Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Najwa elak cerita keputusan SPM

MULA-MULA, Diva nak ucapkan tahniah kepada penyanyi Cinta Muka Buku, Najwa Latiff kerana mendapat 4A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini. Ada juga A, takut juga Diva kot-kot jadi macam lagunya, Kosong. Cuma yang Diva rasa kosong sikit, bila Najwa makin sukar nak didekati media. Malah keputusan SPM Najwa pun diambil wakilnya. Wartawan yang menunggu depan pintu pagar sekolah dari pagi buat panggilan telefon minta kenyataan, akhirnya wartawan tu menganga tunggu bintang baharu yang tak kunjung tiba. Dah namanya penyanyi, orang mesti nak tahu apa pencapaian yang diperoleh, kalau pasal lagu boleh dipromosikan, apa salahnya cakap sikit pasal keputusan akademik yang diperolehi. Kata seorang wartawan yang pernah nak buat liputan semasa Najwa nak duduki peperiksaan dahulu pun punyalah tak mahu ditemu ramah. Fahamlah nak periksa tapi bila dah dapat keputusan pun sama juga. Seorang lagi artis remaja, Eina Azman juga baru dapat keputusan SPM. Si Eina pula, sejak pagi lagi seorang wartawan menelefonnya nak tanya perkembangan keputusan SPM yang diperoleh. Manalah tahu, untung-untung dia nak berkongsi. Si Eina pula kerenahnya lain, kita telefon pagi, katanya sedang sibuk dan diminta telefon tengah hari sikit. Bila telefon waktu tengah hari, katanya masih ada perbincangan, suruh telefon lagi petang-petang sikit. Telefon lagi bila sudah petang, langsung tidak dijawabnya. Kata wartawan berkenaan, dia menelefon Eina bukan nak ajak keluar minum kopi di hotel, tapi sekadar nak bertanya tentang keputusan SPM baru keluar. Itu pun payah yang amat. Kalau betul malu atau tak nak berkongsi keputusan SPM yang sekadar cukup makan itu, cakap sajalah. Tak perlu nak main tarik tali, Diva ada banyak kerja lain nak buat.

Adira dating bawa pengawal peribadi

PENAT-PENAT balik kerja minggu lepas, Diva teringin juga nak pekena teh tarik atau minum di lobi hotel tapi memandangkan poket tak berapa nak merestui, Diva pun pilihlah kawasan lepak yang menjadi tumpuan ramai di pinggir ibu kota. Tengah-tengah layan buih teh tarik, terjeling pula mata Diva ke arah sepasang anak muda. Bukan main manja dan mesra alam, siap belai-belai rambut, sentuh-sentuh pipi bagai lagi. Putih gebu pula budak perempuan itu. Jeling punya jeling, rupa-rupanya artis. Ingat teringin juga nak ambik gambar, alah nak tayang kat Instagram tapi bila Diva perasan ada dua orang pengawal peribadi siap macam nak kawad kat sebelah pasangan berkenaan, terus niat Diva terbantut. Takut! Manalah tahu abang pengawal yang siap pakai sut hitam itu bagi buku lima kat muka Diva. Manalah Diva nak cari duit ganti silikon kat pipi lagi sekali. Eh, pecah lubang pula. Ceritanya bukan Diva, tapi artis tadi. Rambutnya pendek, genit dan bersuara meletup Ombak Rindunya, siapa lagi kalau bukan Adira. Ini bukan fitnah tau, tapi Diva nampak sendiri. Nak pergi salam sebenarnya, tapi itulah takut tengok pengawal keselamatan di kiri dan kanan. Entah anak orang kenamaan mana atau anak raja mana yang bersama Adira pada malam itu, tidaklah pula Diva pasti. Yang pasti ganteng!

Kisah bekas Gadis Litar - Fathia

SEWAKTU penulis menghubungi Nur Fathia Abdul Latiff, 25, untuk mengadakan sesi foto di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor sempena Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2013 (F1), pelakon jelita itu berkata, dia akan cuba susun semula jadual kerjanya. Meskipun ketika ini Fathia sibuk menjalani penggambaran drama 13 episod Diandra, namun kerana mahu berada di lokasi yang menjadi tumpuan peminat F1 dari seluruh dunia itu, dia sanggup meluangkan masa, sedangkan pada malamnya, dia perlu berada di lokasi. Cuaca panas terik tidak menghalang Fathia untuk memberi pelbagai gaya menarik di tengah-tengah kelompok orang ramai yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu. Menurut Fathia, dia tidak kisah dengan cuaca panas kerana sebelum ini dia pernah melalui senario yang sama sewaktu bertugas sebagai Gadis Litar satu ketika dahulu. “Sebenarnya, ini kali kedua Fathia datang ke Litar Sepang. Mula-mula dulu, Fathia jadi Gadis Litar ketika berusia 17 tahun. Kalau bukan kerana sesi foto ini, entah bila Fathia dapat datang ke sini lagi. “Tugas Gadis Litar lagi teruk. Ini sehari sahaja kita berjemur panas, kalau Gadis Litar, tiga hari berturut-turut. Biasalah Gadis Litar kena payungkan pemandu, tapi waktu itu, Fathia tidak ambil kisah siapa pemandu yang berada di bawah satu payung dengan Fathia. Yang penting bayarannya mewah," katanya membuka rahsia. Kata pemegang watak Nur Amina dalam drama Nur Kasih ini, dia menyertai Gadis Litar ketika itu bagi mendapat pendedahan, selain mencuba sesuatu yang baru. “Waktu itu juga, Fathia ada buat modeling dan rasanya dengan menjadi Gadis Litar, ia dapat membantu. Jadi, Fathia pun ikutlah kawan pergi temu duga. Bukan senang nak dapat peluang itu, sebab ada beberapa temu duga. “Bagi Fathia yang masih bersekolah ketika itu, bila dibayar RM1,000 sehari dan ditempatkan di hotel mewah, mestilah seronok. Tugasan ini sedikit sebanyak mempromosi nama Fathia," akuinya yang sempat bergambar dengan beberapa Gadis Litar yang sedang bertugas ketika itu. Mengenakan gaun warna hitam bersama kasut but untuk sesi foto di tengah panas terik, membuatkan Fathia menjadi perhatian ramai dan sedikit sebanyak kerja kami terganggu. Biarpun peluh membasahi wajahnya, namun Fathia tetap mengukir senyum dan tidak mengelak untuk bergambar dengan sesiapa sahaja yang menghampirinya, termasuk pengunjung luar negara. Fathia bukan sahaja menjadi perhatian pengunjung, malah media luar negara turut tidak melepaskan peluang merakamkan gayanya yang bersahaja itu. Kata Fathia, dia tidak kisah berpanas terik demi S3 kerana sepanjang sesi foto berlangsung, hatinya diselaputi kegembiraan. Bukan kerana dia bercinta dengan mana-mana VIP seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya dia berjaya mendapat ‘cinta’ daripada seorang wanita terkenal. “Kimora, can I take a photo with you, please..." rayu Fathia pada Kimora Lee Simmons yang sudah pun melepasi pintu keselamatan menuju ke Perdana Suite. Tidak disangka, model terkenal itu berpatah balik dan berjalan ke arah Fathia untuk bergambar. “Bestnya, Fathia dapat bergambar dengan Kimora Lee yang selama ini Fathia tonton di televisyen sahaja," katanya girang. Sepanjang berada di Litar Antarabangsa Sepang dari pukul 11.30 pagi hingga 6 petang, Fathia bukan sahaja berpeluang bergambar dengan Kimora Lee, malah dia juga berkesempatan berbual dengan Alex Yoong yang ketika itu menjadi petugas media. Selain itu, Fathia turut diperkenalkan dengan anggota Earth Wind & Fire, Ralph Johnson oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. Fathia yang sedikit kecewa kerana tidak berpeluang melepak dengan unit S3 untuk menonton konsert Gun N’ Roses pada sebelah malamnya berkata, 24 Mac 2013 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan kerana dia berpeluang melakar momen indah. Kegembiraan Fathia berlipat ganda kerana pemandu kegemarannya, Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull muncul juara dan rakan sepasukannya, Mark Webber menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes AMG Petronas. Jadi tomboy Memandangkan Fathia seorang yang lasak, maka dia tidak begitu peduli apabila terpaksa ‘berjemur’ sepanjang sesi foto ini. Disebabkan sikapnya yang lasak itulah, Fathia berkata dia suka dengan watak Diandra yang dilakonkan ketika ini. “Tak perlu buat rujukan mana-mana untuk watak tomboy begitu kerana Fathia sendiri memang jenis ‘kasar’. Sebab itulah semasa sekolah dulu, Fathia aktif sukan bola keranjang. Fathia juga suka rock climbing dan muay Thai. “Sebenarnya watak begini telah lama Fathia tunggu dan sekarang baru dapat. Fathia berlakon dengan Aiman Hakim Ridza yang pegang watak Adam. Karakter kami jauh berbeza. Dia jenis ‘mat bunga’ yang nak semuanya sempurna, sedangkan Diandra jenis sempoi," ujarnya yang menjadi pembantu peribadi kepada Adam di dalam drama itu. Untuk watak itu, Fathia tidak mengenakan solekan tebal, sentiasa memakai topi dan sanggup membeli kemeja lelaki khas untuk drama tersebut. Kata Fathia, dia tidak ada masalah untuk berlakon bersama Aiman yang popular menerusi drama Vanila Coklat. Drama yang bakal disiarkan di TV3 itu, merupakan drama terakhir Fathia untuk tahun ini kerana dia ingin tumpukan perhatian pada pengajian ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. “Sepatutnya Fathia sudah selesai pengajian, tetapi tahun lalu Fathia tangguh satu semester, jadi kali ini kena habiskan juga. Tak boleh tangguh-tangguh lagi. “Sekarang ini, Fathia ada kelas dari hari Isnin hingga Rabu. Hari berikutnya barulah Fathia tumpu pada lakonan. Nak habiskan drama ini dulu, barulah Fathia fokus pada pelajaran," katanya yang akan terbang ke Perancis pada 23 April ini. Jelas Fathia, dia bukan sahaja terpaksa mengehadkan lakonan, malah lebih teliti membuat keputusan kerana mahu setiap drama lakonannya memberi impak kepada penonton dan kerjayanya. Fathia yang berlakon dalam drama Dalam Setiap Sujud bersama Keith Foo itu juga menafikan yang dia ada hubungan cinta dengan pelakon yang mencipta nama di Indonesia itu. “Hubungan kami sekadar rakan artis sahaja. Fathia senang berkawan dengan Keith sebab dia suka bercerita tentang pengalamannya berlakon sinetron di negaranya. “Memang Fathia ada dapat tawaran berlakon di Indonesia, tetapi buat masa sekarang, Fathia tidak mampu sebab terikat dengan banyak komitmen. Kata Keith, dia pun mengambil masa dua tahun untuk membuat persiapan sebelum berlakon di sana. Biarlah Fathia cipta nama di tanah air dulu," katanya. Diburu VIP Menjadi wanita jelita membuatkan dirinya sentiasa menerima perhatian kaum Adam terutamanya daripada golongan pihak atasan. Jujurnya, Fathia mengaku setiap kali timbul cerita yang mengaitkannya dengan VIP, dia menjadi tertekan kerana semua itu tidak benar. “Kalau selalu sangat dikaitkan dengan VIP, susahlah Fathia nak cari calon suami. Takut orang ingat Fathia ini memilih. Sebenarnya, Fathia hanya mahukan seorang lelaki yang sedap mata memandang dan mampu membimbing Fathia menjadi isteri solehah," katanya tanpa berselindung.

Michelle Yeoh Mahu Terus Aktif Dalam Lakonan

Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia Datuk Seri Michelle Yeoh berkata beliau mahu terus aktif dalam industri hiburan kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang itu. Beliau secara berjenaka berkata, dengan pelbagai kejayaan yang telah dicapai dalam industri, ia bukan petanda untuknya bersara. "Saya memperoleh banyak kejayaan sepanjang hidup ini, dan berharap ia bukan berupa mesej 'untuk pulang sekarang', tetapi saya mengambilnya sebagai insentif untuk melakukan lebih baik. "Kalau boleh saya mahu mencapai kejayaanlebih lagi," katanya kepada pemberita pada malam Jumaat. Beliau berada di sini sempena Anugerah Festival Filem Antarabangsa dan Asean 2013 (AIFFA) selama tiga hari yang akan berakhir pada Sabtu (hari ini). Yeoh dilahirkan pada 6 Ogos di Ipoh. Beliau mula terkenal apabila melakukan aksi ngeri sendiri dalam filem-filem aksi Hong Kong pada awal 1990-an. Beliau terus menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi filem James Bond bertajuk Tomorrow Never Dies. Beliau terus mendapat penghormatan apabila dipilih memegang watak pemimpin prodemokrasi Burma, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady. Mengenai filem terbaharunya, Yeoh berkata ia diarahkan pengarah kelahiran Korea-Amerika, Gina Kim yang kini pada peringkat postproduksi yang beliau harap dapat ditayangkan musim panas ini. Beliau juga akan melancarkan program pencarian bakat baharu bagi mencari bintang Asia. "Kami dalam proses merancang dan akan mengumumkannya nanti," katanya.

Dazrin & Hairul Menang Fear Factor Selebriti Malaysia

Pelakon Dazrin Kamarudin dan Hairul Azreen berjaya dinobatkan juara musim pertama program cabaran Fear Factor Selebriti Malaysia selepas berjaya menentang saingannya iaitu Hefny dan Hafizul. Kemenangan itu melayakkan Dazrin dan Hairul membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000. Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di The Square, Publika, di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Selebriti Malaysia yang turut dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Mustika HD pada malam Sabtu. "Alhamdulillah atas kejayaan ini kerana memang kami sasarkan untuk menang. "Tetapi tak sangka kemenangan ini benar-benar berpihak pada kami," kata Dazrin pada sidang media di sini. Selain Dazrin-Hairul, pasangan selebriti Hefny-Hafizul, Dafi-Zoey dan Elfira-Ajak Shiro turut bersaing pada peringkat akhir namun tersingkir pada cabaran terakhir. Fear Factor Selebriti Malaysia yang dihoskan oleh pelakon Aaron Aziz mula menemui penonton sejak 29 Disember lalu. Program sebanyak 13 episod itu disertai 30 artis tanah air dengan masing-masing dibahagikan kepada 15 kumpulan diuji dengan pelbagai tugasan mencabar. Program berkenaan menjalani penggambaran selama lebih tiga minggu di Cape Towin, Afrika Selatan. Turut menyertai program ini ialah Didie Alias, Jehan Miskin, Kaka Ashraff, Farish Aziz, Azam Pitt, Gabit Saifullah, Ezlynn, Nik Michael (Masterchef 1), Mejar Dr Faiz, Celina Khor, Akim Ahmad, Arja lee dan Johan As’ari.

Nurul Wahab Mengandung Tiga Bulan

Penyanyi Noorul Huda Abdul Wahab, 36, (Nurul) mengesahkan dia kini sedang mengandung anak sulungnya bersama suami, Eric Daniel Depp, 48. Nurul yang membuat pengumuman itu menerusi laman blog miliknya iaitu nurulwahabdepp.wordpress.com berkata, dia dan suaminya mendapat tahu akan khabar gembira itu pada 2 Februari lalu, namun enggan menghebohkannya sehinggalah kandungan sudah berusia tiga bulan. "Ya, minggu ini dah tiga bulan, Alhamdulillah. Bukannya apa, aku ingat pesan orang tua, jangan teruja sangat dan jangan terlalu hebohkan ketika kandungan di bawah tiga bulan. "Aku juga ikut jejak langkah teman aku, Ning Baizura. Caranya itu betul dan Ning juga merupakan kawan yang pertama tahu (tentang kandungan) manakala Ayu orang yang kedua kerana dia berada di sekolahnya di Johor. "Ayu melompat keriangan dan tak habis-habis mengucapkan syukur kerana doanya dimakbulkan," katanya yang ditulis pada blog tersebut. Tambah Nurul, ketika mendapat tahu bahawa dirinya kini sedang mengandung, masing-masing gembira sehingga mengeluarkan air mata tanda syukur. "Kata doktor semalam (Jumaat) yang memeriksa kandungan aku, ‘you can tell the world if you wish to..’ Eric pantas mencelah : ‘Ya. She can’t wait and plan to announce tomorrow (Sabtu)’. "Sememangnya pada tanggal 30 Mac aku nak khabarkan buat semua. Kandungan dah makin membesar. Perut aku makin nampak. Aku tak mahu juga rimas dengan pertanyaan semua nanti jika masih berahsia," tuturnya. Nurul dan Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012. Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil hubungan dengan suami pertama, penyanyi dan komposer, Ajai. Bagaimanapun kata Nurul, dia juga berasa malu apabila membuat pengumuman mengenai kandungannya itu lebih-lebih lagi selepas 15 tahun tidak mengandung, malah dia terasa seolah-olah belum pernah mengalami proses kelahiran anak. Dalam pada itu, Nurul turut mengakui dia gemar memakan kekacang sejak mengandung, sedangkan makanan itu telah dilarang doktor memandangkan dia mempunyai penyakit SVT (supraventrikular takikardi), sejenis penyakit jantung yang dialaminya sejak remaja.

KEBAHAGIAAN HARITH ISKANDER

Aksi terkini Harith Iskander, isterinya Jezamine Lim dan anak mereka zander xayne iskander. Inilah yang dikatakan kebahagiaan tidak mengenal usia atau paras rupa. Bak kata pepatah, ikan di laut, asam di darat... dalam periuk bertemu jua.

KELUARGA BAHAGIA SHUIB SEPAH

Gambar terbaru keluarga bahagia Shuib Sepah, Siti Sarah dan anak mereka yang bernama Uwais Alqarni yang kini berusia lebih 15 bulan. Enjoyzzz...!

BAYI FASHA SANDHA MIRIP JEJAI

Pasti ramai yang sudah tahu bahawa bayi Fasha Sandha yang bakal lahir bila-bila masa sahaja mulai sekarang kemungkinan bayi lelaki. Malah... 3D scans yang dibuat oleh mereka juga jelas menampakkan wajah bayi tersebut yang agak mirip dengan Jejai. Menurut Fasha, dia mahu anak lelaki kerana anak lelaki boleh menjaga ibu dan adik-beradiknya yang lain. Senang kata, anak lelaki tak dibawa lari oleh keluarga sang isteri... mungkin demikian pemikiran Fasha. Heh.

Bernikah hari ini, Ezad tiada niat sembunyi perkahwinan

SEBELUM ini nama bekas vokalis band Exists yang kini bergerak secara solo, Ezad Lazim, 34, kembali hangat apabila ikatan pertunangannya dengan pengurus peribadinya Asliza Abdullah hanya bertahan selama lima bulan apabila pertunangan mereka putus sekitar November tahun lalu. Hanya tiga bulan selepas itu, Ezad bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang pengurus jualan, Nor Azeana Ramli, 34, pada hari ini di rumah keluarga perempuan di Kulim, Kedah. Ezad yang dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan pengesahan mengenai berita tersebut pada mulanya enggan membuka mulut dan ingin merahsiakan perkahwinannya kepada umum. Bagaimanapun Ezad akhirnya membuka mulut dan memberitahu dia mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak mahu menghebahkan hari bahagianya kepada khalayak umum. Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya. Kosmo!: Benarkah Ezad menamatkan zaman bujang pada ini? EZAD: Ya, memang saya berkahwin pada hari ini. Sebenarnya saya tidak tahu bagaimana berita saya akan berkahwin tersebar kerana kalau boleh saya ingin hebahkan selepas saya selamat bernikah. Mengapa ingin menyembunyikan hari bahagia? Saya tiada niat untuk merahsiakan perkahwinan tetapi selepas saya putus tunang, saya menjadi fobia. Sebelum ini saya bercinta dalam tempoh yang lama, kemudian bertunang pun dihebahkan pada media, tetapi akhirnya ikatan itu terputus. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang kembali sebab itu saya mengambil keputusan untuk membuat majlis secara kecil-kecilan dan dihadiri pihak keluarga terdekat sahaja. Apakah yang dibimbangkan jika orang ramai tahu anda berkahwin? Bimbang tidak jadi kahwin satu hal, saya juga bimbang jika ramai yang tahu, dugaannya lagi besar. Sebelum saya selamat bernikah, saya tidak tahu apa yang akan terjadi sebab itu saya tidak mahu mengambil risiko. Saya juga akan terus bernikah tanpa sebarang majlis pertunangan. Cukuplah sekali saya putus tunang. Khabarnya bakal isteri merupakan pilihan keluarga, benarkah? Memang benar, bakal isteri merupakan pilihan keluarga saya. Sememangnya kami tidak berapa mengenali antara satu sama lain tetapi apa yang boleh saya katakan hubungan yang direstui keluarga lebih berkat. Bila saya fikirkan kembali, jika saya tidak mengambil peluang sekarang, mungkin umur 50 tahun pun saya tidak akan berkahwin. Rasanya lebih manis bercinta selepas berkahwin. Apakah yang membuatkan anda tertarik kepada bakal isteri? Umur kami sebaya dan dia sebenarnya lebih matang daripada saya. Sebelum ini saya sering bercinta dengan wanita jauh lebih muda daripada saya, bila dapat bakal isteri yang sama umur, kami mudah berkomunikasi. Dia juga amat memahami kerjaya saya sebagai artis dan ikhlas menerima saya seadanya, itu yang membuatkan saya selesa dengannya. Bagaimana dengan kerjaya seni anda? Alhamdulillah, banyak rezeki yang datang sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana bertembung dengan tarikh pernikahan saya. Bulan hadapan saya akan muncul dengan dua single terbaharu berjudul Memang Salahku dan Kerana Kamu. Selain itu, saya juga akan beraksi dalam pementasan teater berjudul Hantu Ketapang pada 12 sehingga 14 April depan untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor.

Bertudung penuh atas kerelaan sendiri - Siti Nurhaliza

Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu. Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini. Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu. Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu. Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri. "Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan. "Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya. Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya. "Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya. Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima. Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung. "Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya. Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira. "Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya. Datuk K semakin pulih Bercerita lebih lanjut mengenai keadaan terkini kesihatan suaminya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu, Siti memberitahu Datuk K kini sudah beransur pulih. Bagaimanapun, ketika ini suaminya itu masih lagi mendapat rawatan susulan seperti menjalani fisioterapi untuk menyembuhkan kecederaan bahu dan tangan yang dialaminya itu. "Saya sangat bersyukur dengan keadaan kesihatan suami saya sekarang yang dilihat semakin pulih, malah kalau ada kelapangan dia juga akan pergi ke pejabat. "Selain itu, saya sangat mengagumi ketabahan yang dilaluinya untuk pulih. Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamed menziarahi suami saya, beliau ada memberitahu bahawa menjalani fisioterapi memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi," ujarnya. Ujarnya, Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Queenstown, New Zealand pada akhir tahun lalu ketika menunggang motor berkuasa tinggi dijangka pulih sepenuhnya pada April ini. Album baharu Setelah kali terakhir melahirkan album Melayu iaitu Tahajud Cinta pada tahun 2009, Siti memberitahu, dia bakal muncul dengan album baharu pada tahun ini. Menurutnya, ketika ini dia masih lagi dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut dan akan mula memasuki studio rakaman pada bulan Mei ini. "Untuk album baharu ini saya akan kembali semula dengan konsep pop memandangkan dua buah album saya sebelum itu berkonsepkan irama tradisional dan kerohanian. "Setakat ini beberapa orang komposer seperti Aubrey Suwito dan Adi 6ixth Sense sudah menyerahkan lagu ciptaan mereka. Namun begitu, saya masih lagi mempertimbangkan sama ada mahu menghasilkan mini album atau album penuh," jelasnya tentang perkembangan terkininya sekarang. Ujar Siti, untuk album terbaharunya itu juga bakal memuatkan dua buah lagu baharu hasil ciptaannya sendiri sebagai hadiah kepada para peminatnya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasratnya yang mahu kembali membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun hadapan, Siti sekadar menyatakan, ia masih dalam peringkat perancangan awal dan berharap ia dapat direalisasikan.

Sedia dihimpit kontroversi - Nora Danish

BUKAN berniat mahu mengungkit kembali kisah kontroversi hebat yang pernah melanda dua pelakon berbakat besar, Adi Putra dan Nora Danish pada penghujung tahun lalu, namun menjangkakan hal yang tidak dijangka barangkali relevan dalam isu ini. Sekali lagi mengambil risiko untuk meletakkan Nora sebagai heroin filem, Suami Aku Ustaz yang akan memulakan penggambaran pada 20 April kelak, tidak mustahil isu aktres itu dikatakan penyebab keretakan rumah tangga Adi akan kembali bersuara. Lebih 'panas' apabila pemilihan Nora selaku tonggak utama filem itu dibuat sendiri oleh Adi yang juga merangkap pengarah dan pelakon utama filem adaptasi novel terlaris tahun lalu itu. Sementelah, filem itu diterbitkan syarikat Nur ADP Sdn. Bhd. milik Adi sendiri. Menjawab kegusaran yang mungkin bakal kembali melanda dan mengaitkan nama mereka, balas Adi, 32, dia tidak khuatir untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang memandangkan tindakannya berlandaskan skop kerja semata-mata. "Ramai tidak menafikan keserasian saya dan Nora malah watak Alisa sesuai dengan perwatakan Nora yang kecil molek, rileks, comel dan fizikalnya sesuai untuk menjayakan watak berusia 17 tahun. "Saya senang bekerja dengan dia bukan atas kontroversi lalu tapi khusus atas dasar kerja," ujar Adi yang ditemui ketika pelancaran filem Suami Aku Ustaz di Hard Rock Cafe, Melaka pada Isnin lalu. Elak kontroversi Melanjutkan perbualan, Adi tidak melihat akan wujud kekangan untuk berlakon dengan aktres yang dia selesa bergandingan malah tegasnya tiada apa yang perlu dirisaukan kerana dia berada di pihak yang benar dan semua sudah sedia maklum. "Bagaimana untuk saya berlakon dengan pelakon lain yang tiada keserasian dengan saya. Saya selesa berlakon dengan Nora, begitu juga dia. "Ini asas kehidupan. Perkara berat kita mudahkan, kalau mudah kita ringankan dan saya melihat hubungan kami semata-mata soal kerja. Kalau letak sebagai pekerjaan kenapa perlu ada perkara yang mengganggu? "Perkara yang nyata akan tetap nyata. Sesiapa sahaja akan cuba mengelakkan kontroversi daripada terjadi tapi itu lumrah. Saya tidak akan memikirkan perkara yang telah terjadi dulu dan saya mahu tetapkan diri untuk terus ke depan," katanya yang masih ingin mengelak daripada dilanda kontroversi. Tegas pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim ini lagi, dia tidak pernah memikirkan risiko memilih Nora sebagai teraju utama untuk bergandingan bersamanya. "Saya akan lakukan apa saja untuk kebaikan semua pihak dan saya tidak terfikir pun pasal risiko. Orang akan tetap mengata dan saya tidak terfikir orang nak kata apa. Saya tahu kalau perkara itu benar, maka ia benar. Begitu juga isteri dan keluarga saya," tambahnya. Prioriti Dalam pada itu, Adi masih meletakkan prioriti dalam bidang lakonan berbanding pengarahan. Ditanya mengenai peranannya sebagai pengarah bersama Ghaz Abu Bakar untuk filem Suami Aku Ustaz, jawab Adi, dia telah membahagikan tanggungjawab berkenaan. "Tiada yang berbeza pun, sebaliknya, saya meletakkan keinginan dan harapan yang lebih besar daripada mengarah iaitu hasil filem ini kelak. "Memang kutipan hasil tayangan antara perkara yang perlu dipertimbangkan tapi saya meletakkannya sebagai pemikiran akhir. Sebaliknya, pembawaan watak dan penceritaan itu lebih penting sebenarnya. "Kalau ambil sebagai kewajipan, kita akan keliru tapi kalau letakkan sebagai tanggungjawab, kewajipan akan datang sendiri. "Saya tidak pernah terfikir untuk fokus bidang lain selain berlakon kerana saya seronok melakukannya," ujarnya yang akan memfokuskan kepada penceritaan saja dan selebihnya adalah tugasan Ghaz. Selama enam bulan mengkaji keseluruhan novel Suami Aku Ustaz nukilan Hannah Dhaniyah, jelas Adi dia yakin akan kekuatan penceritaan novel itu. Suami Aku Ustaz mengisahkan Alisa yang dipaksa berkahwin dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz apabila ibu bapanya ingin mengerjakan haji. Dilema bermula setelah mereka berkahwin apabila Alisa perlu menyembunyikan identitinya sebagai seorang pelajar sekolah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun itu.

Saya bebas berlakon dengan sesiapa sahaja! – Rita Rudaini Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2OzONf91V Hakcipta terpelihara

NAMA aktres jelita Rita Rudaini nampaknya semakin hangat. Selain sibuk naik turun mahkamah kerana masalah rumah tangganya bersama suami, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang masih belum menemui titik noktahnya, timbul pula isu bahawa suaminya itu pernah melarangnya berlakon dengan aktor kelahiran Singapura. Banyak spekulasi timbul biarpun selepas dua aktor kelahiran Singapura, Adi Putra dan Aaron Aziz memberi komen masing-masing berhubung isu tersebut. Sebelum ini Rita pernah berlakon dalam filem Balistik dan drama Sehangat Asmara bersama Adi Putra, selain bergandingan dengan Aaron Aziz menerusi drama Rahsia Hati. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu itu, ikuti temu bual Kosmo! bersama Rita baru-baru ini. Kosmo!: Bagaimanakah isu Aidil melarang Rita berlakon dengan aktor Singapura ini boleh timbul? RITA: Sebenarnya isu yang dibangkitkan ini merupakan isu lama bermula awal tahun lalu sebelum rumah tangga saya bergolak lagi. Ketika itu wartawan ada bertanya kepada saya kenapa kurang berlakon dan saya jawab untuk tumpu perhatian pada keluarga. Saya berlakon jika suami izinkan sahaja dan tidak akan berlakon dengan pelakon lelaki yang tidak diizinkan suami. Jika isu lama kenapa boleh timbul kembali? Cerita ini ada keluar dalam sebuah blog, kemudian sebuah lagi blog menggunakan artikel yang sama tetapi menambah perasa dan putar belit cerita untuk melariskan blognya. Orang yang baca ingat isu itu berlaku sekarang sedangkan isu itu sudah lama, itu yang menyebabkan saya marah. Jika ingin melariskan blog masing-masing janganlah buat dosa, kalau mahu tahu kisah sebenar teruslah tanya pada saya. Adakah anda ada baca komen peminat berhubung isu ini? Ya, saya ada baca komen orang luar mengenai isu ini di internet. Apa yang mengejutkan, mereka lebih tahu tentang hal rumah tangga saya berbanding diri saya sendiri. Jika tidak tahu, jangan beri komen kerana perkara yang kecil akan menjadi besar apabila ramai orang yang cuba masuk campur. Apakah perasaan anda apabila peminat dan orang luar terlalu lantang bersuara tentang isu ini dan rumah tangga anda? Terus terang saya sedih. Mereka cukup lantang memberi komen sedangkan yang berada di tempat itu adalah saya. Secara tidak langsung komen yang diberikan memberi kesan kepada saya yang sudah ada masalah rumah tangga. Mungkinkah isu terbaharu ini memberi kesan kepada kerjaya lakonan anda? Orang yang kenal saya secara profesional akan hubungi dan bertanya kepada saya. Buat masa ini, kerjaya saya berjalan seperti biasa kerana siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu bagaimana cara saya berkerja. Sekarang saya bebas berlakon dengan sesiapa sahaja. Maksudnya Rita sudah tidak mengikut cakap suami? Saya ada alasan kenapa tidak ikut cakap suami sekarang ini. Apa yang saya tahu, saya tidak perlu ikut cakap suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya dengan cara yang betul. Lakonan merupakan periuk nasi saya, jika saya tidak bekerja, siapa yang akan menyara saya dan anak-anak? Selagi, saya tidak jatuhkan maruah seorang wanita dan cari rezeki yang halal untuk diri saya serta anak-anak, saya akan terus berlakon dengan sesiapa sahaja. Khabarnya anda sekarang ligat berniaga? Alhamdulillah, dalam saya sibuk kerja dan akan ke mahkamah pada 3 April serta 6 Mei depan, Allah beri rezeki kepada saya. Saya tidak pernah merancang untuk ceburi perniagaan kecantikan iaitu kolegen. Mulanya sekadar untuk suka-suka sahaja serta berkongsi rahsia kecantikan. Sekarang menjadi serius apabila semakin ramai pelangan memberi respons positif. Perniagaan saya baru sebulan lebih dan dalam proses untuk ke pasaran yang lebih besar.

Tidak guna rupa - Dazrin Kamaruddin

KEMUNCULANNYA dengan memegang watak Johan menerusi drama bersiri Adam dan Hawa pernah menyebabkan dia bimbang dan takut untuk keluar rumah akibat mesej berbaur ancaman daripada peminat di laman Twitter yang mengugut untuk mencederakannya. Namun, ujar Dazrin Kamaruddin, dia bersyukur kerana impak drama sentuhan Mohd Feroz Kader itu turut melonjakkan populariti dirinya yang masih hijau dalam bidang seni lakon tanah air. Tidak mahu hanyut dengan populariti yang diraihnya itu, Dazrin berkata, petanda seperti itu hanya dianggap bonus dan masih banyak perkara yang perlu diberikan perhatian buat dirinya yang masih baru. “Memang diakui drama bersiri itu telah melonjakkan nama saya dalam bidang lakonan, namun itu tidak bererti saya sudah bagus. “Saya turut mengambil peluang itu sebagai satu tanggungjawab untuk terus memperbaiki mutu lakonan supaya lebih mantap selepas ini kerana saya memang serius dalam bidang lakonan. “Saya melakukan semua ini bukan kerana ingin popular dan duit semata-mata, tetapi ia merupakan minat saya terhadap seni persembahan sejak berada di zaman sekolah rendah lagi," katanya. Selain berlakon, Dazrin juga minat terhadap nyanyian dan mengacara yang boleh membantu dia meluahkan perasaan dalam setiap persembahan yang dilakukan. Mengimbas kembali pembabitan dalam bidang hiburan tempatan, jelas jejaka yang dianggap berdarah campuran dek wajahnya mirip orang Korea, Jepun dan Cina, segala-galanya bermula apabila pulang ke tanah air untuk cuti semester dan diajak teman rapat menghadiri sesi ujibakat sebuah filem adaptasi komik manga Jepun, Apokalips X. Ibarat bulan jatuh ke riba, Dazrin memang tidak menyangka apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem arahan Mamat Khalid itu. “Tak disangka-sangka saya pula yang terpilih untuk berlakon dalam filem arahan pengarah hebat itu," katanya menyusuri kembali sejarah awal keterlibatannya. Filem Rentaz, drama rantaian Bicara Hati, Memberku Hawa dan telefilem Mencintaimu, Setahun Setengah Mencari Cinta bukti kemunculannya dalam industri. Pelakon yang akan mencecah usia 25 tahun pada Mei ini turut memberitahu bahawa tanggungjawab sebagai pelakon amat berat dan bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu bijak menghibur serta menceriakan setiap penonton. Setiap dialog yang disampaikan juga perlu diadun dengan emosi atau perasaan yang sesuai agar penyampaian mesej akan tepat mengena ke dalam jiwa penonton, tambahnya. Tekanan sebagai pelakon makin dirasainya dengan kesudian peminat memberi sokongan dan dorongan kerana baginya peminat adalah salah satu tunjang kejayaannya. “Apabila peminat sudah beri semangat, saya perlu tunjukkan dan buat sehabis baik. Selagi boleh, saya akan berusaha untuk membuatkan mereka (peminat) tersenyum dan berpuas hati dengan setiap lakonan saya. “Ada juga peminat memberi motivasi agar saya lupakan segala kutukan dan kebencian yang diluahkan dan dilemparkan orang kerana itu satu perkara normal apabila bergelar artis," tegas anak kelahiran Kelebang Besar, Melaka itu. Drama bersiri Jodoh di Astro Ria yang kian popular juga sudah menampakkan sesuatu buat Dazrin yang mengakui sikap yang baik akan terus membawanya kekal dalam bidang seni lakon. Untuk mengukuhkan portfolionya, Dazrin juga akui dia perlu menggalas prinsip dalam kariernya sebagai pelakon seperti memberi kerjasama kepada pengarah setiap kali menerima tawaran berlakon. Banyak watak utama Memang tidak disangka kepulangannya ke Malaysia setelah tamat pengajian di Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS) lewat September 2011 membuka lembaran baharu dalam hidup dan karier Dazrin. Peluangnya kini juga semakin terbuka luas dan semestinya 2013 ini telah memberikan sinar baharu dalam kerjaya apabila menerima pelbagai tawaran dengan memegang watak utama dalam beberapa buah drama. Walaubagaimanapun, Dazrin memberitahu dia tidak akan terlalu gelojoh untuk menerima kesemua tawaran dan setiap tawaran perlu dipertimbangkan berdasarkan keupayaan dalam membawa sebarang watak. “Saya bimbang sangat tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik. Oleh itu, adalah lebih baik saya terima satu watak untuk satu masa kerana masih belum yakin untuk membuat beberapa drama sekaligus. “Saya tidak mahu pihak lain susah kerana saya sendiri perlu menjaga mutu lakonan. Hal ini bukan ingin tampil sebagai besar kepala tetapi sebagai pelakon baru rasanya saya perlu bergerak perlahan-lahan supaya dapat memberikan terbaik terhadap sesuatu kerja yang dilakukan," jelasnya. Bermula dengan watak utama dalam drama Jodoh, kini Dazrin sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Syurga Di Wajahmu yang memberikannya cabaran untuk memegang watak sebagai Tengku Lokman bergandingan dengan Ana Dahlia. Ujar Dazrin, membawa watak utama dalam sesebuah drama pasti akan menyeronokkan jika pandai mencari keserasian dengan pelakon yang digandingkan bersama. “Perjalanan dalam lakonan pasti akan lancar dan kita tidak perlu stress sehingga mengganggu mutu lakonan. Kerja biar seronok," katanya. Dalam pada itu, Dazrin menafikan bahawa dia menggunakan rupa bagi menambat hati penerbit atau pengarah untuk mengambilnya berlakon memandangkan watak utama drama bersiri kini dilihat sudah diberikan kepadanya walaupun baru menempah nama. “Ini soal rezeki, ada tawaran yang saya boleh buat, saya akan bawa. Saya akan buat selagi boleh untuk memegang sesuatu watak itu termasuk sebagai hero atau penampilan utama. “Rupa bukan segala-galanya dan mungkin hanya pembuka dalam memberi ruang atau peluang memasuki dunia lakonan," ujarnya. Untuk mengecapi kejayaan dalam lakonan, bakat perlu ada dalam diri, akui Dazrin yang kini semakin ‘laku’. “Ibarat seperti sebiji kuih, rupanya cantik tetapi belum tentu rasanya sedap. Kuih yang cantik perlu diselarikan dengan rasa yang sedap. Itulah sepatutnya yang berlaku jika kita hendak berlakon, jika rupa sahaja yang ada tetapi bakat tiada pun tidak berguna. “Saya adalah manusia biasa dan semasa berlakon saya juga perlu menjaga sikap dan patuhi etika yang ada," jelasnya yang pernah mengacarakan program In Trend di TV2.

Bicara kahwin - Black

KETIKA ini, hati penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti, Black berbunga cinta menantikan detik bergelar raja sehari. Saat diijabkabulkan menjadi kenangan yang cukup berharga buat setiap pasangan yang hangat bercinta. Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 26, mengikat tali pertunangan dengan Cira Khairi secara senyap-senyap pada 26 Januari lalu. Walaupun tarikh pernikahan belum ditetapkan, Black tetap membuat persediaan bagi mendapatkan maklumat dan informasi berkaitan persiapan perkahwinan. Dan undangan penganjur Festival Pengantin Malaysia bagaikan disorong bantal ketika mengantuk, bagi bakal raja sehari itu. Meledakkan nama dengan lagu Teman Pengganti, Black menjadi pilihan Festival Pengantin Malaysia untuk menghiburkan bakal pengantin. Bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, festival pengantin itu berlangsung selama tiga hari bermula esok. Festival Pengantin Malaysia anjuran Prestige Creative Sdn. Bhd. menempatkan lebih 100 gerai usahawan industri perkahwinan. Ia dibuka antara pukul 10 pagi hingga pukul 9.30 malam setiap hari. Black akan muncul menghiburkan bakal pengantin pada Sabtu, 30 Mac ini, pukul 3 petang. Beliau akan menyampaikan lagu popular seperti Teman Pengganti, Sofea Jane dan Dewi Aleya. Manakala finalis program On Air, Azam Zainal sebagai pengacara. “Saya terharu dengan undangan penganjur Festival Pengantin Malaysia. Ia sekali gus memberi ruang kepada saya mengintai persiapan dan keperluan majlis perkahwinan saya nanti. Saya belum menetapkan tarikh majlis akad nikah, tapi saya dan tunang berdoa supaya kami dapat diijabkabulkan sebelum penghujung tahun ini. “Jujurnya, saya belum melakukan apa-apa persiapan, memandangkan terlalu sibuk dengan kerjaya nyanyian. Cuma adalah beberapa keperluan yang sudah dibeli. Saya sedar bukan mudah untuk menguruskan majlis perkahwinan, apatah lagi ia membabitkan perbelanjaan yang tinggi. “Sehingga hari ini, saya masih mengumpul duit untuk berkahwin. Alhamdullillah, tuah lagu Teman Pengganti menyebabkan saya tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan. Mungkin ini dinamakan rezeki kahwin. “Saya merancang mengadakan majlis resepsi dengan meriah untuk meraikan keluarga, sanak saudara dan peminat. Mungkin bukanlah majlis besar-besaran, tapi cukuplah saya dapat meraikan insan-insan yang bermakna dalam hidup saya," katanya. Selain itu, Festival Pengantin Malaysia turut mengadakan Pertandingan Jurusolek & Berinai Sanding dan Pencarian Hero & Ratu Festival Pengantin. Sebanyak 100 pengunjung pertama setiap hari menerima cenderahati istimewa daripada Inani Craft & Design. Untuk keterangan lanjut, sila layari Facebook - Festival Pengantin Malaysia.

Ayu Raudhah & Irma Hasmie Dapat Anak Lelaki

Pelakon Ayu Raudhah, 28, selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira pukul 2.17 petang Jumaat di Hospital Columbia, Johor Bahru (JB). Suaminya yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan dan Johor, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 25, berkata, anak sulungnya itu dilahirkan seberat 2.79 kilogram (kg) dan kedua-dua isteri dan anak berada dalam keadaan sihat. "Alhamdulillah, saya teruja dan pada masa sama rasa macam tak percaya pula bahawa kini saya seorang ayah. "Sekarang ini tanggungjawab saya lebih berat lagi dan Insya-Allah saya dapat mendidiknya sebagai seorang anak yang baik," katanya yang dihubungin mStar Online, Jumaat. Bagaimanapun, tambah Zaquan, dia dan isterinya masih lagi belum memikirkan nama yang sesuai buat anak sulung mereka itu. "Kami tak beri nama lagi. Biarlah Ayu berehat dahulu dan baru kami bincangkan nama yang sesuai. "Selepas keluar wad nanti, Ayu akan berpantang di rumah kami di JB," ujarnya Ayu dan Zaquan telah mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 di Alor Setar, Kedah. Sementara itu, pelakon Irma Hasmie juga mendapat anak lelaki seberat 3.93 kilogram pada pagi Jumaat di sebuah hospital Swasta di Kuala Lumpur. Suami Irma, Redza Shah Azmeer memaklumkan khabar gembira itu menerusi laman Twitter miliknya dan memberitahu bahawa isterinya berada dalam keadaan stabil selepas proses kelahiran.

Adibah Noor Tidur Sejam Sejak Jadi DJ Radio

Penyanyi Adibah Noor mengakui masa tidurnya terlalu pendek sehingga ada kalanya hanya sempat tidur selama satu jam sejak menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM. Adibah, 42, yang bergandingan dengan Halim Othman menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria berkata, kekurangan waktu tidurnya itu disebabkan oleh kesibukan kerja-kerja lain seperti menyanyi dan mengacara namun bersyukur, perkara itu bukanlah satu bebanan untuknya mengendalikan konti radio berkenaan. "Sudah dua bulan saya menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun mempunyai tugasan lain di luar. "Dan kerana itu saya akan memastikan semua kerja-kerja luar diselesaikan sebelum pukul 12 tengah malam agar mendapat rehat secukupnya sebelum ke udara pada pukul 5 pagi. "Pernah beberapa kali juga, kerana kepenatan saya hanya tidur sejam dan ada masa juga tak tidur langsung, takut terlajak pula," selorohnya. Adibah ditemui di Menara Star bersama-sama dengan Halim Othman dan Linda Onn yang hadir melawat wartawan-wartawan hiburan akhbar The Star dan mStar Online bersempena dengan penjenamaan semula logo Suria FM. Tambah Adibah, walaupun kurang tidur, dia mengamalkan minum kopi dan pengambilan vitamin C agar kelihatan segar dan sentiasa cergas. "Selain itu susunan jadual juga memainkan peranan yang sangat penting agar mempunyai ruang masa membuat persiapan memilih topik-topik bersesuaian buat para pendengar sebelum keudara," katanya. Penjenamaan semula logo Suria FM dibuat menunjukkan kematangan stesen itu sekaligus mengembangkan lagi golongan pendengar 'urban' yang berusia 25 hingga 39 tahun. "Suria FM sudah pun berusia enam tahun dan kami ingin mengembangkan pendengar kami dimana fokusnya lebih ke arah golongan urban dan korporat. Sebab itu jika melihat logo baru kami, ia nampak matang. "Bagaimanapun, putaran lagu lama dan baru masih lagi dimainkan seperti biasa,"tuturnya.

Ana Rafalli Tidak Kejam Untuk Letakkan Bayaran Tinggi

Penyanyi Ana Raffali tidak pernah bersikap kejam untuk meletakkan bayaran tinggi kepada mana-mana pihak untuk menjayakan sesebuah acara ataupun persembahan pentas. Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 28, ini berkata, walaupun telah memenangi Anugerah Juara Lagu ke 25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, dia masih bertolak ansur soal bayaran bergantung kepada jemputan yang diterima. “Saya bukan artis yang kejam. Saya masih boleh bertolak ansur lagi soal bayaran mengadakan persembahan. “Kalaulah yang jemput saya itu di kalangan pelajar, tentulah bayarannya sekadar ‘token’ (sagu hati) pun saya terima. Tapi kalau untuk acara besar seperti ‘dinner show’, itu kira lainlah,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditanya adakah dia boleh bertolak ansur soal bayaran untuk mengadakan persembahan. Ana memberitahu, sebagai artis yang membesar dalam persekitaran Malaysia, dia memahami kemampuan sesetengah pihak yang mahu mengundang seseorang untuk menjayakan sesebuah acara yang diatur. Malah dengan sifat yang tidak berkira itu kata Ana, rezekinya akan menjadi lebih murah apabila menerima banyak acara yang memerlukan khidmatnya. “Kalau pihak penganjur tak ada duit sangat, bayarlah setakat mana yang mampu. Tapi biarlah kita bincang dan berunding dulu... tak ada masalah,” katanya. Dalam pada itu suami yang juga pengurusnya iaitu Ahmad Aznaim Abdullah, 31, berkata, bekerja dengan isteri sendiri yang menjadi bos bukanlah perkara mudah jika seseorang itu tidak mempunyai sikap profesional dalam berurusan. Kata Ahmad Aznaim, kadangkala isteri akan merajuk jika tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara mereka haruslah mempunyai sikap untuk tidak memanjangkan hal berkenaan sebaliknya mengatasinya dengan sebaik mungkin. “Saya tak nafikan, kadang-kala ada juga kami berselisih pendapatan. Bila hal itu terjadi, masing-masing akan ada perasaan tidak puas hati. “Apa-apa pun kita perlulah profesional. Sebagai suami, saya kenalah memujuk isteri saya walaupun dia adalah bos. Biasanya kami menekankan sikap saling pujuk memujuk dan alhamdulillahlah... kami tiada masalah untuk bekerja dan juga bergelar pasangan suami isteri,” katanya. Sementara itu bercerita mengenai perkembangan terbaharu pula Ana berkata, dia sudah menghasilkan ‘single’ berjudul Jauh Ke Syurga dan lagu itu boleh diikuti menerusi YouTube. Apa yang menarik ‘single’ itu mencatat jumlah pelayar Internet lebih 80,000 orang yang mana ia adalah satu sambutan yang amat menggalakkan.

Ainul Aishah Jual Biskut Selepas Belajar Di YouTube

Pelakon Ainul Aishah mengakui langkahnya mempelajari resipi membuat biskut menerusi laman YouTube memberi pulangan menggalakkan apabila beberapa jenis biskut yang dijualnya mendapat sambutan luar biasa. Kata Ainul, 28, disebabkan perkara itu dia terpaksa menggaji seorang pembantu kerana perlu memenuhi permintaan dan tempahan daripada orang ramai. “Pada mulanya saya buat biskut untuk suka-suka sahaja dengan mempelajarinya di YouTobe dan tidak sangka pula apabila saya jual, ia mendapat sambutan yang menggalakkan sekali. “Biskut-biskut itu saya jual dengan cara meletakkannya di bazar-bazar tertentu serta kedai runcit sekitar Bangi (Selangor) serta di Rasta, Taman Tun Dr Ismail (Kuala Lumour),” ujarnya yang menamakan biskut-biskutnya Ainul A Cookies. Selain perniagaan berkenaan, Ainul juga menolong keluarganya membuka cawangan Tutty Fruity di Bangi, dekat sini dan Nilai, Negeri Sembilan. Sehubungan itu tambah pelakon drama Begitulah Cinta ini, dia merancang untuk membuka sebuah kafe tidak lama lagi bagi mengembangkan perniagaan tersebut. Jelas Ainul, disebabkan ingin memberi fokus terhadap dunia perniagaan membuatkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon terutamanya drama bersiri. "Saya memang tidak ambil tawaran yang memerlukan komitme tinggi seperti drama bersiri. Kalau sedikit sahaja dan watak yang bagus saya akan terima. "Bukan apa, umur saya sudah 28 dan saya perlu mempunyai pendapatan yang tetap dan fikir masa depan, kalau berlakon tidak menjanjikan masa depan yang baik untuk saya," katanya. Ainul yang baru selesai penggambaran filem Pilot Cafe mengakui menerima tawaran tersebut kerana ingin berlakon di bawah arahan Osman Ali. "Saya sudah lama teringin untuk berlakon dengan Osman Ali, ini peluang baik yang tidak boleh dilepaskan biarpun watak saya hanya sekadar pembantu sahaja. "Lagi pula filem ini merupakan lakonan saya selepas kira-kira setahun saya menyepi kerana sibuk dengan bisnes," katanya.

Jaafar Onn Sahkan Bakal Nikah Ibu Tunggal

Hasrat Jaafar Onn untuk bernikah dengan mencari bakal isteri menerusi medium Facebook menjadi kenyataan apabila pelakon itu bertemu dengan seorang ibu tunggal yang sudah lama terpisah. Jaafar, 62, berkata, sebelum ini dia ada membuat gimik di laman tersebut untuk mencari jodoh dan tidak menyangka bertemu kembali dengan wanita yang juga usahawan berusia 37 tahun menerusi laman sosial berkenaan "Sebenarnya saya nak cari jodoh di Facebook hanya satu gimik tetapi kuasa Allah telah menemukan saya kembali dengan wanita yang terputus hubungan sebelum ini. "Saya memilih untuk bernikah sebelum bulan Ramadan tahun ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran drama komedi Kelas Sebelah di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri di sini, Khamis. Dalam pada itu, menjelaskan gimik yang dilakukan menerusi Facebook itu, Jaafar berkata, beliau tidak menyangka menerima 1,000 pelawaan daripada wanita yang sudi berkahwin dengannya. Namun kata Jaafar, ramai di antara mereka mempunyai niat tidak baik dan ingin mengambil kesempatan terhadap popularitinya sebagai seorang selebriti. "Tak kurang juga yang memberi kata-kata penghinaan tentang hasrat saya tetapi saya tidak terlalu memikirkannya kerana yakin sudah tiba masanya saya berkahwin," ujarnya. Jaafar berkata, beliau mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 62 tahun kerana selesa dengan perwatakan wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu. Jelasnya lagi, pada usianya sekarang dia memerlukan seorang teman bagi berkongsi susah senang bersamanya. "Saya tertarik dengan sikapnya yang suka membantu, bertanggungjawab dan memahami kerjaya saya sebagai seorang artis," jelasnya. Jaafar bagaimanapun masih belum bersedia mendedahkan nama wanita berkenaan namun memberitahu dia berstatus ibu tunggal. "Saya telah pun menemui ibu dan bapanya dan mereka tiada halangan untuk kami berkahwin malah keluarga saya juga gembira dengan perkhabaran ini," katanya lagi. Sementara itu, Jaafar berkata, beliau berasa bersyukur apabila pelbagai pihak tampil untuk memberikan tajaan untuk hari bahagianya itu nanti. "Rezeki saya murah apabila ramai yang nak taja perkahwinan saya seperti pelamin, baju dan percutian bulan madu dan saya sangat terkejut namun berbesar hati," katanya.

Ayu Raudhah & Zaquan Adha Dapat Anak lelaki

Pelakon Ayu Raudhah, 28, selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira pukul 2.17 petang Jumaat di Hospital Columbia, Johor Bahru (JB). Suaminya yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan dan Johor, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 25, berkata, anak sulungnya itu dilahirkan seberat 2.79 kilogram (kg) dan kedua-dua isteri dan anak berada dalam keadaan sihat. "Alhamdulillah, saya teruja dan pada masa sama rasa macam tak percaya pula bahawa kini saya seorang ayah. "Sekarang ini tanggungjawab saya lebih berat lagi dan Insya-Allah saya dapat mendidiknya sebagai seorang anak yang baik," katanya yang dihubungin mStar Online, Jumaat. Bagaimanapun, tambah Zaquan, dia dan isterinya masih lagi belum memikirkan nama yang sesuai buat anak sulung mereka itu. "Kami tak beri nama lagi. Biarlah Ayu berehat dahulu dan baru kami bincangkan nama yang sesuai. "Selepas keluar wad nanti, Ayu akan berpantang di rumah kami di JB," ujarnya Ayu dan Zaquan telah mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 di Alor Setar, Kedah.

Gagal Terima Anugerah Tidak Buat Adi Putra Kecil Hati

Pelakon Adi Putra tidak berkecil hati ataupun mempunyai rasa marah sekiranya gagal menerima sebarang pengiktirafan sepanjang beberapa tahun bergelar pelakon. Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, dia menganggap perkara itu tidak akan memberi kesan kepada kehidupannya. "Tidak jadi kudis kalau saya tidak menang sebarang anugerah kerana perkara itu tidak pernah menjadi tumpuan saya dan cukuplah saya sekadar melunaskan tanggungjawab saya sebagai pelakon," jelasnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Adi berkata, peminat adalah anugerah terbesar untuknya dan sokongan mereka membuatkan dia sentiasa bersemangat untuk memperbaiki mutu lakonan. "Tanpa peminat, saya tidak akan berada di tahap ini sekarang. Apa yang saya lakukan adalah demi menghargai segala sokongan mereka terhadap saya," jelasnya. Pun begitu kata Adi, dia tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian dan populariti yang dikecapnya dan perlu sentiasa memperbaiki kekurangan diri. Dalam perkembangan lain, Adi berkata, dia bakal menerbitkan sebuah filem adaptasi daripada sebuah novel bertajuk Suami Aku Ustaz di bawah syarikat produksinya, Nur ADP Sdn Bhd selain turut berlakon sebagai watak utama dalam karya itu. Selain itu, Adi yang bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Langgar pada 11 April ini turut sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama.

Emelda Rosmila Jadikan Suami Tempat Rujuk

Pelakon Emelda Rosmila mengakui menjadikan suaminya, aktor Adlin Aman Ramlee sebagai tempat rujukan dalam menghayati setiap watak yang ingin dilakonkannya. Emelda, 33, berkata, dia sering meminta pendapat suaminya terlebih dahulu agar karakter yang akan dilakonkannya menjadi lebih baik. "Kelebihan berkahwin dengan pelakon ini, kita dapat bertukar pendapat dengannya terutamanya untuk menjadikan watak itu lebih baik. "Adlin banyak bagi tunjuk ajar dan panduan kepada saya, dia akan tegur kalau apa yang dirasakannya boleh dibaiki lagi," katanya. Tambah Emelda, suaminya sering menjadi pemerhati dan pengkritik dalam setiap drama yang dilakonkan. Namun begitu, bagi filem Sembunyi:Amukan Azazil ini, Adlin memberi komen yang bagus terhadap lakonannya dan keseluruhan filem ini. "Bagi filem ini, dia hanya komen lakonan saya baik sahaja, dia juga anggap filem ini adalah filem yang menarik dan bagus untuk ditonton," katanya. Bercerita tentang aktiviti lakonan, Emelda mengakui banyak menerima tawaran berlakon dengan drama terbitan produksi Filmscape Sdn Bhd berbanding produksi lain. "Saya sudah lapan tahun dengan bekerjasama dengan Filmscape dan memang selalunya saya akan utamakan tawaran dari filemscape berbanding produksi lain. "Mungkin kerana sudah lama bekerja dengan mereka dan menjadikan kami seperti keluarga," katanya. Dalam pada itu, Emelda turut mengakui dia kini mengurangkan aktiviti lakonan berbanding sebelum ini berikutan terpaksa membahagikan masa dengan pelajaran. "Saya tidak ambil banyak tawaran berlakon, saya hanya habiskan satu-satu penggambaran kerana kena bahagikan masa dengan belajar. "Tapi saya tidak pernah putus berlakon cuma ramai yang tidak perasan mungkin watak saya sebagai pembantu atau tiada publisiti lagi selepas berkahwin," katanya yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi yang ditawarkan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ada Pihak Salah Faham Fazura Enggan Beraksi Mesra

Pelakon Fazura berkata ada pihak salah faham mengenai pendiriannya yang enggan beraksi terlalu mesra dalam adegan sesebuah drama atau filem sehingga mempersoalkan gandingan terbaharunya dengan Shaheizy Sam. Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 30, sesetengah pihak beranggapan selepas membuat keputusan itu dia tidak boleh bersentuhan dengan lelaki tetapi perkara itu tidak benar sama sekali. "Selepas membuat kenyataan itu, ramai yang ingat saya tidak mahu bersentuhan langsung dengan lelaki apabila berlakon. “Tetapi bukan itu maksud saya. Sebaliknya saya hanya tidak mahu beraksi terlebih mesra seperti berpelukan atau berada di atas katil dengan pelakon lelaki. "Jika bersentuhan sedikit seperti menyentuh tangan, ia masih lagi boleh," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran 'Raikan Cinta' anjuran TV3 di e@Curve, di sini, Selasa. Fazura dan Shaheizy Sam digandingkan dalam drama Kisah Cinta yang akan disiarkan bermula pukul 9 malam pada 9 April depan di saluran berkenaan. Dalam pada itu Fazura berkata, dia terkejut apabila tindakannya menolak tawaran watak seksi dan ranjang turut menimbulkan spekulasi kononnya dia ingin menunjuk baik atau sengaja mahu menyindir pelakon-pelakon lain. "Jika orang anggap saya mahu sindir pelakon-pelakon lain, itu salah kerana apa yang saya lakukan itu adalah prinsip saya yang tidak membabitkan orang lain," ujarnya. Menerusi drama Kisah Cinta terbitan BZ2121 Production, Fazura mengakui seronok apabila dapat digandingkan bersama Sam di mereka memiliki keserasian apabila berlakon bersama. Drama itu mengisahkan sebuah cinta yang berputik daripada pertemuan yang tidak diingini di mana Fazura sebagai Azalea mahu menuntut mayat bapanya manakala Shah (Sam) menuntut mayat ibunya. Konflik tercetus apabila ibu bapa mereka kononnya dikatakan pasangan suami isteri. Kisah Cinta turut dibarisi pelakon lain seperti Nadia Aqilah,
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails