Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fiza bahagia dengan anak-anak


EH... Annissa datang. Fiza apa yang akan terjadi kepada suami awak nanti,” itulah antara soalan spontan yang diajukan oleh peminat sewaktu melihat Fiza di The Curve baru-baru ini.

Ternyata lakonan Fiza sebagai Ana seorang isteri yang penyabar, memberi impak besar kepada peminat-peminatnya.

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim, 31, berkata, itulah watak protagonis yang berjaya membuat penonton kasihan kepadanya.

Sebelum ini Fiza sering diberi watak antagonis sehingga membuatkan orang beranggapan dia juga jahat seperti peranannya dalam drama bersiri Asmara.

Bagaimanapun kata Fiza, akhir-akhir ini ramai yang mudah simpati dengannya dan tidak hairanlah rezekinya dalam bidang lakonan juga semakin bertambah.

“Alhamdulillah, akhir-akhir ini rezeki saya murah sangat. Ada banyak tawaran berlakon dan ada ketikanya, saya terpaksa tolak kerana jadualnya bertindih.

“Sepanjang saya berlakon Annissa, ada lima job yang terpaksa saya tolak, dua untuk drama episod dan tiga telefilem. Selepas Annissa, saya ada job tapi saya tolak juga kerana tidak larat nak bekerja back to back,” jelasnya.

Fiza yang telah bercerai dengan suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 31, pada November 2010, dikurniakan dua cahaya mata, Ferra Aryanna, 3, dan Feeya Adyrra, 2, berkata, matlamat hidupnya sekarang adalah untuk anak-anak.

Menurut Fiza, biarpun dia dan suami mendapat hak penjagaan anak bersama, namun anak-anaknya banyak menghabiskan masa dengan bekas suami dan mertua di Gombak kerana kesibukannya berlakon.

“Fiza tidak kisah anak-anak dijaga suami dan mertua kerana Fiza sendiri sibuk. Ada baiknya mereka dengan bekas suami kerana segala keperluan terjaga.

“Walaupun Fiza tidak bersama kakak dan adik (panggilan untuk kedua-dua orang anaknya), tapi setiap apa yang mereka lakukan Fiza tahu. Fiza tahu pukul berapa mereka tidur, bangun, pergi kelas dan mengaji,” katanya terus terang.

Kata Fiza, pembantu rumahnya, Yulianti, 25, sentiasa menjadi mata dan telinganya ketika dia tidak bersama anak-anak.

Baginya, Yulianti bukan sekadar pembantu tapi lebih kepada seorang saudara kerana mereka sudah bersama sejak Fiza melahirkan Feeya Adyrra.

“Kalau nak tahu, bila si adik nak tidur, dia mesti cari Yulianti. Fiza tabiklah dengan dia sebab boleh menjaga kakak dan adik dengan sabar. Budak-budak biasalah, ada ketikanya tidak mahu dengar cakap.

“Setiap kali Fiza shooting, ketiga-tiga mereka akan menetap di Gombak dan bila free, Fiza akan ambil mereka untuk tinggal dengan Fiza di Damansara.

“Waktu itu, kami akan keluar jalan-jalan. Sebab itulah, orang sekitar The Curve sudah kenal kami kerana Fiza akan bawa anak-anak lepak kat sini,” ceritanya tersenyum.

S3 dapat melihat kemesraan yang terjalin antara Fiza dan anak-anak bersama dengan jurujual di bahagian permainan. Ketika Aryanna dan Adyrra ingin menunggang binatang mainan, mereka disuruh naik dulu dan bayar kemudian.

Malah, Aryanna dan Adyrra yang comel dan sering menarik perhatian orang ramai itu turut menunjukkan kebolehan mereka membaca doa makan, tidur dan lagu-lagu berunsur keislaman.

“Banyak perkara yang Fiza belajar daripada mereka. Kalau hari ini mereka diajar perkara baru di tadika atau kelas mengaji, pasti Fiza tahu malah secara tidak langsung, Fiza pun dapat belajar.

“Cuba tengok telatah adik macam burung kakak tua. Dia ikut sahaja apa kakaknya buat, tapi ada bagusnya kerana dia dapat belajar banyak perkara,” katanya.

Disebabkan keletah anak-anaknya yang sentiasa ceria itulah Fiza tidak dapat berpisah lama dengan mereka dan setiap seorang dibelikan telefon bimbit selain pembantu rumah.

Naluri seorang ibu membuatkan Fiza tidak dapat berpisah lama dengan anak-anaknya. Walaupun tidak dapat bertemu setiap hari kerana tugasan, namun Fiza akan pastikan dia berpeluang mendengar suara mereka.

“Tiap kali mahu bertemu mereka, Fiza pasti teruja kerana ada sahaja cerita baru yang dapat Fiza dengar,” katanya terus terang.

Bila ditanya tentang masa depan, Fiza yang pernah dikaitkan dengan Faizal Mohd. Khan, 33, bapa kepada pelakon Erin Malek memberitahu yang dunianya sekarang adalah anak-anak dan kerjaya.

Kata Fiza, dia tidak menolak jika bertemu jodoh lagi tapi untuk memilih siapa atau tarikh pernikahan, bukanlah urusannya.

“Baru sangat Fiza bercerai. Bagilah Fiza kumpul wang untuk masa depan. Kalau ada jodoh, Fiza tidak menolak,” katanya.

Abby Abadi Sahkan Enggan Hadir Pernikahan Norman, Memey


PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi sudah mengesahkan tidak akan hadir ke majlis resepsi persandingan bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September depan di sebuah hotel walaupun menerima kad undangan daripada mereka.

Norman dan Memey di jadual bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh, Mersing Johor iaitu rumah pengantin perempuan.

Ujar Abby, dia berbuat demikian kerana enggan merosakkan hari bahagia mereka yang digelar sebagai “wedding of the year” itu berikutan menerima tajaan bernilai RM12 juta.

“Jujurnya saya tidak akan hadir pada majlis itu. Saya tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka,” katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Jumaat yang melepas dan membebaskan Norman dan Memey atas tuduhan berkhalwat kira-kira tiga tahun lalu, Abby enggan mengulas berhubung perkara itu.

Menurut Abby, dia tiada hak untuk memberi komen mengenai kes tersebut memandangkan bekas suaminya itu tiada kena mengena lagi dengannya.

"Itu adalah keputusan mahkamah. Jika mereka (Norman dan Memey) disabitkan bersalah, maka salahlah mereka dan jika keputusan berpihak pada mereka, maka mereka berada di pihak yang betul.

"Pada pendapat saya, sama ada saya beri komen atau tidak, Norman dan Memey tidak ada kena mengena pun dengan saya," katanya.

Tambah ibu tunggal kepada tiga orang anak ini, walau apa pun keputusan mahkamah, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa aktiviti mengenai kehidupan sehariannya.

Ditanya adakah Abby sudah berbaik dengan Norman setelah isu tuntutan wang hantaran berjumlah RM11,111.11 terhadap Norman diperkatakan sebelum ini, menurut Abby mereka sekadar bertegur sapa mengenai perihal anak sahaja.

"Jujurnya, apabila timbul pertikaian mengenai isu tersebut (hantaran), ia sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan saya. Dan ia dilihat seperti saya yang mahu memanaskan keadaan.

"Oleh itu, saya letak tanggungjawab tersebut kepada peguam saya yang rasanya lebih tahu tentang perkara ini.

"Saya belajar daripada pengalaman apabila kita cakap sesuatu yang benar, ia akan terkena kepada kita. Jadi cakap pun tak guna dan biarlah orang yang lebih arif sahaja yang uruskan," ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai hubungannya dengan pelakon Zul Arifin, mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun masing-masing pernah berbincang mengenai hal tersebut.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Bagaimanapun mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Norman KRU Mahu Anak Secepat Mungkin


KUALA LUMPUR: Abang sulung kumpulan KRU, Norman Abdul Halim, mengakui, dia dan isterinya, Shireen Mardziah, memerlukan cahaya mata untuk lebih menyerikan rumah tangga mereka.

Kata Norman, sejak berkahwin pada 7 Ogos 2009, dia dan isteri sering berdoa agar dapat memperoleh anak secepat mungkin namun, sehingga kini mereka masih lagi belum dikurniakan rezeki itu.

"Saya memang perlukan anak sebenarnya. Dan sehingga kini kami masih lagi berusaha, cuma rezeki saja yang belum tiba.

"Malah kami juga merancang untuk mendapatkan anak sekurang-kurangnya dua hingga empat orang. Kalau boleh saya mahu menjadi bapa secepat yang mungkin," katanya.

Tambah Norman, walaupun dia sering sibuk dengan kerjaya menguruskan syarikat KRU Studios, dia tidak pernah menganggap kanak-kanak sebagai satu bebanan buatnya.

Malah, dia begitu menyukai kanak-kanak dan kadang-kala Norman sempat meluangkan masa bersama tujuh orang anak buahnya.

"Sebenarnya saya sangat sukakan kanak-kanak kerana mereka dapat mengurangkan tekanan kerja saya.

"Kadang-kala mereka juga memberi perangsang dan semangat untuk kita mulakan kehidupan harian kita. Sebab itulah saya tak sabar-sabar nak ada anak agar dapat lebih menyerikan kehidupan saya dan isteri," ujarnya.

Norman, Memey Menangis Bebas Tuduhan Khalwat


KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza 'menerima' hadiah perkahwinan dua bulan lebih awal, apabila mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat, yang dihadapi sejak tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Salehan Yatim membuat keputusan itu pada Jumaat, tanpa mendengar pembelaan mereka, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie terhadap pertuduhan.

Norman dan Memey yang hadir bersama di mahkamah pada pukul 9.30 pagi, mengakui bahawa mereka agak emosional semasa mendengar penghakiman tersebut menyebabkan mereka menangis.

Pasangan yang akan diijabkabulkan pada 24 September ini, juga tidak putus-putus melafazkan ucapan syukur manakala Norman segera ke surau berhampiran untuk menunaikan solat sujud syukur sebelum ditemubual oleh wartawan.

"Alhamdulillah, saya tidak mampu untuk berkata-kata. Tiga tahun kami berdepan dengan situasi ini dan hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang kami rasakan," kata Norman.

Memey yang memakai baju kurung dan berselendang ungu yang mengambil masa untuk menenangkan diri pula memberitahu, keputusan tersebut adalah berita yang paling dinanti-nantikannya.

"Ini adalah berita yang sangat gembira buat saya di saat-saat saya mahu mendirikan rumah tangga. Segala dugaan yang saya hadapi telah berakhir," katanya dalam nada yang agak tersekat-sekat menahan sebak.

Terdahulu, Salehan melepas dan membebaskan Norman, 35, dan Memey, 23, daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan pada antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-A1, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini.

Bagi kesalahan itu Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat di bawah Seksyen 29(2)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2005.

Mereka didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 29 Januari 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada penghakimannya, Salehan berkata, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa Norman dan Memey berada bersama dalam premis terbabit.

"Saksi-saksi pendakwaan yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa agama konsisten bahawa hanya tertuduh wanita (Memey) berada di dalam premis tersebut manakala tertuduh lelaki (Norman) berada di premis 4-2A, iaitu bersebelahan," katanya.

Walaupun pihak pendakwaan menghujahkan bahawa Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon boleh ke premis 4-2A dengan cara memanjat lubang pintu jeriji, Salehan berpendapat, tiada keterangan yang menunjukkan jeriji itu berada dalam keadaan terbuka atau berkunci.

Selain itu, berdasarkan keterangan abang Norman, Mohamed Sophee saksi pendakwaan keempat (SP4), menyatakan bahawa jeriji itu berkunci dan dakwaan panjat tersebut juga tidak disoal balas dengan selengkapya.

"Sayangnya, pihak pendakwaan tidak pula membuat permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan SP4 yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh lelaki, malah bekerja dengannya, ujar Salehan.

Selain itu, Salehan juga berpendapat, intipati bahawa tertuduh sedang melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan syak juga tidak dapat dibuktikan, apabila Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi berpakaian lengkap.

Norman pula berdasarkan keterangan, berbaju putih dan berseluar pendek.

Pada penghakimannya, Salehan juga berkata, pengadu dalam kes itu, Mohd Yusri Abdul Razak (saksi pendakwaan keenam) boleh dipertikaikan apabila bertindak memberi kenyataan kepada rancangan Melodi selepas tangkapan dibuat.

"Tindakan SP6 boleh menimbulkan tohmahan kepada tertuduh dan ia juga bersifat subjudis, kerana kes tersebut terlebih dahulu dibicarakan oleh media," ujar Salehan.

Beliau juga memutuskan bahawa memandangkan beban pembuktian adalah terletak di bahu pihak pendakwaan, maka jika terdapat kelemahan dalam kes itu, ia adalah merit kepada tertuduh.

Pada prosiding itu, Norman dan Memey diwakili oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mewakili pihak pendakwaan.

Keperibadian Nurul Syuhada memikat Amir


SIAPA sangka hanya dengan pertemuan singkat semasa menghadiri majlis pertunangan rakan menjadi detik permulaan hubungan pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin dan suaminya Raja Amir Shah Raja Azwa.

Salam perkenalan yang dihulurkan tahun 2009 itu akhirnya mencambahkan benih-benih cinta dalam hati mereka sehingga membawa ke gerbang perkahwinan.

Lalu bertempat di The Binjai On The Park, KLCC, Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu, Nurul Syuhada sah menjadi milik Raja Amir hanya dengan sekali lafaz.

Mengimbau kembali detik perkenalan itu, Nurul Syuhada mengakui, ruang masa yang dilalui sepanjang tempoh berkawan digunakan sebaiknya untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

"Kami berkenalan dua tahun lalu semasa menghadiri majlis pertunangan rakan di Subang. Bermula dari situ kami selalu berhubung sehinggalah menjadi semakin rapat.

"Sepanjang dua tahun itu juga, kami mengambil masa untuk mengenali diri masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bersama membina mahligai cinta," ujar Nurul Syuhada yang ditemui selepas majlis resepsi yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah pengacara berusia 27 tahun itu lagi, sikap dan penampilan yang ditonjolkan Raja Amir telah berjaya mencairkan hati wanitanya.

Baginya, jejaka berusia 29 tahun itu pandai mengambil hati dan membuatkan dirinya sering diulit rasa selesa untuk terus berdampingan bersamanya.

"Cara Amir membuatkan saya rasa selesa kerana dia seorang yang sederhana dalam banyak perkara, baik dan prihatin.

"Dan yang paling penting, dia seorang yang amat memahami diri saya dan tugasan saya yang tidak menentu waktu," jelas Nurul Syuhada yang kelihatan anggun dengan busana pengantin rekaan Datuk Radzuan Radziwill.

Berkongsi detik indah ketika dilamar oleh Raja Amir, dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir Nurul Syuhada, matanya melirik memandang ke arah suaminya untuk mengingati semula, detik-detik manis itu.

Jelas Nurul Syuhada, tiada apa yang istimewa dilakukan oleh Raja Amir ketika menyatakan hasrat untuk memperisterikan dirinya.

"Macam mana ya dia lamar? Sebenarnya tiada yang istimewa pun cuma apa yang Amir lakukan, dia datang berjumpa ayah untuk berterus terang tentang niat di hatinya.

"Dalam pertemuan itulah dia memberitahu ayah bahawa dia berhasrat untuk menjadikan saya sebagai suri hidupnya.

"Permintaan Amir itu tidak mengejutkan saya kerana saya sedar, dalam usia kami berkawan, dia menunjukkan sikap keikhlasannya, bukan sekadar bercinta sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Raja Amir ketika ditanya, apakah yang membuatkan hatinya terpaut kepada Nurul Syuhada? Dengan pantas dia menjawab, kejelitaan wanita itu telah menawan hatinya.

"Raut wajah Nurul Syuhada yang lembut dan ayu menarik perhatian saya untuk terus mendekatinya.

"Tetapi saya bukannya memandang kepada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya peribadi Nurul turut menambat hati saya.

"Dia yang saya kenali adalah seorang wanita yang merendah diri, baik hati dan memahami saya.

"Apa yang penting, Nurul adalah jodoh yang telah ditentukan oleh-Nya untuk saya," tegas Raja Amir yang segak bertanjak, berbaju Melayu moden putih gading, warna sedondon dengan isterinya.

Dalam majlis yang mendapat sentuhan pereka pelamin Khalid Ahmad, majlis berkonsepkan moden-tradisional itu dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan selebriti pasangan Raja Sehari itu.

Antaranya, pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan, Maria Tunku Sabri, pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Azizah Ariffin serta rakan-rakan personaliti TV3 yang lain iaitu Teh Syuhaida, Azliyanti Ibberahim, Azawate Zenol Abidin, Saiful Nizam Ismail dan Puteri Erin.

Ammar Alfian Jelaskan Isu Cekik, Pukul Puteri Sarah


PETALING JAYA: Pelakon Ammar Alfian Aziz (gambar) menjelaskan tidak mencekik dan memukul kekasihnya, Puteri Sarah seperti mana yang didakwa dalam sebuah akhbar harian, Rabu.

Menurut pelakon drama Dia Atilia ini, mereka tidak mengetahui langsung bagaimana isu tersebut boleh timbul sedangkan hubungan mereka masih berjalan dengan baik.

“Saya dan Sarah tidak tahu apa-apa sehinggalah seorang kawan menghubungi saya hari ini (Rabu) dan memberitahu cerita tentang saya mencekik Sarah seperti yang ditulis dalam surat khabar.

“Saya terkejut apabila mendengar berita buruk ini, padahal semalam (Selasa) saya dan Sarah tidak bergaduh sebaliknya kami masing-masing sibuk membuat persediaan ke Melbourne dan Sydney, Australia pada Isnin depan untuk bertemu adik Sarah yang belajar di sana.

“Jadi, cerita tentang saya mencekik dan memukul Sarah itu tidak betul sama sekali,” kata Ammar kepada mStar Online menerusi lambang sembang Facebook miliknya berhubung perkara itu di sini, Rabu.

Dia diminta mengulas kenyataan sebuah akhbar yang memetik sumber polis kononnya seorang pelakon lelaki telah menumbuk dan mencekik serta mengugut untuk membunuh kekasihnya di sebuah kondominium di Damansara dekat sini.

Laporan itu turut mendedahkan pelakon lelaki berkenaan dikatakan berang apabila kekasihnya yang juga pelakon wanita popular mendapati dia berlaku curang apabila berdua-duaan dengan wanita lain ketika datang untuk membuat kejutan di kondominium terbabit.

Ammar yang pernah membuat kontroversi mahu “membunuh” wartawan sebelum ini mengetahui laporan berkenaan ditujukan kepadanya walaupun tidak menyebut nama artis.

Tambahnya: “Sarah ada memberitahu saya bahawa wartawan ada menghubunginya dan bertanyakan tentang laporan polis berhubung kes saya memukul dan mencekiknya.

“Namun, dia menafikan perkara itu. Tetapi saya pelik juga apabila cerita seperti ini tersebar walaupun tidak betul.

“Apabila difikirkan semula, saya pernah terlibat dengan kontroversi sebelum ini dan harus belajar daripada kesilapan. Kalau dulu saya melawan tetapi tiada gunanya, jadi lebih baik saya diamkan diri sekarang walaupun perkara tersebut tidak betul.”

Selain itu, dia lebih gemar menyibukkan diri dengan latihan untuk mempersiapkan diri berlakon filem berjudul Skandal.

“Saya terpaksa menjaga badan dengan mengurangkan makan nasi kerana mungkin ada aksi melompat dan bertarung.

“Selain itu, banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan agar dapat mengurangkan berat badan bagi mendapat badan yang lebih ringan untuk melakukan aksi tersebut,” ceritanya.

Penyanyi Nora Mahu Dikenali 'Nora J'


KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu popular Desa Tercinta dan Naluri, Nora Ariffin kini mahu dikenali sebagai Nora J.

Jelasnya, perkataan J itu diambil sempena nama suaminya, Johan Nawawi.

"Biasanya orang selalu tertukar dengan orang yang bernama Nora Ariffin kerana di Singapura juga mempunyai seorang model bernama Nora Ariffin.

"Jadi, saya lebih suka menggunakan nama Nora J atau Nora Johan untuk mengelakkan kekeliruan," ujarnya sewaktu majlis pelancaran album Voices of Ummi (VOU) - Erti Al-Fatihah di Saloma Bistro, di sini, Selasa.

VOU merupakan kumpulan penyanyi kanak-kanak yang digabungkan kerana suara mereka juga adalah suara watak-watak utama dalam siri animasi muzikal kanak-kanak berjudul Ummi-Ceritalah Pada Kami.

Mereka adalah dua anak Nora iaitu Alif Johan (Alif), 12, dan Putri Dahlia (Putri), 7, serta Aiman Abbas (Aiman), 14, Hana Hamdan (Hana), 11, dan Jihad Hamdan (Atan), 8.

Selain Nora, artis undangan dalam album itu ialah Bringgo dan Mosyi.

Menurut Nora, anak-anaknya itu mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sangat berminat untuk menyertai kumpulan tersebut.

"Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan kepada anak-anak saya dan mereka rela melakukan kerja ini tanpa paksaan.

"Saya yakin album ini akan mendapat sambutan kerana ia bukan sahaja disasarkan kepada kanak-kanak tetapi golongan remaja dan dewasa dan lagu-lagu seperti ini harus diberi peluang untuk diputarkan di stesen radio," ujarnya.

Dalam pada itu, suaminya selaku penerbit album berkenaan memberitahu album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu merupakan album runut bunyi bagi mempromosikan animasi terbitan syarikatnya, Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd.

"Album ini menampilkan 13 buah lagu yang akan diedarkan oleh Erama Creative Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd melalui portal www.erama.tv menjelang bulan Ramadan ini.

"Animasi Ummi dijangka akan siap pada hujung tahun ini. Jadi, sementara animasi tersebut siap, kami hasilkan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam animasi ini kerana ia akan diselang-seli dengan lagu berkonsep pop kerohanian," ujarnya yang turut bersedia untuk memasuki pasaran muzik Indonesia jika diberi peluang.

Nora yang menyambut kelahirannya ke-38 Selasa turut diraikan pada majlis tersebut.

Suami Zakiah Anas Enggan Tebus Talak


PETALING JAYA: Suami kepada personaliti TV3, Zakiah Anas,45, pada Isnin, memberitahu bahawa dia tidak bersetuju dengan saranan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini yang mencadangkan agar pasangan tersebut berpisah secara khuluk (tebus talak).

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamed membuat saranan itu mengikut Seksyen 48(6) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 selepas meneliti laporan wakil hakam (penimbang tara) yang dilantik untuk mencari jalan penyelesaian kemelut rumah tangga yang telah berlarutan selama tiga tahun.

Dalam majlis hakam itu, Zakiah diwakili oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie manakala suaminya, Mohamad Yusof @ Muhamed Yusof Taib,49, diwakili Tuan Mohd Zamani Tuan Ahmad yang merupakan imam di Masjid Kampung Johan Setia, Wangsa Maju, dekat sini.

Pada prosiding itu, Wan Mahyuddin juga mengambil kesempatan untuk menyoal wakil-wakil hakam berkenaan mengenai saranan khuluk.

Kedua-dua wakil hakam tersebut memberitahu, tiada persetujuan mengenai khuluk dicapai dan mereka juga tidak bersedia untuk melafazkan khuluk, meskipun diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut undang-undang.

Justeru itu, Wan Mahyuddin memutuskan bahawa wakil hakam itu dibatalkan dan satu wakil hakam yang baru akan dilantik.

"Mahkamah melantik proses hakam yang sama untuk kali ketiga yang terdiri daripada pegawai-pegawai sulh," tambah Wan Mahyuddin.

Beliau seterusnya menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan semula bagi melantik wakil hakam.

Terdahulu, Muhamad Yusof yang pernah berkhidmat dalam bidang media masih mempertahankan pendiriannya untuk tidak melepaskan Zakiah, meskipun wakil hakam telah memutuskan bahawa ikatan kasih sayang tidak lagi wujud dalam perkahwinan itu.

Dakwa Muhamad Yusof, dia tidak pernah diberikan peluang untuk berbincang dengan Zakiah yang telah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripadanya.

"Saya terkilan perkahwinan yang dibina sejak 18 tahun lalu dibiarkan begitu sahaja dan turut kasihan dengan anak-anak yang telah ditinggalkan," katanya.

Muhamad Yusof seterusnya mendakwa, dia dan Zakiah telah tinggal berasingan sejak tiga tahun lalu dan wanita itu turut mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Muhamad Yusof seterusnya memohon agar mahkamah memerintahkan Zakiah untuk meminda permohonannya kepada perceraian secara fasakh, sekiranya masih mahu berpisah.

Bagaimanapun, peguam syarie Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah memberitahu, anak guamnya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Kemelut rumah tangga pasangan tersebut bermula sejak tahun 2009 apabila Zakiah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dekat sini.

Dia kemudiannya meminda permohonan itu sebanyak dua kali, iaitu kepada fasakh dan taklik sebelum menarik semula permohonan pada 1 September 2009 yang menyebabkan Mohamad Yusof, menarik semula permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkannya.

Pada Januari 2010, Zakiah sekali lagi memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik yang berlanjutan sehingga kini.

Zakiah dan Mohamad Yusof dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15 tahun.

Fathia Tepis Tuduhan Sudah Besar Kepala


KUALA LUMPUR: Pelakon Nur Fathia Latiff, 23, yang mesra disapa Fathia menyangkal dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai artis bermasalah susulan insiden terbaru kononnya dia semakin besar kepala sehingga gagal muncul di lokasi penggambaran sebuah drama baru-baru ini.

Menurut heroin drama Stanza Cinta itu, dia semakin pelik dengan pelbagai kontroversi yang dilemparkan kepadanya sejak kebelakangan ini sedangkan semua dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan ditokok tambah.

"Saya semakin pelik dengan pelbagai gosip yang melanda akhir-akhir ini. Walhal, sebelum ini saya sudah terlibat dengan pelbagai drama dan filem tetapi tidak pernah pula mendapat respons negatif daripada produksi terbabit.

"Kenapa saya harus berubah sikap menjadi seorang yang besar kepala dan berlagak tidak bertempat pula sekarang ini?

"Namun, apa yang mampu saya jelaskan dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan sengaja diperbesarkan oleh pihak yang tidak senang dengan saya," luahnya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, sebagai orang baru dalam dunia lakonan apa yang termampu dilakukannya adalah untuk tidak melenting dan bersabar menghadapi tohmahan tersebut.

"Selepas isu baling telefon, kini saya didakwa tidak berdisiplin dan besar kepala pula. Saya hanya mampu bersabar dan akur menghadapinya.

"Kejadian yang berlaku ini membuka mata bahawa ada ramai individu yang tidak boleh dipercayai dan hanya bermulut manis di depan saja.

"Walaupun saya telah memberikan komitmen terbaik dan bersikap sebaik mungkin, ada juga yang gemar menyampaikan cerita buruk tidak berasas," katanya yang tidak akan patah semangat atau serik dengan gosip-gosip yang timbul.

Menyentuh jadual seninya, Fathia akan terus sibuk dengan komitmen lakonan menjelang bulan Ramadan pada minggu depan, selain bakal terlibat dengan sebuah filem antarabangsa arahan pengarah dari “China”.

"Sekarang, saya sedang sibuk dengan penggambaran sebuah telefilem di samping Fizz Fairuz arahan Wan Asliza.

"Saya juga akan terlibat dengan filem berjudul Nasi Lemak 2.0 arahan pengarah China, Namewee di samping Afdlin Shauki, penyanyi Reshmonu dan model Nadine tidak lama lagi," katanya.

Suhaila Dedah Rahsia Bersengketa Dengan Jimmy Shanley


PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri, isteri kepada pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh, iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, mendedahkan faktor utama berlaku keretakan rumah tangga mereka adalah disebabkan suaminya itu pernah memukulnya serta terlalu mengongkong.

"Saya tidak suka Jimmy kerana perangainya pelik yang bukan seperti orang biasa. Semasa majlis pertunangan kami, rombongan pihak lelaki yang hadir hanya lima orang sahaja dan semasa majlis akad nikah, rombongan pihak lelaki tak sampai 10 orang... itu pun di kalangan ahli keluarga sahaja.

"Tidak ada artis atau selebriti yang hadir bagi pihak dia (suami). Untuk pengetahuan umum, itulah perangai Jimmy Shanley yang tidak mempunyai kawan," ujar Nursuhaila dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan kepada para wartawan dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di syarikat milik keluarganya, Perwanza Enterprise (M) Sdn Bhd, di Damansara Damai di sini, Isnin.

Suhaila, 25, berkata, sejak berumah tangga pada 1 Oktober tahun lalu, kehidupannya tidak tenteram kerana mereka sering bertengkar disebabkan Jimmy,32, enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan.

Malah dia menyifatkan Jimmy sebagai seorang yang "pelik" dan enggan bercampur gaul dengan ahli-ahli keluarganya yang lain dalam apa-apa majlis yang diadakan.

"Dia ingat dia tu superstar tak layak untuk bergaul dengan sanak saudara saya. Setiap kali majlis kenduri diadakan oleh bapa saya, Jimmy jarang bertegur sapa dan bersalaman dengan sanak saudara kami.

“Paling teruk saya pernah dipukul lebih kurang empat hingga lima kali sepanjang sebulan bersamanya. Sebelum akad nikah dan semasa berbulan madu di Koh Samui (Thailand) saya juga mengalami peristiwa yang serupa.

"Selama ini saya berdiam kerana tak nak publisiti murahan...saya orang bisnes dan tak suka publisiti macam ni.Banyak lagi yang saya pendamkan dan tak perlu dihebahkan kepada umum," ujarnya.

Tambah Suhaila, dia tidak faham mengapa Jimmy tidak cuba untuk berkomunikasi dengannya setiap kali mereka menghadapi masalah tetapi pengacara itu lebih senang mengadu kepada ibu Suhaila, Muniroh Kasim.

Dalam pada itu, Suhaila juga mendakwa, Jimmy tidak membuat sebarang pembayaran kos rawatan bersalinnya, bayaran mengurut mahupun wang untuk membeli lampin untuk anak mereka Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu.

"Dia kata dia seorang yang bertanggungjawab... semestinya dia sudah membuat persiapan tersebut dan bukan cakap kosong di media sahaja.

"Selepas bersalin, saya tidak pernah pun menghalang dia untuk berjumpa anak kerana saya tahu, Zahrah juga memerlukan Jimmy dan saya tidak akan halang kasih ayah terhadap seorang anak," ujarnya.

"Pukul kerana ingkar" - Jimmy

Sementara itu Jimmy yang dihubungi mStar Online bagi mendapatkan reaksi ke atas dakwaan-dakwaan yang dibuat isterinya itu tidak menafikan yang dia pernah memukul Suhaila.

Tetapi katanya, dia berbuat demikian kerana isterinya telah mengingkari nasihatnya.

Peristiwa itu kata Jimmy berlaku sebanyak dua kali sahaja iaitu selepas perkahwinan dan semasa berbulan madu.

"Ya, memang benar. Saya pernah memukul Suhaila pada hari ketiga perkahwinan dan hari kedua kami bulan madu. Kejadian itu disebabkan dia mengingkari nasihat saya. Tetapi saya tidaklah memukul sehingga mencederakan dirinya,” ujar Jimmy.

Tambah Jimmy, dia tidak pernah mengongkong kehidupan Suhaila sebaliknya cuba mendidiknya menjadi seorang isteri yang baik selain memintanya mengurangkan aktiviti yang sering dilakukan semasa hidup sebagai seorang bujang.

Paling menyedihkan kata Jimmy sepanjang sebulan selepas perkahwinan, dia hanya sempat bersama Suhaila selama 10 hari sahaja dan selepas itu isterinya cuba mengelak untuk meluangkan masa bersama selain lebih pentingkan rakan-rakan berbanding suami sendiri.

Mengenai tuduhan Suhaila kononnya Jimmy tidak membayar kos bersalin, katanya masalah itu timbul kerana dia sendiri tidak diberitahu mengenai hari kelahiran anaknya.

"Saya hanya diberitahu menerusi SMS pada hari kedua bahawa anak saya sudah dilahirkan tetapi dia tidak beritahu saya bila dia akan keluar (wad) jadi macam mana saya mahu menjelaskan bil perubatannya itu?" soal Jimmy.

Mengenai dakwaan isterinya yang majlis perkahwinan mereka tidak dihadiri oleh rakan-rakan artis yang lain, Jimmy mengakui memang dia tidak ramai kawan rapat.

Jimmy juga bertegas, setiap kenyataan yang diberinya selama ini bukan kerana ingin meraih publisiti murahan sepertimana yang didakwa kerana sepanjang tujuh tahun bergelar selebriti, dia tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi murahan.

Tambah Jimmy, dia juga mengakui, sepanjang masalah rumah tangganya berlaku, dia sering mengadu kepada ibu mertuanya tetapi itu berlaku kerana kesukaran untuk berhubung dengan Suhaila sendiri.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu. Jimmy memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya selepas mereka tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

Sara Ali Selesa Tanpa Mekap


SEKALI pandang, suara dan karakter pelakon Sara Ali, 21, (gambar) saling tak tumpah seperti pelakon terkenal Sharifah Amani.

Bagaimanapun, wanita kecil molek ini hanya tersenyum dan tergelak kecil saat dikatakan seperti itu.

Malah dia tidak menafikan ramai juga yang menegur perlakuan dan gerak-gerinya itu. Lantas sengaja diusik, bagaimana jika mereka berdua bertemu?

“Sebelum ini saya tak pernah bertemu dengan Sharifah Amani tetapi andai kata suatu hari nanti kami bertemu, mungkin saya akan mendiamkan diri dan hanya memerhatinya dari jauh,” jawabnya spontan kepada OopStarz!.

Sara mula dikenali menerusi filem Penunggu Istana dan Nur Kasih The Movie yang telah ditayang di pawagam.

Bagaimanapun, menurut gadis berasal dari Batu Pahat, Johor ini, dia memulakan karier lakonan dengan filem Sesuatu Yang Tertinggal setelah menjalani uji bakat di syarikat produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Melihat gayanya yang berambut panjang mengurai, siapa yang tidak tertarik dengannya lebih-lebih lagi menatap mata galak Sara yang bisa mencairkan hati mana-mana lelaki.

Berkongsi tentang penjagaan kecantikan, wanita ini bukanlah seorang yang terlalu cerewet dan lebih bersikap sederhana.

“Saya menggunakan pencuci muka yang betul-betul sesuai dengan kulit muka setelah bertemu dengan doktor pakar kulit kerana saya mengalami masalah kulit kering.

“Jadi, doktor pakar itu menyarankan produk yang sesuai seperti produk yang membantu melembapkan kulit saya.

“Selain itu, saya dinasihati agar minum banyak air masak,” ujarnya.

Sengaja menduga sama ada dia ada mengamalkan petua tradisional, Sara hanya tergelak. Bukan bermakna dia tidak percaya tetapi katanya belum tiba masanya untuk mengamalkan petua yang biasa diamalkan oleh orang Melayu zaman dahulu.

“Saya tak suka makan jamu sebab ia boleh menyebabkan badan menjadi panas tetapi saya percaya suatu hari nanti mungkin saya akan mencubanya.

“Sejak kecil, saya seorang yang lasak dan tidak terlalu gemar dengan solekan dan tak kisah untuk berpanas di bawah cahaya matahari.

“Saya jarang menggunakan mekap sebab saya tak selesa. Sesetengah wanita boleh mekap setiap hari tetapi saya lebih suka wajah saya tanpa mekap kerana lebih menampakkan diri saya yang sebenar.

“Sebab itu saya kurang mengeluarkan belanja untuk produk kecantikan dan dianggarkan jika sesekali berbelanja hanya RM100 hingga RM200 sahaja,” tutur pelakon drama Wasiat di Astro Ria ini.

Beralih kepada pemakanan, Sara akui mengalami badan yang mengecil dan sukar membesar disebabkan kadar metabolisme tinggi.

Makanlah sekerap dan sebanyak mana pun, badannya memerlukan masa beberapa bulan untuk membesar.

“Apabila saya merujuk kepada doktor, dia sarankan saya mengambil suplemen seperti Vitamin C untuk menambah selera makan dan berat badan.

“Saya pula jenis yang tidak cerewet apabila tiba bab makan. Saya suka makan nasi. Pada waktu pagi, saya jarang mengambil sarapan tetapi saya akan makan banyak pada waktu tengah hari dan petang manakala pada malam hari pula saya akan makan apa sahaja melainkan nasi,” ujarnya.

Tip cantik

-Kerap pakai krim pelindung cahaya matahari jika cuaca panas.

-Pilih produk yang sesuai dengan kulit.

-Penting minum banyak air masak.

- Tidur yang cukup dari lapan hingga sembilan jam sehari.

Profil

Nama penuh: Siti Sarah Hairi Ali

Umur: 21 tahun

Tarikh lahir: 11 Oktober 1990

Asal: Batu Pahat, Johor

Drama: Wasiat

Filem: Sesuatu Yang Tertinggal, Songlap, Penunggu Istana dan Nur Kasih The Movie

Sharnaaz Sedar Selepas ‘Ditindas’


TAHUN 2011 pastinya menjadi tahun keramat buat pelakon Sharnaaz Ahmad (gambar) yang masih baru setahun jagung dalam industri seni.

Dia yang pada mulanya agak naif tentang ‘sepak terajang’ dalam industri ini bagaikan baru tersentak daripada lamunan.Sudah menjadi lumrah, jiwa muda sepertinya pasti memberontak apabila ditindas.

Alkisahnya apabila sebuah syarikat produksi tiba-tiba membatalkan tawaran berlakon kepadanya tanpa sebab ketika dia sudah menolak tawaran daripada pihak lain.

Biarpun segala onak duri dan kekecewaan telah dilalui, pemuda berusia 26 tahun ini tetap berpaksikan kepada nilai kesabaran dan memaafkan insan melakukan perkara itu kepadanya.

Lantaran itu, daripada berlaku kekecohan atau perkara yang tidak baik, Sharnaaz terlebih dahulu mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan menghabiskan masanya di gimnasium untuk meningkatkan stamina sebagai persediaan filem terbarunya, Azazil.

Filem arahan Kabir Bhatia yang akan memasuki penggambaran bermula 25 Julai ini turut dilakonkan oleh Remy Ishak, Diana Danielle, Umie Aida dan Dira Abu Zahar.

“Setelah sebulan saya tidak berlakon, kini saya kembali ke lokasi penggambaran untuk melakonkan watak antagonis bernama Atan.

“Dia seorang yang suka berjuang dengan niat mahu menyelamatkan kampung halamannya.

“Berlainan dengan pasangannya yang dilakonkan oleh Remy Ishak, seorang pemuda yang baik dan berbudi bahasa yang lebih mendapat sokongan untuk diangkat sebagai jaguh kampung.

“Sedangkan Atan yang penuh dengan sikap cemburu ingin menjadi ketua kerana beranggapan dia lebih kuat daripada lelaki itu,” cerita Sharnaaz serba-sedikit mengenai Azazil.

Filem genre aksi ini bakal mengeluarkan Sharnaaz daripada kepompong genre seram yang lebih banyak dilakonkan sebelum ini.

Seperti yang diketahui, pemuda berasal dari Pulau Pinang ini dikenali menerusi drama Kum Kum dan Pontianak Kampung Batu yang disiarkan di Astro.

“Saya terima tawaran ini kerana saya kurang berlakon filem selepas terlibat dalam filem Seru.

“Selain daripada itu, saya mahu luaskan lagi skop lakonan saya yang sebelum ini lebih banyak melakonkan cerita seram.

“Saya tidak tahu bagaimana corak permainan Kabir untuk membikin filem aksi ini tetapi harapan saya semoga ia menjadi seakan-akan filem Apokalips kerana gaya aksinya agak menarik,” katanya.

Memanjangkan cerita tentang Azazil, pelakon drama Tari Tirana dan Dottie ini difahamkan latar masa cerita tersebut sekitar zaman pemerintahan Jepun di mana penduduknya ketika itu adalah orang asli dan bertutur dalam bahasa Malaysia baku.

Bukan itu sahaja, sudah namanya aksi, pelakon yang pernah dicalonkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 2010 ini perlu melakonkan sedikit aksi pertarungan yang padanya tidak merumitkan.

“Walaupun saya mempunyai asas tinju, tetapi saya masih perlu berguru dan belajar tentang koreografi pertarungan,” tuturnya lagi.

Lantik pengurus

Sejak berhadapan dengan insiden ‘ditindas’ sepanjang dua bulan lalu sehingga dia dipulaukan oleh beberapa rakan dalam industri, Sharnaaz banyak belajar dan nekad untuk lebih berhati-hati dengan sikap manusia.

Bunyinya agak klise, namun itulah balasan pahit yang perlu dihadapinya akibat terlalu mempercayai orang dan gagal merancang persediaan lain.

“Sejak insiden itu, saya memilih untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan Groom Works yang lebih arif dalam urusan pembayaran.

“Niat saya ceburi industri ini disebabkan minat dalam lakonan dan bukannya sekadar suka-suka.

“Saya agak tertekan dan runsing sebelum ini apabila tiada kerja. Tetapi sekarang saya bersyukur dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Saya yakin Allah pasti akan menolong dan membuka rezeki kepada orang seperti saya. Saya akan terus bertahan dan terus kuatkan semangat untuk menghadapi setiap cabaran sebagai anak seni,” ujarnya yang dalam perancangan berurusan tentang tawaran sebuah filem lagi.

Sekilas …

Nama penuh: Sharnaaz BasirAhmad

Tarikh lahir: 30 Ogos 1985

Umur: 26 tahun

Asal: Georgetown, Pulau Pinang

Drama: Tari Tirana, Dottie, KumKum, Pontianak Kampung Batudan Ungunya Cinta

Filem: Seru dan Azazil

Pencapaian: Tercalon sebagaiArtis Baru Lelaki Popular diAnugerah Bintang Popular 2010

Yamin Hani Rindu Jadi Pengacara


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Yasmin Hani mengakui tiada tawaran dalam bidang pengacaraan menyebabkan dia beralih ke bidang lakonan.

Tambah Yasmin Hani atau lebih mesra dipangil Hani ini berkata dia masih mengharap agar diberi peluang untuk mengendalikan sesebuah rancangan.

"Saya terlibat dalam bidang lakonan pada awalnya hanya sekadar suka-suka dan tidak sangka pula ia menjadi keutamaan saya kini.

"Sekarang tiada sebarang tawaran sebagai pengacara, ya secara jujurnya saya masih merindui untuk berada dalam bidang pegacaraan terutamanya bila peminat menegur dan meminta saya menyebut tagline Wacha!," katanya.

Kata Hani, jika diberi peluang dia mahu sebuah rancangan yan berbentuk perlancongan dan progam bual bicara.

"Saya tidak kisah program apa juga yang penting saya boleh bercakap tapi jika diberi peluang sudah tentu saya mahu program yang lebih matang contohnya program bual bicara seperti The Oprah Winfrey.

"Jika tidak sekalipun menjadi hos untuk program pengembaraan, rekreasi dan perlancongan sebab saya adalah seorang yang lasak dan sukakan aktiviti mencabar," katanya.

Namun begitu, pelakon drama Wasiat yang bakal disiarkan pada 24 Julai ini mengakui terpaksa menumpukan perhatian kepada bidang lakonan sebagai sumber rezekinya.

"Sewaktu jadi pengacara ada yang menasihatkan saya agar tidak terjun dalam bidang lakonan bagi menjaga nilai eksklusif sebagai pengacara tapi saya buat juga.

"Tapi saya bersyukur juga kerana banyak tawaran dalam bidang lakonan yang mencabar diri saya," katanya yang bakal memeggang watak antagonis.

ketika ditanya tentang kesukaran untuk mendapatkan karakter sesuai berikutan wajah pan Asian, Hani menjawab dia bergantung bagaimana mutu lakonan seseorang artis.

"Bagi saya ia bergantung kepada kebolehan seseorang pelakon untuk membawa watak tersebut.

"Dulu ketika saya ditawarkan watak gadis pulau dalam filem Aspalela pada awalnya mereka ragu-ragu juga kerana wajah saya terlalu Pan Asian.

"Tapi saya mampu buktikan bahawa bakat atau kebolehan membawakan watak tersebut dengan baik," ujarnya.

Nurul Syuhada, Raja Amir Rancang Bulan Madu di Paris


PETALING JAYA: Pengacara program Majalah Tiga Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain, 27, dan pasangannya Raja Amir Syah Raja Azwa, 29, merancang untuk berbulan madu di Paris pada Oktober depan.

Kata Nurul, mereka akan menumpukan perhatian kepada bulan Ramadan danSyawal terlebih dahulu bagi mengenali lebih rapat keluarga kedua-dua belah pihak sebelum berbulan madu.

“Kita akan berpuasa dan sambut raya di sini dan mengambil peluang itu untuk bersama-sama berkunjung dan mengenali keluarga kedua-dua belahpihak.

“Insya-Allah selepas semua selesai pada bulan Oktober kita akan berbulan madu di Paris,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Persandingan yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, di sini,Sabtu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli keluarga kedua-dua belah pihak, teman rapat dan personaliti TV3.

Majlis yang dihadiri lebih 1000 orang tetamu ini bertemakan moden tradisional dengan menggunakan tema warna peach dan putih dengan sentuhan daripada Khalid & Favor By Eddy sebagai perundingperkahwinan.

Pasangan mempelai mengayakan busana rekaan Datuk Radzuan Raziwill dan solekan dari jurumekap TV3 Laila Rohani.

Dalam pada itu, Nurul turut bercerita detik pertemuan pertama mereka ketika menghadiri sebuah majlis pertunangan seorang rakan pada tahun 2009.

“Kami berkenalan pada tahun 2009 ketika majlis pertunangan rakan kami dan di situ kami berkawan sehinggalah awal Januari lalu kami telah mengambil keputusan untuk melangkah ke satu tahap lagi dalam hubunganini,” tuturnya.

Ketika ditanya tentang keistimewaan yang membuatkan juara Malaysian Top Hos memilih jejaka tersebut , Nurul berkata Amir merupakan seorang yang bersederhana dan merendah diri.

Sementara itu, Amir turut menjawab Nurul seorang yang cantik, bijak, dan merendah diri.

“Kelebihan dia tertalu banyak di mata saya, dia cantik, bijak, merendah diri dan yang pentiang dia adalah jodoh saya,” katanyaringkas.

Sementara itu ditanya tentang cahaya mata, pasangan ini merancang untuk memiliki sebuah keluarga yang besar.

Selain itu, Nurul turut memberitahu akan meneruskan kerjayanya sebagai personality tv di stesen televisyen tersebut.

Pasangan ini telah diijabkabulkan dalam sebuah majlis pernikahan yang dibuat secara tertutup pada 16 Julai lalu di The Binjai On The Park, KLCC, Kuala Lumpur.

Nurul turut menerima mas kahwin sebanyak RM 777 dan wang hantaran sebanyak 20,111.

Rosma, Khai Ulang Alik Ke Pulau Pinang Kerana Pelajar


PETALING JAYA: Demi memberikan terapi kepada para pelajar pasangan suami isteri iaitu penyanyi Rosma dan Khai sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang menempatkan pusat pengajian Alliance University College of Medical Sciences (AUCMS).

Khai berkata, sebagai duta AUCMS bersama-sama isterinya dan beberapa artis lain, mereka ditugaskan untuk melakukan pelbagai aktiviti melibatkan pelajar di situ.

“Setiap bulan, kami akan sentiasa berulang-alik ke AUCMS di Kepala Batas, Pulau Pinang kerana kerja kami adalah melibatkan diri bersama-sama pelajar dengan pelbagai aktiviti seperti teater dan sukan.

“Kami telah melibatkan diri sebagai duta AUCMS sejak Jun lalu untuk kontrak selama setahun,” kata Khai kepada mStar Online.

Artis lain yang turut terlibat adalah penyanyi Salima, Aliff Razali, Lan (Kristal) serta pelakon, Zuraini Kassim.

Tambahnya: “Kami akan menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti kokurikulum melibatkan para pelajar sepanjang bulan Ramadan ini.”

Sementara itu, Rosma yang masih aktif menyanyi akan membuat persembahan nyanyian di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam selama 26 hari pada bulan Ramadan ini.

“Kerjaya nyanyian saya masih berjalan seperti biasa dan sedang merakam lagu Hari Raya dengan kawan-kawan lain yang bernaung di bawah syarikat pengurusan World Event Management Sdn Bhd iaitu Khai, Lan (Kristal), Aliff, Salima dan Zuraini.

“Selain itu, saya merakamkan lagu duet dengan suami saya untuk dimuatkan dalam album tersebut,” katanya yang pernah muncul dalam album raya berjudul Lebaran Ilahi Aidilfitri yang diterbitkan pada tahun lalu.

Selain itu, dia yang sibuk menguruskan anak lelakinya berusia dua tahun baru sahaja merakamkan program Mari Berdansa Aidilfitri yang akan disiarkan pada Hari Raya Kedua, 31 Ogos, pukul 5 petang di Astro Ria (saluran 104).

Program ini menggabungkan pasangan-pasangan bekas peserta Sehati Berdansa dan Mari Menari yang bersaing gerak tari dengan alunan lagu hari raya bagi merebut gelaran juara.

Pasangan yang memenangi program tersebut menerima hadiah RM5,000 untuk didermakan kepada badan kebajikan yang diwakili masing-masing dan hadiah percutian tiga hari dua malam ke Tanjung Rhu Resort, Langkawi.

Tajaan Perkahwinan Norman, Memey Bernilai RM12 Juta


KUALA LUMPUR: Pasangan Norman Hakim,35, dan Memey Suhaiza, 23, bakal mengadakan sebuah majlis perkahwinan bernilai RM12 juta pada 28 September ini di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini yang ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.

Menurut wakil Rafflesia selaku perancang perkahwinan pasangan itu, Bill Bora, sebanyak enam penaja yang akan bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lords Tailor, Snips, Angsana Spa, Crown Plaza, Naz(pereka pelamin dan dewan) dan Prof. Datuk Jimmy Choo.

"Memey akan memakai sebanyak dua persalinan baju dan antara tajaan yang diterima ialah, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta, gaun bertatahkan mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta dan kasut rekaan Jimmy Choo (RM600 ribu).

"Bagi persalinan gaun, kami memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik di mana rekaan tersebut mestilah berpadanan dengan mutiara yang dipadankan itu," katanya pada sidang akhbar penajaan perkahwinan Norman dan Memey di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.

Tambah Bill, tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan New York Look dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.

Lebih menarik lagi beberapa selebriti antarabangsa turut dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut dan perkahwinan ini mungkin boleh dianggap sebagai 'Wedding of The Year'.

Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan pada keesokan harinya, resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.

Kata Norman, pada mulanya, dia dan Memey bercadang ingin membuat sebuah majlis sahaja di Kota Tinggi dan tidak sangka pula menerima tawaran penajaan untuk resepsi kedua yang begitu besar.

"Sebenarnya kami rasa sangat kerdil apabila menerima tajaan daripada pihak yang bukannya calang-calang orang. Maklumlah, siapalah kami jika dibandingkan dengan selebriti tersohor yang lain.

"Rasa seperti berada di alam fantasi pun ada juga. Tetapi saya anggap tajaan berkenaan adalah rezeki kami dan saya percaya sepanjang kontroversi yang kami lalui sebelum ini ada hikmahnya," ujarnya.

Bagaimanapun Norman tidak menganggap ia sebagai sebuah perkahwinan 'perniagaan' apabila mereka ditaja sepenuhnya pada majlis resepsi kedua itu.

Ditanya pula adakah dia akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi, kata Norman dia semestinya akan menjemput ibu kepada tiga orang anaknya itu iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3.

"Sudah pasti saya akan menjemput Abby. Lagipun, dia sudah pun menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Kisah Cinta Nasha Aziz Ibarat 'Lampu Merah'


PETALING JAYA: Pelakon Nasha Aziz menjelaskan perjalanan cintanya terlalu banyak rintangan berbanding pasangan lain kerana ia sering tidak menjadi.

Kata Nasha, kalau disebut soal cinta dalam dirinya, ia umpama lebih banyak “lampu merah” berbanding “lampu hijau”.

“Sebagai orang yang bercinta atau berada dalam sesebuah hubungan itu, kita tentu mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk menuju ke peringkat seterusnya. Tetapi sayang, perjalanan cinta saya terlalu banyak rintangan iaitu lampu merah lebih banyak berbanding lampu hijau,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Drama Supermak, di sini, Rabu lalu.

Ditanya tentang hubungan cintanya dengan Nur Iman Tang s yang dikatakan telah berakhir, Nasha enggan mengulas panjang dan menganggap perkara tersebut hanya khabar angin.

“Sebagai seornag Islam, hubungan saya dengan dia tidak pernah putus,” jelasnya yang enggan mengesahkan khabar angin tersebut.

Sementara itu Nasha Aziz menjelaskan 2011 merupakan tahun bertuah baginya kerana mendapat tawaran berlakon dengan skrip yang berkualiti dan karakter yang bagus.

Dia yang bakal muncul dalam drama bersiri Supermakbermula 25 Julai ini mengakui memilih skrip yang mempunyai sesuatu karakter yang berlainan daripada kebiasaan.

"Alhamdulillah tahun ini saya banyak mendapat tawaran yang mempunyai skrip dan karakter yang bagus-bagus dan kuat.

"Saya akui memang sekarang saya memilih dalam pelbagai segi terhadap sesuatu tawaran seperti skrip, kreativiti dan karakter sesuatu watak.

"Saya berada dalam industri ini bukan kerana ingin menjadi kaya tetapi kerana kepuasan dalam bidang ini dan sebab itu juga saya tidak malu untuk pergi uji bakat drama Supermak kerana ia berbeza daripada watak biasa," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah drama tersebut Prem Anand Pillai dan barisan pelakon seperti Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako dan Syawal.

Sementara itu, Nasha berkata drama Supermak ini menuntutnya melakonkan watak aksi luar biasa yang belum pernah dilakonkan sebelum ini.

"Saya sudah biasa memegang watak-watak tentang kisah hidup sebenar yang dilalui oleh orang biasa, jadi saya ingin cuba menjadi luar biasa iaitu watak Superhero.

"Bagaimanapun tahap yang paling mencabar ialah berlakon bersama kanak-kanak kecil yang menjadi anak saya, kita terpaksa mengikut “mood” dia untuk berlakon," jelasnya.

Selain itu, ditanya tentang persiapan bulan Ramadan yang bakal menjelma, kata Nasha, dia agak sedih kerana terpaksa melakukan penggambaran drama tersebut sepanjang bulan berkenaan.

"Sudah lima tahun saya tidak mengambil sebarang tawaran ketika bulan Ramadan bagi menumpukan kepada amal ibadah tapi tidak untuk tahun ini kerana terpaksa menghabiskan penggambaran untuk drama ini," jelasnya.

Almy Nadia Bertongkat, Patah Jari Kaki


KUALA LUMPUR: Pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah, 25, mengalami kecederaan apabila jari kaki kanannya patah akibat tersadung pada pintu di rumah keluarganya di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Menurut Almy, dia sama sekali tidak menyangka bahawa kecederaan jari kakinya yang disangka terseliuh pada awalnya itu adalah kecederaan yang serius.

"Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Kaki saya hanya tersadung pada pintu dan saya sangka ia hanya terseliuh.

"Saya hanya pergi ke klinik dan malas hendak ke hospital untuk membuat pemeriksaan x-ray walaupun telah disuruh oleh orang tua saya.

"Malah, selepas kejadian itu, saya masih boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti keluar makan dengan keluarga, memandu kereta dan beli barang," katanya kepada mStar Online.

Tambah Almy, kedegilannya yang enggan membuat pemeriksaan x-ray itu telah mengakibatkan kecederaan kakinya bertambah serius dan membengkak sehingga menyukarkan pergerakan.

"Bayangkanlah, selepas insiden itu, saya boleh pulang ke Kuala Lumpur dan sambung berlakon seperti biasa walaupun kaki saya terasa sakit.

"Pada Selasa lalu, kecederaan bertambah serius apabila kaki yang bengkak itu terlanggar pula kerusi sehingga memaksa saya melakukan pemeriksaan x-ray di hospital yang kebetulan berdekatan dengan lokasi penggambaran drama.

"Selepas pemeriksaan, doktor sahkan jari kaki saya memang patah. Kecederaan itu sudah melarat ke seluruh bahagian kaki sehingga mengakibatkan jangkitan pula," katanya.

Bagaimanapun, demi komitmen drama bersiri Maahad Al-Amin arahan Raja Ahmad Alauddin yang sedang berlangsung kini, Almy enggan bercuti panjang dan sanggup berulang-alik ke lokasi penggambaran dengan bertongkat.

"Sakitnya memang Tuhan saja yang tahu tetapi saya tidak mahu bercuti panjang kerana ia akan menjejaskan jadual penggambaran drama itu.

"Esok atau lusa saya akan kembali ke lokasi penggambaran semula walaupun kaki berbalut dengan simen dan berjalan dengan menggunakan tongkat," katanya.

Dalam pada itu, aktres drama Jangan Bunuh Matahariku ini sempat diusik tentang status sebenar hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz yang dikhabarkan sudah berakhir.

Jawab Almy: "Saya tidak mahu komen apa-apa kerana tidak mahu membesar-besarkan hal itu. Hakikatnya, hanya kami saja tahu cerita sebenar.

"Memang hubungan kami renggang sekarang dan jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Namun, kami masih berhubung dan tidak sampai ke tahap putus."

Mendengarkan reaksi tersebut, Almy terus diasak adakah dia cuba menyembunyikan cerita sebenar tentang status hubungan mereka?

Beritahunya, selepas pelbagai kontroversi tentang hubungan mereka diperkatakan kebelakangan ini, dia sudah malas untuk memberikan sebarang komen atau terlibat dengan kemelut tersebut.

"Saya malas hendak fikir sebab itu saya tak kuasa hendak beri apa-apa komen ketika pihak media mencari saya berkenaan cerita Fizz bermain kayu tiga dan sebagainya.

"Saya tidak mahu dianggap artis yang bodoh kerana sibuk bercerita dan terbabit dalam kancah kontroversi yang tidak memberikan manfaat.

"Tidak semua cerita kita boleh kongsi kepada umum, biarlah saya saja yang tahu," katanya mengakhiri perbualan.

Keterlanjuran Intan - Adey


KALAUPUN masih terlalu jauh untuk menghampiri nilai sebutir intan, barangkali zat kepada unsur paling keras itu sedang ingin dikaitkan dengan pelakon Intan Ladyana. Dimunculkan sebagai gadis rebutan dalam Tipah Tertipu The Movie empat tahun lalu, laluan awal itu membawa pemilik nama hakiki Intan Nurladyana Mohamad Yahaya sehingga sejauh ini. Biarpun bukan di baris hadapan dalam pencalonan acara anugerah seni, setidak-tidaknya pentas hiburan tidak pernah memberi janji kosong untuk Intan terus berdiri.

Namun, masih ada yang mempersoalkan impak kelibatnya malah mendakwa lakonan Intan masih kaku. Tidak menidakkan kelemahan yang ada, bagaimanapun Intan yakin setiap pelakon berdepan getir yang tekanan yang sama saat sesuatu karakter hendak dilaksanakan. "Jangan mudah untuk menghukum lakonan seseorang itu 'kayu'. Orang kita gemar bersikap pesimistik sedangkan kita ada pilihan untuk mengangkat karya hasil anak tempatan bukan menjatuhkan. "Orang hanya akan menilai secara luaran, tapi bagaimana jika pengkritik itu sendiri yang berada di tempat pelakon berkenaan. Jika isu lakonan 'kayu' itu yang masih mahu diperkatakan, saya tidak faham kenapa," curah Intan.

Sedar kritikan adalah makanan, tambahan pula bagi pelakon yang tiada asas seni secara formal sepertinya, Intan mengakuinya, dalam tempoh empat tahun aktif, dia semakin matang, baik dari segi lakonan mahupun pendirian. Itu antara janji yang dipertaruhkan Intan seiring filem keempatnya bersama MIG Production (MIG), Flat 3A, kini berada di pawagam. Kendatipun bukan daripada genre drama berat, Intan mengakui kelangsungan watak Fikah menuntut penghayatan berganda daripadanya. "Boleh dikatakan, itulah watak paling berat, paling berlainan dan amat mencabar yang pernah saya lakonan.

"Filem itu bercerita tentang keruntuhan moral seperti amalan seks bebas, hamil luar nikah dan pengguguran serta pembuangan bayi. "Saya tak boleh bayangkan betapa saya akan terjerumus dan sanggup melakukan perkara seperti itu, termasuklah memegang lintah, geli-geleman saya dibuatnya. "Saya amat tertekan dan dipaksa menjadi wanita yang trauma serta tertekan, mental dan fizikal semuanya kerana cinta dan salah percaturan," ujarnya memuji kerja pengarahan Azahari Zain untuk filem berkenaan. Jika terdahulu diganding nama-nama popular seperti Pierre Andre, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, kali ini, Intan berkongsi flat pula dengan bakat baru, Adey Shafren.

Lebih teruk lagi, dia sengaja menyerahkan diri malahan menyerahkan tubuh untuk diratah dan alat pelepas amarah oleh Adey yang melakonkan watak kekasihnya, Anas. "Saya okey dengan Adey, lagipun ada sesi latihan skrip sebelum penggambaran diadakan. "Kalau Adey merasakan dia pelakon baru yang harus bermula dengan 'kosong', saya pun begitu. Setiap hari adalah proses pembelajaran," cerita si kekasih pelakon Kamal Adli itu bersahaja. Selain Flat 3A, akan datang Intan bakal muncul pula dengan filem bersama Fizo Omar berjudul Halimunan dan Bini-Biniku Gengster, sekali lagi bersama Shaheizy Sam. Adey pertama kali jadi hero

Loghat Sabah masih basah dalam bicara, namun seboleh-bolehnya pendatang baru dalam dunia lakonan, Adey Shafren, 23, menebalkan lidah untuk bercakap dalam gaya orang Kuala Lumpur. Mujurlah, sebelum benar-benar berkeyakinan untuk berdepan umum, jejaka itu terlebih dahulu mencari guru agar kekosongan yang tidak pernah terisi ilmu lakon sedikit bercambah. "Memang saya ada belajar secara tidak formal dengan seorang aktor yang cukup dikenali ramai, tetapi agak keterlaluan jika saya mendabik dada tentang siapakah mentor saya itu. "Biarlah dulu, sekarang buat malu dia sahaja jika lakonan saya tetap kayu dan memualkan," katanya merendah hati.
Masih asing di mata ramai, namun Adey bukan sewenang-wenang muncul sebagai pelakon utama. Kisahnya bermula dengan 20 babak dalam drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang The Series dan bertambah menjadi 52 babak dalam drama Adnan Sempit The Series. "Masa mula-mula berlakon, saya memang 'kayu' habis. Ada yang kata saya berlakon macam orang cacat tapi saya terima ambil itu sebagai cabaran. "Masuk drama kedua, saya tak faham apa yang saya buat, apa yang saya ucapkan dalam dialog. Apabila diberi ruang dalam drama Epilog Syurga Cinta, barulah saya faham bahasa dalaman. "Ketika itu, tubuh saya boleh berinteraksi dengan dialog yang saya luahkan, selama ini, ia melantun tanpa arah," katanya.

Adey menghitung-hitung lagi jumlah babak dalam drama Siti Kelembai sebanyak 125 babak dan diangkat sebagai antara pemain utama dalam drama 12 episod, Kasih Alya bawah produksi JS Pictures bersama Sheila Rusly. Ketika ini, Adey juga seangkatan dengan Nora Danish dan Kamal Adli dalam drama Ana Lulu di TV3. Masuk ke watak Anas, karakter pertama yang meletakkan dirinya sebagai pendokong watak utama, Adey menyimpan ekspresi. Dia menyerahkan kepada penonton sebagai pemilik suara mutlak untuk menilai corak lakonannya. "Saya baru lapan bulan bergelar pelakon. Profil saya masih di perenggan pertama. "Begitu juga dengan lidah 'Sabah' saya ini, saya masih cuba mengikis ia baik-baik tapi ada masanya saya terlepas menjadi budak Sabah, terutamanya bila ada dialog-dialog marah yang memerlukan lebih ekspresi.

"Tambah-tambah lagi, dalam Flat 3A, saya jadi seorang yang panas baran. Bila marah sahaja, sebutan saya akan jadi lebih tebal," ujarnya bernada serius. Tidak mampu menyimpan emosi, Adey berkongsi sedikit pengamatan. Katanya, dia belum mampu untuk memisahkan kecenderungan terikut-ikut gaya lakonan pelakon lain yang sering dirujuk dan diperhatikan. "Saya serahkan hak itu kepada penonton. Nilailah dan kritiklah seadanya. "Watak Anas itu sendiri banyak lapisan, dan setiap lapisan itu harus diberikan perhatian. Dia lebih daripada apa yang ditonjolkan. Saya sangat sukakan pengakhiran cerita dalam Flat 3A. "Apa-apa pun sangat berterima kasih kepada abang ipar saya, Eizlan Yusof yang banyak memperkenalkan saya terhadap bidang ini, begitu juga David Teo. "Di fikiran saya dulu, saya tahu David Teo sahaja penerbit drama dan filem di Malaysia. Betapa naifnya saya," jujurnya Adey dapat dirasai.

Qalisha bertapa lima tahun


PENAMPILAN Noor Qalisha Ahmad Rashidi pantas menarik perhatian. Orangnya kecil molek manakala wajah manisnya terserlah keunikan hasil campuran Arab, Pakistan, Afghanistan dan Melayu. Namun, kecantikan yang dimiliki oleh gadis berusia 20 tahun itu bukanlah kayu pengukur untuk dia terus kekal bertahan dalam dunia seni. Arus mencabar sedang dikayuhnya bersama bakat sebagai sauh utama. Tampil dengan kelunakan suara, wanita yang mahu popular dengan jenama Qalisha itu optimis untuk diterima oleh peminat seni tanah air sebagai seorang penyanyi.

Kira-kira lima tahun dahulu, dia pernah diberi peluang untuk menjadi penyanyi oleh komposer terkenal, Ajai. Namun, memikirkan usia yang masih mentah, dia nekad untuk mengetepikan dahulu tawaran berkenaan. Atas alasan belum cukup bersedia, dia bertegas melepaskan tawaran keemasan itu biarpun nyanyian bertakhta di hati. Kata Qalisha, semuanya bermula gara-gara kesungguhan neneknya menyatakan kebolehan Qalisha kepada Ajai pada satu majlis yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira lima tahun lalu.

"Saya terkejut apabila nenek tiba-tiba menghampiri Ajai dan memberitahunya bahawa saya boleh menyanyi. "Kemudian Ajai meminta saya menyanyi di hadapannya. Dia menyatakan suara saya berpotensi untuk dikomersialkan," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini. Pada masa itu usianya baru mencecah 15 tahun. Qalisha berasakan dirinya masih mentah untuk terjun dalam dunia popular, apatah lagi perlu meneruskan persekolahannya.

Bermula dari saat itu, jauh di sudut hati anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, itu menanam azam untuk berjaya masuk ke dunia nyanyian suatu hari nanti. Seakan-akan bertapa selama lima tahun untuk mengumpul segala kekuatan sebelum membuat keputusan sama ada mahu menjadi anak seni atau sekadar menyimpan bakat yang dimiliki, masa yang dilalui dihabiskan di bangku sekolah. Dalam tempoh itu juga, dia mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia peragaan.

"Pada awalnya saya memang tidak yakin untuk terjun dalam dunia nyanyian. Syukur kerana semua ahli keluarga menyokong dan memberi galakan supaya saya memilih kerjaya ini. "Saya tiada pengalaman dalam bidang hiburan. Hanya semangat dan kekuatan yang membuatkan saya memilih bidang ini," katanya lagi. Tekadnya, dia tidak mahu toleh ke belakang, akhirnya gadis yang berketinggian 156 sentimeter itu membuat keputusan untuk bertemu semula dengan Ajai pada pertengahan tahun lalu bagi menyatakan kesediaannya menjadi anak seni. Rentetan pertemuan selepas lima tahun itu, Qalisha tampil dengan single pertamanya berjudul Satu Januari yang mula menjadi halwa telinga pendengar sejak Mei lalu.

Single yang kini sedang diputarkan di stesen-stesen radio tempatan dicipta sepenuhnya oleh Ajai. "Selepas single ini, saya akan muncul dengan album mini berentak pop balada," kata Qalisha.

Anne ada dua teman lelaki


HAMPIR setahun setelah segala-galanya selesai, sudah jarang benar kehidupan dramatis yang cukup dikenali ramai, Anne Ngasri dapat dibaca. Sesekali, ada juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu dipanggil untuk mengisi sesi wawancara apabila perihal asam garam rumah tangga menjadi topik bualan di kaca televisyen. Terbaru, janda muda berusia 27 tahun itu dikatakan sedang dalam fasa bahagia. Lebih setahun selepas sah bercerai dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun 2010, ada khabar angin mengatakan Anne kini sudah bertemu pengganti dudanya. Khabar berkenaan disampaikan oleh seseorang yang kononnya melihat sendiri kemesraan Anne bersama seorang lelaki baru-baru ini. Tidak mahu terburu-buru membuat kesimpulan, penjelasan ibu kepada Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 3 dan Nashara Afroza, 9 bulan itu diperoleh.

Kepada Sensasi Bintang, Anne yang berada untuk penggambaran telemovie berjudul Gaya K-pop memberikan jawapan, hidup mati hidupnya kini hanyalah untuk anak-anak.

Sensasi Bintang: Jadi, benarkah ada khabar mengatakan Anne kini sedang bahagia dengan kekasih hati?

ANNE NGASRI: Memang saya sedang bahagia, sekarang teman lelaki saya adalah Warits dan Wafri, mereka itu anak-anak lelaki saya. Manalah datang cerita begitu. Buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari teman. Kalau tidak ada penggambaran, saya hanya dengan anak-anak.

Ada yang nampak Anne keluar bersama seseorang ketika ini?

Kalau saya langsung tidak boleh berkawan dengan mana-mana lelaki, itu agak parah. Tapi, rasanya saya jarang keluar, kalau keluar pun, mesti ramai-ramai. Itu pun siang hari sahaja dan dari lokasi penggambaran. Tapi memang payah untuk saya keluar. Selalunya saya akan keluar dengan anak-anak. Di Melaka sekarang pun, saya bawa dua orang anak bersama pembantu rumah sepanjang penggambaran di sini.

Mereka duduklah dalam bilik sementara saya ada penggambaran. Pasal orang nampak saya keluar bersama lelaki, rasanya, itu perkara biasa dalam kehidupan artis wanita. Kalau kita keluar biasa-biasa pun dengan mana-mana orang, lelaki khususnya, pasti akan menimbulkan tanda tanya orang yang melihatnya. Saya tak salahkan sesiapa.

Belum terbuka hati untuk menerima lelaki baru atau masih trauma dengan kisah lalu?

Sudah tidak ada apa-apa yang harus dikesalkan. Saya tak pernah trauma kerana antara saya dan Wafi, kami masih berbaik-baik. Tapi untuk mencari teman lelaki, buat masa ini belum terniat lagi kerana anak-anak lebih penting.

Jadi tidak terfikir soal jodoh?

Tipulah kalau saya katakan langsung tidak fikir, saya muda lagi. Cuma bukan untuk masa sekarang. Anak-anak saya masih kecil, saya kena kerja keras untuk cari duit besarkan dan sekolahkan anak-anak. Takkanlah saya nak meminta-minta dengan orang lain. Untuk masa akan datang, saya doa supaya dipertemukan dengan jodoh yang baik, tolong-tolonglah doakan juga untuk saya.

Bagaimana dengan turun naik karier Anne sekarang, ada yang kata Anne dapat tawaran berlakon kerana belas kasihan orang dengan nasib yang dialami?

Saya pelakon sejak kecil dan masih berlakon sehingga kini. Pekerjaan dan pendapatan saya adalah lakonan. Kalau pun ada yang berkata begitu, saya tak boleh halang. Apa yang saya harapkan, kekuatan dan kesihatan yang baik agar saya dapat bekerja untuk membesarkan anak-anak.

Maaf? Itu mengarut! - Nurul Syuhada


KURANG seminggu lagi majlis resepsi perkahwinan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 27, dengan Raja Amir Raja Azwa, 29, akan berlangsung.

Diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada 23 Julai ini, perkahwinan itu tentunya menjadi tarikan kepada mereka yang sudah lama menantikan saat pengacara Majalah Tiga ini disatukan dengan buah hati pilihannya itu.

Namun, dalam asyik menanti bunyi kompang dipalu, tiba-tiba sahaja terdengar cerita tidak enak melibatkan si cantik ini.

Semuanya gara-gara dia dituduh bermulut biadap dan telah memburuk-burukkan segelintir pihak yang singgah memberi komen di laman sosial Facebook di bawah lembaran MisteriDan KeajaibanAlam.

FakeAndFact baru-baru ini.

Mengikut cerita, Nurul telah membalas komen di laman tersebut yang sedang hangat membincangkan topik berkaitan planet bumi.

Mungkin topik yang dibincangkan dilihat hanya sekadar suka-suka dan santai, namun ia bertukar menjadi panas apabila Nurul didakwa telah campur tangan dengan cara yang tidak bersesuaian.

Nak dijadikan cerita, pergaduhan kemudiannya tercetus dengan masing-masing cuba menegakkan pendapat dan pendirian sendiri berhubung topik.

Pun begitu, komen Nurul didakwa merupakan yang paling biadap sehingga menyebabkan sesetengah pihak terasa dan berkecil hati.

Tak cukup dengan itu, ada pula yang tampil mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan Nurul tersebut. Pancaindera lantas menghubungi Nurul bagi mendapatkan kepastian mengenai isu ini.

Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan yang diterima, Nurul tegas menafikan bahawa dia adalah orang yang bertanggungjawab mencetuskan komen-komen biadap sebagaimana yang didakwa pihak terbabit.

“Sebetulnya, saya tak tahu menahu pun mengenai apa yang dikatakan sehinggalah diberitahu oleh pihak TV3 mengenainya pada hari ini.

“Saya tak pernah bagi sebarang komen untuk ruangan seperti itu dan ingin ditegaskan yang menulis komen itu bukanlah saya!

“Saya pun tak tahu macam mana isu ini boleh timbul tapi tak menolak bahawa yang menulis itu adalah di kalangan peminat yang menggunakan fanpage saya,” katanya.

Melahirkan rasa kesalnya berhubung isu, kata Nurul, dia tidak menolak kemungkinan ada pihak yang sengaja menggunakan namanya untuk tujuan yang tidak baik.

Pun begitu, dia mengaku tidak tahu siapa yang terlibat memandangkan fanpage tersebut dikelolakan oleh individu tertentu yang merupakan peminatnya sendiri.

“Nak tuduh siapa pun tak boleh sebab saya tak kenal siapa yang menjadi pengendali fanpage itu.

“Memang perkara ini nampak macam tak ada apa-apa, tetapi secara tidak langsung ia boleh menjejaskan nama saya.

“Yang saya paling bimbang, ia boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan peminat kerana ia bukan akaun peribadi saya.

“Nanti mereka sangka saya yang sengaja mencari gaduh dengan menulis benda yang bukan datangnya dari saya,” katanya kesal.

Maaf untuk apa?

Dalam pada itu, Nurul yang mengaku tidak mahu terus-menerus memperbesarkan isu ini bagaimanapun tidak mahu mengikut telunjuk pihak tertentu yang mahu supaya dia tampil membuat permohonan maaf.

Menganggap ia sesuatu yang tidak relevan, kata Nurul, dia tidak punya alasan kukuh untuk berbuat demikian apalagi dia merupakan mangsa keadaan.

“Maaf? Itu mengarutlah. Buat apa saya nak mohon maaf sedangkan saya tak bersalah dan tidak ada kena-mengena dalam hal ini.

“Sudahlah, saya pun ada benda lain yang nak difokuskan,” ujar Nurul dalam tenang.

Sementara itu, Nurul juga memohon semua pihak terutama mereka yang mengendalikan fanpage selebriti atau artis supaya mengambil langkah waspada dalam segala aktiviti melibatkan perkara seperti itu.

Malah, kata Nurul, mereka juga perlu berfikir dengan rasional berhubung sesuatu isu yang dikeluarkan sebelum bertindak berlandaskan emosi.

“Jangan cepat percaya dengan apa yang dilihat atau dibaca, kadang-kadang kita perlu fikir dan menilai dulu.

“Macam dalam kes saya ini, terang-terang dalam komen itu ada tertulis perkataan admin (pengendali).

“Maknanya pandangan yang diberikan bukanlah pandangan peribadi saya. Saya harap semua pihak ambil iktibar dari isu ini,” katanya.

Ada orang mahu jatuhkan saya – Saleha


SUHU termometer gosip minggu dipanaskan dengan kisah pelakon Siti Saleha.

Gosip bermula apabila ada pihak yang tak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar-gambar Saleha dengan pelbagai aksi mesra ‘alam’ dengan beberapa orang jejaka mat saleh di dalam sebuah acara parti.

Faham-faham sahajalah kalau dah berparti, tak mungkin orang akan fikir ia diadakan cuma di dewan biasa.

Tentulah ia diadakan di kelab.

Lazimnya masyarakat yang berfikiran tipikal, kalau dah dihidangkan dengan gambar-gambar sebegitu, pastinya Saleha pantas dilabel sebagai gadis sosial.

Bukan itu sahaja, ada juga mulut-mulut jahat yang berani menuduh Saleha turut mabuk dek penangan togokkan arak yang menjadi hidangan ketika itu.

Wah...kalau betullah apa yang dicanangkan, Pancaindera pun seram sejuk nak mempercayainya.

Iyalah, selama ini, kita sangka Saleha merupakan antara artis yang mempunyai rekod bersih tanpa secalit kontroversi.

Namun seakan tak lama keyakinan itu bertahan, Saleha menggoyahkan pandangan sejuk orang terhadapnya melalui isu ini meski dia sudah pun meminta maaf di laman sosial Tweeter miliknya.

Sekarang ini salah siapa? Orang yang mengeluarkan gambar-gambar ini atau Saleha sendiri?

Tak payahlah masing-masing nak tunjuk pandai. Jom kita tengok apa alasan Saleha berkenaan hal ini sebagaimana yang telah diceritakan oleh Saleha kepada wartawan Pancaindera, SITI ATHIRAH DZULKIFLY.

Tiba-tiba saja keluar cerita Saleha ni kaki sosial. Gambar-gambar yang tersebar tu semua bukti. Apa dah jadi ni Saleha oi..?

Saya tak tahulah macam mana gambar tu boleh tersebar. Padahal itu semua gambar lama, dua tahun lepas. Masa tu saya belum jadi artis lagi.

Jawapan klise. Kalau kita tanya semua kata tak tahu. Agak-agak Saleha siapa yang keluarkan gambar-gambar itu?

Saya tak boleh nak tuduh sesiapa. Mungkin juga mana-mana individu yang ada dalam senarai kawan Facebook saya sebab gambar-gambar itu memang saya muat naik dalam Facebook. Tapi saya tak fikir kawan yang akan menganiaya saya.

Pasti ke bukan kawan sendiri? Eh kadang-kadang kawan sendiri yang suka makan kawan Saleha..

Entahlah kak..mungkin individu asing yang ada dalam senarai kawan Facebook saya. Saya mengaku tak ambil langkah waspada dari awal. Lagipun bagi saya, gambar-gambar tu bukannya melampau pun.

Itu yang Saleha kata. Tapi banyak mata yang ‘sakit’ melihat aksi berpelukan Saleha. Dengan siapa tu?

Sebenarnya itu semua ahli keluarga saya di sebelah ibu. Ibu saya pun ada dalam gambar tu. Gambar itu diambil semasa saya menghadiri majlis perkahwinan kawan baik saya di Kuala Lumpur dua tahun lalu. Dan ada beberapa keping gambar semasa saya melawat mereka di United Kingdom (UK). Ia hanya satu perjumpaan keluarga. Jadi apa isunya?

Ada yang mempersoalkan, kalau keluarga atau sepupu sekali pun, kenapa perlu berpelukan mesra begitu?

Terus-terang, saya memang seorang yang manja dalam keluarga. Itu adalah diri saya dan budaya dalam keluarga saya. Tak salah pun saya peluk keluarga saya sendiri, bukan orang asing. Saya mempunyai darah campuran dan sangat terbuka dalam bab ini. Tapi itu bukan bererti saya tak tahu mana tahap dan batasannya. Saya pun tak akan ambil gambar melampau dan sengaja tunjukkannya pada umum. Kalau saya buat begitu, orang pertama yang akan marah mestilah ayah dan kedua abang saya, Sam.

Kalau takut ayah dan abang marah, kenapa muat naik juga?

Manalah saya tahu benda nak jadi macam ni..saya pun terkejut bila orang mengeksploitasi gambar-gambar itu sedangkan ia adalah gambar saya bersama ahli keluarga.

Ada terdetik di hati yang ini semua cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan Saleha? Maklumlah nama tengah naik sekarang.

Saya tak tolak mungkin ia adalah agenda untuk menjatuhkan saya. Saya sedar ia boleh memburukkan nama saya dan orang akan kata saya kaki sosial. Tapi percayalah, saya budak baik. Saya tidak terlalu sosial, jauh sekali minum arak. Terus-terang saya memang kecewa dan marah dengan pihak-pihak tak bertanggungjawab yang terbabit.

Mesti timbul penyesalan sekarang bukan? Iyalah..dah jadi artis, benda-benda begini pasti akan terjadi.

Saya menyesal dan mengaku kesalahan saya walaupun kawan-kawan kata saya tak perlu buat permohonan maaf. Mereka kata itu bukan salah saya. Tapi saya cuma tak mahu mengeruhkan keadaan.

Lepas ni adakah Saleha akan ambil sebarang tindakan ?

Saya tak boleh buat apa pun. Melainkan gambar-gambar itu disertakan dengan kenyataan berbaur fitnah. Apa yang saya boleh katakan, selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Saya tidak semurah itu - Watie


BERITA baik yang dikhabarkan oleh pelakon Norwatie Sadali atau mesra dipanggil Watie ini sememangnya sudah dijangka.

Bekas anggota kumpulan Elite ini dilihat matang dan benar-benar serius dengan pilihan hatinya, untuk sama-sama melangkah sekali lagi ke alam perkahwinan.

“Memang betul, saya dan Joey sedang kumpul duit sekarang ini. Nak buat kenduri kahwin lepas raya nanti,” kata Watie.

Wanita ini kemudian menyambung, “Kalau boleh kami mahu meraikan hari bahagia sambil bersedekah makan pada tetamu. Nak ajak juga semua kenalan datang memeriahkan majlis kami,” bicaranya.

Panahan mata yang menyertai pertemuan di lokasi penggambaran drama berjudul Antara Maghrib & Isyak terbitan Suhan Movies di Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor, Selasa lalu membenarkan kata-katanya.

“Sebenarnya, kami sudah fikir masak-masak tentang perkara ini. Sebagai orang dewasa yang telah menempuhi pelbagai pengalaman hidup dan fasa gelap masing-masing.

“Tak salah kalau kami meneruskan hasrat murni untuk bernikah secara baik. Apatah lagi bila sudah tak punya komitmen dengan orang lain.

“ Atas sebab tersebut, tidak ada alasan lain untuk melengah-lengahkan perkara yang baik ini,” dedah wanita ini satu persatu.

Itu termasuk menunggu kes perceraian Joey bersama Noraini Nasir yang masih dalam prosiding perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat Kajang, Selangor itu selesai.

“Kami ada rancangan tersendiri untuk perkahwinan ketiga ini. Antaranya berhajat nak bersanding. Itu adalah impian kami sebab sebelum ini tak diberi peluang untuk duduk di pelaminan. Nak juga merasa debaran raja sehari.

“Secara peribadi saya memang dah tak sabar menunggu hari penting itu. Sebab saya dah cukup bersedia memikul tanggungjawab baru,” dedah wanita yang sudah tujuh tahun hidup bersendirian tanpa ditemani insan bergelar suami ini.

Malah apa yang lebih menggembirakan hatinya apabila anak tunggal Watie, Ahmad Afif Daniel, 7, turut merestui hajatnya itu.

Afif begitu ceria selepas mengetahui tentang hubungan mereka dan tak sabar-sabar untuk mendapat ayah baru.

Bukan punca penceraian

Sebenarnya, Watie mengakui bahawa dugaan hidupnya tak pernah berhenti. Sering dihimpit dengan pelbagai cerita kurang manis termasuk cerita kurang enak mengatakan Watie adalah perosak rumah tangga antara Joey dengan Noraini.

“Sebenarnya saya dah tak sanggup lagi nak dengar banyak versi cerita tak betul tentang hubungan kami. Sekali lagi saya menegaskan bahawa saya bukan punca perceraian Joey.

“Saya mengenali Joey dalam keadaan dia tak ada lagi hubungan dengan mana-mana perempuan. Saya sendiri tak sangka boleh jatuh cinta dengan dia selepas berlakon dalam drama Blues Pasar Tani,” hujah Watie menyentuh persoalan berkenaan.

Isu duduk serumah

Dalam perkembangan yang berkaitan, Watie turut menafikan bahawa dia pernah duduk serumah dengan Joey. Gosip keterlaluan itu disambut dengan penafian.

“Maaf, saya bukan semurah itu. Cerita tentang perkara ini memang keterlaluan tapi saya masih boleh bersabar. Sebab saya tahu siapa yang menyebarkan gosip ini.

“Yang penting saya dan Joey tahu batas pergaulan kami. Itulah risiko yang perlu diambil bagi pemegang status duda dan janda.

“Sebab itu, saya tetap tak mahu ulas perkara ini. Bimbang juga kenyataan yang saya keluarkan ini boleh menyebabkan ada pihak yang terasa hati,” katanya jujur.

Sakit & anak perempuan

Membuka lembaran kesakitan yang dialami Watie sebelum ini menyebabkan pelakon drama Mimpi Sabrina ini mengucap panjang. Rasa syukur kerana penyakit yang dialaminya tidak begitu serius.

Semuanya berlaku usai penggambaran drama berjudul Jangan Hantar Ku Ke Neraka bersama Allahyarham Faizal Yusof penghujung tahun lalu. Apabila Watie terlalu tertekan melakonkan babak antagonis.

Kesan dari itu, seluruh badan kirinya terasa kebas-kebas. Mengganggu keseluruhan aktiviti rutinnya sehingga perlu membuat rawatan akupuntur.

Seiring dengan itu, Watie dikaitkan dengan seorang gadis remaja berusia 14 tahun dari Johor yang mendakwa dirinya adalah ‘anak luar nikah’ penyanyi tersebut.

“Saya tak mahu komen pasal perkara itu. Biarlah saya menyelesaikan sendiri. Lebih baik saya pendam kebenaran dari memburukkan keadaan.

“Lagi pun, saya sedang dalam proses berubat penyakit kebas ini. Doktor cakap penyakit saya tak serius tapi saya tak boleh dalam keadaan tekanan,” ujarnya minta dimengerti.

Pada masa yang sama, Watie menganggap semua dugaan yang menimpa secara bertubi-tubi itu ada hikmahnya. Baginya, Tuhan tidak akan memberi kebahagiaan kepada hambanya secara total. Ia bergantung kepada persediaan dan cara penyelesaian di pihak individu tertentu.

Nubhan buat perangai?


JARANG sekali gosip panas menerpa pemilik nama Ahmad Nubhan Ahmad, 25 , atau Nubhan ini.

Ya, mungkin sahaja kerana penyanyi ini seringkali tampil

dengan imej bersih maka sukar anasir-anasir jahat berbaur kontroversi untuk melekat pada dirinya.

Namun, entah dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja Nubhan menerima tohmahan daripada segelintir pihak yang mendakwa dia kini sudah naik tocang.

Dikatakan gagal memberikan kerjasama dengan pengurusnya sendiri sehingga kata sepakat yang dicari sering menemui jalan pertengkaran, Nubhan didakwa semakin sukar dikawal.

Disebabkan itu jugalah Nubhan dilihat sering menukar ganti pengurus. Mengikut rekod, sebelum ini Nubhan pernah diuruskan oleh tiga individu.

Tak pernah melekat lama dengan Nubhan, ketiga-tiga mereka nampaknya terlebih dahulu angkat kaki.

Apa sudah jadi ni? Siapa yang bermasalah? Nubhan atau bekas-bekas pengurusnya?

Tampil menjawab persoalan tersebut, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini mengaku punya masalah dalam isu ini.

“Biasalah kalau pengurus dan artis bertekak. Semuanya sebab masing-masing ada sasaran sendiri dalam kerja.

“Ya, mungkin kedua-dua pihak sama ada saya dan mereka punya salah sebab manusia memang tak boleh lari dari kesilapan.

“Tapi itu bukan lampu hijau buat saya untuk membenarkan atau menuding jari pada kesalahan orang lain betul tak?

“Cuma saya mahu terangkan bahawa apa yang saya buat semuanya adalah demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun akui pelantun lagu Ada Untukmu ini, sepanjang bekerja dengan bekas-bekas pengurus tersebut, dia sedaya upaya menzahirkan yang terbaik meski kadang kala wujudnya salah faham.

Pun begitu, pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini berkata, pengunduran ketiga-tiga mereka adalah dalam cara yang baik.

Ketika diminta untuk menghuraikan punca pengunduran bekas, Nubhan lebih senang memilih untuk tidak memberikan komen lanjut berhubung isu.

“Saya tak nak menyakiti atau melukakan hati sesiapa. Saya hanya boleh cakap yang perkara ini terjadi kerana kami tak ada keserasian.

“Saya punya sasaran sendiri dalam menguruskan kerjaya seni saya dan mungkin mereka tak dapat nak memenuhi kehendak saya itu.

“Saya ibaratkan benda ni macam cari jodoh. Kita mestilah mahukan yang terbaik bukan? Nak dapat yang terbaik bukan senang, kena lalui macam-macam rintangan,” ujarnya.

Meski begitu, akui Nubhan dia kini sudah punya perancangan untuk mengambil pengurus baru dan perbincangan dengan individu tersebut telah pun dibuat.

Menyesal jadi artis

Hampir empat tahun mencipta nama dalam dunia hiburan, Nubhan tentunya tak terlepas dari ujian getir sebagai anak seni.

Umum pun tahu, bukan mudah untuk menjadi seorang artis kerana ia tidak hanya berlandaskan tiket glamor semata-mata.

Pengalaman seperti menerima bayaran yang tidak setimpal dan sebagainya, pernah dilalui Nubhan dan kata anak muda ini, semua itu berlaku kerana dia masih putih lagi dalam industri.

“Teruja sangat jadi artis sampai semua tawaran pun saya nak ‘sapu’. Itu yang berlaku masa mula-mula saya jadi artis, iyalah masih baru. Ilmu apa pun tak ada.

“Bila dah terkena macam-macam perkara, haa..Barulah saya tahu kepayahannya. Pernah juga rasa menyesal jadi artis dan hampir-hampir nak berundur.

“Tapi itu semua pengalaman dan benda-benda beginilah yang menjadikan saya sebagai Nubhan yang sekarang,” katanya.

Mengaku segala ujian yang diterimanya dahulu menjadikan dirinya lebih matang, kata Nubhan, ia juga telah membuka matanya untuk keluar dari kepompong.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails