Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aamir tonjol pelacuran


AKTOR dan penerbit filem terkenal Aamir Khan dikenali dengan perangainya yang mementingkan kesempurnaan dalam semua perkara yang dilakukannya termasuk ketika menerbitkan filem keempatnya yang diarahkan oleh pengarah Reema Kagti.

Menurut laporan, filem keempatnya itu telah memilih Aamir, Rani Mukerji dan Kareena Kapoor sebagai pelakon utama. Aamir mahu pastikan filemnya itu nanti begitu dekat dengan dunia realiti.

Memandangkan salah seorang pelakon utama wanita itu akan memegang watak pekerja seks, Aamir mahu penggambaran filem yang membabitkan watak pelacur itu menjalani penggambaran di 'kawasan merah' (kawasan pelacuran) iaitu di Kamathipura.

Bagaimanapun, keputusan Aamir itu ditentang oleh pengarah dan penerbit lain iaitu Ritesh Sidhwani dan Farhan Akhtar.

Buat masa ini Rani, Kareena serta kru filem itu sibuk memujuk dan meyakinkan Aamir bahawa terlalu dekat dengan realiti tidak semestinya satu perkara yang baik kerana penggambaran akan dilakukan di kawasan yang penuh dengan samseng dan meletakkan pelakon dalam keadaan yang bahaya.

Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan mengenai perkara itu. Namun, apa yang pasti, hasil kerja daripada Aamir Khan tidak pernah mengecewakan penonton.

Misteri ikatan Syafie, Sara


BIAR berbeza usia dan pertama kali digandingkan bersama, Syafie Naswip dan Sara Ali pantas mencipta keserasian bersama. Malah Syafie tidak berselindung memberitahu hubungannya dengan pemegang watak Hawa, dalam filem Songlap itu cukup rapat.

Dia juga mengakui ada sesuatu yang berlaku antara mereka. Namun enggan menghuraikan apakah yang dimaksudkannya itu.

“Saya dan Sara cukup rapat dalam filem ini. Tapi rapat macam mana saya tidak boleh cerita. Bagi saya Sara seorang pelakon yang bagus dan saya senang bekerjasama dengannya,” tuturnya.

Enggan mengulas lanjut tentang misteri hubungan mereka, pemilik nama sebenar Mohd. Syafie Naswip ini mengalih bicara tentang tenggelam timbul dia dalam industri seni.

Semuanya kerana pemergian pengarah dan gurunya, Allahyarham Yasmin Ahmad.

Selain seperti hilang tujuan, dia juga pernah berputus asa terhadap dunia seni dan selepas Talentime, dia jarang muncul di kaca televisyen mahupun layar perak.

Namun, atas nasihat keluarga dan teman-teman, akhirnya Syafie terpaksa mengalah memandangkan cintanya terhadap dunia seni begitu mendalam.

Syafie yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbarunya berjudul Songlap di Bangsar, baru-baru ini memberitahu, tahun ini dia hanya akan muncul dengan dua buah filem baru iaitu Nur Kasih The Movie dan Songlap.

“Saya sebenarnya tidak yakin untuk berlakon selepas pemergian arwah kerana saya dibentuk olehnya, selepas arwah tiada, saya berehat daripada dunia lakonan hampir setahun.

“Tahap keyakinan diri saya depan kamera jatuh menjunam, tetapi lama-kelamaan saya kembali okey walaupun lakonan kini bukan kerjaya saya yang utama,” ujarnya yang melakonkan watak utama dalam Songlap.

Menurut Syafie yang kini merupakan pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Gombak Setia, lakonan merupakan kerjaya keduanya kerana dia harus memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan diambil tahun ini.

“Sebelum habis belajar, saya hanya akan ambil tawaran berlakon ketika cuti persekolahan yang panjang sahaja kerana saya tidak mahu mengganggu pelajaran,” terangnya yang bersyukur pihak penerbit memahami komitmen utamanya itu.

Tambahnya, meskipun kerjaya lakonan menjanjikan pulangan yang lumayan dan masa depan yang cerah, tetapi tegas Syafie dia harus menamatkan pelajarannya terlebih dahulu sebelum memberi fokus kepada dunia lakonan.

“Saya harus menyediakan payung sebelum hujan untuk diri sendiri dan keluarga. Jadi pelajaran sangat penting buat saya kerana saya bukannya orang kaya.

“Selepas sekolah, saya berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang fotografi atau filem. Mana tahu, kalau saya tidak lagi jadi pelakon, saya boleh jadi jurugambar atau jurukamera filem pada masa depan,” ucapnya.

Gugup

Lama tidak menjejaki set penggambaran menyebabkan Syafie berasa gugup saat tiba pada hari pertama di lokasi Songlap.

Semua krew dan pelakon yang digandingkan dengannya dalam filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu cukup asing baginya.

“Sampai di set penggambaran saya rasa asing. Dalam hati saya, boleh ke saya berlakon? Tetapi dengan tunjuk ajar pelakon lain dan disiplin lakonan yang dijaga oleh pengarah semuanya berjalan dengan lancar.

“Malah, saya rasa seronok sepanjang bekerja dengan mereka, walaupun agak tertekan kerana pelakon lain semuanya hebat-hebat,” katanya.

Disebabkan ingin mendalami wataknya sebagai Adam Kecil yang merupakan adik kepada Adam Besar (Shaheizy Sam) seorang ejen penjualan bayi dan kaki judi, Syafie meninjau sendiri kehidupan di belakang kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur pada waktu malam.

“Saya tinjau dan lihat sendiri bagaimana kehidupan orang-orang di sana supaya mudah untuk saya melakonkan watak Adam Kecil kerana filem ini ada kaitan dengan kegiatan pelacuran dan dadah,” ujarnya.

Pertama dan terakhir

Sara Ali berusia 21 tahun, baru melibatkan diri dalam dunia lakonan pada tahun lepas, bagaimanapun sudah lima buah filem yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Antaranya, filem Sesuatu Yang Tertinggal, Klip 3GP, Penunggu Istana, Nur Kasih The Movie dan Songlap. Jika dilihat sebagai pelakon yang baru, Sara dikira seorang gadis yang bertuah.

Bakatnya belum lagi terbukti, tetapi sudah diberi kepercayaan oleh pihak penerbit untuk memegang watak utama dalam filem, sedangkan pelakon wanita yang sedia ada juga tidak mempunyai tuah sepertinya.

“Saya mula berlakon pada Mac tahun lalu, semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila ada orang produksi menghubungi saya menerusi laman sosial Facebook.

“Mereka minta saya datang uji bakat. Pada mulanya saya tidak percaya tetapi bila mereka minta saya hadir ke sesi uji bakat di Sri Pentas, TV3, baru saya percaya.

“Saya dipilih dan pada fikiran saya filem Sesuatu Yang Tertinggal merupakan filem pertama dan terakhir saya, tidak sangka pula akan dapat tawaran filem lain,” ucapnya dalam senyuman manis.

Sara yang merupakan pelajar jurusan Seni Bina dari Universiti Lim Kok Wing itu tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang pelakon, tetapi selepas mula berlakon filem pertama minatnya semakin bercambah.

“Memang tidak fikir langsung akan jadi pelakon tetapi mungkin sudah rezeki saya dalam bidang lakonan. Bagaimanapun, semua penggambaran dilakukan ketika waktu cuti semester, jadi saya boleh membahagikan masa dengan baik antara pelajaran dan lakonan.

“Buat masa ini harapan saya agar penonton boleh terima kehadiran saya dalam dunia seni dan melihat bakat saya. Jika saya diterima mungkin saya akan teruskan dengan lakonan, jika tidak, saya mungkin akan jadi arkitek, semuanya tidak dapat dipastikan lagi,” katanya kini sedang menjalani penggambaran filem keenamnya.

Ulasnya mengenai filem Songlap, dia menimba pengalaman yang cukup berguna kerana digandingkan dengan pengarah dan pelakon yang mempunyai nama besar.

“Macam Syafie, dia muda daripada saya tetapi dia lebih berpengalaman, jadi kami sering bertukar-tukar pendapat dan berlatih terlebih dahulu sebelum masuk ke set penggambaran.

“Apa yang saya suka mengenai Songlap, filem ini diambil daripada kisah benar dan isu semasa yang memang terjadi di Malaysia,” luahnya mengenai filem yang sedang dalam proses suntingan.

Fasha terasa hati Jejai ikut Nora ke Jepun


SHAH ALAM - Pemergian Fasha Sandha bercuti ke Bali, Indonesia bersama rakan-rakannya baru-baru ini didakwa bukan untuk meraikan sambutan tahun baru 2011 seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya untuk melepaskan tekanan perasaan.

Kosmo! difahamkan, keputusan pelakon itu bercuti ke pulau peranginan berkenaan adalah kerana kekasihnya, Rizal Ashram Ramli, 35, atau Jejai menyertai keluarga serta bekas isterinya, aktres Nora Danish, 27, makan angin ke Jepun.

Menurut seorang rakan Fasha di sini, Jejai dikatakan pergi ke Jepun untuk meraikan hari jadi anak tunggalnya bersama Nora Danish, Putera Rayqal Rizal Ashram, 3, yang jatuh pada 7 Januari lalu.

"Jejai pergi ke Jepun selepas pemergian Nora, Rayqal dan keluarga Jejai terlebih dahulu sekitar awal Januari tahun ini.

"Fasha terasa hati, mungkin sebab itu dia membuat keputusan untuk bercuti ke Bali bersama rakan-rakannya itu selepas Jejai ke Jepun bersama bekas isterinya itu," beritahu rakan Fasha itu.

Siti sudah 32 tahun


Tak sempat pilih hadiah kerana sibuk rakaman bual bicara, AJL

USIA penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bertambah setahun lagi. Dan pada usia 32 tahun, memang banyak yang dilalui dan dikecapi wanita cekal dari Kuala Lipis, Pahang ini. Saban tahun, tidak pernah gagal Siti Nurhaliza diraikan suami tercinta, keluarga, sahabat handai dan kakitangannya. Jika tahun lalu ulang tahun kelahirannya diserikan dengan kehadiran teman akrab dari seberang, Krisdayanti. Tahun ini, masih lagi memilih lokasi sama iaitu hotel terkemuka yang terletak di tengah-tengah segi tiga emas dengan kehadiran artis terkenal tanah air memenuhi segenap dewan besar.

Lebih indah, selain ibu yang sendiri dan ibu mentua, majlis penuh bermakna yang diraikan awal sehari dari tarikh sebenar kelahiran penyanyi itu turut disertai semua empat anak tirinya, Mohd Anas, Mohd Adib, Mohd Ashraf dan Mohd Aazief.

Tahun ini, Siti tampil anggun dengan gaun rona hijau zamrud sementara suaminya Datuk Khalid Muhammad Jiwa selesa berkemeja rona hijau pucuk pisang.

Tahun demi tahun, tiada lain diharapkan penyanyi yang kini melebarkan sayapnya ke bidang pengacaraan selain kehidupan diberkati dan lebih baik tahun ini. Malah kami sendiri buntu idea untuk bertanyakan soalan kepadanya. Saban tahun soalan yang hampir sama diajukan. Apa harapan Siti? Apakah hadiah istimewa pemberian suami serta macam-macam lagi.
Siti juga bagai boleh menjangka soalan yang akan diajukan. Rasanya jika boleh diputarkan kembali jawapannya tahun lalu. Mungkin sudah lama dia berbuat demikian.

Namun bergelar seorang profesional, meskipun mungkin bosan dengan soalan yang sama, dia menjawab pertanyaan itu dengan senyuman manis.

“Harapan dari segi kehidupan kalau boleh Siti ingin perbaiki lagi kekurangan, kelemahan dan memantapkan lagi karier, perniagaan dan meliputi segala-galanya. Siti juga mahu menjadi isteri, wanita dan ibu yang baik. Insya Allah,” ulas Siti mengenai harapannya seiring dengan pertambahan usia setahun lagi.

Mengenai hadiah istimewa pemberian suami tercinta, ujar Siti, dia masih belum berkesempatan keluar mencari hadiah yang dihajati kerana jadualnya agak sibuk sejak dua minggu kebelakangan ini dengan rakaman program bual bicaranya, Siti... Hiburan dan Inspirasi dan menjayakan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 pada Ahad lalu.

“Siti tahu mengenai majlis hari jadi ini tetapi Siti tidak ambil tahu langsung mengenai persiapan dan sebagainya kerana sibuk dengan rakaman program bual bicara pertama Siti. Semuanya diuruskan suami, keluarga dan staf. Pada waktu sama, Siti juga sibuk dengan persiapan untuk AJL 25. Jadi Siti tak sempat memikirkan hadiah apa yang Siti mahukan.

“Mungkin selepas majlis ini barulah Siti dapat keluar bersama suami untuk mencari hadiah. Setakat ini Siti mahukan sebuah komputer riba,” dedah Siti yang kelihatan agak malu-malu apabila menyebut mengenai hadiah yang diinginkan sempena hari lahirnya.

Antara yang hadir meraikan majlis hari jadi Siti ialah Aznil Nawawi, Lisa Surihani, Faizal Tahir, Ziela Jalil, Erma Fatima, Ezlynn, Fizo Omar, Sharifah Shahira, Ezlynn, Yuna, Ana Raffali dan Qi.

Bukan kerana terpaksa

Masih baru dalam bidang pengacaraan, Siti akui, dia memerlukan sedikit lagi masa untuk memantapkan lagi gaya pengacaraan. Dia menafikan terjerumus dalam bidang pengacaraan kerana terikat dengan kehendak kakak iparnya yang juga pemilik Global Station iaitu syarikat yang menerbitkan program berkenaan, Datin Zaiton Mohd Jiwa.

“Seperti pernah Siti katakan sebelum ini, Siti pernah ditawarkan untuk menjadi pengacara. Tapi ketika itu Siti belum bersedia. Apabila Global Station menawarkan kepada Siti tugas itu, Siti fikir sekarang sudah tepat pada waktunya. Mereka tidak mendesak, sebaliknya mereka mengikut waktu yang Siti mahukan.

“Siti buat bukan sebab terpaksa disebabkan pemiliknya adalah kakak ipar Siti. Jika iya sekalipun, apa salahnya. Bagi Siti, tidak salah jika Siti hendak membantu keluarga sendiri. Namun apa yang penting bagi Siti sebenarnya, program itu haruslah berkualiti kerana ia membabitkan nama Siti,” katanya yang turut mengambil kesempatan pada malam itu mengumumkan projek terbaru syarikat kosmetiknya Simply Siti.

Serentak dengan majlis hari jadinya juga, Siti melancarkan kempen pencarian Wajah-Wajah Simply Siti iaitu pencarian seberapa ramai pengguna produk jenama miliknya tidak kira lelaki mahupun wanita untuk dipaparkan di Wall Of Fame, Malam Gala Simply 1.

Kata Siti, kempen itu diadakan bagi menghargai pengguna yang selama ini memberikan sokongan kepada produk kosmetik pertama keluaran syarikatnya.

Diana Danielle trauma


Kejadian berlaku pada hari pertama babak aksi penggambaran filem Barajiwa

DIANA DANIELLE berada dalam ketakutan yang amat sangat apabila melihat letupan yang berlaku ketika penggambaran filem Barajiwa di Taman Seputeh, di ibu negara, malam kelmarin. Bagaimanapun, ibu pelakon muda ini, Norsiah Ramli yang dihubungi enggan menjelas lanjut mengenai kejadian itu memandangkan dirinya tidak menemani pelakon terbabit ketika penggambaran namun mengakui anaknya masih trauma dan terkejut dengan insiden terbabit. “Memang Di (Diana Danielle) agak trauma apabila melihat kejadian itu. Dia memang berada di tempat berkenaan dan sedang membuat persiapan untuk masuk ke dalam set.

“Di berada jauh daripada letupan itu. Syukurlah dia tidak mendapat sebarang kecederaan, tetapi agak trauma juga selepas melihat kejadian itu. Mungkin dia terlalu takut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu,” katanya.
Filem Barajiwa adalah arahan Osman Ali dan sudah pun memulakan penggambaran sejak dua minggu lalu.

Insiden mencemaskan ini berlaku pada hari pertama untuk menjayakan babak aksi. Kebakaran di set filem itu juga turut mencederakan seorang pelakon tambahan, Raffi Husin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam, kelmarin, berlaku akibat kesilapan teknikal ketika melakukan babak kebakaran yang sepatutnya hanya dimulakan selepas semua pelakon lari dari kawasan terbabit namun arahan petugas terlalu awal mengakibatkan insiden itu.

Begitupun, bermacam versi timbul sebaik saja kejadian itu berlaku termasuk cerita mengatakan aktres utamanya, Diana Danielle ditimpa kemalangan kereta selain kisah ada di antara pelakon lain parah hingga dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Pengarahnya, Osman Ali, berkata hanya seorang mengalami kesan lecur agak teruk tetapi bukan terbakar sebaliknya disebabkan bahang api yang terlampau kuat, namun bersyukur kerana ketika itu pelakon serta kru lain berada jauh daripada kawasan berkenaan.

Begitupun, dia terkilan kerana sejak dua hari lalu kru dan pelakon sudah berlatih menjayakan adegan terbabit terutama memastikan aspek keselamatan malah turut mendapatkan lesen daripada pihak berkaitan serta mengundang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pemantau.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana latihan untuk babak kebakaran sudah dilakukan berulang kali, lain kalau petugas yang dipertanggungjawabkan kurang tumpuan. Apabila segala-galanya kita pastikan selamat, tentu kita kecewa dengan insiden ini tambahan pula ada yang tercedera.

“Buat masa ini pelakon terbabit masih dalam rawatan akibat kecederaan terkena bahang panas di bahagian muka selain depan dan belakang badannya manakala seorang lagi kru hanya sebagai pesakit luar kerana melecur sedikit pada tangan,” katanya.

Sebaik saja kebakaran, penggambaran yang bermula sejam sebelum itu dihentikan malah mereka turut melawat Raffi yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kebetulan keesokannya seluruh produksi berehat sehari.

“Syukur semua anggota produksi diberi perlindungan insuran, begitu juga Raffi. Segala belanja perubatan dan rawatan susulan ditanggung insuran. Kami berharap dia cepat sembuh. Selepas ini kita akan menyambung penggambaran dengan mendahulukan babak yang tidak membabitkan pelakon itu.

“Walaupun yang lain selamat, kesan trauma masih ada kerana terkejut. Ketika kejadian, saya berada dalam bilik kawalan malah berulang kali mengingatkan petugas di luar pastikan segala-galanya selamat dan hanya memulakan kebakaran selepas semua pelakon lari, namun kemalangan tetap berlaku,” katanya lagi.

Bagaimanapun, insiden berkenaan memberi pengajaran kepadanya supaya mempertingkatkan lagi aspek keselamatan apatah lagi hingga penggambaran berakhir yang dijadualkan pada 1 Februari, semuanya membabitkan aksi lasak termasuk berlawan senjata.

“Dua minggu sebelum ke lokasi, semua pelakon sudah berlatih dengan juru silat profesional untuk adegan bertarung yang turut membabitkan perlawanan menggunakan parang. Kita akan pastikan di set nanti mereka hanya menggunakan parang tiruan yang sama dengan objek sebenar kerana tidak mahu kemalangan berlaku lagi.

“Saya sendiri akan lebih berhati-hati pada masa depan. Kejadian ini beri peringatan kepada saya. Memang semua kru dan pelakon memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan filem aksi ini, sebagai pengarah saya juga memastikan akan meminimumkan segala risiko,” katanya.

Noraniza rancang kahwin lelaki Singapura Jun depan


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Selepas dua kali gagal dalam melayari bahtera rumah tangga, penyanyi irama etnik, Noraniza Idris, sebetulnya telah berjanji untuk tidak berkahwin lagi.

Namun manusia hanya boleh merancang dan siapalah dia untuk menolak ketentuan Tuhan yang membuka pintu hatinya untuk menerima lelaki bergelar suami setelah lima tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Jika tiada aral, Noraniza sekali lagi akan mendirikan rumahtangga pada Jun ini.

Lelaki yang berjaya mencuri hatinya ialah seorang ahli perniagaan dari Singapura, Jeffri Iman, 51, yang merupakan bapa tunggal kepada empat orang anak.

Noraniza, 42, yang kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada Akademi Tatihseni yang berpusat di Johor Bahru, Johor, memberitahu setelah perkahwinan keduanya gagal, beliau seolah-olah tertutup hati untuk berkahwin.

Ibu kepada Mohd. Aliff Haikal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haikal, 17, yang dihubungi hari ini memberitahu;

"Setelah dua rumah tangga yang saya bina musnah terutama yang kedua hanya bertahan 12 hari, saya berjanji pada diri ini tidak mahu berkahwin lagi.

"Namun sebagai manusia kita hanya merancang dan saya tidak pernah menduga kunjungan saya ke sebuah masjid di Johor Bahru dengan niat untuk memberi sumbangan telah mengubah segala-galanya.

"Saya tidak sangka, niat ikhlas saya memberi sumbangan pada bulan Ramadan hasil jualan barangan dari akademi milik saya telah menjadi titik tolak kepada pertemuan kami."

Menurut Noraniza, dalam pertemuan yang tidak disangka itu, Jeffri yang menjadi bilal bebas di Singapura tidak bercakap sekadar menerima kad namanya untuk urusan sumbangan akademi kepada masjid itu.

''Pada pertemuan pertama itu, kami memang tidak bercakap. Tetapi apabila urusan sumbangan akademi akan dihantar barulah kami berhubungan,'' katanya.

Sejak itu, Noraniza dan Jeffri sering berhubungan dan berbicara melalui Internet yang menghubungkan mereka berdua.

Pasangan ini mencuri perhatian ramai ketika menghadiri malam akhir konsert Jamal Abdillah J2011-Lagenda di Istana Budaya, di sini Isnin lalu.

Kata Noraniza, setelah sering berbicara melalui Internet, mereka bertemu buat pertama kalinya pada 25 September sempena hari lahir Jeffri.

"Dalam pertemuan itu Abang (panggilan untuk Jeffri) menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan abang sulung saya, Mohd. Arshad, 56, yang tinggal di Kampung Kongkong, Masai.

"Sikapnya yang jujur dan nilai-nilai lelaki beriman dan berhemah tinggi menarik hati saya apalagi selepas itu pertemuan kami lebih banyak kerana tugas dan kerjaya saya sebagai tuan punya akademi," kata Noraniza.

Jeffri yang memiliki syarikat menguruskan jemaah umrah di Singapura di bawah nama Absolut U International Private Limited, kini turut bekerjasama dan membantu Akademi Tatihseni dalam memberi motivasi bersandarkan nilai-nilai Islam kepada para pelajarnya.

Jeffri yang sudah 11 tahun hidup sebagai bapa tunggal juga tidak pernah menyangka akan berkenalan dengan Noraniza.

"Saya tahu Ani seorang penyanyi tetapi saya tidak mengikuti sangat perkembangannya. Walaupun sebelum ini saya pernah berazam untuk tidak berkahwin lagi namun Allah SWT amat menyayangi saya.

"Selepas kedatangan Ani di masjid dan kemudian kami sering berbincang tentang ajaran Islam dalam kelas yang saya kendalikan di akademi, ia secara tidak langsung telah merapatkan hati kami berdua," akui Jeffri.

Jeffri yang kini rakan niaga Noraniza dan menguruskan Noraniza Idris Group Management Sdn. Bhd., berjanji tidak akan menyekat kerjaya seni bakal isterinya.

Tidak selaju selalu - The Rock


KEMBALINYA The Rock sebagai hero perkasa dalam Faster sememangnya dinanti-nantikan peminat setia.Selepas melakonkan watak-watak 'lembut' dalam filem komedi kekeluargaan seperti The Game Plan (2007) dan The Tooth Fairy (2010), bekas ahli gusti ini menggunakan semula susuk tubuhnya yang tegap untuk tujuan yang lebih sesuai.

Lima minit pertama Faster meraikan peminat filem-filem aksi. Watak utamanya dibebaskan dari penjara, berjalan merentasi gurun sebelum memandu sebuah kereta dan menembak seorang lelaki di kepala.

Walaupun babak itu stereotaip, namun ia seperti memberi harapan Faster tidak akan mengecewakan mereka.

Filem ini tertumpu kepada tiga karakter utama. Menariknya, masing-masing tidak mempunyai nama khusus dan dilabel mengikut

pekerjaan.

Karakter pertama dipanggil sebagai Driver. Watak lakonan The Rock itu memburu setiap penjahat yang membunuh abangnya dan menjadi penyebab dia merengkok dalam penjara.

Karakter kedua pula ialah Cop, detektif yang hampir bersara dan tidak disukai rakan sekerja. Dia juga mempunyai masalah dengan bekas isteri akibat ketagihan dadah.

Manakala karakter ketiga ialah Killer, seorang hartawan yang hobinya menjadi pembunuh upahan semata-mata kerana keseronokan. Berdasarkan sinopsis, penonton pasti mampu menyambungkan fungsi tiga peranan itu.

Cop ditugaskan menjejaki Driver, sementara Killer diupah oleh seorang individu misteri untuk menghapuskan Driver. Ibarat papan jigsaw, kesudahannya mungkin boleh dibayangkan, tetapi ada kejutan yang menanti.

Sebenarnya karakter Driver dan Cop sudah cukup kuat untuk menghidupkan filem ini. Walaupun kemunculan Killer berkaitan dengan kejutan di penghujung, namun karakternya seperti tidak kesampaian dan terawang-awang.

Apatah lagi apabila penulis skrip menambah sub plot iaitu konflik hubungan Killer dengan isterinya, Lily. Penambahan ini sekadar satu gangguan yang tidak memberi signifikan kepada jalan cerita.

The Rock, dengan keupayaan yang terhad dalam memberikan ekspresi wajah, masih mampu meraih simpati penonton terhadap karakternya yang teraniaya. Lakonannya berkesan sebagai protagonis yang berdendam dan memberontak, dalam masa yang sama sensitif.

Sebagai bintang senior, Billy Bob Thornton memperhalusi peranan Cop sebaiknya - antara tegas, menjengkelkan dan berjiwa rapuh.

Namun demikian, seperti mana 'lemaunya karakter Killer, begitu jugalah persembahan yang ditunjukkan Oliver-Jackson Cohen. Dia tidak lebih sekadar wajah tampan ibarat model iklan pisau cukur atau produk kecantikan lelaki.

Faster bukanlah sebuah produk yang luar biasa dan saya pasti penerbit atau pengarahnya bersetuju dengan kenyataan itu. Ia mempunyai semangat filem-filem aksi thriller era 70-an menerusi perkembangan watak, latar warna dan set serta skor muzik.

Tidak seperti judulnya, momentum filem ini tidaklah selaju atau seaktif filem-filem aksi secara lazim. Taruhan utama pengarah bukanlah pada adegan kejar-mengejar atau tembak-menembak, sebaliknya membina ketegangan menerusi elemen drama.

Tenaganya berada pada tahap sederhana dan suntingannya agak kemas, terutamanya yang membabitkan adegan imbas kembali serta gerak perlahan.

Bagaimanapun ada babak yang diulang tayang, yang pernah kita tonton berkali-kali dalam filem lain. Sebagai contoh, adegan bapa yang tidak dapat meluangkan masa dengan anak kerana kesibukan kerja. Mungkin penulis skrip malas berfikir untuk mencipta konflik yang baru.

Kembalinya The Rock sebagai hero perkasa dalam Faster sememangnya dinanti-nantikan peminat setia.

Seperti mana poster yang menampilkan dia seorang saja, filem ini menjual nama dan kemasyhurannya untuk menarik penonton ke pawagam. Walaupun ini bukan filem terunggul, peminatnya akan berpuas hati.

Asyraf tidak tersasar


JUARA Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 27, mengakui kehidupannya padat dengan pelbagai aktiviti berbanding sebelum menyertai program berkenaan.

Kesibukannya semakin ketara sejak diberi tanggungjawab mengendalikan rancangan Soal Asyraf yag disiarkan di Astro Oasis, sehingga tugasannya sebagai imam masjid tidak dapat dilakukan sepenuh masa.

Malah katanya, sejak tampil dalam program berkenaan, beliau sering diundang untuk memberi motivasi atau mengadakan forum di institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun kata Asyraf, beliau tidak menyesal kerana gelaran yang diraih itu memberinya peluang untuk berkongsi ilmu dan berdakwah menerusi pelbagai medium terutamanya di kalangan generasi muda.

"Jadual kerja yang padat ditambah dengan pengajian saya di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan syariah membuatkan saya tidak berkesempatan untuk memikirkan tentang pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi, seperti yang ditawarkan.

"Saya bercadang meneruskan pengajian dalam bidang ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di sana selepas saya tamat Ijazah Sarjana jurusan Syariah di UM," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Imam Muda musim kedua di Restoran Al-Diafah, Seri Petaling, baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, selepas melalui fasa juara Imam Muda musim pertama, beliau harus mengatur strategi bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Menurutnya, walaupun tidak berkesempatan menjadi imam di masjid yang ditentukan secara tetap, namun tugasannya itu sering dipikul bersama rakan-rakan lain.

Jelasnya, tugasan secara bergilir di pelbagai masjid di kalangan para peserta program berkenaan memberi ruang kepada mereka untuk mendekati lebih ramai orang.

"Kalau bertugas di satu masjid sahaja mungkin hanya kariah berkenaan sahaja yang saya kenali. Bila saya dan rakan-rakan dipanggil menjadi imam di pelbagai masjid, secara tidak langsung kami membantu antara satu sama lain," katanya.

Sehubungan itu juga, Asyraf menolak dakwaan yang mengatakan beliau 'tersasar' daripada objektif program Imam Muda lantaran sibuk dengan tugasan sebagai hos.

Dalam pada itu, Asyraf mengakui pendedahan terhadap dunia penyiaran selepas menyertai Imam Muda membuatkan beliau menyimpan impian untuk bergiat aktif di belakang tabir.

Menurut Asyraf, untuk permulaan beliau berjinak-jinak menghasilkan

skrip bagi iklan pendek yang cadangnya disiarkan di Internet terlebih dahulu.

"Buat masa sekarang saya dan seorang rakan sedang menyiapkan draf untuk iklan pendek. Sebagai permulaan, iklan tersebut mungkin disiarkan di laman sosial Facebook.

"Iklannya mudah sahaja, iaitu memetik mana-mana hadis berkaitan akhlak dan dijadikan cerita untuk kemudahan orang ramai. Kiranya ini adalah cerita pengajaran yang dibuat dalam bentuk iklan," jelasnya.

Katanya, penghasilan itu adalah kesinambungan hasil kerja peserta Imam Muda yang tidak terbatas sebagai imam sahaja.

Asyraf turut memberi nasihat kepada bakal-bakal peserta program Imam Muda musim kedua supaya menjadi diri sendiri dan ikhlas sewaktu uji bakat.

Ujarnya, jangan meniru identiti peserta musim lalu kerana setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri.

"Adalah mudah kalau mereka membuat persiapan dan tampil dengan gaya tersendiri tanpa terikut-ikut gaya orang lain. Saya percaya saingan lebih sengit kerana mereka mungkin

sudah melihat perjalanan peserta musim lalu.

"Paling penting, program ini bukan untuk mengejar populariti kerana kualiti lebih diutamakan kerana tanggungjawab yang dipikul oleh seorang imam berat," katanya terus terang.

33 Selebriti Pakai Cheongsam


Barisan artis dan selebriti yang memakai pakaian tradisional masyarakat Cina.

KUALA LUMPUR: Seramai 33 selebriti wanita memperagakan ceongsam hijau serta barangan kemas Mandalay dan Rafflesia di The Weld, bagi mempromosikan barangan berkenaan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 12 hingga 14 Februari depan.

Mereka adalah Nasha Aziz, model Amber Chia, Erra Fazira, Pushpa Narayan, Dynas dan Faezah Elai.

Turut serta ialah pelakon Intan Ladyana, Farahdhiya, Julia Ziegler, Miss World Malaysia 2009, Thanuja dan Miss Malaysia India Worldwide, Mohana Priya.


Nasha Aziz

Menurut Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, pihaknya sengaja memilih warna hijau berbanding merah sebagai warna rasmi pakaian itu kerana mahu mencari kelainan dalam pertunjukan tersebut. "Selain itu, sebuah pertunjukan Green Cheongsam Showcase yang menampilkan lebih 10 pereka fesyen terkenal turut diadakan di sini pada 12 hingga 14 Januari ini.

“Pemakaian ceongsam pula begitu sinonim dengan batu jed dan mutiara," katanya ketikamajlis pelancaran majlis tersebut di The Weld, di sini, Selasa lalu.

Erra Fazira

Ceongsam hijau ditampilkan dalam pelbagai bentuk dan fabrik termasuklah brocade Cina, songket, batik, lycra dan manik.

Antara pereka fesyen yang terlibat terdiri daripada Ariff Shukor, Bill Keith, CarvenOng, Daniel & Leslie, Faizel Azraff, Rizman Ruzaini, Salikin Sidek dan Wanpa.

Seramai 4.2 Juta Tonton AJL25



Hafiz memenangi tempat ketiga dan vokal terbaik menerusi lagu 'Nokhtah Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) pada Ahad lalu.

PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3, mencatat sejarah pada bulan Januari 2011 apabila Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) yang disiarkan malam Ahad lalu mencatat jumlah penonton tertinggi iaitu seramai 4.2 juta orang.

TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rabu berkata, laporan menerusi AGB Nielsen turut mencatatkan seramai 83,764 orang mendaftar untuk kemudahan live streaming menerusi dalam talian menonton siaran eksklusif karpet merah, di sebalik tabir dan keseluruhan majlis anugerah.

Jumlah itu juga menunjukkan kenaikan sebanyak 14.34 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2010. Ia merupakan rekod terbaik live streaming untuk kumpulan Media Prima secara keseluruhan.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 20 peratus penonton dicatatkan terdiri daripada pelayar-pelayar laman sesawang dari luar negara seperti United Kingdom, Jepun, Indonesia, Singapura, Mesir dan banyak lagi.



Antara gimik yang dilakukan Faizal Tahir (kiri) dalam AJL25 Ahad lalu yang mendapat jumlah penonton tertinggi iaitu seramai 4.2 juta orang.

Dalam masa yang sama AJL25 juga berjaya mendapat sebanyak 1.4 juta pelayar yang mengikuti perkembangan terkini melalui laman sesawang rasmi TV3 pada hari Ahad dan tempoh selepas tamatnya majlis.

Manakala laman sosial Facebook rasmi stesen televisyen itu pula meraih sebanyak 1 juta pelayar sepanjang siaran berlangsung sementara laman sosial Twitter yang dibuka pula mencatatkan sebanyak 13 ribu pesanan Twitter berkaitan anugerah itu serta untuk artis yang bertanding.

AJL25 yang dipancarkan dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu memberi tuah kepada penyanyi Ana Raffali selepas dia diumumkan sebagai pemenang Juara Lagu menerusi lagu nyanyian dan karyanya, Tolong Ingatkan Aku.

Khalwat : Aman Shah Mengaku Salah, Didenda RM3,000



Penyanyi Aman Shah. Gambar ini dirakamkan pada tahun 1994.

PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Aman Shah dihukum denda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak, tahun lalu.

Turut mengaku bersalah ialah wanita terbabit, Rohana Awang yang juga dihukum denda RM3,000 bagi kesalahan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abu Zaky Mohammad semasa menjatuhkan hukuman pada Rabu, mengarahkan supaya pasangan terbabit menjalani hukuman penjara selama tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Pada penghakimannya, Abu Zaky berkata, Aman Shah sepatutnya menjaga akhlak dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbuatan sebegitu, yang dapat menyebabkan kerjayanya diragui oleh masyarakat.

“Sepatutnya di penghujung usia, seharusnya kamu memikirkan tentang kematian yang semakin dekat.

“Kamu berdua harus memuhasabahkan diri dan bertaubat serta cuba mengelak daripada berlaku lagi perbuatan sebegini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa hukuman bagi kesalahan berzina untuk mereka yang telah berkahwin mengikut hukum syarak ialah direjam sehingga mati.

Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim, 53, dan Rohana, 32, terdahulu mengaku salah berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak atau berkhalwat pada pukul 12.15 tengah malam, 26 September 2010.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah Blok C1, tingkat 2 unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, di sini.

Berdasarkan fakta kes, Aman Shah didakwa telah mengambil masa selama 23 minit untuk membuka pintu selepas kediaman tersebut diserbu oleh peguatkuasa agama.

Sementara itu, dalam rayuan untuk meringankan hukuman ke atas dirinya, Aman memberitahu, dia memohon ampun daripada Allah dan mahkamah.

“Kejadian itu berlaku semasa saya mempunyai masalah. Saya nekad untuk tidak melakukan kesalahan yang sama di masa akan datang,” katanya menambah agar tidak dikenakan hukuman penjara.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Hafiz Idris manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam syarie.

Aman Shah hadir dengan memakai baju T warna hitam berkolar manakala Rohana mengenakan baju dan seluar merah dan berselendang hitam.

Artis itu pernah popular menerusi filem Darah Satria yang diterbitkan pada tahun 1983 bergandingan bersama Lydiawati.

Dia juga dikenali menerusi lagu Adikku Pandai Menari dan sebuah lagu Hari Raya, Kepulangan Yang Dinanti.

Julie Woon Masih Solo Selepas Putus Cinta Dengan Kekasih Yuna



Saat Indah Julie Woon (depan) dan Qi. Tapi sayang, Qi sekarang telah menjadi kekasih penyanyi Yuna.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Julie Woon, 26, masih lagi belum berjumpa dengan lelaki sesuai untuk dijadikan sebagai teman lelakinya.

Selepas putus cinta dengan pelakon Blogger Boy, Qi atau Qushairi Razali, pada Mei tahun lalu, dia lebih selesa untuk memberi tumpuan kepada kariernya.

Menurut Julie, walaupun dia tidak lagi mempunyai hubungan istimewa dengan pengacara itu, mereka masih lagi berkawan rapat serta menjadi rakan kongsi dalam syarikat Popcorn Studio.

"Saya ingin fokus dalam bidang pengacaraan tahun ini dan pada masa yang sama mahu aktif berlakon semula.

"Oleh itu saya tolak ketepi dahulu soal cinta. Bagaimanapun, saya ada juga keluar dengan seseorang, cuma belum sampai ke tahap yang lebih serius.

"Menariknya tentang saya dan Qi, kami masih lagi berkawan rapat dan dia merupakan rakan perniagaan bagi syarikat kami bersama seorang lagi rakan kongsi lain.

"Memang ada beberapa isu yang membuatkan kami tidak boleh bersama tapi kami mempunyai keserasian dalam berkawan," katanya yang dihubingi mStar Online.

Sementara itu, Julie gembira kerana Qi telah pun menemui cinta baru iaitu penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna, 24, dan tidak sabar untuk melihat pasangan tersebut bersatu hingga ke jinjang pelamin.

"Saya gembira yang Qi menemui Yuna sebagai teman hidupnya. Kami pernah lepak bertiga dan saya suka dengannya (Yuna). Saya harap mereka akan kahwin secepat mungkin," ujarnya.

Ana Raffali & Raja Azura Terima Pencalonan Terbanyak ABPBH 2010



SUBANG JAYA: Penyanyi Ana Raffali dan Pengacara Raja Azura merupakan artis yang memperoleh pencalonan terbanyak dalam Anugerah Bintang Popular 2010 (ABP2010).

Dalam anugerah yang akan di adakan di Genting Highlands, Pahang pada 3 April depan itu, kedua-dua mereka masing-masing tersenarai dalam tiga kategori popular.

Ana Raffali tersenarai untuk kategori Penyanyi Wanita Popular, Artis Duo/ Berkumpulan Popular dan Artis Baru Wanita Popular. Manakala Raja Azura pula tersenarai dalam Artis Komedi Wanita Popular, Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Pengumuman senarai pendek lima finalis untuk 16 kategori yang dipertandingkan itu diumumkan selepas pencalonan awal dibuka selama sebulan kepada pembaca akhbar Berita Hraian untuk memilih calon masing-masing.



Ana Raffali

Menurut Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar secara perbandingan senarai calon tahun ini menampilkan lebih ramai muka baru yang tersenarai berbanding tahun lalu.

“Hasil undian peringkat awal ini telah membariskan seramai 55 artis dan personaliti, 10 kumpulan muzik atau penyanyi duo.

“Seramai 12 orang muka baru yang tersenarai antara lima teratas dalam 16 kategori yang dipertandingkan ABPBH 2010. Sementara itu, dua orang artis iaitu Raja Azura dan penyanyi baru, Ana Raffali dicalonkan dalam tiga kategori,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman lima finalis ABPBH 2010, di sini, Rabu.

Dalam acara tersebut. Artis yang memenangi anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 2010 bakal memenangi sebuah kereta Nissan Teana 2.0L bernilai RM 137,000 dan set barangan kemas Rafflesia edisi terhad.

Artis dan personaliti yang menang bagi setiap kategori pula bakal membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000.

Borang pencalonan akhir APB2010 mula disiarkan dalam akhbar Berita Harian/ Berita Minggu bermula 17 Januari ini sehingga 13 Mac depan bagi membolehkan pembaca membuat pilihan artis masing-masing.



Anuar Zain turut tersenarai dalam kategori Artis Lelaki Popular

Berikut ini senarai lima finalis untuk ABPBH2010:

PENYANYI LELAKI POPULAR

1.Aizat

2.Anuar Zain

3.Black

4.Faizal Tahir

5.Shahir

PENYANYI WANITA POPULAR

1.Adira

2.Ana Raffali

3.Alyah

4.Stacy

5.Yuna

ARTIS DUO/BERKUMPULAN POPULAR

1.Ana Raffali/Sohaimi Mior Hassan/Altimet

2.Azlan & Typewriter

3.Bunface

4.Meet Uncle Hussain

5.6ixth Sense

PENYANYI NASYID POPULAR

1.Hijjaz

2.Inteam

3.Mirwana

4.Rabbani

5.Raihan

PELAKON TV LELAKI POPULAR

1.Aaron Aziz

2.Ady Putra

3.Fizz Fairuz

4.Remy Ishak

5.Shahezy Sam

PELAKON TV WANITA POPULAR

1.Fasha Sandha

2.Lisa Surihani

3.Noorkhiriah

4.Scha Alyahya

5.Tiz Zaqyah

ARTIS BARU LELAKI POPULAR

1.Daus

2.Maulana

3.Shahir

4.Sharnaaz Ahmad

5.Shahz Jaszle

ARTIS BARU WANITA POPULAR

1.Adira

2.Ana Raffali

3.Mizz Nina

4.Murul Elfira Roy

5.Nur Syuhaida @ Dottie

ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR

1.Along

2.Angah

3.Johan

4.Nabil

5.Zizan

ARTIS KOMEDI PEREMPUAN POPULAR

1.Didie Alias

2.Kenchana Dewi

3.Noorkhiriah

4.Raja Azura

5.Sharifah Shahirah

PELAKON FILEM LELAKI POPULAR

1.Aaron Aziz

2.Bront Palarae

3.Remy Ishak

4.Shaheizy Sam

5.Syamsul Yusof

PELAKON FILEM WANITA POPULAR

1.Diana Danielle

2.Lisa Surihani

3.Liyana Jasmay

4.Maya Karin

5.Scha Alyahya

PENGACARA TV LELAKI POPULAR

1.Ally Iskandar

2.Awal Ashaari

3.Aznil Nawawi

4.Jimmy Shanley

5.Zizan

PENGACARA TV WANITA POPULAR

1.Cheryl Samad

2.Fara Fauzana

3.Nurul Syuhada

4.Raja Azura

5.Sharifah Shahirah

PENYAMPAI RADIO LELAKI POPULAR

1.Aznil Nawawi

2.Faizal Ismail

3.Halim Othman

4.Kieran

5.Salih Yaakob

PENYAMPAI RADIO WANITA POPULAR

1.Abby Fana

2.Fara Fauzana

3.Linda Onn

4.Raja Azura

5.Sharifah Aleya

'Sakti Delima' : Watak Tahyul Iqram Jadi Punca - Pengerusi LPFM



Datuk Mohd Hussain Shafie

PETALING JAYA: Drama bersiri Sakti Delima dilarang penyiarannya adalah disebabkan watak Iqram Dinzly sebagai Nur Firdaus Kencana mengamalkan perbuatan syirik, satu penonjolan salah mengikut garis panduan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Pengerusinya, Datuk Mohd Hussain Shafie berkata, sesebuah kisah dongeng tidak boleh dikaitkan dengan agama sebaliknya drama berkenaan memaparkan tema sebegitu.

Katanya persoalan mula timbul apabila Iqram membawa watak yang bertentangan dengan hukum-hakam agama sedangkan dia digambarkan sebagai seorang Islam dalam drama tersebut.

"Saya agak terkejut apabila menonton drama itu pada episod keempat di televisyen apabila melihat Iqram berlakon menjadi burung pada waktu siang dan malam pula menjadi manusia.

"Kemudian, ada pula watak mengenai kepercayaan tentang kalung dan azimat. Orang Islam tidak boleh percaya dengan semua itu dan ia syirik. Ini dah jadi lain.


Iqram Dinzly

"Sebab itu saya meminta pihak TV3 memberi kesemua 20 episod pita rakaman untuk ditapis semula kerana sebelum ini pihak kami hanya menerima beberapa pita sahaja daripada TV3 sebelum meluluskan drama tersebut.

"Dan ingin saya jelaskan bahawa kami bukannya melarang terus daripada menyiarkan drama tersebut, cuma drama itu perlu ditapis semula," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Hussain, setakat ini dia belum lagi membuat keputusan sampai bilakah larangan penangguhan itu akan berkuatkuasa ataupun melarang terus penyiarannya.

Ini kerana pihaknya baru menerima sembilan episod pita berkenaan daripada TV3.

Kontroversi mengenai drama tersebut tercetus apabila LPFM mengarahkan TV3 untuk memberhentikan tayangan drama terbitan J.S Pictures itu pada 10 Januari lalu yang dikatakan mempunyai unsur-unsur syirik dan tahyul.


Sheila Rusly

Penerbitnya, Shiela Rusly mempersoalkan LPFM sebab penyiaran drama tersebut dihentikan seketika sedangkan ia merupakan 30 peratus adaptasi daripada filem Pancha Delima yang pernah dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dan Saadiah pada tahun 1957.

Filem itu mengisahkan tentang kesaktian seutas kalung yang menjadi rebutan ramai.

Bagaimanapun menurut Hussain, Pancha Delima tidak dilarang siarannya kerana ia sebuah kisah dongeng yang mana jalan ceritanya tidak dikaitkan dengan agama Islam.

"Sebenarnya drama ini boleh ditayangkan jika ia dibuat seperti sebuah kisah dongeng. Tetapi lain pula jadinya apabila ia mengaitkan agama Islam, itu yang membuatkan cerita itu menjadi tahyul dan syirik.

"Contohnya seperti drama Arjuna, apabila tangan salah satu watak drama ini mengeluarkan api. Ia diluluskan kerana drama tersebut tidak menunjukkan watak tersebut adalah seorang yang beragama Islam.

"Begitu juga dengan drama bersiri Indonesia, Si cantik Dan Si Buruk Rupa, yang masih ditayangkan di TV3, ia berkisah mengenai cerita epik Hindu pada zaman dahulu. Kalau kisah-kisah sebegini, ia bukanlah satu masalah buat pihak LPFM.

"Cuma jangan babitkan drama kisah dongeng dengan agama Islam," katanya yang meminta Shiela atau penerbit-penerbit lain berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan secara mendalam mengenai penerbitan drama berkonsepkan kisah dongeng.

TV3 dalam satu kenyataannya Isnin lalu berkata, pihaknya telah menghantar 20 pita drama berkenaan kepada LPFM untuk dibuat pemantauan.

Desas-Desus Tomok Nikah Pramugari Julai Ini



PETALING JAYA: Selain berazam mengembangkan kerjaya seninya, penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 26, turut mengaku akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini.

Bagaimanapun, kata Tomok dia sendiri akan mengumumkan perkara tersebut apabila sudah bersedia.

“Ya, Insya-Allah, saya sedang merancang untuk ke arah itu, namun buat masa ini saya masih belum bersedia sepenuhnya dan banyak perkara yang perlu diuruskan lagi.

“Bila sampai masanya nanti saya berjanji untuk umumkan perkara itu dan tidak akan merahsiakannya kepada orang ramai,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

mStar Online difahamkan Tomok bakal mendirikan rumah tangga pada awal Julai ini dengan seorang wanita berusia 31 tahun.

Wanita yang dikenali sebagai Ayu itu bertugas sebagai pramugari di salah sebuah syarikat penerbangan tempatan dan kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, juara program realiti One In a Million (OIAM) ini masih belum bersedia menceritakan mengenai persiapan yang dilakukan.

“Setakat ini semua dalam perancangan dan masih awal untuk menceritakan persiapan perkahwinan kami. Dia juga masih belum bersedia untuk diperkenalkan kepada peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Tomok yang baru sahaja melancarkan album terbarunya hujung tahun lalu juga bakal keluar dengan filem pertamanya Mantera pertengahan tahun ini.

Kontroversi Gambar Seksi, Fasha Kunci Mulut



SUBANG JAYA: Pelakon popular Fasha Sandha enggan memberi sebarang komen terhadap segala kontroversi termasuklah penyebaran gambarnya memakai bikini dalam Internat.

Jelas Fasha, dia mahu mengambil pendekatan berdiam diri bagi mengelakkan kontroversi tersebut berpanjangan yang akan lebih memburukkan keadaan.

“Tiada komen terhadap semua perkara tersebut. Saya tidak mahu memanjangkan kontroversi ini. Biarlah orang nak beri apa juga persepsi terhadap saya.

“Apa yang penting saya tidak mahu mengulas apa pun. Bagi saya lebih baik saya tidak cakap daripada memberi komen tetapi disalah ertikan maksudnya,” ujarnya yang ditemui pada majlis pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular (ABP), di sini, Rabu.

Baru-baru ini, Fasha telah digemparkan dengan kontroversi penyebaran gambarnya berbikini di pantai Bali, Indonesia ketika bercuti pada 30 Disember lalu.

Kontroversi bertambah hangat apabila Fasha tidak hadir pada majlis Pertunjukan Fesyen Ceongsam Green, Selasa lalu pada saat-saat akhir sehinggakan pereka fesyen terkenal, Hezree Wahid terpaksa menarik diri pada majlis tersebut.

Dalam pada itu juga, difahamkan ibu bapa kepada pelakon drama Chinta ini telah hadir ke pejabat sebuah akhbar tempatan petang Selasa lalu selepas gambarnya berbikini dikeluarkan akhbar tersebut.

“Saya tidak tahu kalau ibu bapa saya ke (akhbar) Kosmo kerana kontroversi ini dan saya tidak mahu komen apa-apa.

“Yang penting keluarga dan peminat saya memahami keadaan yang berlaku dan sentiasa berada di belakang saya dengan memberikan sokongan,” katanya.

Tambah Fasha, dia menganggap perkara tersebut sebagai ujian dan asam garam dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang artis.

Malah katanya, dia sudah biasa berhadapan dengan kontroversi yang lebih teruk sebelum ini.

Along idam program sendiri



HASRAT pelakon dan pelawak, Muhammad Nizamudin Ahmad atau Along Cham untuk bergabung semula dengan rakan seangkatannya ketika menyertai program Raja Lawak musim kedua (RJ2) iaitu Azrul Zaidi sentiasa menebal.

Begitupun disebabkan masing-masing mempunyai komitmen dan mendapat tawaran secara individu hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan. Kumpulan Cham antara gandingan mantap dalam program Raja Lawak musim itu disifatkan peserta yang mampu menonjol dalam dunia seni tempatan.


Sekalipun timbul ura-ura gandingan mereka sudah berpecah namun Along menafikan sebaliknya gandingan mereka masih bersama dan mempunyai hubungan baik antara satu sama lain. Katanya, tidak timbul langsung soal berselisih faham atau sebaliknya. Menurut Along yang aktif berlakon, memang dia sendiri mahu digandingkan dalam satu program malah selepas keluar daripada RJ2 ada beberapa pihak mahu gandingan mereka dalam satu program hiburan begitupun mungkin rezeki belum ada.


Along kini artis residen MIG Production, tetap menanti peluang untuk mempunyai program sendiri jika diberi kesempatan pula. Tidak dinafikan rezeki dalam bidang lakonan semakin bertambah.


"Memang kalau ikutkan saya mahu bersama Cham namun tiada peluang yang diberikan kepada kami membuatkan saya tidak boleh terlalu berharap. "Buat masa ini masing-masing menumpu kepada tawaran individu. Azrul dengan tawarannya manakala saya pula dengan lakonan termasuk pengacaraan.


"Selepas dilamar MIG ketika membintangi filem Adnan Semp-It rezeki dalam bidang lakonan semakin bertambah. Apa yang saya idamkan iaitu berlakon dalam drama dan seterusnya filem akhirnya terlaksana. Kejayaan filem Adnan Semp-It juga membuatkan pihak MIG menghulurkan tawaran untuk menjadi artis di bawah syarikat mereka.



"Saya berterima kasih kepada Produser MIG, David Teoh kerana nampak bakat lakonan saya seterusnya memberi peluang untuk membintangi beberapa filemnya. Walaupun sudah terikat dengan MIG namun saya masih diberi kelonggaran untuk terbabit dengan produksi lain bergantung kepada syarat yang ditetapkan kelak," kata suami kepada Nur Azilah Seeron atau Zila AF4. Along menandatangani kontrak bersama MIG penghujung tahun lalu. Kontrak selama lima tahun begitupun perlu diperbaharui setiap 12 bulan mengikut prestasi dan persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak. Tambahnya, kontrak bersama MIG berkenaan dilihat sebagai pentas terbaik untuk mengembangkan karier seninya. Ikut pada pengurusan pihak produksi mempunyai beberapa perancangan. Jika tiada aral dia juga bakal terbabit dalam filem terbaru MIG. Selain Along antara rakan daripada RL yang turut menjejaki langkahnya ialah Angah.


Terdahulu Along turut melakonkan watak Awang dalam filem Hallo arahan A R Badul terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd. Menerusi filem komedi romantik itu Along turut digandingkan dengan Angah dan Tauke Raja Lawak sebagai tiga sahabat baik ala karakter Do Re Mi (karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee) versi moden.


Pengalaman berlakon di bawah bimbingan pengarah dan pelakon komedi berpengalaman seperti A R Badul sememangnya meninggalkan memori manis buatnya. Filem berkenaan yang dijadualkan menemui peminat pada penghujung 2011 turut dibintangi Dayana Anak Wayang, Herman Tino, Acong Sweetchild, Isma dan Zul 2 by 2. Filem itu kisaj tiga pemuda berhijrah ke ibu kota untuk mencuba nasib dan seterusnya mencari pasangan hidup. Pelbagai cabaran dan konflik kehidupan dilalui mereka.

Adilla mahu perjuang irama keroncong



PENYANYI manis yang suatu ketika dahulu cukup sinonim dengan lagu saduran yang digubah ke irama keroncong, Bukan Aku Tak Cinta iaitu Adilla Idris kini kembali mewarnai persada muzik tanah air.

Biarpun sudah hampir lapan tahun menyepi tanpa sebarang produk terbaru, Adilla sebenarnya tidak pernah sunyi dengan pelbagai undangan nyanyian.

Malah, dia kini sibuk mengusahakan pusat kesihatan sendiri, Adilla Fitness Studio (AFS) yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Ibu kepada empat anak ini biarpun mengambil masa yang agak lama untuk kembali mengubat rindu peminat sebenarnya, tidak pernah pudar daripada gelodak jiwa yang sentiasa meminati bidang nyanyian.

Biarpun sibuk mengusahakan pusat kesihatan sendiri, dia yang turut terlibat dengan pelbagai projek senamrobik bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, selagi boleh enggan undur biarpun setapak dalam nyanyian.

Hasratnya, biarlah irama yang diperjuangkan selama ini iaitu keroncong terus menjadi salah satu tarikan dan tidak lapuk dek peredaran masa.

Menyedari muzik tersebut kian dilupakan, dia tampil berani menongkah arus dengan album terbaru, Rock Keroncong yang kini telah pun mula diedarkan.

Berbeza dengan artis lain, dia yang bernaung di bawah Cherry Talent itu menggunakan medium internet sebagai jalur mempromosi serta menjual produk suaranya itu.

Bagi yang mengikuti perkembangan penyanyi itu pasti mengharapkan sesuatu kelainan daripadanya.

Namun, irama keroncong masih lagi beraja dihatinya biarpun pemilihan lagu-lagunya daripada irama rock yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Ditebak persoalan tersebut, jelas Adilla, itulah pengorbanannya dalam memastikan irama keroncong tidak terus tenggelam di tengah-tengah kepesatan perkembangan muzik tempatan.

Jujur dalam dirinya, sebagai penyanyi dia seboleh mungkin ingin mencuba pelbagai genre muzik malah, menyanyikan lagu-lagu yang menjadi minat ramai dan trend terkini.

“Biarpun ramai yang mengatakan irama keroncong hanya untuk golongan tertentu sahaja namun, bagi saya tidak semestinya ia tiada pengikut.

“Saya memang ingin perjuangkan irama keroncong, sebab itu saya masih lagi setia dengan irama sebegini.

“Dalam nyanyian, kalau boleh saya mahu mencuba genre lain namun biarlah saya utamakan muzik sebegini terlebih dahulu. Perancangan untuk album irama lain biarlah saya fikirkan kemudian,” katanya.

Utamakan kesihatan

Bergelar ibu kepada empat anak berusia antara tiga hingga 13 tahun, membuatkan dirinya lebih serius menjaga kesihatan.

Justeru pembukaan AFS sejak dua tahun lalu bagaikan menterjemah betapa Adilla seorang yang begitu komited dalam soal penjagaan kesihatan.

Baru-baru ini bertempat di Chulan Square, dia meraikan ulang tahun kedua AFS dalam sebuah majlis, Arabian Night 2010 With Adilla Idris.

Dihadiri oleh pengikut setia kelas senamrobik dan ahli AFS, Adilla tidak ketinggalan menyanyi sambil menari poco-poco mengikut rentak irama yang berkumandang.

Menurut Adilla, ahli AFS terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Malah, paling ketara ialah mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

“Ini satu petanda yang baik kerana biarpun sudah lanjut usia namun, mereka masih mementingkan kecerdasan dan kesihatan,” katanya.

Bermula dengan hanya suka-suka, kata Adilla, pertambahan berat badan selepas melahirkan anak membuatkan dia khuatir akan tahap kesihatan dirinya sendiri.

“Sebab itu saya rasa perlu untuk menjaga kesihatan dan AFS adalah bukti bahawa saya begitu serius terhadap penjagaan kesihatan,” katanya.

Adilla dalam perkembangan lain, merancang menerbitkan sendiri buku tentang senamrobik tidak lama lagi.

Menurutnya, buku tersebut bakal memberi pelbagai panduan kepada mereka yang ingin memulakan aktiviti penjagaan kesihatan.

“Sekarang masih dalam proses mengumpul data dan menyiapkan kandungan buku tersebut dan insya-Allah, sekitar Januari akan mula proses suntingan,” kata Adilla sebelum mengakhiri perbualan.

Masam manis AJL25



SELEPAS Anugerah Juara Lagu Ke-24 mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan buat TV3, pasti edisi ke-25 tahun ini amat dinanti-nantikan.

Ramai yang mahu melihat adakah Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) dapat mengulangi kejayaan tahun lalu.

Hampir tiga jam duduk di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad lalu, secara keseluruhannya, prestasi AJL25 masih lagi berlegar dalam lingkungan yang sama seperti tahun lalu.

Barangkali yang kelihatan gah kali ini adalah keluasan pentasnya yang bermandikan cahaya menerusi LED dan teknik pencahayaan.

Penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam dilihat lebih selesa untuk mengambil jalan selamat agar AJL25 tidak tersasar jauh daripada landasannya.

Topik yang paling menarik untuk dibincangkan kali ini sudah semestinya konsep persembahan yang ditampilkan oleh kesemua peserta pada malam itu.

Elemen drama, tarian dan magis nampaknya masih lagi menjadi pilihan sebahagian besar peserta AJL25 sehinggakan ia menjadi klise dan tidak keterlaluan dikatakan sedikit membosankan.

Bukan itu sahaja, nampaknya aksi tembak dan permainan api juga menjadi tema utama dalam persembahan AJL25.

Sesuai dengan kemenangannya untuk Persembahan Terbaik, Faizal Tahir memang layak untuk merangkul kejuaraan itu berdasarkan persembahannya menerusi lagu Hanyut.

Rasanya belum pernah ada artis tempatan yang begitu berani mengambil risiko membahayakan nyawa sendiri untuk tampil dengan persembahan seperti itu.

Muncul bersama sangkar dan tangki air yang dipaparkan menerusi skrin, Faizal tampil dengan gimik ahli silap mata meloloskan diri dalam air.

Begitu juga dengan persembahannya untuk lagu Selamat Malam yang cukup ringkas namun menterjemahkan cerita di sebalik lagu itu menerusi drama yang ditampilkan.

Menggunakan artis-artis terkenal negara seperti Datuk Aziz Sattar bersama isterinya, Datin Hashimah Delan, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan anaknya, Sharifah Aryana melengkapkan lagi persembahan Selamat Malam.

Selain Faizal, komposer dan penyanyi wanita terkenal, Yuna juga meninggalkan kesan yang mendalam menerusi persembahannya untuk lagu Cinta Sempurna.

Gubahan muzik Cinta Sempurna begitu dramatik dengan gabungan muzik moden dan orkestra menjadikan Yuna cukup cemerlang.

Kekuatan vokalnya benar-benar menusuk kalbu dan membuatkan penonton larut dalam emosi Yuna.

Kumpulan A.P.I. juga tidak kurang hebatnya apabila memberikan terjemahan sendiri menerusi lagu Pelita yang telah diberikan tepukan gemuruh dan sorakan oleh audiens.

Hafiz yang beraksi cemerlang menerusi lagu Noktah Cinta memang diakui telah memberikan persembahan yang cukup mantap.

Namun, maaf Hafiz. Anda sendiri telah membunuh momentum penonton dengan drama yang dilihat tidak perlu ada sebenarnya.

Walaupun mahu menonjolkan seni teater menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, hakikatnya adalah lebih manis jika Ana Raffali hanya bermain gitar dan menyanyi.

Bukan apa. Apabila elemen lakonan diselitkan ia dilihat banyak menganggu persembahan Ana. Dia sepatutnya lebih menumpukan kepada aspek nyanyian yang pasti akan meninggalkan kesan di hati penonton.

Untuk artis lain, bukan anda tidak bagus tetapi tiada yang baru dalam persembahan.

Adira misalnya, yang tampil dengan props seperti buaian dan penari latar untuk lagu Ku Ada Kamu sebenarnya sudah ketinggalan zaman.

Seharusnya apabila berjaya mara ke peringkat akhir AJL, peluang itu sepatutnya digunakan sebaik-baiknya oleh semua artis untuk memberikan persembahan terbaik.

Beralih kepada persembahan pembukaan pula, tiga juara AJL terdahulu dengan sejarah tersendiri membuktikan mereka adalah penyanyi senior yang tiada tandingan dan wajar menjadi contoh kepada artis baru.

Francissca Peter tetap hebat dan mantap saat menyanyikan lagu keramatnya, Sekadar Di Pinggiran dengan susunan muzik baru diiringi orkestra oleh Datuk Ramli M.S.

Begitu juga dengan Nash yang membuktikan kehebatannya sebagai salah seorang vokalis lelaki terbaik negara ketika melagukan Pada Syurga Di Wajahmu.

M. Nasir? Apa lagi yang mahu dipertikaikan kebolehannya yang tampil bersahaja di atas pentas menerusi medley lagu Tanya Sama Itu Hud Hud dan Ghazal Untuk Rabiah.

Kemuncak AJL25 tanpa ragu boleh dikreditkan kepada tiga penyanyi wanita unggul negara iaitu Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza.

Sharifah Aini membawa penonton ke zaman kegemilangannya sebagai penyanyi pujaan ramai menerusi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Oh Di Mana.

Persembahannya itu membuktikan sememangnya dia adalah Biduanita Negara yang tiada tandingan dan tidak mungkin ada gantinya.

Kemunculan Ziana pula memang cukup dinantikan dan seluruh stadium memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia menyampaikan lagu Anggapanmu.

Tidak melupakan lagu Madah Berhelah yang memperkenalkan namanya di persada seni tanah air, Ziana mengimbas memori silam penonton yang teringatkan persembahannya untuk lagu itu pada AJL 1992.

Sebaik sahaja kelibat Siti Nurhaliza muncul di atas pentas, keadaan di dalam stadium bagaikan gegak gempita dengan tepukan dan sorakan audiens.

Membawakan lagu-lagu berentak etnik dan irama Malaysia yang pernah menjulang namanya di pentas AJL, ia sekali gus membuktikan Siti masih unggul sebagai penyanyi nombor satu negara.

Meskipun tidak sihat, itu bukan satu halangan buat Siti untuk memberikan persembahan terbaik menerusi lagu-lagu Balqis, Nirmala dan Cindai.

Astro First 'Penyelamat' Penerbit Filem


KUALA LUMPUR: Stesen televisyen berbayar Astro bakal memperkenalkan sebuah lagi saluran baru iaitu Astro First yang menawarkan tontonan filem-filem baru bermula dari 13 Januari ini.

Pelanggan Astro boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dengan hanya perlu membayar RM15 bagi setiap judul filem yang ingin ditonton.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, Astro First turut memberi pilihan masa menonton untuk setiap filem mengikut keselesaan masing-masing dalam tempoh 48 jam selepas pembelian.

"Saya percaya Astro First dapat memberi keselesaan kepada seseorang itu malah ia lebih menjimatkan jika ia ditonton oleh sebuah keluarga yang lebih daripada dua orang.

"Malah ia juga membantu para penerbit untuk memperluaskan pengedaran filem serta memanjangkan tempoh menonton yang ditawarkan di pawagam.

"Bagaimanapun, ia tidak akan membuatkan masyarakat berhenti daripada menonton wayang. Selain itu, Astro First juga sesuai bagai individu yang berusia 40 tahun ke atas yang malas untuk beratur panjang membeli tiket atau menyaksikan sesebuah filem itu dengan kapasiti penonton yang ramai," katanya.

Tambah Henry, untuk permulaan, perkhidmatan Astro First bakal menyiarkan tiga filem baru iaitu Aku Masih Dara, Damping Malam dan Ngangkung dengan bayaran sebanyak RM15 bagi setiap filem.



Lisa Surihani

Malah selepas tiga filem tersebut, pelanggan Astro juga boleh menyaksikan filem-filem lain seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah< KongSi, Kembar Siang, Tolong Awek Aku Pontianak, Senjakala, Sini Ada Hantu dan sebagainya pada bulan-bulan akan datang.

Astro First yang menyiarkan filem-filem terbaru menerusi saluran Astro 480 akan disiarkan dua minggu selepas tayangan di pawagam

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, berkata, kemunculan perkhidmatan Astro First bakal membawakan perubahan besar dalam industri perfileman apabila ia menjadi 'penyelamat' buat penerbit filem yang gagal meraih keuntungan kutipan tiket di pawagam.

"Cara ini akan menjadi satu era baru kerana ia diibaratkan seperti penjualan secara digital.

"Secara tidak langsung ia dapat menyelamatkan filem-filem yang kurang mendapat sambutan di pawagam kerana filem yang disiarkan di Astro First turut diberikan promosi sebanyak yang mungkin pada saluran tersebut.

"Bagi penerbit filem kecil, Astro First adalah jalan yang terbaik kerana sekurang-kurangnya mereka dapat meraih keuntungan menerusi saluran tersebut. Cara ini juga dapat menyukarkan masyarakat membeli DVD cetak rompak secara berleluasa," katanya pada sidang media pelancaran Astro First di Zouk, di sini, Selasa.

Tambah Norman walaupun perkhidmatan ini akan menjadi era baru bagi industri perfileman, berkemungkinan besar pihak Persatuan Pemamer Filem Malaysia (Mafe) tidak akan berpuas hati dengan perkhidmatan baru tersebut kerana ia sedikit sebanyak ia mungkin akan menjejaskan jumlah penonton di pawagam.

Tiga langkah mudah untuk menikmati Astro First

Kunjungi media portal Astro First di Saluran Astro 480 dan;

1. Tekan butang biru di alat kawalan jauh Astro dan pilih filem kegemaran anda.2. Tekan butang biru sekali lagi untuk pengesahan.3. 13 digit kod SMS akan dipaparkan di televisyen. SMS BUY[13-digit code] ke 32999. Contoh: BUY 1234567891234

Anda akan menerima SMS pengesahan pembelian dan filem tersebut kini boleh ditonton dalam masa lebih kurang lima minit kemudian. Setiap pembelian akan dicajkan ke bil semasa pelanggan. Kadar caj telco akan dikenakan untuk setiap SMS. Untuk maklumat lanjut, layarilah www.astro.com.my/astrofirst

Fesyen Artis Di Karpet Merah AJL25

KUALA LUMPUR: Fesyen selebriti dan finalis yang menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad lalu menjadi perhatian mata yang memandang.



Lisa Surihani dan Mia Sara.

Antara yang bergaya menarik dan anggun pada malam itu adalah aktres Dynaz Mokhtar, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, aktres Ika Nabila, penyanyi Sharifah Zarina, penyanyi Yuna, aktres Fouziah Gous, aktor Zahiril Adzim dan pengacara Zoey.















Yuna.

Tidak kurang juga yang hadir berpasangan dengan memakai pakaian sedondon seperti Zoey dan Ika Nabila yang mengenakan pakaian warna sama iaitu ungu, aktres Lisa Surihani yang hadir bersama-sama aktres kanak-kanak Mia Sara serta Zahiril ditemani pengacara Shera Aiyob.

Justin Bieber Berang Ditanya Tentang Selena Gomez



PENYANYI Justin Bieber berang apabila ditanyakan tentang status hubungan percintaan dia dengan aktres Selena Gomez.

Dalam wawancara majalah Brit Heat, penyanyi lagu Baby ini menjawab soalan yang diajukan dengan nada dingin dan sangat berbeza dari biasa.

"Saya rasa pertanyaan ini sudah keterlaluan. Saya tidak suka kehidupan peribadi ditanya sebegitu dan saya tidak akan menjawab tentang itu lagi," ujarnya ketika ditanya tentang kekasih hati.

Malah, ketika ditanya tentang wanita idamannya, Justin enggan mengulas dan meminta wartawan mengubah soalan kepada kerjaya nyanyian, filem dan bukunya.

"Wawancara ini seharusnya mengenai hal berkaitan kerjaya dan muzik, bukan tentang hubungan cinta dan peribadi saya," katanya.

Krisdayanti Akui Kenal Kekasih Anang



PENYANYI terkenal Indonesia, Krisdayanti mengaku mengenali wanita yang kini dikaitkan sebagai pasangan baru bekas suaminya, Anang Hermansyah.

Menurut Krisdayanti, dia pernah beberapa kali bertemu dengan wanita yang dikenali sebagai Ashanty pada majlis-majlis hiburan .

"Saya kenal Ashanty ketika di SCTV Music Award walaupun dia tidak menyanyi ketika itu tapi saya mengenalinya. Siapa pun pilihan Anang saya sokong dan berharap dia bahagia," ujarnya.

Menurut Krisdayanti lagi, dia pernah terserempak dengan Ashanty ketika sedang membeli belah dan berkesempatan memperkenalkan wanita itu kepada bakal suaminya, Raul Lamos.

"Saya pernah terserempak dengannya di pusat beli belah, saya juga memperkenalkan dia dengan Raul. Saya juga sempat berterima kasih kepadanya kerana sudi membantu Anang menjaga anak-anak saya," katanya yang berharap hubungan mereka akan sampai sehingga ke alam rumah tangga.

Search & Wings Teruskan Misi Konsert Legenda 'Double Trouble’



Awie dan Amy Search di salah sebuah konsert Double Troble

PETALING JAYA: Kumpulan rock popular tanah air, Search dan Wings akan meneruskan misi kegemilangan mereka dengan mengadakan konsert 'Legenda Double Trouble' pada April ini bermula di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Vokalis Search, Amy berjanji akan memastikan konsert pada kali ini lebih gempak berbanding tahun lalu.

“Saya berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya termasuk sistem bunyi,” kata Amy kepada mStar Online.

Selepas Melaka, konsert ini akan bergerak ke Sarawak iaitu Miri, Kuching dan Singapura.

Selain Amy, Search turut dianggotai Kid(gitar utama), Din (gitar kedua), Nasir(bass) dan Yazid (drum).

Sementara Wings terdiri daripada Awie (vokalis), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (drum).

Konsert tersebut dibawakan khas oleh RYE Production Sdn Bhd serta mendapat tajaan syarikat gergasi, Digi Telecommunication Sdn Bhd (DiGi).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails