Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mila Sesuai Dengan Lagu Balada


PERTARUHAN sebanyak lapan buah lagu yang dimuatkan dalam album kedua juara Akademi Fantasia 5 (AF5), Nursyarmilla Jirin atau Mila (gambar) berjudul Mila Jirin memberikan sebuah nafas baru buat penyanyi jelita ini.

Empat tahun dalam industri muzik menampakkan kematangan yang cuba ditonjolkan oleh Mila dengan mengetengahkan muzik berentak pop moderate, nuansa rock dan elektronik fusion pada album tersebut.

Menerima sentuhan daripada komposer-komposer hebat seperti Ajai, Aidit Alfian, Richard Kyoto dan Amir, imej muzik yang dibawakan Mila menampakkan sedikit kelainan berbanding album pertamanya, Persis Mutiara.

Pertama kali mendengar album ini, lagu-lagu yang dinyanyikan tidak banyak yang ‘mesra pendengar’.

Mungkin kerana genre muzik sentuhan Aidit Alfian yang dibawakan, seperti lagu Bebas, Malu Malu dan Luahan Hati agak pelik kedengaran, ia terasa sedikit janggal apabila Mila membawakan lagu-lagu tersebut. Lagu-lagu tersebut yang dinyanyi Mila seperti kurang penjiwaan dan vokalnya terasa seperti tidak masuk dengan muzik yang dimainkan.

Bagaimanapun, apabila lagu-lagu tersebut kerap dimainkan, ia mungkin menjadi lagu pilihan buat peminat-peminat Mila.

Dengan usianya yang muda untuk mencuba sesuatu yang baru, tidak salah jika Mila ingin mencuba membawakan muzik yang berbeza.

Diakui, vokal mantap Mila lebih hebat apabila membawakan lagu berkonsep pop dan balada seperti lagu Kata Hati, Siapa Tak Perlu Cinta dan Kasih Yang Terdampar.

Selain itu, dua lagu iaitu Aku Lebih Tahu, La Ober La La La dinyanyikan semula dengan cara yang tersediri.

Secara keseluruhan, anak jati Pulau Pinang ini mengeluarkan album baru ini dengan memberikan santapan segar buat peminat-peminatnya serta pencinta muzik yang baru ingin mengenali penyanyi ini, seiring dengan selera pendengar masa kini.

Album ini diterbitkan oleh MJ Panacea Records Sdn Bhd dengan kerjasama Erama Records Sdn Bhd dengan menggunakan susunan muzik berkonsepkan band.

Izreen Sapu Madu Pada Muka


MINGGUAN mStar kali ini mendedahkan rahsia kecantikan pelakon Izreen Azminda Mohd Aznam (Izreen), 26, yang menggunakan madu dan air gula untuk merawat kulit wajahnya.

Petua yang diperolehi daripada seorang rakannya itu dipercayai mampu mengekalkan awet muda dan menaikkan seri wajah.

Kata Izreen, dia menyapu madu pada muka setiap dua kali seminggu manakala air gula pula disapukan pada muka setiap pagi selepas bangun tidur.

“Saya mempunyai seorang kawan yang kelihatan seperti berusia 30-an tetapi sebenarnya berumur 50-an. Apabila saya bertanya rahsianya, dia menyuruh saya amalkan menyapu madu pada muka selama setengah hingga satu jam dan selepas itu basuh muka dengan air.

“Selain itu, saya selalu menyapu air gula yang dicampur dengan air suam sambil berselawat sebanyak tiga kali. Tunggu sehingga kering dan selepas itu basuh muka dengan air. Orang kata kalau kita nak buat orang suka dengan kita, amalkan petua ini. Insya-Allah, berkesan,” kata pelakon drama Isabella, Gelora Di Hati Sara 2, Nenek Kebaya dan Samson Delaila ini.

Bercerita lebih lanjut tentang petua kecantikan lain yang turut diamalkan oleh Izreen, dia juga menggunakan jamu Mustika Ratu untuk penjagaan dalaman.

Izreen berkata dia mula terdedah dengan jamu sejak bersekolah di tingkatan empat selepas membaca buku kecantikan.

“Saya makan jamu setiap hari sejak zaman remaja dan kesannya sangat bagus. Saya gemar mengamalkan petua tradisional dan kalau mempunyai masa lapang, saya akan membasuh muka dengan air beras,” ujarnya yang turut mengambilkan beberapa jenis vitamin setiap hari untuk memelihara tenaga.

Bagaimanapun, Izreen tetap tidak dapat mengelak daripada berlakunya masalah pada kulit muka pada waktu-waktu tertentu setiap bulan dan terdedah kepada pancaran lampu di set penggambaran.

Bagi mengurangkan berlakunya masalah kulit, gadis yang dibesarkan di Jitra, Kedah ini tidak putus menggunakan produk asas penjagaan kulit muka seperti pencuci muka, penyegar muka, pelembap muka dan krim pelindung cahaya matahari.

Produk-produk kecantikan yang dibelanjakan biasanya tidak melebihi RM500 dan boleh bertahan sehingga empat atau enam bulan.Dalam berhati-hati menggunakan produk kecantikan, dia pernah menjadi mangsa produk.

“Baru-baru ini, saya tersilap menggunakan satu produk dan secara tiba-tiba jerawat tumbuh dengan banyak pada muka seperti terkena demam campak.

“Pada dua tahun lepas, kulit muka saya tiba-tiba menjadi gelap seperti wanita dalam filem lama, Dayang Senandung kerana produk itu tidak sesuai dengan kulit saya,” ceritanya.

Tambahnya lagi: “Bukan sahaja silap guna produk, saya juga pernah tersilap memotong rambut yang pada asalnya mahukan potongan fringe (berjambul) tetapi akhirnya dipotong ala-ala seperti macam topi keledar.

“Sejak daripada itu, saya mula takut memotong rambut mengikut potongan fringe. Untuk menutup kelemahan itu, saya sanggup menyambung rambut palsu.”

Pelakon yang petah bercakap ini juga akui berkunjung ke salun kecantikan untuk melakukan rawatan muka sekali dalam sebulan mengikut kelapangan waktunya.

Tekan tubi

Selain mementingkan penjagaan wajah, Izreen tidak lupa menjaga kesihatan dan kecantikan badannya dengan mengamalkan senaman.

“Saya selalu melakukan senaman tekan tubi sebanyak 10 kali serta melompat sebanyak 100 kali setiap pagi dan sebelum tidur,” ceritanya.

Beralih kepada penampilan, Izreen bukanlah seorang yang terlalu mementingkan jenama dari segi fesyen. Tetapi dalam satu atau dua pakaiannya pasti ada barangan yang berjenama mengikut kemampuannya.

“Saya jenis yang tak kisah tentang jenama tetapi sekali-sekala kalau teringin memakai pakaian berjenama, saya akan keluarkan duit lebih untuk membelinya.

“Kebanyakan pakaian tersebut dibeli di pusat membeli-belah Sungei Wang Plaza dan Bukit Bintang kerana pakaian yang dijual di situ cantik-cantik dan menepati cita rasa saya,” ujarnya yang membela tiga ekor kucing sebagai penemannya di rumah.

Dengan keramahannya, dia yang telah tiga tahun menceburi dunia lakonan akan berbual dengan kucing untuk menghilangkan rasa stres.

Jika stres, Izreen suka menghabiskan masa di rumah dengan relaks, makan, tidur dan menonton televisyen.

Balu Loloq Belum Sedia Berkahwin Lain


KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun penulis lirik prolifik, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis meninggal dunia, balunya, Hariah Yaacob, 39, akui masih belum bersedia atau terfikir untuk berkahwin lain.

Sehingga kini, dia masih mengingati arwah dan pada setiap Jumaat, pasti Hariah dan anak-anaknya akan melawat kubur arwah Loloq di Tanah Perkuburan Bandar Baru Sungai Buloh dan mensedekahkan ayat-ayat suci al-Quran.

Lebih mengharukan, ulang tahun perkahwinan Hariah dan Loloq yang jatuh pada 27 Februari pada setiap tahun akan dikenang bersendirian tanpa ditemani sang suami di sisi.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anak ini setia menyokong setiap sumbangan peninggalan arwah suaminya dalam industri seni muzik tempatan.

Terbaru, Hariah membenarkan syarikat produksi Global Network Entertainment Sdn Bhd, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Badan Kesenian Kementerian Pertahanan dan Istana Budaya untuk menganjurkan Konsert Untukmu Loloq.

Konsert tersebut bakal berlangsung pada 22 hingga 24 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Saya sangat menyokong konsert yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang sudi mengangkat karya arwah Loloq sebagai tanda penghargaan mereka kepada sumbangan penulis lirik sepertinya yang dirasakan pertama kali dilakukan.

“Sebelum ini, pihak penganjur konsert lebih memberikan penghargaan kepada penyanyi,” kata Hariah dalam satu sidang media.

Pengarah konsert, Lokman Ghani memaklumkan Hariah dan anak-anak Loloq mungkin akan terlibat dalam konsert tersebut.

Bagaimanapun, Hariah menafikan perkara tersebut sebaliknya mengakui kemungkinan anak bongsunya bernama Yasha Nur, 10, akan mendeklamasikan sajak berjudul ‘Papa Jangan Kau Pergi’.

“Yasha menulis sendiri sajak ‘Papa Jangan Kau Pergi’ sewaktu berusia 7 tahun iaitu beberapa bulan selepas arwah suami saya meninggal.

“Mungkin dia akan membaca sajak tersebut,” katanya.

Hasil perkahwinan dengan Loloq, Hariah turut dikurniakan anak bernama Krsty Nur, 15, dan Jaevn Nur, 12.

Konsert Untukmu Loloq terbahagi kepada empat segmen iaitu berkisar latar belakang arwah, nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq oleh kumpulan Spider, Ella dan Ramli Sarip, sketsa pendek tentang Loloq dan penampilan khas M.Nasir.

Loloq aktif menulis lirik sejak berusia 20 tahun dan terkenal dengan beberapa nama pena lain seperti Nurbisa.

Selain itu dia juga dikenali sebagai pelakon filem dan drama televisyen seperti Pari-Pari, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa.

Antara lirik lagu ciptaannya adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin.

Harga tiket Untukmu Loloq dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

Ana, Aidit berpisah


ANA RAFFALI berusaha sehabis baik untuk membuktikan trofi Juara Lagu ke-25 yang menjadi miliknya baru-baru ini merupakan satu pengiktrafan yang tidak pernah silap.

Barangkali seperti tajuk single terbarunya, Sehabis Baik, yang kini mula berputar di corong radio, Ana sekali lagi mengejutkan banyak pihak apabila menubuhkan sebuah syarikat pengurusan sendiri, About The A Letter Sdn. Bhd. yang akan menguruskan segala keperluan dan pergerakan kariernya dalam bidang muzik.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku itu kini bukan lagi berada di bawah pengurusan komposer Aidit Alfian yang bertanggungjawab membawanya ke dunia seni.

Pengunduran Ana daripada pengurusan Indah Karya Sdn. Bhd. yang dimiliki Aidit itu berjaya dihidu oleh Sensasi Bintang.

Aidit yang dihubungi bagaimanapun tidak mahu membesar-besarkan isu itu, sebaliknya menyerahkan hak itu kepada kebijaksanaan Ana. Sebagai seorang artis yang bijak mengatur haluan muzik, Ana seharusnya menjadi orang pertama yang mengulas tentang perkembangan dirinya.

Sensasi Bintang: Ada khabar terbaru mengatakan anda tidak lagi bernaung di bawah syarikat Aidit?

ANA RAFFALI: Ya, benar. Perkara itu dilakukan secara baik. Rasanya semua orang tahu saya memiliki sebuah studio fotografi, About The Letter A Studio, ia cuma dikembangkan menjadi sebuah syarikat, About The Letter A Sdn. Bhd. yang akan menguruskan perjalanan karier saya dalam bidang muzik. Sekarang, saya berada bawah pengurusan label sendiri.

Sudah lama merancang untuk bergerak sendiri?

Sebenarnya, sejak bersama Indah Karya, abang Aidit ada memberitahu, sampai masanya nanti saya boleh bergerak sendiri. Setelah tiga tahun bersama, rasanya inilah masa yang paling sesuai. Sudah tiba masanya untuk saya lebih bertanggungjawab terhadap karier dan mencari peluang-peluang lain yang sebelum ini tidak saya terokai.

Sejak bila keluar daripada pengurusan Indah Karya?

Baru-baru ini sahaja, sekitar pertengahan Februari ini. Sebenarnya saya masih ada kerjasama dengan Indah Karya dari segi produksi dan penerbitan muzik. Pengurusan sahaja yang berbeza lagipun pengurusan dan penerbitan muzik suatu perkara yang berlainan. Rasanya tiada masalah dan bagi saya, dari segi penerbitan muzik, pasukan Indah Karya adalah yang terbaik.

Adakah pengunduran anda dari Indah Karya berpunca daripada salah faham sehingga kedua-dua pihak tawar hati untuk terus bekerjasama?

Tidak, kami tidak bergaduh. Sampai hati tuduhan sebegitu dilemparkan kepada saya. Saya dan pasukan Indah Karya masih ada dan akan ada lagi kerjasama dari segi muzik. Bagi saya Aidit Alfian sudah seperti abang, dialah guru terbaik yang mengajar saya tentang industri muzik. Tak mungkin saya akan melupakan orang yang bawa dan ajar macam-macam kepada saya tentang muzik.

Cuma, sekarang saya mahu buktikan segala tunjuk ajarnya itu tidak sia-sia dan akan saya gunakan pengalaman bersama Indah Karya untuk menjadi seorang anak seni yang matang. Ini cara saya membalas budi mereka terhadap saya untuk membuktikan ilmu yang telah diterapkan mereka tidak sia-sia. Macam ibu bapa juga, sampai masanya mereka kena lepaskan anak-anak untuk berdikari dan membentuk masa depan sendiri.

Jadi tidak betul desas-desus mengatakan kalian bergaduh dan anda sudah lupa jasa?

Perkara itu takkan berlaku. Saya bukannya keluar sepenuhnya daripada Indah Karya, saya cuma diberi sedikit kebebasan untuk lebih bertanggungjawab terhadap perjalanan karier saya. Jadi bila ada syarikat sendiri, pihak luar akan nampak saya lebih serius dalam bidang ini. Sampai bila saya mahu bergantung harap kepada abang Aidit, takkan saya sahaja artis naungannya yang harus diberi tumpuan.

Alasan paling kuat Ana untuk bergerak sendiri?

Saya mahu melebarkan porfolio seni saya, mahu berdikari dan bertanggungjawab terhadap karier sendiri.

Tuah Shila tidak bergolek


STATUS Shila Amzah sebagai anak selebriti ND Lala memberinya satu kelebihan namun pencapaiannya dalam bidang seni kini adalah atas usaha sendiri. Shila mewakili negara ke Konsert Asia Star Session pada Festival Voice of Astana sempena berlangsungnya temasya sukan musim dingin, di Kazakhstan pada bulan lalu.

Selama lapan hari dia turut bergandingan dengan Ning Baizura dan Jaclyn Victor untuk merakamkan 10 buah lagu dimuatkan dalam album 3 Suara.

"Awalnya perbincangan itu datang secara spontan sahaja, produser album berkenaan, Kevin Chin memang peminat Ning dan Jaclyn dan berhasrat mahu terbitkan sebuah album gandingan mereka berdua. Cuma dia merasakan ada sesuatu perlu dimasukkan untuk seimbangkan gandingan itu, daripada duo ia menjadi trio tiga generasi.

"Asalnya Kevin hanya lihat satu persembahan saya daripada laman YouTube seperti yang dicadangkan seorang. Dia terus bersetuju," jelas naib juara One In A Million (OAIM) itu ceria.

Sesuatu yang agak unik, kemunculan terbaru Nurshahila Amir Hamzah, 21, itu merupakan gandingan tiga lapangan nyanyian yang berbeza. Jaclyn merupakan ratu balada, Ning diva soul dan R&B manakala Shila puteri pop.

Bicara seorang mualaf - Dahlia ( Daphne )


"NAMA saya kini Dahlia," si cantik Daphne Eleanor Iking membuka bicara. Sebuah ikrar bahawa dirinya kini sudah bergelar Muslim dan memeluk Islam. Dahlia melafazkan dua kalimah syahadah pada tarikh bersejarah, 8 Januari 2011. Tarikh itu juga menyaksikan dia sekali lagi menyarung status isteri.

"Jangan segan untuk terus menggunakan nama Daphne," sambungnya.

Wanita keturunan Kadazan ini sudah lali apabila dirinya menjadi bahan bualan. Kisah rumah tangganya yang terdahulu terbuka luas, umpama buku yang dibuka lembar demi lembar.

Dia mahu menakluk privasi. Mahu menjadikan kehidupan peribadinya tidak terlalu terbuka. Dia seolah-olah mahukan segala ketenangan yang dulu seperti tidak melekat pada dirinya. Kini dia membuka buku baru, bergelar isteri dan rusuk kiri buat lelaki bernama Azmi.

Takdir menjadi mualaf

Mungkin ada yang berfikiran skeptikal, berkahwin dengan seorang Muslim bernama Azmi Abdul Rahman atau mesra disapa Joe membuatkan Daphne terpanggil memeluk Islam. Namun dia punya sebab tersendiri, punya rasa tersentuh dengan kemurniaan Islam dan menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad S.A.W. Ini kisah bagaimana Daphne atau Dahlia akhirnya bergelar mualaf.

"Saya bertukar agama bukan kerana sesiapa. Saya lakukan dengan ketulusan hati, demi diri dan masa depan saya. Alhamdulillah, ia adalah pengalaman yang paling indah," tegasnya yang membikin kejutan kepada penonton Anugerah Sri Angkasa 2010 apabila melafazkan ungkapan 'MasyaAllah' dan 'Assalamualaikum' pada malam tersebut.

"Saya selalu berminat terhadap agama lain. Malah, saya datang daripada keluarga yang gemar membaca. Bahan bacaan ilmiah berbentuk kerohanian menjadi pengisi rak buku di rumah kami.

"Keluarga ibu saya juga merupakan campuran yang unik, datang daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. Ia membuatkan kami sentiasa saling menghormati terhadap kepercayaan agama-agama lain," katanya.

Dia menamakan takdir sebagai titik yang mendekatkan dirinya terhadap Islam, bertemu rakan-rakan mualaf yang gemar bercakap indah tentang agama. Mendalami apa yang diperdengarkan di telinganya, Daphne secara semula jadi mendekati Islam dan sering mengutarakan soalan demi soalan kepada ustaz apabila berhadapan dengan keraguan.

"Kebetulan, pembantu rumah saya juga Muslim dan menunjukkan kepada anak saya cara kehidupan Islam. Langsung saya tidak terganggu dengan caranya. Malah bersikap terbuka terhadap pelajaran yang positif dan membangun," terangnya tentang buah hatinya Isobel yang juga sering membuat dirinya bahagia dan bercahaya.

Ujar Daphne, Isobel yang merangkak ke usia empat tahun merupakan anak yang cukup gembira, sihat walafiat dan cukup pintar.

"Dia terlalu muda untuk memahami semua ini tetapi apabila dia memerhatikan pembantu rumah saya solat dan cuba meniru dengan sejadah mininya, itu adalah momen yang cukup manis," terang ibu berusia 32 tahun ini.

Solat jemaah

"Barang pertama yang saya beli adalah sejadah dan telekung serta sebuah buku bertajuk, How To Solat in English and Malay. Buku yang dibaca oleh kanak-kanak berusia enam tahun bukan? Jujurnya saya tidak terus bersolat tetapi memahami dan mempelajari cara-cara untuk mengambil wuduk dengan tertib seiring doa-doanya," ujar Daphne yang cukup gembira dibelikan buku-buku tentang Islam oleh suaminya. Kini dia membacanya satu persatu, perlahan-lahan memahami dengan hati.

Masuk ke dalam gerbang perkahwinan kedua bersama Joe, ujar Daphne, mereka kini sering melakukan solat berjemaah dan percaya perkara tersebut adalah salah satu kunci untuk memperkuatkan hubungan mereka sebagai famili. "Insya Allah," balasnya.

Pada tarikh 8 Januari juga, Daphne dan Joe menyatukan hati, bicara dan nekad mereka bergelar suami isteri. Hembusan bayu di Penampang, Sabah menjadi saksi jiwa mereka diikat. Berlangsunglah acara pernikahan dan resepsi perkahwinan yang diadakan secara kecil-kecilan dengan disertai jiwa-jiwa terdekat mereka, keluarga dan rakan karib.

Pasangan yang sudah mengenali hati masing-masing selama setahun lebih ini sebenarnya bertemu melalui rakan mereka. Lelaki pilihannya merupakan bekas Pengarah Urusan Redberry Group yang merangkap rakan bisnesnya.

Sebenarnya penulis pernah bertembung dengan 'pasangan' ini beberapa kali dan benar, mengikut pandangan mata sewaktu itu, mereka beraksi sebatas profesional. Mereka tidak memberi gambaran langsung bahawa cinta sedang bertali.

"Joe adalah seorang usahawan. Sangat proaktif dan mahu dirinya tidak menjadi tumpuan khalayak," Daphne mewakli Joe yang dilihat peramah dan senang bergaul dengan sesiapa sahaja.

Bukan hal untuk ditertawa

Nur sedang dilimpahkan dalam hidup Daphne. Kini mempelajari satu persatu, dia juga sedar khalayak sedang memerhati dan memberi respons dengan cara mereka sendiri. Bicara wanita ini amat tegas.

"Memeluk dan masuk agama lain bukanlah satu hal yang boleh ditertawakan. Semestinya bukan aspek yang boleh dibawa main-main. Lebih penting lagi saya mengetahui sepenuh hati dan jiwa raga saya ke mana arah yang saya tuju. Mungkin kerana saya berada dalam lapangan seni, semuanya diperbesarkan 10 kali ganda.

"Tidak guna rasanya saya merangsang sokongan daripada teman-teman atau keluarga sekiranya saya sendiri tidak bersedia. Senang dikatakan begini, Those who matter don't mind. Those who mind, don't matter. Biarlah Allah melembutkan hati mereka," tegasnya.

Menjadikan Islam agama dan anutannya kini, Daphne mengaku semuanya menuntut masa.

"Sebagai permulaan cara-cara sembahyang, saya merujuk kepada nota yang saya tampalkan di dinding. Saya perlu memahami dan melakukannya.

"Alhamdulillah. Saya boleh fokus dengan famili baru dan teruskan dengan kehidupan kini," ujarnya yakin.

Selamat datang buat saudara baru ini.

Tolong terima aku - Anna Raffali


Anna Raffali anggap kontroversi teguhkan jiwa sebagai anak seni

SEANDAINYA jika dia terus memikirkan segala reaksi negatif diterima berikutan kemenangan lagu ciptaannya, Tolong Ingatkan Aku pada Anugerah Juara Lagu Ke-25, bulan lalu, pastinya Ana Raffali tidak akan seteguh hari ini. Pemilik nama berdaftar, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali itu enggan terus melatah kerana akur kemarahan tidak akan memberi apa-apa pulangan kepadanya. Biar dibidik serangan tanpa henti, malah diasak cemuhan mengguris rasa, anak kelahiran Kuala Lumpur pada 4 November 1985 itu enggan lagi menoleh ke belakang.

Cukup sudah dia menghuraikan segala yang terbuku di sudut hatinya dan ketika ini, Ana cuma mahu memandang hari depan.

Penyanyi yang selesa berbaju kurung atau kebaya sambil ditemani gitar ini menyerahkan kepada khalayak sama ada untuk mengambil peduli atau tidak apa yang pernah dijelaskan sebelum ini. Sebagai insan, Ana akur kesabarannya juga mempunyai had. Pinta gadis periang ini kepada khalayak, fikir dulu sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana setiap tindakan pasti mengundang risiko pada kemudian hari.

“Setiap kita mempunyai pandangan dan hak masing-masing tetapi saya kecewa apabila pendapat mereka yang menjadi idola saya dalam kerjaya nyanyian tidak dihargai. Ada yang menafikan hak saya, malah melihat keputusan AJL25 sebagai sesuatu yang tidak adil dan tiada makna. Mengapa mereka enggan menerima semua ini adalah rezeki Tuhan?

“Saya tidak marah atau bengang kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada diri ini. Tidakkah mereka terfikir, apa perasaan mereka jika berada di tempat saya?,” luah Ana tatkala isu kemenangannya di AJL25 terus diperdebatkan khalayak.
Sesekali kata Ana, dia tertanya mengapa dirinya menjadi mangsa serangan mereka yang tidak berpuas hati sedangkan semua itu di luar kawalannya. Namun bila difikirkan kembali, Ana menerima semua itu sebagai realiti yang perlu dilalui untuk meneguhkan jiwanya sebagai anak seni.

“Jika mereka berniat untuk menyakiti hati saya, perbuatan itu cuma mencerminkan peribadi seseorang yang tiada belas dan kasihan.

Mungkin sesetengah individu memerlukan ruang untuk memujuk hati tetapi Alhamdulillah, saya okay. Tolong Ingatkan Aku ditulis untuk mengingatkan saya supaya membuang perasaan marah dan jangan menyimpan dendam.

“Ironinya, mesej lagu itu umpama sumpahan yang berlaku kepada diri saya sendiri apabila kemenangan Tolong Ingatkan Aku di AJL25 berdepan pelbagai dugaan,” katanya.

Kemenangan pertama itu sewajarnya diraikan peminat sebagai pengiktirafan kepada bakat dan kreativiti pencipta baru sepertinya.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila kontroversi itu berlarutan. Bahkan ada yang sengaja mencipta permusuhan sedangkan mereka langsung tidak mengenali peribadinya.

Tetapi Ana tidak menjadikan isu itu sebagai masalah besar. Memandang positif, Ana berkata, mereka yang pernah merasai momen kemuncak dalam karier masing-masing pasti akan berdepan masalah sama.

“Jika ada yang tak suka tak mengapa. Saya percaya dalam segelintir kecil yang membenci, pasti ada sebahagian lain yang senang dan menghargai karya saya. Saya harus tetapkan pendirian. Untuk menjadi hero, kita harus melalui kesukaran dulu kerana ia akan mencipta ruang untuk saya menjadi manusia yang lebih baik,” katanya sarat nada positif.

Kontroversi barangkali membantu melonjakkan karier nyanyian Ana yang sedang mencari-cari momentumnya sendiri.

Tetapi bukan itu yang dicari gadis yang kerap mengukir senyuman ini. Ana mahu peminat melihat kepada karya yang dihasilkan kerana semua itu menuntut masa dan kudrat yang panjang.

Ana bersyukur kerana langkahnya dipercepatkan Tuhan apabila Tolong Ingatkan Aku mendapat pengiktirafan juri, sekali gus meletakkan namanya pada tempat tersendiri di dalam industri.

“Saya bukan seperti yang digembar-gemburkan. Kontroversi bukan cara saya untuk mencipta nama. Saya memilih landasan seni kerana mahu memperjuangkan muzik. Saya hormat semua yang memberi pandangan tetapi saya tidak akan biarkan semangat yang sedang membara ini runtuh kerana kritikan membuta tuli,” katanya.

Dari sudut positif, Ana berbangga kerana AJL25 turut membuka mata peminat untuk melihat dan menilai karya yang dihasilkannya.

Permintaan terhadap album sulungnya, Ketika Aku Kecil juga bertambah malah kolaborasinya bersama penyanyi berpengalaman, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet menerusi Kalau Berpacaran sedang meniti carta.

Menyusul selepas ini, simgle terbarunya, Sehabis Baik yang memaparkan luahan hatinya selepas kejayaannya di AJL25 dipertikai.

Lagu itu akan dimuatkan dalam album runut bunyi filem, Karipap-Karipap Cinta yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Ia memberikan kenangan yang manis, malah jauh daripada jangkaan saya. Selama ini kehadiran Ana Raffali seperti menjadi misteri kepada kebanyakan peminat seni. Namun, kejayaan dalam AJL25 dan populariti Kalau Berpacaran merungkai segala misteri itu serta saling menyokong untuk membawa saya ke tahap lebih baik,” katanya.

Simpan 50 lagu ciptaan sendiri

PERMULAAN 2011 dibuka Ana dengan pelbagai episod yang tidak pernah diduganya. Satu demi satu laluan selesa dibuka Tuhan untuknya, malah paling mengejutkan apabila namanya meraih tiga pencalonan untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Tahun pertama karier nyanyiannya dilancarkan, Ana membolosi pencalonan bagi kategori Artis Baru Wanita Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Duo/Berkumpulan Wanita Popular.

Semua itu kata Ana, di luar jangkaannya memandangkan dia sendiri tertanya-tanya sejauh mana impak yang ditinggalkannya ketika mula menapak dalam arus perdana.

“Berada dalam Top 5, Artis Baru Wanita Popular sebenarnya sudah cukup membuat saya dihargai. Tetapi Tuhan membawa saya lebih jauh apabila mendapat tempat dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan. Terima kasih kepada Berita Harian serta peminat yang sentiasa positif menerima kehadiran saya,” katanya.

Memiliki hampir 50 lagu ciptaannya dalam simpanan, Ana berkata, dia sedang memikirkan kemungkinan untuk menghasilkan lagu kepada penyanyi lain.Pernah ada yang datang bertanya, cuma ketika itu Ana belum yakin memandangkan belum ada sesuatu yang menjadi pengesahan kepada kekuatan bakatnya.

Apa yang diimpikan Ana ketika ini adalah terus bertahan dan memastikan industri muzik tempatan kekal relevan merempuh arus masa.

“Saya ingin sekali melihat bakat tempatan dihargai dan masyarakat sanggup mengeluarkan bajet besar untuk menyaksikan penyanyi kita membuat persembahan. Mentaliti masyarakat perlu berubah, bahkan semangat patriotik perlu ditanam kukuh supaya bakat tempatan tidak diperlekehkan. Jika Indonesia begitu menjaga industri muzik mereka, penggiat seni Korea pula meraih kesenangan hasil jualan karya muzik sendiri perkara yang sama juga harus berlaku di negara kita.

“Memang usaha itu akan melalui perjalanan yang panjang namun kita harus memulakan sesuatu jika ingin melihat industri muzik tempatan berkembang,” katanya.

INFO: Ana Raffali
Nama Lengkap: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
Tarikh Lahir: 4 November 1985
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak kesembilan daripada 11 beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor
Album: Ana Raffali - Ketika Aku Kecil
Pengacaraan: Spektrum U, RTM pada 2004 dan 2005 sebanyak dua musim
Drama: Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur (watak kecil)
Teater: Rekaan Utama dan Kataku Oh Kataku (pementasan ketika menuntut di UiTM.

Solekan: Rose Jr (012-7437620)
Pakaian: Euro Moda Sdn Bhd, No 126 dan 128, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Keletah dan pendiam


Scha nafi rancang bertunang dengan Awal Ashaari, akui mula bincang soal perkahwinan

TIDAK sesuai? Mungkin begitulah tanggapan awal apabila menggandingkan aktres dan pengacara, Scha Al-Yahya, 28, bersama penyanyi, Faizal Tahir, 33, sebagai penghias muka depan akhbar sisipan ini buat kali pertama. Dua figura yang diminati ramai, namun berlainan bidang seni. Latar belakang mereka juga berbeza, hati Scha sedang diulit cinta bersama kekasihnya, Awal Ashaari, manakala Faizal bapa tiga anak. Personaliti juga agak ketara, Scha seorang happy go lucky, Faizal pula agak pendiam.

Namun, apabila kedua-duanya dipertemukan di depan lensa, suasana pada awalnya agak 'dingin', mungkin masing-masing menyimpan perasaan segan dan hormat akan status satu sama lain. Sebaliknya, memasuki minit ke-30, suasana bertukar agak bingit, apabila Scha dan Faizal mula menyakat sikap pendiam masing-masing yang mungkin dibuat-buat itu!

Tidak lama kemudian, terlerailah gelak ketawa apabila sikap 'cover line' masing-masing tidak mampu disembunyikan lagi. Sesi fotografi bertambah lancar apabila kedua-duanya 'memberi' pose yang diingini. Scha dan Faizal semakin serasi, sekali gus jurang yang ketara antara mereka berjaya disatukan atas dasar profesional.

Yang pasti, kedua-duanya sekali lagi menjadi pilihan peminat untuk menduduki carta Top 5 dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang kini memasuki edisi ke-24 pe­­nganjurannya.

Pun begitu, perbualan dengan Scha yang dise­­naraikan sebagai finalis dua kategori - Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular tiba-tiba sedikit serius apabila dia membicarakan hubungannya dengan Awal, juga seorang finalis ABPBH 2010 bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular.
Sejak kebelakangan ini tersebar desas-desus mendakwa Scha dan Awal merancang untuk bertunang dalam masa terdekat ini apabila kedua-duanya dicanang sudah menempah baju hari istimewa itu. Namun, kedua-duanya dikatakan mengunci mulut kerana tidak mahu dihidu media dan peminat.

"Bagi Scha, apa yang tersebar itu sekadar gosip tidak berasas. Scha pun pelik, macam mana orang luar lebih tahu perihal peribadi kami, sedangkan Scha dan Awal sendiri tak tahu menahu.

"Terus-terung kami tak pernah ada tarikh untuk bertunang, jauh sekali dah tempah baju! Tapi, Scha tak nafikan, kami beberapa kali ada berbincang soal kahwin, namun soal bertunang tak pernah timbul.

"Scha mahupun Awal sedang mencari tarikh yang sesuai, tapi masih tak dapat lagi kerana ma­­sing-masing sentiasa terikat dengan jadual kerja yang padat. Selagi tak bertemu 'tarikh keramat' itu segala perancangan nak bertunang atau bernikah, masih samar-samar.

"Kalau nak diikutkan, selagi celik mata, kerja tak pernah habis, namun kami harus memikirkan masa depan, umur pun semakin meningkat. Perkara yang wajib harus dipercepatkan. Justeru, kami ada sasaran.

"Insya-Allah sekiranya dipermudahkan segala urusan, kami merancang untuk menamatkan zaman bujang ini paling awal penghujung 2011 dan paling lewat pun sebelum akhir 2012. Namun, sekiranya jodoh kami datang lebih awal, Alhamdulillah," kata Scha tanpa berselindung.

Tambahnya lagi, dia dapat rasakan, antara dirinya dan Awal memang ada keserasian yang kuat, sekali gus tiada alasan untuk mereka meninggalkan diri masing-masing.

Namun, Scha mendakwa dia tidak mahu berdepan tekanan berhubung tarikh pertunangan atau pernikahan mereka kerana baginya, sekiranya terlalu terkejar-kejar, beliau khuatir apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan kerana soal hidup berumah tangga ini menuntut komitmen yang tinggi.

Watak kasar dalam Libas, Aku Bukan Tomboy

Pada masa sama, Scha sedang menanti kemunculan filem terbarunya, Libas dan Aku Bukan Tomboy apabila sekali lagi memperlihatkan sisi Scha yang kasar dan perwatakan seperti lelaki.

Tidakkah dia khuatir peminatnya akan melabel Scha semakin hilang sifat femininnya?

"Dalam diri Scha ada dua sisi yang berbeza - loud dan pendiam atau sangat serius. Apa yang Scha lakonkan dalam Libas mahupun Aku Bukan Tomboy sekadar menzahirkan kehendak skrip, tapi secara peribadi Scha sangat serius dan bercakap bila perlu saja. Tapi, Scha sedang berusaha untuk menjadi pelakon versatil. Kalau diberi peluang, Scha nak cuba watak yang pernah dijayakan Nasha Aziz dalam Trauma atau jadi pelakon air mata seperti Azean Irdawaty," kata Wajah Eksklusif Astro ini.

Apabila bercakap peluangnya dalam ABPBH 2010, tanpa berselindung Scha mengakui peluang untuk menang amat tipis sekalipun drama Awan Dania 3 masih bersiaran menerusi Astro Ria.

"Selepas 'dianalisis' secara mendalam, Scha berdepan dengan pesaing yang terlalu hebat. Mereka adalah award winner sebelum ini! Namun, Scha bersyukur kerana masih tercalon dalam Top 5, sekurang-kurangnya Scha sedar, Scha masih ada tempat di hati peminat," katanya merendah diri.

NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2 dan Kita Carefree, Prebet Jamilah, Awan Dania 3, Kita Carefree 2, Mimi Mencari Cinta dan Prebet Jamilah 2
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas, Awan Dania The Movie, Aku Bukan Tomboy dan Darah Daging
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
DUTA: Bio Essence

BAGI Faizal yang tercalon menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk penerbitan album terbarunya. Katanya lagi jika sebelum ini dia meng­­hasilkan satu album dalam tempoh dua tahun, namun memasuki 2011, dia sedang berusaha menghasilkan dua album setahun.

Dalam masa sama, dia juga baru selesai pembikinan klip video terba­­runya, Karma yang dipetik daripada album Adrenalin.

Dalam usaha Faizal menghasilkan produk berkualiti dan mempertahankan popularitinya, dia juga pernah 'tersasar' suatu ketika dulu apabila pernah dilabel tidak mesra media dan peminat, sekali gus dicap artis bermasalah kerana cukup sukar memberikan kerjasama.

Tapi, semua itu hanya tinggal ke­­nangan kerana Faizal hari ini sudah semakin pulih dan segar apabila tidak kedengaran lagi komen atau kritikan negatif yang dilemparkan ke atasnya. Dirinya mudah didampingi dan soal komitmen menunjukkan perubahan drastik.

"Saya dah masuk 'sekolah'. Segala teguran dan kritikan yang dilemparkan, membuatkan saya cepat sedar. Bagi saya, jika ditegur, wartawan mengkritik, ia satu perkara positif dalam kerjaya. Apabila ditegur, kita tak boleh merungut, melenting atau melatah tak tentu pasal. Seorang artis patut rasa bersyukur jika dirinya ditegur, ia satu petanda, ada orang ambil berat soal kita yang nak kita jadi lebih baik. Justeru, kita harus merendah diri apabila ditegur.

"Apabila bergelar artis, mereka adalah public figure. Artis perlu menjaga tingkah laku mereka setiap masa. Ingat, di depan wartawan, jangan berpura-pura jadi baik, tapi dalam apa juga keadaan, artis perlu mengawal keperibadian supaya peminat tidak membenci," kata Faizal.

Tambahnya lagi, kebanyakan mereka yang bergelar artis hari ini sebenarnya belum benar-benar bersedia apabila beranggapan kerjaya artis perkara mudah, tapi sebaliknya ia sesuatu yang sukar apabila menuntut banyak pengorbanan.

"Bagi saya, kalau seseorang artis belum bersedia untuk berkorban masa, tenaga, hanya tahu nak glamor saja, tak perlulah jadi artis! Setiap kali bertemu peminat dan bekerjasama dengan media, mereka suka dengan out-put yang kita berikan, bagi saya itu satu kejayaan.

"Moralnya, nak jadi artis, glamor, orang suka kita, jangan jadikan faktor itu sebagai lesen untuk kita berbuat sesuka hati. Lagi besar nama kita dalam industri, lagi besar pengorbanannya dan kita perlu lagi tunduk merendah diri. Ada artis lagi hebat daripada kita di luar sana," terangnya. Faizal menambah, dia merendah diri dengan 'come back' Anuar Zain dalam saingan ABPBH 2010. Baginya, Anuar sudah lama menyepi, tiba-tiba dia muncul semula menyertai 'liga', sekali gus memberi petanda, pengaruh penyanyi kacak itu begitu kuat dan hebat dalam industri.

"Calon Top 5 lain termasuk saya sendiri lahir daripada program realiti, justeru, saya memang teruja apabila Anuar kembali memberi saingan. Semua calon ada kelebihan tersendiri dan update yang terkini. Jadi, masing-masing punyai peluang sama cerah untuk menang.

"Namun, saya tak nafikan, pembabitan Top 5 dalam siri jelajah ABPBH 2010 memberi impak yang cukup besar. Ia adalah satu platform untuk artis mendekati peminat secara langsung biar mereka rasa dihargai seperti mana artis ingin dihargai," kata Faizal yang bakal muncul di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang petang ini dalam siri jelajah ABPBH 2010 diikuti Village Mall, Sungai Petani (12 Mac) dan Klang Parade (27 Mac).

Acara kemuncak ABPBH 2010 akan bersiaran secara langsung menerusi TV3 dan HotFM pada 3 April ini dari Arena of Stars, Genting Highlands. Holiday Villa Hotel & Suites Subang adalah hotel rasmi ABPBH 2010 yang menaja lokasi sidang media dan penyampaian hadiah.

NAMA PENUH: Ahmad Faizal Mohd Tahir
TARIKH LAHIR: 26 Oktober 1978
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
ALBUM: Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin
ANTARA PENCAPAIAN: Naib juara One In A Million (OIAM) musim pertama (2006); Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008; Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15), tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) dan Persembahan Terbaik pada AJL25
PENGALAMAN SENI: Pengacara Gangstarz musim pertama (2007) dan pernah menganggotai kumpulan Mirwana
ISTERI: Siti Raihanim Noran
ANAK: Ahmad Mikaeel Zidane, 6; Siti Raudhah Nur Iman, 5, dan Ahmad Rifa'ie Zidane, 2.

Ada ``hantu'' mahu takutkan saya... - Ellie Suriaty


PELAKON Ellie Suriaty menyatakan rasa kecewa apabila langkah awalnya untuk bergelar penulis lakon layar dan skrip filem sulungnya bergenre seram klasik, Penanggal disabotaj. Lebih buruk lagi, individu yang ‘kejam’ itu ialah seseorang yang cukup berpengaruh dalam industri perfileman tanah air.

Perbuatan tersebut dipercayai angkara penerbit dan pengarah filem serta drama tanah air yang cukup sensasi dengan kisah-kisah kontroversi menerusi hasil kerjanya. Lelaki yang berasal dari negeri utara itu dikatakan berniat jahat untuk menjejaskan kredibilitinya, dengan cubaan mempengaruhi pihak pembiaya lain agar tidak terlibat dalam projek filem pertamanya itu.

‘‘Saya cukup terasa dengan perbuatan keji dia dengan memburukkan niat dan naskah yang dihasilkan sejak tiga tahun lalu. Rupa-rupanya dia adalah ‘hantu besar’ di luar sana.

‘‘Tindakan tidak berhemah itu secara tidak langsung telah menjejaskan maruah saya di mata pembiaya filem yang sudi membiayai filem saya itu,” reaksi awal wanita ini ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Pelakon Wanita Terbaik di Cinefan International Film Festival New Delhi India 2002 menerusi filem Spinning Gasing itu hanya menyedari perbuatan buruk individu berkenaan setelah dimaklumkan oleh rakan terdekat yang turut mengetahui perkara berkenaan.

Menceritakan semula kejadian tersebut, ibu kepada Azrell Omar Iskandar, 6, dan Nur Azreen Omar Iskandar, setahun ini memberitahu bahawa penerbit dan pengarah filem itu tiba-tiba telah menyertai perjumpaan dengan pembiaya berpotensi untuk Penanggal baru-baru ini.

Bagaimanapun, di belakang pengetahuan Ellie, dia telah menyatakan keburukan dan kekurangan naskah skrip Penanggal kepada pembiaya berpotensi berkenaan.

‘‘Saya akan lebih menghargai kalau individu itu bersemuka secara empat mata dengan saya bukan dengan cara menikam dari belakang. Wakil pihak pembiaya juga pernah menyarankan supaya dia bertemu dengan saya sendiri tetapi dia mengatakan, ‘tak apalah, artis ini kan sensitif’. Apa maksud dia sebenarnya? Rupa-rupanya dia dah ada niat tersirat di sebalik sikapnya itu.

‘‘Saya tak pernah meminta dia menilai naskah saya sebab dia bukan pembiaya projek ini. Malahan, naskah ini sudah dinilai oleh golongan cendekiawan dan profesional termasuklah Prof. Dr. Asiah Sarji dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Johari Shaarani.

‘‘Perlu ditekankan di sini bahawa skrip itu bukan untuk dia dan saya sendiri tak minta dia untuk menilai. Saya diberitahu dia hanya penjaga studio milik pembiaya berpotensi itu. Paling menyakitkan hati, ada pula tuduhan yang mengatakan saya ini seolah-olah ada niat nak ‘songlap’ duit pembiaya daripada bajet projek tersebut,” katanya penuh berapi.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) menerusi filem Soalnya Siapa ini menjelaskan bahawa Penanggal sudah ada penerbit dan pasukan sendiri ketika ini. Apa yang dilakukan Ellie hanya mencari rakan kongsi di pihaknya untuk turut menjadi rakan kongsi projek tersebut.

Bagaimanapun pelakon filem Paloh ini belum bersedia untuk mendedahkannya kepada umum. Apa yang boleh dikongsi filem tersebut mempunyai gabungan unsur Melayu Arab dan Jawa yang diadun mengikut versi mitos asal Penanggal.

Tak perlu mengutuk

Anak kelahiran Selangor ini turut menjelaskan bahawa dia punya pengalaman cukup bagi melakonkan watak utama filem Penanggal. Biarpun dicemuh kerana dilihat tidak layak melakonkan watak utama sedemikian, Ellie punya alasan.

‘‘Jangan risaulah, saya hanya berlakon watak penanggal saja, bukan puteri mana-mana hikayat. Lagi pun, watak yang saya bawa ini kena dengan jalan cerita. Tak payahlah nak ‘kondem’ saya macam-macam dengan cakap saya tak cukup komersial untuk bawa watak berat sebegitu.

‘‘Sebelum ini pun, saya ada beralah apabila diminta oleh seorang pengarah untuk memberi laluan kepada adiknya untuk melakonkan watak utama. Tak apalah, saya anggap itu bukan rezeki saya. Cukup-cukuplah saya mengalah dalam hal melibatkan periuk nasi saya ini.

‘‘Jujurnya, saya tak kisah dikritik. Saya terbuka menerima pandangan orang ramai, tapi biarlah dengan kritikan yang membina, bukan dengan cara sabotaj,” tambah Ellie lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Ellie pernah membawa watak penanggal sebelum ini dalam satu persembahan teater di Jepun yang dijalankan secara kerjasama di antara pihak Setagaya Public Theater dengan Five Arts Center di bawah pengarah teater Inggeris Jo Kukatas. Teater tersebut dibiayai oleh Japan Foundation yang dipentaskan tahun 2006 lalu.

Projek tersebut juga mengetengakan kolaborasi pelakon-pelakon dari Malaysia, Singapura dan Jepun.

Perlu peka

Ditanya pandangan Ellie tentang kewujudan penyakit hasad dengki dalam industri perfileman tanah air, wanita ini dilihat cukup tenang sekali.

Baginya, industri ini memerlukan orang-orang yang telus dalam industri seni kreatif dan penyelewengan seperti itu tidak berlaku.

‘‘Kita harus ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti daripada insan-insan seni kreatif negara. Barulah kita boleh jadi masyarakat seni atau tulang belakang yang bijak menilai seni dan peka kepada sensitiviti.

‘‘Masyarakat seni juga perlu akrab dan saling mendokong antara satu sama lain. Bantu orang-orang baru buat filem ke atas. Bukan cuba menenggelamkan saya dengan cara begini. Kalau ada sikap ‘hantu’ sebegini, susahlah industri nak berjaya.

“Contohi orang-orang filem seperti di Thailand yang cukup menjaga pasaran seni mereka. Tidak membenarkan ada pihak lain yang cuba membolosi jaringan pasaran industri mereka melainkan jika ada kerjasama, mahu pun ada pelakon mereka yang terlibat dalam sesuatu projek itu,” hujah pelakon Syukur 21 ini panjang lebar.

Lelaki muda pertama dan terakhir


PUTUS cinta lagi. Sebelum ini, pernah putus juga sekejap tapi sambung balik. Kali ini, dramatis Maria Farida betul-betul nekad berpisah dengan kekasihnya yang juga pelakon baru, Shah Jaszle.

Tegas ibu tunggal yang masih jelita dan bergetah itu, jangan sesekali mengaitkan namanya lagi dengan Shah Jaszle.

Biarlah lelaki itu bahagia dengan kehidupan barunya apatah lagi dia mendakwa Shah Jaszle sudah mempunyai teman wanita baru yang juga heroinnya dalam filem Azura 2011, Neelofa.

Amboi, marah betul Maria dengan Shah Jaszle. Malah sepanjang perbualan dengannya, Maria lebih selesa menggelarkan pelakon berusia 22 tahun itu dengan panggilan ‘dia’.

“ Saya menyesal sangat bercinta dengan dia. Tak mungkin saya jatuh cinta lagi dengan lelaki muda selepas ini.” katanya berterus-terang kepada wartawan ARIF NIZAM ABDULLAH.

Apakah benar Maria seorang wanita yang kuat cemburu hingga menyebabkan hubungan cinta dengan pelakon drama Gemilang itu putus di tengah jalan? Apakah pesona yang ada pada wanita bernama Maria Farida sehingga menyebabkan lelaki muda seperti Shah Jaszle boleh angau dalam cinta? Baca jawapan Maria.


Kenapa suara lemah saja dan bunyi macam sedih sangat?

Saya tak sihat. Saya sedang sakit sekarang ini.

Sakit sebab putus cintakah?

Tak adalah (ketawa manja). Saya baru habis penggambaran drama. Itu yang penat sangat.

Nak tanya ni, betulkah Maria dan Shah Jazle sudah putus cinta atau saja buat cerita?

Kenapa tanya saya? Kenapa tak tanya ‘dia’ dulu. Saya tak nak komenlah.

Tapi Shah Jaszle kata cinta kalian sudah berakhir, iyakah?

Biarlah ‘dia’ bercakap apa yang dia nak cakap. Saya tak nak terlibat dengan dia lagi, jangan babitkan saya dengan dia. Kami memang sudah putus cinta dan semuanya sudah berakhir, saya tak mahu ada kaitan apa-apa dengan dia lagi.

Bila putus ni? Masa sebelum dia ke Paris atau selepas dia jumpa kekasih baru di sana?

Masa dia buat penggambaran di sanalah. Di situlah bermula cerita dia dengan perempuan tu.

Betulkah Shah Jaszle yang hantar SMS untuk minta putus?

Entahlah, saya rasa sudah tak penting untuk saya bercakap soal itu sekarang ini. Biarlah dia dengan hal dia, saya pun ada hidup sendiri.

Orang kata awak ni kuat cemburu, budak muda mana suka wanita cemburu?

Itu dakwaan yang tak betul. Saya putus cinta dengan dia bukan sebab cemburu buta. Awak nak tahu kenapa kami putus? Sebenarnya saya sudah meluat dengan perangai dia.

Perangai macam mana? Teruk sangat ke?

Perangai buruk dia yang kaki perempuan. Tak habis-habis. Cukuplah!

Tapi Neelofa ada kata Maria selalu telefon dia nak tanya pasal Shah Jaszle? Berani pula dia kata macam tu?

Alah, pada saya senang saja. Biasalah, budak baru nak naik. Cari kontroversi untuk popular. Kita kenalah faham.

Mungkin Maria boleh kongsi pengalaman cinta bersama Shah Jaszle?

Saya menyesal sangat bercinta dengan dia. Saya ingat dia matang walaupun umur dia muda lagi. Rupa-rupanya perangai macam budak-budak. Awak tahu tak, sejak jumpa dia, hidup saya kucar-kacir. Saya kena cakap benda ini supaya orang tahu perkara sebenar.

Shah Jaszle di mata Maria sebagai kekasih?

Dulu saya tak percaya nasihat kawan-kawan agar jangan berkawan dengan dia. Kawan-kawan kata sebagai artis baru, sudah tentu dia nak gunakan saya, tapi saya tak dengar kata kawan-kawan. Akhirnya sekarang saya tahu juga, memang betul dia suka kontroversi. Setiap lokasi berlakon, mesti saya dengar cerita dia dengan heroin yang berlakon sekali dengan dia.

Maria rasa diperguna-gunakan?

Entahlah, tapi saya rasa memang silap besar sebab saya pernah jatuh cinta dengan dia.

Lepas ni kalau jatuh cinta lagi, masih nak dengan lelaki muda juga?

Taklah kot. Dia yang pertama dan terakhir untuk saya bercinta dengan lelaki muda.

Mungkin isu putus cinta dengan Maria merupakan strategi dia untuk popular, boleh menang Pelakon Lelaki Baru Paling Popular?

Saya tak tahulah. Mungkin juga.

Maria berkahwin dan bercerai pun tak kecoh macam sekarang. Bercinta dengan ‘budak-budak’ tiba-tiba jadi kecoh pula. Apa yang Maria rasa?

Saya memang tidak suka dengan kontroversi. Saya seorang artis yang clean sebelum ini. Saya mahu kehidupan saya kembali normal. Tolonglah jangan kait nama saya lagi dengan dia selepas ini.

Farah bahagia selepas bertunang


BAGI mereka yang mengenali diri wanita ini, pasti sudah faham benar dengan peribadi dan perangainya. Dia seorang yang cukup berahsia tentang kisah cintanya biarpun sudah bergelar tunangan orang pada akhir tahun lalu.

Setiap kali ditanya tentang siapa jejaka bertuah itu, sampai hari ini ada sahaja ‘jawapan selamat’ yang diberikan sambil disulami ketawa besar.

Prinsip hidup yang dipegang bintang Akademi Fantasia (AF) musim kedua ini, tidak manis sekiranya orang perempuan yang gemar membuka mulut berbanding pihak lelaki.

Puas dipujuk, akhirnya Farah akur dengan harga yang harus dibayarnya lewat statusnya sebagai artis.

Bagaimanapun Farah atau nama sebenarnya Farah Diana Anuar masih merahsiakan identiti jejaka pilihan hatinya itu.

“Tak payahlah sebut nama dia lagi, cuma apa yang boleh Farah beritahu umur kami sebaya dan Farah sudah mengenali dia sejak beberapa tahun lalu.

“Farah kenal dia ketika berjumpa dengan kawan Farah berkaitan projek persembahan. Dia datang bersama waktu itu.

“Dari situ, kami mula berkenalan. Pertama kali saya bertentang mata dengan dia, terus jatuh cinta,” katanya ketawa besar lagi.

Majlis pertunangan Farah dengan seorang usahawan itu berlangsung di rumah neneknya di Yan, Kedah pada 25 Disember tahun lalu selepas majlis merisik diadakan pada Hari Raya ketiga.

Diajak berkongsi ciri-ciri yang terdapat pada tunangnya itu hingga membuatkan dirinya dilamun cinta, penyanyi yang popular dengan lagu Antara Dunia terdiam seketika.

Selepas menghela nafas, dia mengakui tertarik dengan tingkah laku lelaki itu yang sederhana selain jujur dan setia dalam perhubungan.

“Tapi yang membuatkan Farah tertarik sudah pasti dengan kulitnya yang hitam manis,” ceritanya sambil malu-malu.

Ditanya tempoh lama pertunangan, anak ketiga daripada enam beradik itu berkata semuanya bergantung kepada jadual seni yang semakin sibuk sekarang.

Katanya, apa yang berlaku sebelum ini bermula dari majlis merisik hingga ke majlis pertunangan adalah secara kebetulan berikutan aktiviti seninya yang kosong ketika itu.

“Farah dan tunang memang tidak pernah merancang berapa lama bertunang.

“Namun kalau mengikut nasihat ibubapa kami, mereka mahu mempercepatkan majlis perkahwinan kerana tidak elok bertunang lama-lama,” katanya yang ditaja pakaian dan hantaran oleh Sheila Mohd. pada majlis pertunangannya.

Wanita yang berusia 26 tahun pada Januari lalu memberitahu, tiada apa yang membezakan perjalanan hidupnya pada hari ini walaupun status diri sudah berubah.

Katanya, kehidupan yang dilalui berjalan seperti biasa kerana dia dan tunang lebih selesa menjalinkan hubungan seperti di alam percintaan.

Ujar pengacara rancangan Nasi Lemak Kopi O itu, ini kerana mereka bukanlah pasangan yang gemar berjumpa setiap masa seperti pasangan kekasih lain.

“Sebelum ini pun, kami jarang berjumpa kerana karier seni Farah lebih tertumpu di Kuala Lumpur manakala dia sibuk dengan bisnes di Pulau Pinang.

“Soal cemburu pula tidak timbul kerana tempoh perkenalan yang lama membuatkan kami faham dengan karier masing-masing.

“Apa yang diamalkan, Farah dan tunang saling tegur menegur selain dia faham yang Farah sering bersama abah apabila melibatkan aktiviti seni,” kata pelontar vokal lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu.

Mengakhiri perbualan, Farah melahirkan rasa kesyukuran kerana majlis pertunangannya itu memberi seribu hikmah apabila mengeratkan kemesraan dua keluarga yang bakal bersatu kelak.

Dia yang baru selesai penggambaran program Rasa Halal Vietnam berkata, rezekinya juga dalam bidang seni turut melimpah biarpun bertudung sejak pertengahan tahun lalu.

Ekin cari Mawi?


EKIN cari Mawi? Apa kisah pula tu? Tak kan Mawi dah lari dari rumah kot. Bila ada orang bercerita pada Syed hal Ekin mencari Mawi, memang membuatkan Syed terkejut.

Bukan apa, risau takut-takut Mawi lari dari rumah sahaja. Yalah, muka Mawi pun dah jarang keluar surat khabar, mahu tak terkejut orang bila dapat tahu Ekin cari Mawi.

Rupa-rupanya Ekin dikatakan sedang sibuk mencari plat kereta MAW1 untuk dijadikan hadiah hari lahir kepada suaminya itu. Amboi, kelas sungguh hadiah Ekin untuk buah hatinya itu.

Bukan calang-calang orang mampu nak buat macam tu. Sebab Syed dengar cerita yang Ekin sanggup bayar berapa sahaja untuk mendapatkan plat kereta tersebut. Berapa sahaja ok!

Kalau bukan sembarangan orang, memang tak mampu nak sebut berapa sahaja. Bukan apa, kalau orang tu letak beratus ribu ringgit, pitam juga nak membayar tu.

Bob tak nak berdosa, katanya


TAK ada angin tak ada ribut, pelawak terkenal Bob Lokman akhirnya menyertai parti pembangkang. Borang keahlian sudahpun diserah kepada Menteri Besar Kedah baru-baru ini.

Joyah tak mahu komen soal parti politik kanan mahupun kiri. Sebab dunia hiburan ni pun banyak sangat politiknya, kalah parti politik sebenarnya.

Yang paling Joyah terkesan apabila Bob kata dia mahu memilih watak yang tak mendatangkan dosa bila dia dah mati nanti.

Selain itu Bob juga berkata tujuan utama dia masuk parti pembangkang sebab anaknya mempunyai masalah dalam sistem kehidupan termasuklah sistem persekolahan dan pergaulan dalam masyarakat sekarang ini.

Sebab bimbang anaknya akan terpengaruh dengan perkara-perkara negatif di luar sana Bob juga baru sedar tanggungjawab pada anak-anak.

"Apa yang berlaku semuanya daripada Allah. Yang penting dalam sisa hidup, saya mahu selamat di dunia dan saya tak akan masuk neraka," kata Bob lagi.

Entahlah Bob, tetapi setahu Joyah, masuk parti mana sekalipun, tak semestinya dijamin ke syurga.

Kalau asyik duduk bergaduh, caci-mencaci, kutuk-mengutuk, susah juga nak dapat pahala, betul tak? Harap Bob tak macam itu dan dia bertemu dengan apa yang dicarinya.

Siti Sarah Sah Bergelar Isteri Shuib


KUALA LUMPUR: Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Sarah Raisuddin, 27, kini sah bergelar isteri kepada salah seorang ahli kumpulan Sepah, Shahmira Muhahamad (Shuib), pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di Jeumpa D'Ramo, Bangsar, di sini, Sabtu.

Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 5.45 petang oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nizar Mohd Nadzir, yang juga merupakan Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Sarah kelihatan anggun dengan busana rekaan Hatta Dolmat berwarna salmon peach menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 serta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan berbalas tujuh dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 200 orang tetamu termasuklah ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat mereka.

Ditemui selepas majlis berakhir, Sarah yang kelihatan gembira sebaik selesai akad nikah itu melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta mereka yang terjalin selama enam bulan itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.

"Alhamdulillah, segala perancangan berjalan dengan lancar. Sepanjang saya mengenali Shuib, dia seorang yang jujur dan telus.

"Kami seperti mempunyai satu hala tuju yang sama,” tutur Sarah.

Sementara itu, Shuib juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar suami kepada Sarah.

“Saya harap hubungan ini berkekalan hingga akhir hayat. Sarah merupakan wanita pertama yang membuka hati saya untuk lebih serius dalam hubungan.

"Dia seorang yang sangat istimewa dan bukan mudah untuk saya dapatkannya. Pernah sekali saya sanggup berhentikan kereta di tepi lebuh raya semata-mata untuk memberitahu saya cintakan dia.

"Kalau nak tahu dia memang susah nak sebut perkataan sayang atau I Luv U. Sepanjang setahun tiga bulan perkenalan, hampir setahun saya terpaksa menunggu untuk dengar perkataan sayang daripada mulutnya," tutur Shuib sambil mengukir senyuman.

Bercerita tentang percutian bulan madu, Sarah dan Shuib ingin bercuti ke negara Ireland, tetapi masih belum tahu tarikh sesuai untuk ke nagara tersebut.

Beralih kepada soal anak, Sarah tidak menolak untuk mempunyai anak pada bila-bila masa memandangkan suaminya juga sangat menyukai kanak-kanak.

Sementara itu, bagi majlis resepsi pula, pasangan itu masih lagi mencari tarikh sesuai untuk meraikan hari bahagia mereka.

Berat Badan Bunga Citra Lestari Turun


SETELAH melahirkan anak pertamanya, Noah Sinclair, penyanyi Bunga Citra Lestari telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 23 kilogram (kg).

Bunga agak gembira dengan penurunan berat badannya itu selepas bertungkus lumus berdiet serta membuat senaman untuk kembali ke penampilan asalnya.

"Sekarang saya sudah berjaya menurunkan berat sebanyak 23kg, tinggal sekilo lagi, saya akan mendapat tubuh badan yang asal," ujarnya kepada laman sosial detikhot.com, Khamis, yang ditemui di Jakarta Convention Center, Senayan.

Bunga mengakui, dia mempunyai tip diet yang sangat efektif sehingga mampu menurunkan berat badan dengan mudah.

Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair itu enggan berkongsi tip tersebut buat masa ini.

Bunga telah melahirkan Noah pada 22 September tahun lalu dan kini dia menikmati hari-harinya sebagai seorang ibu.

Rossa Jatuh Tangga Selepas Persembahan


JAKARTA: Penyanyi lagu Tegar, Rossa mengalami kejadian buruk apabila terjatuh dari tangga ketika turun dari pentas dalam sebuah majlis ulang tahun sebuah stesen televisyen di Jakarta Convention Center, Khamis.

Bagaimanapun, penyanyi genit itu memberitahu hanya mengalami kecederaan ringgan sahaja.

"Alhamdulillah, saya tidak apa-apa, cuma badan saja berasa sakit-sakit selepas terjatuh. Doakan sahaja ia tidak berlarutan sehingga menganggu kerja," katanya.

Rossa juga memberitahu kepada peminat-peminat melalui Twitternya bahawa dia hanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan badan.

"Saya sudah ke klinik dan sekarang saya sedang diurut, harap semuanya baik-baik sahaja," katanya.

Aida Aris Tiada Masa Berbulan Madu


SUBANG JAYA: Pelakon Aida Aris mengakui kesibukannya dengan aktiviti lakonan membataskan dia untuk berbulan madu selepas mendirikan rumah tangga pada 4 September tahun lalu.

Menurut Aida, dia dan suami Husfarid Shaikh Ali berhasrat untuk berbulan madu, namun sehingga kini masih belum berkesempatan melakukannya.

"Selepas kahwin memang kami ingin berbulan madu tetapi melihat jadual saya penuh sampai bulan April ini hasrat itu tergendala. Isya-Allah April nanti kami akan cuba mencari masa yang sesuai.

"Namun begitu kami tetapi mempunyai masa bersama dan kadang kala saya ikut dia pergi bekerja. Namun itu bukanlah dikira bulan madu kerana ia tidak dirancang," katanya.

Dalam pada itu, Aida turut mengakui tidak pernah merancang tentang kehadiran cahaya mata dalam perkahwinan keduanya ini.

"Saya tidak pernah merancang sama ada mahu anak atau tidak. Bagi saya jika ada rezeki saya terima dan jika tidak saya hanya bersabar. Sekarang belum ada apa-apa tanda lagi.

"Mungkin juga disebabkan kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing, Insya-Allah kalau ada rezeki saya terima," katanya.

Bagaimanapun, kata Aida, hidupnya lebih bahagia disamping suami tercinta.

"Banyak perbezaan hidup sendiri dan berumah tangga, saya sedar komitmen terhadap keluarga lebih tinggi berbanding hidup bujang dahulu," katanya.

Bercakap soal kerjaya, Aida memberitahu dia masih aktif sebagai pelakon biarpun kini bergelar isteri.

Tambah Aida, dia belum berniat untuk bersara atau menjadikan perkahwinan sebagai penghalang kerjayanya.

"Setakat ini saya masih aktif dalam bidang ini dan belum pernah terfikir untuk berhenti berlakon. Suami juga tidak pernah menghalang saya untuk teruskan kerjaya ini.

"Bagi saya lakonan sudah seperti sumber rezeki utama. Saya akan berlakon selagi diperlukan," katanya.

7000 Orang Banjiri Maher Zain Live In Concert 2011


SHAH ALAM: Seramai 7000 orang membanjiri Stadium Malawati bagimenyaksikan persembahan penyanyi terkenal berasal dari Lubnan, MaherZain, di sini, Jumaat.

Konsert Maher Zain Live in Concert 2011 ini diadakan selama dua hariiaitu 25 dan 26 Februari khusus bagi peminat-peminatnya di Malaysia.

Penyanyi yang popular dengan lagu Insha Allah ini dibawa oleh YayasanKemanusiaan Muslim Aid Malaysia telah menyaksikan gabungan antaraMaher dengan 10 pemuzik profesional bertaraf antarabangsa.

Konsert dibuka dengan persembahan penyanyi nasyid terkenal Malaysia,Inteam, penyanyi nasyid Canada, Irfan Makki dan Mesut Kurtis dariMacedonia.

Maher yang muncul kira-kira setengah jam selepas pembukaan konsertpada pukul 9 malam itu memulakan persembahan lagu Allahuakhbar telahmendapat reaksi dan tepukkan gemuruh daripada para penonton.

Dalam persembahan lagu Insha Allah Maher membuat kejutan denganmenampilkan vokalis kumpulan Padi dari Indonesia, Fazly bagimenyanyikan lagu tersebut dalam bahasa Melayu.

Pada konsert hampir dua jam itu, Maher menyanyikan 16 buah lagu hitdalam album Thank You Allah antaranya Barakallah, For The Rest of MyLife, Thank You Allah, Ya Nabi Salam Alaika dan Hold My Hand.

Sepanjang konsert berlangsung, kelihatan peminat-peminat Maher tidakputus-putus memberi reaksi positif dan memberi semangat dengan turutsama menyanyi lagu - lagunya.

Kate Moss Reka Pakaian Kahwin Sendiri


SUPERMODEL Kate Moss merancang untuk menghasilkan sendiri pakaian perkahwinannya yang bakal berlangsung pertengahan tahun ini.

Pada Januari lalu, Moss dilamar oleh kekasihnya, Jamie Hince dan kini Kate sedang sibuk merancang pernikahannya.

Menurut pereka fesyen terkenal Vivienne Westwood, Kate kini sedang merancang baju pernikahannya dengan meminta bantuan daripada pereka-pereka fesyen dikalangan rakan-rakannya.

"Saya rasa dia kini sibuk merancang baju kahwinnya sendiri. Saya percaya dia mampu buat yang terbaik kerana dia tahu apa yang dia mahukan.

"Saya dah mengenali dia lama dan turut bergembira dengan kebahagiannya itu," kata Westwood,

Fouziah Gous Cerewet Soal Watak Dan Pakaian


PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous menitik beratkan pemilihan pakaian apabila melakonkan sesebuah cerita agar ia menepati watak yang dilakonkan.

Sekiranya watak wanita kampung, pelakon drama Trilogi Cinta ini akan memastikan dia memakai baju lusuh dan kain batik.

Sebaliknya jika melakonkan watak wanita moden, dia akan mengenakan pakaian yang kelihatan moden dan memastikan ia tidak sama seperti fesyen yang digayakan olehnya sebelum ini.

“Saya agak cerewet dan teliti apabila bab memilih pakaian ketika berlakon kerana tidak mahu nampak macam ala kadar sahaja. Biasanya sebelum memulakan penggambaran, saya akan bincang dengan pihak yang menguruskan pakaian pelakon dan pengarah tentang apa yang sesuai dipakai.

“Seperti lakonan saya dalam drama Mantera Anjasmoro, saya perlu menonjolkan elemen muda kerana saya merupakan isteri kedua.

“Sementara lakonan saya dalam drama Trilogi Cinta pula saya perlu nampak betul-betul macam orang kampung. Jadi saya memakai baju T dan kain batik.

“Warna pakaian juga memainkan peranan penting. Saya akan mencari sendiri pakaian tersebut dan sekiranya saya rasa perlu beli pakaian itu, saya akan membelinya tetapi biasanya jarang berlaku,” kata Fouziah.

Tambahnya: “Saya tidak mahu dibayangi dengan diri sendiri dalam setiap lakonan saya dan sebolehnya mahu betul-betul nampak lain dan biarlah penonton menilai lakonan saya kerana watak yang dilakonkan itu.

“Saya tidak nafikan, ramai yang menggemari lakonan saya sebagai Norjinah dalam Trilogi Cinta sehingga mereka menganggap diri saya betul-betul baik dan lemah-lembut.

“Sedangkan pada saya bukan mudah untuk melakonkan watak baik berbanding watak jahat.”

Menurutnya dalam Mantera Anjasmoro dia perlu melakonkan watak seorang wanita jahat yang tidak menonjolkan sisi jahatnya. Dia terdesak menjadi jahat kerana terlalu sayangkan suami.

Selain itu, dia turut meluahkan perasaan seronok kerana dapat bekerjasama dengan pengarah Aidilfitri Mohamad Yunos dalam drama berkeaan.

“Saya menggemari cara pengarahan Abang Aidil kerana drama arahannya kelihatan moden dan banyak ruang yang besar.

“Kalau boleh saya mahu bekerja dengannya lagi selepas ini,” katanya.

Penonton boleh menyaksikan drama Mantera Anjasmoro pada setiap Khamis, pukul 9 malam mulai 3 Mac ini di TV3.

Ainul Aishah Kemalangan Selepas Habis Penggambaran


PETALING JAYA: Pelakon Ainul Aishah mengakui akibat terlalu tergesa-gesa untuk pulang menonton drama lakoanannya menyebabkan dia mengalami kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) pada petang Selasa lalu.

Kata Ainul, selepas menjalani penggambaran salah satu daripada beberapa episod drama Begitukah Cinta kira-kira pukul 6.45 petang, dia berhasrat untuk pulang segera menonton episod terdahulu drama itu.

"Selepas penggambaran saya berkejar untuk pulang segera untuk menonton episod cerita tersebut, tetapi malangnya ketika itu jalan raya agak sesak.

"Saya tidak perasan sebuah kereta jenis BMW berada di hadapan saya dan melanggar kereta tersebut. Ketika kemalangan itu apa yang saya terfikir ialah tak dapat menonton cerita lakonan saya sahaja," ujarnya.

Kereta jenis Honda City tersebut mengalami kerosakan agak teruk dan kini sedang dibaiki di sebuah bengkel di Kuala Lumpur.

Tambah Ainul, biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan, dia tetap berasa terkejut dan lebih berwaspada ketika memandu.

"Akibat kemalangan itu, kereta saya mengalami kerosakan agak teruk dan kini berada di bengkel. Buat masa ini saya gunakan kereta abang saya sementara menunggu kereta tersebut siap dibaiki.

"Walaupun saya rasa itu kemalangan kecil tapi saya seperti takut untuk memandu. Saya lebih banyak menekan brek dan tidak mahu memandu dengan jarak yang dekat," katanya.

Tambah Ainul, dia mengakui sikap tergesa-gesanya mendatangkan bahaya kepada banyak pihak dan menganggap perkara tersebut sebagai pengajaran kepadanya.

"Saya sedar ia mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada saya tetapi kepada pihak lain. Allah selepas ini saya lebih berhati-hati," katanya.

Shahir Disyaki Sakit Kanser Hati


KUALA LUMPUR: Bekas juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, dipercayai menghidap kanser hati selepas dia membuat pemeriksaan kesihatan pada tahun lalu.

Menurut Shahir, penyakitnya itu dikesan selepas sampel darahnya melalui sembilan jenis ujian dan salah satu hasil ujian mendapati bahagian hati Shahir mengalami masalah.

"Ketika itu saya ditahan di wad Hospital Az-Zahra, Bangi, Selangor selama dua hari akibat tekanan darah rendah. Tak sangka pula selepas membuat ujian, keputusan itu pula yang saya peroleh.

"Bagaimanapun, saya telah membuat ujian darah yang sama di hospital lain untuk mendapatkan pengesahan sebenar tentang penyakit tersebut dan Alhamdulillah, selepas diperiksa, penyakit saya ini belum sampai ke tahap serius.

"Mungkin kerana masalah pemakanan serta tekanan membuatkan kesan terhadap hati saya. Setakat ini saya masih lagi membuat pemeriksaan lanjutan dan keputusan baru akan diketahui pada minggu depan," katanya.

Tambah Shahir, gara-gara penyakit tersebut, dia mengambil langkah untuk berehat seketika daripada sebarang publisiti serta persembahan nyanyian pada tahun lalu.

"Bila saya perlukan ruang untuk berehat, timbul pula cerita yang saya tidak berdisiplin dan menghilangkan diri, semua itu adalah tidak benar.

"Sampaikan saya terpaksa menunjukkan surat doktor kepada beberapa pihak untuk memberikan penjelasan kerana saya enggan menimbulkan spekulasi," ujarnya.

Walaupun terpaksa bergelut dengan penyakit dan kontroversi, Shahir menerima keadaan itu seadanya memandangkan dia faham, sebagai seorang selebriti, pelbagai dugaan yang perlu ditempuh.

Pada hujung tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dikatakan mula menghadapi masalah disiplin apabila beberapa sesi fotografi yang telah diatur dibatalkan pada saat-saat akhir.

Malah dia juga gagal hadir semasa sesi mencabut nombor giliran sempena Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) anjuran TV3 selain tidak muncul dalam Konsert Ria 2010 di I-City, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, ibunya, Mahanum Osman, berkata kesihatan penyanyi itu agak terganggu dan dia memerlukan masa untuk menenangkan fikiran di kampungnya.

Kontroversi 'Halimah Jongang', Sheera Hilang Tawaran Berlakon


SUBANG JAYA: Pelakon Sheera Iskandar mengakui selepas tamat penggambaran drama Halimah Jongang bersama produksi milik A.Aida, dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Menurut Sheera, dia bertambah kesal apabila kontroversi dituduh "melanggar kontrak" A.Aida sebelum ini telah memberi kesan teruk terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon.

"Perkara ini memberi kesan yang agak teruk kepada saya terutama dalam industri. Ramai produser yang takut untuk ambil saya berlakon kerana telah dituduh tamak dengan tawaran. Saya tahu ada yang penyampai dan bercakap-cakap tentang perkara itu kepada penerbit-penerbit drama.

"Drama Iparku Diva yang sedang saya lakonkan sekarang itu pun sudah ditandatangani sebelum kontroversi Halimah Jongang berlaku. Kalau tidak, saya tak tahulah apa jadi dengan nasib saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pengacara dan Penyampai untuk Anugerah Bintang Popular, di sini, Khamis.

Tambah Sheera, di kecewa apabila kontroversi tersebut telah menjadikannya mangsa sehingga hampir membunuh kerjayanya sebagai pelakon.

"Saya malu untuk keluar menemui orang ramai terutamanya di tempat awam. Mereka yang tidak faham pasti akan menyalahkan saya seratus peratus. Jika duduk di rumah pula rasa sangat tertekan. Kalau saya terlalu fikirkan perkara itu, badan boleh jadi sakit-sakit.

"Saya juga tak boleh tengok rambut palsu dan topi kerana sentiasa teringatkan watak Halimah Jongang yang hampir membunuh kerjaya saya," katanya.

Bagaimanapun, menurut Shira dia menganggap kejadian itu sebagai dugaan dalam bidang lakonan dan percaya kepada rezeki daripada Allah.

Ketika ditanya tentang tindakan susulan daripada tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan oleh pemilik A.Aida Production itu, Sheera hanya memberitahu dia memilih untuk berdiam diri.

"Kami tak akan ambil apa-apa tindakan kecuali dia sudah memulakan dahulu. Tapi sehingga kini belum ada apa-apa lagi perancangan.

"Walaupun begitu, kami juga ada meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada peguam tentang perkara ini.

"Mereka menasihatkan agar berdiam dan tunggu apa yang akan mereka lakukan terlebih dahulu. Lagipun kes saman-menyaman ini perlukan kos dan bukan percuma," katanya.

Syamsul Yusof, Diana Danielle kembali intim


Farid Kamil gagal tembusi senarai Top 5 ABPBH2010

TAHNIAH Zubir ucapkan kepada semua pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) yang berlangsung Ahad lalu meskipun kemenangan Ana Raffali malam itu tidak mendapat restu majoriti, namun kita perlu menghormati keputusan barisan panel juri yang diketuai sifu M Nasir. Rabu lalu berlangsung pula sidang media pengumuman finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 di Holiday Villa Subang. Sekali lagi tahniah Zubir ucapkan kepada artis atau selebriti popular yang berjaya menempatkan diri mereka dalam kelompok lima terbaik menerusi 16 kategori yang dipertandingkan. Pun begitu, ramai juga nama popular yang tergelincir daripada senarai Top 5, namun itulah hakikat yang perlu ditelan apabila mempertaruhkan populariti sebagai sandaran.

Dalam ramai-ramai calon Top 5 yang berjaya Zubir temui petang itu, Zubir lebih tertarik kepada calon Pelakon Filem Lelaki Popular, Syamsul Yusof yang pertama kali tercalon dalam ABPBH. Tidak ketinggalan bekas kekasih Syamsul, Diana Danielle yang tercalon menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular yang Zubir perhatikan tidak kekok apabila diminta beraksi mesra bersama Syamsul di sisi hadiah utama yang bakal dibawa pulang Bintang Paling Popular, Nissan Teana. Gelagat mesra Syamsul mahupun Diana yang tidak ‘plastik’ menarik perhatian peminat yang menyaksikan keintiman kedua-duanya.

Diana ketika ditemui berkata, dia kagum dengan sikap Syamsul kerana hari ini dia sudah banyak berubah terutama hubungan mesranya bersama peminat dan rakan media massa.

“Memang sudah tertulis rezeki Syamsul, satu persatu kejayaan yang dikecapinya. Saya berharap pencapaiannya akan terus cemerlang. Selepas putus cinta, kami tak rapat, tapi apabila berjumpa, kami tak janggal, kami boleh berbual mesra. Namun, jangan salah anggap kemesraan kami, hubungan kami profesional,” akui Diana.

Apabila ditanya komen Diana mengenai buah hatinya, aktor dan pengarah kacak Farid Kamil yang gagal menempatkan diri sebagai calon Top 5 ABPBH2010, dia berharap kekasihnya itu perlu akur dengan kebangkitan muka baru dan jangan mudah putus asa kerana perjalanan seninya masih jauh.
Syamsul yang kini muncul dengan filem arahan terbarunya, Khurafat - Perjanjian Syaitan, mengakui dia dan Diana tetap berkawan baik.

“Walaupun kami bukan lagi pasangan kekasih, namun hubungan kami masih serasi. Kami masih lagi ambil berat satu sama lain, bertanya khabar apabila bertemu pada majlis hiburan. Tapi berhubung menerusi telefon atau SMS, tak ada lagi. Kalau ada skrip atau watak yang sesuai dengan Diana, kenapa tidak saya ambil dia berlakon semula. Namanya pun semakin popular, apa salahnya kami bekerjasama. Tapi, hubungan kami mesra atas dasar kerja,” tegas Syamsul.

Zubir kagum dengan pengakuan Diana dan Syamsul, sekalipun pernah bergelar pasangan kekasih, tapi apabila membabitkan hubungan profesional, Zubir yakin mereka mampu membuat kejutan, siapa tahu suatu hari nanti filem gandingan Syamsul dan Diana bakal melakar box-office! Tapi, adakah mungkin mereka kembali bercinta, ooopss!

Saya akan terus menunggu selagi ada waktu - Kak Engku


JELAS, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku! Tuhan mungkin merentap kebahagiaan Raja Azura dalam melayari nikmat berumah tangga, namun kuasa-Nya juga menentukan penyampai radio SinarFM itu menerima sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Kesedihan hatinya sedikit terubat apabila kerjayanya sebagai pelakon, penyampai radio dan pengacara dilihat mendaki tangga kemuncak apabila menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2010). Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Pengacara TV Wanita Popular dan Artis Komedi Wanita Popular. Nyata, Kak Engku tidak dapat membendung air mata apabila namanya diumumkan dalam majlis pengumuman senarai lima finalis ABPBH 2010 di Holiday Villa, Hotel & Suite, Subang Jaya pada Rabu lalu.

"Hari ini, saya ketawa dalam menangis. Saya akui, masih bersedih dengan keruntuhan rumah tangga. Hidup saya sentiasa bertemankan air mata, tetapi dengan limpah kurnia yang Tuhan berikan ini, saya semakin bersemangat. Walaupun hanya tersenarai dalam Top 5, belum tentu saya akan beroleh kejayaan, tetapi ia adalah penghargaan yang cukup besar buat saya. Terima kasih pada peminat!

"Mungkin saya gagal dalam alam rumah tangga, tetapi Tuhan masih memberikan saya ruang untuk terus berjuang dalam kerjaya. Saya akui hampir meninggalkan semuanya akibat tertekan dengan konflik perceraian, tetapi nyata Tuhan mendorong saya untuk terus berjuang. Inilah nikmat dan hikmah yang tidak pernah saya jangkakan.

"Saya akui tidak pernah menunjukkan kesedihan di depan orang, malah saya sentiasa ceria ketika berada di konti radio. Saya sebenarnya masih bersedih, ada kala perasaan saya begitu tertekan, tetapi biarlah saya pendam sendiri. Saya tidak mahu dianggap meraih simpati pendengar. Dan berkat kesabaran serta doa anak-anak, keluarga dan peminat, inilah nikmat yang saya terima.

"Ramai peminat bertanya bagaimana saya mendapat kekuatan apabila berjaya menghiburkan pendengar setiap pagi. Jawapannya - inilah kurniaan Tuhan atas kemaafan kepada mereka yang menganiaya dan merentap kebahagiaan saya dan anak-anak. Ia menjadikan saya lebih kuat dan cekal hati.
"Mungkin juga niat saya menjadikan perpisahan yang berlaku sebagai salah satu kebaikan dalam perhubungan saya dan bekas suami. Saya akui perpisahan ini cukup berat, tetapi ia mematangkan saya dan bekas suami dalam memperbaiki kekhilafan dalam rumah tangga. Saya hanya mengharapkan ada jalan penyelesaian dan kasih sayang kami akan kembali suatu hari. Itupun jika ada jodoh, jika ditakdirkan jodoh saya dan bekas suami sudah berakhir, saya terima dengan hati yang reda.

"Buat masa ini, apa yang dapat saya katakan, hubungan saya dengan bekas suami masih baik, malah kami seperti pasangan bercinta. Kalau dulu, memang susah nak keluar bersama, tetapi kini, jika ada kelapangan, saya akan keluar menonton wayang atau membeli-belah bersamanya dan anak-anak. Buat saya tergelak, kami berjalan berpimpin tangan lagi, terasa seperti kembali bercinta (berseloroh).

"Bekas suami sentiasa menghubungi saya dan masih menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak seperti biasa. Malah, saya terkejut apabila bekas suami adalah insan pertama yang menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan saya dicalonkan dalam ABPBH2010.

"Jujurnya, saya tidak menafikan ada yang menganggap saya seperti terhegeh-hegeh mahu rujuk dengan bekas suami. Biarlah suara-suara sumbang itu terus berbunyi, saya tidak pernah ambil peduli.

"Apa yang saya fikirkan adalah soal anak-anak saya. Sehingga hari ini, mereka tidak pernah tahu mengenai perceraian kami. Anak-anak saya terlalu rapat dengan bekas suami, saya tidak sanggup memisahkan kasih sayang mereka. Saya akan terus menunggu selagi ada waktu," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman senarai lima finalis ABPBH 2010.

Sedih mendengar cerita Kak Engku. Dia memang seorang yang sabar dan cekal hati. Raja hanya mendoakan kebahagiaan Kak Engku dan anak-anak. Raja mengharapkan ada sinar buat Kak Engku untuk kembali kepada bekas suaminya, Adzmin Tan Sri Osman. Amin...

Jangan menangis lagi Noorkhiriah


DULU nama dan bakat Noorkhiriah mungkin hanya dipandang sepi. Malah dulu, keluh kesah pelakon kelahiran Raub Pahang ini sering dipersembahkan di dada akhbar. Tapi sekarang tidak lagi, namanya mula dipandang. Sekalipun lambat naik dan dikenali, Kak Pora yakin Noorkhiriah amat bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang.

Selain memiliki kehidupan rumah tangga yang rukun bersama suami, Azfaizul Ahtan, anak sulung (Muhammad Hudhaifah) dan bakal melahirkan seorang lagi anak, rezeki Noorkhiriah dalam dunia lakonan tak pernah putus. Sekalipun jarang diberi publisiti di media, Noorkhiriah mempunyai kelompok peminatnya sendiri. Jadi tidak hairan, bakatnya mula diberi perhatian di kalangan pemerhati seni dan peminat. Nama pelakon bernama penuh Noorkhiriah Ahmad Shapie ini mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan. Namanya juga pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22).

Dulu dia menangis mengenangkan nasibnya sebagai pelakon yang belum tentu lagi hala tujunya. Tapi kini, Noorkhiriah menangis kerana kejayaan yang dikecapinya membuahkan hasil. Noorkhiriah pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2007.

Naik taraf lagi, pada Anugerah Skrin 2010 hujung tahun lalu, dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Drama Terbaik menerusi drama Antara Garisan. Dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian pun dia cemerlang selama dua tahun berturut-turut untuk kategori Artis Komedi Wanita Popular 2008 dan 2009.

Umpama rezeki anak lagi, dia disenaraikan lagi dalam ABPBH 2010 yang akan berlangsung pada 3 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands.
Noorkhiriah bakal bersaing dengan Didie Alias, Kenchana Dewi, Raja Azura dan Sharifah Shahirah.
Jangan menangis lagi Noorkhiriah kerana anda boleh tersenyum bangga dengan pencapaian kini. Noorkhiriah boleh Kak Pora labelkan sebagai pelakon berbakat yang masih tebal dengan sikap rendah dirinya. Dalam diam, dia sendiri tidak menyedari mempunyai peminat yang ramai. Cuma dia mungkin tidak popular dengan kontroversi.

Buat pelakon di luar sana yang berbakat tetapi tidak disenaraikan di dalam ABPBH, jangan cepat mengalah. ABPBH bergantung kepada undian peminat. Mungkin belum tiba masanya untuk anda menyerlah seperti Noorkhiriah dan calon Top 5 yang lain. Tidak dicalonkan tidak bererti anda tidak bagus. Ada rezeki tak ke mana.

Serasi bersama - Juliana Evans dan Zain Saidin


Juliana Evans, Zain Saidin sudah lama lepak bersama

ADA apa dengan gandingan B*POP kali ini? Fotografi membabitkan dua pelakon berdarah campuran ini ada alasan tersendiri. Juliana Evans, 21, dan Zain Saidin, 26, boleh disifatkan antara selebriti yang terus menyemarakkan persada seni tempatan. Berbanding Zain, Juliana Evans atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans lebih dulu meneroka dunia seni. Pembabitan seninya sudah hampir mencecah tahun kelima sedangkan Zain pula mula berjinak-jinak dan serius sebagai pelakon sejak tahun lalu.

Malahan tanpa diduga, fotografi julung kali ini turut membongkar memori lama yang pernah dilalui mereka. Kenangan melepak di sebuah kedai dipanggil Pink Shop mengimbas kembali nostalgia mereka ketika sama-sama menuntut di Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Tapi jangan salah sangka, sorotan cerita itu bukan bermaksud mereka pernah bermadu kasih. Sebaliknya, mereka hanya kawan melepak. Lucunya, di awal perkenalan, Zain langsung tidak mengetahui bahawa Juliana sebenarnya bergelar selebriti.

Kata Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, dia hanya mengetahui perkara sebenar selepas terpandang sebuah laman web yang menyiarkan gambar Juliana atau lebih mesra disapa Sophie. Adik kepada bekas penyanyi kumpulan Elite, Sasha Saidin ini juga mengagumi Juliana dalam diam.

“Dia boleh saya katakan sebagai seorang artis yang mempunyai otak. Dia sangat komited dalam apa yang dilakukannya dan tahu dia tidak pernah ponteng kelas macam saya. Dia sangat disiplin, cantik dan menarik semestinya. Siapa yang tidak mahu berdating dengannya?” seloroh jejaka kacak yang semakin digilai ramai ini.
Persahabatan mereka tidak berpanjangan di kolej universiti itu. Di saat Juliana sudah masuk tahun ketiga dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa pada tahun depan, Zain atas sebab tertentu hanya belajar separuh jalan dalam bidang grafik.

“Kalau ada duit, saya boleh sambung balik belajar di situ. Lagipun, kesihatan bapa saya lebih utama. Untuk itu, sebagai anak saya perlu berkorban untuk mencari kerja. Bapa menghidap diabetes dan serangan jantung. Sekarang ini bapa saya perlu mendapatkan rawatan susulan,” katanya sambil memberitahu kesihatan bapanya semakin stabil.

Bahagia solo

MENERJAH sisi peribadi, bekas pengacara Remaja dan Era TV ini juga tak lekang dengan gosip cinta. Kamar hatinya pernah diketuk penyanyi Adam dan vokalis Bunkface, Sam. Namun akui Juliana, sekalipun sudah berpisah, dia masih baik dengan Adam dan Sam.

“Selepas enam bulan solo, saya masih belum terdesak mencari pengganti. Saya bahagia hidup solo. Jadi masa saya dengan keluarga dan kawan pun banyak. Lagipun saya sibuk dengan kerja. Lalu, soal pintu hati itu saya belum terbuka lagi buat sementara waktu.

“Pengalaman putus cinta yang lalu banyak mengajar saya supaya tidak mengulangi lagi kesilapan. Saya ini jenis manusia yang apabila bercinta akan memberi sepenuh hati hingga ada kalanya ia melalaikan diri saya sendiri.

“Selepas ini, saya tak kisah kalau ditakdirkan bertemu pengganti di kalangan artis ataupun orang biasa. Mungkin bercinta dengan orang biasa akan kurang sedikit perhatian khalayak. Saya pun masih muda dan masih jauh lagi perjalanan saya,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem Puteri Kayangan mengisi slot Cerekarama TV3 tidak lama lagi.

Berbicara lanjut mengenai dunia seni, Juliana yang pernah dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2009 mengharap kerjayanya akan terus bersinar pada tahun ini dan mendatang.

“Saya berlakon dan mengacara ini pun secara sambilan. Ia demi pengalaman dan di samping menambah wang saku. Tapi saya tidak menyangka, saya ada mempunyai kelompok peminat. Malah ada yang peka dan terus memberi saya harapan untuk meneruskan kehidupan selepas putus cinta.

“Tapi apa yang boleh saya katakan, secara kebetulan selepas putus cinta, kerjaya saya semakin bersinar. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Masa putus dengan Sam, saya akui jadi lemah dan memilih pergi bercuti menenangkan jiwa dengan kawan seperti ke Singapura, Melaka, Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian,” katanya yang sudah berlakon empat buah filem iaitu Kami, Hopperz, Adik Manja Returns dan Hantu Boceng.

Selepas selesai menjalani penggambaran Hantu Boceng arahan Ahmad Idham bersama Zizan Raja Lawak, Juliana tidak menafikan keserasiannya dengan pelawak terkenal itu semakin bercambah. Malah di laman Twitter, masing-masing gemar berseloroh seperti pasangan bercinta.

“Kami boleh ngam tapi bukanlah sampai ke tahap bercinta. Perangai gila-gilanya itu memang cukup kelakar. Zizan seorang pelawak yang bijak. Kalau bercakap memang mengalahkan pakar motivasi dan penceramah. Senang cerita, dia memang menggembirakan hidup saya. Kami juga rajin lepak, kalau ada masa terluang,” katanya yang kelihatan anggun dalam busana rekaan Wanpa for Suteramas.

Hero pelapis

BERALIH cerita kepada Zain, drama Suraya yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 tahun ini antara penampilannya yang menarik perhatian ramai. Watak lelaki mualaf bernama Steve yang dipegangnya di dalam drama itu pada mulanya hanya watak pembantu yang kemudiannya dikembangkan menjadi watak penting.

Difahamkan semua berpunca daripada watak utama yang sedia ada seperti Fizo Omar dan Remy Ishak yang terpaksa ‘dihentikan’ kerana kedua-dua pelakon itu terikat dengan komitmen produksi lain. Lalu, tuah sekali gus menyebelahi Zain.

Sebelum Suraya, Zain pernah berlakon watak tambahan dan itu satu proses biasa sebelum diketengahkan sebagai watak utama. Kebelakangan ini, sudah mula yang menyedari kehadirannya hingga memberi jolokan sebagai hero pelapis. Zain bermula sebagai pelakon iklan.

“Ikutkan sejak kecil lagi, ibu akan membawa saya dan Sasha untuk menghadiri uji bakat berlakon iklan. Proses itu berlarutan sampai saya di tingkatan tiga. Kemudian, saya berhenti berlakon iklan demi memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya pernah bekerja sebagai pelayan dan barista di restoran serta hotel. Saya juga pernah bekerja sebagai jurulatih kecergasan di gimnasium. Dua tahun lalu, saya pernah ditawarkan berlakon oleh MD Fadzil Teh yang juga pemilik Zeel Production Sdn Bhd, tetapi saya terikat dengan kerja di gim.

“Tetapi selepas mengetahui yang saya sudah berhenti kerja sebagai jurulatih kecergasan tahun lalu, Fadzil menawarkan saya peluang berlakon drama Suraya dan ketika itu penggambaran drama terbabit sedang rancak dilakukan. Peluang kedua itu saya gunakan sebaik mungkin,” katanya bersemangat.

Menurut Zain, dunia lakonan yang dulunya dianggap sekadar mencuba dan suka-suka, akhirnya menjadi kecintaannya. Berbanding lakonan, dunia nyanyian sebenarnya lebih dulu diminatinya. Zain pernah merakamkan lima buah lagu bersama Sasha dan bekas kakak iparnya, Hana. Namun projek itu terbantut atas sebab tertentu.

“Insya-Allah pada masa mendatang, kalau ada peluang untuk saya meneruskan minat dalam dunia nyanyian, saya akan memastikan ia menjadi kenyataan. Seiring dengan peredaran masa, saya mungkin akan mengubah aliran muzik saya atau memberi nafas baru,” katanya yang turut berlakon dalam drama Awan Dania musim ketiga.

Kata Zain lagi, untuk tahun ini dan mendatang, dia berharap rezekinya untuk terus melebarkan sayap bukan saja sebagai pelakon, sebaliknya sebagai pengacara, penyanyi dan juga ke layar perak akan menjadi kenyataan.

“Saya mahu mempelbagaikan bakat saya dan tidak mahu terus statik sebagai pelakon saja. Saya akan manfaatkan peluang yang ada di depan mata sebaik mungkin,” kata jejaka campuran Melayu dan Inggeris itu.

Info Juliana Evans:

Nama Penuh: Juliana Sophie Johari Evans
Tarikh Lahir: 5 Julai 1989
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Drama: Kami The Series, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Sayang Cendana, Cheritera, Cornetto Inikah Cinta, Natrah
Filem: Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Halilintar Pengacaraan: E-Zone, Majalah Moral, Bintang Kecil Raya, Remaja dan Era TV (setiap Khamis, jam 11 malam di Astro Ria)
Komersial: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear

Info Zain Saidin:

Nama penuh: Mohamad Zain Mohd Saidin
Tarikh lahir: 23 Februari 1984
Tempat lahir: Hospital Pantai, Bangsar
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Drama: Suraya, Kiah Perkasam, Awan Dania 3, Duyung Aridinata
Komersial: Hitachi, Vicks, KFC, Kodomo Lion, Kellog’s Choco
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails