Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lisa turun berat badan

PELAKON wanita yang bakal menggalas watak isteri mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika muda dalam teater Tun Siti Hasmah tidak lama lagi ini telah susut berat badannya. Bukan disebabkan tertekan dengan latihan teater berkenaan atau kerana sudah berbadan dua, Lisa sebaliknya ingin menurunkan berat badannya yang dikatakan agak berisi selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pengarah dan penyanyi Yusry Abdul Halim. Lisa yang kini kelihatan sangat langsing baru sahaja dilantik menjadi duta tempatan pertama untuk kanta lekap FreshLook, keluaran syarikat Alcon yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Sebelum ini antara selebriti luar negara yang pernah menjadi duta kanta lekap jenama tersebut ialah penyanyi Taiwan, Rainie Yang dan anggota kumpulan Girls Generation dari Korea Selatan, Im Yoona. Lisa dan Yusri khabarnya bersepakat mahu menurunkan berat badan masing-masing dan untuk itu, mereka saling menyokong antara satu sama lain untuk mengurangkan makan nasi dan hanya makan makanan berkhasiat. Ternyata, usaha tersebut memberikan impak terhadap Lisa. Ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta FreshLook di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin, Lisa mendedahkan rahsia dan petua yang diamalkan untuk menurunkan berat badannya. Kosmo!: Lisa kelihatan langsing dan kurus berbanding sebelum ini, apakah rahsianya? LISA SURIHANI: Rahsia berat badan saya sudah turun empat kilogram sebab banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kenapa Lisa ambil keputusan untuk menurunkan berat badan? Selepas penggambaran filem Istanbul Aku Datang memang saya tidak boleh kawal makan. Saya nampak lebih berisi selepas kahwin, jadi sebelum kena penyakit baik saya diet. Berapa berat badan Lisa sebelum ini? Berat badan saya 54 kilogram (kg), dan ia naik empat kg selepas itu. Ia (turunkan berat badan) atas kesedaran sendiri bukan sebab kritikan pihak media kata saya sudah berisi. Apa lagi yang Lisa lakukan dalam tempoh berdiet itu? Saya jarang bersenam tetapi kurangkan makan nasi. Bukan tidak makan langsung, cuma makan sedikit. Kalau langsung tidak makan nasi, nanti perut akan terkejut sebab sudah makan nasi sejak kecil lagi. Selain itu saya banyak makan salad, minum yogurt dan air jus buah-buahan segar. Lisa mahu turunkan berat badan sampai berapa kilogram? Saya tidak mahu kurus sangat, janji saya nampak sihat itu sudah cukup. Selepas pementasan teater Tun Siti Hasmah, apakah projek terbaharu Lisa? Saya akan muncul dalam sebuah rancangan televisyen tetapi tidak boleh didedahkan di sini (buat masa ini). Saya juga terbabit dengan sebuah lagi program untuk siaran di internet iaitu Maskara.

Sharifah Sakinah versi serius

TIDAK dinafikan wataknya sebagai Kinah menerusi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang telah memberi impak yang tersendiri buat pelakon Sharifah Nurul Sakinah Al-Khaired Syed Abu Bakar. Berlakon di samping Elfira Loy dan Randy Pangalila dalam telefilem tersebut, karakter Sakinah yang membawakan watak anak orang kaya yang kebodohan ternyata berhasil mencuit hati penonton. Biarpun namanya semakin dikenali ramai selepas itu, ternyata Sakinah tidak mampu lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi yang melanda dirinya. Pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan, Sakinah pernah berselisih faham dengan pelakon Julia Ziegler dan Gambit Saifullah. Kemudian pelakon berusia 23 tahun itu juga pernah dilabel sebagai seorang artis sombong gara-gara kerap menolak permintaan pihak media yang ingin mengadakan sesi fotografi dengannya. Berkesempatan menemuinya semasa siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini, pelakon berkenaan menafikan dia seorang yang suka mencipta kontroversi. "Seboleh-bolehnya saya mahu menjadi seorang individu yang lebih matang dan tidak mahu mengingati lagi semua kontroversi yang pernah melanda diri saya dahulu. "Sekarang ini saya enggan menoleh ke belakang lagi dan ingin dikenali sebagai seorang pelakon yang berbakat, bukannya pelakon yang sarat dengan kontroversi," jelasnya. Menurut Sakinah, memandangkan minat yang begitu mendalam dalam bidang seni, dia pernah berhadapan dengan dilema sama ada memilih untuk bergelar pelakon atau memberikan fokus kepada pelajarannya. Sebelum ini dia pernah menuntut di Kolej Universiti HELP di Damansara, Selangor dalam bidang pengajian undang-undang, tetapi hanya belajar separuh jalan dan kemudian mengambil keputusan untuk berhenti. "Pada mulanya saya memang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang peguam, namun akhirnya saya sedar bidang tersebut tidak sesuai dengan diri saya. Ternyata, jiwa saya lebih kepada bidang lakonan," ujarnya. Berkenaan dengan gelaran artis sombong yang pernah dilabelkan pihak media sebelum ini terhadap dirinya, Sakinah memberitahu dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang masalah atau enggan memberikan kerjasama.
Ujarnya, dia bukan sengaja menolak tawaran untuk mengadakan sesi fotografi yang diaturkan media, tetapi dia sebenarnya seorang individu yang kurang gemar bersolek. "Dulu saya tidak serius untuk bergelar pelakon. Saya terbabit dalam dunia lakonan pun sekadar suka-suka sahaja dan tidak terlampau mengejar populariti sangat serta tidak kisah kalau cerita mengenai diri saya kurang didedahkan dalam media. "Bagaimanapun, lakonan sudah menjadi keutamaan saya sekarang dan sedar populariti itu memang penting jika hendak pergi lebih jauh. Kini, saya bersedia memberikan kerjasama terutamanya untuk mengadakan sesi fotografi dengan mana-mana media," ujarnya. Rakan baik Sejak namanya menjadi sebutan ramai selepas membintangi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, ternyata Sakinah dilihat banyak terbabit dengan drama dan telefilem arahan Michael Ang dan syarikat penerbitan Cube Film sehinggakan dia dilabel sebagai anak emas pengarah popular tersebut. Mengakui pengarah itu merupakan antara individu yang memainkan peranan menaikkan namanya dalam bidang lakonan, namun dia menafikan dirinya merupakan pelakon kegemaran Michael. "Saya tidak pernah melihat diri saya ini merupakan anak emas atau pelakon kegemaran Michael. Lagipun, banyak lagi pelakon-pelakon lain yang selalu berlakon di bawah arahannya seperti Elfira Loy, Didie Alias dan Marsha Milan Londoh. "Mengenai hubungan dengan Michael saya bukan sekadar menganggapnya sebagai pengarah, malah dia merupakan rakan baik yang banyak membantu sehingga nama saya dikenali ramai seperti sekarang," jelasnya. Sakinah turut memberitahu, dia langsung tidak pernah terikat untuk berlakon di bawah syarikat Cube Film sahaja dan turut diberi kebebasan berlakon dengan produksi atau pengarah lain. "Mungkin ramai tidak sedar yang saya juga sudah banyak terbabit dengan produksi lain, misalnya seperti Zeel Production yang memang banyak memberikan tawaran lakonan kepada saya. "Terbaharu, saya juga berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah tersohor iaitu Erma Fatima menerusi drama bersiri 13 episod berjudul Aku Bukan Untukmu," ujarnya sambil mengakui tidak terlalu selektif dalam memilih setiap tawaran berlakon yang diterimanya. Berdikari Pastinya ramai yang sudah tahu tentang status Sakinah yang merupakan adik kepada Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahirah, dua orang pelakon yang terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia lakonan. Walaupun kedua-dua orang kakaknya itu sudah lama bergelar pelakon, Sakinah menyatakan dia tidak mengambil kesempatan menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tawaran berlakon.
"Memang tidak dinafikan, mereka merupakan sumber inspirasi yang membuatkan saya menjadi minat dan jatuh cinta kepada lakonan, malah mereka juga banyak memberikan galakan kepada saya untuk serius dalam bidang ini. "Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya akan mengambil kesempatan dengan menjaja status saya sebagai adik kepada Norhaslinda dan Shahirah, sebaliknya saya lebih gemar berdikari dan mencari sendiri peluang lakonan tanpa mengharapkan bantuan mereka," tegasnya. Ditanya sama ada dia sudah bersedia berlakon bersama-sama kakaknya, terutama Shahirah yang masih lagi aktif berlakon, Sakinah menyatakan dia menerima seadanya tentang hal tersebut. Ini memandangkan memang ramai peminat yang ingin melihat gandingan mereka berdua sama ada dalam drama atau telefilem.

Kamal Adli Mahu Kukuhkan Bakat Melalui Teater

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli berhasrat untuk mengasah bidang lakonan menerusi pentas teater selain berhasrat memberi fokus pada bidang itu pada masa akan datang. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, sudah tiba masanya untuk dia mencari kepuasan lakonan dan menganggap bidang teater adalah yang terbaik untuknya. "Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini melimpah dengan kerja-kerja lakonan drama serta filem. Ia sedikit sebanyak dapat menaikkan nama saya selepas menyepikan diri gara-gara peningkatan berat badan. "Bagaimanapun, tahun depan, saya ingin mencari peluang untuk berlakon teater pula. "Selepas menjayakan teater Gerimis Mengundang pada tahun lalu, saya mula jatuh cinta dengan bidang itu, ia memerlukan komitmen yang sepenuhnya dan pada masa sama memberikan kepuasan yang maksima selepas selesai pementasan," katanya. Tambah kekasih kepada Intan Ladyana ini, dia juga ingin bersama dengan pelakon-pelakon teater lain dalam membantu mengangkat kembali industri teater negara yang semakin dipandang sepi. Sementara itu, Kamal turut mengikut jejak langkah selebriti lain dengan memulakan perniagaan menjual pelbagai jenis biskut dan kek termasuklah biskut coklat, kek keju dan “pavlova”. Perniagaan yang masih lagi belum diletakkan labelnya itu dijalankan bersama keluarga Kamal menerusi syarikat miliknya iaitu “Kamal Adli Creation”. "Sebenarnya kakak saya dah lama mengambil tempahan biskut dan kek. Kemudian, apabila melihat respons daripada pembeli yang sangat menggalakkan, kami ingin melakukan perniagaan ini secara serius. "Masih lagi terlalu awal untuk dibincangkan tetapi tempahan boleh dibuat menerusi Facebook atau hubungi kakak saya menerusi talian 013-6090369," ujarnya. Kata Kamal, dia juga sedang merancang untuk membuat sebuah blog khas bagi memudahkan lagi pembeli untuk membuat tempahan.

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'

PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak. Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan "Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya. "Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya. Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, dekat sini, Selasa.
Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi. "Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan. "Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya. Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim. Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut. "Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa. "Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya. Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'. Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut. OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

Scha Amalkan Tip Untuk Segera Bergelar Ibu

KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya tidak sabar untuk bergelar ibu dengan mengamalkan beberapa tip agar zuriat untuk kebahagiaan rumah tangganya bersama Awal Ashaari. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, meskipun menganggap rezeki itu hanya ditentukan Tuhan, namun dia turut memainkan peranan berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu. "Terus terang cakap, saya memang teringin untuk mendapatkan zuriat. Siapa yang tak nak bukan? "Sebagai seorang yang pentingkan penjagaan kesihatan, saya ada membuat beberapa ujian saringan dan menjaga pemakanan yang betul serta mengamalkan tip-tip yang disarankan doktor walaupun tidak membuat sebarang perancangan untuk dapatkan anak. "Apa-apa pun saya serahkan semua itu kepada Tuhan dan sekiranya tiada rezeki, sekurang-kurangnya saya berusaha," katanya.
Tambah Scha, melihat usianya yang semakin meningkat, dia juga tidak akan melengah-lengahkan masa untuk bergelar ibu, namun tidak terlalu memaksa diri untuk mengelak daripada tertekan. "Doktor sudah pesan, berada dalam keadaan tertekan menyukarkan kita untuk hamil. Selain itu saya turut bersenam agar diri sentiasa cergas," ujarnya. Sementara itu, Scha kini menjadi duta kepada produk minyak wangi Avon termasuklah haruman yang terbaru iaitu City Rush. Kata pelakon filem Awan Dania The Movie ini, dia telah mengambil alih tugas pelakon Fazura yang juga menjadi jurucakap minyak wangi Avon sebelum ini sejak menandatangani kontrak pada April tahun lalu. "Selepas menandatangani kontrak, saya telah ke Filipina pada tahun lalu untuk melakukan sesi penggambaran foto kesemua produk minyak wangi Avon termasuklah City Rush. "Menarik tentang City Rush, ia dicipta untuk wanita yang bekerjanya dan mempunyai personaliti yang yakin pada diri sendiri. "Ia juga merupakan salah satu haruman Avon yang saya gemari selain Herve Leger dan Far Away," ujarnya Minyak wangi City Rush yang berharga RM99 boleh didapati di mana-mana butik kecantikan Avon seluruh negara.

Chef Riz Akui Rumah Tangganya Sedang Bergolak

PETALING JAYA: Chef selebriti, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum mencapai usia setahun kini sedang bergolak. Chef Riz dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo! pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas tentang dakwaan kononnya mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini. "Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami. "Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa. Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan. Sebelum ini rumah tangga mereka dikatakan bergolak apabila Ana dikatakan telah berbaik dengan bekas teman lelakinya pada pertengahan Oktober lalu. Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Ana yang menganggap ia sebagai kontroversi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan. Chef Riz, bernikah dengan Ana atau nama sebenarnya Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, pada 11 Disember 2011. Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda.

Heliza Helmi Ajak Rakan Artis Sertai Kelas Agama

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi mengalu-alukan pembabitan lebih ramai rakan artis untuk menghadiri kelas bimbingan agama Islam iaitu Usrah Fitrah yang dikhususkan untuk seluruh penggiat seni tanah air. Heliza, 26, berkata, sambutan daripada lebih 30 penggiat seni termasuk golongan artis setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik terhadap projek cetusan Rusydi Ramli Al Jauhari itu. “Alhamdulillah, projek Usrah Fitrah ini mendapat sambutan yang baik daripada warga seni sejak beberapa bulan lalu namun saya mengalu-alukan lebih ramai penggiat khususnya rakan artis turut serta dalam kelas tersebut. “Kelas agama itu meliputi pembelajaran segenap aspek iaitu al-Quran dan tajwid, fiqah, aqidah, hadis dan motivasi diri. Ia memang bagus dan istimewa kerana bukan sahaja memberikan ilmu tetapi dicetuskan khusus untuk membimbing warga seni tanah air,” katanya ketika ditemui mStar Online. Finalis Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikian selepas pelancaran bukunya yang berjudul Diari Heliza Helmi dan pengumuman sebagai duta minuman ice blended Coolblog, di sebuah hotel di sini, pada Isnin. Usrah Fitrah yang dianjurkan oleh Fine Academy Sdn Bhd dan Must Read Sdn Bhd itu terbuka kepada warga industri hiburan termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik.
Seramai tujuh ustaz bertauliah iaitu Rusydi Ramli Al Jauhari, Shahrizan Daud At Turabi, Ghazali Ibrahim, Syed Norhisham Tuan Padang Al Idurs, Amin Idris, Tuan Fazrul, Zul Ramli dan Halim Hafiz akan bertanggungjawab membimbing para peserta pada setiap minggu. Antara rakan artis yang aktif adalah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Diana Amir, Noryn Aziz, Farah Asyikin, Siti Nordiana, Iqram Dinzly, Zoey Rahman, Salima AF, Enot dan personaliti TV3, Teh Syuhada. Heliza yang semakin aktif bergelar penceramah motivasi berkata, pembabitan dalam kelas tersebut sejak setahun lalu membuatkan dia semakin seronok untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang baru. “Saya anggap pembabitan dalam Usrah Fitrah ini bukan hanya menambahkan ilmu agama, malah memberikan saya input berguna yang boleh digunakan ketika saya memberikan ceramah dan taklimat motivasi. “Kebetulan pula, pada waktu ini saya semakin aktif memenuhi undangan untuk memberikan ceramah motivasi di merata tempat, ia menjadikan saya semakin teruja untuk terus belajar pelbagai ilmu dan perkara,” katanya.
Mengenai buku Diari Heliza Helmi, Heliza berkata, dia dilamar oleh syarikat penerbitan buku Yamani Angle Sdn Bhd pada awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerja yang padat. “Buku ini adalah himpunan jurnal harian saya selama ini. Sebenarnya, pihak penerbit sudah menyuarakan hasrat untuk menerbitkan jurnal saya itu ke dalam bentuk buku sejak awal tahun lagi tetapi ia sering tertangguh kerana kesibukan saya. “Selain buku, saya juga ambil kesempatan pada majlis ini untuk mengumumkan pelantikan saya sebagai duta minuman Coolblog yang berkuat kuasa pada Ogos lalu bagi tempoh setahun. “Mereka memilih saya kerana kebetulan saya memang menggemari minuman itu sebelum ini,” katanya. Majlis perasmian buku tersebut disempurnakan oleh pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Lisa Surihani Punyai Petua Elak Diri Tertekan

PETALING JAYA: Pelakon jelita Lisa Surihani tidak membiarkan dirinya tertekan sepanjang tempoh latihan teater Tribute Tun Dr Siti Hasmah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 9 hingga 19 November depan. Lisa, 26, berkata, sebagai orang baru dalam dunia teater dia perlu bijak mengawal tekanan bagi memastikan watak yang dipegangnya dapat ditonjolkan dengan baik semasa pementasan itu nanti. "Tidak dinafikan watak Tun (Siti Hasmah) semasa muda yang saya pegang bukan mudah untuk dilaksanakan dan ada kalanya ia membuatkan saya tertekan namun sebagai pelakon saya perlu mengawal perasaan itu dan menukarkannya kepada perkara positif. "Saya sentiasa berpegang kepada prinsip apabila melakukan sesuatu kita mesti menanam rasa gembira dan seronok kerana ia dapat membantu untuk memberikan hasil yang terbaik dalam sesuatu watak diberikan," katanya kepada mStar Online. Lisa ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk FreshLook di sini pada Isnin. Selain Lisa, teater arahan Erma Fatima itu turut dibintangi oleh Eja sebagai Tun Dr Siti Hasmah sewaktu dewasa, Esma Daniel (watak Tun Dr Mahathir dewasa) dan Nazim Othman (watak Mahathir ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain.
Dalam pada itu, Lisa memberitahu dia dan suaminya, Yusry Abdul Halim sedang giat mengamalkan pemakanan sihat dan memperbanyakkan sayuran, buah-buahan dalam diet pemakanan mereka. Lisa memberitahu, amalan itu bukan disebabkan teruja untuk mendapatkan figura yang cantik tetapi lebih kepada kesedaran untuk menjaga kesihatan dari peringkat awal. "Sebelum ini memang Lisa ada peningkatan berat badan yang agak ketara dan memang mengamalkan pemakanan sihat bagi mendapat kembali bentuk asal yang ideal. "Namun pemilihan makanan yang betul sebenarnya lebih kepada untuk mengamalkan hidup sihat kerana ia memberikan banyak faedah pada masa akan datang," ujarnya. Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta FreshLook iaitu kanta lekap berwarna, Lisa berkata, dia bersetuju menjadi duta produk itu kerana telah mencuba sendiri produk berkenaan yang nyata amat selesa digunakan. Dia yang telah menggunakan kanta lekap sejak berusia sembilan tahun memberitahu, FreshLook sangat mudah digunakan dan yang paling penting ia boleh memberikan perubahan unik dan menyeronokkan dari segi penampilan. "Lisa memang mengalami masalah rabun jauh dengan kekuatan kanta 650 dan tidak pernah menggunakan kanta lekap berwarna kerana takut ia kelihatan palsu. "Namun Lisa selesa dengan FreshLook kerana selain datang dengan kanta untuk orang yang rabun tetapi warnanya juga tampak semula jadi. "Malah Yusry cukup suka jika Lisa mengenakan kanta berwarna biru kerana katanya nampak lebih cantik," jelasnya.

Fida Ibrahim Mengaku Berkawan Rapat Dengan Zalif Sidek

PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon komedi Zalif Sidek selepas hubungannya dengan pelawak Mamat (Sepah) dan seorang usahawan bergelar 'S' menemui kegagalan. Fida, 26, berkata, dia mulai rapat dengan Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, sejak dua bulan lalu kerana kesungguhan lelaki itu yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat. "Kami baru berkawan rapat dan belum ke tahap bercinta. Rasanya tak salah kalau saya bagi peluang kepada dia (Zalif). Lagi pun, masing-masing masih solo. "Dia seorang lelaki yang budiman. Saya suka dengan keberanian dan keikhlasannya mahu mengenali saya dengan lebih mendalam," katanya ketika ditemui mStar Online. Mengenai keintimannya dengan Zalif yang juga seorang pelakon komedi, Fida berkata, dia mudah tertarik dengan lelaki yang gemar berjenaka dan periang. "Mungkin secara kebetulan sahaja Zalif dan Mamat adalah pelakon komedi. Hakikatnya, saya memang mudah tertarik dengan lelaki yang suka berjenaka dan periang.
"Kalau saya tertekan dengan kerja, Zalif pandai membuat saya ketawa. Dia membuatkan saya berasa selesa apabila kami berjumpa," kongsinya. Diusik mengenai desas-desus hubungannya dengan seorang VIP sebelum ini, Fida berkata, mereka semakin renggang kerana perbezaan status dan kesibukan kerja masing-masing. "Susah untuk kami rapat kerana status dan kedudukannya. Apabila gosip-gosip itu timbul sebelum ini, ia menyulitkan keadaan. "Kalau saya, mungkin tak ada masalah hendak tangani gosip kerana saya bekerja dalam bidang ini tetapi untuk dia, keadaan itu tidak sesuai untuknya," luahnya. Dalam perkembangan lain, Fida berkata, dia baru sahaja menyiapkan klip video lagu versi baru Apo Kono Eh Jang yang menampilkan Datuk AC Mizal dan Stellar. "Klip video lagu itu akan dimuat naik di laman YouTube dalam masa terdekat. Saya harap ia akan diterima baik kerana ada beberapa kejutan dalam video itu nanti," tuturnya.

Anne Ngasri Minta Bukti Tuduhan Kahwin Ahli Politik

PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri meminta individu yang mempunyai bukti kononnya dia telah berkahwin dengan seorang ahli politik supaya mendedahkannya kepada umum. Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, dia terkejut bagaimana gosip terbaru mengenai dirinya itu boleh wujud ketika dia baru sahaja mengalami kegagalan hubungannya dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz. "Tidak benar saya sudah berkahwin dengan mana-mana VIP atau ahli politik kerana sehingga kini saya masih solo dan kepada mereka yang mempunyai bukti saya sudah kahwin, saya mempersilakan untuk ia didedahkan kepada umum," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Anne diminta mengulas desas-desus yang diterima oleh mStar Online kononnya dia telah bernikah dengan seorang VIP yang juga ahli politik dan menjadi isteri kedua kepada individu tersebut. Dalam pada itu, Anne berkata, dia tidak serik untuk bercinta lagi selepas hubungannya dengan Aliff gagal dan masih mencari cinta yang sesuai untuk dirinya. Malah kata Anne, kegagalan rumah tangannya sebelum ini tidak pernah membuatkan dia ragu-ragu untuk berkahwin lagi dan berharap Allah akan mempertemukan jodoh yang baik buatnya. "Saya masih seorang manusia biasa yang memerlukan perhatian dan kasih sayang dalam hidup. Perkahwinan itu juga adalah dituntut dalam agama kita. "Saya sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik suatu hari nanti," katanya. Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010. Mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2. Dalam perkembangan lain, Anne berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran program bual bicara berkonsepkan remaja berjudul SIS untuk siaran TV9 selain beberapa projek drama dan filem.

Amber Chia Selebriti Istimewa Perkahwinan Chong Wei

PETALING JAYA: Peragawati terkenal, Amber Chia merupakan satu-satunya selebriti yang akan di undang ke majlis perkahwinan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada 10 November depan. “Amber adalah satu-satunya rakan selebriti yang saya kenali. Jadi, saya mengundang dia secara peribadi ke majlis perkahwinan nanti,” kata Lee seperti dipetik portal Red Carpet ketika sesi fotografi pra-perkahwinannya di Pulau Pinang. Amber bakal menyerikan majlis itu di samping teman-teman rapat Lee termasuklah pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat. Bagaimanapun, jaguh badminton nombor satu dunia, Lin Dan tidak dapat turut serta kerana terbabit dalam sebuah kejohanan pada tarikh tersebut. “Dia (Lin Dan) memberitahu saya dia tidak dapat menghadirinya,” kata Lee. Difahamkan, bakal pengantin itu masih belum memutuskan senarai akhir tetamu VVIP, tetapi dia sudah menjemput Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Lee dan bakal isterinya, Wong Mew Choo bakal meraikan hari bahagia mereka dalam sebuah majlis resepsi tertutup di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 dan 11 November depan. Mereka akan disatukan dalam satu upacara pada 9 November dalam sebuah jamuan teh untuk ibu bapa dan keluarga terdekat. “Kami masih berbincang mengenai tarikh sesuai untuk mendaftarkan perkahwinan ini. Pada waktu ini, kami terlalu sibuk. Terlalu banyak perkara perlu dilakukan sebelum majlis itu,” katanya. Namun, jelas Lee, pada majlis itu nanti pihaknya tidak mengundang pihak media. “Saya mahu keluarga, rakan-rakan dan tetamu bergembira pada majlis kami tanpa kehadiran pihak media. “Saya berharap semua pihak faham bahawa saya dan Mew Choo mahu diberi ruang privasi,” katanya. Lee turut berkata, dia sedang berbincang dengan stesen penyiar Astro berhubung hak penyiaran majlis resepsi itu dengan kadar harga yang enggan didedahkan. “Ya, saya menjual hak penyiaran majlis resepsi saya kepada mereka (Astro). Kami sedang berbincang mengenai perkara itu dalam masa beberapa hari ini,” katanya.

Jumpa bekas kekasih - Miera Liyana

PELAKON berusia 19 tahun, Miera Liyana mengakui bahawa dia akan bersikap profesional apabila diperlukan untuk bekerjasama dengan bekas kekasihnya, Shahrizal Jaszle yang kini sudahpun bertunang. "Kami sudah lama tidak berjumpa tetapi apabila tiba waktu untuk bekerjasama, saya rasa tidak akan timbul sebarang masalah. Kena fahamlah, kami ini mempunyai haluan hidup yang berbeza. "Pada tahun hadapan, filem Rentaz lakonan kami akan mula ditayangkan dan semestinya dalam tempoh itu kami akan sering bertemu. "Sebenarnya perasaan gementar itu ada tetapi bukan kerana perlu bertentang mata dengan dia, tetapi lebih berdebar memikirkan filem tersebut," katanya sewaktu sidang akhbar pelancaran drama Putera Rayyan. Dalam drama tersebut, Miera bakal memainkan watak sebagai Anisa yang merupakan seorang wanita muda bersifat materialistik selain mencemburui adiknya Arisa lakonan Nad Zainal. Miera turut menambah bahawa dia kini selesa dengan keadaan hidupnya yang boleh bergerak bebas tanpa perlu memberitahu sesiapa seperti dahulu. "Saya gembira dengan keadaan sekarang. Sejujurnya saya bersyukur dengan apa yang berlaku kerana ia banyak mematangkan. "Selepas ini saya berharap untuk bertemu cinta dengan seseorang yang bukan terlibat dalam bidang yang sama seperti saya," katanya yang menegaskan meminati lelaki seperti aktor Aaron Aziz dan pengacara Henry Golding. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121029/hi_02/Jumpa-bekas-kekasih#ixzz2AlH6sK6F © Utusan Melayu (M) Bhd

Enggan jaja kisah peribadi - Hazama

KALAU melihat kepada perkembangan kerjaya Hazama Ahmad Azmi, ternyata bukan mudah buatnya untuk menempatkan diri sebagai salah seorang penyanyi popular seperti yang dikecapinya sekarang. Misalnya, kegagalan sewaktu menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) dahulu, langsung tidak pernah melunturkan semangat Hazama. Sebagai bukti dia telah diangkat sebagai juara AF9 pada tahun lalu. Ketika hadir menjalani sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan rasa puas hatinya dengan pencapaian yang diperoleh, meskipun cerita mengenai dirinya kurang didedahkan. “Semenjak kebelakangan ini ada yang berkata, saya seolah-olah seperti menyepi dalam industri kerana jarang keluar di media. Namun, itu bukan bermakna saya mendiamkan diri sahaja kerana sibuk dengan kerja belakang tabir serta mengumpul bahan untuk album baharu. “Lagipun saya kurang gemar jika kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan semata-mata mahu popular. Saya lebih suka sekiranya orang memperkatakan tentang produk yang saya hasilkan,” ujar penyanyi berusia 28 tahun itu. Tidak menafikan populariti juga sangat penting kepada seseorang artis, Hazama menyatakan, dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang penyanyi sudah banyak membantu dirinya dikenali ramai. Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya mahu menjadi artis yang dikenali ramai kerana bakat dan kebolehan, bukannya dengan menjaja kisah peribadi kerana ia boleh memberikan impak yang buruk kepada kerjayanya. “Contohnya semasa cerita mengenai saya yang dikatakan berlagak sombong semasa makan di sebuah hotel beberapa bulan lalu. “Apabila cerita tersebut tersebar ia membuatkan diri saya berasa sedikit tertekan dan kecewa sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat,” jelasnya. Ketika diminta menceritakan perkara sebenar tentang peristiwa yang berlaku, Hazama menegaskan, dia langsung tidak berniat mahu bersikap sombong terhadap para pekerja di hotel berkenaan. Jelas penyanyi itu, perbuatannya yang tidak menghabiskan makanan yang telah dihidangkan bukanlah disebabkan mahu berlagak. Sebaliknya, secara kebetulan makanan berkenaan tidak menepati seleranya. “Saya pernah bekerja di hotel tersebut dan mempunyai ramai rakan di sana. Namun, secara kebetulan saya dilayan oleh pekerja baharu dan rakan-rakan saya pula tidak bekerja pada masa itu,” ujarnya. Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi sombong dalam kalangan peminatnya memandangkan kariernya kini yang semakin berkembang, Hazama menyatakan dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan akan melayan para peminatnya dengan sebaik mungkin. Ada kekasih Mengenai status dirinya sekarang, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Teragung itu mendedahkan bahawa dia memang mempunyai kekasih yang sudah dikenalinya sejak sebelum menyertai AF lagi. “Kami sudah bercinta selama enam tahun dan memang ada perancangan untuk berkahwin. Ia bagaimanapun bukan dalam masa terdekat ini kerana banyak perkara lagi yang perlu saya lakukan sebelum bergelar suami. “Kekasih begitu memahami keadaan saya sekarang yang sedang berusaha keras dalam kerjaya. Jadi, dia tidak pernah memaksa saya dan kami tetap selesa dengan keadaan sekarang,” jelasnya. Bagaimanapun, dia tidak mahu ramai pihak salah sangka apabila mengaku sudah mempunyai kekasih, sedangkan dia bertekad untuk tidak mahu mendedahkan kisah peribadinya kepada umum. “Rasanya tidak salah kalau beritahu yang saya sudah lama ada kekasih sebagai seorang artis yang menjadi public figure, sudah tentu pergerakan saya akan selalu diperhatikan. “Jadi, kalau ada orang lihat saya keluar bersama kekasih sudah tentu mereka tidak akan bercerita yang bukan-bukan. “Lagipun saya tidak mahu dedahkan identiti kekasih saya kepada umum semata-mata mahu menarik perhatian,” tegasnya. Pengalaman berlakon Selain sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi, kini Hazama melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila muncul sebagai seorang pelakon yang akan tampil menerusi filem sulungnya berjudul Apa Celop Toqq. Ujarnya, ketika ditawarkan berlakon oleh Ahmad Idham dia sendiri mengaku agak terkejut, apatah lagi membawakan watak yang besar serta menjadi pelakon utama dalam filem tersebut. “Saya akui pada mulanya seperti tidak percaya kerana langsung tiada pengalaman dalam dunia lakonan. Apabila difikirkan sudah tentu saya yang akan rugi kalau menolaknya kerana peluang sebegini tidak datang selalu. “Apa pun saya puji dengan tindakannya yang berani mengambil risiko dengan menawarkan saya berlakon. Maka, saya perlu membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dengan menampilkan lakonan yang terbaik,” jelasnya berasa gugup ketika hari pertama berlakon. Menurut Hazama, sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan selama sebulan, beberapa tawaran nyanyian yang diterima terpaksa ditolak semata-mata mahu memberi sepenuh komitmen. Ujarnya, dia tidak mahu bersikap tamak dengan melakukan terlalu banyak kerja dalam satu masa kerana ia boleh mengganggu tumpuan sehingga menjejaskan kerja-kerja yang dilakukannya. “Memandangkan kali pertama saya berlakon filem sudah tentu saya perlu memberikan komitmen seratus peratus kerana inilah masanya untuk membuktikan apa yang saya lakukan tidak sia-sia. “Kalau saya tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang penggambaran, tidak mustahil akan ada lagi tawaran yang datang. Buktinya, saya sekarang diberi peluang berlakon filem kedua saya berjudul Lari,” ujarnya.

Que akui selektif

BAKAT Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, atau lebih mesra disapa Que Haidar dalam bidang lakonan tidak perlu disangkal lagi. Kehebatannya beraksi dalam filem-filem pecah panggung seringkali meninggalkan kesan yang mendalam di hati para peminat. Antara filem-filem popular lakonannya termasuklah KL Menjerit 1, Zombie Kampung Pisang, Castello dan Cinta. Walau bagaimanapun, selepas mengakhiri zaman bujangnya dengan pereka tari terkemuka, Linda Jasmine kira-kira dua tahun yang lalu, pelakon yang pernah menerima anugerah Aktor Harapan Festival Filem Malaysia ke-19 ini mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam bidang lakonan. Keputusan yang diambil olehnya ketika itu nyata mengejutkan banyak pihak termasuklah penggiat industri filem tanah air dan juga para peminatnya. Ada yang mengatakan Que 'memilih bulu' dan hanya akan bekerja dengan orang-orang tertentu sahaja. Ada juga cakap-cakap nakal yang menuduh Que agak cerewet dalam pemilihan skrip yang ditawarkan kepadanya. Ikuti penjelasan Que mengenai isu berkenaan ketika ditemui di majlis cukur jambul anak keduanya yang kini berusia kira-kira tujuh bulan, Tengku Cleopatra Haidar. Majlis yang berlangsung di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur kelmarin itu turut dihadiri dua lagi anak mereka iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 tahun, dan anak Linda daripada perkahwinan terdahulu, Qalif Khan, 12 tahun. Kosmo!: Benarkah Que cerewet dalam memilih skrip filem? QUE: Memang tidak dinafikan, saya agak selektif dalam pemilihan skrip. Saya kini telah bergelar bapa kepada tiga orang cahaya mata, jadi saya harus peka dengan beberapa perkara sebelum saya menerima tawaran berlakon sesebuah filem. Antara perkara yang harus diambil kira termasuklah waktu penggambaran, lokasi serta jalan cerita itu sendiri. Jadi, adakah itu sebab utama Que menghilangkan diri selama ini? Tidak juga. Walaupun saya jarang muncul di kaca TV dan layar perak, saya sebenarnya masih aktif di belakang tabir. Saya agak sibuk mengajar di bengkel serta kelas lakonan. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Adakah Que akan terus berhenti berlakon selepas bergelar usahawan? Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon. Seperti yang saya katakan tadi, saya harus meneliti sesebuah skrip itu terlebih dulu sebelum saya menerima tawaran untuk berlakon. Terbaharu, saya akan muncul dengan filem Rock 2, arahan Mamat Khalid yang bakal ditayangkan awal tahun hadapan. Boleh ceritakan sedikit mengenai filem tersebut? Dalam filem itu, saya memegang watak sebagai Amy Mat Piah yang tidak mempunyai bakat tetapi menyimpan impian dan bercita-cita tinggi untuk bergelar seorang penyanyi. Setelah lama menghilang, mengapa Que memilih untuk berlakon filem di bawah arahan Mamat Khalid? Setelah membaca skrip filem Rock 2, secara peribadi, saya rasakan filem ini adalah antara filem terbaik garapan Mamat Khalid. Dari situ, saya berasa teruja dan timbul minat untuk berkerjasama dengannya buat kali kedua. Bagaimana kehidupan setelah bergelar seorang bapa? Alhamdulillah, saya seronok menjadi seorang bapa. Kehidupan saya sekarang tidak hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata. Kini, keluarga menjadi fokus utama bagi saya. Boleh ceritakan hubungan Que dengan Qalif? Saya menganggap Qalif seperti anak saya sendiri. Dia rapat dengan saya dan kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Qalif sangat sukakan cabaran. Jadi, saya selalu membawanya keluar melakukan aktiviti-aktiviti riadah termasuklah berkhemah di dalam hutan. Bagaimana pula hubungan Ratu dan Cleo? Ratu sangat 'gilakan' adiknya Cleo. Di rumah, dia seolah-olah badut dan sering membuat Cleo ketawa. Sebagai seorang ketua keluarga, bagaimana Que menghabiskan masa bersama-sama isteri dan anak-anak? Sudah menjadi tradisi, pada setiap malam Jumaat, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton televisyen bersama-sama. Bagi saya, itu adalah masa yang sesuai untuk bertukar-tukar cerita dan bermesra dengan anak-anak. Apakah pandangan Que jika anak-anak mahu mengikut jejak langkah Que dan Linda? Saya rasa setiap kanak-kanak haruslah diberi peluang dan kepercayaan untuk melakukan perkara yang mereka suka. Jika anak-anak saya cenderung ke arah bidang hiburan, saya pasti akan menyokong seratus peratus. Anak kedua saya, Ratu yang kini berusia tiga tahun sangat suka menari. Jadi, saya dan Linda bercadang untuk mendaftarnya masuk ke kelas tarian ballet tahun hadapan.

Didie Alias ajak rakan artis melancong

BERMULA Disember ini para peminat yang berkeinginan bercuti bersama artis pujaan mereka berpeluang melakukannya dengan mengikuti program Jom Melancong Bersama Didie Alias & D’Geng. Program tersebut merupakan anjuran Arlief Event & Management (AEM) dengan kerjasama pelakon dan pelawak, Didie Alias yang turut dilantik sebagai duta pelancongan syarikat berkenaan. “Pastinya saya sangat bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada pihak AEM untuk menjadi wakil program pelancongan yang dianjurkan ini dan ia memberi peluang kepada saya melancong di merata-rata tempat. “Bagaimanapun, ia tidak akan melibatkan diri saya seorang sahaja kerana di setiap lokasi saya akan mengajak satu atau dua orang artis untuk melancong bersama-sama peminat,” ujarnya pada majlis pelancaran yang diadakan di Menara KL, Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara artis yang diundang memeriahkan percutian yang bakal dianjurkan itu termasuklah Erra Fazira, Sharifah Shahora, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Elfira Loy, Black, Mawi, Johan As’ari, Enot, Along Raja Lawak dan Dafi. Menurut Didie, lokasi pertama yang akan disertainya adalah percutian di atas kapal peranginan dari Pulau Pinang ke Phuket dan Krabi, Thailand pada Disember ini (tarikh belum ditentukan) yang turut disertai Black. “Selepas percutian ke Thailand, mereka yang berminat untuk melancong berpeluang menyertai percutian selama enam hari ke Beijing, China pada 25 hingga 30 Januari 2013 serta Kaherah, Mesir pada 21 hingga 26 Februari 2013,” jelasnya. Selain ketiga-tiga lokasi berkenaan, pihak AEM turut menganjurkan percutian ke beberapa buah lokasi yang lain seperti Seoul, Korea Selatan serta Pulau Perhentian dan Pulau Langkawi. Mengenai pemilihan sebagai duta program pelancongan syarikat berkenaan, Didie meluahkan rasa syukurnya kerana diberikan kepercayaan dan ia memberi peluang kepadanya untuk menjelajah ke merata-rata tempat. “Sebenarnya saya memang seorang yang gemar melancong, tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana jadual kerja yang sangat padat. Jadi, dengan kerjasama ini saya dapat bercuti bersama-sama keluarga serta menghiburkan peserta program,” ujarnya. Sementara itu, pengasas AEM, Muhamad Alif Haziq Azman yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, dia memilih Didie sebagai duta kerana tertarik dengan karakter pelawak tersebut. Ujarnya, selepas kejayaan program percutian bersama Awie ke Beijing dan Mongolia pada Jun lalu, pihaknya merancang untuk menganjurkan program yang sama iaitu percutian bersama artis. “Pada mulanya saya mengambil masa yang agak lama untuk memilih artis yang bersesuaian, kemudian saya banyak menonton program komedi yang membabitkan Didie. Akhirnya, saya membuat keputusan memilihnya dan yakin ia merupakan satu keputusan yang tepat,” jelasnya. Hadiah lumayan Bagi yang selalu menyertai program percutian bersama agensi pelancongan, antara aktiviti wajib yang dilakukan ialah para peserta akan dibawa berkunjung ke tempat-tempat yang menarik. Menurut Didie, program Jom Melancong Bersama Didie Alias & D’Geng pihak syarikat turut menganjurkan beberapa permainan yang akan disertai para peserta dengan tawaran hadiah yang cukup lumayan. “Untuk pakej pelancongan ke Beijing, China, harga yang ditawarkan sebanyak RM2,350 seorang, tetapi peserta yang berjaya memenangi permainan yang dianjurkan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. “Selain itu, setiap program percutian yang dianjurkan peserta akan dapat beramah mesra dengan artis yang terlibat. Saya percaya program ini akan memberikan kenangan yang cukup indah kepada peserta,” ujarnya. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai program percutian tersebut dah memerlukan maklumat lanjut mengenai pakej dan aktiviti, mereka boleh melayari laman web www.arlief.com atau menghubungi talian 03-6142 8072.

Hairie Othman nak nikah

DIVA tak nak sentuh bab ideologi politik atau semangat juang pelakon popular Hairie Othman yang kini semakin jelas dan lantang menyuarakan pendapatnya. Diva cuma terpanggil nak kongsi perihal Hairie memandangkan dia masih artis yang dikenali umum. Dalam sibuk berceramah, Diva dapat tahu bahawa Hairie yang berstatus duda itu akan naik pelamin tak lama lagi. Wah, hebat juga penangan Hairie ya! Sumber yang siap tunjuk kad undangan kahwin Hairie itu bagi tahu Diva, katanya Hairie dan bakal isterinya bukan main berseri-seri lagi, macam pinang dibelah dua. Pilihan pelakon yang terkenal dengan filem Leftenan Adnan kali ini dengarnya anak datuk lagi. Lihat daripada nama Dahlia Diana yang tertera atas kad, Diva percaya, wanita itu pasti cantik molek. Diva tak nak cakap pasal tarikh nikah mereka, tapi majlis resepsi Hairie dan Diana katanya akan dilangsungkan di Dewan Semarak Kayangan Felda, di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Henti kaitkan nama Datuk J - Tasha

SATU persatu kontroversi muncul mengaitkan pelakon sensasi, Tasha Shilla dengan Datuk J. Walaupun Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, sudah banyak kali menafikan perkara itu, tetapi pemenang Anugerah Heroin Baru Terhebat pada majlis Anugerah Blockbuster 2012 itu terus dihimpit dengan isu yang sama. Terkini, Tasha dikatakan terpilih sebagai duta kempen fesyen I Love Malaysian Designers anjuran syarikat milik Datuk J. "Hentikanlah kaitkan Tasha dengan Datuk J. Tasha tidak mahu lagi komen tentang dia sebab Tasha sendiri tidak tahu Datuk J mana yang dimaksudkan itu. Kalau betul Datuk J itu wujud, Tasha sendiri pun teringin mahu jumpa dengan dia. "Tasha tidak faham kenapa diri ini sering dikaitkan dengan Datuk J. Tidak cukup dengan isu ditaja kereta mewah oleh Datuk J, berparti dan menari tiang dengan lelaki itu, terbaru Tasha dikaitkan pula dengan pemilihan sebagai duta kempen I Love Malaysian Designers kononnya anjuran syarikat milik lelaki tersebut," jelasnya. Menegaskan kempen tersebut bukan anjuran syarikat milik Datuk J, jelas Tasha, ia dianjurkan oleh Brew & Skittles yang diasaskan oleh ahli perniagaan, Mutiara Bahir. Mengenai kereta mewah itu juga, jelas Tasha, ia bukan ditaja oleh sesiapa tetapi dia membelinya dengan duit sendiri melalui bantuan ibu saudaranya. "Selepas ini, kalau saya beli rumah, jangan kaitkan lagi dengan tajaan Datuk J," ujarnya sinis. Mengakui cukup kecewa dan sedih dengan semua kontroversi yang telah melanda dirinya, luah Tasha, dia berusaha keras untuk mengecapi segala apa yang diperolehnya pada hari ini dan ia bukan hasil tajaan mana-mana individu. "Walaupun Tasha kelihatan tenang tetapi sebenarnya Tasha sedih dengan kontroversi yang melanda diri. Selama ini, Tasha tidak melenting dan orang berterusan mengaitkan Tasha dengan Datuk J. "Tahap kesabaran kita pun ada batasnya. Jika kontroversi masih lagi menghimpit, Tasha mungkin tidak lagi akan bersabar," ujarnya seolah-olah mengeluarkan amaran. Tasha memohon, agar kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan Datuk J tidak lagi diungkit mahupun diperbesar-besarkan kerana ia turut mengaitkan keluarganya. "Tasha kasihan dengan keluarga terutamanya ayah. Dia terpaksa berhadapan dengan tanggapan negatif daripada orang sekeliling. Tasha tidak mahu lagi timbul isu dengan Datuk J. Tasha hanya mahu fokus terhadap kerjaya," ujarnya. Mengakui mempunyai ramai kawan, kata Tasha, dia kini masih solo dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki. "Bila orang sering mengaitkan Tasha dengan Datuk J, mungkin sebab itu tiada lelaki yang berani mendekati diri ini," seloroh Tasha. Strategi raih undi Kejayaan Tasha menggenggam trofi Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 2012 sebelum ini ditohmah kononnya mendapat bantuan daripada Datuk J yang membeli undi.
Terkini, kemenangannya pada majlis Anugerah Blockbuster 2012 untuk kategori Heroin Baru Terhebat pula didakwa pula hasil bantuan pengurusnya. Khabarnya, pengurus Tasha yang hanya mahu dikenali sebagai Embun itu sanggup ke hulu dan ke hilir meraih dan meminta orang ramai mengundi artisnya itu. Jelas Embun: "Benda ini (raih undi) sebenarnya strategi untuk membantu Tasha menang. Saya bukan berjumpa dengan orang yang tidak dikenali untuk meraih undi sebaliknya bertemu rakan-rakan saya dan Tasha. "Tasha tidak diberitahu pun akan hal ini. Selepas usaha itu selesai, baru saya beritahu Tasha. Saya ingat Tasha akan marah, tetapi rupa-rupanya dia tidak kisah pun." Mengulas perkara itu, Tasha menganggap pengurusnya itu seperti keluarga. Segala tindakan yang Embun lakukan untuk dirinya akan diterimanya dengan terbuka. "Sebenarnya kemenangan Tasha adalah rezeki. Tasha rasa bersyukur," akuinya.

A. Aida cerai ada sebab

KEHIDUPAN peribadi pelakon yang kini begitu sukses sebagai pengarah dan penerbit, A. Aida nampaknya tidak selancar pencapaiannya dalam bidang seni. Tiga kali mencari bahagia dalam sebuah institusi perkahwinan, ia bagaimanapun berakhir dengan episod yang tidak membahagiakan. Kali pertama berkahwin, Aida bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Spring, Ameng, 43, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail pada 1994. Mereka bagaimanapun bercerai talak satu pada 17 Disember 2003. Bersama Ameng, pasangan tersebut dikurniakan dua anak iaitu Wan Aleesa, 16, dan Wan Natassha, 11. Selepas gagal dalam perkahwinan tersebut, Aida tidak serik untuk membina rumah tangga semula. Untuk perkahwinan kali keduanya, Aida memilih seorang anggota polis yang berusia 26 tahun - sepuluh tahun lebih muda daripada dirinya. Perkahwinan itu tidak dikurniakan anak sebelum mereka akhirnya bercerai. Tidak berapa lama selepas itu, penerbit drama Halimah Jongang ini sekali lagi mendirikan rumah tangga, juga dengan seorang anggota polis. Kali ini dia bertemu jodoh dengan Asisten Superitendan Suffian Sulaiman dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun. Malangnya, kebahagiaan rumah tangga mereka hanya bertahan selama lima tahun sehingga Aida memfailkan perceraian secara baik pada 27 September lalu disebabkan tiada persefahaman antara mereka berdua. Ikuti temu bual Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang bersama Kosmo! ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri pertamanya untuk TV3, Putera Rayyan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kosmo!: Bagaimanakah Aida berdepan dengan isu cerai pada kali ini memandangkan ia perceraian kali ketiga buat anda? AIDA: Saya tahu banyak orang bercakap-cakap kenapalah saya selalu bercerai, tetapi percayalah, tindakan yang saya ambil dan segala yang berlaku itu bersebab. Ia bukan satu tindakan dan keputusan yang diambil secara suka-suka. Bagaimana perkembangan proses perceraian anda sekarang? Saya kini mengambil jalan menuntut cerai secara fasakh selepas permohonan untuk bercerai sebelum ini tidak mendapat persetujuan (Suffian Sulaiman). Anda terganggu dengan masalah ini? Sudah tentu. Terus terang saya katakan, perceraian ini telah mengganggu fokus saya terhadap kerja, terutamanya bidang penulisan skrip. Jika sebelum ini saya ambil masa tulis skrip untuk telemovie hanya dalam masa sehari, sekarang dua bulan pun saya tidak dapat menyiapkan satu skrip. Perancangan anda selepas bercerai? Selepas selesai perceraian ini, saya hanya mahu beri tumpuan kepada anak-anak dan perniagaan sahaja. Walaupun saya kini berada dalam masalah rumah tangga, namun Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus. Perniagaan saya kini semakin berkembang. Selepas tiga kali bercerai, adakah anda serik untuk berkahwin lagi? Buat masa ini, saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Saya sudah sampai satu tahap tidak mahu fikir soal lelaki atau benda lain. Dalam otak saya, hanya ada anak-anak dan perniagaan sahaja. Saya sudah serik dengan lelaki.

Kebangkitan semula Benjy

PERTEMUAN Kosmo! bersama aktor Benjy untuk sesi fotografi Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berjalan dengan cukup lancar. Pertama kali menatap wajah lelaki yang pernah didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada Mac, 2010 dan ditahan selama dua tahun di penjara memberi pandangan yang berbeza. Wajah dan tubuh Benjy semakin susut sejak dibebaskan tanpa syarat pada Januari tahun ini. Penampilannya nampak meyakinkan, kemas dan segak berbaju kemeja serta berseluar jean. Dia juga cukup ramah menegur orang di sekelilingnya bagai tiada sejarah hitam yang pernah berlaku kepadanya. Senyuman juga sentiasa tersimpul di bibir tanda bersedia menghadapi khalayak. “Saya okey, Alhamdulillah sihat. Tengoklah gambar saya dulu dan sekarang, sangat berbeza. Berat ketika dipenjara sebanyak 89 kilogram, sekarang turun 74 kilogram dan saya masih dalam usaha untuk mengurangkan berat badan sebanyak mungkin,” katanya sambil menunjukkan gambar pada kad pengenalan lama dan terbaharu dirinya. Selain saiz badan yang berubah jelas, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim selepas dibebaskan dari penjara masih sama seperti dahulu, bahkan keyakinan dirinya cukup tinggi meskipun terpaksa berdepan dengan gelaran bekas banduan. “Keyakinan diri saya seperti biasa, saya tidak disabitkan kesalahan dan dibebaskan tanpa syarat. Maknanya, saya tidak bersalah. Mungkin disebabkan saya pernah tinggal di penjara buat sementara waktu, orang tetap akan label saya sebagai bekas banduan. “Berjaya mengharungi segala kesusahan ketika di penjara bermakna saya boleh harungi segala kesukaran hidup di luar penjara. “Saya tidak boleh elak persepsi masyarakat. Bukannya saya boleh tutup mulut orang. Itu hak masing-masing dan bagi saya persepsi negatif itu bukan satu masalah yang besar,” balasnya. Menurut Benjy, terlalu banyak hikmah daripada apa yang berlaku terhadap dirinya. Selepas dirinya ditahan pihak berkuasa dan hidupnya hanya bertemankan jeriji besi serta tembok batu, dia mengaku bagai baru tersedar daripada lamunan hidup glamor. “Selepas saya ditahan, saya dapat kenal pasti mana kawan yang benar-benar ikhlas dan mana kawan yang hanya temankan saya untuk berseronok sahaja. Saya akui, sebelum ini saya tersalah pilih kawan. “Sekarang saya amat berhati-hati dalam berkawan. Syukur, kawan-kawan yang ikhlas masih setia di belakang saya sehingga hari ini. Kini saya juga tahu apa yang saya mahukan dalam hidup dan tidak akan sia-siakan orang yang selalu menyokong saya terutamanya keluarga,” ucapnya. Apabila ditebak soalan apakah yang berada dalam fikirannya apabila berada dalam penjara, dia terdiam dan berfikir sejenak. Air matanya tiba-tiba jatuh tanpa kawalan mengenang pengalaman di penjara. Kata Benjy, anak lelaki tunggalnya, Fridauz Juan Benjamin yang kini berusia enam tahun tidak terlepas daripada fikirannya walaupun sesaat. “Selama tiga tahun anak saya sudah biasa tidur di atas dada saya setiap malam, jadi apabila saya berada dalam penjara saya sering tertanya-tanya, bagaimana keadaan dirinya, rindukah dia pada saya dan apabila saya keluar nanti, masih ingatkah dia pada papanya ini. “Alhamdulillah, selepas saya dibebaskan, anak saya masih mengenali saya dan sekarang masa saya hanya untuk mencari rezeki selebihnya diperuntukkan untuk anak serta keluarga terutamanya ibu (Azean Irdawaty) yang sedang bertarung dengan penyakit kanser,” ujarnya. Hak penjagaan anak Bercakap tentang status dirinya, Benjy tanpa berselindung memberitahu dia sudah bercerai dengan Safiya Stephanie yang merupakan seorang mualaf, tetapi ia masih dalam proses mencari jalan penyelesaian di mahkamah syariah. Soal penjagaan anak pula jelas Benjy, dia dan bekas isterinya itu bersetuju untuk hak penjagaan bersama. “Hubungan saya dan bekas isteri masih baik, kami tidak berdendam. Bagi saya, bekas isteri sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cukup baik, anak juga dijaga bersama. Lima hari seminggu anak dijaga oleh dia, manakala saya pada hujung minggu. “Saya amat berharap apa yang berlaku antara kami tidak menjejaskan emosi Fridauz, sebab itu saya banyak menghabiskan masa bersamanya seperti keluar beriadah atau membawanya berjalan-jalan,” katanya. Diaju persoalan tidak tertekankah dengan segala dugaan yang datang kepadanya dan terpaksa menghadapinya seorang diri tanpa seorang isteri di sisi, Benjy lalu menyusun jawapannya.
Kata Benjy: “Rasanya kehidupan saya hari ini sudah cukup bahagia dengan kerja, keluarga dan anak. Mungkin pada peringkat awal saya berasa sedikit tertekan dan sedih. Tipulah kalau saya tidak sedih dengan semua perkara yang berlaku. “Namun, sebagai anak sulung dalam keluarga saya harus kuat. Melihat ibu saya kuat dan sentiasa berfikiran positif melawan penyakit kanser, automatik menjadikan saya lebih kuat dan tabah. Dugaan Allah saya harus terima, apa yang boleh saya lakukan ialah berusaha dan berdoa,” bicaranya serius. Jika sudah bergelar bapa tunggal tidak terfikirkah Benjy untuk mencari pengganti suri hatinya? Bagai ada yang dirahsiakan, Benjy hanya tertawa lantas berkata dirinya masih belum bersedia dan hanya ingin memberi fokus kepada anaknya. Luah Benjy, jika sebelum ini keadaan dirinya tidak stabil disebabkan tiada sumber pendapatan, tetapi kini selepas memegang jawatan Pengarah Jualan dan Pemasaran Destini Ringgit Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang membekalkan mesin ais ke beberapa buah negara, selain kembali berlakon, masa depannya kelihatan lebih meyakinkan. “Kalau sebelum ini saya tidak boleh menjaga anak sebab diri sendiri belum stabil, sekarang saya berusaha untuk memberi yang terbaik dan menebus masa yang terlepas bersama anak,” tuturnya. Pengawal penjara Benjy yang cukup terkenal dengan watak Jibek menerusi drama Kerana Cintaku Saerah kini sedang mempersiapkan diri untuk kembali aktif di pentas lakonan. Lakonan pertamanya selepas di bebaskan dari penjara adalah teater Tatto Gestapo yang akan dipentaskan di Black Box Kaki Seni, SS2 Mall Petaling Jaya, Selangor pada 22 hingga 25 November ini. Menariknya dalam teater tersebut, Benjy bakal memainkan watak Lokman, seorang pengawal penjara yang ditugaskan melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah. “Tugas Lokman menghukum orang mati tetapi selepas itu, dia pula yang berada di kedudukan tali gantung atas satu kesalahan. Bagi saya, teater ini amat berat dan bermain dengan emosi dalaman. “Apa yang ingin diketengahkan dalam teater ini adalah pentingnya untuk seseorang mengakui kesalahan, minta maaf dan berdoa memohon keampunan,” ujarnya yang berbesar hati ditawarkan watak tersebut. Melakonkan situasi di penjara, rasanya tidak ada pelakon lain yang lebih sesuai daripada dirinya meskipun pada peringkat awal watak Lokman tersebut diciptakan buat aktor Zahiril Adzim. “Saya sungguh seronok dapat tawaran teater ini kerana isi kandungannya agak berat. Pengalaman di penjara saya gunakan sepenuhnya dalam teater ini kerana orang yang sudah masuk ke penjara sahaja yang benar-benar memahami situasi sebenar. “Pengarah dan penulis skrip juga ada meminta pendapat saya untuk menjadikan teater ini lebih hidup. Saya ada menambah beberapa perkara terutamanya dari segi bahasa, jadi jangan lupa datang beramai-ramai,” katanya mengenai teater yang mengenakan bayaran RM20 bagi seorang penonton itu. Selain Benjy, aktor lain yang turut terlibat dalam karya Hariry Jalil itu ialah Pekin Ibrahim yang memegang watak Mustapa, Shariffuddin Md. Jais (Dan), Azman Hassan (Algojo) serta aktor Namron pula bertindak selaku pengarah artistik.

Keluarga jadi keutamaan - Krisdayandti

KREDIBILITINYA sebagai seorang penghibur di atas pentas nyanyian memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Kualiti vokal, lenggok alunan suara yang unik serta bakat yang dikurniakan kepadanya menjadi kunci utama kejayaan yang diterima sebagai seorang anak seni sehingga ke hari ini. Tidak hairan jika bakat nyanyian dan hasil kerja Krisdayanti atau KD sering kali mendapat pengiktirafan pada majlis-majlis anugerah tempatan mahupun antarabangsa. Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi oleh penyanyi yang popular dengan lagu Cobalah Untuk Setia ini tidak mungkin datang tanpa sebarang kontroversi. Sejak beberapa tahun lalu, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini kerap menjadi sasaran utama ruangan-ruangan gosip akhbar dan majalah ekoran isu penceraiannya dengan bekas suami, Anang Hermansyah. Setelah isu penceraiannya selesai, KD akhirnya mendirikan rumah tangga dengan Raul Lemos. Hasil daripada perkongsian hidupnya dengan usahawan yang berasal dari Timor Leste itu, KD dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Ariannha Amora Lemos. Ketika ditemui pada acara Persembahan Konsert Diraja dan Majlis Penutupan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2012 minggu lalu, KD kelihatan sungguh anggun dalam persalinan serba mewah hasil rekaan Anne Avanthi, pereka yang sama mereka busana perkahwinannya dengan Raul tahun lalu. Menambahkan seri, wanita itu kini sedang sarat hamil tujuh bulan. Ia merupakan anak kedua baginya bersama Raul. Berasa amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah, KD mengaku tidak sabar untuk menanti kelahiran cahaya mata keempatnya itu. "Kandungan saya kini sudah menjangkau usia tujuh bulan dan insya-Allah dengan izin-Nya, Ariannha bakal mendapat seorang adik lelaki pada hujung tahun ini," katanya penuh teruja ketika membuka bicara. Ditanya mengenai pengalaman hamil anak kedua bersama Raul, KD memberitahu, dia berasa sedikit penat dan sering mengalami kesakitan pada bahagian belakang badannya. Begitupun, perkara remeh-temeh itu tidak menghalangnya daripada memenuhi sebarang undangan nyanyian. "Ketika mengandungkan anak pertama iaitu Aureile, saya masih boleh menyanyi walaupun pada waktu itu usia kandungan telah mencecah sembilan bulan. "Berbeza sekarang, saya cepat berasa letih dan keadaan ini memaksa saya untuk tidak melakukan tugas-tugas yang berat selain memperlahankan sedikit aktiviti seni saya," katanya yang ditemui usai menghiburkan pengunjung konsert tersebut dengan rangkaian lagu-lagu popularnya. Menyorot kembali saat-saat manis ketika mendapat tahu dia hamil untuk kali yang kedua, KD berkata, dia yang sedang menghabiskan masa dengan keluarga mertuanya di Timor Leste ketika itu sering menjadikan gabungan buah mangga, kicap masin dan cili sebagai salah satu pilihan menu hariannya. "Pembantu rumah di sana (rumah mertua) sungguh hairan kerana saya sering meminta mereka membelikan buah mangga. Ketika itu, saya sedang berdiet dan tidak terfikir langsung akan hamil buat kali yang kedua.
"Bagaimanapun, lama-kelamaan, saya mula merasakan perubahan yang ketara pada tubuh saya. Justeru, saya nekad untuk menjalankan ujian kehamilan di rumah. Alhamdulillah, selepas itu memang sah, saya hamil lagi," ujarnya tersenyum lebar. KD juga memberitahu bahawa suaminya begitu terkejut ketika dikhabarkan mengenai berita gembira tersebut. Jelasnya: "Raul seperti tidak percaya ketika itu kerana julat masa kehamilan pertama dengan yang kedua adalah sangat singkat. Dia ternyata gembira dan tidak sabar menanti kelahiran putera pertama kami." Rawatan tradisional Jika ditanya mengenai persiapan dan rawatan selepas bersalin, sudah pasti adik kepada penyanyi Yuni Shara yang berusia 37 tahun ini mempunyai cara yang tersendiri dalam menyediakan diri untuk melalui proses berpantang. "Sama seperti sebelum ini, saya akan menghabiskan tempoh berpantang selama 40 hari dengan mendapatkan rawatan tradisional. "Rawatan-rawatan seperti lulur seluruh badan dan bengkung bersama ramuan akar kayu berserta herba tradisional merupakan antara rawatan yang wajib untuk saya ketika melalui tempoh berpantang," katanya. KD juga berkata, dia harus mengamalkan cara pemakanan yang seimbang agar mampu untuk menghabiskan proses itu dalam masa yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, dia mahu kembali cergas bagi menyambung semula aktiviti seninya yang tergendala. "Cara pemakanan juga perlu dititikberatkan, terutamanya selepas bersalin. Saya tidak boleh memilih makanan dan perlu mengikut jadual pemakanan yang telah ditetapkan oleh pengamal perubatan tradisional di sana. "Doktor juga ada menasihati saya supaya mengambil beberapa jenis suplemen tambahan ketika ini agar saya kekal bertenaga, tidak mudah letih dan senang ketika melahirkan bayi kelak," katanya lagi.

Almy kurus selepas dibedah

PELAKON Almy Nadia yang sebelum ini hangat dengan kontroversi cintanya bersama aktor Fizz Fairuz mengakui dirinya kurang popular berbanding pelakon seangkatannya yang lain. Almy atau nama penuhnya Almy Nadia Aminuddin Shah yang ditemui pada program Jelajah Anugerah Skrin (ASK) 2012 di pusat beli-belah e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini juga sudah hampir setahun lebih tidak muncul di khalayak ramai. Bukan merajuk ataupun mengelak daripada bertemu pihak media dan peminat, kata Almy, dia sudah lama dia tidak meraih tawaran lakonan mahupun acara bertemu peminat daripada mana-mana pihak. Selepas kontroversi cintanya dengan Fizz, akui Almy, dia telah banyak berubah dan kini berusaha keras untuk kembali diterima dalam bidang lakonan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon berusia 26 tahun ini. Kosmo!: Boleh dikatakan sudah lama pihak media tidak bertemu Almy pada acara-acara hiburan, ke mana anda menghilangkan diri? ALMY NADIA: Sebenarnya sudah setahun lebih saya tidak muncul pada acara bertemu peminat seperti ini, bukan tidak mahu tetapi tiada jemputan. Saya rasa diri tidak popular dan kurang keyakinan diri, mungkin sebab itu saya kurang mendapat tawaran. Kalau Almy tak popular, kenapa pula drama Cinta Buat Emelda meraih sambutan hangat daripada penonton sebelum ini? Popular ketika drama itu ditayangkan sahaja, selepas itu semuanya kembali seperti biasa. Saya pun tidak tahu di mana silapnya, cuma saya masih menganggap diri saya sebagai pelakon baharu dan masih banyak perkara yang harus dipelajari. Apakah tindakan Almy untuk mengekalkan kerjaya lakonan? Sebelum ini, saya sedikit berisi dengan berat badan mencecah 75 kilogram (kg), namun selepas menjalani pembedahan apendiks sekarang berat saya berkurangan kepada 51kg. Saya berusaha untuk kembali kurus untuk meraih tawaran lakonan. Almy sedih dengan perjalanan kerjaya lakonan sekarang ini? Rezeki terletak di tangan Allah, saya sedaya upaya cuba berfikiran positif dan berusaha keras. Saya percaya ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Selepas kontroversi cinta dengan Fizz Fairuz, bagaimana dengan hubungan kalian sekarang ini? Bagi saya, tidak elok untuk bercakap lagi tentang perkara lalu. Ibu saya merupakan orang pertama yang akan marah jika saya bercakap lagi tentang soal cinta. Pasti orang ramai juga sudah muak dengan kisah itu. Sekarang ini, fokus saya untuk kerjaya sahaja. Apakah yang dipelajari Almy daripada kontroversi cinta itu? Banyak yang saya belajar daripada apa yang telah berlaku. Saya banyak berubah dan menjadi lebih kuat. Rasanya Almy hari ini bukan lagi Almy yang dahulu. Saya lebih terbuka tetapi dalam masa yang sama masih menyimpan apa yang perlu disimpan daripada khalayak. Bukan semua benda kita boleh kongsikan dengan orang ramai. Andai ada lelaki yang ingin memperisterikan Almy, apakah syarat utamanya? Lelaki itu harus menerima saya seadanya dan juga sayangi anak angkat saya, Nurafrina Darwisyah yang kini berusia tiga tahun.

Diana, Farid berpisah selepas kahwin

BERPISAH selepas berkahwin. Itu realiti yang bakal dihadapi aktres jelita, Diana Danielle selepas selamat melangsungkan pernikahannya dengan tunangnya, aktor Farid Kamil. Perkahwinan antara Diana dan Farid dijadualkan berlangsung pada 3 November ini. Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, yang ditemui pada program Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) di pusat beli-belah e@Curve baru-baru ini, perpisahan itu disebabkan dia mahu menyambung pelajaran di luar negara. "Saya berasa cemburu apabila melihat rakan seusia yang dapat menimba ilmu di negara orang. Saya lantas telah membincangkan tentang perkara tersebut bersama Farid. Dia nyata amat menyokong niat saya untuk menyambung pelajaran," ujarnya. Diana bakal menimba ilmu di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia dalam jurusan produksi siaran langsung selama setahun. "Sebenarnya saya hanya mengambil kursus intensif. Selepas kami berkahwin, saya akan menyambung pelajaran sekitar awal tahun hadapan. "Butirannya masih terlalu awal untuk dikongsi. Namun, nampaknya, kami terpaksa berjauhan buat sementara selepas kahwin nanti. Itu pengorbanan yang harus dilakukan demi masa depan kami berdua," luahnya. Meskipun berat hati untuk berpisah, namun kata Diana, bakal suaminya itu juga akan melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah di Malaysia pada waktu yang sama. "Kami berdua sama-sama melanjutkan pelajaran, rasanya tidak akan ada masalah. Bukanlah saya tidak akan pulang langsung ke Malaysia, masih ada kerja yang harus diselesaikan di sini. "Jika ingin berjumpa, jarak antara Malaysia dan Australia tidaklah jauh sangat. Kami akan berulang-alik. Pada waktu itu kami sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada masalah untuk Farid datang melawat saya," tuturnya. Menyentuh soal kenapa dia ingin menimba ilmu di Australia sedangkan banyak lagi pusat pengajian tinggi berprestij di Malaysia, ketika karier lakonannya kini sedang berkembang maju, Diana melontarkan alasannya. Ujarnya: "Pengalaman (belajar) di negara orang tidak sama dengan negara sendiri, dan menyambung pelajaran (di luar negara ) sememangnya merupakan impian saya. "Sementelah, ilmu yang saya timba itu nanti amat berguna untuk kerjaya dan kehidupan saya pada kemudian hari. Sampai bila saya mahu bergantung hidup kepada pendapatan sebagai pelakon?" Tambah Diana: "Saya sudah mengalami bagaimana rasanya diri berada dalam zaman popular dan kejatuhan. Ada masa pendapatan yang diperoleh lumayan dan ada masanya tidak. "Jadi, ilmu yang bakal ditimba nanti adalah sebagai persediaan kerana saya dan Farid merancang untuk menubuhkan produksi kami sendiri pada masa hadapan." Tinggalkan zaman remaja Usianya yang bakal mencecah 21 tahun pada 22 November ini dirasakan terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, Diana mempunyai pandangan yang tersendiri, malah, berkahwin awal merupakan pilihannya tanpa ada unsur paksaan daripada mana-mana pihak termasuk Farid. "Tiada siapa yang paksa untuk saya kahwin awal, sedangkan ketika bertunang pada 2 September lalu, kedua-dua belah pihak keluarga memberi masa dalam tempoh setahun untuk kami berkahwin. "Tempoh setahun diberikan kerana pihak keluarga tidak mahu kami menghadapi kesukaran. Mereka tahu proses untuk berkahwin bukan satu hal yang mudah, pelbagai perkara harus diambil kira. "Kami berdua sama-sama membuat keputusan untuk segera berkahwin. Cepat atau lambat tiada bezanya, jadi lebih baik dipercepatkan. Sementelah, hubungan kami sudah mencecah tiga tahun, jadi buat apa tunggu lama-lama," katanya sambil tertawa manis. Tambah Diana, perkahwinan dan bertemu jodoh adalah ditetapkan Allah dan juga merupakan pilihan setiap individu. "Saya secara peribadi sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Usia muda atau tua bukan satu ukuran. "Apabila saya sudah berjumpa dengan lelaki yang baik dan serasi dengan saya, saya sedia untuk mempunyai komitmen. Orang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza, tetapi dalam keluarga saya, ramai yang berkahwin awal," ujarnya. Walaupun muda, tiada istilah belum puas menikmati zaman remaja untuk Diana. Terlibat dalam bidang seni dalam usia belasan tahun lagi dan dilimpahi kehidupan penuh glamor sudah memadai buatnya. "Memang saya bukan jenis yang suka menghabiskan masa di luar rumah dan dengan kehidupan glamor, tetapi saya lebih berasa cukup puas menghabiskan masa senggang dengan rakan-rakan. "Selepas ini, biar suami pula yang menemani saya ke mana-mana (ketawa). Alhamdulillah, Farid amat memahami saya, jadi tiada masalah untuk saya teruskan kerjaya yang saya minati," ungkapnya. Diana minat Farid Membuka cerita bagaimana cinta mereka mula berputik, kata Diana, sebelum menceburi bidang seni, dia langsung tidak mengenali siapakah Farid Kamil. Akuinya, sebelum ini, cita-citanya lebih terarah kepada bidang nyanyian. Disebabkan itu, Diana tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai dunia lakonan tempatan. "Waktu itu saya masih budak-budak lagi, memang saya gila sangat menyanyi. Sebaliknya kini, saya bukan bergelar penyanyi tetapi lebih dikenali sebagai pelakon. Sejak itulah baru saya mengenali Farid Kamil. "Kami berkenalan ketika sama-sama membintangi filem Evolusi KL Drift. Pada ketika itu, saya suka cara dia bertutur dan sikap dirinya. Tidak lebih daripada itu," luahnya. Minat Diana yang bercambah terhadap bakat lakonan Farid tercetus selepas Diana menonton filem Anak Halal lakonan Farid bersama Maya Karin. "Selepas menonton filem Anak Halal, saya mula meminati Farid. Bagi saya, dia seorang pelakon yang bagus. Sekarang, bila fikir saya bakal berkahwin dengan orang yang saya minati, rasa diri ini amat bertuah," tutur Diana. Harapan Diana hanya satu iaitu agar perkahwinannya bersama Farid kekal sehingga ke akhir hayat. "Walaupun ramai yang kata perkahwinan selebriti banyak dugaannya, bagi saya semua orang mempunyai dugaannya yang tersendiri. Saya cuma berharap, Farid merupakan jodoh saya sehingga saya menutup mata," katanya dalam senyuman yang bahagia.

Adda kini bebas

ADDA nak bina hidup baru. Nak lupakan kisah silam, cerita hitam yang pernah berlaku sebelum ini. Yang lepas itu biarlah. Adda tak nak sentuh lagi. Bagi Adda, apa yang penting adalah masa depan Adda sekarang. Adda doa untuk lebih fokus dalam bidang seni. Adda nak buka mata semua orang," azam penyanyi kumpulan Butterfly ini pada majlis hari jadi ke-24 yang disambut di ibu kota Isnin lalu. Adakah mudah untuk merealisasikan azam tersebut memandangkan nama Adda pernah terpalit cerita kontroversi? Tambahan pula dengan keadaan masyarakat yang gemar menyentuh kisah lama di kalangan artis? "Semua kesilapan lampau adalah panduan hidup Adda. Rasanya semua orang pernah jatuh atau tergelincir. Tapi adakah kita akan sentiasa tunduk dengan situasi macam itu? Sebab hanya orang gila saja yang membenarkan nasibnya ditimpa malang berulang kali. "Adda pun begitu juga. Adda pernah lalui saat getir. Diperlakukan macam sampah, dikeji sebab status yang Adda pegang dan ada yang cuba mengambil kesempatan. Adda terima dengan rela hati. Biarlah orang nak kata apa dengan suratan takdir Adda," katanya beremosi. Adakah itu termasuk melupakan kisah cinta dengan pelakon Adam Shah yang sudah menemui titik noktah, adik kepada gitaris Rodi Kristal ini mengangguk. Ringkas: "Dia juga adalah masa silam Adda. Adda tak nak ulas lagi. Apa pun dia banyak menyedarkan Adda tentang nilai cinta yang sebenar." Nada bicara Adda itu seolah-olah jiwanya sedang bersarang dengan kekecewaan, lantas membibitkan air mata di kelopak matanya. Sekali gus menjelaskan gambaran kesedihan yang sedang dialami tatkala ini. "Orang pandang serong kalau seseorang itu pegang gelaran janda. Apalagi jika si janda itu artis. Lagi macam-macam orang kata sampaikan apa saja yang dibuat jadi isu. Sebab itu Adda paling takut kalau ada benda yang Adda buat jadi bualan. "Adda juga bimbang kalau ada kata-kata yang buat orang lain tersinggung. Pendek kata semuanya serba salah. Jadi macam mana Adda nak hidup kalau selalu memikirkan tanggapan orang lain terhadap Adda?" soal penyanyi Lelaki Ini dan Firasat Cinta ini. Imej baruLantaran itu, pemilik nama sebenar Nur Syuhadah Baharuddin memutuskan untuk menukar imej yang berkemungkinan bakal menyebabkan masyarakat kembali 'menyerangnya'. Maklumlah daripada tidak bertudung kemudian memakai turban dan akhirnya langsung tidak menutup bahagian kepalanya itu. "Adda tak boleh tipu diri sendiri. Kalau dahulu Adda ada tanggungjawab dan komitmen tapi sekarang tidak lagi. Adda dah bebas. Jadi apa juga yang Adda buat hari ini adalah untuk masa depan Adda. "Sebab itu juga Adda minta jangan besarkan isu Adda tak pakai tudung. Adda cuma manusia biasa yang tak lepas daripada membuat kesilapan. Ini adalah diri Adda yang sebenar. Asalkan Adda tahu batas dan tak malukan nama keluarga, Adda harap semua orang terima Adda yang baru," katanya lagi. Dalam perkembangan lain, Adda memberitahu dia bakal mengembangkan sayap seninya dengan bekerjasama dengan pencipta lagu dari negara jiran selepas kontrak kumpulan Butterfly dengan syarikat rakaman Universal Music tamat pada pertengahan tahun depan. Bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan bakal dikongsi selepas mendapat kata putus tidak lama lagi.

Apa kena dengan Kaka?

Kaka muncul dengan kontroversi lagi. Kali ini dengan aksi kurang sopan di sebuah kelab malam. Bercium mulut dengan seseorang yang juga sama jantina. Apa yang cuba Kaka buktikan? Saya mengaku itu memang saya dan saya ada penjelasan untuk itu. Sebenarnya waktu itu saya berada di dalam sebuah pusat karaoke dan bukan di kelab malam. Masa tu, saya dan beberapa kawan lain sedang menyambut hari lahir seorang teman baik saya. Saya datang ke majlis tu pun sekejap saja. Sekarang ni, sekejap atau lama bukan perkara pokok. Apa yang ditekankan dan menjadi tanda tanya kenapa dan apa perlunya Kaka melakukan aksi begitu? Sebenarnya, benda tu tak ada apa pun. Wanita yang saya cium itu adalah teman baik saya sendiri. Kami dah berkawan sejak dari kecil lagi. Sejak kami berdua di sekolah rendah. Jadi hubungan kami sangat rapat dan dia adalah orang yang diraikan pada malam itu. Saya mengaku memang sengaja buat aksi begitu. Tapi bukan dengan niat atau sampai boleh jadi ghairah. Jadi apa sebenarnya penjelasan Kaka ni? Itu sebagai tanda kami menunjukkan tanda sayang antara kami berdua. Iyalah sebab kami rapat. Kaka, orang lain pun ada teman baik juga, tapi tak adalah sampai nak bercium begitu. Atau mungkin sebenarnya Kaka sedang mabuk? Tidak. Saya tak mabuk atau ambil minuman keras dan itu bukan cara saya. Saya mengaku kadangkala saya ni bersosial, tetapi bukan dengan cara begitu. Keluarga saya tak ajar saya buat begitu. Sebenarnya saya dan dia buat aksi begitu sebab nak tunjuk gambar berkenaan pada seorang lagi sahabat kami yang sedang belajar di luar negara. Bagi saya, itu semua aksi propa saja. Bukan betul-betul pun. Bila jadi begini, orang mula pandang serong pada Kaka dan mula mempersoalkan kecenderungan seksualiti Kaka. Lazimnya, wanita lawannya lelaki dan lelaki lawannya wanita. Jadi sekarang Kaka pula bagaimana? Lesbian? Ya Allah... janganlah cakap atau doakan Kaka begitu. Kaka bukan lesbian. Kaka tahu, bila isu ini keluar, benda ni akan menyebabkan ramai orang pandang serong. Tapi macam Kaka katakan, ia sekadar untuk suka-suka. Tak ada apapun. Tambahan pula, dia kawan baik saya. Lainlah kalau saya bercium dengan lelaki. Itu memang wajarlah orang marah saya. Disebabkan gambar itu sudah tersebar, kini Kaka menjadi cemuhan masyarakat. Apa komen Kaka? Saya pun tak tahu macam mana gambar tu boleh terlepas sebab dalam majlis tu cuma kawan-kawan rapat dan tak ada orang luar. Tapi saya tak mahu tuduh sesiapa dalam hal ini. Saya tahu kesilapan ini berpunca daripada saya sendiri. Ada yang mendakwa Kaka sengaja mencetuskan kontroversi. Betulkah begitu? Tidak... bukan niat saya untuk mencetuskan kontroversi. Memang ketika itu saya buat sekadar suka-suka dengan kawan-kawan saya. Saya tahu, tak semua orang boleh faham mengenai kelakuan saya tu walaupun berkali-kali saya tekankan yang benda tu tak ada apa-apa. Tak mengapalah, saya minta maaf atas kesilapan tu. Cuma saya harap, janganlah panjangkan isu ini.

Cerita baju tajaan - Eira Syazira

ADA sesetengah syarikat produksi menyediakan khidmat pakaian sebagai kostum untuk kegunaan pelakon semasa penggambaran drama atau filem. Usaha itu memang bagus sebab tidak semua produksi tempatan ambil berat tentang kostum para pelakonnya, sama ada di TV atau filem. Menyediakan kostum juga dapat mengatasi masalah pelakon pakai baju ala-ala tangkap muat dalam drama atau filem. Contohnya, pelakon yang membawa watak perempuan naif dari kampung. Seharusnya berpakaian longgar tapi dalam TV pakai baju T sendat dengan seluar pendek. Kostum ini ternyata tidak sesuai dengan watak. Tapi ada juga syarikat produksi yang tidak menyediakan khidmat itu. Maknanya pelakon kena mencari sendiri kostum untuk penggambaran drama yang tidak panjang (bukan episod). Perkara itu memang membebankan pelakon, tapi mereka tidak ada pilihan. Tapi selalunya syarikat produksi yang tidak mahu terikat dengan soal kostum itu mesti ada kes. Mungkin pernah terjadi kes curi, pakaian rosak, terkoyak atau cacat sewaktu pelakon menggunakan pakaian berkenaan. Jadi, timbul masalah masa waktu pemulangan. Sebab itu produksi tidak berani memberi komitmen dengan penaja kostum. Soal pinjam kostum ini juga dianggap renyah oleh pihak penerbitan. Silap hari bulan, syarikat kena bayar ganti rugi beratus-ratus ringgit kepada penaja. Hah, bahagian itu yang pemilik syarikat produksi tak larat nak layan. Itu bab syarikat produksi besar, yang ini pula bab perseorangan. Saya ada dengar perihal pereka baju, penaja atau orang yang pernah berurusan terus dengan artis yang mahu meminjam baju, akhirnya mengeluh tak berpuas hati dengan sikap artis. Artis janji macam-macam semasa hendak meminjam. Tapi apabila masa hendak pulangkan, barangan yang dipinjam dah serupa belacan. Baju yang dipinjam itu katanya nak digunakan untuk sesi fotografi, tapi sebenarnya dipakai di merata tempat. Lepas guna kata dah buat cucian kering, tapi kenapa bau badan artis masih lekat pada baju? Itu belum lagi masuk bab artis buat-buat lupa pulang baju penaja. Ada yang sampai berbulan-bulan lamanya. Adoi, ini dah kes parah. Macam mana boleh lupa pulang sebab baju bukannya barangan kecil? Alasan terlupa telefon penaja untuk memulangkan baju memang tak boleh diterima. Jangan marah atau meroyan apabila gosip mengatakan si anu atau si ani tidak pulangklan baju. Memang padan dengan muka bukan? Harus diingat yang penaja tak cakap depan artis. Mereka selalunya hendak jaga hati, air muka dan standard artis itu. Tapi sampai hati dan boleh tahan. Sebab itu dalam soal pinjam barang, artis kena lebih berhati-hati. Dah namanya artis, kenalah tanggung kalau silap atau buat hal. Orang sekeliling tunggu masa saja nak cari pasal. Sebab itu juga, masalah pinjam baju itu boleh diatasi andai artis itu sendiri sentiasa berhemat sepanjang menggunakan barangan penaja. Jangan jadikan barangan tajaan itu macam milik sendiri. Mentang-mentanglah bukan hak sendiri, senang-senang saja nak buat apa-apa. Lantaran itu, artis kena lebih peka dan bertanggungjawab dalam hal pinjam meminjam ini. Jangan salahkan orang lain kalau gagal serahkan barang yang dipinjam itu dalam keadaan baik. Atau tuding jari dengan mana-mana pihak yang cuba rosakkan nama sebab pokok pangkalnya bermula pada artis itu sendiri.

Scha bukan artis sengkek!

RIAK wajah pelakon ini bertukar muram tatkala diminta mengulas tentang gosip liar yang mengaitkan dirinya dengan perbuatan mencuri pakaian jenama sebuah syarikat antarabangsa bernilai kira-kira RM2,000. Penafian sudah pun dibuat tetapi kesan lain daripada gosip itu menyebabkan pelakon Awan Dania The Movie itu turut dipandang serong oleh sesetengah pihak. Apalagi bila ada yang mensabitkan perbuatannya itu dengan tabiat semulajadi di kalangan artis. Maklumlah, artis antara golongan yang berkemampuan untuk memiliki apa sahaja tanpa mengira nilai barangan tertentu. Kalau begitu, benarkah dakwaan tersebut Scha? "Tak, saya bukan daripada kategori itu. Saya masih waras dan belum lagi nak buang tabiat mencuri tak tentu pasal. Banyak benda dalam dunia ini yang lebih berfaedah boleh saya buat. Gila ke apa saya nak buat kerja yang boleh jatuhkan nama dan reputasi saya. "Saya bukan artis sengkek yang tidak mampu membeli pakaian berjenama sampai nak mencuri," reaksi jelitawan Scha Al-Yahya yang begitu emosi melontarkan apa yang terbuku di hatinya berhubung isu berkenaan. Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya,29, ini turut menyatakan rasa kesal dengan tuduhan serampang dua mata yang tidak berasas itu turut terkena pada suaminya, Awal Ashaari. "Isu ini memang berat. Saya betul-betul kecewa apabila ada orang cakap saya yang buat dan ada yang kata Awal. Orang yang sebarkan cerita itu tak fikir ke akibatnya? Gosip ini bagaikan membunuh kami sebelum diadili. "Sebab itu saya minta pihak pengurusan jenama pakaian berkenaan untuk turut sama membantu membersihkan nama saya. Malangnya, tiada respons positif diberikan daripada pihak gedung pakaian itu," katanya yang mengakui itu adalah kali pertama dia berdepan dengan gosip yang menjejaskan kehidupan peribadinya itu. Peristiwa membabitkan nama Scha semuanya bertitik-tolak apabila dia dan suaminya, Awal As'ari dijemput oleh pihak penganjur untuk menghadiri majlis pembukaan sebuah gedung pakaian di ibu kota pada hujung bulan September lalu. Bagaimanapun ada dakwaan mengatakan beberapa helai baju hilang tetapi tiada bukti yang boleh mensabitkan pasangan figura itu berhubung isu tersebut. Awal sukar dibacaDitanya tentang reaksi suami Scha berhubung perkara itu? Scha berkata: "Awal tenang saja dengan gosip ini. Dia sikit pun tak melatah. Dia tahu bukan dia yang buat dan kenapa perlu takut? Apa pun, bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan tambang murah ini juga mempelajari sesuatu tentang perangai suami yang dikahwini sejak lima bulan lalu. "Secara tak langsung perkara ini juga buat kami suami isteri lebih kuat. Ujian itu juga mengeratkan hubungan kami. Sebab selama ini pun, kalau ada pergeseran, kami cuba sedaya upaya untuk mengatasinya sehingga masalah selesai. "Lagi satu, saya belajar Awal adalah seorang yang sukar nak dibaca. Sebab dia bukan orang yang suka bercerita masalahnya. Sekali pun Awal marah, saya cuba mengelak daripada memujuknya. Biarkan dia reda, kemudian baru saya dekat padanya dia," tutup wanita ini di akhir pertemuan kami Jumaat lalu.

Berkorban jiwa raga - Anzalna

DALAM kerendahan hati menyelusuri jalan-jalan yang semakin berliku, segalanya ditempuh dengan penuh berhati-hati. Bukan tidak percaya pada denai yang harus dilaluinya tetapi pengalaman lalu cukup mengajar dirinya erti kepercayaan sebuah persahabatan. Mengakui jalan yang dilalui semakin sukar dan penuh ranjau, Anzalna Nasir tidak ada sebab untuk melarikan diri daripada segalanya. Melalui hari-hari baru yang belum menjanjikan apa-apa, dia berserah segala-galanya pada takdir yang telah ditentukan untuknya. Rentetan daripada kisah hitam yang pernah menggegarkan industri hiburan satu ketika dahulu, Anzalna tekad untuk melupakan kisah itu. Kisah 'percakaran' sesama rakan artis tersebut mahu segera dihapuskan daripada kotak ingatannya. Mungkin pengorbanan yang dilakukan oleh gadis cantik manis ini tidak diketahui umum. Namun, jauh di sudut hatinya dia berbangga apabila dapat menghapuskan ego dalam kerendahan hati untuk menghadapi masalah yang cukup besar. "Tidak ada pengorbanan yang paling besar yang pernah saya lakukan selain meminta maaf atas apa juga kesilapan. Orang mungkin ingat saya yang bersalah tetapi percayalah segala-gala yang saya lakukan selama ini saya anggap sebagai pengorbanan besar dalam hidup. "Alhamdulillah, rentetan daripada kes sebelum ini, orang masih boleh menerima saya. Peminat pun tidak mengata apa-apa selain daripada terus memberikan sokongan kepada setiap produk yang saya hasilkan. Itu memang satu perkara yang menakjubkan. "Apapun yang terjadi dahulu saya tidak mahu ungkit lagi. Biarlah perkara itu saya simpan sendiri tanpa perlu dihebahkan apa yang sebenarnya terjadi. Saya sanggup berkorban memohon kemaafan dan segala-galanya berbalas apabila semakin ramai yang menerima kehadiran saya dalam industri ini. "Saya tidak boleh menutup mulut orang yang iri hati terhadap saya. Itu hak mereka dan biarlah mereka terus mengadili saya," luah Anzalna lagi. Tidak terdetik rasa menyesal dengan apa yang telah terjadi sebaliknya pelakon drama bersiri Adam & Hawa ini bersyukur kerana diberi pengajaran paling berguna pada usia sebegini. DiterimaDalam pertemuan yang cukup santai pada petang Selasa lalu, dia meluahkan segala-galanya. Dari soal pengorbanan, penyesalan sehinggalah soal hati diluahkan berhati-hati agar tidak mendatangkan apa-apa implikasi di kemudian hari. "Memang saya sangat berhati-hati. Nak cerita lebih-lebih macam dulu memang tidak. Apa juga masalah yang melanda saya akan cerita pada ibu bapa dan adik beradik yang lain. Hanya mereka yang layak saya letak seratus peratus kepercayaan kalau nak dibanding dengan orang luar. "Tapi itu bukan penyebab untuk saya tidak berkawan dengan orang lain. Kawan tetap kawan macam biasa. Cuma nak bercerita lebih-lebih tu memang tidak, sebab sejarah telah membuktikan banyak kawan menjadi lawan," jelas gadis berusia 24 tahun ini. Mengakui langkah kakinya semakin laju sejak akhir-akhir ini, tidak dinafikan yang nama Anzalna semakin naik mendadak antara pelakon yang paling banyak menerima tawaran. Wajah manis anak kedua daripada lima beradik ini sering kali dilihat di kaca televisyen sejak akhir-akhir ini. Membawakan pelbagai watak baik dan buruk, itu memang cabaran yang besar buat dirinya yang masih baru. "Memang selepas kontroversi itu saya lebih banyak menerima tawaran berlakon. Kalau tengok pada jadual saya sudah terisi sehingga bulan Mac 2013 dan ada banyak tawaran yang terpaksa saya tolak sejak kebelakangan ini. "Penerimaan peminat berbeza-beza. Bila orang tengok saya dalam drama Adam & Hawa, orang jadi benci. Saya tengok ramai yang komen bukan-bukan dan marah-marah dengan watak berkenaan. "Tapi bila mereka tengok drama Sirrun di mana saya menjadi baik dan bertudung, ramai juga yang puji dan komen yang baik-baik. Saya anggap mereka menilai saya melalui lakonan dan bukan melalui sentimen peribadi," jelasnya. Jaga hatiRAMAI beranggapan bahawasanya kebanyakan pelakon cantik seperti Anzalna menjual rupa semata-mata untuk mendapatkan tawaran berlakon. Menafikan perkara tersebut sekeras-kerasnya, dia tidak dapat untuk menepis persepsi orang terhadap dirinya. Dengan kebanjiran ramai muka-muka baru yang tak kurang hebat, itu bukan masalah besar buat dirinya memandangkan kehadirannya dalam industri ini bukan untuk mencabar sesiapa. "Saya tidak pernah anggap kehadiran saya sebagai pelakon untuk mencabar atau tercabar dengan sesiapa. Apapun yang terjadi pokok pangkalnya saya kena balik kepada niat asal untuk berkarya. "Saya sentiasa berdoa agar hati saya disucikan tanpa perlu meninggalkan rasa kurang senang terhadap sesiapa. "Macam juga kes dengki mendengki ni. Saya pun tak mahu terheret dalam kes-kes macam ni. Kalau kita dengki dengan kejayaan orang lain sampai bila-bila pun hidup kita tak senang. "Andai kata kita ikhlas dalam setiap pekerjaan, saya yakin kejayaan akan datang selepas itu," tegasnya lagi. Bercerita soal populariti, dia menganggap tahun ini sebagai tahun permulaan yang baik untuknya. KeputusanSaat dia ditimpa ujian yang cukup berat, ada sesuatu yang menarik terjadi pada dirinya. Pada ketika itu dia telah membuat keputusan drastik untuk segera menjernihkan isu tersebut agar tidak menjadi barah yang boleh merosakkan diri. "Saya yang membuat keputusan sendiri. Tidak ada campur tangan keluarga atau mana-mana pihak. Sebelum ini segala-galanya saya akan rujuk pada keluarga terlebih dahulu. "Tapi nampaknya insiden berkenaan benar-benar telah membuka kunci kebebasan buat saya untuk membuat keputusan sendiri tanpa perlu merujuk sesiapa. Ini memang satu fasa baru dalam hidup saya yang tak pernah saya impikan. "Kepercayaan yang diberikan oleh kedua orang tua saya amat dihargai. Inilah saat yang paling manis apabila mereka mempercayai apa juga tindakan yang saya ambil demi masa depan," jelasnya. Mahu segera melupakan kisah kurang manis yang pernah membelenggu dirinya, Anzalna tekad untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa. "Biarlah saya teruskan hidup macam biasa dengan pelbagai kerja yang menanti. "Orang baru macam saya perlu banyak belajar untuk jadi pelakon yang baik. Saya tak mahu dilabelkan sebagai pelakon 'kayu' dan hanya jual muka. "Kadang-kadang memang kata-kata yang dilemparkan oleh peminat tu perit untuk kita telan. Cuba kita lihat kembali diri sendiri, rasanya semua orang akan temui jawapan," katanya mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails