Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kahwin? Mengarutlah - Fouziah Gous

SELEPAS pemergian ayah tercinta pada 11 Ogos baru-baru ini, pelakon cantik Fouziah Gous mengakui fikirannya masih lagi terganggu. Walaupun sudah mengambil cuti panjang daripada sebarang aktiviti seni, menurut Fouziah sehingga kini dia masih sukar untuk memberikan tumpuan ketika berlakon. Ayah Fouziah, Mohd. Gous Ghulam , meninggal di umur 76 akibat sakit tua. "Emosi saya sudah stabil namun perasaan sedih itu masih ada. Sepanjang dua minggu berada di rumah, saya langsung tidak keluar. Malah tahun ini sambutan hari raya juga tidak bermakna buat diri saya dan keluarga," katanya. Sudahpun kembali ke set penggambaran, menurut Fouziah dia kini sibuk memenuhi kembali jadual penggambaran yang tertangguh. Memandangkan cuti mengejutnya banyak mengganggu jadual kerja produksi, dia kini terpaksa berhempas pulas untuk memberi komitmen kerja agak tidak menyusahkan mana-mana pihak. "Saya baru sahaja pulang dari negara Morocco, untuk penggambaran telemovie berjudul Jauh bersama Adi Putra dan Anzalna. "Sementara itu juga saya kembali memenuhi masa dengan jadual penggambaran kini. Bagaimanapun saya bersyukur kerana pihak produksi faham dengan keadaan saya kini, dan mereka banyak bertoleransi," katanya. Menyentuh soal kahwin bagi pelakon drama bersiri Trilogi Cinta ini masih terlalu samar untuk dia merungkai kisah cintanya. Malah dia sendiri terkejut dengan perkhabaran yang mengatakan dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang ahli perniagaan. "Siapa yang pandai-pandai buat cerita saya nak kahwin? Saya masih dalam keadaan bersedih dan langsung tidak fikirkan hal itu lagi. "Buat masa ini saya mahu memberi fokus kepada kerjaya saya dahulu. Sememangnya saya sendiri hairan bagaimana berita ini boleh tersebar," katanya. Terus bercerita mengenai drama bersiri lakonan terbarunya berjudul Dendam Sarakit yang akan disiar setiap khamis pukul 10 malam di TV3, menurut Fouziah cabaran terbesarnya di dalam drama bersiri ini adalah terpaksa berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang agak lama. "Rasanya hampir sebulan kami di Betong, Thailand, cukup lama untuk membuatkan saya merindui masakan ibu di rumah. "Selain itu juga di dalam menjiwai watak sebagai seorang gadis Siam, saya banyak berbual dengan masyarakat sekeliling," katanya yang lega tidak pernah diganggu kuasa mistik sepanjang penggambaran tersebut.

Lebih popular sebagai pelakon - Leez

BIDANG seni boleh diibaratkan sebagai suatu perjudian bakat. Ada orang yang berbakat dan menceburi sesuatu bidang seni seperti nyanyian tetapi lebih diterima dalam dunia lakonan. Ini kerana, minat dan bakat sahaja belum memadai tetapi penerimaan para peminat adalah faktor penentu kejayaan seseorang artis itu. Bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Leez antara anak seni yang mengharungi pengalaman tersebut. Meskipun amat meminati bidang seni suara dan pernah merakamkan sebuah album berjudul Merah Itu Cinta pada 2009 tetapi sejak kebelakangan ini dia lebih menyerlah sebagai pelakon drama, telemovie dan filem. Menurut pemilik nama sebenar Rosliza Rosli ini, dia bersyukur kerana biarpun album yang dirakam tiga tahun lalukurang menyerlah tetapi namanya terus mekar dalam dunia hiburan tanah air. Cuma kali ini kata Leez, pembabitannya dalam bidang lakonan lebih menyerlah berbanding nyanyian. "Merah Itu Cinta adalah album pertama saya yang mengandungi 10 buah lagu yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Metro News. Saya akui, album itu sambutannya kurang menggalakkan. Mungkin ketika itu, malah sehingga kini pun jualan album penyanyi-penyanyi tempatan agak lembab di mana ramai yang hanya buat album single," katanya. Penyanyi dan pelakon berusia 25 tahun ini berkata, biarpun jualan album itu kurang memberangsangkan dia tetap menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat. Dia tidak mengharapkan populariti lagu-lagu daripada albumnya itu semata-mata sewaktu mengadakan persembahan pentas di merata-rata tempat. Sebaliknya, Leez turut membawakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lain seperti lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi nyanyian Mulan Jamilah pada persembahan yang diadakannya. Kemunculannya tetap mendapat sambutan ramai kerana masih ada peminat yang mengenalinya sebagai bintang AF4 kira-kira lima tahun lalu. Tambah merudumkan aktiviti nyanyian Leez apabila komposer Man Toba yang menjadi pengurusnya selepas AF4 tamat lima tahun lalu meninggal dunia pada 2009. Sejak saat itu, penyanyi bersuara lantang ini terkontang-kanting bergerak sendirian dalam menguruskan kerjayanya seninya. "Sewaktu arwah Abang Man Toba ada dialah yang banyak mencarikan peluang untuk saya mengadakan persembahan di merata-rata tempat. Selain menulis lirik lagu, Man Toba juga adalah pengurus saya. Dia menguruskan saya sepenuh masa selepas saya keluar daripada AF4 iaitu dari 2007 hingga 2009. "Selepas Man Toba meninggal dunia sampai sekarang saya tiada pengurus. Semua aktiviti dalam bidang nyanyian saya uruskan sendiri di mana lama kelamaan nama saya seakan-akan tenggelam begitu sahaja dalam dunia hiburan tempatan," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Pada pertemuan itu, Leez hadir pada majlis pratonton menerusi filem terbaru lakonannya berjudul Sofazr The Movie Jiwa Kacau arahan Isma dan Tauke Jambu terbitan Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 27 September ini. Idam watak mencabar Leez yang mula aktif berlakon sejak kira-kira tiga tahun kebelakangan ini semakin serasi dengan bidang yang diceburinya itu. Malah, dia kini semakin banyak diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah untuk melakonkan pelbagai watak sama ada dalam drama bersiri, telemovie ataupun filem cereka yang semakin menyerlahkan namanya. Anak bongsu daripada tiga beradik ini misalnya, banyak kali mendapat pendedahan dalam drama bersiri dan telemovie lakonannya yang banyak disiarkan di saluran-saluran televisyen Astro sejak kebelakangan ini. Adakalanya dia seperti tidak menang tangan untuk menerima semua tawaran berlakon yang diberikan. "Sekarang ini tawaran berlakon yang saya terima lebih banyak daripada undangan menyanyi berbanding sewaktu selepas saya keluar daripada AF4 dulu. Ini menunjukkan para penerbit, pengarah dan peminat mungkin lebih menerima bakat saya sebagai pelakon berbanding dalam bidang nyanyian setakat ini. "Contohnya, saya baru sahaja habis menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Tiara sebanyak 20 episod selama hampir 45 hari di mana ia akan ditayangkan melalui Astro Prima tidak lama lagi. Walaupun penggambaran agak lama tetapi itu menunjukkan saya ada kerja dan sibuk dengan berlakon sehingga kini," ujarnya. Leez yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, meskipun semakin banyak tawaran berlakon diterimanya tetapi dia berharap akan mendapat watak-watak yang mencabar sama ada dalam drama atau filem. Ini penting katanya bagi menguji kemampuan bakatnya yang sebenar dalam bidang lakonan yang penuh dengan persaingan. Dia yang melakonkan watak bernama Wangi dalam Sofazr The Movie Jiwa Kacau belum berpuas hati dengan lakonannya dalam filem yang turut menampilkan pelakon seperti kumpulan Sofazr, Hamid Gurkha, A.R. Badul, Jepp Sepahtu dan Yassin biarpun dalam filem itu dia melakonkan watak gadis yang bertudung. "Bagi saya melakonkan watak seorang gadis bertudung tidak berapa susah kerana saya dulu pun pernah bertudung. Ini kerana, sebelum menyertai AF4 saya bertudung, malah sewaktu zaman persekolahan saya dulu pun saya bertudung. Jadi, saya tiada banyak masalah untuk menghayati watak Wangi dalam filem itu. "Kalau boleh pada masa depan saya mahu melakonkan watak yang lebih mencabar seperti watak seorang tua atau wanita gila. Ini penting bagi mempelbagaikan lagi watak lakonan saya supaya para penonton tidak jemu dan kerjaya saya dalam bidang ini juga akan terus berkembang pada masa depan," jelasnya penuh harapan. Bekas pelajar Sekolah Menengah Desa Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur ini yakin berasa belum terlambat untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan biarpun ramai peminat yang seolah-olah sudah melupakan namanya sebagai salah seorang bintang AF4 selepas ia berakhir lima tahun lalu. Ujar Leez, dia akur dengan hakikat itu dan sentiasa positif dalam menerokai apa juga bakat seni yang ada dalam dirinya pada masa depan. Cuma katanya, dia akan memberi lebih tumpuan kepada bidang lakonan pada masa ini di samping pada masa sama sukar melupakan bidang nyanyian yang memang diminatinya sejak dari kecil lagi. "Saya sekarang ini lebih menumpukan kepada bidang lakonan tetapi itu tidak bermakna saya hilang minat terhadap nyanyian. Kalau ada rezeki saya mahu merakamkan sebuah album single. "Saya sanggup mengeluarkan duit atau modal sendiri untuk rakaman album itu demi minat dan kepuasan saya dalam bidang nyanyian. Album single itu hanya akan mengandungi sebuah lagu sahaja ," ujarnya lagi.

Reen Rahim Enggan Dekati Lelaki Kaya

PETALING JAYA: Pelakon Reen Rahim enggan menjalinkan hubungan dengan golongan berpengaruh sekiranya berpeluang berbuat demikian hanya kerana status selebriti yang dimilikinya. Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 24, berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencari kesenangan dengan jalan mudah kerana hasratnya adalah untuk serius dalam bidang seni. "Tujuan saya masuk ke dunia lakonan bukan untuk mencari kekasih kaya tetapi saya benar-benar meminati bidang lakonan. "Bagaimanapun setakat ini belum ada lagi mana-mana golongan itu yang cuba mendekati saya," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Reen, dia tidak dapat menolak sekiranya jodohnya telah ditetapkan dengan golongan berstatus tinggi. Dalam pada itu, Reen memberitahu status juara Pilih Kasih yang disandang bukan bererti dia sudah bagus sebagai pelakon sebaliknya masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam selok-belok dunia lakonan. "Ia nampak mudah tetapi secara dasarnya bukan senang untuk menjadi pelakon yang baik. Wajah yang cantik tidak memberi apa-apa nilai sekiranya teknik lakonan tidak dilakukan dengan betul," ujarnya. Reen bagaimanapun memberitahu dia amat bersyukur walaupun baru beberapa bulan bergelar artis, banyak penerbit dan pengarah mula memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak penting dalam karya mereka. "Tiada apa yang menggembirakan saya selain mendapat kepercayaan daripada mereka dan itu adalah sebagai motivasi kepada saya terus mendapat perhatian," katanya. Dalam masa yang sama Reen sentiasa memegang kata-kata ibunya supaya sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain dalam memastikan dia tidak lupa diri apabila bergelar pelakon terkenal kelak. "Saya takut jika mengalami sindrom lupa diri sekiranya saya mula terkenal nanti namun saya bersyukur ibu sentiasa mengingatkan siapa diri saya yang sebenar," katanya. Selain drama Runtun Qalbu yang sedang ditayangkan di TV3, Reen bakal muncul dengan beberapa drama seperti Aku Tak Percaya Cinta, KL Drift The Series dan Balon selain filem Gangster Celup.

Tangan Disangka Lebam Rupanya Retak - Syafie Naswip

Syafie mengalami kecederaan tersebut ketika penggambaran telefilem “Neraka Abah” akibat ditendang kuat oleh seorang pelakon ketika penggambaran berlangsung. Dalam pada itu, Syafie memberitahu pelakon remaja berkenaan masih belum memohon maaf kepadanya berhubung insiden itu dan dia mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan perkara tersebut. Syafie berkata dia akan lebih berhati-hati pada masa akan datang agar kejadian serupa tidak berulang kembali. "Sehingga sekarang dia masih belum meminta maaf tetapi saya tidak kisah kerana tidak mahu membesar-besarkan perkara itu," katanya yang enggan mendedahkan identiti pelakon tersebut. Telefilem arahan Heykal Hanifah itu turut dibintangi Amyza Aznan, Azhan Rani, Zarina Zainoordin (AF2) dan adik Raikal. Ia bakal ditayangkan pada 17 Oktober depan di TV9.

Nabila Huda Tak Serik Kahwin Kerana Mahu Tambah Anak

PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda Suhaimi (Nabila) tidak pernah serik untuk berkahwin lain kerana keinginannya untuk menambah bilangan anak. Bagaimanapun, Nabila, 28, berkata, impian itu terpaksa dipendamkan buat masa ini kerana dia masih belum menemui teman lelaki yang sesuai untuk bergelar calon suami. "Saya sangat mahukan anak. Semakin Keisha (anak perempuan pertamanya) membesar, semakin berkobar-kobar keinginan untuk saya menambah anak. "Masalahnya, saya belum berjumpa dengan calon yang menepati kehendak saya. Saya mahukan lelaki yang matang dan berfikiran terbuka, dapat menerima dan menjaga saya seadanya," katanya kepada mStar Online. Nabila berkata demikian selepas majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya berjudul Julia di Sri Pentas di sini, petang Rabu. Nabila yang berstatus ibu tunggal bercerai dengan Zaidi Zailani, 30, pada Ogos tahun lalu ekoran tiada persefahaman selepas tiga tahun berkahwin. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Keisha Laila yang kini berusia dua tahun setengah. Mengenai teman lelaki, Nabila berkata, keintimannya dengan pelakon Johan As'ari sering disalah ertikan sebagai pasangan kekasih walaupun dia dan pemuda berusia 26 tahun tersebut hanya kawan rapat. "Saya tidak bercinta dengan Johan. Kami hanya kawan baik kerana saya memang selesa untuk rapat dengan lelaki kerana karakter saya yang lasak dan ringkas ini. "Saya banyak membimbing dan beri nasihat kepadanya mengenai kehidupan, imej dan kerjaya. Namun, kami tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang disangka. "Masih banyak yang perlu dia pelajari dalam hidup dan dia sendiri belum bersedia untuk berkahwin. Saya mencari lelaki yang matang dan berkemampuan untuk menanggung saya dan anak," katanya. Beralih kepada kerjaya, Nabila berkata, komitmen dalam drama bersiri Julia arahan Jamal Khan itu menuntut permainan emosi yang mendalam dan berlainan daripada watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini. "Dalam drama ini, watak Julia memerlukan saya bermain dengan emosi yang mendalam tetapi bukanlah ia membabitkan babak menangis yang keterlaluan. "Penghayatan itu melibatkan perasaan dan kesedihan Julia yang dipendamkan dalam hati kerana dugaan hidup yang silih-berganti. "Kami masih lagi menjalani penggambaran sehingga 16 Oktober depan bagi menyiapkan 28 episod. "Walaupun penat tapi pengalaman pada kali ini memberikan kepuasan tersendiri," katanya. Drama nukilan Sofia J Rhyland itu turut dibintangi antaranya Fizo Omar, Izreen Azminda, Azlee Khairi, Fouziah Gous dan Iqram Dinzly. Ia mula ditayangkan sejak 24 September lalu menerusi slot Akasia pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.

Hikmah Bertudung, Masyarkat China Sanjung Shila Amzah

SEPANG: Juara pertandingan Asian Wave 2012, Shila Amzah menjelaskan keputusannya memakai tudung memberi hikmah yang cukup besar apabila dia diterima dengan baik oleh masyarakat China selepas menjadi juara Asian Wave 2012. Shila berkata, dia sangat terharu dengan penerimaan peminat di negara itu ketika menyertai pertandingan tersebut kerana mereka benar-benar menghormati imejnya sebagai wanita Islam. "Ternyata dalam setiap tindakan yang kita lakukan akan ada ganjarannya dan saya melihat hikmah kerjaya dan rezeki saya terbuka luas di negara orang sebagai satu nikmat yang besar. "Malah saya dikenali di China kerana imej bertudung dan ia cukup menggembirakan saya," ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Rabu. Pada Khamis lalu, Shila yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon 80-an, ND Lala dinobatkan sebagai juara program Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai. Shila menyampaikan tiga buah lagu iaitu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying). Kepulangan Shila bersama keluarganya turut disambut oleh peminat dan rakan-rakan media.
Tambah Shila, pihak produksi dan semua peserta yang terlibat juga turut memberikan layanan baik sepanjang berada di negara itu. Katanya kejayaan yang dikecapnya itu adalah satu penantian berbaloi selepas hampir 12 tahun bergelumang sebagai anak seni selain menjadi bukti usahanya selama ini tidak sia-sia. Sementara itu Shila berkata, kejayaan tersebut membutakan dia diberi peluang menjadi penyanyi jemputan untuk konsert bintang negara tersebut iaitu Eric Moo di Beijing pada 17 November depan. Katanya ia satu penghargaan yang amat besar kerana mampu melangkah setapak lagi dalam mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih jauh. "Kejayaan ini bukan bererti saya sudah boleh mendabik dada sebaliknya masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian kerana cabaran yang akan datang lebih hebat selepas ini," jelasnya. Shila memberitahu kemenangan itu juga membolehkan dia berkongsi dana bersama pemenang tempat kedua dan ketiga bernilai RM5 juta yang diperuntukkan oleh Shanghai Media Group (SME). Wang itu bagi menjalankan aktiviti promosi, persembahan pentas dan juga dalam usaha menjadikannya artis terkenal di seluruh Asia.

Tuduhan Bercuti Bersama Hans Isaac Mahu Sabotaj Neelofa

PETALING JAYA: Pelakon Neelofa menganggap dakwaan kononnya dia pergi bercuti bersama aktor dan penerbit Hans Isaac secara rahsia di Koh Samui, Thailand pada hujung minggu lalu sebagai tindakan sabotaj yang bertujuan memburukkan reputasinya. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, tuduhan berdasarkan maklumat tidak benar yang diperoleh itu adalah tidak wajar dipercayai kerana mereka bercuti secara berasingan. “Ini (dakwaan) sebagai tindakan sabotaj pihak tertentu untuk memburukkan reputasi saya. Hakikatnya, saya dan Hans bercuti secara berasingan di dua lokasi berbeza. “Saya pergi ke Phuket, Thailand bersama rakan-rakan pada Ahad dan Isnin, manakala Hans ke Koh Samui bersama kenalan permainan golfnya. Walhal Nazim (Othman) yang turut berada di Phuket pada minggu lalu tidak pula dikaitkan dengan saya? “Saya percaya kontroversi ini timbul kerana secara kebetulan saya dan Hans berada di lokasi percutian yang berhampiran sahaja,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Kapcai di sini, malam Selasa. Neelofa berkata, dia berasa terkilan dengan perkara itu kerana niatnya untuk berehat daripada tekanan kerja pada hujung minggu lalu, sebaliknya menimbulkan kontroversi pada mata umum.
“Penyebaran gambar dan maklumat di blog-blog dan Internet adalah perbuatan khianat yang tidak adil untuk diri saya. Saya terima kontroversi ini dengan tenang dan matang. “Bagi saya, ia adalah resam dalam dunia hiburan namun timbul juga perasaan terkilan kerana hasrat untuk berehat daripada tekanan kerja mengundang isu pula,” jelasnya yang percaya Hans tidak mengambil pusing mengenai kontroversi remeh itu. Neelofa berkata, dia juga berasa kesal dengan tindakannya mengemas kini mesej di akaun Twitter pada tengah hari Ahad lalu mengenai percutiannya yang menimbulkan salah faham dan isu. “Timbul juga kekesalan kerana niat saya mengemas kini mesej pada akaun Twitter pada Ahad lalu adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat mengenai percutian singkat itu. “Saya tidak sangka mesej itu menimbulkan salah faham dan spekulasi yang akhirnya memaksa saya membuat penjelasan umum,” luahnya. Mengenai kerjaya, juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini bakal muncul dengan filem terbaru Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar di samping Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Hairul Azreen. “Dalam filem itu, saya menggalas watak gadis kampung yang bertudung bernama Khadijah. Ia bukanlah watak yang sukar untuk dibawakan tetapi pengalaman berlakon dalam filem ini menarik. “Insya-Allah, selepas ini saya akan sibuk dengan komitmen rakaman program Nona, aktiviti bersama Tune Records di Singapura dan pada pertengahan Oktober saya mungkin akan memulakan penggambaran filem Pilot Cafe,” kongsinya.

Qazem Nor nikah 20 Oktober ini - Qazem Nor

Pelakon Qazem Nor akan menamatkan alam bujang pada 20 Oktober ini. Dia memilih Nor Azuriana Amirudin atau Embun sebagai pasangan hidupnya. Majlis pernikahan dan persandingan diadakan serentak di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Qazem mengenali Embun sejak tiga tahun lalu dan hubungan mereka berjalan lancar tanpa sensasi. Kisah peribadi Qazem juga tidak diperkatakan, malah Qazem juga kurang publisiti berbanding pelakon seangkatannya. Tanpa banyak publisiti, Qazem terus mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit berlakon sebuah demi sebuah telemovie dan drama bersiri. Qazem banyak berlakon watak antagonis dalam drama lakonannya. Mangga Online mengucapkan selamat pengantin baru buat Qazem. Semoga ikatan perkahwinan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Qazem dan Embun datang sendiri menghantar kad undangan cantik berupa passport kepada media. Mereka datang ke pejabat Mangga Online hari ini. Bila datang sendiri, penerima akan rasa lebih senang. Ada sesetengah artis yang mengirim melalui orang tengah sebab jadual terlalu sibuk. Foto-foto ini ialah gambar pre wedding yang mereka rakam bersama Sweet Pictures yang dilantik sebagai jurugambar rasmi pernikahan nanti. Cantik foto-fotonya sebab pasangan ini pun sepadan, bagai pinang dibelah dua, kata orang.

Punya jawapan tersendiri - Diana Amir

APABILA sudah bergelar artis atau pun selebriti, kisah kehidupan peribadi mereka boleh diibaratkan seperti menjadi hak milik peminat. Apa sahaja kisah mengenai mereka pasti akan menjadi buah mulut, tidak kisahlah sama ada ia baik atau pun sebaliknya. Malah segala gerak laku mereka juga pasti akan menjadi tumpuan dan perhatian peminat. Itulah antara yang terpaksa dilalui oleh Diana Amir apabila kisah mengenai pertunangannya bersama seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang dirahsiakan akhirnya diketahui ramai. Mengakui tidak menjangkakan perkara tersebut akan berlaku, bagaimanapun Diana punya jawapan tersendiri kerana merahsiakan hari istimewanya itu. "Niat saya merahsiakan perkara ini sebenarnya adalah untuk menghormati keluarga kedua-dua belah pihak. "Lagipun, saya rasa ini bukan waktu yang sesuai dan masih terlalu awal kepada kami untuk menghebahkan perkara ini. "Lagi pun, dia (tunang) ketika ini sedang sibuk untuk menamatkan pengajian sarjana. Memang saya tak nak ganggu dia dengan perkara sebegini. "Saya mahukan sesuatu yang tenang. Jika lagi kurang pendedahan, lagi bagus. Lagi pun dalam Islam sendiri pun tidak menggalakkan majlis pertunangan itu untuk dihebahkan," katanya. Diana yang kini sibuk dalam rangka promosi filem terbaru lakonannya, Salam Cinta yang diterbitkan oleh Metrowealth meraikan majlis pertunangannya dengan Mohd. Habib Bullah minggu lepas. Tanpa mahu mengulas panjang mengenai majlisnya itu, kata Diana, buat masa ini dia lebih selesa mendiamkan perkara tersebut namun akan memberitahu kepada orang ramai apabila mereka sudah mempunyai tarikh untuk berkahwin nanti. "Saya rasa ramai yang faham mengapa saya tidak menghebahkan perkara ini. Saya hanya baru bertunang. "Apa-apa pun, apabila sudah tiba masanya nanti, saya akan beritahu juga mengenai perkahwinan kami," janjinya. Tawaran terbatas Ketika dia mengambil langkah untuk berhijrah, Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 26, sudah cukup maklum bahawa langkahnya kali ini bukan bersifat sementara dan dia harus istiqamah dalam meneruskan perubahannya itu. Malah dalam masa yang sama, dia juga perlu sedar bahawa segala tawaran yang diberikan kepadanya akan terbatas. "Setelah berubah, banyak perkara yang perlu saya jaga. Dah tak boleh macam sebelum ini. Memang kalau ada tawaran berlakon, saya kena lebih memilih. "Kalau ada perkara yang kita boleh ubah, kita ubah. Biasanya pengarah boleh dibawa berbincang dan memang memahami perkara ini. "Alhamdulillah setakat ini walaupun rezeki daripada lakonan sedikit berkurang namun hadir pula pelbagai tawaran daripada pihak lain. "Buat masa sekarang saya sering kali diundang ke institut pengajian awam mahu pun swasta untuk sama-sama berkongsi pengalaman hidup yang saya alami. "Mungkin juga jurang umur yang tidak jauh bezanya menyebabkan saya selalu menjadi pilihan mereka untuk berkongsi cerita. "Selain itu, saya juga menjadi pengacara rancangan Raudhah di Hatiku (TV9) untuk lintas langsung dari lokasi luar," jelasnya yang mengakui kini hidup dalam suasana yang cukup sederhana. Menjelaskan bidang lakonan bukanlah lapangan yang mampu memberikan jaminan untuk masa mendatang, Diana kini sedang dalam perancangan untuk memulakan perniagaan dalam dunia fesyen. Kata pelakon 3 Temujanji itu, dia kini sedang merancang untuk mengeluarkan koleksi pakaian muslimah yang juga merupakan koleksi miliknya sendiri. "Buat masa sekarang belum mula apa-apa lagi, cuma merancang terlebih dahulu. "Koleksi ini merupakan salah satu cara saya untuk mengajak orang ramai untuk berfesyen secara betul dengan gaya muslimah," tambahnya lagi.

Aidil Zafuan Gagal Dapat Hak Lawatan, Bermalam Bersama Anak

SHAH ALAM: Pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak pada Selasa gagal dalam cubaannya untuk mendapatkan hak lawatan serta bermalam bersama dua anaknya hasil perkahwinan dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohamed Fouzi Mokhtar memutuskan untuk menolak permohonan Mohd Aidil, 24, selepas menerima bantahan awal yang difailkan Rita, 36. Mohamed Fouzi juga mengarahkan Mohd Aidil membayar RM3,000 kepada Rita sebagai kos mahkamah. Pemain bola sepak itu hadir di mahkamah bersama peguamnya, Ahmad Nazib Johari. Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.
Mohd Aidil selaku plaintif memfailkan permohonan hak lawatan serta bermalam pada 20 Jun lepas dan afidavit telah diserahkan kepada Rita, pada 27 Jun lalu. Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, bagaimanapun mengemukakan bantahan melalui peguamnya Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai “locus standi” atau bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan. Ini kerana, Mohd Aidil membuat permohonan menggunakan alamat pemastautin di rumah yang turut diduduki Rita dan anak-anaknya di Damansara dekat sini.
Mohd Zaidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir menjelaskan isu dibangkitkan anak guamnya dalam bantahan itu membabitkan alamat tempat tinggal Mohd Aidil. Beliau berkata ketika memfailkan permohonan hak penjagaan anak, Mohd Aidil menggunakan alamat rumah yang didiami Rita di Damansara sedangkan beliau mengakui sudah meninggalkan rumah itu, sejak Januari lepas. "Beliau (Mohd Aidil) kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau sudah berpindah ke USJ1, Subang Jaya, tetapi tidak pernah pada bila-bila masa memberikan alamat rumahnya di USJ1 dalam dokumen yang digunakan dalam prosiding mahkamah," katanya. Sementara itu, Rita ketika ditemui melahirkan rasa kesyukuran terhadap keputusan mahkamah itu. "Jika beliau maklumkan kepada saya untuk jumpa anak, saya akan benarkan jika saya dan anak ada di rumah," katanya. - BERNAMA

Dulu guru, kini pelakon - Shah Iskandar

SEPANJANG tiga tahun bertapak di bumi Malaysia, pelakon Shah Iskandar Mahfuz kini boleh berbangga apabila namanya semakin dikenali ramai dan mula mendapat perhatian pengarah. Biarpun namanya masih belum gah atau sehebat nama dua rakan senegaranya iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra, namun Shah Iskandar menjadikan kedua-dua pelakon itu sebagai inspirasinya untuk berjaya dalam kerjaya yang diceburi. "Pembabitan saya dalam bidang lakonan serta mengambil langkah berkelana ke Malaysia bukan mahu bersaing dengan dua rakan senegara yang telah berjaya di sini. Saya juga amat menghormati mereka sebagai pelakon yang lebih senior. "Bagaimanapun ia merupakan inisiatif buat saya melebarkan sayap sebagai pelakon. Itu sahaja. Kini saya sangat bersyukur kerana semakin mendapat perhatian ramai serta tawaran berlakon yang semakin banyak. "Malah, keputusan meninggalkan kerjaya sebelum ini sebagai guru merupakan satu tindakan yang tepat," jelasnya ketika majlis pelancaran drama Runtun Qalbu di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Ditanya tentang pembabitan awalnya dalam bidang lakonan, pelakon kacak yang berasal dari Woodlands, Singapura itu memberitahu mula terjebak dengan dunia seni sejak tahun 2006 ketika menuntut dalam bidang perfileman di Politeknik Ngee Ann, Singapura. "Saya telah menyertai sebuah pertandingan realiti Anugerah Skrin Singapura dan muncul pemenang tempat ketiga. Salah seorang juri dalam pertandingan tersebut ialah Datuk Yusuf Haslam dan dia pernah menawarkan saya berlakon selepas berakhirnya pertandingan tersebut, tetapi saya terpaksa tolak kerana masih lagi belajar. "Setelah menamatkan pengajian pada tahun 2007, saya mula berjinak-jinak dengan bidang seni seperti berlakon dan mengacara. Namun, saya lebih banyak mendapat tawaran menjadi pengacara berbanding lakonan," ujarnya. Selain itu menurut Shah, dia juga pernah bergelar seorang pendidik dalam tempoh yang agak singkat apabila bersetuju menjadi seorang guru di Rainbow Centre, iaitu sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit autisme. Bagaimanapun, khidmatnya sebagai guru cuma setahun apabila dia mengambil keputusan menerima pelawaan Yusof Haslam yang kembali menawarkannya berlakon pada tahun 2009. "Keputusan yang saya buat untuk berkelana ke Malaysia dan memulakan karier sebagai pelakon bukan semata-mata mahu mengejar populariti. Sebaliknya, saya memang minat berlakon sejak dari dahulu lagi. "Sepanjang tiga tahun saya berlakon dan mencari rezeki di negara ini, masih banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Apa pun, saya gembira kerana kehadiran saya sekarang sudah diterima ramai," jelasnya teruja. Ujarnya, selain berlakon dia juga pernah mendapat beberapa tawaran menjadi pengacara, tetapi terpaksa menolak kerana mahu lebih memberi fokus kepada dunia lakonan terlebih dahulu. "Ketika di Singapura saya memang banyak terlibat dengan pelbagai program yang memerlukan saya menjadi pengacara kerana ia merupakan salah satu kebolehan yang saya ada. "Cuma buat masa sekarang saya lebih berminat kepada lakonan dan mahu terus berusaha sehingga berjaya," tambahnya.
Terhutang budi Sewaktu awal berkecimpung dalam dunia lakonan di Malaysia tiga tahun yang lalu, nama Shah dikenali apabila dipilih membintangi drama bersiri Gerak Khas. Dalam drama tersebut, pelakon berkenaan membawakan watak seorang inspektor polis bernama Hisyam yang juga merupakan anak kepada Sarjan Misai, watak yang dimainkan oleh pelakon A. Galak. "Sejujurnya saya memang terhutang budi dengan Datuk Yusuf Haslam yang nampak bakat saya dalam lakonan. Malah, beliau merupakan individu yang membuka peluang kepada saya mengembangkan karier di negara ini. "Semasa saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur dahulu, beliau telah menyediakan beberapa kemudahan seperti kereta dan rumah buat saya. Sudah tentu saya tidak akan melupakan jasa beliau yang sudah banyak membantu saya," katanya. Walaupun kariernya sebagai pelakon bermula dengan Skop Production menerusi drama bersiri tersebut, pelakon berkenaan menjelaskan dia tetap diberi kebebasan berlakon dengan syarikat produksi yang lain. "Saya juga selalu berpegang kepada pesanan yang telah diberikan oleh beliau. Antaranya, saya perlu sentiasa merendah diri dan selalu tabahkan hati sekiranya berdepan dengan sesuatu masalah," jelasnya. Selepas tampil dengan beberapa buah drama yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Nora Elena, Atas Nama Cinta dan Tiga Janji, kini Shah Iskandar tampil pula dengan drama terbaharu berjudul Runtun Qalbu. Ditanya mengenai pembabitannya dalam drama berkenaan, Shah memberitahu dia membawakan watak bernama Kelabu, seorang lelaki hilang ingatan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. "Paparan jalan cerita yang cukup menarik antara salah satu sebab saya terima tawaran berlakon dalam drama ini. Memang watak yang saya bawakan ini agak berat, namun tiada masalah besar kerana gandingan bersama pelakon lain seperti Kamal Adli dan Fida Ibrahim memang banyak membantu. "Malah, saya juga berpuas hati dan sangat senang bekerjasama dengan Khalid, biarpun ini merupakan drama kedua arahannya dan masih lagi agak baharu sebagai seorang pengarah," ujarnya. Ditanya sama ada pernah ditawarkan berlakon filem, pelakon berkenaan memberitahu memang ada tawaran tersebut, tetapi terpaksa ditolak kerana mempunyai komitmen lain. "Baru-baru ini ada yang menawarkan saya berlakon filem, cuma bukan rezeki saya kerana ketika itu saya terikat dengan komitmen dalam drama Runtun Qalbu. Namun, keinginan berlakon filem memang ada dan bersedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran yang diterima nanti," jelasnya.

Anne Ngasri & Aliff Aziz berpisah

Dramatis tempatan, Anne Ngasri mengakui bahawa hubungan cinta yang terjalin antaranya dan kekasih, Aliff Aziz sudah pun putus. "Benar, saya dan Aliff Aziz kini sudah putus dan masing-masing membawa haluan masing-masing," katanya seperti dipetik dari sebuah portal hiburan tempatan. Walaubagaimanapun Anne enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan mereka, sebaliknya menganggap kegagalan cinta kali ini adalah kerana tiada jodoh di antara mereka. "Biarlah rahsia dan ia akan menjadi rahsia antara kami berdua sahaja," jawabnya ringkas. Terdahulu, sisipan akhbar Bpop telah melaporkan bahawa ibu tunggal kepada tiga orang anak ini telah mengesahkan hubungannya dengan penyanyi kelahiran Singapura yang terkenal dengan lagu "Sayang Sayang" sudah putus dan menjelaskan keputusan yang dibuat bukanlah atas paksaan keluarga. Anne dan Aliff sentiasa menjadi perhatian media dan para peminat selepas menjalinkan hubungan sejak awal tahun lalu.

Alyah kian pulih dari kecederaan ditimpa lampu

Penyanyi Alyah yang mengalami kemalangan ketika menghadiri rumah terbuka Hot FM pada 14 September yang lalu selepas ditimpa lampu 'spotlight', kini sudah pulih sebanyak 50 peratus. Dipetik daripada sebuah portal hiburan tempatan, menurut pengurus peribadi Alyah, Shuib, dia yang sedang dirawat di Hospital KPJ Damansara, sudah pun berada di dalam keadaan yang stabil. "Alhamdulillah, Alyah berada dalam keadaan yang stabil dan tiada apa yang serius. Cuma dia perlukan rawatan selanjutnya untuk tisu otot di bahagian belakangnya yang ditimpa lampu. "Malah, doktor telah memberitahu bahawa Alyah sudah pulih sebanyak 50 peratus. Namun masih memerlukan beberapa rawatan di hospital termasuk dua kali fisioterapi," kata Shuib. Dalam pada itu, Shuib yang ditanya lebih terperinci mengenai keadaan Alyah enggan memberikan maklumat lanjut kerana tidak dibenarkan berbuat demikian selepas membuat perjanjian dengan pihak Media Prima.

Shaheizy Sam rancang tamat zaman bujang 2014

Pasti ramai yang perasan apabila melihat poster yang dipacakkan di kebanyakkan panggung wayang tidak lagi dipenuhi dengan wajah pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam. Memang sengaja mahu berehat di dalam bidang lakonan, Shaheizy Sam menyatakan niatnya untuk menamatkan zaman bujang pada tahun 2014 jika dipertemukan jodoh. "Saya memang sengaja mengambil cuti untuk berehat seketika. Takut peminat bosan pula jika acapkali melihat muka saya di layar perak." Dipetik dari laporan Sinar Harian, Shaheizy memberitahu dia mensasarkan bakal menamatkan zaman bujang untuk tempoh dua tahun lagi iaitu sekitar tahun 2014. Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 30, hanya tersenyum memberi 1001 persoalan ketika ditanya sama ada dia sudah mempunyai kekasih hati. Dalam perkembangan lain, Shaheizy Sam kini sudah memiliki syarikat produksi sendiri iaitu Cats and Kids Entertainment dan bukan dikongsi bersama kakaknya. "Ini merupakan syarikat produksi saya sendiri dan bukan dikongsi bersama kakak saya, Zizie yang turut mempunyai syarikat produksinya sendiri, 2121 Vision Pictures.

Teraju karier Scha - Awal

PERNIKAHAN dua merpati sejoli ini pada 4 Mei lalu merupakan antara yang dinantikan peminat. Ramai yang mengatakan gandingan mereka berdua sangat sepadan, bagai pinang dibelah dua. Kini setelah hampir empat bulan mereka menempuh kehidupan sebagai suami isteri, Scha dan Awal nyata seronok menjalani kehidupan bersama. Berkesempatan bertemu dengan pasangan ini pada satu majlis yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, sempat juga Hits bertanyakan tentang perjalanan kehidupan dan juga karier mereka. Menurut Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih mesra disapa Awal, jika boleh, dia tidak mahu meninggalkan Scha berseorangan di rumah dalam jangka masa yang lama. "Jika ada penggambaran ataupun rakaman rancangan televisyen, saya akan cepat-cepat pulang ke rumah setelah semuanya selesai. "Saya tahu Scha macam mana dan saya tak nak dia berseorangan dalam jangka masa yang lama. "Kadang-kadang ada juga dia ikut saya pergi ke lokasi penggambaran atau rakaman tetapi tidaklah terlalu kerap," jelas Awal seperti menampakkan lagi sisi manis dan bahagia pasangan itu. Perjalanan karier Setelah agak lama menyepi di dalam bidang lakonan, nampaknya Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya kini mahu tampil dengan watak yang berbeza. Kata Scha, jika sudah terlalu kerap membawakan watak yang sama bakal membuatkan tahap lakonan seseorang pelakon itu tidak ke mana kerana tidak pernah mencuba sesuatu yang baru. "Buat masa sekarang, saya agak memilih dalam setiap karakter yang saya mahu bawakan. "Sebab itu dalam filem Dampak, saya mencuba watak yang tidak banyak bercakap tapi menzahirkan sesuatu situasi tersebut dengan bahasa badan," jelasnya. Membawakan watak Suria, filem Dampak merupakan terbitan Displaymax Sdn. Bhd. yang telah selesai penggambaran Julai lalu. Selain itu, tindakan selektif yang dilakukan oleh Scha juga merupakan salah satu langkah baginya dalam menjaga batasan sebagai seorang isteri. "Bila sudah berkahwin, banyak hati yang perlu dijaga. Kadang-kala ada juga dapat tawaran yang melebihi batasan yang saya tetapkan. "Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara yang bakal membuatkan pihak keluarga saya sendiri, suami dan juga keluarga mentua berasa malu," jelasnya lagi. Selain itu, Scha juga mengakui jika boleh dia tidak mahu berlakon sekali bersama Awal kerana dia sudah cukup masak dengan perangai suaminya itu. "Kalau berlakon dengan watak yang perlu bermain dengan perasaan yang sangat mendalam, rasanya kami memang tidak boleh berlakon bersama. "Lagipun saya dah kenal sangat dengan perangai Awal. Nanti lebih banyak gelak daripada berlakon," katanya sambil tersenyum kecil. Anak Dalam masa yang sama, Scha sempat memberitahu bahawa dia kini masih lagi belum mengandung namun dalam masa yang sama turut menjelaskan bahawa dia dan Awal sememangnya tidak merancang. "Kami memang tidak merancang dalam soal ini. Insya-Allah jika sudah rezeki, tidak ke mana. Cuma kena bersabarlah buat masa ini," kata pelakon drama bersiri dan filem Awan Dania itu lagi. Tidak salah kiranya dikatakan sememangnya ramai menantikan kehadiran cahaya mata pasangan ini malah Scha sendiri mengakui memang ada yang sudah menggambarkan bahawa anak mereka nanti pasti secomel mereka berdua. Sementara itu, bagi Awal, dia kini sudah pun bersama rancangan hiburan Melodi yang disiarkan di TV3 dan perkara itu dianggapnya sebagai satu perkara yang sangat bertuah. "Pada mulanya memang saya hanya menjadi jemputan sahaja di dalam rancangan tersebut tetapi apabila diberi peluang untuk menjadi pengacara tetap, saya sangat bersyukur. "Memang rasa terharu jugalah kerana diberi peluang mengacarakan rancangan tersebut. "Selain itu, saya juga ada berbincang dengan Scha untuk membuat rancangan sendiri. Kiranya dalam rancangan tersebut ada slot untuk bual bicara dan juga permainan. "Tapi apa-apa pun setakat ini ia hanya di peringkat perancangan sahaja," katanya. Malah Awal berkata bahawa dia bakal meneruskan pengacaraan dalam rancangan Awal Lagi untuk musim kedua yang akan disiarkan secara langsung di TV9 tidak lama lagi.

Bertunang,Diana Amir tutup mulut

BEBERAPA hari lepas, pelakon dan pengacara, Diana Amir, telah selamat melangsungkan majlis pertunangan bersama seorang pensyarah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah yang hanya mahu diperkenalkan sebagai Habib. Walaupun telah diketahui umum, pada hakikatnya, Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, tidak mahu menghebohkan tentang majlis pertunangannya itu kepada khalayak. Dia juga tidak bercerita tentang identiti tunang serta perancangan pernikahan mereka kelak. Tidak pasti bagaimana dan siapa yang menghantar e-mel foto pertunangannya kepada sebuah program hiburan tempatan, Diana bagaimana pun reda dengan apa yang telah terjadi. Ikuti bicara Kosmo! bersama Diana mengenai hari bersejarah tersebut. Kosmo!: Apa perkembangan Diana sekarang? DIANA AMIR: Tiada apa-apa yang menarik sangat. Salam Cinta merupakan filem yang terakhir saya dan kini saya banyak terlibat dalam bidang pengacaraan untuk program berunsur Islamik. Mungkin Diana telah sedia maklum tentang kisah pertunangan anda yang telah tersebar di internet. Boleh komen? Sejujurnya, kalau boleh saya tidak mahu menghebohkan tentang pertunangan saya. Cukuplah sekadar kami sekeluarga tahu tentang majlis tersebut. Saya mahu ia berjalan dengan tenang dan apabila tiba waktu ingin bernikah kelak, barulah saya akan mengumumkannya. Ini kerana pada pandangan saya, ia hanya dalam peringkat bertunang. Bagi saya juga, bercinta dan bertunang bukan sesuatu perkara yang perlu dihebohkan. Kita manusia yang hanya mampu merancang, dan yang menentukan kelak ialah Allah SWT. Ada tertulis di dalam blog-blog, yang tunang anda seorang ustaz. Namun, sebenarnya dia seorang pensyarah di UiTM, Kedah. Boleh komen sikit? Memang dia bukannya seorang ustaz. Dia sendiri pelik dan segan orang memanggilnya ustaz. Kasihan juga kepada dia, kerana dia agak terkejut dengan apa yang diperkatakan tentang dirinya. Sebenarnya, berita ini bermula dengan sebuah blog, yang lainnya hanya copy dan paste sahaja tanpa mengetahui kebenaran. Tunang saya bukan seorang ustaz, tetapi hanya seorang pensyarah biasa sahaja. Jadi memang anda tidak mahu komen atau bercerita tentang pertunangan ini? Ya, memang dari awal lagi saya tidak mahu hebohkan. Ramai juga yang bertanya, namun saya tidak mahu banyak komen. Alhamdulillah, ramai yang faham akan keadaan tersebut dan memberi kata-kata positif kepada saya. Anda memang ingin merahsiakan hal pertunangan ini, namun peminat telah mengetahuinya apabila anda diterjah semasa majlis berlangsung, sekali gus membuat rahsia anda diketahui umum. Bagaimana perasaan anda ketika ini? Saya rasa tidak guna untuk mencari siapa yang dedahkan perkara ini kerana ia sudah terjadi. Sebagai manusia, kita memang ada buat salah dan kita harus memaafkan. Harap-harap mereka yang menghantar e-mel foto pertunangan ke program Terjah tersebut akan berubah dan faham situasi sebenar. Namun, saya tetap reda kerana mesti ada hikmah yang lagi besar Allah mahu tunjukkan dari kejadian yang berlaku ini.

Neelofa yang sensasi

PENANGAN populariti yang dikecapi gadis ini di dalam waktu yang cukup singkap memberi impak tersendiri buat kehidupannya. Tidak dinafikan setiap langkah seninya ditemani pelbagai kontroversi hebat yang terus menguji diri. Cukup malas rasanya mahu membongkar setiap deretan cerita sensasi yang pernah menghinggapi gadis manis ini. Yakin dia mampu mengharungi segala dugaan, Noor Neelofa Mohd Noor, 23, tetap akui kuasanya cukup terbatas di dalam menjadi terlalu sempurna. Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, gadis berkulit putih ini mengakui dia juga sebenarnya sedang berusaha agar kariernya terus mekar. Menyentuh soal komitmen sebagai pelakon, pengacara dan duta beberapa produk kini, Neelofa tidak menafikan jadualnya agak padat. Masih meletakkan karier lakonan sebagai keutamaan, Neelofa akui dia sedang berusaha keras mahu membuktikan sesuatu. "Saya akui lakonan saya agak kurang menyerlah. Tapi harus saya tekankan di sini saya masih baru dan saya akan terus belajar," katanya kepada Hits ketika hadir untuk sesi fotografi baru-baru ini. Dalam membuktikan kenyataannya itu Neelofa turut akui dia tidak kisah jika ditawarkan watak-watak antagonis di dalam memberi impak kepada penonton. "Mungkin watak lakonan saya sebelum ini agak terbatas, jadi peminat sukar untuk melihat kemampuan saya. "Pada saya, saya lebih suka untuk membawakan watak yang lebih berani seperti penggoda misalnya, ia lebih mudah diingati penonton," katanya jujur. Menyangkal komitmen terhadap bidang pengacaraan menyebabkan fokusnya di dalam lakonan terjejas, Neelofa percaya dengan umurnya yang masih muda, dia senang memilih untuk bereksperimen. "Tidak salah rasanya untuk mempunyai banyak pilihan dan saya tidak akan tinggalkan mana-mana bidang. "Bagi saya bidang pengacaraan dan lakonan merupakan fokus utama saya kini jadi saya akan tetap berusaha untuk memantapkan diri saya di dalam kedua bidang ini," katanya yang merupakan heroin filem Azura, arahan Aziz M.Osman. Tatkala ada kata-kata kasar yang mengatakan pengacara Nona ini semakin berlagak diva termasuk ditegur oleh penerbit Datuk Yusof Haslam apabila enggan mengikuti promosi filem Saya Amat Mencintaimu (SAM), ada jawapan logik yang mahu diberikan Neelofa mengenai hal tersebut. Ternyata kesibukan dirinya memberi ruang buat cerita tidak benar ini terus menular. "Mungkin jadual saya agak ketat, jadi saya agak sukar untuk menuruti mana-mana permintaan jika dibuat dalam waktu yang amat singkat. Bagaimanapun sebagai pelakon saya akan tetap mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan," jelasnya. Rezeki kontroversi Di kala dirinya tidak putus-putus dikaitkan dengan pelbagai cerita panas Neelofa memberitahu, hal itu tidak pernah menjejaskan rezekinya dalam bidang lakonan. Menurut pelakon utama drama bersiri Kau Yang Terindah ini, lakonan bukan sekadar cabang pekerjaan tetapi ada misi yang mahu dicapainya. "Setakat ini saya masih menerima tawaran namun ada suatu ketika saya terpaksa menolak kerana jadual yang agak ketat. Bagaimanapun setakat ini saya sangat bertuah untuk di beri peluang berada di bawah pengarahan beberapa nama besar yang sekian lama saya idamkan seperti Erma Fatimah dan Osman Ali," katanya. Dengan wajahnya menghiasi setiap papan iklan, program televisyen, drama dan filem Neelofa menegaskan bahawa dia tidak tamak sebaliknya percaya sebagai orang baru dia perlu berusaha keras memahat nama dalam industri ini. "Ini antara langkah yang saya ambil untuk mengukuhkan nama saya. Bagi saya belum masanya untuk saya meletakkan syarat di dalam karier saya," katanya. Tahu tidak selamanya bidang lakonan akan menjadi periuk nasinya, Neelofa kini mempunyai agenda tersendiri di dalam menjamin masa hadapan. Menurut Neelofa, dia kini sedang mengusahakan beberapa perniagaan miliknya sendiri. "Saya tahu tidak selamanya saya akan diperlukan. Jadi kesempatan itu saya ambil untuk masa depan saya, bagaimanapun buat masa ini saya hanya mahu membiarkan ia berjalan secara rahsia dahulu," katanya.

Darling Ngasri Akui Rindu Dunia Lakonan

PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit, Darling Ngasri mengakui rindukan dunia lakonan selepas hampir tiga tahun tidak muncul dalam sebarang drama baru. Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri, 29, berkata, kesibukannya untuk menguruskan syarikat produksinya iaitu Nasreen Production telah membataskan masanya untuk terlibat dalam sebarang projek sebagai pelakon. "Masa saya sangat terhad kerana sibuk dengan tugas sebagai penerbit yang memerlukan saya sentiasa ada untuk menguruskan pelbagai perkara. "Bagaimanapun saya akui rasa rindu untuk kembali berlakon sentiasa ada," katanya kepada mStar Online. Tambah Darling, dia akan kembali berlakon sekiranya mempunyai kelapangan untuk mengubat kerinduannya. Dalam pada itu, Darling memberitahu statusnya sebagai isteri kepada Nur Azlin Rahmat, 39, turut menyumbang kepada faktor tersebut. Kata Darling, selepas bergelar isteri dan ibu dia perlu bijak membahagikan masa dengan baik supaya kehidupannya seimbang. "Kehadiran anak telah mengubah hidup saya sebagai seorang wanita dan banyak mengajar saya untuk menjadi lebih bertanggungjawab," katanya. Darling dan Nur Azlin berkahwin pada tahun 2009 dan telah dkurniakan seorang cahaya mata lelaki, Nur Nashrullah, setahun. Sementara itu, Darling memberitahu, dua drama terbitan syarikatnya iaitu Janji Kita dan Sepai bakal ditayangkan di TV9 dan TV1 selain beberapa projek lagi dalam proses penggambaran.

Diana Amir Rahsia Pertunangan Ikut Syariat Islam

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Diana Amir berkata keputusan merahsiakan majlis pertunangannya baru-baru ini adalah mengikut syariat Islam yang tidak mengesyorkannya untuk ia dihebohkan melainkan jika berkahwin. Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 26, berkata, dia berharap semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap dia dan tunangnya Mohd Habib Bullah A. Rahman iaitu seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah. “Dalam Islam sendiri tidak menggalakkan kita menghebohkan majlis bertunang atau fasa bercinta kerana ia adalah perjanjian awal antara pasangan kekasih. “Lainlah kalau majlis perkahwinan, memang ia perlu dihebahkan untuk mengelakkan fitnah. “Sebenarnya tada jaminan lagi saya pasti akan berkahwin dengan dia (Habib). Atas sebab itu, saya hanya adakan majlis secara tertutup untuk keluarga kedua-dua belah pihak sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin. Difahamkan, Habib yang berusia 20-an itu bertugas di Jabatan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Merbok dan sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana. Mereka yang berkenalan menerusi seorang teman Diana kurang setahun yang lalu melangsungkan pertunangan di kediaman aktres itu di sini, pada baru-baru ini.
Pelakon filem Salam Cinta itu berkata, dia enggan mencanangkan mengenai hubungannya dengan Habib demi menghormati keselesaan tunangnya itu yang tidak biasa dengan selok-belok dunia hiburan. “Saya kasihan kepada dia kerana latar belakang dan profesion dalam bidang pendidikan adalah bertentangan dengan dunia hiburan yang penuh kontroversi ini. “Demi menghormati keselesaan dia dan keluarga, saya tidak mahu kecoh-kecoh mengenai majlis itu atau hubungan kami. “Cukuplah mana yang sudah tahu, saya tidak menafikannya tapi tidak perlu saya hendak bercerita panjang lebar mengenai perkara ini,” luahnya. Diana berkata, dia dan Habib masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai perkahwinan kerana mereka mahu mengukuhkan kewangan dan kerjaya masing-masing terlebih dahulu. “Pada peringkat ini, kami mahu lebih mengenali antara satu sama lain. Belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat, biarlah kami kukuhkan kewangan dahulu,” jelasnya. Mengenai kerjaya, Diana berkata, jadualnya kini terisi dengan komitmen sebagai penceramah motivasi untuk para pelajar di merata sekolah dan mengacarakan majlis-majlis korporat. “Tumpuan sekarang adalah pada komitmen sebagai penceramah motivasi dan pengacara. “Insya-Allah pada awal Oktober depan, saya akan terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem untuk Astro Oasis,” kongsinya.

Lisa Surihani Amalkan 'Diet Dukan' Seperti Kate Middleton

PETALING JAYA: Aktres Lisa Surihani yang mengalami kenaikan berat badan sejak kebelakangan ini berhasrat untuk mengamalkan sistem diet Dukan Diet seperti dipraktikkan kebanyakan wanita Perancis dan isteri kepada Putera William iaitu Kate Middleton. Lisa, 26, berkata, sejak mengalami kenaikan berat badan sebanyak 4 kilogram daripada berat ideal, dia berasa terpanggil untuk mencuba sistem diet yang diasaskan doktor dari Perancis, Pierre Dukan itu yang menekankan kepada pengambilan protein. "Saya sudah selidik dan melakukan pembacaan di Internet dan buku-buku kesihatan. "Sistem diet Dukan ini bukan sahaja popular dan diamalkan di kalangan wanita-wanita Perancis, malah ia turut diamalkan Kate Middleton. "Keberkesanan pelan itu menerusi kaedah pemakanan dan senaman yang sihat dan selamat membuatkan saya mahu mendalami sistem ini dan mencubanya," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Isteri kepada pengarah filem Yusry Abdul Halim ini berkata, perubahan pada fizikalnya tiada kaitan dengan dakwaan kononnya dia sedang berbadan dua.
"Perubahan ini tiada kena-mengena dengan dakwaan kononnya saya sedang mengandung dan mahu merahsiakannya. "Mungkin saya bahagia dengan kehidupan sekarang, sebab itu badan naik sikit. "Kalau saya mengandung pada masa akan datang, saya tidak akan buka cerita dulu melainkan apabila tiba masa yang sesuai untuk berkongsi," ujarnya. Mengenai alam rumah tangga yang dilaluinya sejak 23 Februari lalu, Lisa berkata, dia berasa bahagia dengan perkembangan kehidupannya selepas bergelar isteri. "Mungkin ia kedengaran klise tetapi terus-terang saya katakan, perkara terbaik sejak berkahwin adalah ketika saya pulang ke rumah dan dapat menghabiskan masa bersama Yusry. "Hilang segala kepenatan bekerja di luar apabila kami dapat berbual dan berkongsi pendapat mengenai pelbagai hal. "Sejak awal lagi, kami amalkan perbincangan dalam segenap keputusan yang hendak dibuat dan perkara itu menjadikan kami lebih mengenali antara satu sama lain," katanya.

Ammar sudah banyak kali ajak kahwin - Puteri Saleha

PELAKON yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana dan bakal muncul menerusi Evolusi KL Drift The Series pada 4 Oktober ini nekad mahu meninggalkan dunia lakonan untuk bekerja dalam bidang perhotelan. Dia yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur dan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Kolej Taylor, Kuala Lumpur kini sudah bersiap sedia untuk menerima sebarang jawatan dalam bidang berkaitan. Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, atau lebih dikenali Puteri Sarah berkata, dia sudah menghantar resume kepada beberapa buah hotel bertaraf lima bintang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang diraihnya. Bukan disebabkan merajuk atau kurang menerima tawaran berlakon, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ini menganggap keputusannya untuk bersara daripada bidang lakonan adalah bagi memenuhi impian kedua-dua ibu bapanya. “Malah jika fikir balik, baik juga saya bekerja macam orang biasa (bukan artis), ada jaminan masa depan dan kewangan. Sampai bila saya hendak berlakon dengan meraih pendapatan yang tidak tetap,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Evolusi KL Drift The Series di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Puteri Sarah, memandangkan umurnya sudah mencecah 27 tahun dan akan menghampiri 30 tahun, sudah masanya dia memikirkan masa depan agar mendapat pendapatan yang tetap. Ujar kekasih kepada pelakon Ammar Alfian ini lagi, resume yang dihantarnya itu juga adalah kepada beberapa hotel terkenal di luar negara dan jika mendapat maklum balas positif, dia tidak kisah andai terpaksa berhijrah. “Saya memang hendak bekerja di luar negara sebab itu saya hantar resume ke hotel di sana. Adik-beradik saya juga ada di luar negara jadi apa salahnya saya pula ikut jejak mereka,” jelasnya. Keputusannya untuk berhijrah ke luar negara itu juga turut mendapat sokongan kuat keluarganya dan Ammar sendiri. Bercerita mengenai wataknya dalam Evolusi KL Drift The Series pula, dia berkata, dalam drama bersiri itu dia memegang watak sebagai Tasha seorang gadis lasak dan pemandu kereta drift. “Memang sukar juga sebab saya terpaksa memandu kereta manual, saya sudah lama tidak memandu kereta jenis itu dan terpaksa diajar beberapa kali baru mahir,” ujarnya yang pertama kali bekerjasama dengan syarikat Skop Production. Tambah Puteri Sarah, dia tidak menyangka ditawarkan watak utama dalam drama berkenaan kerana ketika itu dia hanya menemani Ammar yang turut berlakon drama itu untuk perbincangan dengan syarikat berkenaan. “Terkejut saya apabila ditawarkan watak utama padahal saya hanya temankan Ammar ke situ. Lalu, saya tidak fikir panjang terus menerima tawaran tersebut memandangkan saya tidak pernah bekerja di bawah syarikat perfileman Datuk Yusof Haslam,” katanya. Ketika diajukan persoalan jodohnya dengan Ammar pula, Puteri Sarah mengambil masa seketika untuk menyusun kata-katanya. Katanya, dia dan Ammar sudah acap kali berbincang soal perkahwinan tetapi perbualan mereka masih tiada penghujung dan kata putus. “Ammar sudah banyak kali ajak saya kahwin dan kami juga sudah banyak kali berbincang. Susah saya nak cakap bila kami akan berkahwin,” ujarnya yang sudah empat tahun menyulam cinta bersama Ammar. Tambahnya, dia tidak mahu membuat sebarang sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga dan membiarkan ia berlaku secara semula jadi.

Filosofi seni Saleha

MUDAH sahaja merakam foto aktres muda Siti Saleha Mohd. Baharum atau mesra disapa dengan nama Saleha pada sesi fotografi yang diadakan di restoran Rebung, Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini. Manakan tidak, sejak berusia 18 tahun, Saleha telah mula berlakon dan terlibat dalam puluhan iklan komersial. Namun, baru kini bakat gadis berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Inggeris sebelah ibunya itu meraih perhatian khalayak apabila drama bersiri Nora Elena lakonannya bersama aktor tampan Aaron Aziz mencipta fenomena luar biasa pada tahun lalu. Sejak itu, tawaran lakonan datang mencurah-curah tetapi jauh di sudut hati Saleha jika boleh dia enggan lagi membawakan watak wanita baik, bertudung dan teraniaya berulang kali. Katanya, dia mahu cabar dirinya melakukan sesuatu yang berbeza. "Kalau diperhatikan saya sering diberikan watak wanita baik, teringin pula berlakon watak antagonis, orang gila atau yang bertentangan dengan apa yang saya sering lakonkan. Saya tidak mahu penonton bosan lihat saya bawa watak yang saya berulang kali, kerana saya sendiri pun bosan. "Setakat hari ini belum ada lagi watak antagonis yang diberikan atas alasan wajah saya tidak sesuai. "Saya ingin menjadi seorang pelakon versatil yang boleh berlakon bermacam-macam watak, saya tidak mahu orang ingat saya hanya boleh berlakon watak baik sahaja," katanya penuh serius. Saleha yang kini lebih bersifat selektif terhadap tawaran yang diberikan menegaskan, kualiti lakonan merupakan kunci untuk lebih bertahan lama dalam dunia lakonan. "Hayat populariti seseorang pelakon tidak bertahan lama jika tidak memberi lakonan yang berbeza dan berkesan kepada penonton. "Saya ingin terus hidup dalam industri lakonan dan kekal bertahan selama yang mungkin, jadi untuk mengekalkan periuk nasi saya hanya satu, iaitu cabar diri untuk sesuatu yang berbeza," jawab gadis yang berusia 22 tahun itu. Selain menjaga mutu lakonan, kata Saleha dia enggan lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi dan kisah peribadi selepas mengaku bercinta dengan bekas kekasihnya iaitu penjaga gol pasukan bola sepak Sabah, Syed Adney Syed Hussein yang juga adik kepada aktres Sharifah Sofea pada April lalu. "Ketika cerita cinta saya itu keluar, drama Nora Elena sedang hangat ditayangkan, saya pun masih baharu dan belajar untuk tangani segala kontroversi. "Selepas pengalaman tersebut saya kini lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan," luahnya yang mengaku kini tidak terikat dalam sebarang hubungan cinta. Populariti Adik kepada Sam Bunkface itu juga memberitahu hidupnya berubah 360 darjah sejak drama Nora Elena ditayangkan. Semakin popular bermakna semakin kurang privasi diri dan itulah yang dialami oleh Saleha. Tidak merungut dengan perhatian yang diberikan khalayak dan media kepadanya kerana sedar itulah harga yang harus dibayar oleh seorang artis sepertinya, namun, selepas mempunyai pengalaman menerusi kontroversi cinta, Saleha kini lebih bijak untuk terus hidup dalam dunia penuh glamor. "Sebelum drama Nora Elena ditayangkan, saya bebas jalan bersendirian tetapi sekarang harus ditemani rakan, memang terasa perbezaannya. "Orang ramai juga mula menegur saya dan cerita peribadi mula muncul di media, mulanya saya rasa agak kekok tetapi sekarang kena belajar sesuaikan diri serta terima segala cerita yang ditulis mengenai saya. "Sejujurnya, sebelum ini saya tidak kisah untuk muat naik bermacam-macam gambar di akaun Facebook tetapi selepas kontroversi cinta itu, saya berfikir banyak kali untuk letak gambar di Facebook dan laman sosial yang lain.
Ramai rakan di Facebook yang saya tidak kenal, saya buang kerana saya tidak tahu apa yang akan dilakukan mereka pada gambar dan status yang saya tulis. "Bukan itu sahaja, saya lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuk harus bijak memilih kawan. "Dalam dunia glamor, ada jenis kawan yang makan kawan. Bukan tiada rakan artis yang rapat dengan saya, tetapi saya jenis bukan sampai keluar melepak dengan mereka. Saya lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan kolej jika tidak bekerja," ujarnya. Balas anak ketiga daripada empat beradik itu, disebabkan dia dan abangnya, Sam berkecimpung dalam dunia seni keluarganya sangat memahami asam garam dunia seni, sungguhpun begitu bapanya sering menasihatinya supaya menjaga tingkah laku dan nama baik keluarga. "Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami kerja saya dan abang. Jika ada cerita tidak enak yang keluar tentang saya dan abang, bapa saya akan tanya terus kepada kami, lebih penting bagi saya keluarga tahu hal sebenar daripada dihebohkan kepada orang lain. "Segala kisah peribadi atau rahsia, saya tidak pernah cerita pada orang lain selain kawan baik saya sendiri. Saya berjanji dengan bapa untuk menjaga nama baik keluarga dan tidak akan buat sesuatu yang jahat atau gila," ucapnya. Tawaran lakonan yang lumayan, menjadi duta kepada produk Palmolive dan Enchanteur Paris tidak membuatkan Saleha lalai. Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, Saleha masih meneruskan kuliahnya di Kolej Inti, Subang Jaya dalam bidang komunikasi. "Memang saya sibuk belajar dan bekerja, jadi kena pandai membahagikan masa. Saya tidak kisah jika ada kelas pada waktu pagi dan harus berada di lokasi penggambaran pada tengah hari, bukan masalah untuk saya kerana mempunyai pengurus yang akan mengaturkan jadual harian. "Saya suka jika saya sibuk kerana itu tandanya saya mempunyai masa yang produktif. Pelajaran tetap diutamakan, jika saya sudah tidak berlakon pada masa depan, saya mempunyai kelulusan untuk menceburi bidang yang lain pula," beritahunya.

Kucing buat Kila menangis

LEBIH setahun lalu namanya mendadak popular. Ketika itu, produk yang sepatutnya menjadi sandaran anak gadis penyanyi Rohana Jalil itu masih samar-samar. Seketika kemudian, barulah filem Karak muncul dengan persembahan sulung Kilafairy di layar perak. Filem Hoore! Hoore! yang menyusul Mei lalu juga menambahkan keyakinan ramai bahawa pucuk muda yang terkenal dengan bibir seksinya itu layak diberi lebih banyak peluang untuk menonjolkan bakat. Buktinya, buat kali pertama setelah memasuki tahun ketiga dalam industri, pemilik butik pakaian Rack yang lebih mesra dikenali sebagai Kila ini diberi ruang membawa watak utama sebuah drama bersiri. “Saiful Nita merupakan drama terbesar yang pernah saya jayakan. Inilah kali pertama saya bawa watak heroin iaitu Nita,” tutur Kila. Tambah anak pasangan penyanyi dan pegawai polis itu, walaupun Nita yang merupakan anak orang kaya itu memiliki perwatakan manja dan suka berpoya-poya, baginya watak itu cukup mencabar dan menguji kemampuan dirinya. “Masa mula-mula dapat skrip, saya terus teruja. Walaupun saya membesar di ibu kota, watak anak orang kaya sangat berbeza dengan diri saya. “Pada mulanya watak Nita agak biasa, tapi penonton akan melihat Kila sebagai Nita yang agak kompleks apabila memasuki episod ke-18. “Terus-terang saya katakan, saya banyak belajar daripada YouTube dan internet untuk mendekati ilmu lakonan. “Nasihat daripada pelakon senior seperti Datuk Jalaludin Hassan, Arash Mohd., Fauzi Nawawi dan Hamidah Wahab sangat membantu,” ujar Kila yang turut menyimpan episod menyedihkan sepanjang lebih dua bulan menjayakan Saiful Nita. “Mungkin sebab terlalu lama berada di lokasi, kucing kesayangan saya hilang. Rasanya kena curi. “Disebabkan itu, semua babak sedih yang pada mulanya payah untuk saya jayakan jadi mudah. Saya automatik bertukar sedih apabila teringatkan kucing yang hilang itu,” tambahnya. Berlakon di sisi pendatang baharu, Aidil Aiziz sebagai tunangnya serta aktor senior Fauzi Nawawi sebagai kekasihnya, akui Kila, dia beruntung kerana kedua-dua pelakon itu banyak menyokong untuk sama-sama memberi emosi. “Satu hal lagi, babak yang paling susah untuk saya ialah adegan mabuk. Banyak juga rujuk sana sini untuk realisasikan aksi mabuk macam cara bercakap dan berjalan. Saya juga kena jadi gila dan tertekan, tertekan sangat rasanya,” cerita Kila yang semakin diburu penerbit. Sedang mengidam untuk melancarkan single pertamanya yang sudah lama terperap, Kila tidak mahu mengambil tawaran berlakon sebaik sahaja Saiful Nita selesai di lokasi. Dia juga mahu komitmennya ditumpukan kepada operasi butik milik keluarganya di Subang Jaya, Selangor. Berbalik kepada Saiful Nita, drama arahan Amy Maziah itu mengisahkan percintaan tiga segi antara Nita, Saiful dan Effendi. Ia mula disiarkan 4 September lalu menerusi slot Samarinda di TV3.

Ayu anggap sengketa dengan Rita selesai

PELAKON jelita, Ayu Raudhah Che Wan, 28, menganggap kontroversi dengan birasnya, pelakon Rita Rudaini sudah selesai memandangkan Rita tidak mahu berjumpa dengannya. Kata Ayu, dia berharap selepas ini tiada lagi timbul isu baharu yang boleh mengeruhkan keadaan berkaitan dirinya dan Rita. “Saya anggap apabila dia (Rita) tidak mahu jumpa saya untuk berbincang, isu ini selesai, lagipun dia cakap tulisannya di Twitter tiada kaitan dengan saya,” ujarnya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ayu beranggapan isu yang berlaku antara dia dengan Rita adalah dugaan dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pihak ketiga yang sengaja melaga-lagakan mereka di laman sosial itu. Baru-baru ini nama Ayu dikaitkan apabila berlaku ‘perang Twitter’ antara suaminya yang juga bintang bola sepak, Zaquan Adha yang membalas Twitter Rita. Twitter itu yang berbunyi: “Baru rasakan bagaimana perasaan terganggu tengah pregnant (hamil). Macam itulah orang itu rasa masa pregnant apa yang kau buat dahulu. Allah itu Maha Adil.” Tulisan itu menjadi hangat apabila Zaquan membalas melalui akaun Twitter yang mengatakan ada orang sedang meroyan. Sebelum ini, Sensasi Bintang pernah menyiarkan bahawa Ayu ingin bertemu Rita bagi menjernihkan keadaan dan menjalinkan hubungan baik tetapi Rita menolak usaha berbaik-baik itu. Tambah Ayu, selepas ini dia berharap tiada lagi kata-kata yang menyalahkan dia dan suaminya berhubung isu yang berbangkit pada masa hadapan. “Saya hormati pendiriannya untuk tenang bersama anak-anaknya begitu juga saya, harap tiada apa-apa berkait lagi” ujarnya yang sedang hamil tiga bulan.

Debaran Nora Danish

JIKA badai jadi penentu kepada termometer ketahanan mental dan akal seseorang, jarum termometer penunjuk badai buat Nora Danish antara yang sentiasa turun naik pergerakannya. Si kecil molek ini antara yang terkena badai malah kisahnya sentiasa menjadi tontonan ramai. Daripada bergelar anak dara hinggalah bertukar kepada janda, dia seakan tidak kalis pertanyaan. Namun badai pasti berlalu. Wanita berusia 30 tahun itu kini menjadi pemanis bibir khalayak dengan pujian terhadap peningkatan lakonannya. Satu demi satu naskhah yang direalisasikan mendapat pujian yang bukan sedikit. Tonton lakonan sendiri Buat Nora, dia sentiasa menjalani pembaikan diri dengan menonton setiap produk yang dilaksanakan. Di samping itu dia mencari variasi agar tidak menadahkan para penonton dengan pembawaan karakter yang sama. "Mungkin ada pelakon yang tidak menonton lakonannya sendiri tetapi saya berbeza. Saya akan menonton kembali dan melihat untuk belajar memperbaiki teknik lakonan sendiri. Saya perlu tengok untuk jadi lebih baik," petahnya yang mengambil cuti berlakon sejak bulan puasa hingga minggu ini. Begitu juga untuk sebuah pencapaian diri yang mapan, aktres yang awalnya digilap melalui drama Puteri ini mahu sentiasa mencari watak yang lebih mencabar. Memang itulah keinginan dirinya dan pelakon untuk meratah sebuah karakter baharu dan dilontarkan kepada peminat agar terlihat perbezaan. "Alhamdulillah selepas drama Tentang Dhia, saya diberikan watak yang berbeza dan berat. Asalnya memang dari dahulu saya mahukan sebegini tetapi sering diberikan watak komedi," katanya. Jujurnya, Nora berasa tertekan dengan karakter yang berat malah terbawa-bawa ke rumah dan sekelilingnya. Namun itu yang dicarinya atas nama pelakon dan penawar untuk tekanan itu, dia bercuti bersama famili dengan membawa karakter dirinya sendiri.
"Usai membawakan watak wanita didera dan menangis, minggu ini saya akan masuk set filem Legenda Budak Hostel. Sebuah filem arahan Bob dan lakonan bersama pelakon-pelakon komedi seperti Along dah Angah," katanya yang tidak mahu penonton bosan jika dia terusan membawa karakter yang tiada ragam bahasa. Harap ada stylist Larut bercerita dalam nafas seorang aktres, Nora menambah sebuah harapan agar ada perubahan dalam industri lakonan. Bukan besar namun perubahan yang kecil itu mampu membuahkan sebuah impak yang ketara. "Saya mengharapkan agar ada stylist dalam sebuah produksi. Ini untuk membentuk sebuah karakter itu lebih semula jadi. Di sini semuanya kena sediakan sendiri. Memang ada tetapi wardrobe yang sama sekali lain dengan stylist. Kalau saya jadi watak Senah, saya mahu stail Senah dan bukan Senah dalam stail Nora," buah harapnya berbunyi selain mengharapkan skrip sentiasa datang awal ke tangannya. Di sebalik harapan yang satu itu, debaran dan harap juga hinggap pada filem Aku Terima Nikahnya yang bakal dipertontonkan mulai 11 Oktober ini di pawagam. Rentetan kemesraan dan ketulenan watak dalam Tentang Dhia, filem terbitan MIG ini akan mempamerkan sekali lagi kemesraan Nora dan aktor Adi Putra sebagai suami isteri. Berdebar, ujar Nora kerana dia tahu para peminat meletak harapan tinggi untuk filem tersebut. "Saya tahu para peminat meletakkan harapan yang menggunung terhadap Lisa dan Johan dalam Aku Terima Nikahnya. Sebuah filem yang santai namun sarat dengan mesej perhubungan antara suami dan isteri. Harapan saya agar kelak janganlah para penonton terbawa-bawa hingga ke luar filem," jawabnya yang mengaku malu-malu membawa sikap romantis dalam diri Lisa. "Penonton harus faham bahawa kadangkala kamera juga pandai temberang. Ada visual menampakkan kami banyak bersentuhan. Ini adalah sebuah filem tentang hubungan suami isteri. Sebenarnya tidaklah begitu intim," ketawanya yang berterima kasih kepada Adi kerana banyak membantunya. Filem ini juga ulas Nora ialah sebuah karya yang mendapat banyak sentuhan wanita. Suntikan wanita itu bukan sahaja pada pengarahnya, Eyra Rahman tetapi juga pada pembantu pengarah dan kru.
"Cerita ini sesuai untuk tontonan mereka yang bercinta juga pasangan suami isteri. Pasti akan membuai-buai perasaan," ulasnya. Pernah terkena tempias gosip dengan sang aktor gara-gara lakonan bersama, kali ini untuk sebuah respons terhadap kolaborasi layar lebar, Nora mengaku bersedia. Sedia dikritik "Daripada segi fizikal dan mental, saya bersedia. Saya faham penerimaan penonton berbeza-beza dan cara mereka lihat filem itu kelak nanti berbeza. Seperti yang saya katakan, mereka perlu lihat Johan dan Lisa, bukan saya dan Adi," bunga sedia Nora berbunyi terhadap impak yang mengalir melalui filem romantis ini kelak. Petah katanya semakin matang dan sikap itu tampak jelas dalam pembawaan dirinya. Melalui hari-hari dengan status ibu tunggal, sikap berdikari Nora semakin hari semakin terserlah. Fasa hidupnya adakala santai dan tidak kurang dikasari gelombang dalam jalur bergelar anak seni. Tabah dan mengaku bebas, Nora melakukan ini atas nama kehidupan. "Umur makin meningkat, saya ada anak dan berstatus janda. Di sebalik itu sebenarnya saya berasa lebih kuat dan berdikari. Malah ada peminat meminta nasihat daripada saya. Saya tidak boleh lemah. Kritikan juga saya lihat sebagai sebuah nasihat agar saya terus berdiri," ujarnya dalam nada tegas. Tidak melihat jauh, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini melihat ibunya sebagai mentor dan idola. "Saya melihat ibu saya sebagai mentor. Jiwa dan semangatnya kuat. Ibu besarkan kami di Malaysia sewaktu ayah di Amerika Syarikat. Dia orang Myanmar yang belajar hidup berdikari di tanah Malaysia. Buka restoran dan jaga kami adik-beradik sendirian. Bayangkan kekuatan itu," cerita seorang anak tentang semangat ibunya, Salimah Talib. Memegang erat kata-kata hikmah ibunya sebagai panduan hidup, itu antara yang dijadikan darah daging semangat kuatnya. "Ibu pesan agar sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, perlu sentiasa ingat Yang Maha Esa. Ibu ingatkan saya untuk sentiasa berdoa dan berzikir. Jadikan ia makanan jiwa. Hati kena baik dan juga perlu sentiasa berfikiran positif," patah-patah semangat itu dikongsi. Untuk Nora kini, dia fokus dengan kerjaya dan hidup berdikari. Rayqal yang merupakan pengarang jiwa juga adalah semangat hidupnya. "Anak adalah segalanya untuk saya. Semangat dan keceriaannya kunci untuk hidup saya," akhir ceritanya yang Rayqal yang gemar bergaya seperti ibunya.

Ekoran Twitter Remy akui putus cinta dengan Tiz Tiz akui terganggu

ENGGAN mengesahkan mahupun menafikan, tetapi mengakui dirinya sedikit terganggu. Itu jawapan yang diberikan oleh aktres Tiz Zakiah ketika diminta memberikan komen tentang kebenaran dia dan kekasihnya, aktor Remy Ishak kini telah putus cinta. Ia ekoran selepas Remy sendiri mengakui telah mengakhiri hubungan cinta itu di akaun Twitter miliknya pada 20 September lalu (kelmarin). Remy telah menulis di akuan Twitter miliknya: "The relationship was gone a long time ago, i haven't been involved with anything and everything. "The best way to end the relationship is to burn the bridge. Glad i did it. No turning back." Tiz yang dihubungi Kosmo! semalam menegaskan dia enggan memanjangkan cerita cinta mahupun memberi komen mengenai kehidupan peribadinya. "Saya tidak mahu komen hal peribadi. Apa yang ditulis Remy di Twitter itu hak dia. Siapa yang baca Twitter dia bacalah, saya tidak mahu komen mengenai tulisannya di Twitter. "Sebenarnya, saya penat disoal soalan yang sama berulang kali. Jika boleh, saya mahu peminat menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya bukannya kisah peribadi," ujarnya. Biarpun begitu, Tiz yang kini sibuk berlakon drama bersiri Cinta Jangan Pergi yang turut menampilkan Remy Ishak mengakui: "Ya, saya mengaku ada terganggu sedikit tetapi saya masih boleh tanganinya dengan baik. "Drama yang lakonan saya ini (Cinta Jangan Pergi) turut menampilkan Remy tetapi setakat hari ini kami belum ada sebarang babak bersama. Walau apa pun yang terjadi, apabila tiba bab kerja, saya dan Remy akan bersikap profesional," ujar aktres yang popular dengan filem dan drama Nur Kasih itu. Tiz dalam pada itu menafikan hubungan cintanya diganggu orang ketiga. "Mengarutlah, tiada orang ketiga (antara kami)," tegas Tiz. - HARYATI KARIM

Cinta Yuna kecundang

HATI wanitanya ini sangat rapuh untuk berbicara lanjut mengenai kisah cinta yang sudah pun bernoktah bersama kekasih, Qushairi Mohammed Razali yang dikenali sebagai Qi baru-baru ini. Tambahan pula banyak fakta tak betul tersebar tentang hubungan cintanya yang putus itu. Ada yang kata penyanyi membesar di Subang Jaya, Selangor ini putus sebab kehadiran orang ketiga dan retak menanti belah selepas Yuna,25, menukar gambar profil di laman sosial Twitter apabila selama ini gambar mereka berdua di situ. "Sebenarnya, kami beri ruang sementara dalam hubungan ini. Kami cuba fokus dalam karier masing-masing sebab susah, saya di Amerika Syarikat (AS) dan dia di sini. Apa pun, kami hormat keputusan sebab nak kejar impian masing-masing," katanya jujur. Apa maksud 'beri ruang sementara' mengikut definisi Yuna? Yuna berkata: "Kami dah tak ada komitmen. Saya bebas nak buat apa yang saya nak. Boleh kata macam single but not available." Penyanyi yang mula menulis lagu sejak berusia 19 tahun ini turut mengakui bahawa mereka masih berkawan baik sehingga ke hari ini. "Benda ini macam rumit nak cakap terus terang. Saya hormat Qi sebab dia seorang yang kuat bekerja dan dia pun tahu macam mana cara saya bekerja. Tapi sejak akhir-akhir ini, (hubungan) ada susah sikit. Tanggungjawab saya terlalu banyak. Saya kena kerja kuat. "Mungkin juga sebab jarak terlalu jauh mengundang perkara ini. Kamu semua (wartawan) pun tahu yang kesibukan saya macam mana, sentiasa ada kerja yang kena buat. Jadi, biarlah berehat sekejap dan fokus pada apa yang kami nak. Kami manusia biasa dan tetap berdepan dengan masalah seperti pasangan kekasih lain," ulas Yuna lagi. Adakah keputusan berpisah itu atas kehendak bersama? Penyanyi yang masih dalam mempromosikan album dan siri jelajah di 20 tempat AS berkata: "Ia adalah keputusan bersama."

Cukup-cukuplah tu - Amy Mastura

CUBA juga mencari kelainan dan keistimewaan penyanyi bernama Amy Mastura ini tanpa mahu melihat pada faktor usianya. Ternyata, usaha itu cuma menemui jalan buntu sahaja. Masakan tidak, Amy sejak dari dulu memang terkenal dengan ciri fizikalnya yang sentiasa nampak muda. Walhal, usianya dah pun mencecah 41 tahun. Namun, disebabkan tubuhnya kecil molek, dia beruntung kerana seringkali kelihatan awet muda! Mungkin benarlah kata orang, kalau nak nampak sentiasa muda, kita kenalah selalu tersenyum dan ceria. Itulah petua yang diamalkan oleh Amy selama ini yang ternyata menjadi. Bercakap soal untung, pastinya ramai yang sedar bahawa kewujudan Amy sebagai anak seni bukan sahaja memfokus pada bidang nyanyian dan lakonan semata. Dia juga dikenali sebagai duta produk dan yang terkini bersama rangkaian produk jenama dari Jepun, Kose. Merupakan tahun kedua bersama Kose, Amy dilihat seakan selesa cuma mahu dikenali sebagai duta produk. Lalu timbullah pelbagai persoalan bahawa Amy mungkin sudah tidak lagi berminat untuk menoleh kepada bidang asalnya iaitu bidang nyanyian. Benarkah begitu? Menafikan hal tersebut, kata Amy, tidak sedikit pun di hatinya mahu melupakan terus bidang nyanyian sementelah permulaannya melangkah dalam dunia seni sebagai penyanyi. “Saya sebenarnya tak rancang pun perjalanan seni saya dan saya serahkan semuanya pada rezeki mana yang datang dulu. “Sewaktu saya masuk dalam industri ini dulu pun, cita-cita saya cuma mahu ada satu album. Saya tak fikir pun apa yang saya nak buat selepas itu. “Lakonan juga begitu. Saya akan ambil mana-mana yang datang dulu ikut kesesuaian watak. Biasanya saya dapat watak komedi. Mungkin juga kerana orang melihat saya sesuai dengan watak begitu, " katanya. Bagi membuktikan bahawa dia tidak mahu terus tenggelam dalam dunia seni suara, kata Amy, dia juga bakal lahir dengan single baru berjudul Itu Dulu hasil ciptaan komposer seberang, Panji. “Dua tahun saya ambil masa untuk hasilkan single selepas Happy. Bukan saya sengaja, tapi jujurnya saya memang tak sedar masa berlalu begitu pantas. “Bagi mengubat rindu peminat, insya-Allah, saya akan muncul dengan album kompilasi Itu Dulu diselitkan sebagai lagu baru. “Sebanyak 20 buah lagu akan dimuatkan dalam album kompilasi itu nanti dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat, " kata duta jam tangan Omega dan produk Takasima ini lagi. Nafi eksklusif Amat jarang melihat kelibat Amy di acara-acara besar. Entah kenapa, disebabkan itu, maka timbul pula spekulasi bahawa Amy sengaja mahu menjadikan dirinya eksklusif di mata umum. Bertanyakan mengenai hal ini, tanpa prejudis, Amy tenang mengulas. “Kalau tak nampak saya di mana-mana acara besar, itu sama ada saya tak dijemput atau memang saya sangat sibuk. “Mungkin juga ada beberapa acara yang saya tak dapat nak pergi kerana bertindan dengan acara lain atau mungkin juga saya bersama keluarga. “Tapi saya tolak andaian bahawa ia terjadi kerana saya rasa saya ni eksklusif. Tidak, saya tak rasa saya eksklusif. “Sama juga kalau saya jarang keluar di majalah atau surat khabar. Bukan sebab saya memilih untuk jadi eksklusif. “Tapi sebab saya memang tak ada bahan untuk diceritakan. Kalau boleh, saya lebih suka jika cerita mengenai saya keluar seiring dengan produk yang saya mahu tonjolkan. “Sebenarnya, kalau ada yang kata saya eksklusif, rasanya, ada lagi artis yang lebih eksklusif," katanya bersahaja. Cukuplah dua Perkahwinannya bersama suami tercinta, Alvin Tham Suffian sudah pun mencecah 12 tahun. Hasil perkahwinan, Amy dan Alvin Tham dikurniakan dua orang anak iaitu Adriana, 11, dan Adalia, 7 tahun. Memandangkan anak-anaknya sudah semakin membesar, Amy seperti artis lain yang telah berkeluarga, pastinya tidak dapat lari daripada usikan teman-teman media soal perancangan nak tambah anak. Cuma tergelak, kata Amy, dia percaya kehadiran Ardiana dan Adalia sudah memadai dalam hidupnya bersama suami. “Betul, saya tak ada perancangan nak tambah anak pun. Lelaki ke perempuan ke, saya rasa cukup-cukuplah dua orang ni. “Nak cari masa untuk dua orang anak ini pun kadang-kadang saya mengalami kesulitan, ini kan pula nak tambah lagi bilangan anak. “Tapi, apa pun, saya akan berusaha cari juga masa untuk mereka terutama kalau membabitkan aktiviti di sekolah atau acara-acara istimewa. “Tak apalah, biarlah saya fokus yang dua orang ini sahaja. Tapi kalau ada rezeki saya tak menolak. Alhamdullillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang bersama suami dan anak-anak, " katanya.

Cantik bukan ukuran - Nad Zainal

SPENGALAMAN sepanjang menyaksikan 13 episod drama popular Aku Bukan Bidadari baru-baru ini cukup mengujakan. Drama tersebut yang membariskan ramai muka baru dianggap sebagai sebuah naskah yang boleh dibanggakan ketika ini. Di sebalik kehebatan drama tersebut, tidak dinafikan watak lakonan Nad Zainal atau nama sebenarnya Nadia Zainal Abidin dikatakan menjadi sebab utama mengapa drama tersebut mempunyai pengikut yang cukup ramai. Dengan membawa watak sebagai Inas, seorang gadis yang pada mulanya mempunyai masalah sosial, Nad dilihat berjaya menjiwai watak tersebut dengan baik. Jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon wanita hebat lain, Nad sebenarnya mempunyai kekurangan dari segi saiz badannya yang sedikit kecil. Namun baginya saiz atau ketinggian bukanlah penentu kepada kejayaan seseorang pelakon. “Saya tahu, ramai yang kata saya tidak cukup tinggi jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon seangkatan dengan saya. Tapi bagi saya itu tidak penting, yang penting adalah mutu lakonan kita dalam setiap drama atau filem yang kita lakonkan. “Saya tidak nafikan saiz badan memainkan peranan yang cukup penting bagi menentukan sebarang watak, tetapi kalau kita memiliki saiz badan yang tinggi dan lengkap tetapi tidak memiliki teknik lakonan yang baik, itu semua tidak guna. “Bagi saya yang penting adalah teknik serta cara kita membawa dan melakonkan watak yang diberi demi kepuasan penonton," jelas anak jati Selangor ini. Tambahnya, sekiranya seorang pelakon hebat mempunyai pakej lengkap cantik dan lakonan yang mantap, itu adalah satu bonus yang cukup berharga. “Ramai juga artis serta penyanyi hebat lain yang mempunyai saiz badan yang kecil antaranya, Norkhiriah, Stacy. Namun lakonan serta nyanyian mereka cukup hebat, saya berharap satu hari nanti saya boleh menjadi sehebat mereka. “Bakat yang dianugerahkan serta minat saya yang mendalam dalam bidang ini sudah cukup bagi saya untuk mengharungi kerjaya saya sebagai anak seni," kata Nad Zainal. Dalam pada itu, ditanya mengenai teman hidup, jawab Nad selamba; “ Ya, saya dah ada teman istimewa. Kami berdua dah kenal hampir dua tahun. “Dia sangat ok, dia faham dengan kerjaya saya dan selalu menyokong serta memberi semangat kepada saya. Dia bekerja di belakang tabir, jadi tiada masalah kerana dia memahami tugas saya," jelasnya. Jelasnya lagi, mereka berdua belum memikirkan tentang soal untuk berumah tangga dalam masa terdekat ini. “Kami berdua masih muda, lagipun masing-masing tidak mampu lagi untuk bergelar suami dan isteri. Banyak perkara yang perlu kami lakukan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. “ Harapan saya agar saya mampu menempuh segala sepak terajang dalam industri ini dan bergelar sebagai pelakon versatail suatu hari nanti berjaya," jelasnya. Terus mengorak langkah Bagi pelakon berusia 22 tahun ini, peluang menerajui drama Aku Bukan Bidadari memberi makna dalam kariernya sejak menceburi bidang seni pada tahun 2007. “Sebelum ini saya dah cuba berlakon, namun agak tenggelam-timbul. Masa tu saya sibuk dengan pengajian saya di Aswara," jelas pelakon yang mempunyai diploma dalam bidang teater ini. Walaubagaimanapun Nad berkata, dia agak gementar untuk menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam drama bersiri yang baru sahaja tamat baru-baru ini. “Terus-terang saya katakan, walaupun saya sangat gembira dengan lakonan ini, tetapi sebenarnya saya gementar untuk mendengar reaksi penonton selepas menonton drama tersebut. “Bagaimanapun, saya perlu bersedia menerima segala kritikan membina demi memajukan kerjaya saya. Lagipun tahun ini merupakan tahun paling sibuk bagi saya kerana mendapat banyak peluang berlakon. Nad yang digandingkan dengan pelakon Sharnaz Ahmad memberitahu, dia melalui beberapa cabaran untuk melakonkan wataknya sebagai Inas dalam drama tersebut. “Mencabar dan penat itu yang dapat disampaikan kerana saya terlalu banyak bermain dengan emosi. Namun saya bersyukur kerana dapat melakukannya dengan baik," akui Nad. Tambahnya, dalam banyak-banyak watak, watak yang paling diingini adalah watak biografi, iaitu watak seorang tokoh terkenal sebelum ini. “Watak biografi yang paling saya dambakan adalah primadona filem kita Latifah Omar. Saya cukup suka wataknya. Saya teringin untuk memegang wataknya yang begitu hebat ketika era filem hitam putih pada tahun 1960-an. “Ketika itu, ramai pelakon-pelakon hebat yang dilahirkan, sehingga kini kita masih ingat setiap lakonan yang cukup menjadi oleh seniman serta seniwati di era itu," jelasnya. Saya tidak cabar sesiapa Dalam mana-mana bidang sekalipun, persaingan dan saling mencabar diri selalu sahaja berlaku, apatah lagi dalam bidang seni. Bagi Nad, itu semua adalah satu cubaan yang menguji kekuatan diri sebelum benar-benar berjaya dalam bidang ini. “Kehadiran saya dalam dunia seni ini diharapkan mendapat persaingan yang sihat. “Saya juga berharap mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman dalam industri ini. Saya tidak mencabar sesiapa tetapi saya cabar diri saya sendiri untuk menjadi yang lebih baik," jelasnya. “Saya juga jenis orang yang tidak suka kontroversi kerana ia langsung tidak berfaedah. “Orang luar serta peminat kita juga benci sekiranya kita dikaitkan dengan pelbagai kontroversi. Perkara ini hanya akan merosakkan kerjaya seni kita. Insya -Allah saya akan terus mencuba untuk menghindari perkara ini," katanya. Tambahnya lagi, hubungan baik perlu dijalinkan dengan setiap orang terutamanya dengan wartawan hiburan. “Saya mahu bina hubungan harmoni dengan wartawan. Mereka banyak menolong saya sehingga saya ketahap ini," ujar Nad Zainal.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails