Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Noh, Sam mulut lancang


SAMA ADA berada dalam kelompok pemuzik bebas atau menerobos pintu komersial, sedikit sebanyak, kumpulan Hujan dan Bunkface masih beraksi seperti individu sama. Baik tingkah atau kata, kedua-dua kumpulan itu terbiasa menjadi diri sendiri di depan khalayak.

Hanya kerana keterbukaan dan ketelusan masing-masing, dua grup yang puas menghamburkan semangat juang serta merangkak mencari telinga yang dapat memahami muzik aliran baru itu dianggap punya ‘masalah’ yang tidak selari dengan karya segar mereka.

Kurang sopan dan tidak tahu hormat orang lain, itu antara nista sering dilemparkan kepada sebilangan ahli kugiran itu. Hujan dan Bunkface pernah dituduh biadap hanya kerana corak komunikasi mereka pernah disalah tafsir.

Contoh terdekat, butir bicara penyelenggara kumpulan Hujan, Noh, 26, pernah menyebabkan hati seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta terguris. Noh didakwa mengeluarkan ayat ‘Awak busuk’ kepadanya pada sebuah majlis sekitar Jun lalu.

Noh bagaimanapun menganggap niatnya ketika itu sekadar ingin bergurau tambahan pula luarannya, dia merupakan individu gemar bercanda. Sejujurnya, tidak pernah sesekali terlintas di minda Noh untuk merendahkan martabat wanita itu di depan orang lain.

Tidak hanya itu, tunjang utama grup Bunkface, Sam, 23, juga sebelum ini khabarnya mengambil sikap melarikan diri daripada pihak media gara-gara tidak selesa mengulas soal peribadi. Bahkan, dia dilihat kurang peka dengan kritikan konstruktif.

Menyedari kekhilafan sendiri, anak jati Klang, Selangor itu memberitahu, dia lebih gemar bercerita hal karier dan perjuangan Bunkface yang baru hendak berjalan di laluan arus perdana.

Menjadi grup indie yang meletakkan antusias dalam menyampaikan karya sebagai matlamat utama, interpretasi komunikasi mereka dilihat berbeza antara satu sama lain.

Sejauh mana Hujan dan Bunkface tegar kekal dalam sisi sebenar mereka ketika berdepan laluan seni dan kehidupan yang sifatnya realiti, hanya Noh dan Sam mampu memperhalusi patah kata untuk dikongsi bersama Sensasi Bintang.

Biar apa jua definisinya, perjuangan pemuzik seperti Noh dan Sam dilihat menyambung legasi pemuzik Malaysia yang mahu menaikkan semula band-band indie. Pada waktu sama, mereka ingin menaik taraf muzik komuniti tersebut.

Kalian faham maksud komunikasi?

NOH (N): Kalau mengikut pemahaman saya sendiri, komunikasi bermaksud cara perhubungan yang harus dilakukan dengan tatatertib dan jujur.

SAM (S): Pada saya, ia berkaitan manusia berhubung sesama sendiri merangkumi komunikasi sehala atau dua hala.

Gaya komunikasi kalian sebelum bergelar artis bagaimana?

N: Sejujurnya, cara saya dan anggota Hujan bertutur dengan orang sekeliling sama saja. Biarpun sesudah bergelar artis dan dikenali ramai, corak penyampaiannya tetap seperti dahulu.

S: Sama seperti Noh, stail komunikasi saya dan dua ahli Bunkface tidak berubah walaupun kami sudah popular.

Apa yang dipelajari selepas menjadi anak seni?

N: Banyak yang kami pelajari selepas bergelumang dalam bidang seni. Hujan bermula dari bawah, kami tidak terlalu tertib dan tiada protokol. Selepas memasuki muzik arus perdana, baru kami punya kesedaran untuk meningkatkan skil berinteraksi. Begitupun, kami mahu menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura. Lagipun kawan-kawan rapat mahu kami mengekalkan sikap gila-gila dan santai seperti biasa.

S: Ada banyak benda yang kami perhatikan selepas memasuki bisnes hiburan. Saya dan Bunkface akui ada merobah beberapa gaya komunikasi. Cuma, semua masih sama apabila berinteraksi sesama kawan. Formaliti kami hanya sewaktu berada di atas pentas. Selebihnya, kami senang menjadi diri sendiri. Menjadi prinsip Bunkface, peminat paling diutamakan sewaktu kami berkarya atau menghibur di atas pentas.

Pernah terlepas kata sehingga rasa menyesal?

N: Kerana ingin memperbaiki diri, saya mengambil keputusan menyambung pengajian pada peringkat Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak Ogos lalu. Banyak saya pelajari tentang bahasa Melayu terutama penggunaan tatabahasa. Baru saya tahu selama ini banyak membuat kesalahan sewaktu berbual dengan orang lain.

S: Kalau ingin bercakap tentang mulut lepas, kami akui sebelum ini main belasah apa yang ingin keluar dari mulut tanpa berfikir panjang lebih-lebih lagi depan media. Namun, sekarang kami cuba memperbaiki pertuturan agar tidak menyakiti mana-mana pihak. Kami juga mendapat pertolongan daripada kawan-kawan satu industri untuk belajar berkomunikasi. Paling membanggakan, Youk juga sanggup mengambil inisiatif untuk mengubah diri dengan menyertai program khas pengajian luar kampus bersama Noh dan artis lain.

Sejauh mana keikhlasan kalian semasa berkomunikasi?

N: Macam saya cakap tadi, anggota kumpulan Hujan jadi diri sendiri baik di atas pentas atau kehidupan realiti. Cuma, saya risau kerana ada kata-kata atau lawak yang ingin disampaikan boleh disalah anggap. Tidak semua orang boleh jadi Dafi atau Syahir. Buat apa perlu berlakon menjadi orang lain sedangkan ini merupakan sisi sebenar saya. Tetapi saya akui ada usaha memperbaiki kemahiran bergaul dan perlakuan dari semasa ke semasa. Saya memperlahankan sedikit sikap merapu dan lepas cakap sebab usia sudah semakin tua tambahan pula hendak berkahwin tidak lama lagi. Meskipun orang nampak luaran saya begini, saya masih tahu menghormati orang tua.

S: Ada sesetengah pihak masih memandang kami dengan riak kurang senang di tempat awam, tetapi kami sekadar membalas dengan senyuman. Ada juga beberapa situasi, kami berdepan sikap kurang ajar anak-anak muda yang seperti tidak berpuas hati dengan Bunkface. Mereka mencebik muka dan macam mahu cari gaduh dengan kami. Tak mahu burukkan keadaan, saya dan anggota Bunkface lain cuba bersabar dan berdiam diri. Kalau kami layan, ia boleh bergaduh dibuatnya.

Kemampuan komunikasi dalam bahasa Inggeris pula bagaimana?

N: Saya akui, saya lemah dalam bahasa Inggeris. Saya tidak ada keyakinan diri untuk bercakap dalam bahasa itu. Sewaktu mengadakan persembahan di Ireland dan Melbourne beberapa bulan lalu pun saya tetap bercakap bahasa Melayu. Saya nampak penonton yang terdiri daripada orang luar tetap seronok dan berhibur bersama Hujan. Habis nyanyian, ada antara mereka yang datang ke belakang pentas sambil mengucapkan tahniah. Sempatlah saya meminta maaf kepada mereka kerana tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Itulah saya, kalau setakat berbual santai, bolehlah.

S: Bahasa antarabangsa itu penting kerana terutama ketika kami mengadakan persembahan di depan khalayak yang bukan bertutur dalam bahasa Melayu. Bukan itu saja, kami sering diundang melakukan pertunjukan pentas di luar negara. Kerana itu, kemahiran berbicara dalam bahasa Inggeris sangat penting sebagai perantara. Secara tidak langsung, ia menunjukkan tahap pemikiran golongan artis. Sedikit sebanyak, tanggapan segelintir pihak yang mengatakan ramai anak seni cetek ilmu dan tidak menguasai bahasa Inggeris, tidak akan berlaku lagi. Kalau dalam Bunkface, Paan dan Youk lebih mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Jimmy dan isteri ke mahkamah


BARU sahaja beberapa minggu lalu, Diva terima khabar gembira tentang bekas pengacara Trek Selebriti yang terkenal dengan ucapan 'yezzaa'nya, siapa lagi kalau bukan Jimmy Shanley yang baru dapat berita bahawa isterinya, sudah berbadan dua.

Macam-macam juga berita si Jimmy yang masuk telinga Diva, belum habis dengan kisah rumah tangganya yang dikatakan bergolak. Isterinya Nursuhaila Shuhaimy pernah lari dari rumah, dua tiga hari lepas keluar pula cerita baru.

Kali ini lebih panas. Sama ada sahih atau tidak sahih, itu Diva tak berani komen, dah sumber yang rapat dengan kaki perisik di mahkamah sendiri yang khabarkan, Diva kongsilah pula kepada semua.

Kata sumber itu, masalah Jimmy dan Suhaila tak tamat lagi. Memanglah isteri Jimmy sedang mengandung tetapi dalam senyap-senyap, mereka sudah sampai ke mahkamah dan berjumpa pakar kaunseling di sana. Keluarga Shuhaila pula dah naik pening dan khabarnya mereka terbang bercuti ke luar negara.

Lantaklah apa orang nak cakap - Erry Putra


ERRY Putra nak menyanyi balik? Biar betul? Sedap sangatkah suara dia sampai nak menyanyi balik? Dulu masa bersama kumpulan Boys R Us pun tak berapa nak popular. Lagi mahu menyanyi yer?

Bukan seorang dua yang berkata, tapi ramai. Ramai juga yang menyindir usaha yang dilakukan oleh Erry nak kembali ke dalam bidang nyanyian.

Tak mahu termakan dengan kata-kata orang, Erry tahu apa yang dilakukannya. Kata Erry ramai yang memberi sokongan dan galakan kepada dirinya untuk memeriahkan industri seni tempatan.

Mungkin ada yang tidak sedar, kemunculan Erry dalam bidang seni tanah ari bermula dengan bidang nyanyian. Biarpun rezekinya lebih tertumpah kepada bidang lakonan, dia tidak pernah memadam hasrat untuk kembali menyanyi.

Kali terakhir merakamkan lagi ketika bersama dengan kumpulan Boys R Us pada tahun 2004. Kini sesudah enam tahun berlalu, Erry bertekad untuk kembali ke landasan asal yang pernah dilewatinya satu ketika dahulu.

Cukup bangga dengan single Jangan Kau Pergi yang dinyanyikan bersama dengan Shajiry dan Azreen, lagu tersebut sudahpun masuk radio dan diputarkan tanpa sebarang prejudis.

“Inilah yang cukup menggembirakan saya. Pada saat orang lain terhimpit dengan masalah lagu tak disiarkan oleh stesen radio, ia tidak menjadi masalah buat saya.

“Malah saya berbangga dengan kemunculan semula saya ke lapangan ini. Inilah yang saya idam-idamkan sejak berpecah enam tahun yang lalu,” kata Erry dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Jelas Erry, bukan mudah untuk meneruskan kesinambungan dalam bidang seni. Terlalu banyak jalan bengkang-bengkok yang terpaksa dilalui olehnya untuk berjaya dalam bidang nyanyian.

Itu belum lagi menerima kutukan peminat yang kurang yakin dengan dirinya. Tapi sebagai manusia biasa, itulah lumrah yang perlu dilalui.

“Lantaklah apa orang nak cakap. Kalau dengar cakap orang sampai bila-bila pun saya tak akan maju. Kalau ada yang mengkritik cara nyanyian saya boleh ambil untuk perbaiki diri.

“Saya pun bukan sempurna mana. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari sebelum menjadi penyanyi yang baik. Kalau tak diberi peluang sampai bila saya nak jadi bagus.

“Macam masa mula-mula berlakon dulu. Ada yang cakap saya berlakon keras macam kayulah. Tapi lama-lama saya perbaiki lakonan saya dari semasa ke semasa.

“Dalam bidang nyanyian pun saya mengharapkan perkara yang sama. Mahu berjaya dan setidak-tidaknya mengembangkan minat yang ada tertanam dalam diri sejak dahulu lagi,” kata Erry tanpa berselindung.

Sepanjang menyepikan diri dalam bidang nyanyian, Erry masih lagi menerima banyak undangan pentas yang mahukan dirinya menyanyi. Malah semasa Konsert Pancaindera di Bentong dan Bera, Pahang pertengahan tahun yang lalu, dia juga membuat persembahan.

Ternyata sambutan yang diterima oleh anak kelahiran Kelantan ini cukup baik dan membakar semangatnya untuk terus menggapai impian.

Ujarnya, sejak dua tiga tahun yang lalu, dia sudahpun merakamkan hampir 10 buah lagu tetapi tidak diputarkan di radio.

“Saya mahu melihat sambutan peminat terhadap lagu Jangan Kau Pergi dulu. Kalau semuanya berjalan seperti mana yang saya harapkan saya akan muncul dengan single yang seterusnya.

“Mungkin sehingga lima single saya menemui peminat barulah saya mahu keluar dengan album penuh. Ini sasaran saya setakat ini,” kata Erry yang bakal dilantik sebagai duta produk berasaskan sarang burung tak lama lagi.

Bercerita mengenai bidang lakonan pula, Erry yang pernah mencetuskan kontroversi ‘dagu cucuk’ cukup selektif memilih watak ketika ini memandangkan banyak perkara yang perlu dilakukan setiap hujung minggu.

“Saya sudah pun terlibat dengan promosi produk sarang burung tersebut. Setiap minggu ada sahaja road tour yang saya kena ikut. Ini termasuklah promosi single tersebut.

“Jadi masa untuk berlakon pun semakin terhad. Kalau ada produksi yang mahu mengambil saya berlakon, mereka kenalah melepaskan saya setiap hujung minggu,” kata Erry.

Noralbaniah tetap imej seksi


KALAU dikira tempoh pelakon bernama Noralbaniah ini menjanda sudah pun melebihi 16 tahun. Memang lama sangat, bukannya baru enam bulan atau enam tahun.

Bukan calang-calang wanita yang senasib dengannya

mampu bertahan sedemikian rupa apabila melayari hidup tanpa seorang lelaki di sisi siang dan malam.

Patutlah waktu terserempak dengan wanita ini pada majlis penutup Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM-23) bulan lalu, dia hanya berdiri seorang diri di satu penjuru.

Jika ada yang menegurnya, ramah dibalas dengan senyuman manis. Sesekali pula, dia seakan tidak dipedulikan orang sebaliknya tuan punya diri itu selesa memerhati gelagat manusia yang pelbagai ragam di situ.

Apabila ditanya, rupa-rupanya Noralbaniah datang tanpa berteman ke sebuah festival besar dan gah dengan kilauan glamor. Barangkali sudah imun atau lali dengan kehidupan solo berpanjangan.

Kalau artis wanita lain seboleh-bolehnya mahu datang ke majlis hiburan besar berpasangan. Apa tidaknya, hendak menarik perhatian melintasi di karpet merah di sebalik percikan lampu kamera yang tidak henti-henti.

Tetapi bagi Noralbaniah yang berusia 41 tahun itu, berteman ke hulu ke hilir tidak lagi penting bagi dirinya pada hari ini.

Katanya, bukan kerana cintanya masih bersisa dan mendalam buat arwah suami tersayang, Sudarman Daud tetapi tiada golongan lelaki yang ingin merapati dirinya selama ini.

Malah, pengalaman membesar seorang anak berusia lapan bulan ketika suaminya itu menemui ajal dalam kemalangan ketika usianya baru 25 tahun banyak mengajarnya menjadi seorang ibu tunggal yang berdikari.

“Saya tidak terdesak mencari suami tetapi kalau ada lelaki yang boleh menjentik hati saya, tidak salah rasanya memberi peluang seadanya.

“Saya juga bukan pemilih orang kerana hingga saat ini saya tidak pernah mempunyai calon pengganti. Mungkin orang lelaki takut dengan saya apatah raut wajah saya yang nampak sombong. Tetapi anak saya, Syarra sekarang sudah tidak kisah jika saya ingin berkahwin lagi,” katanya sambil ketawa manja.

Didesak lagi dengan pertanyaan kriteria calon pilihan hati, wanita kelahiran Ipoh, Perak itu, tidak pernah berniat mencari pengganti suami yang seiras perwatakan dengan Sudarman.

Namun dia mengakui memiliki kelemahan diri apabila mempunyai tanggapan negatif mengenai kaum Adam yang sering membelenggu akal fikirannya.

“Dulu saya selalu membayangkan bagaimana jika ditinggalkan lagi buat kali kedua atau pun lelaki itu tidak dapat membahagiakan hidup saya.

“Saya juga bimbang jika ada yang tidak dapat menerima kehadiran anak perempuan saya dan paling menakutkan jika anak saya diapa-apakan ketika saya tiada di rumah.

“Tetapi mungkin juga salah saya kerana selama 16 tahun saya langsung tidak memberi ruang kepada lelaki lain untuk hadir mengetuk pintu hati,” katanya yang hadir di Studio Utusan bersama Syarra dan dua anak buahnya, baru-baru ini.

Noralbaniah berkahwin pada 1993 ketika berusia 23 tahun namun dua tahun kemudian dia kehilangan suami apabila mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Sepantas waktu yang berlari, hari ini wanita kecil molek itu sudah mempunyai anak dara yang sama cantik dan tinggi dengannya apabila Syarra sudah berusia 16 tahun.

l Tidak mahu hipokrit

Noralbaniah dan kemunculan seksinya bagai tidak dapat dipisahkan. Sekadar menoleh ke belakang, industri seni hiburan pernah gempar dengan penampilan berani mati wanita ini pada 1990 apabila dia bergambar memakai bikini untuk artis muka depan majalah popular, URTV.

Hanya dia satu-satunya artis wanita yang berani muncul sebegitu rupa hingga mendapat gelaran simbol seks dunia hiburan.

Selepas 16 tahun berlalu, tidak banyak perubahan ketara yang dilaluinya kerana anak kepada anggota polis masih kekal seksi, bergetah dan tidak makan tua.

Berkongsi cerita penampilannya yang mampu membuatkan adrenalina kaum lelaki sentiasa panas, dia yang memulakan karier dalam bidang lakonan menerusi filem Kolej 56 itu sekadar memberi senyuman menawan.

Jelas anak bongsu daripada lima beradik itu, penampilannya kekal seperti dahulu disebabkan faktor status dirinya yang masih solo hingga hari ini.

“Tidak ada benda yang nak berubah pun kerana keadaan saya yang belum berkahwin dan masih dalam profesion yang sama.

“Mungkin kalau sudah berkahwin saya akan menjaga penampilan demi menjaga maruah suami. Malah bila anak semakin besar, saya rasa kembali muda dan sentiasa berkongsi masalah dengannya dan anak-anak buah lain.

“Bagi sesiapa yang mengenali artis bernama Noralbaniah ini, mereka tahu saya tidak pernah hipokrit. Sama sahaja penampilan dan perwatakan saya. Kalau dulu macam ini, sekarang pun begini,” katanya yang mesra dengan panggilan Cu Nor di kalangan anak buahnya.

Ditanya penampilan seksinya itu boleh menjerat dirinya untuk dilabel sebagai wanita simpanan, pelakon filem Main-Main Hantu, Sekretari dan Adik itu tidak kisah dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya.

Kata Noralbaniah, peminat barangkali tidak mempercayai jawapannya apabila dia langsung tidak pernah dihimpit oleh golongan lelaki buaya darat bertaraf VIP.

Jelasnya bersungguh-sungguh, itu semua kerana berpunca dengan sikapnya yang tidak berminat mendedahkan diri di tempat terbuka seperti bersosial di kelab hiburan.

“Macam mana Datuk dan VIP hendak mendekati saya kalau saya asyik keluar ke mana sahaja dengan Syarra dan anak-anak buah yang lain.

“Kalau betul pun saya dibela, mesti sudah kaya sekarang dan datang ke sesi fotografi ini dengan kereta mewah bersama pengawal peribadi. Ini tidak, sayalah yang memandu sendiri tadi dan ke mana-mana selama ini,” katanya sambil sesekali membelai rambutnya yang panjang mengurai itu.

Menyentuh tentang raut wajah yang masih seperti dulu, Noralbaniah berkata dia percaya kepada kejujuran dan keikhlasan hati selain selalu memikirkan perkara positif dalam kehidupan yang dilaluinya.


l Mama boleh kahwin - Syarra

Berbual dengan anak gadis ini, caranya memberi pandangan jelas melangkau usianya yang masih muda. Barangkali impak akibat tidak pernah mendapat kasih sayang seorang ayah membuatkan diri menjadi matang berbanding golongan seusianya.

Malah, dia yang menjalani kehidupan biasa bersama ibu saudara di Taiping, Perak sanggup berulang ke Kuala Lumpur (KL) untuk berjumpa Noralbaniah pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

Semuanya itu dilakukannya demi sebuah pengorbanan kepada ibu tercinta yang meneruskan karier dalam bidang lakonan untuk mencari rezeki mereka anak beranak.

Kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Taiping itu, ekoran sudah biasa dengan suasana kampung, dia enggan berpindah ke bandar besar di KL biarpun sering diajak Noralbaniah.

Enggan menyalahi nasib diri, Syarra tanpa raut wajah sedih menceritakan perasaan dirinya yang kosong apabila diminta bercerita tentang lelaki bernama Sudarman.

“Saya tidak rasa apa-apa pun. Rasa biasa sahaja. Sedih pun tidak ada kerana tidak pernah mengenali kasih seorang ayah.

“Kalau ayah pergi meninggalkan saya sewaktu saya sudah memahami erti hidup, mungkin satu perasaan yang berbeza dialami saya.

“Lagi pun mama akan pulang tiap-tiap minggu untuk melawat saya di Taiping atau saya akan ke KL apabila cuti persekolahan,” katanya yang tidak malu menjadi anak kepada pelakon seksi di negara ini.

Syarra berkata, dia juga tidak kisah dengan penampilan Noralbaniah yang masih berani mati itu kerana tahu sikap ibunya yang tidak hipokrit.

Jelasnya yang memiliki wajah mirip Sudarman itu, dipandang serong di sekolah sudah tidak menjadi kudis kepadanya apabila dilempar kata nista anak artis yang sering membawa masalah.

“Mama hendak seksi lagi kerana dia hendak menjadi dirinya. Lagi pun mama tidak ada suami untuk menjaga penampilan ke mana dia hendak pergi.

“Malah saya dan sepupu yang lain selalu memilih baju untuk mama kerana kami tahu apa yang mama mahukan. Tetapi kalau esok-esok mama sudah kahwin lagi, dia kenalah berpakaian sopan sesuai dengan statusnya kepada isteri orang,” katanya yang petah bercakap.

Sambung Syarra, dia kini tidak mahu mementingkan dirinya lagi dan bersedia menerima kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.

“Dulu memang saya kisah kalau mama hendak kahwin. Macam-macam bermain di fikiran kerana bagaimana mama nak menyesuaikan dengan suami baru.

“Yalah, kalau mama kahwin dia kena masak dan menjaga keperluan suami yang sudah lama dia ditinggalkan.

“Yang penting, kalau mama kahwin kami sudah tidak boleh tidur bersama mama lagi. Dan kalau saya sambung belajar di universiti, mama pasti sunyi kerana saya semakin jauh daripadanya.

“Jadi sekarang saya tidak kisah kalau mama bertemu jodoh baru dan hendak berkahwin lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi seperti Orianthi Panagaris, seorang komposer, penulis lirik dan gitaris kelahiran dari Australia.

Makin lama, makin tak berharga! - Amyza


INILAH nasib menjadi artis Malaysia, semakin lama duduk dalam industri semakin murah harganya. Kalau dipandang pun tak mengapa, tapi ramai juga yang langsung diketepikan.

Bukan satu dua orang mengeluh hal yang sama. Kalau kita lihat kembali sesetengah artis lama yang menghadapi zaman yang sukar. Sudahlah tidak bekerja, hidup pula melarat tanpa sebarang pendapatan.

Mungkin ada yang mengatakan tidak tapi pada yang pernah mengalaminya pengalaman sebegitu, semuanya semakin jelas ketara.

Pelakon dan pengacara Amyza Aznan pun turut terkena tempiasnya. Baru-baru ini dia dikatakan ‘naik hantu’ dengan bayaran yang ditawarkan kepadanya untuk membintangi sebuah filem.

Ketika ditanya kebenaran cerita tersebut, Amyza tidak menafikan hal tersebut. Cukup terkilan dengan apa yang telah berlaku, pemenang tempat kedua pertandingan Sehati Berdansa musim kedua itu cukup kecewa dengan apa yang telah terjadi.

“Kali terakhir saya membintangi filem pada tahun lepas. Sudah pasti saya cukup rindu untuk membuat kemunculan semula di layar perak.

“Bila ada yang offer untuk berlakon sebuah filem baru, memang saya gembira. Saya hanya ditawarkan lapan babak yang mengambil masa empat hari di luar Kuala Lumpur.

“Kalau ikut cerita pihak produksi nak bayar RM3,000. Memang jumlah tu kecil kalau nak dibandingkan dengan pengalaman saya. Saya tetap terima sebab nak buat kemunculan semula.

“Tapi apa yang membuatkan saya ‘naik hantu’ apabila bayaran yang ditawarkan dah makin kurang. Dia nak bayar RM1,500 pula. Apa cerita beb?

“Dahlah lokasi luar Kuala Lumpur, daripada berlakon sampai ke buat dubbing. Itu saja bayaran yang saya dapat? Apa lagi yang tinggal?

“Itulah duit minyak, duit tol, duit lakonan, duit dubbing dan segala-galanya. Habis berapa sen saja kalau nak ikutkan? Jangan buat senior macam saya sampah okey,” tegas Amyza lagi.

Enggan meletakkan maruah di bawah tapak kaki mana-mana pihak, Amyza enggan meneruskan penggambaran memandangkan tidak ada perjanjian hitam putih yang telah ditandatangani.

Tapi dalam hatinya cukup terasa dengan perbuatan pihak yang tak bertanggungjawab yang sanggup meletakkan harga sebegitu rendah kepada insan seni sepertinya.

Bukan satu dua orang dia bertanyakan kewajaran dirinya menolak tawaran yang tak masuk akal itu, rata-rata menasihatkan pelakon yang cukup popular dengan watak kelakar itu untuk menolak mentah-mentah.

Kata Amyza, penolakan tawaran berlakon filem itu bukan satu kerugian buat dirinya memandangkan selepas itu dia banyak menerima tawaran berlakon drama yang cukup sebati dalam jiwanya.

“Berlakon drama pun lagi banyak bayaran daripada berlakon filem. Mungkin orang-orang yang terlibat dalam bidang drama ini faham harga yang perlu dibayar pada artis macam saya.

“Bukan tak kecil hati dengan apa yang dah berlaku. Saya masih ada lagi peminat dan pengikut. Mereka masih lagi mahu melihat saya dan rakan-rakan yang lain di kaca televisyen.

“Kadang-kadang saya terfikir, kenapa mereka (pihak produksi) tak meletakkan diri di tempat saya. Kalau dia letakkan diri baru dia tahu apa yang saya rasakan.

“Kalau nak tahu masih ramai lagi pelakon lain yang menerima nasib yang sama. Ditawarkan harga yang tak masuk akal. Bukan kami minta harga yang bukan-bukan tapi biarlah berbaloi.

“Tapi kalau dedahkan apa yang dah berlaku, tak mengubah apa-apa pun. Apa yang orang lain boleh buat. Sekadar membaca dan merasa kasihan sahaja.

“Lainlah kalau perkara ini terjadi kepada nama-nama besar yang lain. Agaknya baru orang akan buka mata kot,” kata Amyza penuh makna.

Dilanyak Rosyam Nor

KALAU dihitung hampir 14 tahun nama Amyza Aznan menghiasi atmosfera dunia hiburan tempatan. Beratus drama telah dilakonkan sehingga melayakkan dia diangkat sebagai antara lima artis komedi wanita dalam satu anugerah tahun lalu.

Ramai yang mengenalinya sebagai pelakon yang berbakat. Berilah apa sahaja watak, pasti akan dilunaskan oleh Amyza dengan baik terutama watak komedi.

Dalam pada itu dia mendedahkan kepada Pancaindera kepuasan berlakon seakan memuncak apabila dipertemukan dalam drama bersiri Trilogi Cinta yang menggandingkan dirinya bersama pelakon Rosyam Nor.

“Bayangkan empat bulan penggambaran, saya sangat stress. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Memang serba serbi tak kena dengan Rosyam.

“Sampaikan saya lupa hari jadi suami. Itupun selepas dua hari baru saya ingat. Tidur malam jadi tak lena semuanya gara-gara ‘dilanyak’ Rosyam.

“Alhamdulillah, setelah ‘menderita’ selama empat bulan, akhirnya saya selesai juga. Memang saya puas dapat bergandingan dengan Rosyam. Banyak kali kena marah tapi semuanya untuk kebaikan saya.

“Bukan saya seorang yang kena. Habis semua rasanya kena marah kalau buat salah. Saya tak menyesal jauh sekali kecil hati dengan apa yang dah jadi.

“Kalau ada tawaran lain selepas ini memang saya tak tolak. Kesakitan yang saya alami bertukar menjadi puas setelah melihat hasilnya bagus,” katanya lagi.

Selain terlibat dalam dunia lakonan, Amyza juga kini berbangga apabila dilantik menjadi duta minyak wangi jenama Karisma Perfume.

Mereka bukan kekasih saya - Faezah Elai


"SAYA tidak akan berundur dari dunia seni walaupun ada pihak mendesak saya. Bodohlah kalau saya segera mengangkat mengalah atas kehendak orang lain selepas kenyataan saya baru-baru ini,” demikian bicara mula pelakon Faezah Elai. Baru-baru ini dia menyifatkan dunia seni tanah air busuk dan mahu bersara empat tahun lagi.

Wanita berusia 28 tahun ini bagaimanapun mengakui dia bukan jenis mudah kalah dan terganggu selepas mengeluarkan kenyataan panasnya minggu lalu.

Malah tidak menyalahkan mana-mana pihak, Faezah berkata demikian atas dasar salah faham dan memanipulasi pandangan peribadinya terhadap bidang seni.

“Saya tidak bermaksud kita perlu mengipas penerbit atau pengarah untuk mendapat banyak peluang berlakon. Itu bukan maksud saya sebenarnya,” tegas Faezah.

“Siapalah saya untuk menilai kelebihan pelakon-pelakon tempatan sedia ada. Lagi pun saya baru tiga tahun berlakon, takkanlah saya nak menjadi diva, mengata orang macam-macam,” katanya tatkala persoalan tersebut dibongkar.

Anak sulung dari tiga beradik ini menambah, dia memang bercadang bersara dalam tempoh empat tahun lagi, tetapi bukan kerana menyesal terjebak dalam dunia glamor ini. Seni adalah darah dagingnya, masakan dia tegar menabur pasir dalam periuk nasi sendiri.

“Hakikatnya, saya mahu pengunduran saya dalam industri ini secara bermaruah. Selepas mencapai kejayaan dalam lakonan kerana itulah matlamat utama. Saya akui, masih belum berpuas hati dengan lakonan saya, sebab itu, saya menetapkan tempoh empat tahun sebagai persediaan sebelum berundur”.

Mengenai adakah dia sengaja mencipta kontroversi agar dapat mendapat publisiti, lulusan rekaan fesyen di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ini hanya menggelengkan kepala.

Katanya, dia semakin fobia dengan istilah “busuk” yang digunakan untuk menggambarkan senario bidang hiburan negara sekarang ini.

“Kalau boleh saya tidak mahu mencipta satu isu yang menyebabkan orang naik menyampah termasuk hal remeh temeh sebegini. Itu bukan cara saya. Tapi saya tidak peduli kalau ada orang tidak suka saya sebab perkara ini sebab saya tahu di mana kebenarannya.”

Bercerita tentang aktivitinya, peminat setia pelakon Megan Fox ini bercita-cita mahu membuka tadika di kampung halamannya di Pulau Pinang.

“Itu semua rancangan, sebagai manusia saya hanya mampu berdoa. Mana tahu, ketika itu saya sudah punya kekasih hati, boleh sama-sama usahakan tadika itu nanti,” katanya sambil disusuli dengan senyuman.

Wanita berbintang Leo ini juga mengakui bahawa kejujuran itu telah memakan diri dirinya. Disebabkan terlalu suka cakap tanpa tapis, dia berdepan dengan pandangan serong masyarakat, walaupun berkali-kali dia mengingatkan perkara tersebut.

“Memang sudah sifat semulajadi saya bukan jenis hipokrit dan lurus bendul. Kali ini saya mendapat tauladan. Tidak bermakna saya perlu ubah pendirian saya kerana selepas ini, saya perlu lebih berhati-hati dengan segala tindakan pada masa depan,” katanya.

Angkara ‘mamat’ itu

Satu lagi cerita yang mengaitkan nama Faezah ialah khabar angin mengenai hubungan cintanya dengan pengarah drama Asmara dan Dendam Kesuma, Heykal Haniffa. Hubungan mereka dikatakan berputih sejak pertengahan tahun ini.

Bintang filem Otai, Cun, Mantera dan Tolong Awekku Pontianak tersebut dikatakan terjerat “cinta di lokasi” apabila terpesona dengan pengarah tersebut. Malah ada pihak mendakwa melihat mereka bersama bukan saja di lokasi malah selepas tamat penggambaran.

“Kami tidak ada hubungan cinta. Semua itu fitnah dan disebarkan oleh seorang mamat yang suka cari pasal dengan saya. Dialah yang memporak-perandakan kehidupan peribadi saya sehingga mengguris hati banyak pihak termasuk ibu bapa saya.”

“Memang tindakan mamat ini sudah melampau, sebab itu saya sudah buat laporan polis tentang isu ini. Dia juga perlu bertanggungjawab atas apa penyebaran gosip buruk yang mengatakan saya hamil dan menggugurkan anak sebelum ini,” luah Faezah tanpa berselindung.

Bercerita tentang maksud tersembunyi pelakon lelaki berkenaan, Faezah sekadar mengangkat bahu. Telahan rawak, mungkin disebabkan atas dasar iri hati dengan kejayaan dirinya kerana mereka sama-sama bertapak dalam industri sebelum ini.

“Saya harap mamat itu cepat insaf dengan keterlanjurannya. Jangan kacau hidup saya lagi, belajar bermaafan dan lupakan perkara silam. Saya sudah maafkan dia. Jangan sampai saya dedahkan semua perbuatannya kepada umum,” kata pengacara rancangan kecantikan Seri yang disiarkan setiap Rabu di TV3 ini.

Lancar album solo sulung-Nadia Aqilah


BERGELAR selebriti tidak hanya mempertaruhkan bakat dan komitmen pada kerja semata-mata.

Pada khalayak, selebriti menjadi idola dan sering menarik tumpuan ramai.


Atas sebab itu, selebriti perlu menjaga penampilan mereka agar tidak disalah erti masyarakat hingga menjurus pada pandangan negatif dan mencetuskan kontroversi.

Bagi penyanyi yang makin meningkat nama menerusi bidang lakonan, Nadia Aqilah, segelintir berpandangan gadis berusia 25 tahun ini cukup berani mendedahkan sebahagian tubuhnya ketika hadir pada acara hiburan.


Namun, Nadia menyatakan dia bukan mahu bersikap kurang sopan seperti mana tanggapan orang sekeliling yang memandangnya. Sebaliknya, dia percaya selebriti harus peka dengan penampilan mengikut konsep serta tema majlis yang dihadiri.


"Soal imej, saya sendiri ambil berat dengan apa yang dipakai setiap kali muncul depan khalayak. Mungkin saya dikatakan seksi, tetapi saya masih tahu menjaga penampilan diri agar tidak keterlaluan.

"Ketika di luar bukan atas komitmen kerja, saya selesa mengenakan baby-T dan jean. Saya memang suka penampilan ringkas sebegini.


"Buat masa ini, saya tidak pernah ditegur penampilan yang sangat seksi. Namun, saya tetap ambil perhatian pada pandangan orang lain pada saya.


"Saya percaya pandangan mereka juga penting dan membantu meningkatkan imej saya agar lebih baik. Tidak kira di mana saya berada, saya lebih berhati-hati dengan penampilan sendiri.


"Saya tidak mempunyai perunding imej, tetapi saya sering melakukan kajian di Internet termasuk mendapatkan pandangan pereka fesyen," katanya.


Menyelami perjalanan kerjayanya, Nadia menyatakan dia kini sibuk dengan persiapan melancarkan album debut yang mengambil judul namanya pada 8 Disember nanti.


Tampil dengan genre R&B, dia mahu memperkenalkan diri sebagai penyanyi solo berbanding pembabitan bersama kumpulan Luscious ketika menyertai program realiti, Gang Starz musim pertama, empat tahun lalu.


"Ramai yang menyokong perjuangan karier solo saya. Begitu juga menghasilkan album umpama mengejar mimpi yang menjadi kenyataan.


"Walaupun solo, hubungan saya bersama anggota Luscious, Nur Shafinaz Mokhtar dan Ruzana Ibrahim masih baik. Sebenarnya mereka juga mempunyai fokus pada matlamat lain.


"Memang tidak dapat dinafikan, pengalaman bersama Luscious dan Gang Starz banyak membantu saya mengorak langkah sebagai penyanyi.


"Saya percaya Luscious dan Gang Starz memberikan jenama kuat pada perkembangan karier saya hingga dikenali ramai. Mungkin jika ada rezeki pada masa akan datang, kami akan bergabung semula menyanyi di pentas," katanya.


Mengenai album baru, Nadia pernah berhasrat tarik diri untuk terus jadi penyanyi kerana merasai cabaran menghasilkan album begitu mencabar dan memerlukan belanja yang banyak.


"Mempunyai album debut solo ini adalah impian yang saya tunggu selama ini. "Berbanding penyanyi lain yang menghasilkan single, saya bertuah kerana muncul bersama album penuh.


"Saya bersyukur kerana label Lakefront Record mahu bekerjasama dan menyokong usaha saya menghasilkan album ini. Menariknya, mereka menanggung kos penerbitan album ini.


"Sejujurnya saya sangat puas dengan hasil album ini. Banyak pengalaman berharga saya timba dari awal pembikinan lagu hingga album ini siap.


"Pengalaman ini cukup menarik dan untuk memberi kepuasan, label memberikan saya kebebasan untuk tonjol kreativiti saya sendiri. "Sebanyak 10 lagu baru ditampilkan dalam album saya ini. Semua lirik adalah hasil karya saya sendiri termasuk bekerjasama dengan komposer Daniel Veerapan.


"Saya menampilkan dua single iaitu D.I.V.A untuk lagu Melayu manakala Free dalam bahasa Inggeris. Sebanyak tujuh lagu dalam bahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu termasuk Percaya dan Teman.


"Sebenarnya, saya memang berminat menulis lirik sejak zaman sekolah. Bagi saya, membaca dan menulis adalah terapi terbaik untuk diri sendiri.


"Album ini boleh dikatakan luahan ekspresi hidup saya yang mengisahkan perjalanan hidup saya termasuk kisah cinta, persahabatan dan kegagalan yang pernah dilalui," katanya.


Kata Nadia, pemilihan lebih banyak lagu bahasa Inggeris dalam album ini adalah idea label sebagai strategi pemasaran terbaik untuk menembusi pasaran antarabangsa.


"Untuk lagu Free, saya juga duet bersama penyanyi rap antarabangsa, Chrome Cats. Label ini sebenarnya mempunyai cawangan di Los Angeles.


"Adanya lagu sebegini, ia memberi peluang untuk pasarkan lagu saya ke sana. Bagi saya, muzik sepatutnya tiada jurang menerusi bahasa tertentu.


"Saya percaya jika pemasaran dilakukan dengan strategik dan saya sendiri mengukuhkan jenama dan imej di sini, lagu kita mempunyai potensi diminati peminat luar negara," katanya.


Mengenai lakonan, Nadia berkata dia mahu berehat seketika untuk memberi fokus pada promosi album debutnya ini. Namun, dia berharap dapat kembali berlakon pada tahun depan.


"Kini, saya juga terbabit dengan satu pementasan teater muzikal. Maklumat mengenai pementasan ini masih belum boleh diceritakan dan tunggu saja pengumuman dari pihak produksi nanti.


"Antara berlakon teater dan drama, kedua-duanya memberi keseronokan dan pengalaman berbeza. Jika drama lebih pada cabaran beraksi depan kamera, teater pula lebih mencabar ekspresi diri berlakon secara langsung depan penonton.


"Sejak mula terbabit dalam bidang seni, saya suka mencuba apa saja bidang termasuk pernah menjadi penari dan penyanyi latar.


"Atas komitmen pada nyanyian dan lakonan, saya harus memberi fokus sepenuhnya. Soal kahwin, saya rasakan belum sampai masanya lagi.


"Apa yang penting, saya mahu kerja keras untuk capai kejayaan dalam bidang seni ini dan mungkin suatu hari nanti, saya ingin mencapai impian terbesar menghasilkan konsert solo," katanya.

>PROFIL:
NAMA: Nadia Aqilah Bajuri
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1985
USIA: 25 tahun
ASAL: Subang Jaya, Selangor
KERJAYA: Penyanyi, penari dan pelakon
STATUS: Bujang
DRAMA: Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih dan Tari Tirana
TEATER: Puteri Gunung Ledang The Musical (2005) dan P Ramlee The Musical (2008)
PENCAPAIAN: peserta Gang Starz musim pertama (2006)

Tetap Pendirian: Ayu Enggan Pamer Suami dan Anak


PETALING JAYA: Juara One In A Million (OIAM) kedua, Norayu Damit atau lebih dikenali sebagai Ayu, 21, menegaskan bahawa dia tidak akan mempamerkan suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, dan anaknya, Syed Nashrul Haikal, 1, kepada umum.

Walaupun telah mengaku statusnya sebagai isteri dan ibu pada April lalu kepada pihak media, Ayu tetap dengan pendiriannya, enggan keluarganya ditonjolkon dalam dunia glamor hiburan tempatan.

Menurut Ayu, keputusan itu dibuat atas dasar permintaan suami dan kedua-dua belah pihak keluarganya.

"Bagi saya, keluarga adalah bersifat peribadi. Mereka enggan ditonjolkan secra terang-terangan.

"Lagipun saya menghormati permintaan suami dan keluarga. Kalau nak kata saya sembunyikan mereka tidak juga. ini kerana bila kami keluar berjalan macam biasa dan orang ramai boleh namapk. Cuma mereka tidak dipamerkan dalam mana-mana media cetak atau elektronik.

"Alhamdulillah, setakat ini suami juga memberi sokongan dan merestui kerjaya nyanyian saya," katanya yang ditemui di studio rakaman milik penerbit lagu, Rudy Muhammad, di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Ayu mengakui bahawa kehidupannya kini lebih mencabar berbanding sebelum dirinya berkahwin.

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu di usia yang muda sedikit sebanyak mengubah karakternya.

"Sekarang ini saya hanya fokus pada dua perkara sahaja iaitu kerja-kerja di rumah serta karier.

"Diakui, menjadi seorang isteri dan ibu bukan mudah. Malah karakter saya juga berubah kepada seorang yang kuat membebel.

"Lagipun ibu yang menjaga anak saya di kampung buat masa ini. Malah ibu saya menetapkan saya boleh mengambil anak ketika usianya dua tahun. Maklumlah, kini saya sedang dalam proses kemunculan semula dengan album baru, jadi ia memerlukan fokus yang lebih.

"Apa yang tidak seronoknya, anak saya memanggil ibu saya dengan panggilan mak dan saya pula anak panggil kakak. Rasa sedih dan pada masa sama juga kelakar," selorohnya yang sedang sibuk dengan pembikinan album keduanya.

Kemunculan semula dengan album kedua Ayu pasti akan dinanti-nantikan oleh peminat-peminatnya.

Membawa sebanyak enam lagu saduran dan sebuah lagu baru, Ayu gembira kerana dia tidak sabar melihat respon yang diberi oleh masyarakat.

Dengan kesediaan 100 peratus, Ayu yakin bahawa album kedua kali ini bakal menjadi langkah pertama untuknya kembali bertapak dalam industri muzik tempatan.

"Dalam album ini, saya ingin menunjukkan bahawa saya masih lagi ada bakat dan boleh menyanyi lagi.

"Menariknya, lagu-lagu lama yang pernah popular seperti Flora Cinta yang dinyanyikan oleh Min Malek dan Salam Buat kekasih (Nadia) akan diberi nafas baru.

"Kemudian, selepas selesai album ini saya akan pulang ke Sabah dan hanya membuat persembahan di Sabah sahaja. Semua ini demi anak, saya mahu meluangkan masa dengannya.

"Bagaimanapun, saya tidak akan lama, cuma dalam masa enam bulan saya tinggal di Sabah dan akan berulang-alik ke Kuala Lumpur.

"Dengan cara itu juga saya dapat merapatkan hubungan dengan peminat di sana pula," tuturnya.

Selain lagu Flora Cinta dan Salam Buat Kekasih, lagu seperti Penghujung Rindu, Dendam Dalam Diam, Setia kekasih dan Kabut Serangkai Mawar turut dimasukkan dalam album kedua Ayu.

Penonton Malu Mengaku Tonton Filem 2 Alam


PETALING JAYA: Empat remaja lelaki yang ditemui selepas selesai menonton filem 2 Alam malu untuk mengakui telah menonton filem yang dikatakan mampu mengutip kutipan RM40 juta.

Menurut mereka, filem terbitan Dr Rozmey Che Din melalui syarikatnya DR Movie Productions itu juga secara tidak langsung telah memberi persepsi buruk kepada filem Melayu lain.

“Kami menonton filem ini kerana ingin mengetahui apa sebenarnya yang orang perkatakan tentang filem ini.

“Namun setelah menonton selama sepuluh minit sahaja kami sudah mengerti apa yang mereka katakan selama ini tentang filem 2 Alam ini.

“Secara jujurnya ia telah memberi tanggapan buruk kepada filem-filem Melayu yang lain,” ujar Azlan, 23, iaitu salah seorang remaja yang enggan nama sebenar mereka didedahkan media.

Bagi Irwan Noh, 25, pula memberitahu filem ini mempunyai jalan cerita yang tidak bertaraf sebuah filem.

“Apa yang saya dapat tonton sepanjang satu jam setengah ini tidak seperti sebuah filem, malah banyak drama di televisyen lebih baik dari filem ini.

“Saya harap selepas ini pihak yang bertanggungjawab lebih pentingkan kualiti sesebuh filem yang akan ditayangkan bukan sekadar siap dan memenuhi piawaian sahaja,” katanya.

Manakala bagi Aiman Roslin, 28, memberitahu filem ini tidak mungkin mencapai sasaran disebabkan kualiti dan jalan cerita yang terlalu membosankan.

“Saya bukan pengkritik filem tetapi bagi pandangan mata penonton biasa seperti saya filem ini terlalu membosankan.

“Selain terlalu bangak adegan sama yang berulang-ulang, pelakon-pelakon juga kurang memberi lakonan yang baik, saya hairan bagaimana produser filem ini boleh menyasarkan sebanyak RM40 juta,” ujarnya.

Ketika tinjauan dibuat di beberapa pawagam utama sekitar Lembah Kelang iaitu di e-Curve, Mid Valley, One Utama dan Pavillion, tempat duduk di setiap bilik yang menayangkan filem ini hanya dipenuhi kurang dari sepuluh penonton sahaja.

Malah ketika tayangan sedang berlangsung beberapa penonton mengambil keputusan untuk keluar dari pawagam.

Dalam pada itu, maklumat dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kutipan filem tersebut baru mencecah RM230,000 atau RM0.23 juta dan masih terlalu jauh mencapai sasaran seperti yang dilaungkan oleh produsernya iaitu RM40 juta.

Perkahwinan direstui bekas kekasih - Ayu Raudhah


"APA yang ingin saya tegaskan, segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya itu semuanya tidak benar sama sekali.

"Saya bukannya punca terhadap masalah keretakan rumah tangga mereka seperti yang didakwa!"

Jika sekali dengar ucapan bernada tegas itu seperti dilontarkan daripada individu yang dituduh mengganggu rumah tangga orang lain, yang pada kebiasaannya dikatakan ada hubungan dengan salah seorang daripada pasangan suami isteri yang mengalami keretakan rumah tangga tersebut.

Namun, dalam kes pelakon jelita, Ayu Raudah yang melontarkan kenyataan itu kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran program-program Astro Warna di Cathay Cineplex, The Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, ia ternyata agak unik.

Dia sebelum ini didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak - suami kepada aktres Rita Rudaini.

Sedangkan pada masa yang sama, Ayu ketika itu serius menjalinkan percintaan dengan adik kembar Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak.

Sebenarnya, Ayu bukan dituduh sebagai perampas suami Rita, tetapi gosip sebelum ini bertiup kencang mendakwa Ayu menjadi penyebar fitnah tentang rumah tangga Aidil dan Rita.

Malah, sebuah akhbar sebelum ini pernah melaporkan kenyataan yang agak 'menggegarkan' daripada Rita yang berbunyi: "Saya tidak pernah mengenalinya secara rapat. Saya hanya bertemunya hanya sekali, ketika Ayu (Raudah) menjadi pelakon tambahan dalam drama Rafflesia.

"Itupun bekas kekasihnya, Pekin yang memperkenalkannya. Saya tidak tahu apa yang menyebabkannya cemburu, sakit hati dan sanggup menyebarkan fitnah. Kalau pasal saya ada hubungan dengan bakal suaminya, Mohd Zaquan Adha, itu cerita lama."

Tidak mahu memanjangkan sengketa mulut antaranya dengan bakal kakak iparnya itu, Ayu enggan memberi sebarang komen mengenai Rita kerana bimbang akan disalah erti oleh pihak yang lain.

"Kalau boleh saya memang tidak mahu dan akan elak untuk memberi sebarang komen mengenainya. Saya tidak mahu apa yang dinyatakan nanti akan disalahertikan oleh pihak lain," ujarnya.

Pada majlis yang sama Ayu juga memberitahu, dia sah menjadi tunangan Zaquan pada 17 Oktober yang lalu.

Bagaimanapun, kisah yang kurang menarik didengar adalah tindakan Ayu yang dikatakan telah cuba merahsiakan majlis pertunangannya daripada pengetahuan ramai. Namun, pelakon berkenaan mempunyai jawapannya sendiri mengenai perkara tersebut.

"Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kepada semua peminat tentang majlis pertunangan saya yang dilangsungkan pada bulan lalu. Terus terang ingin saya nyatakan memang tiada niat langsung untuk merahsiakannya.

"Semuanya terjadi hanyalah secara kebetulan. Ketika itu keluarga Zaquan hanya datang untuk merisik dan setelah perbincangan dibuat, kedua-dua belah pihak bersetuju agar kami berdua terus bertunang pada hari tersebut," ujar pelakon yang sudah membintangi puluhan drama tempatan itu.

Dengan kenyataan yang dibuat, dia sangat berharap agar segala persoalan yang pernah ditimbulkan sebelum ini telah terjawab dengan jawapan yang diberikannya itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan majlis perkahwinannya setakat ini, Ayu memberitahu bahawa kesemuanya berjalan dengan lancar. Ujarnya, dia berasa lega kerana segala persiapan banyak diuruskan oleh kakaknya sendiri.

Mengenai tarikh pernikahannya pula, ujar Ayu, pada asalnya dia dan Zaquan telah merancang untuk melangsungkannya pada tanggal 1 Januari 2011. Namun atas sebab-sebab tertentu, akhirnya mereka telah mencapai kata sepakat untuk memilih tarikh pernikahan pada 21 Januari tahun depan dan dipersetujui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

"Majlis pernikahan akan diadakan di kampung halaman saya di Alor Setar dan majlis persandingan pula akan berlangsung pada malam hari pernikahan. Majlis di pihak Zaquan pula akan berlangsung seminggu selepas itu di Seremban.

"Malah, baru-baru ini juga saya mendapat berita yang cukup menggembirakan apabila ada beberapa pihak yang sudi untuk menaja persiapan perkahwinan saya nanti," ujarnya.

Menyentuh mengenai persediaan untuk menjadi seorang isteri pula, ketika ini Ayu sedang cuba untuk belajar memasak terutamanya lauk-pauk yang menjadi kegemaran Zaquan.

Menurutnya lagi, Zaquan adalah jenis yang lebih suka makan di rumah berbanding di luar. Malah, dia turut mendedahkan bahawa tempoyak ikan patin dan ayam adalah lauk kegemaran bakal suaminya itu.

Berhenti berlakon

Jika sebelum ini dramatis popular, Rozita Che Wan iaitu kakak kepada Ayu telah membuat keputusan untuk menamatkan karier seninya pada tahun hadapan, tentu ramai yang ingin tahu adakah Ayu akan mengambil keputusan yang sama.

Meskipun sudah bergelar isteri, Ayu menjelaskan bahawa tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bersara daripada dunia lakonan dan mengikut jejak langkah kakaknya itu.

"Itu semua terpulang kepada keizinan suami saya nanti. Kalau boleh, saya memang nak terus menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana itu merupakan minat dan punca pendapatan saya.

"Namun kalau suami sudah tidak benarkan saya berlakon lagi, saya akan akur dengan permintaannya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menderhaka kepada suami saya nanti," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Ayu lagi, setakat ini bakal suaminya itu tidak pernah menghalang pembabitannya sebagai anak seni.

Ujarnya, dia berasa gembira kerana Zaquan memang sentiasa menghormati kerjayanya sebagai seorang pelakon. Maka, sebab itu tidak pernah terniat di hatinya untuk berhenti berlakon dan percaya kariernya dalam lakonan masih lagi panjang.

"Cuma selepas berkahwin nanti, saya cuba untuk kurangkan akiviti lakonan bagi memberi lebih perhatian kepada menguruskan rumah tangga. Mungkin saya akan selektif dalam memilih tawaran lakonan yang diberikan terutama yang tidak memerlukan saya berada begitu terlalu lama di lokasi.

"Tindakan ini dilakukan kerana saya menyedari tanggungjawab sebagai seorang isteri. Biarpun suami tidak kisah, namun kami perlu luangkan masa lebih banyak bersama," ungkapnya.

Baginya, status sebagai isteri tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Menurutnya lagi, hanya jika keadaan benar-benar memaksa untuk dia berhenti, barulah dia akan berbuat demikian.

Pekin Doakan Kebahagiaan Ayu Raudhah


KUALA LUMPUR: Pelakon Pekin Ibrahim, gembira berikutan bekas kekasihnya, Ayu Raudhah bakal melangsungkan pernikahan dengan pemain bola sepak negara, Aquan Adha pada Januari ini.

Beritahu Pekin, dia mendoakan kebahagian Ayu dan berharap agar perkahwinan mereka nanti kekal hingga akhir hayat.

"Mungkin sudah sampai jodohnya untuk berkahwin, saya doakan yang terbaik buatnya.

"Walaupun kami putus, masing-masing masih lagi bertanya khabar seperti biasa," kata Pekin yang ditemui pada tayangan filem Hantu kak Limah Balik Rumah (HKLBR), di sini, Isnin.

Tegas Pekin, kehilangannya seketika daripada industri seni bukan kerana dia melarikan diri selepas putus cinta dengan Ayu pada tahun lalu, sebaliknya sibuk dengan pelajarannya di Institut Seni Indonesia (ISI), Jogjakarta.

"Tidaklah, mana ada. Saya yang minta putus, buat apa saya nak lari. Sebenarnya saya sibuk dengan pengajian saya di Jogjakarta dan baru saja tamat pengajian pada Ogos lalu.

"Banyak perkara yang saya belajar disana baik dari segi pembelajaran serta masyarakat.

"Saya ada mengambil sedikit pengalaman dengan menghasilkan beberapa filem pendek di sana," kata graduan Diploma Dalam Seni Persembahan itu.

"Tapi, tidak bermakna dengan penghasilan filem pendek di sana, saya akan mula mencuba nasib di Indonesia, tidak. Ia sekadar pengalaman. Saya lebih seronok hidup dan bekerja di negara sendiri," ujar lelaki berusia 29 tahun itu yang masih belum bertemu pengganti Ayu lagi.

Sementara itu, Pekin gembira kerana berjaya melakonkan watak Musalman dalam HKLBR walaupun babak yang memerlukannya sedikit sahaja.

"Sebenarnya saya tidak puas hati dengan lakonan saya itu. tapi bila pengarahnya, Mamat Khalid kata, lakonan itu berjaya, saya percayakannya.

"Ini kerana, Mamat memiliki sudut pandangan yang yang tersendiri dalam menghasilkan sesebuah filem tersebut," katanya lagi.

Eira Syazira-Azad Jasmin Enggan Heboh Hubungan Cinta


PETALING JAYA: Pasangan artis Eira Syazira dan Azad Jasmin pernah mengaku tentang hubungan cinta mereka baru-baru ini.

Namun, cukuplah sekali pengakuan tersebut dilakukan. Bagi mereka, selebihnya tidak perlulah terlalu dihebahkan kepada umum.

“Setakat ini, kami tidak menafikan tentang hubungan kami tapi rasanya tidak perlulah diceritakan lebih lanjut tentang sejauh mana.

“Ini kerana kami mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada hubungan cinta kawan-kawan artis lain. Biarlah kami simpan cerita peribadi ini sendiri. Apabila tiba masanya, kami akan terangkan kepada semua,” kata Eira Syazira atau mesra disapa Eira kepada mStar Online.

Apa yang lebih bagi pasangan ini, menghebahkan tentang kerjaya lebih penting berbanding cinta yang belum menemui noktahnya.

Lebih-lebih lagi, masing-masing merasakan masih baru menempa nama dalam industri hiburan.

Biarpun mereka cuba mengunci mulut tentang cinta, tetapi pasangan ini terpaksa merungkai tentang kisah cinta mereka dalam drama terbaru berjudul Anak Mami Mek Ani.

Drama 13 episod itu disiarkan di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Selasa, 9 malam mulai 30 November 2010.

Anak Mami Mek Ani mengisahkan tentang tragedi cinta seorang pemuda iaitu Rauf, keturunan Anak Mami dengan Ani iaitu seorang anak jati Kelantan.

Rauf perlu memenuhi permintaan ibunya, Mami Zee untuk berkahwin dengan Anak Mami sejati jika dia berhasrat untuk mewarisi harta peninggalan arwah ayahnya.

Malangnya dia mempunyai alahan terhadap wanita cantik dan kemunculan Ani telah meleraikan masalah alahannya namun masalah lain timbul kerana Ani bukan Anak Mami sejati.

“Drama Anak Mami Mek Ani ini bukan merupakan drama pertama kami menjadi pasangan kekasih kerana sebelum itu kami pernah berlakon dalam drama Tanya Sama Hati.

“Keserasian untuk melakonkan watak ini sudah ada cuma saya kurang melakonkan genre komedi. Jadi, Azad banyak bantu saya memandangkan dia memang pak lawak. Kami banyak berbincang dan berkongsi idea antara satu sama lain untuk menghidupkan komedi dalam cerita ini,” cerita Eira.

Tambahnya: “Menariknya, dalam cerita ini saya perlu bercakap dalam loghat Kelantan manakala Azad dalam loghat Utara. Jadi pertuturan kami itu sedikit sebanyak menimbulkan suasana komedi.”

Selain berlakon sama-sama, pasangan ini turut bekerja di bawah satu produksi muzik, Family Group Music (FMG). Syarikat tersebut pernah menerbitkan lagu Adam Hamid, Zaiton Sameon dan Dayangku Intan.

Eira bakal muncul dengan album solo pada Januari depan dengan memuatkan lagu-lagu seperti Dihati Ini, Sememangnya, Sisi Duka dan Nour El Ain.

'Rokok Memantapkan Vokal Saya' - Fiq


PETALING JAYA: Pengakuan penyanyi Fiq tentang tabiat merokoknya mungkin kedengaran pelik tetapi anak jati Sabah itu percaya tabiat tersebut banyak membantu dalam memantapkan lagi vokalnya.

Ujar juara program realiti Mentor musim pertama itu dalam satu pertemuan bersama mStar Online baru-baru ini, sejak mula merokok setahun yang lalu dia dapat melihat kesan positif tabiat itu pada perubahan vokalnya.

"Saya baru saja merokok. Sebelum bergelar penyanyi saya tidak merokok dan tabiat ini bermula apabila saya selalu berasa bosan ketika menunggu waktu untuk rakaman lagu dan pertunjukkan.

"Bagaimanapun tabiat ini berlaku bukan kerana saya mengalami kejutan budaya atau terikut-ikut orang lain. Ia kehendak diri sendiri.

"Sejak mula merokok setahun yang lalu, saya mula mendapati tabiat ini sebenarnya banyak memberikan kesan positif pada suara saya," katanya.

Sambil tidak menyangkal tabiat itu tidak baik untuk kesihatan, Fiq bagaimanapun menganggap tabiat tersebut banyak membantunya dalam memantapkan vokal sebagai penyanyi rock.

"Saya tahu tabiat merokok membahayakan kesihatan tetapi sejak mula merokok saya dapati ia banyak membantu dalam memantapkan vokal. Vokal saya bertambah kasar, besar dan serak berbanding sebelum merokok dulu.

"Bagi saya, perubahan ini adalah sesuatu yang baik dan bersesuaian dengan genre muzik yang diperjuangkan iaitu rock. Jika sebelum ini, saya mudah hilang suara dan sakit tekak selepas menyanyi tetapi yang peliknya sejak mula merokok keadaan itu jarang berlaku pula," katanya yang popular menerusi lagu Tiga Malam Tanpa Bintang.

ABP13: Datuk Siti NurhalizaTarik Diri


PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza (gambar) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam Anugerah Bintang Popular ke-13 (ABP13)tahun depan.

Menurut Siti, keputusan itu dibuat selepas memenangi anugerah Bintang Paling Popular pada tahun lalu.

Malah Siti ingin menjadi seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik diri ketika berada di kemuncak kejayaan.

"Setakat ini saya sudah berjumpa pihak pengurusan ABP untuk menjelaskan tentang penarikan diri ini dan mereka menerimanya dengan baik. Saya juga telah memberitahu peminat-peminat dan mereka menyokong keputusan saya itu.

"Apa yang penting, saya bersyukur kerana sepanjang 12 tahun ABP diadakan mereka (peminat) sentiasa memberi sokongan. Keputusan ini juga tiada kaitan dengan masalah tidak puas hati terhadap pihak pengurusan.

"Cukuplah sampai di sini. Keputusan muktamad ini juga saya inspirasikan daripada Tun Mahathir sendiri dan saya percaya orang akan ingat kita sampai bila-bila," katanya yang ditemui di sidang akhbar Anugerah Bintang Popular, di sini, semalam.

Tambah Siti, adalah menjadi impiannya untuk menjadi penonton ABP, menyokong para penggiat seni lain yang bertanding.

"Saya tahu dan sedar saya tidak akan berada di atas selamanya. Satu hari nanti, ada orang yang akan menggantikan saya," ujarnya.

Mesra Yuna, Qi


TEMPOH perkenalan antara pelantun lagu Dan Sebenarnya, Yuna dan aktor utama drama bersiri popular Blogger Boy, Qushairi Razali atau Qi, baru menjangkau sebulan.

Namun, bibit-bibit kemesraan seperti pasangan bercinta tidak dapat disembunyikan lagi. Semua itu dapat disaksikan ketika mereka menghadiri majlis Shout! Awards yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lalu.

Bukan sahaja mereka memakai pakaian yang mempunyai padanan rona warna yang sama iaitu kelabu, bahkan setiap kali nama Yuna diumumkan sebagai pemenang dan memerlukan dia berjalan ke atas pentas, Yuna tanpa segan meminta Qi memegang seketika tas tangannya.

Apabila diminta penjelasan mengenai status hubungannya dengan Qi, Yuna yang dihubungi Kosmo! semalam dalam tawa tidak menafikan Qi kini merupakan lelaki yang paling rapat dengan dirinya, namun, dia enggan menggunakan perkataan bercinta sebagai tafsiran hubungannya itu.

“Bercinta itu satu perkataan yang agak kuat sedangkan hubungan kami baru dalam peringkat awal untuk kenal antara satu sama lain.

“Buat masa ini saya tidak nafikan kami memang rapat, tetapi untuk mengklasifikasikan kami sebagai pasangan yang bercinta rasanya itu terlalu awal,” ucap Yuna penuh jujur.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai memberitahu, perkenalan antara mereka terjadi apabila masing-masing terlibat dalam program terbitan TV9, Kawanku Bintang Coca-Cola.

Hubungan mereka terbina selepas Qi berpisah dengan pelakon dan pengacara, Julie Woon yang pernah bergandingan dengan Qi menerusi drama bersiri, Blogger Boy.

“Dalam program Kawanku Bintang, Qi bertindak sebagai pengacara dan saya pula sebagai juri bersama beberapa teman artis yang lain. Perkenalan kami terjalin selepas Qi berpisah dengan Julie, jadi tidak ada sebarang isu di situ,” jelas Yuna.

Pemenang Ultimate Shout! 2010 itu juga tidak menafikan ibu bapanya telah berkenalan dengan Qi dan dalam masa yang sama menegaskan hubungan mereka masih terlalu jauh untuk mencecah ke jenjang pelamin.

“Saya tidak nafikan ibu bapa saya kenal dengan Qi kerana mereka selalu berada bersama saya. Jadi, tidak secara langsung mereka kenal semua kawan saya termasuk Qi.

“Sebenarnya, siapa sahaja kawan saya, saya akan bawa jumpa ibu dan bapa saya kerana mereka ibu bapa yang berfikiran terbuka. Boleh dikatakan kawan-kawan saya merupakan kawan-kawan ibu bapa saya juga,” kata gadis berasal dari Subang, Selangor itu lagi.

Tarikan Qi terhadap Yuna

Tanpa berkias, terus diajukan soalan, apakah yang menarik Yuna untuk mendampingi Qi. Kalau dilihat dengan teliti mungkin muzik yang menyatukan mereka sementelah latar belakang Qi yang merupakan bekas pemain drum band popular, OAG.

Jawab Yuna penuh sopan: “Saya suka dia sebab dia baik hati juga seorang lelaki yang baik. Dia seorang yang tenang serta menghormati orang di sekelilingnya. Seronoklah berkawan dengan dia.”

Jelas sekali, jawapan tulus Yuna itu sudah cukup untuk membukti betapa istimewanya Qi di hati Yuna.

Saat ditanya, tidak bimbangkah dia menjalin cinta dengan Qi, seorang lelaki yang berstatus selebriti sepertinya. Terdiam seketika, lalu Yuna menghamburkan kerisauan yang terbuku di hatinya.

“Siapa kata saya tidak bimbang, memang saya bimbang sebab cabarannya lebih besar. Orang pula akan perhatikan segala gerak-geri saya.

“Dulu semasa saya sering membuat persembahan bersama Hanafi daripada band Estranged, orang kata saya bercinta dengan dia, sedangkan kami hanya berkawan baik,” ujar gadis berusia 23 tahun itu tentang gosip cinta yang pernah melandanya suatu ketika dulu.

Kebimbangan Yuna itu juga menyebabkan dia enggan mengembar-gemburkan kisah peribadinya dan jika boleh mahu disoal hanya tentang kerjayanya sahaja. Katanya dia tidak mahu lari daripada landasan yang telah dirancangnya.

“Saya takut orang akan hilang fokus terhadap muzik saya dan lebih mahu ambil tahu tentang kisah peribadi.

“Sebenarnya cerita peribadi tidak penting dan saya lebih suka kalau orang tanya tentang kerjaya saya.

“Buat masa sekarang, Qi pun sibuk dengan kerja dia, begitu juga saya.

“Masing-masing mahu stabilkan kerjaya dulu, baru kami boleh bercerita lanjut mengenai kisah peribadi,” tutur Yuna yang mengakui dia seorang fokus dan gila terhadap kerjanya.

Serasi, rapat

Mahu mendapat kepastian, Kosmo! mendapatkan pula jawapan daripada mulut Qi sendiri.

Dia yang ditemui pada parti usai Shout! Awards 2010 bersikap cukup profesional dan terbuka dalam memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan Yuna.

“Saya dan Yuna mula rapat semenjak kami sama-sama terlibat dalam program Kawanku Bintang Coca-Cola.

Dalam program tersebut, saya pengacara program tersebut. Yuna pula bertindak sebagai juri program,” kata Qi yang pernah mengacara Destinasi Budget.

Qi yang berusia 32 tahun itu juga mengakui bahawa dia sememangnya sudah lama meminati lagu-lagu nyanyian Yuna dan sentiasa menyokong kerjayanya.

“Sekarang masih terlalu awal untuk saya katakan yang hubungan kami sudah sampai ke tahap bercinta.

“Namun, saya juga tidak menafikan bahawa hubungan kami buat masa ini memang rapat. Malah, terdapat keserasian dalam perhubungan kami,” tambahnya yang mula dikenali dengan program Field Trip USA! terbitan 8TV.

Pedihnya masih terasa-Almy Nadia


Rasa terkilan belum terubat buatkan Almy Nadia berubah angin

BARU hendak bernafas, Almy Nadia sudah disergah dengan tuduhan kurang menjaga disiplin apabila kelibatnya tidak kelihatan dalam promosi sebuah filem hingga membuatkan pelakon muda itu serik untuk menjayakan produksi layar perak, sebaliknya lebih selesa membintangi drama.

Pada hari kejadian saya berada di Melaka menjayakan sebuah telefilem yang persetujui sejak awal tahun, selepas melihat kerja itu tidak mengganggu jadual promosi filem. Pasal filem pula, saya sebenarnya tidak apa-apa masalah pun. Cuma apabila sudah beberapa kali promosi ditunda, akhirnya ia bertembung dengan jadual penggambaran saya.
Bukan saya tidak bertanya bila promosi hendak dilakukan tetapi mereka tidak memberi jawapan. Selama ini pun saya beri kerjasama, cuma sebagai pelakon sepenuh masa, saya perlu cari makan. Apakah saya perlu menunggu sedangkan mereka sendiri tidak pasti tarikhnya? katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dia Atilia.

Dia Atilia adalah drama terbaru Almy. Menerusi kisah yang mengambil inspirasi dari filem Kuch Kuch Ho Ta Hai (KKHTH), Almy membawakan watak sebagai isteri Faizal (lakonan Zamarul Hisham) bernama Hani yang mati kemalangan hingga membuatkan suaminya hidup bersama kenangan abadi.

Selain Zamarul Hisham, drama 26 episod yang bakal disiarkan menerusi Astro PRIMA bermula 30 November ini turut membariskan Fasha Sandha sebagai Atilia, Mahmud Ali Basha, Liza Abdullah, Roy Azman, Jasmin Hamid dan Shaharuddin Thamby.
Enggan terus memanjangkan gundah, gadis yang baru mencecah usia 24 tahun itu bersyukur dengan tawaran berlakon yang tidak putus, malah yakin keputusan menyepikan diri seketika di layar perak mempunyai hikmah apabila waktu itu dapat digunakan untuk mempertajamkan skil lakonannya.

Akuinya, biar sudah bertahun bertatih membina nama dengan mencuba segala watak, masih banyak yang perlu dipelajari dan diperhalusi malah sebagai pelakon muda inilah masanya untuk memperbaiki segala kekurangan atau menyerlahkan kebolehan.

Memang saya sudah banyak berlakon filem tetapi mungkin watak yang diterima tidak cukup kuat untuk membuatkan penonton melihat keberkesanannya. Sudah tiba waktunya saya kembali menumpukan semula perhatian terhadap kerja saya dalam drama atau telefilem.

Namun bukan bermakna menerusi filem kita tidak boleh belajar. Cuma apabila terbabit dalam drama bersiri ia menghimpunkan lebih ramai pelakon, termasuk orang lama yang boleh kita minta pendapat manakala tempoh penggambaran pula panjang sekali gus memesrakan setiap tenaga kerja, katanya lagi.

Kembali kepada Dia Atilia, kekasih kepada Fizz Fairuz itu turut berbesar hati apabila bergandingan dengan nama besar termasuk Fasha Sandha menjayakan drama yang menjalani penggambaran awal tahun lalu sekali pun pernah bertebaran desas desus mengatakan hubungan mereka berdua agak tegang disebabkan isu Tizz Zakiah.

Biarlah pihak lelaki buat keputusan

Biarpun ia berlaku selepas penggambaran selesai, sepanjang menjayakan lebih empat telefilem dengan Fasha masing-masing tidak berdepan masalah malah masih boleh bertegur sapa apabila bertemu di luar atau di set penggambaran.

Biarlah kita tutup buku lama. Setakat ini pun saya tiada masalah dengan Fasha.
Di set, dia jenis yang komited dengan kerjanya dan tidak mengganggu orang lain. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami seperti teman lain, tetap berborak, katanya sambil tersenyum manis.

Begitu pun, tatkala menyentuh soalan lazim - hubungan dengan si jantung hati -, gadis bertubuh langsing itu agak keberatan membongkar kisah percintaan yang dirasakan terlalu heboh diperkatakan ramai sedangkan hala tuju mereka masih samar.

Lima tahun menyulam cinta adalah tempoh yang panjang untuk mengenali sisi sang kekasih namun jodoh belum kunjung tiba tetapi akui Almy, hubungan mereka masih kukuh walau pancaroba datang silih berganti dan tangisan ada kalanya menjadi peneman setia.

Tidak manis jika gadis yang membicarakan soal kahwin. Saya tahu Fizz ada menyatakan sudah sedia bergelar suami tetapi di pihak saya, setakat ini belum ada yang datang merisik atau menghantar cincin dan jika masanya tiba nanti, akan saya kongsi berita gembira itu dengan semua, ujarnya penuh teka teki.

Tanpa berselindung, Almy mengakui dirinya sudah puas berendam air mata dan makan hati dengan seribu macam gelora yang menjengah namun selagi mampu, mereka berusaha mengukuhkan hubungan berlandaskan kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan.

Memang ada orang ketiga, keempat tetapi selagi kami yakin terhadap hubungan ini, segala yang hadir mampu diusir cuma biarlah kami mengukuhkan nama dulu kerana saya masih baru bertatih manakala Fizz juga perlu bekerja keras tambahan pula masing-masing punya tanggungjawab terhadap keluarga, ulasnya ringkas.

Biar episod berkenaan sudah beberapa bulan berlalu, pedihnya masih terasa sampai kini apabila dirinya dicop dengan pelbagai gelaran apatah lagi sebelum itu beberapa kali jadual promosi filem terbabit ditunda, dengan tarikh terakhir yang sukar dipenuhi kerana mempunyai komitmen lain.

Kes Cerai Zakiah Anas: Jawatan Kuasa Pendamai Diberi 3 Bulan


PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, memberikan tempoh tiga bulan kepada Jawatan Kuasa Pendamai yang dilantik dalam kes perceraian personaliti TV3, Zakiah Anas (gambar) dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taid untuk meneruskan perbincangan.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk memberikan tempoh masa baru itu memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan laporan pelaksanaan seperti yang telah dibuat oleh jawatan kuasa terbabit sebelum ini.

Ini kerana, perbincangan yang diadakan sebanyak dua kali, iaitu pada 6 ogos dan 23 Oktober lalu tidak dihadiri oleh wakil plaintif, iaitu Zakiah, 43, yang melantik anak saudaranya, Affendi Yusoff.

Mohamad Yusof, 48, diwakili oleh Md Hairi Md Salleh dalam jawatan kuasa tersebut yang dipengerusikan oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Mahkamah telah memberikan masa selama tiga bulan, bagaimanapun masa itu terbuang begitu sahaja dengan kedua—dua pihak tidak bekerjasama untuk melaksanakan jawatan kuasa yang dilantik.

“Sebelum ini, wakil yang dilantik telah menyatakan kesanggupan untuk menjadi wakil, tetapi sekarang sebaliknya yang berlaku.

"Oleh demikian, saya beri tempoh masa lagi untuk kedua-dua pihak meneruskan proses tersebut,” kata Ghazali.

Sehubungan itu, Ghazali menetapkan kes itu ditangguhkan kepada 9 Februari depan untuk mendengar laporan penuh jawatan kuasa terbabit.

Pada prosiding itu, Zakiah yang pernah mengacarakan rancangan berbentuk kepolisan 999 hadir dengan peguam syarienya, Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof yang dinamakan sebagai defendan tidak diwakili peguam.

Zakiah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 17 tahun yang lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14.

Aizat Tak Kisah Gagal Ke Juara Lagu


PETALING JAYA: Walaupun pernah meraih gelaran juara Anugerah Juara Lagu 24 pada tahun lalu, penyanyi Aizat tidak kisah gagal ke peringkat akhir AJL25 kali ini.

Beritahu Aizat, dia tidak mungkin kecewa dengan kegagalannya untuk mara ke AJL25, sebaliknya bekas pelajar Akademi Fantasia 5 itu akan menyaksikan pertandingan tersebut untuk menyokong rakan-rakannya.

"Mungkin terasa sedikit pelik kerana sebelum ini selama dua tahun berturut-turut saya menyertai AJL dan tidak untuk kali ini.

"Apa-apa pun, saya tidak kecewa. Ia merupakan lumrah dan adat bagi sesebuah pertandingan. Ada masanya kita di atas, dan ada masanya kita di bawah.

"Jika tiada aral, saya tetap akan ke AJL25 untuk menyokong rakan-rakan seperjuangan saya," katanya selepas ditemui ketika dia menghadiri sesi latihan bersama peserta-peserta Kamilah Bintang, di sini, Selasa.

Sementara itu, Aizat mengeluarkan pandangannya bahawa dia gembira dengan peredaran industri muzik masa kini kerana ramai penyanyi muda memiliki bakat besar.

Katanya lagi, berdasarkan pemilihan AJL25 yang didominasikan oleh bakat-bakat muda seperti Yuna, Hujan, Bunkface dan Faizal Tahir, dia percaya, golongan seperti itu bakal menjadi pelapis di masa akan datang.

"Rasanya, muzik kita kini lebih seimbang. Seronok pula bila masing-masing tidak kira bakat baru atau lama bertungkus-lumus menghasilkan karya muzik yang hebat.

"Ia juga memberikan semangat buat penggiat seni muzik untuk menjadi yang terbaik. Bagi saya, ia sebuah persaingan yang sangat positif," ujarnya.

Bicara Permohonan Isteri Joey Sah Lafaz Cerai Januari Depan


KAJANG: Permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh isteri penyanyi dan pelakon, Joey akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 20 Januari depan.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Amli Embong yang mewakili wanita tersebut, Noraini Mohamad Nasir tidak dapat menghadiri prosiding itu pada Selasa, kerana masalah kesihatan.

Perihal kesihatan Amli dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam syarie yang mewakili Joey, Fakhrul Azman Abu Hassan pada prosiding sebutan kes itu.

Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 37, dan Noraini, 44, tidak menghadiri prosiding tersebut.

Noraini memfailkan permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa telah dilafazkan oleh Joey di luar mahkamah pada 4 Jun lalu.

Lafaz itu didakwa diberitahu oleh seorang kawan Joey, yang pernah menghasilkan album Beradu Suratan.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada 15 Oktober lalu, iaitu kira-kira seminggu selepas media melaporkan hubungan baik antara Joey dan pelakon Norwati Sadali atau Watie, bekas anggota kumpulan Elite.

Joey dan Noraini berkahwin pada 4 Mei 2005 dan mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, empat tahun.

Pada sebutan kes 20 Oktober lalu, Joey yang juga vokalis kumpulan Exsits menafikan dakwaan Noraini bahawa dia ada rujuk kembali empat hari selepas didakwa melafazkan cerai.

Dia juga menafikan dakwaan bahawa telah membuat pengakuan hubungannya dengan seorang pelakon wanita yang dikatakan rapat selepas bertemu di lokasi penggambaran sebuah drama bersiri.

Hanya teman biasa-Diana dan Syamsul


Tiada pihak perlu cemburu, Diana dan Syamsul bersikap profesional demi kerjaya

SEBELUM menelusuri baris demi baris ayat yang disusun dalam artikel ini, ingin penulis ingatkan sesi fotografi ini diadakan bukan dengan niat untuk melukakan hati sesiapa, ataupun cuba untuk mengungkit kisah lama.

Sebaliknya, ia dilakukan atas dasar hebahan atau memaklumkan kepada peminat dua artis terkenal ini, mereka bakal terbabit dalam program jualan amal kek coklat yang akan dianjurkan sedikit masa lagi, serta untuk membuktikan antara Diana Danielle dan Syamsul Yusof sebenarnya tidak ada persengketaan, sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.

Sepanjang di lokasi penggambaran yang turut disertai dua bakat baru sedang meningkat naik iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nureina Azman atau Eina, Syamsul dan Diana kelihatan cukup mesra dan saling usik mengusik antara satu sama lain, seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini. Walaupun kisah perpisahan mereka pernah menjadi tajuk utama semua akhbar tempatan, namun baik Diana mahupun Syamsul, masing-masing sudah melupakan episod gelap itu.

Hampir dua tahun peristiwa itu berlaku dan saya juga sudah memadamkannya terus dari ingatan. Apabila Bill Bora (pegawai publisiti acara amal terbabit) memberitahu saya akan bekerjasama dengan Diana untuk projek amal ini, saya tidak terkejut pun kerana sebelum ini saya sudah banyak kali bertemunya dalam mana-mana acara hiburan. Lagipun dalam hal ini, saya lebih senang bersikap profesional.

Saya tidak pernah mencampuradukkan antara soal kerjaya dan juga peribadi. Apapun, kalau dalam persahabatan, saya selalu ikhlas dan saya tak pernah ambil pusing persepsi orang lain, kata Syamsul meluahkan pandangan.

Anak kepada pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam ini memang seorang yang berpegang pada janji. Walaupun mengetahui mungkin ada pihak yang akan terasa apabila melihat dia bergambar bersama dengan Diana, namun atas nama kerja, dia tak kisah untuk melakukannya.
Saya tak kisah untuk bergambar dengan Diana, cuma saya hormati dirinya sebagai kekasih Farid Kamil. Apa-apa pun, awak (penulis) kena minta kebenaran dari Diana sendiri, kata pemenang anugerah Pengarah Terbaik sewaktu Festival Filem Malaysia ke-23 sambil tersenyum.

Berubah seketika muka Diana apabila diminta untuk bergambar berdua bersama Syamsul. Dalam keadaan serba-salah, Diana dengan penuh hormat meminta jasa baik untuk tidak merakamkan gambar mereka berdua, bersama. Entah apakah alasannya, tidak pula aktres jelita ini suarakan. Apakah tindakannya itu ada kena mengena dengan gosip kononnya arahan itu datang daripada buah hati pengarang jantung Diana?

Eh! Bukanlah. Itu cuma gurauan Syamsul saja. Farid tidak boleh kongkong saya. Sebenarnya, saya tak mahu memanjangkan lagi kisah yang pernah berlaku sebelum ini dan juga tidak mahu perkara ini menjadi fokus utama.

Tapi, itu bukan bermakna saya tidak boleh bekerjasama dengan Syamsul. Kalau betul kami bergaduh, tentunya situasi seperti sekarang ini tidak akan berlaku. Awak boleh tengok sendiri kan?, kata pelakon Magika ini sekali gus menepis dakwaan kononnya dia tidak selesa digandingkan dengan Syamsul selepas episod putus cinta dulu.

Baru saja selesai menjalani penggambaran filem Hanyut, Diana kini sudah pun disambar oleh pengarah Osman Ali untuk membintangi filem terbaru.

Dalam filem ini, saya akan bergandingan dengan Remy Ishak dan juga Bront Palarae. Konsep filem ini adalah aksi, sama seperti filem Anak Halal arahannya sebelum ini. Apa yang menyeronokkan saya, akhirnya impian untuk berlakon di bawah arahan Osman tercapai juga. Dan selepas ini, saya harap impian untuk berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia juga akan menjadi kenyataan, kata Diana yang bakal muncul dengan sebuah single tidak lama lagi.

Pasang strategi untuk lariskan kek coklat

SABAN tahun, pusat membeli-belah Great Eastern Mall tidak pernah lupa untuk mengadakan majlis amal jualan kek bagi membantu kanak-kanak yang malang dan melarat. Untuk tahun ini pula, acara yang sama bakal diadakan pada 4 Disember depan di lokasi yang serupa.

Diana, Syamsul, Sharnaaz dan Eina pula akan mewakili Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur dan mereka akan menjual enam biji kek yang dinamakan Kek Joy of Chocolate Mud Cake.

Memandangkan 15 hotel bertaraf lima bintang serta lebih 30 artis popular terbabit dalam acara amal itu, tentunya masing-masing akan bersaing sesama sendiri, bagi memastikan kek mereka akan laku terlebih dulu dibeli pelanggan. Bukan mudah sebenarnya untuk menarik perhatian pelanggan. Hanya jurujual yang kreatif dan tidak malu saja akan mudah menjual kek mereka dalam masa yang singkat.

Sasaran saya adalah untuk mendapatkan tempat yang strategik untuk meletakkan meja jualan. Kali ini saya akan pastikan meja jualan saya terletak di tengah-tengah ruang supaya pelanggan yang datang akan mudah nampak dan terus membelinya. Selain itu, kena juga yakinkan pelanggan bahawa kek yang kami jual lebih sedap daripada kek yang lain, kata Diana sambil tertawa.

Bagi Syamsul pula, dia akan berusaha untuk memastikan kek jualannya dapat dijual lebih awal dari yang dijangkakan.

Ini adalah kali pertama saya terbabit dalam program amal seperti ini. Malah, saya rasa tak sabar pula nak jual kek. Mungkin saya akan buat konsep seperti melelong barang iaitu menjerit supaya pelanggan sedar dan datang ke meja kami.

Strategi lain, selain menunggu pelanggan datang ke meja, mungkin saya menyusul pelanggan di pintu masuk dan ajak mereka mengunjungi meja kami, katanya yang juga seorang penggemar kek coklat.

Fizz cabar diri sendiri


SEKIAN lama dia mengimpikan tawaran untuk beraksi di pentas teater. Kata anak muda ini, sudah sembilan tahun dia melayari bahtera seni, drama dan filem adalah makanan rujinya dan kini tiba masanya, dia beralih untuk mencuba santapan lain.

Lalu, apabila ditawarkan berlakon teater Natrah musim kedua oleh sutradara handalan, Erma Fatima, Fizz Fairuz menganggapnya sebagai satu peluang terbaik bagi meluaskan lagi skop lakonannya.

Malah, apabila menerima tawaran itu, Fizz menganggapnya sebagai satu cabaran untuk dirinya sendiri.

Watak yang diberikan kepadanya bukan calang-calang iaitu Ahmad Ibrahim, seorang tokoh yang cukup terkenal dan memainkan peranan penting sewaktu kes Natrah hangat diperdebatkan ketika itu.

Meskipun wataknya hanya beberapa babak, Fizz tidak menafikan proses lakonan dalam teater ini cukup menguji kesabaran dan kredibilitinya sebagai seorang aktor.

Selepas sembilan tahun selesa di depan seluloid, Fizz sama sekali tidak menyangka teater bukanlah semudah yang disangka.

"Ekspresi emosi, lontaran vokal dan bahasa tubuh merupakan elemen penting dalam menghidupkan watak. Banyak yang saya belajar menerusi teater ini dan berlakon di bawah arahan Erma cukup memuaskan hati saya kerana banyak input yang saya perolehi.

"Ini pun bukan kali pertama saya berlakon di bawah arahan Erma kerana pernah membintangi beberapa buah drama arahannya sebelum ini. Namun, berlakon teater di bawah arahannya memberikan pengalaman baru buat saya," ujar Fizz ketika ditemui pada sesi latihan teater itu di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Bagi jejaka berusia 31 tahun ini, membawakan watak Ahmad Ibrahim memerlukannya menghayati perjuangan dan semangat tokoh itu yang mahu memastikan Natrah mendapatkan semula hak yang sepatutnya menjadi milik wanita kelahiran Belanda itu.

Untuk itu, setiap terma dan fakta yang dilontarkan oleh Ahmad Ibrahim perlu dihayati sedalam-dalamnya oleh Fizz agar lakonannya dapat memberikan impak kepada audiens kelak.

"Semakin lama saya membaca skrip dan menghayati watak Ahmad Ibrahim, barulah saya tahu apa sebenarnya yang mahu dilakukan olehnya ketika kes Natrah itu berlangsung. Saya harus akui memang gementar dan takut kerana watak yang saya bawakan adalah watak yang sebenar.

"Jadi kita tidak boleh terlalu tokok-tambah dan harus mengikut apa yang ditetapkan dalam skrip. Barulah saya tahu bukan mudah sebenarnya berlakon teater kerana ia memerlukan semangat serta disiplin yang tinggi.

"Ia cukup berbeza dengan filem atau drama yang boleh disunting dan diperbetulkan jika kita tidak puas hati dengan persembahan kita.

"Namun, untuk teater, ia adalah secara langsung dan untuk membuatkan penonton tidak berganjak daripada tempat duduk mereka, ia benar-benar satu cabaran," kata pemeran watak Aidil dalam drama bersiri Nur Kasih ini bersungguh.

Sebelum membintangi Natrah, anak kelahiran Raub, Pahang ini pernah ditawarkan untuk berlakon dalam teater Sri Mersing. Namun, kerana salah faham dan komunikasi, maka, peluang Fizz untuk menonjolkan bakatnya tidak kesampaian.

Lalu, apabila Erma memberinya peluang membintangi teater ini, Fizz tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuannya. Malah, dia berterima kasih kepada Erma yang mempercayai bakatnya dan bertoleransi dengan jadual padatnya.

"Kerana itu, kalaulah Erma tetap dengan pendiriannya mahu menarik diri daripada mengarahkan teater Natrah, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan kerana saya berurusan sendiri dengan Erma dalam mengatur jadual saya.

"Saya cukup bimbang kalau pengarah baru yang mengambil alih kerana takut orang itu nanti tidak dapat berkompromi seperti mana Erma. Tetapi, syukurlah, kini Erma sudah kembali bersama produksi Natrah. Itu sudah cukup menggembirakan saya," kata Fizz atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Zainal Abidin ini ceria.

Natrah musim kedua ini masih lagi mengekalkan tiga teraju utamanya iaitu Maya Karin, Remy Ishak dan Umie Aida masing-masing dengan watak Natrah, Mansor Adabi dan Che Aminah.

Hanya Samantha Schubert tidak dapat beraksi kali ini dan watak Adeline Hertogh itu telah digantikan dengan pelakon yang sekian lama menyepi, Susan Lankester.

Untuk kelainan, Natrah musim kedua ini juga menampilkan bintang-bintang popular negara seperti Ziela Jalil, Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Nabila Huda termasuk Luftya dan Sharifah Sofea yang akan memegang watak Natrah pada usia 30 dan 50 tahun.

Natrah yang mendapat sokongan Kumpulan Utusan sebagai media rasmi itu akan dipentaskan di Panggung Sari, IB bermula 25 November ini sehingga 5 Disember.

Debaran Ayu menjelang Januari


HANYA tinggal dua bulan sahaja lagi, dramatis jelita, Ayu Raudhah, 26, akan bertukar statusnya menjadi seorang isteri.

Dan, raja yang berjaya menakluk hatinya memang bukan calang-calang. Sungguh bertuah wanita yang gemar membahasakan dirinya Ayu ini memiliki pemain bola sepak kebangsan, Zaquan Adha Abdul Razak,23. sebagai suaminya.

Sudahlah kacak, popular pula tu. Pastinya Ayu sendiri menjadi mangsa cemburu kaum sejenisnya apabila dapat bersuamikan seorang lelaki yang menjadi igauan wanit

Saat diajukan tentang perasaannya kini, Ayu memang tidak dapat menyembunyikan debaran apabila memikirkan tentang persiapan menjelangnya hari bahagia itu.

Bakal diijabkabulkan pada 21 Januari depan di Alor Setar, Kedah, Ayu memberitahu segala perancangan yang diaturkan semuanya berjalan dengan lancar.

Walaupun mempunyai ahli keluarga yang membantu bagi melancarkan lagi persiapan perkahwinannya, namun, Ayu sendiri tidak dapat mengelak daripada turut serta bagi memastikan segala-galanya adalah sempurna.

"Saya juga bersyukur kerana nampaknya sudah menjadi rezeki saya apabila ada pihak yang mahu menaja perkahwinan saya dari segi pakaian dan juga katering.

"Setakat ini, sudah empat pereka fesyen yang mengesahkan akan menaja busana saya sepanjang majlis perkahwinan saya nanti," katany dalam nada cukup ceria ketika ditemui pada majlis tayangan program baru Astro Warna di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Empat pereka yang akan terlibat dalam perkahwinan Ayu dan Zaquan Adha nanti ialah Qudin, Calvin Thoo, Rizman Ruzaimi dan Man Kajang.

Cuma, katanya, dia masih belum menetapkan rekaan manakah yang akan dipakai mengikut turutan majlisnya.

Tambahnya, pada asalnya dia dan Zaquan Adha memilih tarikh 1 Januari sebagai tarikh pernikahan tetapi kerana abang Ayu telah memilih tarikh itu, terpaksalah Ayu beralah lalu memilih 21 Januari.

"Lagipun tarikh itu jatuh pada hari Jumaat. Jadi memang eloklah kami bernikah pada hari yang penuh keberkatan itu," jelas Ayu sambil memberitahu majlis menyambut menantu akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan seminggu selepas majlis di Alor Setar.

Ayu atau nama sebenarnya, Ayu Raudhah Che Wan dan Zaquan Adha mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang cukup ringkas pada 17 Oktober lalu di Subang Jaya, Selangor selepas lebih setahun menyulam cinta.

Kata Ayu, memang bukan niatnya mahu merahsiakan majlis pertunangannya itu tetapi atas permintaan kedua-dua pihak, semuanya dilangsungkan secara tertutup.

Pada awalnya, memang tidak ada langsung perancangan untuk bertunang pada hari itu. Yang hanya dirancang cuma upacara merisik sahaja.

"Namun, selepas perbincangan antara kedua-dua belah pihak, kami terus ditunangkan," katanya yang merahsiakan wang hantaran yang bakal diterimanya pada hari pernikahannya nanti.

Apa yang boleh dikongsi Ayu hanyalah bilangan hantaran yang bakal diterimanya iaitu tujuh dulang dan dibalas pihak pengantin perempuan sebanyak sembilan dulang.

Ditanya apakah dia benar-benar sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri, ini jawapan pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Nur Kasih dan Dari Mata Arisa ini.

"Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik dan sekarang ini pun saya perlahan-lahan sedang mencuba untuk mempelajari serta mendalami tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Saya juga sedang cuba belajar untuk masak dengan ibu saya kerana bakal suami saya memang suka makan di rumah. Asalkan ada juadah berlaukkan ayam, itu sudah memadai kerana itu memang kegemarannya," ujarnya disulami ketawa manja.

Bakal bergelar adik ipar kepada Aidil Zafuan dan menjadi biras Rita Rudaini, apakah Ayu sudah bersedia untuk berhadapan dengan mereka selepas bergelar isteri nanti.

Sementelah, nama Ayu juga pernah dikaitkan dengan kisah rumah tangga mereka yang semakin hari semakin panas itu.

Dengan penuh diplomasi dan lembut, Ayu menolak untuk mengulas tentang cerita kontroversi itu.

"Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku dan saya tidak mahu berkata apa-apa lagi tentang itu. Bimbang nanti kalau tersalah cakap akan memburukkan lagi keadaan.

"Biarlah hanya saya sahaja yang menjadi subjek dalam temu ramah ini," pintanya penuh berhemah.

Dalam pada itu peminat Ayu dapat menonton lakonannya sebagai Suzy dalam drama bersiri Anak Mami Mek Ani yang akan mula ditayangkan di saluran Astro Warna (saluran 132) bermula 30 November ini.

"Inilah kali pertama saya membawakan watak antagonis yang memang seronok untuk saya lakonkan.

"Maklumlah, sebelum ini, penonton dapat melihat saya membawakan watak yang baik-baik tetapi kali ini saya mencabar diri saya dengan watak seperti ini.

"Suzy seorang perempuan yang mengada-ngada dan dia akan melakukan apa sahaja asalkan dia dapat apa yang dia inginkan," ceritanya tentang watak berkenaan.

Selain Ayu, drama bersiri 13 episod itu turut dibintangi Azad Jasmin, Eira Syazira, Sheila Mambo, Wan Maimunah dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Ayu juga baru sahaja berlepas ke Singapura bagi menjalani penggambaran drama untuk DVD berjudul Empire yang turut dilakonkan oleh Riezman Khuzaimi, Liza Abdullah dan beberapa pelakon Singapura.

Ayu juga bakal membintangi filem terbaru Afdlin Shauki berjudul Untuk 3 Hari dan filem lakonannya, Nur Kasih The Movie pula akan ditayangkan sekitar bulan Mac depan.

Kali terakhir wajah adik kepada aktres Rozita Che Wan ini menghiasi layar lebar adalah menerusi filem 4 Madu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails