddin bagi mendapatkan pandangannya. Sejak banyak mendapat tawaran berlakon saya selalu tidak dapat menghadiri kuliah semasa di UM. "Kalau sampai tiga hari berturut-turut ponteng kelas saya boleh dikenakan tindakan iaitu dihalang daripada memasuki dewan peperiksaan. Jadi, jalan terbaik ialah saya berhenti belajar dan menjadi pelakon sepenuh masa," ujarnya. Tamatkan diploma Jelas Mardiana, tawaran berlakon yang datang kepadanya bukan setakat sewaktu dia melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah di UM tetapi ia juga sudah bermula sewaktu mengikuti pengajian di peringkat diploma beberapa tahun lalu. Semasa belajar dalam bidang teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) peringkat diploma dia hampir-hampir meninggalkan pengajiannya juga gara-gara menerima banyak tawaran berlakon. "Ketika berada di tahun ketiga dalam bidang pengajian teater peringkat diploma di Aswara itu lagi saya sudah mula mendapat banyak tawaran berlakon. Saya hampir-hampir mahu meninggalkan pengajian juga. "Tetapi apabila difikir-fikirkan balik sudah mahu habis pengajian maka saya paksa teruskan juga pengajian. Apatah lagi ketika itu saya terbabit dalam projek tahun akhir dalam pementasan teater berjudul The Dumb Waiter. "Alhamdulillah saya akhirnya berjaya menamatkan pengajian hingga peringkat diploma sebelum meneruskan pengajian di UM walaupun ia cuma sekerat jalan sahaja. Mungkin rezeki saya dalam bidang pelajaran setakat itu dulu," jelasnya. Tambah Mardiana, dia yakin pengorbanannya dalam bidang pelajaran berbaloi kerana banyak lagi bidang seni yang akan diterokainya pada masa depan dengan menjanjikan pelbagai peluang serta prospek yang cerah. Antaranya dengan mencuba bidang pengacaraan rancangan-rancangan televisyen selain mahu mengembangkan lagi bakat lakonannya dalam bidang perfileman yang tentunya memerlukan masa dan komitmen yang lebih jitu. "Saya baru sahaja habis menjalani penggambaran filem pertama saya bertajuk Hari Hari Terakhir Seorang Seniman. Dua tahun lepas saya pernah mengacarakan rancangan televisyen bertajuk Gaya Anggun sebanyak 13 episod di TV1. "Bagi saya bidang seni amat luas untuk diterokai dan tidak semua orang mendapat peluang yang banyak pada satu-satu masa. Saya yakin keputusan yang diambil ini adalah tepat dan memberi manfaat kepada saya. "Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya akan melupakan terus bidang pelajaran. Apabila masanya tiba nanti saya akan sambung belajar tetapi kalau boleh biarlah ia bukanlah dalam bidang lakonan," katanya lagi penuh harapan.

Fazurina rindukan ibu

MANA-MANA wanita pastinya mengidamkan sebuah perkahwinan indah bersamam insan tercinta. Perkahwinan juga merupakan saat di mana dua keluarga bersatu melalui pertalian yang suci. Tetapi tidak semua wanita akan melalui pengalaman yang sama. Ada yang terpaksa melalui liku dan ranjau perkahwinan, tetapi ia bukan bermakan sesuatu yang perlu diratapi. Percaya akan ada kesudahan yang baik buat dia dan keluarganya suatu hari nanti, jauh di sudut hati Siti Fazurina Mohd Famir hanya meminta agar kesakitan itu segera berlalu. Selama 10 tahun terlibat dalam industri lakonan, dia akui pedih realiti kehidupan sukar dibandingkan dengan watak yang pernah dibawakannya di dalam mana-mana drama atau filem. Mahu melihat permulaan fasa baru kehidupannya jauh dari sebarang pertikaian orang luar, Siti Fazurina, 31, atau lebih dikenali mesra disapa Nina percaya sikap mendiamkan diri merupakan langkah terbaik buat dirinya. “Di awal kontroversi ini menerpa saya akui kehidupan saya agak tunggang-langgang. “Memang saya tertekan, namun saya tahu bukan mudah untuk menerangkan keadaan sebenar. Tambahan pula berkaitan dengan keluarga saya sendiri," katanya ketika hadir untuk sesi bergambar di studio Utusan Malaysia baru-baru ini. Satu demi satu kisah ‘kejahatannya’ dibicarakan tanpa ada ruang buat dirinya memberi penjelasan. Menegaskan dia masih waras, bagi Nina, sebagai anak dia tahu kedudukannya yang sentiasa mendambakan keberkatan insan yang melahirkannya ke dunia ini. “Tipulah kalau saya kata saya langsung tidak merindui ibu serta adik beradik saya yang lain. “Mereka merupakan orang yang paling saya sayang kerana saya tahu itu sahaja darah daging saya. “Namun saya reda, mungkin belum lagi masanya untuk mereka menerima perkahwinan ini. Saya percaya dengan ketentuan Allah semuanya akan berubah," katanya. Ditanya usaha dia dan suami Muhammad Hykal Zulkifli, 32, untuk mengubah hubungan yang tegang itu menjadi lebih kendur melalui kasih sayang, menurut Nina sudah tentu sebagai anak dia mahu semua itu cepat berakhir dan dia kembali mengecapi kasih sayang insan yang paling dihormatinya. “Bukan sahaja saya, malah suami juga sudah berusaha untuk diterima keluarga saya sebelum kami berkahwin. “Namun, seperti yang saya katakan tadi mungkin belum tiba masanya. Mungkin dengan rezeki anak suatu hari nanti keluarga saya akan kembali bersatu siapa tahu,"katanya tersenyum. Sedang ramai yang mempertikaikan keputusannya untuk tetap berkahwin tanpa restu ibu, bagi Nina bukan satu kemestian untuk dia mengumumkan sebab utama keputusan itu dibuat memandangkan itu berkaitan dengan masa depan dirinya. “Saya mengenali suami pada tahun 2010, melalui sepupu saya. Dalam tempoh enam bulan berkenalan, kami berdua sebenarnya sudah bersedia untuk berkahwin tetapi terlalu banyak halangan. “Saya percaya mana-mana wanita juga mahu disatukan dengan lelaki yang dicintai, sama seperti saya. Kehadiran Hykal selepas dua bulan saya putus tunang banyak membantu saya waktu itu. Mungkin ini perjalanan kehidupan saya yang sudah tertulis," katanya. Karier dan keluarga Mengakui ketika kontroversi itu hebat diperkatakan, dia pernah mahu mengambil keputusan meninggal dunia lakonan. Menurut Nina bukan soal malu yang menyebabkan tekanan yang dialaminya itu, tetapi terkejut dengan tindakan yang langsung tidak dijangkakan dirinya. “Saya memang tertekan. Pada minggu pertama bergelar isteri sepatutnya semuanya nampak indah. Tetapi itu tidak terjadi kepada saya. “Memang saya pada mulanya tidak mahu lagi terlibat dengan dunia seni memandangkan imej saya sudah tercalar. Namun, selepas beberapa ketika saya tahu ini merupakan sesuatu yang perlu saya teruskan kerana minat saya tidak pernah luntur walaupun seinci dek kerana insiden ini," katanya. Mula bertudung sejak tahun lalu, menurut Nina, perjalanan kariernya agak terjejas dengan kontroversi itu. Dia bagaimanapun hanya mampu berdoa agak terus diterima dalam industri itu. “Pada mulanya memang saya terkesan, namun bukan kerana pihak produksi yang enggan menerima saya, tetapi sikap saya sendiri yang cuba menghilangkan diri dari industri. “Syukur sebenarnya masih ada ruang buat saya meneruskan minat saya ini. malah melalui sokongan suami, saya dapat lihat karier saya sebagai pelakon akan terus berkembang," katanya yang bakal mulakan penggambaran untuk sebuah drama bersiri tidak lama lagi. Tatkala sibuk dengan tugas sebagai isteri, Nina sebenarnya sedang merencanakan sesuatu buat kehidupannya. Bukan sahaja mahu terus bergelar sebagai seorang pelakon, Nina kini sebenarnya sedang mengikuti kursus untuk membuka sebuah tadika. “Itu merupakan antara impian saya dengan suami. Saya percaya ini jarang dipelopori oleh golongan artis. Jadi saya ambil kesempatan untuk menonjolkan kebolehan diri. “Bagaimanapun ini bukan petanda saya akan meninggal dunia lakonan. Ini lebih kepada persediaaan masa depan bersama suami," katanya. Percaya sudah cukup bersedia untuk bergelar seorang ibu, menurut Nina, buat masa ini dia dan suaminya hanya menyerahkan kepada takdir. Tidak merancang, bagi pelakon yang pernah terkenal dengan sitkom bersiri Puteri itu dia tidak mahu sebarang tekanan mengenai perkara ini. “Kami tidak merancang, kalau boleh memang mahukan anak secepat mungkin," katanya. Berharap agar perkahwinannya akan kekal ke akhir hayat, wanita yang semakin bahagia itu tahu, melalui kehidupan sebagai suami isteri ada dugaan yang menanti. Berdoa agar semuanya akan berlaku dalam keadaan yang aman tiada apa yang lebih penting untuk melihat suaminya juga suatu hari nanti diterima dengan baik oleh keluarganya. “Bagi yang terus mempertikaikan saya, itu bukan sesuatu yang merunsingkan. Harapan saya agar mereka yang kenal saya mendoakan perkahwinan ini kekal selamanya. “Selain itu apa yang lebih penting adalah untuk segera melihat hubungan saya dan suami kembali pulih dengan keluarga saya," katanya.

Cha Cha Maembong Tidak Cemburu Populariti Kakak

Pelakon baru Cha Cha Maembong tidak hirau apabila nama kakaknya, Emma Maembong lebih popular berbandingnya walaupun dia yang terlebih awal ‘terjun’ dalam dunia lakonan. Cha Cha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, 17, berkata, dia juga tidak cemburukan Emma malah gembira dengan kejayaan kakaknya yang baru setahun dalam industri seni tempatan. "Tak mungkin saya nak cemburukan dia (Emma). Sebaliknya saya berbangga memiliki seorang kakak yang berjaya dan popular atas usaha gigihnya sebagai pelakon. "Lagipun dia kakak saya dan saya pun masih muda, banyak benda yang masih perlu belajar dan perjalanan dalam bidang ini juga masih jauh lagi. Dia juga membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan karier lakonan saya," katanya. Beritahu Cha Cha, dia mula menyertai kerja-kerja seni seawal berusia lima tahun sebagai model untuk iklan-iklan di televisyen, kemudian berhenti pada usia 12 tahun dan kini kembali semula bergiat aktif di bidang lakonan sejak dua tahun lalu. Sementara itu, Cha Cha turut bersyukur masalah pelat yang dihadapinya bukanlah satu halangan untuk aktif dalam kerja-kerja lakonan. Malah pelakon kacukan Melayu dan Scotland ini gembira apabila pihak produksi tidak menganggap ia satu masalah tetapi dia sendiri sedang berusaha memperbaiki sebutannya agar lebih jelas ketika berlakon. "Mula-mula saya risau juga memikirkan adakah pihak produksi terbuka dengan masalah pelat saya. Lebih-lebih lagi saya sukar menyebut huruf 'R'. "Bagaimanapun saya cuba memperbaiki kelemahan itu agar tidak memburukkan lakonan yang dibawakan," seloroh pelakon yang popular dengan drama Mimpi Cinderella dan Setia Hujung Nyawa ini. Dalam perkembangan lain, Cha Cha bakal muncul menerusi drama terbaharu terbitan Wall's Cornetto (Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd) iaitu Cornetto Uda & Dara. Siri drama ini mengisahkan tiga pasangan anak muda yang melalui perjalanan hidup penuh dugaan dan cabaran dalam mencari identiti sehingga memperoleh kejayaan masing-masing. "Seronok juga berlakon dalam drama ini. Memandangkan saya masih baru dalam industri ini, banyak tunjuk ajar yang diberikan oleh mentor-mentor saya seperti Yasmin Hani dan Tony Eusoff," tuturnya. Selain Cha Cha Cornetto Uda & Dara dibarisi pelakon iaitu Dafi, Alif Hadi, Jed, Radhi Khalid, Mustapha Kamal, Namron, Yasmin Hani, Azhar Sulaiman, Shaq, Alam, dan Normah Damanhuri. Drama ini bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 1 Mei depan setiap Rabu, pukul 9 malam. Siaran ulangannya pula ialah pada hari Sabtu, pukul 5 petang.

Yana Samsudin Ambil Keputusan Cuti Sebulan

Pelakon Yana Samsudin mengambil keputusan untuk bercuti selama sebulan daripada sebarang aktiviti lakonan kerana tidak pernah berbuat demikian sebelum ini. Yana, 29, berkata, kesibukannya di lokasi penggambaran telah menyebabkan kehidupan peribadi dan sosialnya berada dalam keadaan tidak seimbang. "Sebelum ini setiap bulan saya ada penggambaran dan tidak dapat bersosial sama ada bersama teman atau pun menghadiri majlis-majlis hiburan yang diadakan. "Sekarang ini saya ambil cuti selama sebulan dan mahu berehat sebentar daripada penggambaran filem. Saya juga mahu berikan tumpuan kepada kehidupan peribadi yang agak lama tidak diberi perhatian," jelasnya kepada mStar Online. Pelakon ini akan bercuti bermula Mei sehingga Jun depan. Malah kata Yana, pihak pengurusannya iaitu syarikat produksi Metrowealth turut membenarkannya mengambil cuti panjang untuk berehat. Dalam pada itu, Yana berkata, peluang bercuti selama sebulan itu akan digunakan untuk bercuti ke luar negara selain menghabiskan masa di kampung halamannya di Yong Peng, Johor. Tambah Yana, dia juga akan kembali ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei depan dan ingin merasai kehangatan suasana berkempen di negeri itu. "Insya-Allah saya akan bercuti ke Jakarta sebelum balik ke kampung untuk bersama keluarga dan mengambil peluang untuk mengundi," katanya. Sementara itu, Yana berkata, dia akan muncul dengan filem terbaharunya pada Ogos depan berjudul Adnan Sempit 3 bergandingan dengan Shaheizy Sam. Setakat bulan April, Yana telah muncul dengan empat buah filem iaitu Minyak Dagu, Wawa Semput, Cerita Kita dan Dua Kalimah.

Takut Malu, Hafiz Suip Enggan Kongsi Kisah Peribadi

Penyanyi lagu Awan Nano, Hafiz enggan lagi bercakap soal peribadi terutama kisah percintaannya kepada umum kerana bimbang ia akan dijadikan isu sehingga menyebabkan namanya tercalar. Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 23, ini berkata, walaupun bergelar selebriti, sebagai manusia biasa yang inginkan privasi dia berhak untuk menyimpan perkara itu tanpa perlu dikongsi dengan orang lain. "Bukan semua perkara saya boleh kongsi dengan peminat dan biarlah cerita mengenai peribadi dan hubungan cinta saya simpan buat diri sendiri. "Jika terjadi apa-apa pada hubungan tersebut seperti putus di tengah jalan tidaklah saya malu nanti," katanya kepada mStar Online. Hafiz sebelum ini mengakui dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang dikenali hampir setahun lalu. Dalam pada itu, ditanya mengenai jodoh, Hafiz berkata, masih terlalu awal untuknya bercakap mengenai perkara itu kerana faktor usianya yang masih muda. Malah dia mahu mengukuhkan terlebih dahulu kerjayanya sebagai penyanyi bagi memastikan masa depannya lebih terjamin. "Saya ingin mengumpul kesenangan terlebih dahulu dan barulah boleh bercakap mengenai kahwin kerana tanggungjawab sebagai seorang suami adalah besar dan bukan mudah. "Tambahan pula usia saya masih muda dan tidak terlalu memikirkan soal kahwin buat masa ini," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, dia kini sedang sibuk membuat latihan bagi konsert pertamanya di Dewan Filharmonik Petronas dekat sini pada 1 Jun depan. Jelas Hafiz, dia bakal menyampaikan sembilan buah lagu pada malam tersebut dan mengakui gementar untuk membuat persembahan di pentas berprestij itu. "Ini adalah peluang keemasan saya sebagai seorang penyanyi. Walaupun gementar tetapi pada masa sama saya cukup teruja dan terharu diberi peluang untuk membuat persembahan di sana," katanya.

FDAM Mohon Maaf, Akan Pulangkan Wang Aaron Aziz

Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) akan memulangkan semula lebihan wang daripada pembayaran RM1,500 yang dibuat oleh pelakon Aaron Aziz untuk menjadi ahli persatuan itu selepas timbul salah faham berhubung taraf kerakyatannya di negara ini. Presiden FDAM, Othman Hafsham, 72, berkata, jumlah amaun itu sepatutnya dibayar bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia. "Saya mewakili pihak FDAM memohon maaf atas kesilapan mengenai hal pembayaran yuran Aaron. Orang yang menjaga hal-hal itu mungkin tidak peka dengan status Aaron yang kini sudah mendapat taraf penduduk tetap di negara ini. "Diharap Aaron dapat hadir ke pejabat kami untuk menerima semula baki wang yuran berkenaan. "Bagaimanapun, saya cuba menghubungi Aaron sejak pagi tadi (Rabu), tetapi tidak berjawab," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu. Beritahu Othman, sepatutnya, bagi warganegara Malaysia, yuran ahli yang dikenakan hanyalah RM300 sahaja manakala yang bukan warganegara perlu membayar RM1,000. Menerusi laman Instagram milik Aaron pada Selasa lalu, dia memaparkan sekeping resit pembayaran selepas mendaftar sebagai ahli persatuan tersebut yang dilakukan pada 14 April lalu. Aaron juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran yang tinggi dikenakan terhadapnya. Malah, Aaron juga terkilan apabila pihak FDAM tidak meneliti statusnya sebagai penduduk tetap negara ini selain menuduhnya sebagai pekerja asing yang tidak tahu peraturan selepas mendapat peluang mengarah filem Romeo Kota, terbitan Excellent Pictures tanpa menjadi ahli persatuan itu. Terdahulu, pihak FDAM mendakwa Aaron belum mendaftar sebagai ahli sewaktu memulakan pengarahannya sehingga menyebabkan pihak penguat kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan FDAM menyerbu lokasi penggambaran filem itu pada 3 April lalu. Sementara itu, penerbit Excellent Picture iaitu Ahmad Idham mengakui tentang kedudukan Aaron yang tidak menjadi ahli persatuan berkenaan ketika menawarkannya mengarah filem berkenaan. Kata Idham, dia turut memohon maaf kerana tidak peka dengan perkara tersebut kerana beranggapan Aaron hanya boleh mendaftar selepas dia diberi peluang mengarah sebuah filem bagi tujuan rujukan pihak FDAM. "Memang saya tahu Aaron bukan ahli FDAM sebelum ini dan saya mengambil dia sebagai pengarah atas penilaian saya terhadapnya yang begitu efisien dalam kerja. "Lagipun biasanya sebelum ini pihak FDAM mahu melihat profil pengarah yang mana mereka haruslah berpengalaman mengarahkan sekurang-kurangnya sebuah karya sebelum diberi kad ahli FDAM. . "Maka saya menganggap Aaron juga akan mendaftar selepas menyiapkan penggambaran Romeo Kota. Tapi tak sangka pula ketika di set penggambaran, kami diserbu tanpa sebarang notis," ujarnya. Tambah Idham, dia berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu kerja-kerja produksi dan meminta mana-mana pihak persatuan seni negara ini peka sebelum bertindak.

Linda Rafar Pernah Terasa Sudah Hilang Peminat

Penyanyi Linda Rafar pernah merasakan sudah hilang peminat gara-gara tidak lagi aktif dalam dunia seni sehingga membuatkan dia tidak begitu menjaga penampilan diri berbanding semasa di kemuncak kemasyhuran. Namun, Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 32, berkata, gara-gara tidak menitik beratkan soal imej dia ditegur peminat yang telah melihatnya di beberapa tempat. "Sejak akhir-akhir ini ramai yang menghantar mesej menerusi laman sosial Twitter dan Instagram tanda sokongan dan ingin melihat saya muncul dengan lagu-lagu baru. Malah ada yang menyedari saya berada di sesebuah lokasi, lalu mereka tegur. "Dulu memang rasa macam dah tak ada peminat tetapi apabila mereka mengatakan ingin melihat saya tampil dengan lagu baharu, rasa bersemangat pula. "Dan hal itu membuatkan saya kembali menjaga penampilan diri agar tidak nampak selekeh. Nanti apa pula orang kata," selorohnya. Tambah Linda, populariti yang agak tenggelam tidak pernah melemahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian yang diminatinya. Baginya, nama 'Linda Rafar' sudah kurang menjadi sebutan memandangkan keadaan industri muzik tempatan yang semakin dipenuhi bakat-bakat baru. Bagaimanapun dia tetap gembira kerana masih lagi mampu bertahan di bidang itu. "Ramai yang anggap saya dah tak menyanyi lagi tetapi saya masih memenuhi undangan nyanyian bagi majlis-majlis korporat sejak dulu lagi. "Cuma daripada segi publisiti, nama saya tidak lagi menjadi sebutan di media, tidak apa, yang penting saya masih bertahan dalam bidang ini," katanya. Tambah Linda yang pernah popular menerusi lagu Hak Milik Kekal bersama Diana Rafar, pada tahun 2005, dia bakal muncul dengan lagu terbaharu tidak lama lagi berjudul Cun Melecun berduet dengan adiknya itu. Lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal, Edry Abdul Halim. "Nak kata ini kemunculan semula daripada saya dan Diana, tidak juga kerana kami tidak pernah bersara seperti sesetengah pihak fikirkan. "Ia hanyalah sebuah naskhah baru daripada kami buat para peminat yang sudah lama menunggu lagu baharu kami," tuturnya.

Sein Berasa Lega 'Langgar' Kutip RM1.5 Juta

Pelakon dan penyanyi, Sein (Ruffedge) berasa lega apabila filem arahan pertamanya berjudul Langgar berjaya mengutip RM1.5 juta selepas seminggu ditayangkan. Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 30, berkata, sebagai pengarah baru yang tiada pengalaman mengarah sebelum ini kepercayaan penonton terhadap karyanya membuatkan dia teruja dengan angka tersebut. "Alhamdulillah... saya lega kerana pada awalnya agak risau juga sebab filem itu diklasifikasikan untuk tonton 18 tahun ke atas dan mungkin akan memberi kesan kepada kutipan. "Harap-harap angka tersebut akan terus meningkat untuk baki beberapa hari tayangan lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online. Filem genre aksi itu menampilkan pelakon seperti Adi Putra, Namron, Hans Isaac, Khir Rahman dan Natasha Hudson. Ia mula ditayangkan pada 11 April lalu. Dalam pada itu, Sein berkata, dia bersyukur apabila penonton banyak memberi maklum balas yang baik terhadap filem itu. Jelas Sein, usahanya untuk memberikan kelainan dalam filem aksi nyata berbaloi apabila ia dapat diterima ramai. "Segala usaha yang dibuat sebelum ini rasanya telah terbayar dengan sokongan dan penerimaan penonton terhadap Langgar apatah lagi untuk pengarah baru seperti saya," ujarnya. Sementara itu, Sein berkata, dia bakal kembali mengarahkan sebuah filem terbaharu menjelang Ogos depan dan kini sedang dalam peringkat pra produksi untuk karyanya itu. "Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar pada bulan Ogos kita akan mulakan penggambaran dan filem terbaharu ini nanti akan menjanjikan kelainan," katanya.

Daus (AF8) Jual Pakaian Kerana Bimbang Kerjaya Jatuh

Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus, mengakui dia dapat melihat perjalanan karier nyanyiannya semakin perlahan sejak akhir-akhir ini. Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 25, berkata, keadaan itu membuatkan dia risau sekiranya dia terus 'jatuh' dalam industri seni tanpa sebarang perancangan lain. "Sekarang ini penyanyi tumbuh bak cendawan. Pada masa sama ramai yang meningkat naik dan ada juga yang tersungkur. "Saya takut jatuh sehingga tidak dapat menampung kehidupan. Jadi saya perlu membuat perancangan lain agar dapat terus 'hidup' dan berjaya. Saya yakin, selagi ada usaha, selagi itu lah kejayaan akan menunggu," katanya. Kerana itu, tambah Daus, dia mengambil langkah baru menerusi bidang perniagaan dengan menjual pakaian wanita dan kek menerusi label Dania Wardrobe & cake House. "Diakui perjalanan karier saya agak perlahan. Mujurlah sebelum ini saya dah rancang untuk menjalankan sebuah perniagaan memandangkan saya pun pernah belajar pengurusan perniagaan di Politeknik Kuching, Sarawak. "Jadi saya aplikasikan dengan apa yang telah dipelajari ke dalam perniagaan baru saya ini. "Lagipun, jika mahu difikirkan balik, sampai bila kita dapat bertahan untuk jadi artis bukan? Tidak semua sebenarnya," ujarnya. Penyanyi yang popular dengan lagu Kenapa itu memberitahu, barangan jualannya boleh di dapat menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter. Dalam perkembangan lain, Daus kini sedang giat menyiapkan rakaman album mini pertamanya di bawah KRU Studios. Album berkonsepkan muzik gipsi itu dijangka memuatkan enam buah lagu dan bakal diterbitkan dalam masa terdekat. "Walaupun pergerakan karier nyanyi semakin perlahan, tetapi saya belum mengalah di bidang ini. Saya tetap cuba untuk membuktikan kebolehan saya dalam industri muzik. "Tidak lama lagi, saya akan muncul dengan ‘single’ lagu terbaru iaitu Mungkin Seribu Rasa sebulan Julai ini.

Shaheizy Sam Beri Hadiah Barang Kemas Kepada Ibu

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) iaitu pelakon Shaheizy Sam menghadiahkan set barang kemas tajaan Habib Jewels yang dimenangi khas buat ibunya, pelakon Khaty Fauziah. Sam, 31, berkata, dia sudah berhajat untuk memberi hadiah bernilai RM150,000 itu kepada ibunya yang menjadi penyokong utamanya sejak dia bergelar pelakon. "Beliau adalah penyokong setia dan pemangkin semangat saya. Tanpanya tidak adalah saya di sini. "Jujurnya saya tidak mampu membalas jasanya yang cukup besar. Cuma hadiah kemenangan di ABPBH ini memang saya ingin berikan kepadanya," jelas Sam ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang –pemenang ABPBH 2012 di Hotel Holiday Villa di sini, Selasa. Hadiah disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Meor Mior Kamarul Shahid. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarang BH, Mahfar Ali dan Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan BH, Hanizam Abdullah Selain barang kemas, Sam turut menerima sebuah kereta Nissan 370Z Coupe tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd. Pada ABPBH 2010, Sam turut memenangi anugerah serupa sehingga melayakkan dia membawa hadiah kereta Nissan Teana 2.0L bernilai RM140,000 dan barangan kemas Rafflesia Mandalay (edisi terhad) serta beberapa hadiah iringan lain. Mengenai hadiah kereta Nissan yang dimenanginya Sam berkata, kenderaan itu akan digunakan untuk aktiviti seharian dan tidak berhasrat untuk menjual atau memberikannya kepada orang lain. Dalam pada itu, kumpulan rock popular Search yang mendapat Anugerah Sepanjang Hayat pada majlis tersebut turut menerima penghargaan daripada pihak Berita Harian. Pemenang bagi 16 kategori lain yang dipertandingkan turut memenangi pelbagai hadiah menarik daripada pihak penganjur seperti Habib Jewels dan Jamu Mak Dara. Sementara itu seorang pembaca, Norhana Nazidin menjadi individu bertuah apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta Nissan Almera sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd. Selain itu, Norhana turut membawa pulang barang kemas Habib Jewels dan tiket pelayaran 4 hari 3 malam di atas kapal SuperStar Libra tajaan Star Cruise Travel Sdn Bhd. Dalam perkembangan sama, ABPBH 2012 turut menyampaikan Anugerah Khas kepada artis yang memberikan komitmen sepanjang siri jelajah acara itu. Artis yang menerima anugerah berkenaan adalah Aaron Aziz, Didie Alias, Emma Maembong, Hanez Suraya, Johan As'ari, Shah Iskandar dan Sleeq.

Amy (Search) Hanya Tahu Kisah Cinta Nabila Di Akhbar

Vokalis kumpulan Search iaitu Amy memberitahu hanya mengetahuihubungan cinta anaknya, Nabila Huda dengan pelakon Nas-T menerusi laporan akhbar. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 55, bagaimanapun berkata, beliau tidak kisah dengan pilihan anaknya itu dan berharap mereka berdua dapat mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. "Dia belum memberitahu saya apa-apa mengenainya cuma saya ada terbaca di akhbar. Nabila sudah besar dan mampu buat keputusan sendiri jadi pada saya tiada masalah dengan siapa dia ingin bercinta," jelasnya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2012) di Hotel Holiday Villa di sini, Selasa. Pada majlis berkenaan, kumpulan Search menerima hadiah tajaan Habib Jewels dan Jamu Mak Dara selepas menerima Anugerah Sepanjang Hayat pada malam ABPBH 2012 yang diadakan pada 7 April lalu. Dalam pada itu, Amy berkata, beliau sebelum ini tidak mengenali Nas-T sebagai seorang selebriti dan hanya mengetahuinya selepas berita percintaan anaknya itu disiarkan di akhbar. Malah kata Amy, Nabila belum menyampaikan hasrat untuk membawa Nas-T menemuinya. "Masih awal. Biarlah mereka kenal hati budi masing-masing terlebih dahulu," katanya. Sementara itu, Amy berkata, dia sangat gembira apabila Nabila dipilih sebagai Pelakon Drama Wanita Popular pada ABPBH 2012 lalu. Katanya, ia menjadi lebih manis apabila kumpulan Search turut diberikan penghargaan pada malam itu. "Saya berada di Turki pada malam itu dan apabila diberitahu mengenai kemenangan anak Nabila, saya cukup gembira. "Saya harap dia dapat buktikan lagi kebolehannya sebagai pelakon dan sentiasa buat yang terbaik dalam kerjayanya," kata Amy.

Seniman Jumpa 4 Artis Esok Bantu Selesai Masalah - Zed Zaidi

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan mengadakan satu perjumpaan khas dengan empat orang pelakon berhubung masalah dan kontroversi terhadap artis terbabit. Presiden Seniman, Zed Zaidi ketika dihubungi berkata, perjumpaan itu akan memfokuskan kepada masalah yang dihadapi selain mencari jalan penyelesaian terbaik buat artis-artis tersebut. "Walaupun sekarang sedang sibuk dengan kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13), tetapi masalah dan kebajikan ahli Seniman tidak boleh dipandang ringan dan kami telah pun mengaturkan pertemuan di pejabat Seniman bagi mendengar dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka," katanya kepada mStar Online Rabu. Empat artis berkenaan adalah pelakon Rita Rudaini, Ezany Nizariff, Man (Raja Lawak) dan Adam Corrie Lee Abdullah. Pertemuan itu akan diadakan pada Khamis (esok) di pejabat Seniman di Taman Melawati, dekat sini bermula pukul 3 petang. Dalam pada itu, Zed berkata, masalah yang melanda Man dan Corrie adalah berhubung salah faham yang mengaitkan mereka berdua dengan sesetengah parti pembangkang sehingga menyebabkan kerjaya mereka terjejas. Manakala kes Ezany berhubung isu dia disenaraihitamkan oleh sebuah stesen televisyen tanpa sebarang sebab munasabah. "Bagi kes Rita pula ia bukan berkaitan dengan masalah peribadinya tetapi perkara berkaitan dengan industri juga tetapi esok pada pukul 3 petang baru saya akan bertemu dengannya,” kata Zed. Pihak Seniman katanya memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kesemua pelakon itu dengan kadar segera.

Zizie Ezette Cukup Teruja Ikut Suami Masuk Kampung

Pelakon Zizie Ezette memberitahu walaupun kerap tidak cukup tidur tetapi dia benar-benar teruja untuk membantu suaminya, Datuk Bung Mokhtar Radin berkempen di kawasan Parlimen Kinabatangan, Sabah sempena Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei depan. Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 35, berkata, setiap hari dia dan suami perlu keluar rumah mereka di Sandakan seawal pukul 7 pagi untuk ke Parlimen berkenaan yang mengambil masa satu jam 30 minit dan pulang lewat malam. “Saya mengaku, selepas penamaan calon pada Sabtu lalu, saya hanya tidur dalam masa empat atau lima jam sahaja kerana saya perlu membantu suami untuk berkempen. “Buat masa ini, telah banyak kawasan yang sudah kami senaraikan untuk dilawati termasuklah di kawasan-kawasan pedalaman,” kata Zizie yang ketika ini berada di Sabah ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Dalam PRU-13, Bung Mokhtar yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Kinabatangan akan ditentang oleh Abdullah Abdul Sani (PKR), Yambuya Perantis @ Cyril Pongod (Star) dan Ali Latip Taha (Bebas). Pada PRU 2008, Bung Mokhtar memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 6,326. Zizie menambah, pengalaman mengikut suami berkempen bukanlah satu masalah walaupun beliau kurang tidur kerana pengalaman itu hanya akan dapat dirasi empat atau lima tahun sekali sahaja. Ujarnya, sebagai seorang artis, perkara itu turut memberi sumbangan besar kepadanya kerana orang ramai bukan sahaja mahu memberi tumpuan kepada Bung Mokhtar tetapi kepada diri dia juga. “Percaya atau tidak semasa hari penamaan calon, ketika suami berada di dalam dewan, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendekati saya yang berada di luar. “Saya mengambil kesempatan itu untuk meminta mereka agar terus memberi sokongan kepada suami dan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya ini. Mudahlah bila isteri dan suami sama-sama popular,” selorohnya. Tambah Zizie, pengalamannya memasuki kawasan kampung bersama suami selama ini tidak membuatkannya kekok dan dia mengakui selesa walaupun ada di antara tempat memerlukan dia memakai selipar, kemeja T dan jean sahaja. Katanya, apa yang menggembirakan, penduduk di parlimen berkenaan kebanyakannya memberi sokongan penuh kepada Bung Mokhtar kerana mereka percaya kepada kerja keras suaminya itu membangunkan kawasan berkenaan. “Percaya atau tidak, suami saya tidak pernah menutup pintu rumahnya di Sandakan. Orang ramai boleh datang keluar masuk untuk meminta bantuan ataupun berkongsi masalah. “Mungkin sebab itulah suami saya benar-benar popular di Kinabatangan ini,” ujarnya yang hanya akan pulang ke Kuala Lumpur selepas PRU-13 selesai.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails