Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sasha enggan dedah punca cerai

TANGGAL 25 Jun lalu, kehadiran pelakon dan penyanyi Sasha Mohamad Saidin, 35, bersama ibunya ke Mahkamah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian segelintir pihak media yang sedang membuat liputan satu kes khalwat seorang pelakon. Ketika itu Sasha yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite dilihat berbaju kurung dan berselendang hitam telah memasuki kawasan yang menempatkan Jabatan Agama Islam daerah Gombak Timur sebelum masuk ke mahkamah rendah bersama ibunya. Apabila ditanya oleh pihak media mengenai kehadirannya di situ, ternyata artis jelita kacukan Melayu-Inggeris itu agak terkejut. Namun, dia sekadar memberi alasan mempunyai urusan berkenaan hal keluarga. Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu telah membuat pendedahan yang pastinya cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya pengikut perkembangan dunia seni. Kosmo!: Semalam beberapa orang wartawan melihat kehadiran Sasha dan ibu ke Mahkamah Syariah Gombak Timur. Apakah tujuan Sasha hadir ke mahkamah tersebut? Sasha: Sebenarnya tujuan saya hadir ke mahkamah tersebut kerana mahu membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini saya memang mahu bercerai dengan suami saya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono. Sebelum ini tiada sebarang cerita kontroversi yang membabitkan Sasha dan suami. Jadi, kenapa tiba-tiba mahu bercerai pula? Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan mengenai perkara yang sebenar sehingga saya membuat keputusan untuk bercerai. Mungkin kalau sudah tiba masa yang sesuai nanti, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami berdua. Namun, sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu. Adakah Sasha akan membuat sidang akhbar khas dengan media untuk menceritakan permasalahan yang berlaku? Saya tidaklah terfikir untuk membuat cara yang sebegitu. Cuma saya mahu segala yang berlaku dapat diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang boleh saya nyatakan, keputusan untuk bercerai ini merupakan keputusan kami bersama. Bagaimana pula dengan perkembangan terkini kerjaya Sasha? Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Natrah pada bulan lepas dan akan disiarkan di saluran RTM sebanyak 13 episod. Drama berkenaan diarahkan oleh Along Kamarudin dan saya memegang watak Adeline Hertogh yang merupakan ibu kepada Natrah. Ketika konsert sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 baru-baru ini, Sasha dan anggota kumpulan Elite yang lain seperti Azza, Linda dan Watie turut membuat persembahan. Jadi, adakah Sasha tidak teringin untuk kembali menghasilkan semula album bersama Elite? Kalau diikutkan sehingga kini hubungan saya dan anggota Elite yang lain masih lagi rapat. Namun, untuk kembali membuat kemunculan bersama-sama dengan menghasilkan album baharu agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga. Namun, saya sangat gembira semasa mengadakan persembahan semasa konsert tersebut apabila mereka yang datang turut menyanyi bersama-sama lagu yang kami nyanyikan iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu. Adakah Elite pernah mendapat tawaran untuk menghasilkan album? Tidak dinafikan tawaran tersebut masih lagi ada dan saya sendiri memang sangat teringin melahirkan album terbaharu bersama Elite. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu album baharu tersebut mendapat sentuhan daripada KRU. Lagipun KRU yang membentuk Elite sehingga kami menjadi antara kumpulan wanita yang dikenali ramai.

Elfira Loy nafi berlagak

UMURNYA baru mencecah 18 tahun, namun masa depan Nurul Elfira Loy atau Elfira Loy dalam bidang seni tanah air dilihat semakin cerah. Bersandarkan raut wajah manis serta keningnya yang terukir rapi, tawaran berlakon yang menanti gadis berjiwa kental ini datang mencurah-curah hari demi hari. Namun sebagai seorang anak seni, dia tidak dapat lari daripada asam garam dunia glamor yang penuh ranjau ini. Terbaru, dia ditohmah sudah mula berlagak! Bukan setakat itu, gadis kecil molek ini turut dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang dimilikinya sehinggakan ada yang mengatakan dia alergi dengan barangan tidak berjenama. Tidak mudah melenting, Elfira membalas kembali dakwaan tersebut. Katanya, jika benar sekalipun dakwaan tersebut, ia adalah untuk kepuasan diri dan yang paling penting, datang daripada hasil titik peluhnya sendiri. Ikuti temu bual dengan heroin telefilem popular, Biar Mimpi Sampai ke Bintang yang sedang mengemas rumah ketika dihubungi Kosmo! pagi semalam. Kosmo!: Timbul satu perkhabaran yang mengatakan anda sudah mula pandai berlagak. Benarkah kenyataan ini? ELFIRA: Saya sebenarnya sedikit hairan bagaimana perkara sebegini boleh timbul sedangkan setahu saya, sifat suka menggedik dan berlagak tidak pernah wujud dalam diri saya. Mereka yang mengenali saya semuanya mengetahui bahawa saya bukanlah jenis yang terlalu terbuka dengan orang yang tidak dikenali. Bagaimanapun, jika saya sudah percaya dan selesa dengan seseorang itu, barulah saya menjadi peramah. Jadi, dari mana datangnya sifat berlagak itu pula? Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan sifat anda yang gedik? Bagaimana orang boleh melabel saya sebagai gedik? Bila pula mereka melihat saya berperangai sedemikian? Jujur saya cakapkan, saya jarang keluar bersosial di tempat-tempat awam tanpa kehadiran ibu saya. Jadi, jika saya jarang berada di khalayak ramai, bagaimana pula mereka boleh melihat saya gedik? Saya sendiri tidak faham kenapa isu ini dibangkitkan. Berdasarkan apa yang ditulis dalam sebuah akhbar, anda dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang anda miliki. Adakah benar dakwaan tersebut? Pada saya, kita tidak perlu untuk bercerita mengenai barangan tersebut kerana jika betul ia berjenama, orang lain pasti akan perasan sendiri. Lagipun tiada sebab untuk saya menghebah-hebahkan perkara tersebut kecuali ditanya mengenainya. Kalau ada orang bertanya, mestilah kita perlu menjawabnya. Namun untuk pengetahuan semua, saya tidak terlalu memilih sama ada sesuatu barangan itu berjenama atau tidak, yang penting saya selesa memakainya. Jadi benarlah Elfira memang gemar membeli barangan berjenama? Memang tidak dinafikan kadangkala saya ada membeli barangan yang berjenama seperti kasut dan beg tangan. Namun semua itu dibeli untuk kepuasan diri saya sendiri. Barangan tersebut lazimnya berkualiti tinggi serta tahan lama. Oleh itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang. Kasut yang dibeli pada tahun ini mungkin boleh digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Pada usia yang masih muda, adakah sukar untuk mengawal kehendak untuk membeli barangan berjenama? Saya sudah mula bekerja sejak berusia 12 tahun jadi saya tahu bertapa susahnya untuk mencari duit sendiri. Oleh sebab itu, saya sentiasa mengawal perbelanjaan dan tidak terlalu mengikut nafsu. Jika saya benar-benar inginkan sesuatu, saya akan berusaha mengumpul duit untuk mendapatkannya terutamanya jika barangan tersebut mahal dan berjenama. Saya tidak dapat melihat di mana silapnya kerana saya berbelanja dengan menggunakan hasil titik peluh saya sendiri. Bagaimana anda mengawal perbelanjaan? Ke mana-mana saya pergi, ibu saya sentiasa berada di sisi. Ibu yang banyak membantu menguruskan pendapatan saya. Setiap kali mendapat bayaran, saya dan ibu akan membahagi-bahagikan wang tersebut mengikut keperluan. Ada yang digunakan untuk membeli kelengkapan untuk berlakon, pembelajaran dan kegunaan seharian. Untuk berseronok pula, saya lebih gemar menghabiskan wang untuk keluarga. Rezeki anda dalam bidang lakonan dilihat semakin melimpah-ruah, jadi apakah perkembangan terbaharu dalam kerjaya anda? Alhamdulillah, saya semakin mendapat kepercayaan untuk melakonkan watak-watak yang lebih besar berbanding watak kanak-kanak sebelum ini. InsyaAllah dalam bulan Oktober nanti, drama terbaharu saya, Dalam Hati Ada Taman akan ditayangkan. Selain itu, saya juga akan terlibat dengan dua produksi filem yang bakal memulakan penggambaran pada hujung tahun ini.

Anang-Ashanty, pasangan sebulan

PERNIKAHAN Anang Hermansyah dan Ashanty genap sebulan pada tarikh 12 Jun lalu. Suami isteri itu bagaimanapun mengaku belum sempat berbulan madu. Pasangan ini mengaku kerap menghabiskan waktu terluang dengan berjalan-jalan. "Belum hamil, baru satu bulan. Kami baru pulang dari Lombok," ujar Ashanty. Destinasi Anang dan Ashanty ke Lombok untuk bercuti namun mereka tidak pernah berdua. Mereka selalu membawa kedua-dua anak-anak Anang hasil perkahwinan terdahulu, Aurel dan Azriel. "Kita pergi berbulan madu tetapi tidak berdua-dua, sama anak-anak juga. Jadi ramai. Sebenarnya tidak niat untuk merayakan sebulan pernikahan. Cuma waktu di sana ada yang mengingati kami akan tarikh itu. Satu bulan nikah, akhirnya kita raikan saja," kata Ashanty.

Perangai buruk Ramona Zam Zam

MINGGU lepas, mulut becok si Gayah Debab berbuih-buih bercerita kat Diva pasal Ramona Zam Zam. Diva tanya satu perkara sahaja; siapa Ramona Zam Zam. Dia wajah jenama air atau duta kosmetik. Kalau artis, apa drama atau filem lakonan dia? Jenuh jugalah Gayah kerutkan kening nak ingatkan apa lakonan Ramona Zam Zam yang rasa-rasanya tak ada orang nak ingat sangat. Kata Gayah, pelakon itu sekadar tumpang nama program realiti pencarian bakat majalah, selebihnya jual kisah kontroversi yang tak habis-habis keluar dari mulutnya. Paling baharu, katanya si Ramona ni sudah pandai memilih. Bagus kalau pandai memilih, maknanya ada cita rasa tapi kalau memilih tak ukur badan sendiri, itu namanya saja nak menempah binasa. Dah namanya artis, suam-suam kuku pun artis juga, kalau memilih jurusolek, pereka fesyen ke, itu biasa. Tambah Gayah, Ramona tahun ni dah pandai pilih regu dalam sesi fotografi. Kalau setahun lepas, peluk dengan tiang karat pun sanggup! Tapi sekarang, jangan sesuka hati nak gandingkan dia, kalau bukan dengan calang-calang orang. Dah dua tahun dalam industri, mungkin dia rasa dia dah cukup hebat. Jadi, untuk gandingan dalam fotografi pun kena dengan nama besar sahaja, setakat pelakon tambahan dia tolak mentah-mentah okey. Eh, kalau macam tu, Diva pun boleh buat syarat sebab sudah berdekad jadi penulis. Jadi, kalau setakat artis baharu setahun jagung nak minta ruangan perkenalkan diri dengan Diva, maaflah, carilah wartawan baharu ya! Jemari matang ini tidak betah menulis cerita artis baharu nak naik, muaklah! Itu jawapan sama yang Diva dengar 10 tahun sudah!

Mizz Nina memerah keringat

SOROT matanya redup menahan penat yang menjengah saban ketika. Lewat usia kariernya yang kini sudah berada di takat selesa berbanding dulu, Mizz Nina berjaya meletakkan dirinya dalam legasi sendiri. Benar dia bukan penyanyi yang mencabar kualiti vokalnya dengan lagu skala tinggi namun dia berani mencorakkan persada seni yang diceburi. "Alhamdulillah kini hala tuju karier saya semakin jelas dan pintu rezeki sentiasa terbuka," ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Tidak bergantung pada status keluarga, pemilik nama Shazrina Azman itu yakin akan kemampuannya berdiri atas kaki sendiri dalam segala aspek. Buktinya, selepas sambutan Aidilfitri tidak lama lagi Nina akan muncul bersama konsert jelajah hasil keringat dan titik peluh sendiri. "Insya-Allah, kalau tiada aral melintang saya ingin buat konsert jelajah sekitar September. "Konsert itu merangkumi Malaysia, Hong Kong dan Thailand," ceritanya bersungguh-sungguh. Kata Nina, dia masih mencari penaja untuk siri jelajah yang memendam sejuta makna bagi dirinya. Dalam pada itu, kalendar tahun 2012 milik Nina juga sudah semakin penuh terisi . "Tahun 2012 merupakan tahun yang sibuk bagi saya kerana banyak perancangan sementelah album Take Over dilancarkan pada bulan Mei lalu. "Bagaikan kena tepat pada masa, saya diundang pula untuk membuat persembahan pembukaan konsert MTV World Stage nanti," bicaranya menyusun kata. K-Pop Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan mentafsirkan jiwa Nina yang bergelojak saat diberi peluang beraksi selama 30 minit untuk konsert mega yang bakal berlangsung pada 14 Julai di Surf Beach, Sunway Lagoon kelak. "Konsert ini sangat besar maknanya kepada saya, ia umpama mimpi jadi realiti! Memang sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di pentas MTV World Stage. "Lagi pula saya akan berkongsi pentas dengan Justin Bieber, Jay Park dan Kara, itu yang bertambah teruja," luncur katanya. Singkap Nina, pengalaman pertama kali ini tidak akan dipersiakan dan pelbagai kejutan akan dihadiahkan buat peminat. "Saya akan menyampaikan beberapa buah lagu antaranya What You Waiting For, Take Over dan Rentak Yang Sama, tapi selebihnya rahsia. "Konsert ini kali pertama saya menukar persalinan ketika menyanyi dan elemen yang saya ketengahkan adalah kuasa wanita! Saya juga tekankan permainan grafik dan pencahayaan," cerita Nina. Demi memantapkan persembahan itu lagi, Nina kini sedang giat menjalani latihan bersama penari-penari profesional setiap malam Isnin hingga Jumaat selama tiga jam. Janjinya lagi, dia akan turut mendendangkan sebuah lagu yang belum pernah dinyanyikannya sebelum ini semata-mata untuk konsert itu. Sementara itu, bisik Nina dia baru disunting oleh penyanyi K-Pop dari Korea untuk berduet dalam lagu terbaharu. Namun, jelasnya status itu masih dalam perbincangan. "Ini peluang saya untuk menerpa ke pasaran antarabangsa, memandangkan mereka yang berminat untuk bekerjasama maka tidak pula salahnya. "Kami boleh menggabungkan idea terbaik kami untuk mencambahkan muzik," kata Nina. Sedikit khabar mengenai album solo keduanya, Take Over yang sudah menjengah pasaran Jepun dan Singapura, cerita Nina, rata-rata pendengar memberikan respons positif. "Kelainan corak muzik antaranya beberapa lagu remix mencuri perhatian ramai, peminat pun kebanyakannya selesa mendengar arah muzik baharu seperti itu," ujarnya. Zuriat Dia bersedia, selaku penghibur harga privasi yang mudah diperdagangkan harus ditelan bulat-bulat. Tidak lari daripada tanggungjawab isteri kepada seorang penyanyi, ungkap Nina dimensi karier dan rumah tangga dua item berbeza. "Masing-masing faham tugas sebagai penghibur, saya dan Noh tidak putus memberi sokongan padu untuk karier masing-masing. Usai melangsungkan perkahwinan dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh pada sambutan hari jadinya ke 31 pada 1 Julai tahun lalu, bertalu-talu soalan perancangan keluarganya diaju. "Insya-Allah tahun depan kami merancang untuk mendapatkan cahaya mata, tapi kita tunggu dan lihat," jawab Nina.

Shila bakal berkahwin?

MEMANG percintaan penyanyi Shila Amzah dan aktor, Shaarnaz Ahmad sudah diketahui umum dan khalayak juga tertunggu-tunggu bila pasangan itu mahu mendirikan rumah tangga. Masakan tidak, ke mana sahaja pergi, Shila pasti ditemani Shaarnaz dan begitulah sebaliknya. Mereka ibarat pasangan dua sejoli yang tidak boleh dipisahkan lagi. Sabtu ini, Shila juga akan berada di Festival Pengantin Malaysia, di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Mungkinkah Shila ke situ untuk meninjau pakej-pakej menarik tempahan perkahwinan impiannya? "Mana ada, saya ke situ sekadar untuk menghibur para tetamu. Hubungan saya dengan Shaarnaz bukan sampai ke tahap perkahwinan. Kami masih belajar memahami antara satu sama lain. Lagipun saya masih muda dan banyak perkara yang belum dicapai. "Saya mahu pastikan kerjaya seni berada pada tahap yang memuaskan. Namun saya tidak nafikan begitu teruja diundang menjayakan Festival Pengantin Malaysia. Sikit sebanyak membuka mata saya soal perkahwinan impian. Ia adalah pengalaman baru buat artis muda seperti saya," katanya. Sebenarnya Shila merupakan artis jemputan ke festival berkenaan yang bermula Jumaat ini. Shila bakal menghiburkan orang ramai dengan rangkaian lagu popularnya termasuk Patah Seribu, Beribu Sesalan dan single terbaru, Sedar. Penganjurnya, Nor Sharlina Abdul Rashid, berkata, kehadiran Shila pastinya menarik perhatian pengunjung terutama bakal pengantin baru untuk memeriahkan festival tersebut. "Artis dan Festival Pengantin Malaysia saling memerlukan. Kami tidak pernah ketinggalan mengundang barisan artis popular untuk memeriahkan acara yang diadakan. Acara festival mendapat sambutan ramai dengan kehadiran artis yang menjadi penyeri. "Festival Pengantin Malaysia turut membuka peluang kepada selebriti yang bakal naik pelamin. Kami akan membantu mencari penaja dan menguruskan majlis pernikahan dan resepsi," katanya. Tambahnya, 100 pengunjung pertama setiap hari akan menerima cenderahati istimewa daripada Inani Craft. Selain itu, mereka juga menerima aiskrim percuma daripada Wafi Soft Ice Cream. Untuk keterangan lanjut sila layari Facebook - Festival Pengantin Malaysia.

Serina tidak sedih

BIARPUN perjuangan Serina Redzuawan dalam MasterChef Malaysia tidak sampai ke peringkat akhir namun anak Chef Wan itu puas hati. Kata Serina, banyak perkara yang dipelajari selama beberapa minggu berada dalam program terbitan Astro itu. “Walaupun bapa dan abang adalah chef, saya ini tidaklah pandai memasak seperti mereka tapi masak untuk makan sekeluarga itu bolehlah. “Banyak ilmu yang saya pelajari dan benda-benda yang tidak pernah buat di rumah. Kalau selama ini saya tidak pernah masak udang kara, masuk MasterChef kena masak. Kelam kabut juga sebab selama ini makan udang kara di restoran saja," katanya ketawa. Sebaik tersingkir daripada program itu, Serina terus turun padang untuk rakaman Jaguh Kampung musim ke-2. “Katalah saya berjaya sampai ke akhir program MasterChef, sudah tentu tidak dapat buat Jaguh Kampung. Apa-apa pun saya gembira kerana berpeluang melakukan program makan-makan ini," katanya. Ibu kepada Tristan Tareef, 2, dan Isabella Saffiya, lima bulan itu bukan sahaja sibuk di lokasi malah dia juga sibuk sebagai penerbit menerusi YKS Film Maker Sdn. Bhd., yang diterajui bersama Yusuf Kelana. “Tahun ini saya nak kembangkan perniagaan terutama dalam penerbitan dan produk kecantikan kerana saya adalah duta untuk produk kecantikan C’est Belle, keluaran tempatan. “Itulah, bulan puasa ini saya cadang nak buka gerai kat Bukit Jalil, nak jual produk kecantikan dan biskut raya yang saya buat sendiri," ceritanya.

Sambil menyelam minum air - Sazzy Falak

SEJAK melahirkan bayi kembarnya, Imaan Lily dan Tiara Rose lebih setahun yang lalu, Sazzy Falak mengakui kehidupannya lebih fokus kepada keluarga. Jarang sekali dia mendapat peluang untuk bercuti panjang selepas bergelar ibu berbanding sewaktu zaman solonya. Pernah juga Sazzy terfikir alangkah nikmatnya seandainya dia dapat menghabiskan masa bercuti bersama suami tercinta, Nazril Idrus atau lebih dikenali sebagai Nash. Justeru apabila suaminya yang berkhidmat dengan sebuah syarikat pelaburan terkemuka diberi percutian insentif ke Los Angeles dan Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), Sazzy melihatnya sebagai peluang terbaik untuk melepaskan tekanan. “Percaya atau tidak, saya memang berasa sedih dan gembira dalam satu masa kerana inilah pertama kali saya terpaksa meninggalkan anak-anak dalam waktu yang lama. “Sebelum ini, paling lama pun dua hari sahaja sewaktu saya ke Bangkok, Thailand. Tetapi apabila mengenangkan lebih seminggu perlu jauh daripada mereka, ia membuatkan saya sedikit risau. “Tetapi selepas beberapa hari di Los Angeles, barulah saya sedar yang sememangnya saya amat memerlukan percutian ini," kata Sazzy sambil ketawa sewaktu dihubungi S3, baru-baru ini. Berada di sana pada 27 Mei lalu, antara lokasi wajib yang sempat dikunjunginya sepanjang sembilan hari di sana termasuklah Universal Studios, Hollywood & Highland, Beverly Hills, Bel Air dan Santa Monica. Kunjungannya ke destinasi popular di bumi Uncle Sam itu bukanlah yang pertama. Sebaliknya, ia adalah kali ketiga dan apa yang membuatkan percutian kali ini lebih bermakna ialah apabila Sazzy dapat menghabiskan masa yang panjang bersama suami. Katanya lagi, meskipun dia dan Nash selalu mencuri masa untuk bertemu sewaktu makan tengah hari atau makan malam tetapi apabila bercuti bersama, perasaannya sedikit berbeza. “Maklumlah, kami berdua sibuk dengan karier. Disebabkan itu, saya dan Nash pasti akan mencari masa untuk berjumpa. Tetapi percutian kali ini memang berbeza. “Saya dapat bersamanya hampir setiap waktu dan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama. Kenangan yang tidak akan kami lupakan sewaktu kali pertama mengunjungi Grand Canyon. “Sempat juga kami menaiki bot menyusuri Sungai Colorado dan sesungguhnya ia adalah pengalaman yang cukup indah. “Malah kami juga dapat melihat keseluruhan pemandangan kawasan Grand Canyon yang cukup menakjubkan dengan helikopter," kata pemilik trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006) menerusi filem Gol & Gincu ini penuh teruja. Dalam masa yang sama, Sazzy atau nama sebenarnya, Sazlini Shamsul Falak memberitahu, keterujaannya memuncak apabila kali pertama menjejakkan kaki ke Las Vegas. Sewaktu di sana, mereka telah mengunjungi pelbagai destinasi yang selama ini hanya ditonton di kaca televisyen mahupun majalah. Alang-alang sudah sampai ke Las Vegas, Sazzy juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton persembahan teaterikal oleh Cirque de Soleil berjudul O di Bellagio. “Kata orang, adalah menjadi satu kerugian apabila tidak menonton persembahan hebat itu. Apa yang boleh saya katakan, ia memang cukup mengagumkan," kata pemain watak Shasha dalam filem dan siri televisyen Gol & Gincu ini lagi. Bagaikan satu kemestian, tidak sah percutian ke Los Angeles dan Las Vegas tanpa membeli-belah dan ia adalah salah satu aktiviti wajib Sazzy sewaktu di sana. Katanya, dia dan suami hampir seperti ‘orang gila’ apabila mengunjungi beberapa premium outlets yang menjual barangan berjenama dengan harga murah. “Ibu saya ada berpesan kalau hendak bercuti, usah terlalu memikirkan ole-ole untuk orang. Tetapi apabila di sana, saya tidak mampu mengelaknya. Hasilnya, memang banyaklah yang saya borong. “Sekali-sekala dan memikirkan entah bila lagi akan ke sini, tidak ada salahnya untuk saya shopping sakan di sana," cerita wanita berusia 31 tahun ini sambil ketawa.

Hajat Osman Kering Mahu Meninggal Dunia Di Sisi Isteri Makbul

PETALING JAYA: Anak ketiga pelakon dan pelawak Allahyarham Osman Kering iaitu Nor Ain berkata dia sekeluarga berasa lega apabila hasrat terakhir Allahyarham untuk meninggal dunia di pangkuan isterinya Che Norhayati Che Omar, 48, termakbul. Allahyarham atau nama sebenarnya Osman Kassim, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, Jumaat selepas koma sejak 11 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak. Menurut Nor Ain, 25, dia sekeluarga menerima berita kematian itu dengan reda dan tenang kerana sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sejak bapanya koma selepas mengalami batuk berdarah di rumah mereka di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, dekat sini. “Kami reda dan tenang menerima kematian ayah kerana sudah bersiap sedia sejak dia koma lagi. Pernafasannya yang terhenti kira-kira 20 minit pada masa kejadian mengakibatkan otaknya membengkak kerana ketiadaan udara dan sekali gus menjejaskan sistem organ dalaman. “Namun sebelum dia koma, ayah sempat berpesan dia mahu meninggal dunia di pangkuan ibu. Kebetulan pada hari tersebut, ayah rebah di pangkuan ibu dan terus koma selepas itu. Pada hari ini (Jumaat), ayah meninggal dunia di sisi ibu dan kami anak beranak,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat petang. Ditanya mengenai kenangan dan pesanan terakhir Allahyarham sebelum koma, Nor Ain berkata, ayahnya begitu sinonim dengan keletah suka bergurau bersama anak-anak.
“Tiada ada apa-apa yang dapat kami berkongsi dengan ayah pada saat-saat terakhir hayatnya kerana dia sudah berada dalam keadaan koma. Cuma sebelum koma, ayah pernah berpesan kepada anak-anaknya agar menjaga ibu dengan baik. “Malah, dia juga pernah bercakap kepada saya sama ada dia berpeluang untuk melihat cucu keempatnya yang sedang saya kandungkan pada waktu ini. Ayah akan terus diingati kerana sikapnya yang suka bergurau senda dan mengusik anak-anak,” kongsinya. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Najihin, Taman Tasik Permaisuri, Cheras selepas solat Maghrib, Jumaat dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tandang di sini, malam yang sama. Sebelum ini terdapat khabar angin berita kematian Allahyarham tetapi pelakon itu hanya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana berada dalam keadaan kritikal dan bergantung pada alat bantuan pernafasan di hospital berkenaan. Allahyarham yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang lakonan secara serius selepas dinobatkan naib juara pertandingan Bakat TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979. Pada awal pembabitannya, Allahyarham menggunakan nama Osman Kassim tetapi kurang dikenali ramai. Nama jolokan Osman Kering yang diberikan secara spontan oleh pelawak Mek Habsah ketika mereka mengadakan persembahan pentas pada pertengahan 1980-an, terus melekat dan membawa tuah kepadanya sehingga kekal digunakan ke akhir hayatnya. Allahyarham sudah membintangi lebih daripada 30 buah filem dan puluhan drama televisyen. Antara filem lakonannya adalah XX-Ray, Ringgit Kassorga, Soal Hati, Mr Cinderella, Gila-Gila Pengantin dan Man Laksa. Filem terakhir lakonannya berjudul Oh Mak Kau (OMK) arahan Nurul Ain Nordin menjalani penggambaran pada Mei lalu dan dijangka ditayangkan pada penghujung tahun ini. Allahyarham atau nama sebenarnya Osman Kassim, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, Jumaat selepas koma sejak 11 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak. Selain Che Norhayati, Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak berusia antara 10 tahun hingga 28 tahun dan tiga orang cucu.

Jumpa Di Mekah Petanda Baik Hubungan Irma Hasmie & Redza

PETALING JAYA: Suami kepada pelakon dan pengacara, Irma Hasmie iaitu Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan menyifatkan kehadiran isterinya itu diumpamakan kurniaan Allah yang begitu istimewa. Redza, 31, berkata, dia sangat bersyukur telah dipertemukan dengan Irma, 30, di kota Mekah ketika menunaikan umrah lalu dan yakin pilihan tersebut merupakan jodoh buatnya dunia dan akhirat. "Walaupun perkenalan kami cukup singkat tetapi saya yakin dengan jodoh dan ketentuan Allah yang mempertemukan kami di kota suci, Mekah. "Tambahan pula pertemuan kami di tempat yang paling mulia dan ia adalah petanda baik buat kami berdua. "Alhamdulillahlah perjalanan untuk ke alam perkahwinan ini dipermudahkan," ujarnya ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, Jumaat. Irma dan Redza telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Redza Ahmad dengan sekali lafaz. Pihak perempuan menerima tiga dinar emas sebagai mas kahwin bernilai RM2,220 sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya daripada pengetahuan umum.
Dalam pada itu, Irma ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan perkahwinan tersebut dan tidak sabar untuk memulakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Menurut Irma, sifat Redza yang bertanggungjawab, jujur dan penuh dengan kasih sayang telah membuatkan dia jatuh hati kepada lelaki itu. "Seperti mana kata suami, ketika di Mekah semuanya kelihatan mudah dan pintu hati saya benar-benar terbuka untuk menerima suami," katanya. Tambah Irma, dia akan memastikan jadual kerjanya selepas ini akan lebih teratur supaya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Pasangan tersebut memberitahu amat gembira jika Allah mengurniakan cahaya mata dengan cepat untuk mereka. Dalam perkembangan lain, Irma berkata mereka masih belum menetapkan lokasi berbulan madu mereka dan berharap dapat mengerjakan haji atau umrah bersama-sama sebagai suami isteri. Redza yang bertugas sebagai Pengurus Akaun di Terrapixel Sdn Bhd berkata, dia tidak akan menghalang karier Irma asalkan dia tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri. "Tiada apa yang akan berubah kerana saya izinkan isteri untuk terus dengan kerjayanya sebagai pelakon dan pengacara dan yakin di tahu batasan yang perlu dijaga,” jelasnya yang mengendalikan syarikat berkenaan bersama keluarga.

Neelofa Boleh Terima Maaf Anzalna Tapi Bersyarat

PETALING JAYA: Pelakon jelita Neelofa yang kini hangat "berperang" dengan seorang lagi artis tempatan bernama Anzalna Nasir bersedia menerima permohonan maaf secara terbuka daripada bintang baru itu tetapi dengan beberapa syarat. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, dia sudah menghantar sepucuk surat melalui Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi pada Jumaat yang antara lain meminta Anzalna, 24, memenuhi syarat-syarat berkenaan. "Saya bersedia menerima permohonan maaf terbuka daripada Anzalna kerana kenyataan fitnahnya terhadap saya. Namun sebelum itu, dia perlu menandatangani sepucuk surat yang menyatakan persetujuan terhadap beberapa syarat yang saya tetapkan. "Surat itu sudah saya serahkan kepada Presiden Seniman, Zed Zaidi pada hari ini (Jumaat). Saya merancang untuk mengadakan sidang media mengenai isu ini pada Ahad," katanya secara eksklusif kepada mStar Online. Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu. Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.
Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa. Sementara itu Neelofa berkata, beberapa syarat yang ditetapkan kepada Anzalna dalam surat tersebut adalah sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa. "Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci butiran surat itu atas nasihat peguam tetapi antara syaratnya dia tidak boleh menyebut nama saya dalam mana-mana kenyataan di media selepas ini. "Saya mahu perkara ini berlaku secara ringkas agar dia memohon maaf secara terbuka dengan ikhlas dan belajar sesuatu daripada kejadian ini. Yang penting, nama dan maruah saya dibersihkan semula," katanya. Ditanya pandangannya mengenai kenyataan seorang lagi bintang baru iaitu Tasha Shilla terhadap dirinya sebelum ini, Neelofa berkata dia tidak berkecil hati dan menghormati pendapat aktres itu. "Saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Tasha. Saya tidak terasa hati kerana dia juga ada hak untuk menyuarakan pendapatnya. "Malah saya menghormati pendekatannya yang berdiam diri selepas pelbagai kontroversi antara kami bertiga mendapat liputan meluas di media," katanya. Presiden Seniman Zed Zaidi yang dihubungi mStar Online memberitahu yang beliau telah menerima surat berkenaan dan akan berbincang dengan Anzalna sama ada dia bersetuju atau tidak dengan syarat-syarat yang diberikan itu.

'Artis Perlu Ambil Insuran Agar Tidak Menyesal' - Aida Khalida

PETALING JAYA: Pelakon Aida Khalida menyarankan artis muda supaya mengambil insurans kesihatan dan nyawa sebagai persediaan pada hari tua mereka nanti. Aida, 50, berkata, perkara itu dianggap penting dan boleh membantu mereka pada kemudian hari sekiranya berlaku sesuatu musibah dan perkara yang tidak diingini. "Kita ni sebagai pelakon bukan ada gaji tetap atau imbuhan lain jadi masa tengah muda dan kuat bekerja tu tidak salah mengagihkan sedikit bayaran lakonan untuk simpanan seperti mengambil insurans. "Mungkin pada sesetengah orang anggap ia perkara remeh tetapi sebenarnya ia mempunyai banyak kebaikan dan kegunaan ketika waktu kecemasan," katanya kepada mStar Online. Tambah Aida, dia bukan cuba mengajar artis baru tetapi sekadar memperingati mereka agar tidak lalai dengan keseronokan dunia glamor sehingga melupakan tentang masa depan. "Saya sudah lama dalam industri ini jadi tahu selok-belok tentang bidang ini dan jika golongan artis tidak beringat pasti akan menyesal suatu hari nanti," katanya. Dalam pada itu, Aida berkata, walaupun banyak persatuan seni yang wujud di negara ini, golongan artis tidak boleh terlalu mengharapkan mereka sahaja dan perlu berbuat sesuatu untuk masa depan masing-masing. "Jika hanya nak mengharapkan ihsan orang lain susah juga sebab itu saya kata sejak awal kita perlu sedar bahawa kerjaya sebagai pelakon dan penyanyi bukan selamanya senang dan orang mahukan kita," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaru dirinya, Aida berkata, dia amat bersyukur kerana masih diberi tawaran berlakon sehingga terpaksa menolak beberapa drama kerana kesuntukan masa. Dia juga gembira apabila imej bertudung yang dikenakan tidak pernah menjadi masalah kepada syarikat produksi untuk mengambilnya berlakon. "Alhamdulillahlah walaupun dah 'senja' masih banyak tawaran yang saya dapat dan selagi terdaya saya akan terus berlakon," katanya.

Akim Ahmad Akan Nikah Pada Usia 25 Tahun

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Akim Ahmad berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya empat tahun lagi iaitu ketika mencapai usia 25 tahun kerana beranggapan angka itu paling sesuai untuk dia bergelar seorang suami. Akim, 21, berkata, buat masa ini dia langsung tidak memikirkan mengenai soal teman wanita kerana ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya selain bekerja bagi mengumpul aset. "Saya masih muda dan sebagai lelaki pelbagai impian ingin saya realisasikan terlebih dahulu seperti memiliki kereta, rumah dan aset lain. "Tambahan pula kerjaya nyanyian saya baru stabil dan saya ingin memberi fokus terhadap perkara itu terlebih dahulu," ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran album pertamanya berjudul Akim Ahmad di sini, Rabu. Memperjelaskan hubungannya dengan Stacy, Akim menegaskan hubungan mereka tidak lebih sebagai seorang sahabat.
Akim memberitahu dia senang berkawan dengan penyanyi itu dan bekerjasama dengannya. "Kami tiada sebarang hubungan istimewa dan sekadar sahabat baik. Malah untuk album pertama saya ini kami berduet dalam sebuah lagu bertajuk Kembali dan saya sentiasa senang bekerjasama dengan dia," katanya. Dalam pada itu, bercakap mengenai album terbaru itu, Akim melahirkan rasa syukur kerana penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi. Akim berkata, tidak timbul soal dia perlu menanti lama kerana apa yang lebih penting dia berpuas hati dengan kualiti album yang diterbitkan. "Saya terlibat secara langsung dalam pembikinan album yang mempunyai 10 buah lagu ini dan cukup berpuas hati dengan hasilnya. "Saya juga turut menghasilkan dua buah lagu dan menulis sendiri hampir kesemua lirik untuk album itu. Ia sangat dekat dengan saya," ujarnya. Akim memberitahu dia berharap album ini dapat menyentuh hati para peminat kerana segala usaha telah dicurahkan dalam karya tersebut. Sementara itu, Akim terkejut apabila syarikat rakaman Sony Music Indonesia turut berminat untuk memasarkan album tersebut di negara itu. "Siapa yang tidak mahu melebarkan sayap ke negara seberang tetapi jika belum rezeki, tiada apa perlu disesalkan kerana saya boleh menumpukan aktiviti sepenuhnya di negara sendiri," katanya. Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Menunggu, Daya Cinta, Mesti Ada Cinta, Tentang Dia dan Yang Nyata.

Suami Semakin Romantik Selepas Haiza Mengandung

KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza menyifatkan pendapat mengatakan kehadiran anak mampu mengeratkan lagi perhubungan suami isteri ternyata benar apabila dia dan suaminya lebih mesra dan akrab sejak mengandung bayi sulung. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin berkata, sejak enam bulan usia kandungan, suaminya, Norhanapfe Omar, semakin peka terhadap kesihatan Haiza selain kedua-duanya semakin romantik di antara satu sama lain. "Saya setuju dengan kata-kata orang bahawa anak mampu mengeratkan lagi ikatan suami isteri menjadi lebih kukuh kerana saya juga merasainya. "Malah dia lebih romantik daripada biasa dan terlalu prihatin dengan keadaan diri dan anak yang saya kandungkan ini," katanya. Bagaimanapun, tambah Haiza, hal ini tidak bermakna perhubungan antaranya dan suami sering dilanda masalah sebelum mengandung. Sepanjang lima tahun perkahwinan tanpa anak, Norhanapfe kerap memberi semangat dan nasihat apabila Haiza tertekan gara-gara kesukarannya untuk mengandung. "Diakui, awal dua tahun perkahwinan kami, saya tertekan kerana tidak mempunyai anak, walaupun saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah ketika mendapatkan pemeriksaan doktor. "Dan ketika itu suamilah yang tidak putus-putus memberi semangat kepada saya dan alhamdulillah kami tidak pernah bergaduh kerana ketiadaan anak.
"Mungkin juga kerana keluarga kami juga tidak mendesak, ia sedikit sebanyak tidak membuatkan kami tertekan," ujarnya. Haiza bernikah dengan Norhanapfe di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007. Sementara itu, penyanyi dangdut itu akan muncul bersama Jaafar Onn bagi menghiburkan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa di Hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur pada bulan Ramadan nanti. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Haiza dan Jaafar akan mempersembahkan lagu-lagu Hari Raya bagi menghiburkan pengunjung yang hadir. "Menarik lagi pada tahun ini, saya juga akan menjual kuih tradisional yang diberi nama 'Citarasa Haiza Cakar Ayam'. "Saya menjual kuih tersebut yang dibuat oleh golongan ibu-ibu tunggal di Johor Bahru dan ia kemudiannya dijual dengan harga yang sangat berpatutan, hanya RM28 bagi sebekas yang besar," katanya. Dalam pada itu, pengunjung yang ingin berbuka puasa di hotel tersebut pastinya berpuas hati dengan makanan yang disediakan kerana ia memenuhi selera pengunjung dengan masakan-masakan popular ala kampung. Pihak hotel juga menyediakan pelbagai juadah seperti gado-gado, hati ayam goreng berempah, sambal, ulam, pisang dan cempedak goreng, serawa durian, daging masak Arab, sambil tumis udang petai, pucuk paku lemak cili padi dan sotong tumis jintan. Turut tersedia hidangan pencuci mulut, sagu sejuk bersama kelapa, kuih nyonya, bubur cha-cha dan bubur pulut hitam. Kadar bayaran berbuka RM69++ seorang.

Faizal Hussein Mohon Maaf, Tidak Niat Menyindir Dalam Buku

KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Hussein menjelaskan buku pertama tulisannya berjudul Limelight bukan bertujuan untuk menyindir atau mengaibkan mana-mana pihak di dalam industri perfileman tanah air. Faizal berkata, buku itu sebaliknya memaparkan realiti sebenar dunia perfileman tempatan berdasarkan pengalamannya selama 40 tahun bergelar pelakon. "Mungkin beberapa kandungan dalam buku ini akan menyinggung pihak tertentu tetapi semua itu adalah fakta dan cerita yang saya dengar dan lalui dalam industri perfileman sepanjang 40 tahun. "Terlebih dahulu saya mohon maaf kepada semua jika ada yang kurang senang atau terasa. Namun ia dihasilkan untuk tatapan dan panduan kepada warga seni khususnya yang baru mengenai selok-belok industri," ujarnya kepada mStar Online. Limelight memaparkan corat-coret dunia perfileman daripada kaca mata aktor itu.Ia juga adalah perkongsian kisah peribadi Faizal yang dilahirkan daripada keluarga seni aktor dan pengarah veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan dan aktres Allahyarham Mahyon Ismail. Buku setebal 200 halaman itu diterbitkan Merpati Jingga dan bakal dipasarkan tidak lama lagi. Bercerita lanjut, Faizal menyifatkan buku tersebut sebagai medan terbaik untuk dia memberikan panduan dan bimbingan kepada karyawan muda berhubung matlamat sebenar dalam dunia seni. "Majoriti artis baru hanya melihat bidang ini untuk popular dan hidup mewah sedangkan anak seni mempunyai tanggungjawab yang besar kepada masyarakat. "Saya mahu berkongsi dengan anak seni dan pekerja-pekerja filem dan membetulkan matlamat sebenar dan tanggungjawab mereka berdasarkan pengalaman saya selama ini," luahnya. Ditanya mengenai keberaniannya mendedahkan realiti sebenar industri filem dalam buku itu, Faizal berkata dia bersedia menerima pelbagai reaksi ekoran tindakan itu. "Saya sedar apabila kita bercerita dengan ikhlas mengenai sesuatu kebenaran, pasti ada pihak yang tersinggung dengan pendedahan itu. "Ada banyak kisah sebenar berkaitan pengalaman dan luahan arwah bapa saya mengenai industri, selain cerita peribadi saya dan keluarga. Tapi saya berasa ia perlu dikongsi kepada khalayak," akuinya. Dalam perkembangan lain, Faizal berkata dia bakal memulakan penggambaran filem terbaru arahan Bade Hj Azmi berjudul Hitam Putih tidak lama lagi. Dua filem lakonannya, Pencinta dan Gila-Gila Remaja masih menantikan slot tayangan di pawagam.

Cerai : Raja Azmi Terima ‘Hadiah’ Allah Kerana Cuai

KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan “hadiah” yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan. "Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya. “Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin. Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini. Raja Azmi berkata, dia atau bekas suami tidak menetapkan tarikh tertentu bagi permohonan perceraian berkenaan sebaliknya tarikh itu adalah secara kebetulan kerana ia ditentukan oleh pihak mahkamah.
Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini. "Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini. "Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya. Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18. Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya. Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini. Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung. Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda.

Ella Nikah Juruterbang 7 Julai

PETALING JAYA: Ratu rock negara Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin bakal bergelar bernikah dengan seorang juruterbang dari Muar, Johor pada 7 Julai depan. Harian Metro pada Khamis melaporkan, sumber terdekat keluarga Ella yang enggan dikenali berkata, penyanyi berusia 46 tahun itu bakal bernikah dengan juruterbang berkenaan di rumah keluarganya di Klang dekat sini pada tarikh tersebut. “Apa lagi yang hendak dikatakan, ia sama saja seperti majlis pernikahan orang lain. Dia (Ella) akan dinikahkan dengan seorang juruterbang dari Muar, Johor,” kata sumber itu ketika dihubungi. Sebelum itu, Ella dikesan mengikuti kursus perkahwinan pada 3 dan 4 Mac lalu hingga menimbulkan andaian dia sudah menemui calon suami dan bakal menamatkan zaman solonya. Bagaimanapun, Ella enggan mengulas perkara itu dan mengambil pendekatan berdiam diri. Berita pernikahan penyanyi ini mula tersebar selepas ia disiarkan oleh beberapa blog hiburan, baru-baru ini.

Kecoh Apabila Wakil Seniman Dilarang Bertemu Aziz Sattar

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi keliru apabila ahli keluarga pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar tidak membenarkan pihaknya serta wakil media untuk melawat pelakon itu selepas dimasukkan ke Hospital Ampang pada Sabtu lalu kerana serangan sakit jantung. Zed berkata, pihaknya sebelum ini menerusi Biro Veteran persatuan itu telah memaklumkan kedatangan mereka dan mendapat persetujuan daripada ahli keluarga Aziz. "Saya tidak pasti mengapa keadaan jadi begini kerana kehadiran Seniman dengan niat yang baik iaitu untuk melawat dan bertanya mengenai keadaan Pak Aziz selain menyerahkan sumbangan bagi membantu meringankan bebannya. "Tak mengapalah kerana apa yang lebih penting kami telah menjalankan tanggungjawab kami demi menjaga kebajikan pelakon-pelakon veteran di negara ini," ujarnya ketika ditemui di perkarangan Hospital Ampang di sini, pada Selasa. Pada pertemuan yang berlangsung pukul 12 tengah hari itu, keadaan menjadi kecoh apabila beberapa ahli keluarga Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta tidak membenarkan wakil Seniman untuk melawat pelakon filem Bujang Lapok itu di wad. Ahli keluarganya juga enggan ditemu bual oleh pihak media bagi mengetahui perkembangan terkini Aziz. Zed dan wakil Biro Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, iaitu Jamawi Jaafar sempat menghulurkan wang kepada keluarga Aziz sebelum meninggalkan perkarangan hospital.
Selain wakil Seniman, turut kelihatan adalah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Fredie Fernandez dan beberapa orang artis yang hadir pada lawatan itu. Dalam pada itu, Zed menolak dakwaan keengganan ahli keluarga bertemu dengan wakil Seniman ekoran perbalahan di antaranya dengan ahli-ahli Seniman veteran yang tidak berpuas hati dengannya sebelum ini. "Kedatangan kami adalah atas dasar tanggungjawab terhadap ahli-ahli Seniman. Mereka suka atau tidak itu, terpulanglah kepada mereka," katanya. Sementara itu, Zed turut melawat pelakon Osman Kering,58, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini bagi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada isterinya iaitu Che Norhayati Che Omar, 48. Norhayati yang terharu dengan kunjungan itu memberitahu menghargai usaha Seniman yang dilihat begitu bersungguh-sungguh membantu golongan artis veteran seperti suaminya. Mengenai perkembangan terkini Osman, Norhayati memberitahu suaminya masih tidak sedarkan diri selain tekanan darah dan nadinya yang tidak stabil. Osman atau nama sebenarnya Osman Kassim dimasukkan ke HUKM pada 11 Jun lalu.

Rozita Anggap Tuduhan Bercinta Dengan Beego Mengarut

PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan enggan melayan dakwaan yang terus mengaitkan dirinya dengan aktor Beego dan menganggap segala tuduhan mengenai hubungan mereka adalah fitnah dan mengarut. Aktres berusia 39 tahun itu dalam satu kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online pada Selasa berkata, dia tidak akan memberikan sebarang komen kerana tidak mahu kontroversi itu berlanjutan. "Saya malas hendak komen apa-apa jika ia berkaitan gosip dengan Beego. Semuanya (dakwaan) mengarut. "Lagi banyak saya beri komen lagi macam-macam versi (cerita) yang akan keluar," katanya. Terbaru, satu pojok dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu melaporkan Beego dilihat memandu kereta BMW milik Rozita ke lokasi penggambaran drama. Mereka dikatakan menjalin hubungan selepas dilihat berdua-duaan di beberapa lokasi termasuk pusat hiburan dan beli-belah, baru-baru ini. Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia meluahkan perasaan terkilan dengan tuduhan itu di laman sosial miliknya, Rozita berkata tuduhan itu tidak berasas kerana dia tidak mempunyai apa-apa akaun laman sosial seperti didakwa. "Saya tidak ada akaun Twitter atau Facebook (untuk meluahkan perasaan seperti didakwa). Cuma apa yang saya hendak cakap, dakwaan ini adalah mengarut," katanya. Terbaru, ibu tunggal kepada dua anak lelaki ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Miss Octopus untuk TV3 dan bakal terlibat dalam penggambaran telefilem Aku Janda Tak Kaya (Astro) selepas itu. Rozita sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan Shahir dan Zain Saidin.

Sasha Saidin Dilihat Ambil Borang Fail Cerai

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sasha Saidin,36, dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa untuk mengambil borang bagi memfailkan perceraian. Bekas ahli kumpulan Elite itu hadir mengenakan baju kurung hitam dipadankan dengan tudung berona sama ditemani ibunya, kira-kira pukul 10 pagi. Ditanya mengenai tujuan ke mahkamah berkenaan, Sasha berkata, dia ingin menggunakan saluran mahkamah bagi menyelesaikan hal peribadi keluarga. "Saya hadir ke sini bagi menyelesaikan hal peribadi. Selebihnya, saya enggan komen lebih lanjut. "Diharap anda (pihak media) faham dengan permintaan saya. Ia sangat peribadi untuk dijelaskan," katanya. Sasha yang turut ditanya adakah kehadirannya itu berkenaan masalahnya dengan suami iaitu Salyo Priyanto,37, dia bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai perkara itu tetapi bersedia memberi kerjasama kepada pihak media. Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia tiga tahun. Sebelum perkahwinan itu Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.

Seniman Tak Patuh Permintaan Aziz Satar Punca Jadi Kecoh

PETALING JAYA: Keluarga kepada Datuk Aziz Sattar menyifatkan kekesalan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang menuduh keluarga pelakon itu enggan memberi kerjasama kepada mereka tidak sepatutnya berlaku seandainya persatuan tersebut memenuhi janji yang telah dipersetujui. Cucu kepada Aziz iaitu Abu Ubaidah A. Ishak berkata, anak kepada Aziz iaitu Sandakiah membenarkan wakil Seniman melawat pelakon veteran itu tetapi hendaklah tanpa kehadiran pihak media. Kata Abu Ubaidah, semasa perbincangan itu pihak Seniman bersetuju dengan permintaan berkenaan tetapi malang sekali semasa di Hospital Ampang, pihaknya mendapati Presiden Seniman, Zed Zaidi telah memungkiri janji apabila datang bersama media. “Salah faham yang berlaku di Hospital Ampang apabila keluarga kami tidak membenarkan lawatan itu diteruskan telah memburukkan keadaan dan menggambarkan seolah-olah keluarga kami tidak prihatin dengan kehadiran pelawat. “Apa yang kami lakukan itu adalah atas permintaan Datuk Aziz sendiri yang tidak mahu diganggu oleh pihak media yang mungkin akan bertanya banyak perkara kerana dia benar-benar ingin berehat. Hal itu dipersetujui oleh Seniman tetapi pada hari berkenaan, lain pula jadinya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu Abu Ubaidah diminta mengulas kekecohan semasa rombongan Seniman, diketuai Zed Zaidi bersama pihak media yang ingin melawat Aziz Satar atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta kerana menghidap sakit jantung di Hospital Ampang dekat sini, Selasa. Keluarga pelakon itu tidak membenarkan wakil Seniman dan media yang hadir melawat Aziz di dalam wad sehingga menyebabkan Zed Zaidi meluarkan rasa terkejut dengan insiden itu. Kata Abu Ubaidah, keluarganya bersetuju untuk menerima kehadiran Seniman yang mahu memberikan sumbangan tetapi hendaklah memenuhi permintaan pelakon veteran itu sendiri. Lagipun katanya, sepanjang Aziz berada di hospital, hanya ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja yang dibenarkan melawat disebabkan beliau mahu berehat secukupnya. Dalam pada itu, Abu Ubaidah memberitahu keadaan datuknya itu beransur pulih selepas mendapat pemantauan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) sejak dimasukkan ke hospital Sabtu lalu namun masih memerlukan rehat secukupnya. Katanya, penyebaran berita mengatakan pelakon filem Bujang Lapok itu telah meninggal dunia juga adalah mengarut dan meminta orang ramai tidak mempercayai dengan khabar angin itu. "Ia seolah-olah satu trend dalam masyarakat yang suka menyebarkan sesuatu perkara tanpa mendapatkan kepastian sehingga perkara kematian pun dibuat main. "Bukan tidak pernah terjadi tetapi entah mengapa ada orang masih suka membuat fitnah tanpa sebarang usul periksa," katanya.

Kontroversi Rumah Tangga Raja Azmi & Jalani Sidek Berakhir Dengan Perceraian

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, 49, bercerai talak satu dengan isterinya, produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, petang Rabu. Lafaz cerai itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.25 petang mengikut Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, Nombor 2, tahun 2003. Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan. Ketika ditemui di luar mahkamah, Raja Azmi yang berbaju kurung hitam berkata, keputusan itu sudah dibincangkan bersama anak-anak dan tiada kena-mengena dengan kehadiran orang ketiga. "Perceraian ini adalah keputusan yang dicapai atas persetujuan kami sekeluarga. Anak-anak memahami dan menerimanya kerana ingin melihat saya dan Jalani gembira.
"Ia tiada kaitan dengan kehadiran orang ketiga tetapi demi mengembalikan maruah bekas suami yang dituduh dayus kerana pelbagai kontroversi yang pernah melanda rumah tangga kami sebelum ini," katanya yang bersedia menerima dugaan bergelar janda selepas ini. Sementara itu, Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek berkata, dia menceraikan Raja Azmi kerana mahu bersikap adil demi kebahagiaan wanita itu. "Saya faham Raja Azmi menghadapi tekanan dengan pelbagai kontroversi yang timbul selama ini. "Saya tidak berlaku adil jika terus hidup bersamanya sedangkan dia tidak bahagia. Atas sebab itu, saya berkorban dan ceraikan dia untuk kebaikan bersama. Baik dan buruk kami selama 28 tahun berkahwin biarlah menjadi kenangan buat kami. "Yang penting, hubungan kami akan terus baik sebagai kawan demi anak-anak. Saya bahagia dengan pengorbanan ini," katanya. Pasangan itu hadir ke mahkamah dengan ditemani anak kedua mereka Puteri Suaida,23. Raja Azmi selaku plaintif diwakili peguam syarie Roslizam Rahim. Dalam prosiding perceraian pada Rabu, kedua-dua pasangan tersebut bersetuju untuk menyelesaikan pembahagian harta sepencarian di luar mahkamah. Raja Azmi yang juga penerbit filem ...Dalam Botol sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini. Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung. Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda. Kedua-dua pasangan tersebut bernikah pada 23 Disember 1984. Selain Puteri Suaida, mereka turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Puteri Suraya, 27, dan Megat Deli, 18. Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.

Heliza Helimi Tempuh Pelbagai Pengalaman Kerana Makanan Halal

KUALA LUPUR: Penyanyi Heliza Helmi menjelaskan, bergelar pengacara bagi rancangan Rasa Halal Antarabangsa siaran Astro Oasis merupakan satu peluang luar biasa apabila dia dapat meneroka pelbagai jenis makanan di lima buah negara. Heliza berkata, pengalaman berada di Turki, United Kingdom, Perancis, Australia dan Korea Selatan itu amat menarik kerana dia juga dapat melihat perkembangan Islam di negara berkenaan. “Ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan bernilai buat saya. Bukan mudah untuk saya merasai kepelbagaian makanan halal yang terdapat di tempat orang. Ia amat menakjubkan,” katanya pada sidang media program berkenaan di sini, Isnin. Hadir sama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izlan Basar serta wakil agensi pelancongan negara berkenaan. Heliza berkata, antara pengalaman menarik lain apabila dia menjadi minat terhadap Kimci iaitu sejenis makanan tradisional daripada sayur-sayuran di Korea selepas menikmatinya kerap kali sedangkan dia tidak menyukainya sebelum ini. Dalam masa yang sama dia juga berhadapan dengan cabaran apabila sukar mencari lokasi untuk mendirikan solat sehingga terpaksa menunaikan ibadah di set penggambaran. “Pernah juga saya berhadapan dengan masalah untuk bersolat tetapi saya dapat juga melaksanakannya kerana saya percaya terhadap kepentingan perkara itu walaupun di negara mana sekalipun kita berada,” jelasnya,
Sementara itu Izelan berkata, sambutan penonton terhadap program itu yang diperkenalkan pada tahun 2008 menyebabkan Astro Oasis terpaksa melanjutkannya sehingga ke musim yang keempat. Program terbaru selama 26 episod itu kata beliau antara lain bertujuan untuk memudahkan rakyat negara ini yang ingin melancong ke lima negara terbabit mendapatkan informasi berhubung lokasi yang menyediakan makanan halal serta kemudahan beribadah. “Berdasarkan kepada kajian kami, rakyat Malaysia gemar melancong ke lima negara berkenaan dan tentu sekali mereka tercari-cari di manakah lokasi makanan halal. “Jadi, pihak kami telah mengambil pendekatan untuk memberi pengetahuan kepada mereka dengan menerbitkan rancangan ini,” kata beliau. Rasa Halal Antarabangsa terbitan syarikat produksi E-Style Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada setiap Khamis bermula 28 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) pukul 7.30 malam.

Almy Nadia Nekad Enggan Terjerat Dengan Kontroversi

PETALING JAYA:Pelakon Almy Nadia mengambil pendekatan enggan membuka mulut mengenai hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz selepas kenyataannya sebelum ini telah disalahertikan. Almy, 25, berkata, pendekatan itu diambilnya kerana dia tidak mahu terus terjerat dengan kontroversi sedemikian rupa pada masa akan datang. "Apabila wartawan bertanya mengenai lamaran Fizz untuk memperisterikan saya, jawapan yang diberikan adalah jujur dan ikhlas daripada hati saya. "Buat apa saya hendak menipu atau menokok tambah perkara yang tidak berlaku tetapi rupa-rupanya apa yang keluar daripada mulut saya telah ditafsirkan dengan cara berbeza sehingga banyak pihak menghentam saya. "Sebab itu saya tidak mahu lagi bercakap mengenai hal-hal peribadi kerana enggan lagi dituduh dengan macam-macam tohmahan," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Almy, dia perlu berkorban bagi memperbaiki situasi yang keruh dan tidak menafikan kelantangannya memberikan kenyataan mengenai hubungan mereka telah menyumbang kepada kekecohan tersebut. Dalam pada itu, Almy memberitahu hubungannya dengan Fizz masih berada dalam keadaan baik dan mengakui ada bertemu dengannya untuk berbincang mengenai perkara berbangkit yang timbul di antara mereka berdua. Almy bagaimanapun enggan mendedahkan kedudukan sebenar hubungan itu dan biarlah perkara itu diketahui oleh mereka berdua dan Allah sahaja. "Rasanya biarlah antara kami dan Allah sahaja yang tahu dan tidak perlu lagi kecoh-kecoh dan sejujurnya saya lebih senang dengan keadaan begini. "Hubungan kami pun masih baik dan sering bertemu untuk berbincang malah kami ada melakukan aktiviti sukan bersama selain Fizz ada datang ke hospital untuk melawat semasa saya menjalani pembedahan apendiks tempoh hari," katanya. Bagaimanapun kata Almy, di sebalik kekecohan itu, dia mengakui ada hikmah tersembunyi kerana mereka lebih banyak berkomunikasi bagi menyatakan rasa yang terpendam di dalam hati masing-masing. "Kejadian itu ada hikmahnya apabila kami lebih banyak berkomunikasi untuk menyatakan apa yang terpendam supaya tidak lagi timbul salah faham," katanya. Hubungan kedua-dua pelakon itu menjadi panas selepas Almy memberikan kenyataan dengan mengatakan hubungannya dengan Fizz Fairuz diibaratkan seperti retak menanti belah. Ia disebabkan mereka tidak lagi mesra sejak dua tahun kebelakangan ini. Reaksi itu dibuat dua minggu selepas Fizz memberitahu media hasratnya untuk memperisterikan Almy.

Zizan Razak Tidak Mahu Kerja Selepas 12 Malam

KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak, 28, menetapkan syarat kepada mana-mana pihak produksi untuk tidak bekerja lebih dari pukul 12 tengah malam kerana faktor kesihatan. Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, sekiranya pihak penerbit tidak boleh menerima syarat-syarat itu, dia sanggup menolak tawaran yang diberikan walaupun bayaran yang ditawarkan lumayan. "Sejak dimasukkan ke hospital akibat keradangan otot pada 29 April lalu, saya menyedari penjagaan kesihatan amat penting. "Alhamdulillah, sejak keluar daripada hospital, doktor menasihatkan supaya mengehadkan waktu bekerja dan kini, setiap kali menerima tawaran berlakon, saya menetapkan syarat untuk bekerja sehingga pukul 12 tengah malam sahaja. "Mujurlah setakat ini, tiada produksi yang merungut dan mereka sangat memahami dengan keadaan saya ini," katanya. Beritahu Zizan, kesibukannya bermula sejak menerima anugerah Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) pada April lalu. Atas dasar ingin membalas budi, dia sanggup bekerja keras agar peminat-peminatnya bangga terhadap pencapaian tersebut. "Anugerah itu sebagai bukti peminat adalah tulang belakang utama dalam setiap kejayaan saya, mereka sanggup berhabis wang untuk mengundi. "Sebab itu saya bekerja tanpa mengira waktu, selagi ada kudrat, selagi itulah saya bekerja. Tapi lain pula jadinya apabila saya pula yang ‘tumbang’," selorohnya. Sementara itu, filem lakonan Zizan iaitu Mael Lambong telah pun ditayangkan sejak 21 Jun lalu. Menurut Zizan, dia tidak sangka jenama 'Mael Lambong' yang direka sendiri ketika menyertai Maharaja Lawak bersama Johan mendapat perhatian daripada pengarahnya, Ahmad Idham. "Jujur saya katakan, 'Mael Lambong' adalah satu watak rekaan yang sangat saya sayangi, tak sangka pula ia difilemkan terus. "Bagus juga, kerana saya juga mahu Mael Lambong dijadikan sebuah drama berepisod," tuturnya. Filem itu mengisahkan tentang Mael Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja. Antara pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

Nurul Wahab Tidak Jahil Ajar Suami Tentang Islam

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab menegaskan dia bukanlah manusia yang terlalu jahil tentang agama Islam sehingga tidak mampu untuk membimbing suaminya, Eric Daniel Depp, menjadi Muslim sebenar. Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 35, berkata, walaupun pada luaran penampilannya dilihat moden, namun dia tahu tentang tanggungjawab untuk mendidik suaminya yang berasal dari Perancis itu. "Jangan ingat luaran saya berimej moden dan saya tidak tahu apa-apa tentang agama yang dianuti. Saya tidak perlu menunjuk atau membuktikan kepada sesiapa kerana ia adalah di antara saya dan Allah sahaja yang mengetahui. "Lagipun, untuk membimbing seorang mualaf mengenali Islam bukannya boleh dibuat dalam masa sehari. Nabi Muhammad S.A.W pun mengambil masa lama untuk menyebarkan agamanya," katanya yang ditemui pada pelancaran duta produk kecantikan Skinz Infinate di Flora Terrace, di sini, petang Isnin.
Nurul diminta mengulas kononnya dia gagal membimbing suaminya yang baru memeluk Islam untuk menjadi seorang Muslim yang mengamalkan ilmu-ilmu agama itu. Tambah Nurul, dia juga mempunyai cara tersendiri dalam membimbing hal-hal agama terhadap suaminya yang berusia 47 tahun itu dan berharap isu suaminya tidak diberi pendedahan Islam sewajarnya tidak lagi timbul. "Mujurlah Eriq seorang yang begitu positif dalam memandang kehidupan dan isu-isu sebegini tidak mengecilkan hatinya pun. Setakat ini dia faham dengan amalan harian yang saya lakukan iaitu menunaikan solat lima waktu serta mengaji kitab Al-Quran. "Kita tidak boleh terlalu memaksa kerana dia juga mempunyai pegangan agama lain sebelum ini, cuma untuk berubah arah semua itu perlu dibuat perlahan-lahan," tegasnya. Nurul yang baru pulang daripada meraikan majlis resepsi perkahwinannya di Bali, Indonesia pada 19 Jun lalu memberitahu, selepas pelbagai persoalan yang timbul mengenai perkahwinannya, dia mengambil pendekatan untuk tidak menceritakan tentang hal-hal peribadinya lagi. "Cukuplah semua orang dah tahu bahawa saya kini sudah berkahwin. Selepas ini, saya tidak akan menceritakan apa-apa tentang hal-hal peribadi. "Pengalaman lalu telah mengajar saya dan apa yang dapat disimpulkan, buatlah apa sahaja, orang tetap akan mengkritik. "Bagaimanapun, saya tidak kisah jika orang masih lagi ingin memperkatakan tentang diri ini, saya terima dengan hati yang terbuka," ujarnya. Nurul dan Eriq bernikah di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini pada 6 Jun lalu. Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan langkah itu berjaya meyakinkan Nurul untuk mengangkat lelaki tersebut sebagai suami.

Zed Ucap Tahniah Aaron Dapat PR Malaysia

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi mengucapkan tahniah kepada aktor Singapura Aaron Aziz selepas sah bergelar penduduk tetap (PR) negara ini, awal bulan ini. Aaron, isteri Diyana Halik dan tiga anak pasangan itu diberikan hak taraf PR oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Zed dalam kenyataannya kepada Harian Metro pada Selasa dipetik sebagai berkata, dia menerima berita itu pada tiga atau empat hari lalu dan menyifatkan ia sebagai rezeki buat keluarga aktor itu biarpun baru tujuh tahun dia menetap di negara ini. “Tahniah Aaron kerana bergelar PR negara ini. Saya doakan semoga kehidupannya bertambah baik dan dimurahkan rezeki selalu. “Tanpa sebarang niat saya mengucapkan tahniah kepada Aaron kerana bergelar PR. Untuk pengetahuan, persahabatan kami tiada masalah biarpun kontroversi pernah menimpa kami baru-baru ini” katanya. Pada April lalu, industri hiburan dikejutkan dengan tindakan Zed yang mempertikaikan kemenangan Aaron selepas tamat Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Genting Highlands.
Sementara itu, Aaron berkata dia bersyukur selepas doanya sewaktu menunaikan umrah pada bulan lalu dimakbulkan Allah. “Terima kasih Zed atas ucapan itu. Lega rasanya dengan kejayaan ini (bergelar PR) dan kami (keluarga) tidak perlu bersusah payah pergi dan pulang ke Singapura lagi. “Saya anggap berita ini rezeki anak dan isteri serta doa di Makkah dimakbulkan,” kata aktor dari Pasir Ris, Singapura itu. Aaron berkata, permohonan mendapatkan taraf PR bermula pada Ogos tahun lalu dan kini barulah ia berjaya.

Khalwat : Kes Tangguh, Beego Lari Daripada Wartawan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa menangguhkan kes perbicaraan pelakon Beego bersama dua rakan lelakinya kepada 18 Julai depan. Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh itu bagi memberi peluang kepada peguam Beego yang baru dilantik iaitu Fakhrul Azman Abu Hasan untuk mengemukakan representasi dan mendapatkan dokumen berkaitan dengan kes tersebut. "Memandangkan Fakhrul baru dilantik sementara pendakwa syarie tiada bantahan untuk menangguhkan kes, maka permohonan itu diluluskan bagi memberi peluang kepada Fakhrul membuat representasi," kata Shaiful. Pada 8 Mei lalu, Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan tersebut di hadapan Shaiful. Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda. Kedua-dua mereka bagaimanapun membayar denda.
Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini. Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Kelima-lima tertuduh hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir sebutan kes berkenaan pada 10 April lalu. Beego yang merupakan seorang duda pernah berkahwin dengan Intan Shariza Mohd Shahru,31, tetapi berpisah pada 16 Mac 2009 selepas dua tahun menjadi suami isteri. Sementara itu usaha pihak media untuk mendapatkan Beego di luar mahkamah tidak berjaya apabila pelakon itu melarikan diri ketika wartawan ingin menemuinya. Beego juga turut melarang jurugambar merakam gambar-gambarnya di luar mahkamah. Tindakan itu dipercayai kerana kebimbangannya jika ditanya berhubung kaitan hubungannya dengan aktres Rozita Che Wan yang heboh diperkatakan sejak minggu lalu.

Taiyuddin Tepis Tuduhan Tidak Berdisiplin

PETALING JAYA: Pelakon Taiyuddin menepis tuduhan terbaru kononnya dia mempunyai sikap buruk iaitu gagal memberi komitmen serta semakin tidak berdisiplin dalam kerja-kerja lakonan. Taiyuddin atau nama sebenarnya, Sallehuddin Abu Bakar, 29, berkata, sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, dia seboleh-bolehnya menjaga reputasi diri sebagai seorang pelakon. "Bukan mudah untuk seseorang itu mencapai kejayaan dan apabila kedudukan saya sebagai pelakon semakin selesa, hal ini pula yang terjadi. "Tuduhan saya tidak berdisiplin adalah tidak benar kerana saya begitu komited dalam hal-hal kerja. Dalam industri lakonan, kita bukannya bekerja secara individu, sebaliknya berkumpulan. Jika seorang buat perangai, maka kerja pun tak boleh nak diteruskan," katanya. Baru-baru ini, dakwaan mengenai kelakuan Taiyuddin yang semakin tidak berdisiplin sejak namanya popular mula tersebar di laman forum hiburan tempatan termasuklah di ruangan pojok beberapa akhbar. Bagaimanapun, tambah pelakon filem Hantu Bonceng itu, dia mengakui akan berkelakuan sebegitu apabila perasaan marah terhadap sesuatu perkara tidak dapat dipendam lebih-lebih lagi apabila kerja-kerja yang dilakukan dipertikai tanpa sebab. "Saya seorang yang tak pandai nak marah-marah orang, dan biasanya lebih senang pendam perasaan jika ada perkara yang membuatkan saya tidak puas hati. "Apabila perkara itu berlarutan, maka saya akan mengambil pendekatan untuk memberontak dimana saya akan buat perangai seperti lewat hadir ke promosi filem contohnya atau tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam sesebuah kerja," tuturnya. Sementara itu, lakonan Taiyuddin dapat disaksikan menerusi tayangan filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham bermula 21 Jun 2012. Mael Lambong mengisahkan tentang Mail Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja. Sementara itu, antara pelakon-pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

Dadah : Saiful Apek & Tiga Rakan Terlepas Hukuman

PETALING JAYA: Pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek bersama tiga rakannya dibebas dan dilepaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini berhubung tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka dua tahun lalu. Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat percanggahan terhadap bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Ahmad Solihin berkata, percanggahan material iaitu sampel air kencing yang diambil daripada kesemua tertuduh dan disimpan terlalu lama telah menimbulkan keraguan dalam membuktikan mereka bersalah. Tambahnya, percanggahan tarikh spesimen yang diambil itu juga telah melemahkan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya. "Kelewatan ujian air kencing yang dilakukan dan percanggahan tarikh spesimen itu diambil selain beberapa faktor lain seperti kewujudan dua borang permohonan untuk melakukan ujian saringan dadah dan kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bukti lain telah menjadikan kes ini lemah," ujarnya. Keempat-empat tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Fadli Hashim sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad. Terdahulu, Ahmad Ishrakh memberitahu mahkamah berdasarkan keseluruhan keterangan saksi-saksi, pihaknya berjaya membuktikan bahawa kesemua tertuduh telah menggunakan dadah berbahaya kerana mereka disahkan positif kanabis menerusi hasil ujian pengesahan dadah yang dibuat terhadap sampel air kencing masing-masing. Beliau berkata biarpun terdapat kesilapan penandaan tarikh pemungutan sampel pada label botol Saiful Apek dan Noremy, penjelasan sewajarnya telah diberi saksi pendakwaan kedua Sarjan M. Sanggar yang mengakui silap menulis tarikh pada botol berkenaan iaitu 12.9.2010 berbanding tarikh sebenar 12.6.10, yang mana kesilapan itu disedari saksi tersebut ketika memberi keterangan di mahkamah. Mereka semua sebelum itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, dekat sini pada 12 Jun 2010 kira kira pukul 11 malam. Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan. Bagaimanapun pada 1 November tahun lepas, Saiful Apek, 42, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Pekin Ibrahim Terkejut Buku Tulisannya Dirampas Jais

KUALA LUMPUR: Pelakon Pekin Ibrahim pada mulanya agak terkejut apabila buku pertama nukilannya berjudul Memoir Bukan Memoir dikatakan menyebarkan kandungan yang merosakkan akidah umat Islam sehingga dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu serbuan di pejabat syarikat penerbitan buku terbabit pada 12 Jun lalu. Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 31, berkata, salah faham yang timbul itu bagaimanapun sudah diselesaikan dan kandungan bukunya tidak mempunyai sebarang masalah kerana ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum diterbitkan. "Insiden itu berlaku kerana salah faham. Jais membuat serbuan pada syarikat penerbitan itu kerana buku-buku lain dan bukannya buku saya. Secara kebetulan buku saya juga berada di sana, mereka rampas beberapa naskhah bagi tujuan siasatan. "Saya berasa terkejut dan terkilan juga dengan apa yang berlaku kerana tidak pasal-pasal buku saya pula terbabit sama tetapi semuanya sudah diselesaikan dengan baik," katanya ketika ditemui mStar Online. Aktor filem Bunohan itu ditemui pada pelancaran buku berkenaan di Galeri Annexe, Pasar Seni di sini, petang Sabtu. Turut dilancarkan pada majlis sama adalah buku tulisan pelakon Faizal Hussein berjudul Limelight. Kedua-dua buku terbitan Merpati Jingga itu bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Bercerita mengenai buku setebal 136 halaman itu, Pekin berharap ia akan memberikan manfaat dan motivasi kepada golongan remaja untuk tidak berputus asa dalam mencapai impian masing-masing. "Sejak saya mula menulis buku ini pada 2009, ada beratus-ratus bab mengenai perjalanan hidup saya dimuatkan dalam draf asal. Namun kita tidak boleh masukkan semuanya dalam buku ini. Saya dan penerbit ketengahkan 48 bab yang terbaik saja dalam buku ini. "Kalau diikutkan masih banyak lagi cerita hidup saya yang belum didedahkan. Mungkin kalau ada bahagian kedua, dapatlah saya dedahkan bakinya. Apa pun saya hanya ingin berkongsi agar buku ini menjadi motivasi kepada semua khususnya remaja untuk maju dalam kehidupan," katanya. Mengenai kerjaya lakonan, Pekin baru saja menamatkan penggambaran filem Tokan dan dijangka memasuki set penggambaran filem terbaru arahan Mamat Khalid berjudul Usop Wilcha pada 10 Julai depan.

Irma terus aktif lepas nikah

NIATNYA cuma ingin mencari keberkatan dengan menziarah bumi suci Mekah, namun tidak disangka, kunjungan kali ketiganya Februari lalu bakal mengubah segalanya. Bagi Irma Hasmie, mungkin sudah suratan Ilahi, sapaan mesra seorang wanita yang kelak bakal bergelar ibu mertuanya, Datin Azizah Osman, menjadi detik permulaan untuknya sebagai seorang isteri. Di Mekah, dia diperkenalkan bakal mertuanya dengan anak lelakinya yang kemudian berjaya memikat hati Irma nya untuk bergelar isteri. Kini, kurang lagi dua minggu sebelum menjadi permaisuri hati bakal suaminya, Reza Syah Azmeer Radzuan, Irma sedang sibuk menguruskan segala perancangan agar majlis perkahwinannya itu nanti berjalan seperti yang diimpikan. Mensyukuri segala nikmat yang datang, dia berkata majlis perkahwinannya pada 29 Jun ini akan dilangsungkan dengan suasana sederhana tetapi diharap penuh keberkatan. Kosmo!: Irma baru pulang dari mengerjakan umrah untuk kali keempat baru-baru ini, ada sebarang perkara menarik berlaku semasa anda di sana? IRMA HASMIE: Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya berjaya menunaikan umrah dengan tenang. Selalunya bila pulang ke tanah air, kita akan berasa sedikit tidak sihat, namun kali ini semuanya berada dalam keadaan sempurna. Adakah salah satu sebab anda mengerjakan umrah kali ini adalah untuk mendapat keberkatan untuk majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi? Setiap perkara yang kita lakukan mestilah mendapat keberkatan daripada-Nya. Jadi tidak dinafikan, jauh di sudut hati, saya berharap majlis itu nanti akan berjalan dengan lancar. Bercakap mengenai majlis perkahwinan, bagaimana persiapan majlis tersebut setakat ini? Boleh saya katakan bahawa semua perancangan sedang berjalan dengan lancar dan saya sangat bersyukur kerana pihak keluarga daripada kedua-dua belah pihak banyak membantu kami. Dari segi persiapan, apa yang patut diuruskan terlebih dahulu seperti pemilihan lokasi serta dekorasi telah lama saya selesaikan. Apa yang tinggal sekarang hanya beberapa persiapan terakhir. Maksud persiapan terakhir? Adakah anda sedang merancang sesuatu yang istimewa untuk majlis itu nanti? Sudah pasti tidak. Majlis perkahwinan saya nanti sama seperti perkahwinan orang lain juga. Tiada sebarang gimik atau perancangan istimewa. Bagaimanapun, saya tetap berharap ia akan berlansung dengan meriah walaupun sederhana. Adakah bakal suami anda turut terlibat dalam segala persiapan majlis ini atau menyerahkan segalanya mengikut cita rasa anda? Syukur Alhamdulillah dia sentiasa menyokong dan berada di sisi saya sepanjang proses yang sungguh memeningkan kepala ini. Saya pasti dia pun sedar yang majlis tersebut bukanlah untuk saya seorang tetapi untuk kami berdua jadi dia sentiasa memberikan idea dan pandangan dalam segala keputusan yang diambil. Adakah majlis perkahwinan anda nanti bakal menjadi Wedding of the Year? Saya hanya mahukan perkahwinan yang sederhana dan mengikut kemampuan kami sekeluarga. Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak menghulurkan bantuan bagi memeriahkan majlis kami nanti. Sebagai contoh, segala dekorasi di dalam dewan perkahwinan itu nanti ditaja oleh Decasa Flora manakala pakaian kami telah direka khas oleh Izwan dan Hatta Dolmat. Sekali lagi kami amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan yang menyumbang untuk memeriahkan majlis kami. Dalam tempoh terdekat ini, kita akan menyambut bulan Ramadan. Apa perasaan anda menyambut Ramadan pertama sebagai seorang isteri? Sejujurnya saya berasa amat gembira untuk menyambut Ramadhan kali ini. Jika sebelum ini saya berpuasa seorang diri, makan pun kadangkala hanya berbekalkan nasi bungkus, kali ini semuanya berbeza. Saya akan sentiasa berteman. Tidak sabar rasanya untuk menjalani ibadah puasa bersama bakal suami. Bagaimana pula dengan kerjaya? Adakah anda akan kurangkan aktiviti berlakon semasa bulan puasa? Lebih-lebih lagi selepas baru bergelar isteri? Bagi saya, bulan puasa sama seperti hari-hari biasa. Apa yang membezakan adalah keberkatannya. Jadi, jika ditanya mengenai kerjaya, saya akan bekerja seperti biasa tetapi jika boleh, saya akan akan cuba untuk mengurangkan aktiviti di sebelah malam. Pada waktu ini (malam), Insya-Allah saya akan menumpukan lebih banyak masa untuk beribadat dan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri kepada suami dan keluarga. Tidak bercadang untuk berehat sebentar bagi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga anda? Seperti yang saya maklumkan tadi, walaupun sibuk, saya akan cuba mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga. Bagaimanapun, saya telah mengambil keputusan untuk berehat selama seminggu selepas majlis di rumah pihak lelaki pada 7 Julai nanti. Selepas itu, saya akan kembali bekerja seperti biasa. Kata-kata akhir anda? Saya hanya mampu berharap agar majlis perkahwinan kami nanti diberkati dan dirahmati oleh-Nya dan saya meminta agar para peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami.

Rack bukti kesungguhan Kilafairy

SUKAR pada mulanya untuk mencari lokasi terletaknya butik pakaian Rack milik si bibir mungil pemilik nama Syakila Nisha Jangir Khan, 21, atau lebih dikenali Kilafairy ini. Namun, ketika melangkahkan kaki ke ruang legar pusat beli-belah The 19 USJ City Mall di USJ 19, Subang Jaya, baru-baru ini butik yang berada di aras dua itu sebenarnya sudah dikenali para peniaga lain di situ. Bagai tidak menjangka kemampuan butik pakaian yang sedikit tersorok daripada pandangan pelanggan, ia sebenarnya sudah pun memulakan operasi beberapa bulan lalu dan mempunyai pelanggan sendiri. "Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan remaja yang gemarkan fesyen terkini dan bergaya," ujarnya yang ditemui ketika pelancaran butik Rack baru-baru ini. Butik yang diusahakan bersama kakaknya, Shakira Idora Jangir Khan, 22, itu membuktikan kesungguhan Kilafairy selaku pemegang Diploma Pemasaran Fesyen & Pengurusan dari Kolej Antarabangsa Raffles. "Sesuai dengan bidang pengajian saya sebelum ini, butik Rack merupakan pelaburan saya untuk masa akan datang. Kalau hanya bergantung pada lakonan atau nyanyian sahaja tidak akan menjamin masa depan saya. "Idea untuk membuka bisnes ini sudah lama sebenarnya. Sejak pusat beli-belah ini menjual barangan digital dan apabila bertukar pengurusan kami mula mengorak langkah lebih proaktif," katanya yang terlebih dahulu membeli stok awal untuk disimpan di rumah ketika premis perniagaannya dinaik taraf. Rack Nama Rack dicetuskan sendiri oleh Kilafairy dan Shakira memandangkan kedua-dua beradik itu gemar berfantasi dan berimaginasi. "Butik ini hasil gabungan idea kami yang gila fantasi dan perkataan rack merujuk kepada tanduk rusa yang mempunyai banyak cabang. "Setiap cabang mewakili iltizam, kecenderungan dan minat kami sama ada dalam bidang fesyen mahupun seni. "Tambahan, rusa melambangkan ikon fantasi yang sangat universal tapi dalam masa yang sama nampak kuat," ceritanya yang menyifatkan haiwan itu sememangnya popular sama ada dalam kalangan lelaki mahupun perempuan. Tidak susah untuk membuka butik pakaian itu kerana kata Kilafairy premis perniagaannya itu sudah menjadi milik mereka sejak tiga tahun lalu. Selain pakaian wanita, Rack turut menyediakan produk-produk lain seperti aksesori wanita, beg tangan dan kasut tumit tinggi. Malah, butik itu juga menjual pakaian rekaan adik-beradik itu seperti dres koktel dan pakaian sedia pakai untuk kategori Yuppies iaitu golongan remaja dan Bums untuk golongan dewasa. Menurut Kilafairy, kebanyakan stok butik pakaiannya diperoleh daripada pembekal dari luar negara seperti London dan Australia. Harga yang ditawarkan pula berpatutan dan tidak melebihi RM500. Rack hanya mengeluarkan sepasang baju bagi setiap rekaan supaya nilai eksklusif butik itu berkekalan. "Baju-baju yang dijual di sini mencerminkan personaliti si pemakai dan ada antara dres yang dijual sesuai dipakai untuk pelbagai acara," jelasnya. Reka kasut Menarik mengenai butik itu, ada antara kasut tumit tinggi direka sendiri oleh Kilafairy. Katanya niat itu timbul kerana kesukarannya mencari sepatu berketinggian lima inci (12.7 sentimeter) di sekitar Kuala Lumpur. "Saya penggemar kasut tumit tinggi dan selalunya mencari kasut yang tingginya lebih daripada lima inci, tapi malangnya tidak banyak butik yang menjual kasut seperti yang saya inginkan. "Maka, atas sebab itu saya mereka sendiri kasut tumit tinggi yang lebih daripada lima inci yang ringkas dan selesa," singkap Kilafairy. Ditanya mengenai perancangan masa depan untuk butik Rack miliknya, ujar Kilafairy dia ingin membuka beberapa buah cawangan lagi pada masa akan datang. "Selain itu, saya ingin meningkatkan pengeluaran di samping mempelbagaikan jenama seperti pakaian untuk lelaki," tambahnya.

Shahrizal merisik Redzwani

JIKA sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan khabar angin yang tidak enak didengar, keputusan Shahz Jaszle untuk menukar namanya ke Shahrizal mungkin membawa berkat. Berdasarkan sekeping gambar di Instagramnya, pelakon tampan yang sebelum ini sering digosipkan dengan beberapa artis wanita terkenal seperti Maria Farida dan Neelofa, bakal merisik kekasih hatinya, Redzwani Puteri. Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Shahrizal dengan nada sedikit teruja mengesahkan perkhabaran tersebut dan mengatakan semua perancangan sedang diuruskan pihak keluarga kedua-dua belah pihak. Menurutnya, setelah setahun berkawan, sudah tiba masanya untuk mereka membawa ikatan tersebut pada langkah seterusnya. KOSMO!: Anda dikatakan bakal merisik kekasih hati, Redzwani Puteri pada 15 Julai ini berdasarkan sekeping gambar yang dimuat naik ke laman Instagram anda. Sejauh mana kebenarannya? SHAHRIZAL: Ya, perkara itu memang benar. Buat masa ini, pihak keluarga kami berdua sedang sibuk menguruskan segala perancangan untuk majlis tersebut. Jadi saya hanya mengikut sahaja apa yang ditentukan oleh mereka kelak. Kenapa tanpa sebarang desas-desus, anda mengambil keputusan untuk mengadakan majlis merisik tersebut? Saya percaya semua itu adalah jodoh kerana hubungan kami bermula sebagai kawan biasa kira-kira setahun yang lepas. Lama-kelamaan, kami menjadi semakin rapat dan akhirnya bergelar pasangan kekasih pada awal tahun ini. Boleh ceritakan sedikit bagaimana pertemuan yang hanya menjangkau usia setahun boleh sampai ke tahap ini? Seperti yang saya katakan, itu semua ketentuan Ilahi. Saya tertarik dengan personaliti Redzwani. Daripada seorang kawan biasa, menjadi rakan rapat dan akhirnya bergelar kekasih. Lagipun keluarga kami saling mengenali. Ibu saya dan ibu Redzwani sebenarnya sudah lama berkawan, jadi mungkin dia (ibu Shahrizal) berkenan dengan Redzwani juga. Bila dan di mana majlis merisik akan diadakan nanti? Semuanya masih dalam perancangan lagi, cuma tarikh sahaja yang telah diputuskan. Saya dimaklumkan majlis tersebut akan berlangsung di kediaman Redzwani di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Sebelum ini anda sering dikaitkan dengan artis-artis wanita lain seperti Neelofa dan Miera Liyana. Adakah majlis ini akan menutup segala gosip-gosip tersebut? Saya sudah mengenali Redzwani untuk tempoh yang agak lama dan sepanjang tempoh itu, hanya dia berada dalam hati saya. Jadi, apa yang digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah gosip semata-mata.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails