Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Terkandas Hampir Lapan Jam, Fazli Zainal Kritik Servis Malindo Air

Penyanyi Fazli Zainal menegur syarikat penerbangan Malindo Air kerana gagal memberi perkhidmatan yang baik selepas dia dan penumpang lain terkandas hampir lapan jam di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini pada Ahad. Fazli, 38, turut kesal apabila syarikat penerbangan itu menangguhkan masa penerbangannya dari Subang ke Langkawi tanpa memaklumkan kepada penumpang. "Kalau penerbangan ditangguhkan sebab masalah jerebu tidak mengapa. Tetapi ia berkaitan masalah teknikal. Dan mereka tidak memberitahu kepada penumpang awal-awal. "Buat kita (penumpang) jadi orang bodoh menunggu di lapangan terbang Subang dari pukul 8.45 pagi Ahad sehingga ke pukul 4 petang," katanya kepada mStar Online pada Isnin. Tambah penyanyi lagu Harapan itu, dia juga terkilan apabila pegawai khidmat pelanggan yang dihubunginya meminta dia menunggu perkembangan daripada syarikat itu, namun dia tidak mendapat sebarang mesej seperti dijanjikan.
Kata Fazli, dia turut meluahkan rasa tidak puas hati itu di laman sosial Facebook miliknya apabila tidak sanggup melihat golongan warga emas dan kanak-kanak menunggu bagi mendapatkan penerbangan baharu dalam tempoh yang lama. "Mereka tidak fikir ke orang tua yang duduk di kerusi roda menunggu berjam-jam. Bayi-bayi pula dalam kepanasan kerana menunggu di ruang yang sesak dengan orang ramai. "Pelajar sekolah pula dilihat kepenatan, apatah lagi mereka akan ke sekolah pada keesokan harinya. "Saya anggap pengurusan syarikat penerbangan ini terlalu lemah," ujarnya. Fazli yang bercuti ke Langkawi berkata, dia yang akan pulang ke Kuala Lumpur pada Selasa dengan menggunakan perkhidmatan sama turut mengharapkan agar kejadian serupa tidak berulang. Malah Fazli turut menasihati pihak syarikat penerbangan itu agar memperbaiki perkhidmatan mereka jika benar-benar ingin memberikan kemudahan terbaik kepada pelanggan. Terdahulu status Facebook Fazli yang menyelar perkhidmatan syarikat penerbangan itu mendapat lebih 164 like dan juga pelbagai komen.

Ramai Sangka Marsha Bakal Kahwin Hujung Tahun

Penyanyi Marsha Milan Londoh berkata ramai yang menganggap dia bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini memandangkan dia pernah meluahkan hasrat untuk menamatkan zaman bujang pada usianya 30 tahun. Marsha, 30, bagaimanapun menyifatkan kenyataan itu sekadar sasaran namun sehingga kini, dia mahupun pasangannya masih belum memutuskan untuk mempunyai sebarang komitmen. "Saya rasa orang ramai keliru kerana sebelum ini saya pernah meluahkan hasrat mahu berkahwin pada usia 30 tahun. Dan tinggal beberapa bulan saja lagi, maka ada yang beranggapan saya bakal kahwin hujung bulan ini. "Tetapi setakat ini saya dan pasangan belum berbincang untuk ke arah itu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Marsha diminta mengulas mengenai ura-ura dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka kelahiran Pulau Pinang pada Disember ini. Bagaimanapun tambah Marsha, dia tiada halangan untuk berkahwin pada bila-bila masa sekiranya dia dan kekasih bersedia untuk mendirikan rumah tangga nanti. "Bila tiba masa 'perangai gila' kami muncul, bila-bila masa saja kami akan kahwin," selorohnya. Dalam pada itu, Marsha juga dapat merasakan berita pertunangan Stacy dengan Akim Ahmad pada Sabtu lalu sedikit sebanyak memberi tempias dia yang juga selebriti kelahiran Sabah bakal mengikut jejak pasangan berkenaan. Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Marsha sibuk mempromosikan filem lakonannya Jwanita yang kini masih lagi ditayangkan di pawagam. "Sekarang ini memang saya sibuk mempromosikan Jwanita. Saya bersyukur filem ini mendapat respons yang sangat baik. "Pada masa sama saya juga sedang mempromosikan lagu Kutinggalkan Cinta dan ia sudah mula dimainkan di radio-radio tempatan," ujarnya. Selain itu, Marsha juga turut memberi tumpuan pada perniagaannya iaitu Marsha Milans.

Fouziah Gous Kesal Dituduh Tampil Nampak Pakaian Dalam

Pelakon dan pengacara Fouziah Gous menganggap tuduhan mengatakan dia memakai baju nipis sehingga menampakkan pakaian dalam ketika mengacarakan program Nona pada Ahad lalu sebagai tidak masuk akal. Fouziah, 32, berkata, tindakan penulis di sebuah forum gosip membangkitkan isu itu sengaja diada-adakan untuk mensensasikan bahan tulisan mereka. "Jujurnya saya tidak tahu isu pakaian berkenaan hebat diperkatakan kerana saya tidak membaca blog atau pun forum kerana blog dan forum sengaja mencipta atau mencari sesuatu perkara untuk disensasikan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin. Dalam pada itu, Fouziah berkata, sepanjang mengacarakan Nona, kru produksi sentiasa peka terhadap pemilihan busana yang akan digayakannya termasuk memastikan ia tidak keterlaluan sehingga menjolok mata. Malah kata Fouziah, dia juga sentiasa memakai singlet pada setiap pakaiannya termasuk penampilannya yang dikritik pada program itu Ahad lalu.
"Saya tidak rasa nampak pakaian dalam kerana saya memakai singlet dan jika penampilan saya itu tidak sesuai pasti sudah ditukar oleh pihak produksi yang sentiasa peka terhadap aspek pemakaian. "Sebab itu saya kata isu itu sengaja diada-adakan kerana sepanjang mengendalikan Nona pihak produksi memang meneliti apa yang akan saya pakai tambahan pula penerbit saya pun seorang wanita yang bertudung," jelasnya. Sementara itu, Fouziah berkata, dia tidak mahu melayani gosip berkenaan kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah. "Lebih baik saya fokus kepada kerja yang ingin saya lakukan daripada melayan gosip seperti itu," katanya.

Kekasih Baru Bukan Punca Ieda Moin Batalkan Pertunangan

Pelakon dan penyanyi Ieda Moin menjelaskan perkenalannya dengan Mohd Amril Gul Abdul Rahman bukanlah punca dia bertindak membatalkan pertunangan dengan seorang pemuda pada April lalu. Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 35, sebaliknya berkata, dia mengenali Mohd Amril selepas kejadian berkenaan dan terkejut kenapakah teman baharunya itu dituduh menjadi orang ketiga. "Pada asasnya tidak ada siapa tahu kisah mengenai kejadian itu dan saya agak terkejut apabila berita saya tidak jadi bertunang itu tiba-tiba tersebar dan Mohd Amril dikatakan sebagai punca. "Ia tidak benar kerana kami hanya berkenalan selepas saya mengambil tindakan membatalkan pertunangan tersebut," katanya kepada mStar Online. Ieda ditemui pada majlis tayangan perdana filem Pontianak Menangis di The Curve di sini, malam Isnin. Penyanyi itu terdahulu pernah berkahwin dengan Mohamad Naquib Idris, 35, namun bercerai pada 18 Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai punca dia membatalkan pertunangan tersebut, Ieda berkata, dia tidak mempunyai sebarang sebab khusus atas tindakannya itu. Bagaimanapun kata Ieda, dia menanggap lelaki berkenaan bukan jodohnya dan enggan mengenang perkara yang sudah berlalu. "Saya sudah lama kenal lelaki berkenaan dan dia peminat saya sejak zaman sebelum saya kahwin dahulu namun hubungan kami kembali rapat selepas saya bercerai akhir tahun lalu. "Saya tiada alasan mengapa saya batalkan pertunangan tersebut tetapi mungkin juga kerana saya belum bersedia," jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai hubungannya bersama Mohd Amril, Ieda tanpa berselindung memberitahu dia bahagia disamping lelaki berusia 32 tahun itu namun masih terlalu awal untuk bercakap soal kahwin. "Saya tidak mahu terburu-buru, kami pun masih baru lagi bercinta. Biarlah kami kenal hati budi masing-masing dahulu, Insya-Allah kalau ada jodoh kami berkahwin," katanya.

Shaheizy Sam Dianggap Tidak Hormat Majlis Pakai Baju T 'Polis Evo'

Pelakon Shaheizy Sam menganggap langkahnya hadir pada majlis-majlis hiburan dengan hanya memakai baju T untuk mempromosi filem Polis Evo berbaloi apabila karya tersebut berjaya mengutip RM8 juta dalam tempoh 11 hari tayangannya. Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 33, berkata, biarpun dia pernah dianggap tidak menghormati majlis, namun dia sedar apa yang dilakukannya itu sedikit sebanyak membantu memperkenalkan filem tersebut. "Ada orang cakap saya tidak hormat majlis kerana pakai baju T murah di majlis-majlis hiburan antaranya ketika menghadiri majlis anugerah Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) baru-baru ini. "Orang ramai cuma nampak pengorbanan saya kuruskan badan sahaja, tapi mereka tidak tahu itulah sebenarnya (berbaju T) pengorbanan saya yang orang tidak nampak, biarlah orang cakap saya malukan diri sendiri di majlis-majlis hiburan," ujarnya kepada mStar Online pada sidang media filem Rembat, di Cineleisure, di sini, pada Selasa. Sam diminta mengulas mengenai pencapaian filem Polis Evo yang berjaya meraih RM8 juta dalam tempoh 11 hari ketika dunia perfileman tempatan menunjukkan kesuraman.
Dalam pada itu, Sam berkata dia juga tidak mahu orang ramai meletakkan kejayaan tersebut hanya tertumpu kepada penampilannya semata-mata. Jelasnya, kejayaan filem tersebut adalah disebabkan jalan cerita dan pengarahnya iaitu Ghaz Abu Bakar yang bijak membuat percaturan. "Jangan letakkan saya seorang sahaja punca kejayaan filem ini, ia adalah kerja produksi terutama pengarah yang berjaya mencari sesuatu yang terbaik untuk kejayaan filem ini. "Selain itu, apa yang saya belajar sesuatu filem yang berjaya itu tidak boleh dihasilkan dengan bajet rendah kerana kena keluar bajet tinggi untuk cari pengarah, pelakon dan promosi yang bagus," ujarnya. Sementara itu, bercakap tentang filem Rembat pula Sam berharap populariti filem Polis Evo mampu memberi tempias terhadap filem baharu lakonannya itu. "Filem Rembat mempunyai genre berbeza daripada Polis Evo, saya harap peminat dapat memberi sokongan terhadap filem ini juga. "Saya harap juga sedikit sebanyak populariti Polis Evo juga memberi tempias kepada filem ini," katanya. Filem Rembat arahan Shamyl Othman bakal ditayangkan pada 8 Oktober depan di seluruh pawagam tanah air. Filem terbitan Red Films, Grand Brilliance dan Marna Films ini turut dibintangi oleh Aniu, Zara Zya, Zizan Razak, Arja Lee dan Sherry Alhadad.

Jam Tangan Istimewa Hadiah 'Birthday' Anak Che Ta

Pelakon Rozita Che Wan menghadiahkan jam tangan jenama Bell & Ross kepada anak sulungnya, Ammar Effendy yang menyambut ulang tahun ke 19 tahun pada Isnin lalu. Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia membeli jam tangan tersebut dengan harga paling rendah selain melihat rekaannya sesuai dengan seorang remaja seusia anaknya. "Saya beli jam tangan sahaja, jenama Bell & Ross. Kalau hari lahir, hadiahnya biasa-biasa sahaja. "Tetapi kalau dia bagus dalam peperiksaan, barulah saya beri hadiah yang istimewa," katanya kepada mStar Online dalam satu kiriman mesej pada Selasa.
Berdasarkan semakan mStar Online, jam tangan rekaan Bruno Belamich kelahiran Switzerland itu berharga antara RM18,000 hingga RM50,000. Sebelum ini Ammar mendapat hadiah kereta mewah BMW kerana pencapaian terbaiknya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Majlis ulang tahun kelahiran Ammar telah diadakan di Restoran Hampshire Place dekat sini. Difahamkan kira-kira 100 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga dan teman rapat aktres itu hadir. Sementara itu, Rozita berkata, dia tidak dapat menggambarkan Ammar akhirnya sudah menjadi lelaki dewasa selepas melalui pelbagai dugaan dalam membesarkan anaknya itu serta seorang lagi anak lelaki, Aniq Ezzra, 17. "Hampir 20 tahun, tidaklah sekejap mana sebab macam-macam peristiwa yang dilalui seiring dengan pembesaran anak-anak. "Cuma kadang-kadang hati terdetik: "Ooo dah besar anak kita..."ujarnya. Dalam pada itu kata Che Ta, sebagai seorang ibu yang sibuk dengan kerja, dia tidak boleh mengabaikan anak-anak yang sedang menempuh alam dewasa.
"Anak lelaki ni, kita kena didik betul-betul. Pelajaran kena ada. Agama pun mesti cukup. "Mereka juga perlu sedar diri asal usul agar boleh bawa diri kemana-mana mereka pergi. Alhamdulillah, setakat ini mereka dengar kata," tuturnya. Mengenai Ammar, dia kini sedang menuntut di Universiti HELP di sini mengambil jurusan Ekonomi. Rozita juga mempunyai seorang anak perempuan, Aaishah Dhia Rana yang kini berusia 11 bulan, hasil perkahwinannya dengan aktor Zain Saidin.

"MEMEY SEORANG ISTERI YANG SENANG DIJAGA" - NORMAN HAKIM

Mengakui ketika di awal perkahwinan mereka penuh dengan perkara pahit untuk dikongsikan, akhirnya pujukan Norman Hakim, 39, agar isterinya, Memey Suhaiza, 27, bersabar dengan situasi tersebut, akhirnya membuahkan hasil yang manis. Siapa sangka mereka sudah empat tahun menyulam kasih sebagai suami isteri dan telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 2, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 5 bulan yang cukup comel. Walaupun sudah lama berkahwin, jelas terpancar lagi rasa cinta yang cukup mendalam antara Norman dan Memey. "Setiap perkara yang baik itu pasti ada cabaran dan saya anggap kepayahan kami dahulu sebagai sebuah ujian. Alhamdulillah, berkat doa kami yang tidak pernah jemu, kehidupan kini jauh lebih baik daripada apa yang kami impikan," ujar Norman dipetik sebagai berkata. Selain itu, tambah pelakon ini lagi, dia turut melihat perubahan Memey bermula daripada seorang gadis sehinggalah kepada seorang ibu yang kini sudah pandai mengurus rumah tangga malah turut bijak dalam menyejukkan hatinya ketika marah.
"Bukan saya hendak memuji isteri sendiri, tetapi Memey bukan seorang wanita yang sukar untuk dijaga dan disayangi. Dia jarang merajuk dan tahu bagaimana hendak menyejukkan hati apabila saya dalam keadaan marah” "Apabila ditanya, Memey kata, dia mengambil panduan ibu bapanya yang tidak pernah bergaduh besar, sentiasa berkasih sayang dan tidak membesarkan hal remeh-temeh hingga merosakkan hubungan suami isteri," jelasnya.
Manakala Memey pula berkata, beliau dan Norman tidak pernah berhenti bercinta dan setiap hari beliau mempelajari sesuatu yang baharu tentang suaminya dan sedikit pun tidak pernah merasa menyesal berkahwin pada usia muda. "Saya rasa kami berdua tidak pernah berhenti bercinta, sebab setiap hari, pasti ada benda baharu yang saya pelajari tentang suami dan begitulah sebaliknya.
"Seboleh-bolehnya saya cuba mengelak daripada menjadi pasangan yang hanya romantis sebelum kahwin tetapi apabila sudah sah hubungan, kemesraan tiba-tiba pudar. Bagaimana hendak berkeluarga jika begitu. Semoga perkahwinan pasangan ini akan terus bahagia dan bidang perniagaan mereka akan terus mahu. Malah rata-rata peminat pasangan ini juga turut mendoakan perkara yang sama.

GAMBAR MAJLIS PERTUNANGAN AKIM & STACY

Lagi gambar-gambar menarik sekitar majlis pertunangan Akim Ahmad dengan Ummu Shaikhah Stacy Anam yang diadakan kelmarin di Amber Hills, Taman Melawati Ampang.

HANYA KERANA SALAH FAHAM - AZWAN ALI SEKALI LAGI MAKI PEMINAT

Masih ingatkah lagi anda pasal isu Menate? Terkini perkara tersebut berulang lagi apabila Azwan Ali atau Diva AA ini memaki hamun peminatnya hanya kerana salah faham dengan perkataan singkatan bagi negeri Johor Bahru iaitu JB. Semua berpunca apabila seorang peminat bertanya jika rendang hasil air tangan Diva AA yang cukup terkenal dan popular sekarang boleh dijual sehingga ke Johor Bahru. Tanpa sebarang usul periksa, Azwan menggeluarkan kata-kata kesat kepada peminat di Instagram beliau selepas menyangka individu tersebut mempersoalkan jika Azwan kini sudah tidak ada 'job'. Alahai Azwan kan dahulu sudah minta maaf pasal isu Menate kenapa lah perlu ulang lagi? Kami rasa ramai je yang tahu maksud singkatan JB tu kan? Apa salahnya tanya apa maksud perkataan itu kalau tak faham, peminat itu pun nak sokong produk jualan anda bukan nak cari gaduh.

Shahrizal Jaszle Berdiam Diri, Elak Kontroversi

Pelakon Shahrizal Jaszle menjelaskan dia tidak pernah melarikan diri ekoran namanya sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sebelum ini. Shahrizal, 27, sebaliknya berkata, sikapnya yang merendah diri dan tidak gemarkan publisiti murahan menyebabkan dia mengambil sikap berdiam diri bagi mengelakkan sesuatu isu yang timbul mengenainya terus diperbesarkan. "Jika dikaji kembali publisiti yang saya dapat sebelum ini pun oleh kerana orang lain yang bercakap dan saya sentiasa mengambil sikap berdiam diri. "Saya tidak larikan diri tetapi memang sejak dari dahulu saya lebih selesa bersikap low-profile untuk mengelakkan sesuatu isu itu terus diperbesarkan," katanya kepada mStar Online. Tambah Shahrizal, biarpun sedar kepentingan populariti untuk seseorang selebriti namun dia tidak mahu hanyut dalam situasi itu dan ingin fokus terhadap kerjayanya sebagai pelakon.
Shahrizal kini sedang dalam proses perbicaraan kes khalwat dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 23 selepas ditahan pihak berkuasa pada 16 Mei 2013. Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini memerintahkan pelakon itu membela diri atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah sebelum ini. Terdahulu, Shahrizal mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan model Hanis Husna Mohamad Nadzree pada 1 Mei lalu selepas mendedahkan hubungan mereka di Instagram miliknya. Ketika itu, pelakon itu didakwa masih lagi mengikat tali pertunangan bersama Redzwani Puteri. "Lakonan adalah kerjaya saya dan tidak pernah anggap ia sebagai satu populariti kerana bagi saya pelakon itu sama seperti pekerjaan lain," ujarnya. Dalam pada itu, Shahrizal mengakui semakin bahagia melayari alam perkahwinan bersama isterinya sejak lima bulan lalu. Kata pelakon itu, kehidupannya kini lebih teratur dan bermakna dalam menjadikan dia seorang lelaki lebih bertanggungjawab. "Dari dahulu lagi saya memang mahukan kehidupan berkahwin dan Alhamdulillah rumah tangga yang dibina semakin bahagia.
"Masa bujang dahulu lain tetapi apabila sudah berkahwin kehidupan lebih teratur dengan adanya isteri di sisi," ujarnya. Sementara itu, Shahrizal mengakui sering ditegur berhubung perubahan fizikalnya yang semakin berisi sejak berkahwin. Bagaimanapun katanya, produksi tidak mempunyai masalah dengan perkara itu namun dia tidak berasa selesa melihat dirinya di skrin membuatkannya nekad untuk berubah. "Sebelum ini berat badan saya hanya 74 kilogram dan naik mendadak kepada 80 kilogram membuatkan saya sering ditegur atas perubahan mendadak itu. "Saya sendiri berasa tidak puas hati apabila melihat diri sendiri dalam skrin yang kelihatan lebih besar daripada biasa sehingga membuatkan saya nekad untuk mengurangkan berat badan. "Alhamdulillah berkat senaman dan tidak menjamah nasi berat badan kini kembali turun kepada angka asal," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Shahrizal berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Maria Terindah untuk siaran Hyppe TV.

Sangkal Bercinta Dengan Zul Ariffin, Instagram Zahirah MacWilson Digodam

Pelakon Zahirah MacWilson menyangkal dakwaan kononnya dia mempunyai hubungan istimewa dengan aktor Zul Ariffin selepas gambar mesra mereka di sebuah pusat beli-belah tersebar. Zahirah, 20, berkata, hubungannya dengan Zul sekadar rakan biasa selepas sama-sama terlibat dalam drama Mr London Ms Langkawi sebelum ini. "Saya sebenarnya tidak mengetahui mengenai perkara ini sehingga ada meminta komen saya dan sudah tentu saya terkejut. "Ini kerana saya dan Zul hanya rakan biasa dan kami berjumpa pun secara kebetulan selain tidak berbual panjang pun ketika berjumpa tempoh hari," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambah Zahirah, pertemuan itu berlaku di pusat beli-belah One Utama di sini ketika dia sedang berjalan-jalan dan terserempak dengan Zul yang baharu sahaja keluar dari pusat kecergasan. "Saya tidak tahu apa niat individu tersebut mengambil gambar curi kami dan menyebarkannya tetapi hubungan kami memang sekadar kawan biasa sahaja," katanya. Dalam pada itu, Zahirah mendedahkan akaun Instagram miliknya telah digodam pada pagi Sabtu namun tidak mengetahui sama ada ia ada kaitan dengan gosip yang diperkatakan tentangnya pada hari sama. "Saya sebenarnya tertekan dan sedih Instagram saya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tidak tahu adakah ia berkaitan dengan gosip itu atau sebaliknya.
"Bagaimanapun saya fikir positif sahaja dan menganggap ia lumrah biasa sebagai seorang artis," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Zahirah berkata, dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri terbaharu iaitu Cik Cinderella & Encik Tengku bergandingan dengan Shukri Yayha.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails