Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jamal nafi terima cinta Datin

LIMA tahun hidup menduda tidak menjadi masalah buat Raja Pop, Jamal Abdillah. Kebahagiaan penyanyi berusia 53 tahun itu berpaksikan karier serta dua permata hatinya, Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 6. Itu merupakan alasan dia terus berjalan sambil melewati harinya. Umum mengetahui, Jamal yang sudah melebihi tiga dekad mencatur nasib sebagai anak seni, jarang terpalit gosip cinta. Cuma kebelakangan ini, dia didakwa menjalin hubungan cinta dengan wanita berstatus Datin. Jamal ketika diminta mengulas isu itu secara berseloroh mendakwa dia punya banyak Datin tetapi mereka hanyalah peminatnya. Pada waktu yang sama, dia turut mengaku berkawan rapat dengan sebilangan daripada mereka. Cuma tidaklah terarah hubungan istimewa seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. "Saya lebih selesa hidup solo buat masa ini. Bohong kalau saya kata tiada perasaan hendak bercinta lagi. Kalau ada (teman wanita) sekarang, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa," akui Jamal yang selama ini tidak pernah menyembunyikan cerita peribadinya daripada pengetahuan peminat. Sedar jawapannya itu belum cukup memuaskan hati pihak lain terutama media, Jamal menghuraikan maksud perkahwinan khusus buat dirinya. "Kalau hendak mencari teman wanita dan berkahwin sekarang semata mahu memenuhi keperluan semata-mata, itu makna perkahwinan berlandaskan nafsu. Dalam soal ini, saya belum ada getaran untuk mencintai orang lain sepenuh hati dan mendirikan rumah tangga semula tambahan pula sibuk dengan karier," terang Jamal dalam nada suara cukup matang usai mengharungi tiga episod kehancuran mahligai perkahwinannya. Penyanyi solo legenda ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Basariah Abdul Latiff, Nor Aina Yusuf dan Fatimatuzahra Samad. Jamal berpisah dengan Fatimatuzahra pada Mei 2007. "Saya selalu jumpa anak-anak. Anak sulung dijaga emak tiri saya manakala si bongsu dibesarkan oleh ibunya. Saya lihat kedua-duanya menunjukkan minat terhadap dunia nyanyian. Bayangkan Osama setiap hari buka laman YouTube sebab hendak menyaksikan persembahan saya. "Tahun depan Osama akan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebagai bapa sudah pasti saya mahu melihat anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Seboleh-bolehnya hendak memberi Osama lebih banyak kelas intensif selepas ini," ujar Jamal yang bakal menghiburkan kaum ibu sempena Hari Ibu tidak lama lagi. Enam tahun tinggalkan ibu Bergelar putera kepada Zainon Hassan yang menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1991 akibat kencing manis dan darah tinggi, rupa-rupanya ada cerita yang terselindung di sebaliknya. Maka tidak hairanlah apabila wajah ceria Jamal pada awal bicara tadi segera bertukar suram kala berkongsi momen bersama si ibu. "Hargailah ibu bapa anda ketika mereka masih ada di dunia ini. Jangan jadi seperti saya yang kurang meluangkan masa dengan ibu ketika hayatnya masih ada. "Bayangkanlah, saya tidak menjenguk ibu selama enam tahun kerana sibuk memenuhi undangan nyanyian kerana terlalu ghairah mengejar populariti. "Biarpun lebih 10 tahun berlalu, saya akan terus mengingati jasa dan pengorbanan ibu. Saya juga dapati harta dunia tidak mampu menggantikan kasih suci ibu," tuturnya penuh beremosi. Atas alasan itu, pemilik vokal emas ini berikrar untuk memperlihatkan persembahan yang terbaik sempena Majlis Makan Malam Amal Hari Ibu 2012 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pukul 8 malam pada 6 Mei ini. Selain Jamal, acara yang dianjurkan oleh MSis Events & Services itu turut diserikan dengan penampilan khas Ibnor Riza sebagai penyanyi undangan manakala Ifa Raziah selaku pengacara majlis. Menariknya, sebanyak 15 buah lagu akan didendangkan secara medley yang dipetik daripada album studio pertama Jamal hingga terbaru seperti Nasib Diriku, Cinta Selayang Pandang, Sendiri, Syukur, Cenderawasih, Syurga Di Telapak Kaki Ibu berlatarkan pemuzik iringan di bawah kendalian Belle Fatah. Tiket yang dijual pada harga RM250, RM350 dan RM500. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi talian 019-2957063 atau 019-3844300.

Tasha Shila usung trofi

MINGGU lalu, teman Diva yang jadi 'duta' pusat beli-belah popular dekat Bukit Bintang ada hubungi Diva untuk sampaikan cerita. Nak usik-usik sikit katanya. Maka, teman Diva yang bernama Ashrafina Paviliona Lewis itu pun mulalah berceloteh. "Kisahnya, si Tasha Shila ni dilihat datang ke Pavilion dengan seorang yang berpangkat. Entahlah pangkat Datuk ke, Tan Sri ke... Tapi memang kalau ke situ, dengan lelaki itulah dia akan membeli-belah," ujarnya yang kenal setiap petugas kedai di situ. Jadi apa salahnya? Para petugas butik kat Pavilion pun ramai yang tahu itulah tempat kegemaran Tasha bersantai bersama kenalan dan rakan-rakannya. "Situasinya macam ni. Tasha ke situ untuk bertemu kawan-kawannyaa. Bila berjumpa, tiba-tiba dikeluarkan trofi kemenangan Anugerah Bintang Popular (ABP) 2011 dari dalam begnya untuk ditayang pada kawan-kawan. "Bukan main seronok agaknya usung trofi ke mana-mana. Mungkin tak puas letak di rumah, sanggup pula dibawa dalam beg ke pusat beli-belah. Memang hebat baginya kemenangan tersebut," ujar Ashrafina yang sarkastik tapi yakin Aaron Aziz yang menang besar pada malam itu pun tak usung trofi ke tempat awam macam Tasha. Dimaklumkan juga, sehari sebelum ke majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) 2011, Tasha ada datang ke butik Zenotti dengan lelaki yang sudah berkahwin itu untuk beli kasut. Nasib baik menang anugerah, dapat juga tayang kasut baharu tu agaknya! "Untung sungguh Tasha. Orang kedai memberitahu, bila nak beli barang, 'Datuk' tu mesti ada," kata Ashrafina yang sedih kerana tiada sesiapapun yang menajanya membeli-belah

Marsha Kecewa Dengan Bidang Nyanyian

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh berasa kecewa kerana bidang nyanyian yang paling diminatinya itu kurang menyerlahkan bakat beliau berbanding karier lakonannya. Marsha berkata, sejak keluar daripada program realiti yang disertainya iaitu Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), banyak tawaran berlakon yang diterimanya berbanding karier nyanyian. "Sebenarnya saya sudah putus asa dan seperti tiada harapan lagi untuk saya meneruskan karier di bidang nyanyian walaupun pada mulanya muzik adalah keutamaan. "Pada tahun lalu, album pertama saya yang berjudul “Yang Pertama” kurang mendapat sambutan. Dan memandangkan saya sering menerima tawaran berlakon, saya ambil peluang itu sebagai mengisi masa kosong," katanya. Tambah Marsha yang baru sahaja selesai berlakon filem Dr. K Kahwin Lima terbitan KRU Studios, buat masa ini dia akan meneruskan karier lakonannya dan akan menyanyi berdasarkan tawaran yang diberi oleh penerbit drama atau filem untuk membawakan lagu runut bunyi (OST). Dalam pada itu, Marsha kini turut menceburi bidang baru iaitu sebagai pengacara menerusi program gosip hiburan, “Propaganza”, bersama Reza (AF). Kata Marsha, dia menganggap “Propaganza” memberikan satu kelainan dan cabaran buatnya di mana perlu mengendalikan program itu secara langsung, dia juga perlu menjaga tingkah laku agar dirinya tidak diperkatakan dalam program tersebut. "Bayangkan, sudahlah kita kendalikan program itu, tiba-tiba nama kita pula yang menjadi bahan gosip. "Oleh itu saya perlu menjaga tingkah laku dan tidak pergi ke tempat-tempat yang boleh mengundang kontroversi. Ia salah satu cara untuk mengelak untuk tidak digosipkan," ujarnya. Sementara itu, Marsha bakal berduet bersama penyanyi DJ Dave untuk beberapa lagu pada konsert Journey Through Song, Ingin Bersama DJ Dave yang akan berlangsung pada Jun depan.

Ning Baizura Dibenarkan Timang Anak Selepas Dua Tahun

PETALING JAYA: Penyanyi Ning Baizura, 36, berharap tahun 2012 akan memberi sinar kepadanya dan keluarga selepas dia diberi kebenaran oleh doktor untuk berbadan dua. Ning berkata, sejak dua tahun lalu dia tidak boleh memiliki anak kerana terdapat ketumbuhan pada rahimnya, namun bersyukur kerana impian untuk bergelar seorang ibu sudah tiba. "Alhamdulillah, sudah sampai masanya untuk saya dan suami, (Omar Sharif Christopher Layton Dalton) memiliki anak sendiri walaupun kami sudah ada dua orang anak tiri. "Apa yang terjadi sebelum ini benar-benar menakutkan saya kerana risau jika impian untuk memiliki anak akan punah. Sebab itu saya betul-betul mengikut nasihat doktor agar tidak ada lagi kejadian-kejadian yang tidak diingini.
"Bayangkan saya pernah dimasukkan ke wad kerana mengalami pendarahan yang teruk," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media “Ratu Hatiku Mother's day High-Tea exclusive With Ning Baizura And Band” di Hotel Royale Bintang Damansara, di sini, Jumaat. Tambah Ning, demi mendapatkan cahaya mata sendiri, dia sanggup untuk mengurangkan aktiviti seninya bermula bulan Julai ini manakala Omar pula tidak akan menguruskan syarikat miliknya, HappeNings kerana akan bekerja di sebuah syarikat petroleum. Bagaimanapun, peletakan jawatan Omar dalam syarikat Ning itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan khabar angin yang kononnya mereka sedang melalui pergolakan rumah tangga. "Saya nafikan sekeras-kerasnya tentang gosip tersebut. Kami masih lagi suami isteri dan biasalah kalau ada pergaduhan kecil, tetapi tidaklah sampai ke tahap mahu bercerai. "Kadang-kala saya berasa pelik entah daripada mana sumber itu didapati," ujarnya. Mengenai majlis Hari Ibu itu, ia akan diadakan pada 20 Mei ini di Royale Bintang pukul 3 hingga 7 petang. Majlis yang dianjurkan oleh Xerographix Studio itu akan menyediakan sebanyak 50 buah meja di mana para ibu dapat menikmati hidangan istimewa di samping mengabadikan detik indah bersama Ning. "Rasa seronok pula dapat menjayakan majlis ini kerana inilah pertama kali saya membuat persembahan bersempena dengan Hari Ibu. "Diharap saya dapat berkongsi rahsia dan ilmu daripada ibu-ibu yang akan hadir nanti. Mungkin juga saya akan meminta ibu saya berduet dengan saya," katanya. Penyanyi Maulana dan Azrul (Raja Lawak) akan membuat penampilan istimewa pada majlis itu dan para penonton akan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti iPad2, percutian tiga hari dua malam di tasik Kenyir Resort Taman Negara serta pelbagai cabutan bertuah. Tiket berharga RM180, RM280, RM500 dan VIP Platinum boleh didapati menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Fasha & Jejai Selamat Bergelar Suami Isteri

KUALA LUMPUR: Aktres sensasi Nur Fasha Sandha Hassan, 28, (Fasha) sah bergelar isteri kepada usahawan Rizal Ashram Ramli, 36, (Jejai) di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini, malam Jumaat. Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kandung Fasha iaitu Hassan Umbichi Moideen kira-kira pada pukul 9.45 malam bersaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Sahirman Ahmad. Rizal Ashram melafazkan nikah sebanyak dua kali. Majlis itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada bapa Jejai iaitu bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, ibu kandung Fasha Hatijah Tehman dan bapa tirinya, Mohd Faisal, kaum keluarga, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media. Fasha menerima mas kahwin sebanyak RM8888.88 tetapi enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum. Mengulas mengenai pemilihan jumlah tersebut sebagai mas kahwin, Fasha berkata angka lapan adalah kegemaran suaminya.
"Lapan adalah nombor kegemaran Jejai," katanya. Diusik mengenai jumlah tersebut sehingga memaksa Jejai melakukan akad nikah sebanyak dua kali, lelaki itu mengakui kesukaran menyebut angka berkenaan. "Saya juga terfikir akan kesukaran untuk menyebut angka itu selepas kami menetapkan jumlah mas kahwin. "Namun ketika praktis nikah, saya boleh sebut angka itu dengan lancar," katanya. Fasha menerima tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang berupa beg tangan berjenama Louis Vuitton, senaskhah Al-Quran dan sejadah, sebentuk cincin, coklat, Samsung Galaxy Note, mas kahwin dan tepak sireh. Sebagai balasan, Jejai pula menerima sembilan dulang hantaran iaitu sejadah, tepak sireh, sepasang kasut Salvatore Ferragamo, tali leher dan tali pinggang Louis Vuitton, sebuah buku motivasi, set penjagaan lelaki Dolce & Gabbana, coklat dan sebentuk cincin daripada pengantin perempuan. Pada majlis berkenaan, Fasha tampil anggun mengenakan busana berona putih ungu rekaan Riezman Ruzaini dan dirias juru solek terkenal Saidatul Nisa. Beberapa rakan artis turut menyerikan majlis seperti Maria Farida, Tomok, Didie Alias, Faradhiya, Nor Aliah Lee, Rebecca Nur Al Islam dan Nadia Mustafar.
Majlis diacarakan oleh penyampai radio popular Linda Onn. Pemenang enam kali trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian itu mengenali Jejai sejak tujuh tahun lepas. Hubungan mereka menjadi intim kira-kira empat tahun lalu selepas Jejai bercerai dengan bekas isterinya yang juga pelakon Nora Danish. Ini merupakan perkahwinan pertama buat Fasha dan yang kedua buat Jejai. Hasil perkahwinan Jejai dengan Nora Danish selama dua tahun, mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal Ramli, 3.

Krisdayanti Mengaku Sering Ditinggalkan Raul

JAKARTA: Diva pop Indonesia Krisdayanti (KD) akhirnya mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dia sering berjauhan daripada suami, Raul Lemos. Penyanyi lagu Mencintaimu itu mengakui dia selalu ditinggalkan bersendirian di kediaman mereka di Dili, Timor Leste kerana kesibukan suaminya dengan pelbagai tanggungjawab. “Suami saya bekerja ke sana sini, jadi kami memang berulang-alik di antara Jakarta dan Dili sejak dulu lagi. Kalau dia tidak keluar bekerja bagaimana hendak menanggung kehidupan kami anak-beranak? Raul seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab,” ungkapnya kepada portal detikHOT, baru-baru ini. KD turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah walaupun kerap ditinggalkan Raul atas urusan kerja. Namun, penyanyi ini dikhabarkan akan bertengkar dengan Raul sekiranya terdapat beberapa masalah berkenaan urusan rumah tangga mereka yang tidak diselesaikan. “Itu berita sangat tidak benar,” tegasnya. KD turut menyangkal dakwaan mereka kini dalam proses untuk membeli sebuah rumah di kawasan Pejaten, Jakarta Selatan. “Saya tidak akan berpindah ke mana-mana. Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk membeli rumah. Urusan keluarga adalah tanggungjawab suami saya. Kami masih tinggal di apartmen,” akuinya. Sejak mendirikan rumah tangga dengan usahawan itu pada 20 Mac tahun lalu, pasangan itu menetap di kampung halaman Raul.

Wawa Zainal Jawab Tuduhan Punyai Hubungan Dengan VIP

PETALING JAYA: Pelakon baru Wawa Zainal menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan dirinya sedang menjalin hubungan dengan VIP berstatus ahli politik dari negeri asalnya Sabah. Pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin, 21, ini berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana dia tidak pernah mengenali mana-mana individu berprofil tinggi seperti yang diperkatakan. “Saya tidak pernah keluar dengan mana-mana VIP, apatah lagi untuk menjalin hubungan secara rahsia dengan golongan tersebut. “Perkara ini tidak berasas dan memang tidak berlaku. Saya mengaku ada beberapa VIP cuba mendekati dan mengajak saya keluar sebelum ini tetapi semuanya saya tolak,” katanya ketika dihubungi mStar Online. Pelakon yang dilantik sebagai duta produk pelembap bibir, Lipice ini berkata, menjalinkan hubungan dengan golongan tersebut adalah perkara yang paling ditakutinya. “Saya paling takut untuk terbabit dengan skandal sebegini kerana saya mempunyai matlamat yang besar untuk berjaya sebagai pelakon ketika menceburi bidang seni. “Lagipun, tindak tanduk saya sentiasa dipantau oleh pihak pengurusan, jadi tidak mungkin saya akan buat perkara yang berisiko itu,” katanya. Selain beberapa filem yang menantikan slot tayangan seperti Seram Sejuk, Budak Pailang dan Ajinohmotor, Wawa kini sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem Cahaya Iman dan filem Pada Suatu Cinta Dahulu di samping aktor Shaheizy Sam. “Saya bersyukur dengan perkembangan kerjaya yang semakin meningkat terutamanya pada tahun ini. “Walaupun baru setahun setengah berkecimpung, saya semakin mendapat kepercayaan banyak pihak menerusi pelbagai tawaran lakonan dan baru dilantik duta Lipice untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Joe Flizzow Hanya Anggap Ila Damia Seperti Adik

KUALA LUMPUR: Penyanyi hip hop, Joe Flizzow menegaskan hubungan akrabnya dengan penyanyi bertudung Ila Damia belum sampai ke tahap bercinta sebaliknya menganggap hubungan itu seperti seorang abang dan juga adik. Joe yang ditemui pada pelancaran pertandingan realiti Showdown di KL Life di sini, Khamis, berkata, kedua-dua mereka mula akrab selepas Ila menjadi protegenya dalam program Mentor dua tahun lalu. "Kami tak mungkin menjadi pasangan kekasih kerana hubungan itu sudah seperti abang dan adik. "Walaupun ada yang bercakap-cakap tentang keakraban kami, saya lebih senang tidak bersuara supaya hal ini tidak meleret untuk dijadikan isu. Lagipun kami selesa bekerjasama dalam hal-hal muzik," katanya. Tambah Joe, walaupun kenyataannya itu dianggap klise oleh segelintir pihak, dia tidak kisah tentang hal tersebut namun berjanji tidak akan menyimpan apa-apa rahsia sekiranya memiliki teman wanita. Dalam pada itu, ditanya bilakah dia bakal menamatkan zaman bujang seperti rakan seperjuangannya, Malique (Too Phat) Joe mengakui belum bersedia untuk bergelar suami pada masa terdekat ini.
"Diakui saya masih solo dan belum bersedia untuk berkahwin. Banyak perkara yang saya lakukan sebelum bergelar suami. "Kalau boleh biarlah saya bersedia untuk menjadi suami yang baik buat isteri di samping ayah yang baik buat anak-anak.. "Bayangkan ibu saya telah menetapkan masa selama dua tahun bagi mencari calon yang sesuai untuk dijadikan sebagai teman hidup," selorohnya. Joe memberitahu dia menanam impian mahu membina keluarga bahagia seperti romantiknya hubungan ibu dan ayahnya sejak mereka mula berkahwin sehingga kini. "Sepanjang saya membesar, belum pernah lagi saya melihat ibu dan ayah meninggikan suara sesama sendiri. "Dan mereka merupakan ibu bapa yang terbaik untuk saya. Saya juga inginkan begitu," tuturnya

Haiza Hamil Empat Bulan Selepas Lima Tahun Berkahwin

PETALING JAYA: Selepas lima tahun menanti, penyanyi Haiza amat bersyukur kerana disahkan mengandung yang mana usia kandungannya sudah mencecah empat bulan. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, berkata, dia tidak mengalami sebarang alahan atau gangguan terhadap kandungannya selepas disahkan hamil. “Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi sebarang gangguan atau alahan yang serius. Boleh dikatakan, semuanya berjalan dengan lancar dan baik. “Malah, saya sendiri pun berasa pelik apabila berbadan dua kerana pergerakan dan kesihatan saya berada pada tahap baik dan langsung tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Khamis. Haiza bernikah dengan Norhanapfe Omar di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007. Ditanya mengenai pengalaman menarik sejak hamil, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu berkata, dia tidak mengidam atau meminta perkara yang pelik-pelik seperti yang berlaku kepada kebanyakan wanita hamil lain. “Buat masa ini memang saya tidak minat atau teringin benda yang pelik-pelik. Mungkin juga kandungan masih terlalu awal, saya tidak pasti tetapi saya bersyukur kerana keinginan saya berada dalam keadaan terkawal. “Kalau pun ada, saya pantang menonton iklan makanan di televisyen, pasti saya akan teringin dengan serta-merta. “Baru-baru ini, saya terlihat iklan makanan segera Subway. Suami pula baru keluar dan saya terpaksa ajak kakak dan anak buah yang kebetulan tinggal berdekatan menemani saya ke restoran itu,” katanya. Diminta berkongsi mengenai perasaan hamil selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, Haiza melihat banyak hikmah dengan ketentuan tersebut. “Saya akui pernah terdetik dalam hati perasaan bimbang jika memang ditakdirkan saya tidak akan mendapat zuriat sendiri tetapi suami selalu tegur dan tidak mahu kami berputus asa dan berusaha. “Alhamdulillah, kini selepas hampir lima tahun berkahwin, rezeki ini datang kepada kami. Cepat atau lambat (dapat anak), saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya mengakhiri perbualan.

Scha Bimbang Tak Laku Selepas Jadi Isteri

PETALING JAYA: Pelakon Scha Al-Yahya,29, mengakui berasa risau sekiranya dia semakin kurang menerima tawaran berlakon selepas bergelar isteri kepada pengacara Awal Ashaari, 31, pada Mei ini. Scha berkata, perasaan itu mula wujud ketika dia sibuk membuat persiapan perkahwinannya namun percaya bahawa rezeki itu akan berada di mana-mana sekiranya seseorang itu berusaha. "Saya pernah juga terfikir, adakah saya masih diterima oleh para penerbit dan peminat-peminat selepas berkahwin nanti atau mungkin dah tak laku? "Tetapi saya percaya rezeki itu akan sentiasa ada sekiranya bakat dan kualiti kerja kita seiring," katanya. Tambah pelakon filem Aku Bukan Tomboy ini, hal tersebut tidak menjadi satu masalah untuknya apabila bergelar isteri nanti selepas melihat rakan-rakan seangkatannya yang masih lagi menerima tawaran berlakon.
Scha dan Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari akan melangsungkan pernikahan mereka pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya. Majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012. Ditanya adakah Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir sudah merasai 'debaran pengantin', dia masih belum merasai perasaan itu. "Setakat ini, saya belum merasai debarannya lagi walaupun ramai yang berkata perasaan itu akan muncul buat mana-mana wanita apabila masa untuk menjadi suami isteri itu semakin dekat. "Bagaimanapun, harap-harap saya tenang melalui peristiwa bersejarah itu," ujarnya. Sementara itu Scha dan Awal turut berkongsi tip dan kesibukan menguruskan persiapan perkahwinan mereka menerusi program Seia Sekata yang disiarkan selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, pukul 9.30 malam bermula 13 April lalu menerusi saluran Astro Ria. Program selama enam episod itu memaparkan detik manis beliau bersama bakal isteri melakukan persiapan sehingga pada hari pernikahan.

Linda Jasmine Selamat Melahirkan Tengku Cleopatra

PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Que Haidar iaitu Linda Jasmine selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.8 kilogram pada pukul 1.28 petang, Khamis. Linda berkata, bayi yang diberi nama Tengku Cleopatra Haidar itu dilahirkan secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur. "Alhamdulillah semuanya telah selamat dan paling penting Cleo (panggilan manja untuk Cleopatra) dalam keadaan sihat dan sempurna. "Bagaimanapun saya masih mengalami kesakitan kerana tidak boleh mengambil pil tahan sakit disebabkan alergi," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat. Tambah Linda, dia sengaja memilih untuk melahirkan Cleo pada 26 April kerana dua anaknya lain turut dilahirkan pada tanggal 26 hari bulan. Anak pertama Linda bersama suami terdahulu iaitu Qalif Khan yang kini berusia 12 tahun lahir pada 26 Januari 2000 sementara Tengku Ratu Haidar, 2, yang lahir atas perkongsian hidupnya dengan Que Haidar pula lahir pada 26 Oktober 2009. Linda pada mulanya dijangka melahirkan Cleo pada awal bulan Mei tetapi mengambil pendekatan untuk mempercepatkan proses itu dengan kaedah perubatan. Dalam pada itu, ditanya mengenai pemilihan nama anaknya itu, Linda berkata ia dipilih bagi melengkapi nama anak perempuan sulungnya, Tengku Ratu Haidar. Linda memberitahu, walaupun ada beberapa pilihan nama lain tetapi dia dan suaminya sepakat memilih nama tersebut. "Nama Ratu cukup kuat menggambarkan dirinya dan sebab itu kami memilih Cleopatra yang juga nama seorang ratu di Mesir cukup terkenal dengan kisahnya sebagai seorang pemimpin wanita," katanya. Bercerita lanjut mengenai bayinya, Linda berkata, Cleopatra mempunyai kulit yang lebih putih berbanding dua anaknya yang lain selain mata yang jernih. Linda memberitahu, wajah anaknya itu lebih mirip kepada wajahnya. Bagaimanapun, Linda enggan mendedahkan wajah anaknya itu buat masa ini. "Sukar saya gambarkan kegembiraan dengan kelahiran Cleo kerana setiap kali jururawat membawanya masuk perasaan sayu dan gembira bercampur baur. Dia bakal memeriahkan keluarga kami selepas ini," katanya. Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.

Anggap Sudah Tua, Normala Enggan Jadi Pengacara

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsuddin nekad meninggalkan terus dunia glamor dan enggan bergelar seorang pengacara jika ditawarkan oleh mana-mana pihak. Normala berkata, beliau merasakan zamannya sudah berakhir dan ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan keluarga. "Saya sudah tua dan rasanya tak payah la lagi muncul sebagai pengacara. Beri pula kepada muka-muka baru. "Tambahan pula saya kini gembira dengan kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan nenek. Ia adalah perkara terbaik dan terpenting dalam hidup saya kini," ujarnya kepada mStar Online pada majlis memperkenalkan 20 Finalis Program On Air di sini pada Rabu. Ujarnya, komitmen yang diperlukan sebagai seorang pengacara adalah antara faktor beliau enggan kembali menjadi pengacara walaupun banyak tawaran diberikan kepadanya. "Saya bukannya seorang wanita muda yang boleh bergerak ke sana ke mari dengan pantas kerana bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi. "Daripada menimbulkan masalah kemudian hari lebih baik kita elakkan," ujarnya. Dalam pada itu, Normala menolak dakwaan beliau tidak mahu untuk muncul dalam dunia penyiaran kerana dihalang oleh suaminya, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitariaitu, Datuk Seri Azmi Khalid. "Suami tidak pernah menghalang cuma tidak begitu menggalakkan saya untuk terus tampil di televisyen. Bagaimanapun keputusan ini saya buat atas pilihan sendiri dengan panduan daripada suami," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai juri tetap program On Air, Normala memberitahu, Aznil Nawawi telah memintanya menjadi sebahagian daripada individu untuk terlibat dalam rancangan realiti itu selepas menjadi juri jemputan pada uji bakat sebelum ini. Normala berkata, dia bersetuju untuk menyertai selepas mendapat keizinan daripada suaminya. "Suami setuju saya terlibat kerana saya menjadi juri dan bukannya menghoskan program itu. "Saya bagaimanapun teruja untuk berkongsi pengalaman bersama-sama peserta terpilih nanti, katanya. Normala akan muncul dalam program Studio On Air pada setiap hari Ahad pukul 10 malam bermula 27 Mei ini di saluran Astro Ria.

Sheila Majid Tidak Ambil Botoks Kerana Haram

KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Sheila Majid mengakui tidak pernah mengamalkan pengambilan botoks untuk kelihatan cantik kerana cara itu adalah salah dan haram di sisi agama Islam. Sheila,47, berkata, suntikan botoks mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memberi kesan sampingan kepada semua wanita yang mengambilnya. “Kalau kita ambil botoks, kita tidak tahu apa akan jadi kepada wajah kita pada 20 tahun akan datang. Saya menasihati kepada anda semua tidak menggunakan botoks,” katanya. Sheila berkata demikian apabila ditanya oleh seorang peminat adakah beliau mengambil suntikan botoks untuk kelihatan cantik pada majlis Minggu Setiausaha yang diadakan di Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, di sini, Rabu. Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis makan tengah hari itu yang dikendalikan oleh pengacara Dee. Dalam masa yang sama penyanyi itu turut berkongsi petua untuk kelihatan cergas dengan melakukan senaman serta memilih makanan berkhasiat setiap hari. Katanya, langkah itu bukan sahaja perlu diterap kepada diri sendiri tetapi juga kepada anak-anak. “Saya mengajar anak-anak saya supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar mereka membesar dengan sihat,” ujarnya. Terdahulu beliau muncul dengan lagu Dia membuka tirai persembahannya bagi menghiburkan para setiausaha yang hadir bersama bos masing-masing. Selain lagu itu, Sheila turut menyanyikan lagu Ku Mohon, Can’t Take My Eyes, Legenda, Antara Ayer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Warna. Persembahan Sheila berjaya memikat hati kerana keupayaan beliau berkomunikasi dengan para peminatnya.

Putus Tunang Bukan Penyebab Akma (AF3) Segerakan Pernikahan

PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Akma berkata langkah untuk menyegerakan pernikahannya yang dijadualkan pada hujung Jun depan bukan kerana serik akibat pernah putus tunang. Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, berkata keputusan itu dibuat kerana segala perancangan dan persiapan ke arah itu dilihat berjalan dengan lancar. “Saya mahu menyegerakan majlis pernikahan pada hujung Jun depan bukan sebab saya berasa serik apabila perancangan untuk bertunang sebelum ini pernah terbatal. “Secara kebetulan, perjalanan majlis merisik pada Mac lalu berjalan dengan baik sehingga kami memutuskan untuk bertunang pada 6 Mei ini dan bernikah pula pada hujung Jun depan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Rabu. Akma mengenali lelaki bernama Farih Hamshi, 28, kira-kira lima tahun lalu. Hubungan mereka mula rapat sejak lelaki itu pulang dari Melbourne, Australia selepas menamatkan pengajian di negara tersebut kira-kira setahun yang lalu. Berkongsi mengenai bakal tunangnya yang bekerja sebagai eksekutif di Petronas itu Akma berkata, faktor usia yang hanya berbeza setahun tidak menjadi masalah buatnya kerana kematangan dan sikap bertanggungjawab lelaki itu. “Walaupun jarak usia kami hanya berselang setahun, saya dapati dia (Farih) seorang yang matang melebihi umurnya. Sifatnya yang rapat dengan keluarga memberikan keyakinan untuk saya memilih dia sebagai calon suami. “Menariknya, dia juga seorang yang kelakar dan bijak mengambil hati keluarga saya,” katanya yang mendapat tajaan ketiga-tiga majlis itu daripada Butik Chantik. Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Akma kini mengajar kursus vokal di One Music Academy Malaysia di Subang sejak tiga bulan lalu. “Saya mengajar secara separuh masa kerana memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah vokal. Naluri saya memang suka mengajar. “Pendapatan saya mengajar ini dapat menambahkan lagi sumber kewangan saya,” katanya yang kini terlibat dalam Karnival Mesra Belia Satu Felda Satu Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada setiap hujung minggu.

Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K

PETALING JAYA: Penyanyi Maulana (AF8) mahu membawa diri ke United Kingdom (U.K) pada tahun ini selepas kecewa dengan kerenah industri hiburan tempatan. Penyanyi lagu RSVP ini berkata, keputusan itu sudah lama dipertimbangkan sejak dia mula menyedari kedudukannya sebagai penyanyi yang tidak stabil dan terumbang-ambing. “Saya berasa terkilan apabila melihat keadaan industri muzik tempatan yang terlalu banyak kerenah tetapi kurang menyokong perkembangan bakat-bakat pelapis. “Realitinya, amalan kronisme di kalangan penggiat dan penganjur acara hiburan kita hanya memberikan peluang kepada muka-muka yang sama. Sekalipun artis berkenaan kurang berbakat tetapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran. “Saya tidak mempertikaikan peluang yang diterima artis-artis lain kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi saya sendiri berasa seperti disisihkan dan sukar untuk berkembang dalam keadaan yang positif dalam industri sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, baru-baru ini. Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mencabar dirinya dengan mencari peluang di negara berkenaan selepas pernah terpilih dalam peringkat pertama uji bakat program nyanyian X Factorpada hujung Januari lalu. “Saya mahu menguji pasaran dan penerimaan orang luar terhadap bakat saya. Kejayaan saya apabila layak mara ke peringkat kedua uji bakat program X Factor di U.K pada Januari lalu membuktikan saya mungkin berpeluang untuk mengembangkan bakat negara itu. “Namun, saya terpaksa lepaskan peluang tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk berulang-alik ke sana. Secara kebetulan juga saya mempunyai saudara-mara dan kenalan untuk saya menumpang bagi membolehkan saya mencari peluang untuk memulakan karier nyanyian,” katanya. Maulana menambah, selain hasrat itu, dia turut merancang untuk memulakan perniagaan restoran makanan Melayu di U.K. “Alang-alang hendak mencari peluang nyanyian di sana, saya dan keluarga merancang untuk memulakan perniagaan restoran. Secara kebetulan, saya mempunyai pakcik dan beberapa kenalan yang boleh membantu,” katanya.

Ahli Parlimen Ampang Sudah Terima Surat Saman Zahida

PETALING JAYA: Pelakon Zahida Mohamed Rafik, 37, yang dituduh menerima wang sebanyak RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menghantar surat saman kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin. Surat yang dihantar melalui peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bertarikh 23 April 2012 itu antara lain menuntut Zuraida yang juga Ketua Wanita Keadilan berhenti membuat kenyataan media, menarik balik kenyataan terdahulu serta memohon maaf dalam masa tujuh hari. “Kita tak sebodoh untuk keluarkan kenyataan tanpa bukti dan biar orang saman kita. Kita tunggu dalam masa terdekat. “Kita akan bawa hal ini ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Di sana akan menyaksikan lebih banyak rahsia terbongkar,” katanya mengesahkan penerimaan surat saman itu seperti yang dilaporkan portal Laman KL-Today Laporan itu juga menyebut Zuraida tidak gentar dengan saman berkenaan kerana pihaknya mempunyai bukti bagi setiap tuduhan yang dibangkitkan.
Zuraida sebelum ini mendedahkan kepada pihak media di lobi Parlimen dengan mendakwa seorang pemandu pelakon tersebut iaitu Noor Azman Azemi membuat laporan polis bertarikh 13 Mac 2012 mengatakan Zahida telah menerima wang berjumlah RM1.5 juta daripada Mohd Shafie. Sementara itu kebanyakan akhbar pada Khamis melaporkan Zahida menafikan telah berkahwin dengan Mohd Shafie dan menganggap tuduhan itu adalah fitnah semata-mata. Dia juga menegaskan bahawa sehingga kini dirinya masih solo dan tidak berkahwin dengan mana-mana lelaki termasuklah dengan menteri berkenaan. “Sebelum ini, saya pernah terserempak dengan beliau (Mohd Shafie) ketika hadir ke beberapa buah majlis, tetapi saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya cuma tahu beliau seorang menteri. “Lagipun desas-desus yang mengatakan saya sudah berumah tangga dengan beliau juga tidak benar kerana sampai sekarang saya masih solo. Saya anggap apa yang berlaku ini cuma gosip yang menjadi lumrah kepada kehidupan seorang artis,” ujarnya seperti laporan Kosmo! pada Khamis. Pelakon itu ditemui pada majlis pelancaran aksesori Nur Of Alexandria dekat sini Rabu dan ia adalah penampilan pertamanya sejak isu panas itu diperkatakan sepanjang minggu lalu. Zahida menambah apa yang menyebabkan dia mengambil masa yang lama untuk menjelaskan isu kontroversi tersebut kerana perlu mendapat nasihat peguam.

Zahida Tidak Stres Dengan Tuduhan Terima Wang RM1.5 Juta

PETALING JAYA: Kontroversi tuduhan menerima wang RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal sedikit pun tidak mendatangkan stres kepada Zahida Rafik. Pelakon itu berkata demikian ketika berkomunikasi dengan pengikut laman sosial Twitter miliknya pada Selasa malam. “Terima kasih sayang. Tak stres pun. Akak cool,” katanya dalam entri kira-kira pukul 8.33 malam Selasa yang dikirim menerusi telefon Blackberry miliknya. Dia juga turut mengatakan dirinya kuat untuk menempuh tuduhan yang melanda dan meminta peminat mendoakan kesejahteraannya. Kebanyakan pengikut Twiter pelakon itu pada Selasa menghantar pesanan kepada Zahida untuk memberi kata-kata semangat dan perangsang. Bagaimanapun terdapat satu pesanan kiriman Miss Lola pada pukul 10.46 pagi Selasa menempelak Zahida dengan mendakwa apa yang berlaku itu adalah balasan Tuhan terhadap perbuatannya.
“Bila dah kantoi tau plak nak ingat Tuhan… tapi bila pakai seksi tak pulak kau nak ingat Tuhan. Ni la balasannya,” kata pengirim itu. Bagi persoalan tersebut Zahida hanya ketawa dengan menjawab; “hahahaha...gud day my dear!! Cheers!” Sebuah portal dalam talian pada 18 April lalu melaporkan pemandu Zahida iaitu Noor Azman Azemi telah membuat laporan polis mendakwa pelakon itu telah menerima wang tunai sebanyak RM1.5 juta dari seorang menteri dalam jangka masa empat bulan. Ketua Wanita, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin telah mendedahkan laporan polis itu kepada pihak media. Dalam laporan polis tersebut, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktober tahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini.

Jimmy Shanley Nafi Sindir Ibu Mertua Dalam 'Tanah Kubur'

PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley menolak tuduhan kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya yang juga usahawan Datin Muniroh Kassim dalam episod terbaru drama bersiri Tanah Kubur yang ditayangkan di Astro Oasis pada Jumaat lalu. Pemilik nama sebenar Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 32, itu berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana watak gigolo yang dilakonkannya itu mengikut skrip yang dihasilkan syarikat produksi Opera Klasik Sdn Bhd. “Dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas langsung. Saya hanya pelakon yang memainkan watak seperti dikehendaki dalam skrip pengarahnya Rashid Sibir. “Drama itu adalah cerita rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan kehidupan peribadi saya atau orang lain,” katanya kepada mStar Online, di sini, petang Selasa. Jimmy berkata demikian bagi mengulas dakwaan terbaru kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya apabila wujud watak Datin Iroh, seakan-akan singkatan nama pemilik produk kecantikan Natasya itu yang dilakonkan oleh Rozita Rohaizat. Ditanya mengenai dakwaan hubungannya dingin dengan keluarga mertua dan berkelakuan tidak manis apabila memanggil ibunya itu dengan nama Datin, bekas pengacara Trek Selebriti itu berkata dia tidak pernah mendengar tuduhan tersebut. “Saya jarang berkomunikasi dengan ibu mertua. Kami sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tiada apa pun yang keruh atau dingin berlaku antara kami. “Saya tidak mahu komen lebih, buat masa ini saya lebih selesa menumpukan pada kehidupan sendiri sahaja,” katanya. Jimmy yang kini berjinak-jinak dalam bidang lakonan memberitahu, selepas pelbagai kecelaruan timbul dalam kehidupannya, dia tidak mahu lagi untuk bercerita mengenai soal privasi. “Saya tidak mahu lagi untuk ulas apa-apa melainkan keadaan memerlukan untuk saya bercakap. Sebelum ini, sudah terlalu banyak hal peribadi dan rumah tangga saya diperkatakan. “Kini, saya mahu melangkah ke hadapan dan serahkan sahaja kepada pihak mahkamah bagi menentukan hal rumah tangga kerana mereka lebih arif,” katanya. Keputusan hak penjagaan ke atas anak perempuannya Zahrah Shanley hasil perkahwinan dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy akan diumumkan pada 30 April ini. Sebelum ini, Jimmy pernah memfailkan perintah kembali taat terhadap isterinya pada 3 Januari 2011 diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari tahun yang sama. Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010.

Majlis Resepsi Pernikahan Watie (Elite) & Joey 1 Mei Depan

PETALING JAYA: Pelakon Norwati Sadali (Watie Elite) dan suaminya yang juga pelakon, Zulkifli Daud (Joey) bakal mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka pada 1 Mei ini di Bangi, Selangor. Majlis yang bakal diadakan di kediaman Setiusaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan iaitu Datuk Ruhaidini Abd Kadir itu adalah untuk ahli keluarga terdekat dan rakan media artis itu. Pada acara itu juga, Watie dan Joey akan menjelaskan kepada pihak media mengenai kekeliruan berkaitan status perkahwinan mereka yang kecoh diperkatakan sebelum ini. Sebelum ini, Watie dan Joey dilaporkan bernikah secara senyap pada penghujung tahun lalu sebelum membuat pengakuan rasmi kepada pihak media. Joey, yang merupakan vokalis kumpulan Exists mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, 5, hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Noraini Mohamad Nasir. Mereka telah bercerai pada 8 Ogos tahun lalu. Begitu juga dengan Watie yang telah mempunyai seorang anak, Ahmad Afif Danial, 5, hasil perkahwinan terdahulu. Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka dikatakan menjalin hubungan sewaktu bertemu ketika penggambaran drama bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor. Jemputan menghadiri majlis tersebut telah dihantar oleh Watie kepada pihak media menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula Selasa.

Farawahida Banyak Belajar Urus Diri Selepas Kontroversi

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida mengakui banyak belajar menguruskan kerjaya seninya secara sendirian selepas dilanda kontroversi dengan bekas pengurusnya kira-kira dua tahun lalu. Farawahida berkata, dia lebih yakin selepas dapat belajar pelbagai perkara mengenai selok-belok bidang muzik sedirian yang sebelum ini hanya dipandang ringan. "Sebelum ini saya hanya saya tahu pergi ke studio, rakamkan lagu dan balik. Selebihnya diserahkan kepada orang lain untuk menguruskannya. "Insiden tersebut setidak-tidaknya telah mengajar saya banyak perkara terutamanya dalam mengukuhkan karier seni saya sendiri dan belajar membuat keputusan," katanya ketika ditemui mStar online. Farawahida ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM di Angkasapuri di sini, Isnin. Tambah penyanyi lagu Tanpamu ini, dia kini lebih selesa bergerak secara solo dalam bidang seni tanpa diuruskan sesiapa dan tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan buat masa ini. "Biarlah saya berdikari buat ketika ini kerana jika ada apa-apa urusan pihak penganjur atau media boleh berhubung saya terus tanpa perlu melalui pihak pengurusan. Dalam pada itu, Farawahida memberitahu dia teruja apabila filem lakonannya berjudul Baik Giler yang telah menjalani penggambaran pada tahun 2010 akhirnya bakal ditayangkan pada bulan Jun depan. Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Zizan (Raja Lawak), Sharifah Shahira, Awie dan Abon. Farawahida berkata, walaupun ada menerima beberapa tawaran berlakon selepas filem itu tetapi dia mengambil keputusan untuk menolaknya kerana ingin menunggu hasil akhir Baik Giler. "Saya tidak mahu terlalu yakin dengan bakat lakonan yang ada kerana saya hendak tunggu dulu hasil pertama ini keluar dan tengok bagaimana maklum balas daripada penonton. "Jika mereka menyukainya saya akan menerima tawaran lain yang diberikan selepas ini," katanya. Sementara itu, Farawahida yang sedang hangat dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi memberitahu masih lagi mempromosikan lagu tersebut dan sedang merancang untuk muncul dengan buah tangan baru. Namun dia tidak mahu terburu-buru kerana perlu mencari material dan muzik yang baik supaya dapat diterima oleh peminat. "Oleh kerana kos itu nanti akan dikeluarkan sendiri oleh saya jadi perlu lebih berhati-hati dalam memilih lagu kerana banyak faktor yang perlu diambil kira," katanya.

Rohana Jalil Akui Bertekak Dengan Kilafairy

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil sering bertekak dengan pelakon dan penyanyi, Kilafairy kerana kurang senang dengan sikap sambil lewa anaknya itu terhadap bidang seni. Rohana berkata, Kilafairy yang baru berusia 18 tahun itu masih mentah dan ada masanya dia akan cepat bosan dengan apa yang dilakukannya. "Dia masuk ke dunia seni tanpa perlu bersusah payah seperti mana zaman saya dulu dan kesenangan yang dimiliki kadang-kadang membuat dia lupa dan mula sambil lewa. "Saya bertekak dengan dia tu bukanlah bermaksud kami bergaduh tapi lebih kepada nasihat kerana dia pun masih muda dan perlu ada orang tua seperti saya yang tahu selok-belok dunia hiburan. "Saya sebagai ibu tidak mahu dia hanyut dengan glamor sehingga terlepas peluang atau melakukan sesuatu yang akan dia menyusahkan dia kemudian hari," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM 2012 di Angkasapuri di sini, Isnin. Dalam pada itu, Rohana berkata, dia sebenarnya mahu Kilafairy memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier nyanyian tetapi minat anaknya itu lebih terhadap dunia lakonan. Bagaimanapun kata Rohana, Kilafairy kini lebih berhati-hati dalam memilih watak kerana sering diberi peranan 'gedik' yang kurang sesuai dengan usianya yang masih muda. "Lakonan adalah minat dia dan sebagai ibu, saya tetap sokong tetapi dia mesti bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukan. Setakat ini usaha itu sudah nampak cuma dia perlu tingkatkan lagi," katanya.
Sementara itu, Rohana berkata, dia bakal muncul dengan single duet bersama anak gadisnya itu dan memilih komposer Amylea (AF) untuk mencipta lagu itu nanti. Kata Rohana, dia menyerahkan kepada komposer muda itu untuk memilih lagu sesuai untuk mereka kerana ingin muncul dengan sesuatu yang baru dan segar bersama anak. "Saya teruja dengan projek terbaru ini dan ingin muncul dengan sesuatu yang boleh menambat hati peminat Kilafairy dan saya sendiri. Jadi rasanya orang baru seperti Amylea lebih mengetahui apa yang sesuai untuk lagu duet itu nanti," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Rohana berkata, dia bakal muncul dalam satu persembahan khas di Hotel UiTM di Shah Alam pada 28 April ini bersama dua rakan baiknya iaitu Nassier Wahab dan Zur Eda pada pukul tiga petang.

Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP

HIBURAN Selasa April 24, 2012 Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP Oleh WAHIDUZZAMAN (wahi@thestar.com.my) Fida Ibrahim PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) menepis sekeras-kerasnya dakwaan terbaru kononnya dia sudah bernikah secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua seorang usahawan berstatus VIP pada awal bulan ini di Perlis. Pelakon berusia 26 tahun itu berkata tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana pada waktu tersebut dia sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama. “Tuduhan saya bernikah secara senyap-senyap adalah tidak betul sama sekali. Ini adalah fitnah kerana pada waktu yang dikatakan saya melangsungkan pernikahan itu, saya berada di lokasi penggambaran. “Jujurnya, saya pun tidak tahu mengenai perkara sehingga ia kecoh diperkatakan di laman Twitter pada baru-baru ini tetapi ia (pernikahan) memang tidak berlaku,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online. Terdahulu, pada Disember tahun lalu mStar Online pernah melaporkan pengakuan aktres itu menjalin hubungan dengan VIP tersebut yang sudah dikenalinya hampir dua tahun lalu menerusi jaringan perniagaan. Difahamkan juga, Fida menyembunyikan hubungan mereka kerana enggan menimbulkan kekecohan memandangkan VIP itu sudah berkahwin. Ditanya adakah dia cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum, bekas kekasih kepada pelawak Mamat (Sepah) ini menganggapnya sebagai salah faham. “Perkara ini timbul atas dasar salah faham. Mungkin ada orang yang seiras wajah saya melangsungkan pernikahan pada waktu dan lokasi yang dikatakan itu. “Secara tidak langsung saya pula dikaitkan dengan perkara ini. Jika benar saya bernikah, tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya. Beralih kepada perkembangan kerjaya, impiannya untuk bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan apabila Fida mengesahkan bakal muncul dengan lagu single pertama berjudul Apo Kono Eh Jang yang pernah dipopularkan Ally Noor dan Mastura pada tahun 1980-an “Lagu itu digubah semula dengan susunan baru yang sesuai dengan muzik semasa. Ia dijangka keluar pada hujung April atau selewat-lewatnya awal Mei depan. “Menariknya, saya akan berduet dengan kumpulan Stellar Band dan diterbitkan oleh Sheikh Qalam,” katanya yang bakal terlibat dalam telefilem Nasib Si Pemandu Limousin.

Akaun Twitter Zahida Rafik 'Panas' Dengan Sindiran

PETALING JAYA: Aktres Zahida Rafik menjadi semakin popular selepas tersebar dakwaan dia menerima sejumlah wang daripada seorang menteri kanan sehingga mengundang pelbagai reaksi panas menerusi laman sembang Twitter milik pelakon itu. Kebanyakan pengikut Twitternya iaitu di @zahida_rafik menghantar pesanan yang menyindir selain teguran pedas berhubung dakwaan kononnya dia menerima wang kira-kira RM1.5 juta daripada VIP berkenaan. Salah seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Fared Isa pada dua hari lalu menghantar mesej berbunyi: “Hi jutawan. Anda telah kantoi…Saya tidak pernah dengar nama anda sebelum ini hinggalah berita anda ini tersebar ke seluruh negara.” Zahida pula membalas dengan berkata; “Sabar!!Teruskan usaha anda! Saya perlu tido sekarang, selamat malam! Esok jangan lupa tweet lagi tau…Sekurang-kurangnya saya seorang jutawan, anda pula? Seorang lagi pengguna, Mohd Firdaus menghantar pesanan kepada Zahida lima hari lalu berbunyi: “Untung laaa @zahida_rafik hidup senang-senang sahaja hujung minggu dapat RM200,000. Nak duit beritahu sahaja dekat menteri. Saya harap berita ini satu kebenaran.” Zahida pula membalasnya; “Maaf ye, saya bekerja keras untuk dapatkan duit. Jika kamu tak ada duit, saya boleh derma sedikit. Tidak apa, Allah akan tunjukkan kebenarannya.” Bagaimanapun trend tersebut berubah apabila pengikut Twitter milik Zahida mula memberi komen yang positif terhadap pelakon itu apabila terdapat mereka yang menyokong dan memberi galakan kepadanya. Seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Tengku Iskandar menghantar mesej berbunyi; “Harap cepat selesai masalah ini sebelum makin melarat. Faham-faham sahaja la di Malaysia ini, semua hendak jadi hakim.” Adlynn Jamlus pula menghantar mesej dengan meminta Zahida bersabar iaitu; “Bersabarlah dengan dugaan yang diberi... Insya-Allah ada hikmahnya. Sehingga malam Isnin, akaun Twitter pelakon Anak Mami The Movie ini mempunyai 7,069 pengikut. Rabu lalu, pemandu peribadi Zahida, Noor Azman Azemi membuat laporan polis mendakwa aktres berkenaan mendapat wang berjumlah RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal. Bagaimanapun, Zahida dan menteri berkenaan telah menafikan tuduhan itu dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memfitnah mereka.

Sharifah Zarina Muncul Selepas Lima Tahun Menghilang

PETALING JAYA: Hampir lima tahun menyepi daripada dunia hiburan, penyanyi Sharifah Zarina bertekad untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian pada tahun ini. Jelas Sharifah Zarina, keputusan itu dibuat kerana selama ini dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga termasuk tiga orang anaknya. "Sebenarnya dari tahun lepas lagi saya sudah mula bergiat aktif tetapi ia tidak berapa rancak kerana ramai pihak masih tidak mengetahui kemunculan semula saya dalam bidang nyanyian. "Tahun ini saya akan berusaha lebih keras dalam memastikan kerjaya seni saya kembali terancang dengan pelbagai aktiviti dan lagu baru," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Sharifah Zarina, antara penyebab dia mahu muncul semula dalam bidang seni kerana tidak gusar untuk meninggalkan tiga cahaya matanya yang sudah besar selain mendapat keizinan suami tercinta. Dalam pada itu, Sharifah Zarina berkata, dia juga telah melantik seorang pengurus bagi memastikan perjalanan kariernya lebih teratur pada masa hadapan. "Mungkin sebelum ini cubaan saya untuk kembali dalam bidang nyanyian tidak berapa menjadi kerana tiada bantuan pengurus yang boleh merencanakan aktiviti dan publisiti untuk saya. "Dengan adanya pengurus rasanya perancangan saya akan lebih tersusun selepas ini," katanya. Dalam perkembangan sama dia sudah pun muncul dengan single terbaru berjudul Memandang Awam ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin. Ujarnya, lagu berentak balada itu telah pun siap sepenuhnya pada penghujung Februari lalu dan telah pun dihantar ke stesen radio untuk disiarkan. "Saya teruja dengan lagu ini kerana penghasilannya dilakukan agak lama kerana Ashraf adalah seorang yang begitu teliti dalam menghasilkan sesuatu. "Beberapa kali penambahbaikan terhadap lagu itu dibuat sehingga dia berpuas hati dan sebagai penyanyi saya juga gembira dengan hasil yang ditunjukkan," katanya. Bercakap mengenai aktiviti terbarunya, Sharifah Zarina berkata, dia akan berangkat ke Sabah pada Sabtu dan Ahad ini untuk menjayakan program Jelajah Janji Harus Ditepati di Dataran Bandaran Kota Kinabalu.

Fouziah Ghous Nafi Bakal Bertunang

PETALING JAYA: Pelakon popular, Fouziah Ghous menafikan bakal bertunang dengan kekasih yang masih dirahsiakan identitinya itu pada bulan Jun depan. Fouziah dalam laporan akhbar Kosmo pada Isnin berkata, dia tidak pernah merancang untuk bertunang seperti yang didakwa dalam masa terdekat ini. "Saya sendiri tidak tahu bila akan bertunang. Orang yang beri kenyataan itu cukup hebat kerana lebih tahu tentang perkara yang saya sendiri belum tahu," katanya. Pelakon itu berkata, dia terkilan apabila sebuah ruangan gosip mendakwa dia bakal bertunang tanpa menyiasat dahulu kebenaran mengenai perkara itu. Ujar Fouziah, dia masih belum terfikir untuk berkahwin atau bertunang buat masa ini namun jika perkara itu terjadi dia sendiri akan hebahkan kepada media. "Jika tidak pasti, sahkan dengan saya dahulu dan bukannya buat andaian bukan-bukan sebegini dan seterusnya mengelirukan semua pihak," katanya.

Wanita Seksi Peluk Ikhwan (Hot FM) Hanya Peminat

PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM, Ikhwan, menjelaskan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa atau sebarang kaitan dengan wanita seksi dalam sebuah foto yang disebarkan di internet. Ikhwan berkata, foto yang menunjukkan wanita itu memeluk erat dirinya dirakamkan di sebuah kelab malam di Johor Bahru yang dikunjunginya bersama rakan-rakannya baru-baru ini. "Wanita itu tiada kaitan langsung dengan saya, dia hanya pengunjung biasa yang mahu bergambar dengan saya, mungkin juga dia seorang peminat. "Bagi saya tidak manis jika permintaannya untuk bergambar ditolak. Malah, saya tidak memeluknya, sebaliknya wanita itu yang memeluk saya ketika bergambar," katanya yang dihubungi mStar Online, disini, Ahad.
Tambah Ikhwan, hal itu tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia bukanlah perlakuan tidak senonoh. Pada minggu lalu, sekeping foto yang menunjukkan Ikhwan dipeluk seorang wanita seksi terah tersebar di internet sehinggakan ia memberi pelbagai reaksi negatif di kalangan peminat-peminatnya. Dalam pada itu, Ikhwan turut memberi amaran kepada penyebar foto berkenaan supaya tidak membuat spekulasi tidak benar terhadap foto itu. "Saya terkilan apabila ada beberapa pihak terutamanya golongan penulis blog cuba melebih-lebihkan isu ini kononnya ingin menunjukkan saya seorang yang begitu sosial. "Memang benar saya pergi ke kelab tetapi saya tahu menjaga kelakuan diri," tegasnya. Ikhwan yang juga pengacara rancangan Galaksi di TV9 juga berkata isu tersebut merupakan kontroversi pertama yang pernah berlaku kepadanya sepanjang bergelar selebriti selama enam tahun. "Terkejut saya apabila isu ini timbul. Mujurlah ia tidak menjejaskan sedikit pun kerjaya saya," katanya. Sementara itu, Ikhwan sedang berjinak-jinak menceburi bidang muzik dengan mencul menggunakan nama Nawhkhi. Menurutnya yang menggemari muzik hip hop itu, dia akan muncul dengan sebuah single lagu baru berduet dengan penyanyi berkumpulan Singapura, Dinda menerusi lagu Sudah-Sudah. "Saya merupakan seorang penggemar muzik dan sekarang ini saya akan mula menjinakkan diri dalam penghasilan lagu untuk diri saya dan penyanyi-penyanyi lain yang ingin menggunakan khidmat saya," tuturnya.

Jamal Abdillah Kesal Pernah Abaikan Ibu Sendiri

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah begitu kesal ketika berada di puncak populariti, beliau pernah mengabaikan ibunya Zainon Hassan. Jamal berkata ia berpunca kerana kesibukannya sebagai artis selain banyak memenuhi undangan pertunjukan pentas. “Arwah ibu meninggal dunia pada 1991 kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi. "Walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, jasa dan pengorbanannya tetap abadi di hati ini. "Saya menyeru mereka yang masih memiliki ibu supaya menghargai setiap detik berharga itu kerana harta dunia tidak mampu menggantikan kesucian kasih seorang bernama ibu,” katanya. Tambah Jamal, sebagai anak yang pernah merasai kesedihan akibat kehilangan seorang ibu, apa yang masih berbekas di hatinya itu kini hanya tinggal kenangan. "Saya agak syahdu melihat semula kelalaian saya yang mengabaikan ibu. Bila dia tiada, barulah kekesalan itu hadir," ujarnya. Jamal akan berkongsi kesedihan itu agar dijadikan pedoman oleh semua pihak sempena sambutan Hari Ibu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mei depan. Ia akan bermula pukul 8 malam. Persembahan anjuran MSiS Events & Services turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Ibnor Riza selaku artis undangan dan Ifa Raziah sebagai pengacara majlis. Pada persembahan itu nanti, Jamal akan mempersembahkan sebanyak 15 lagu termasuk 'medley' dari album pertamanya hingga terbaru diiringi band di bawah pimpinan Belle Fatah. Antara lagu yang akan dinyanyikan oleh Jamal ialah Cinta Selayang Pandang, Kasihnya Ibu dan Tidurlah Permaisuri. Disamping itu Jamal juga akan menyanyikan sebuah lagu duet bersama penyanyi undangan, Ibnor Riza. Selain persembahan hiburan, turut diadakan pertunjukan fesyen oleh butik-butik terkenal seperti Butik Cosry, Butik Altelia Amani dan Gedung Kain Terkemuka Jakel. Dalam pada itu, bagi membantu ibu-ibu yang memerlukan bantuan, pihak penganjur akan mendermakan sebahagian daripada hasil kutipan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor. Untuk tempahan tiket yang berharga RM250, RM350 dan RM500, hubungi Suriyani di talian 019-2957063 atau 019-3844300.Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Shafie Apdal Nafi Beri RM1.5 Juta Kepada Zahida Rafik

PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pada Isnin tampil menafikan dakwaan bahawa beliau memberikan wang berjumlah RM1.5 juta kepada aktres Zahida Mohamed Rafik. Malah menurut Shafie, laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman Azemi mengaitkan beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantiknya sebagai pemandu peribadi Zahida sejak 2009 adalah tidak benar. "Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman Azemi yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik.
"Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah tidak benar sama sekali," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Isnin. Selain itu Shafie yang juga Naib Presiden Umno turut menyifatkan penyebaran laporan polis berkenaan oleh pihak-pihak tertentu sebagai tindakan berniat jahat. "Kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah berniat jahat dan berunsurpolitik semata-mata," katanya. Tambah Shafie, beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya berhubung isu berkenaan. "Saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini," katanya. Laporan polis itu sebelum ini didedahkan oleh Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin kepada pihak media di Parlimen. Berdasarkan laporan polis bertarikh 13 Mac tahun ini, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktobertahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini. Zahida bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar

SEJAK Rabu lepas, namanya hangat menjadi bualan di laman-laman web serta portal hiburan tanah air. Itu semua gara-gara satu pembongkaran hubungan terlarang Zahida Rafik dengan seorang VIP. Pembongkaran skandal yang didakwa dilimpahi kemewahan itu didedahkan oleh sekumpulan politik di lobi Parlimen baru-baru ini. Memetik laporan blog-blog di Internet, Zahida, 37, didakwa meraih habuan besar hasil hubungan sulitnya bersama seorang kenamaan. Mereka didakwa berjumpa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, dan Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM200,000. Wang itu bagaimanapun tidak dibayar terus ke tangan Zahida sebaliknya dibayar kepada pemandu yang juga pengawal peribadi Zahida. Lelaki berkenaan diupah oleh VIP tersebut sejak tiga tahun lalu. Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM1.4 juta dalam Oktober 2011 hingga Januari lalu. Kepada pemerhati dunia hiburan, skandal Zahida bersama seorang VIP bertaraf Datuk itu sebenarnya bukan berita baharu. Ramai yang curiga terhadap gaya hidup Zahida yang dianggap tidak seiring pencapaian karier lakonannya. Sudah bertahun kisah Zahida itu cuba dirisik, namun dia sering menjelaskan kemewahannya itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarganya. Ramai yang mula mengerutkan dahi apabila Zahida membuat laporan polis setelah pemandu peribadinya melarikan wang tunai miliknya sebanyak RM200,000 baru-baru ini. Pada 3 Mac lalu, sebuah akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pernah melaporkan Zahida membuat laporan polis setelah wang tunai RM200,000 miliknya dilarikan. Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie menyerahkan wang tunai berkenaan kepada pemandu lelaki berusia 37 tahun itu untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, namun sejak itu, suspek berkenaan gagal dihubungi serta dipercayai sudah melarikan diri. Zahida kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sendiri telah mengesahkan menerima laporan berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah. "Sebelum ini sudah banyak kali dia (pemandu peribadinya) membantu saya dalam urusan memasukkan duit ke dalam akaun bagi urusan kerja, tapi tidaklah jumlah yang besar sebegini. "Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara," kata Zahida seperti yang dilaporkan. Pemandu itu turut membuat laporan balas sebagai persediaan berdepan tuduhan Zahida. Menurut sumber, pemandu itu kemudian bertemu seorang peguam tanpa mengetahui latar belakang peguam berkenaan yang sebenarya ada kepentingan untuk menjatuhkan nama majikannya yang berstatus VIP. Kosmo! menghubungi Zahida untuk mendapatkan ulasan daripadanya tetapi dia memilih untuk berdiam diri. Ruangan Diva pada 18 Mac sebelum ini pernah menulis gosip berhubung kehidupan mewah yang diraih seorang artis tempatan sehingga mencecah ratusan ribu setiap kali mereka bertemu bagaimanapun tiada nama dikaitkan dalam artikel berkenaan.

Anzalna Sudah Berani Terima Watak Penting

PETALING JAYA: Pelakon baru Anzalna Nasir berkata dia semakin berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama televisyen dan filem selepas hampir setahun bergelar pelakon. Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Nasir, 24, berkata kepercayaan penggiat industri dan rakan-rakan artis terhadap potensi bakatnya mengukuhkan kepercayaan untuknya menyahut cabaran itu. “Saya mula berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama dan filem pada tahun ini. “Sebelum ini, saya tidak yakin dan belum bersedia tetapi beberapa penerbit dan pengarah sering memberikan peluang itu,” akuinya ketika dihubungi mStar Online, baru-baru ini. Bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini menambah, dia yang kini mula menerima tawaran watak utama dalam beberapa produksi drama dan filem melihat perkembangan itu sebagai satu platform yang baik untuk perkembangan kerjayanya. “Atas kepercayaan dan sokongan tersebut, saya perlu mencabar diri untuk menggalas watak utama dalam sesebuah drama atau filem yang ditawarkan. “Baru-baru ini, saya ditawarkan watak utama untuk drama Marhabah untuk TV3, Adam & Hawa (Astro) dan bakal terlibat dalam filem Dr K Kahwin Lima (KRU Studios),” katanya. Ketika ditanya mengenai publisiti yang berkurangan sejak kebelakangan ini, Anzalna berkata dia semakin aktif dihujani pelbagai tawaran dan tidak berkesempatan untuk berkongsi perkembangannya dengan pihak media. “Saya masih aktif berlakon. Memang saya akui agak menyepi kebelakangan ini kerana kesibukan saya di lokasi penggambaran. “Lagi pun, tiada apa yang panas atau sensasi untuk diperkatakan kerana tiada kontroversi mengenai saya pun,” katanya.

Awal & Scha Kongsi Persiapan Nikah Bersama Peminat

PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari menganggap persiapan untuk majlis perkahwinannya dengan Scha Al-Yahya memberi makna yang besar kerana ia dapat dikongsi dengan para peminat menerusi sebuah program khas terbitan Astro iaitu Seia Sekata. Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari,31, berkata, program selama enam episod itu memaparkan detik manis beliau bersama bakal isteri melakukan persiapan sehingga pada hari pernikahan. “Dalam program itu peminat akan dapat melihat aktiviti kami membeli barang-barang keperluan untuk kahwin, mencuba pakaian pengantin, beli cincin kahwin dan banyak lagi,” katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat. Awal dan Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, akan bernikah pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.
Program Seia Sekata disiarkan selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, pukul 9.30 malam bermula 13 April lalu menerusi saluran Astro Ria. Pihak Astro Ria juga akan turut mengadakan siaran langsung untuk upacara akad nikah pada 4 Mei kira-kira pukul 9.30 malam. Awal berkata, menariknya dalam program tersebut, penonton akan dapat menyaksikan bagaimana dia dan Scha mencuba makanan perkahwinan mereka yang diadakan di atas kapal, di Tasik Putrajaya. Katanya, pada aktiviti itu, keluarga pihak lelaki dan perempuan juga turut serta yang mana suasana itu dapat merapatkan lagi hubungan keluarga berkenaan. Dalam pada itu Awal memberitahu ketika majlis perkahwinannya semakin hampir, jiwanya juga menjadi semakin stres tetapi segala masalah itu dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Maya Karin Sudah Bersedia Untuk Bercinta

PETALING JAYA: Pelakon jelita Maya Karin menjelaskan dia sudah bersedia untuk kembali menjalinkan hubungan cinta selepas bercerai dengan Muhammad Ali Abdullah pada 2010. Maya berkata, dia berharap dapat bertemu dengan seorang lelaki yang mempunyai keyakinan diri dan tidak takut kepada cabaran. "Saya sudah bersedia untuk mencari jodoh selepas kegagalan rumah tangga dulu tapi orang mungkin takut untuk mendekati saya kerana status selebriti yang ada pada diri saya. "Bagaimanapun saya berharap lelaki itu nanti tidak hanya melihat sisi saya sebagai seorang pelakon kerana saya juga adalah wanita biasa," ujarnya kepada akhbar The Star, Sabtu Dalam pada itu, Maya berkata, kejayaan Ombak Rindu yang berjaya mengutip hampir RM11 juta bukan sahaja telah mengubah kerjaya lakonannya malah dirinya sendiri. Kata Maya, watak sebagai Izzah seorang gadis kampung yang polos dijadikan inspirasi kepadanya dalam menjadi seorang yang lebih baik dalam kehidupan seharian. "Saya cuba mengekalkan sebanyak mungkin kualiti pada watak Izzah seperti kesabaran, tenang, sikap positif apabila timbul masalah dan sebagainya. Bercakap mengenai perkembangan terbaru Maya berkata, dia bakal bekerjasama dengan Datin Paduka Shuhaimi Baba dan pengarah filem Ombak Rindu, Osman Ali untuk filem terbarunya. Bagaimanapun kata Maya, akibat kekangan masa banyak karya yang bagus terpaksa ditolak buat masa ini dan dia menganggap bukan rezeki buatnya "Saya sangat sibuk dengan beberapa projek yang telah diterima sebelum ini malah pada hari cuti pun saya perlu memenuhi undangan sesi penggambaran bersama media. "Masa lapang saya pun dikorbankan untuk bersama keluarga dan rakan-rakan itu pun masih terkejar-kejar dengan pelbagai perkara," ujar Maya.

Rita Rudaini Bakal Tuntut Tunggakan Nafkah

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini bakal membuat tuntutan tunggakan nafkah terhadap suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak yang dianggarkan berjumlah ratusan ribu ringgit. Laporan Utusan Malaysia pada Sabtu menyebut, Rita akan membuat tuntutan untuk kesemua nafkah tertunggak selama empat tahun yang sebelum ini diabaikan oleh Aidil. Tuntutan itu termasuklah nafkah sara hidup bagi dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna , 1. "Sepanjang pernikahan, Rita lebih banyak menanggung keluarga, Aidil hanya sekali sekala sahaja mengeluarkan belanja buat anak-anak dan isteri," katanya. Dalam sebutan kes perceraiannya di Mahkamah Syariah Petaling Jaya yang akan berlangsung pada 30 April ini, pelakon itu dikatakan bakal membuat tuntutan balas tersebut terhadap pemain bolasepak kebangsaan itu. Pelakon jelita berusia 36 tahun itu sedang berhadapan dengan tuntutan perceraian daripada Aidil, 25.

Ada Sebab Johan (Raja Lawak) Tolak Tawaran Berlakon

PETALING JAYA: Penyampai radio Era FM, Johan (Raja Lawak) menjelaskan terpaksa menolak tawaran berlakon drama dan filem kerana kesuntukan masa selain mahu memberi tumpuan kepada keluarga. Johan berkata, dia bukannya sombong ataupun memilih tetapi bimbang tidak dapat melunaskan semua tanggungjawab terhadap tawaran yang diberikan. "Alhamdulillahlah tawaran berlakon yang datang memang banyak tetapi kekangan masa sebagai penyampai radio telah membuatkan saya terpaksa menolak kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen. "Tambahan pula saya tidak mahu tamak dengan mengejar semua benda yang akhirnya akan memakan diri sendiri," ujarnya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Johan, jika pihak produksi boleh bertoleransi dengan jadualnya di Era FM dia sedia untuk memberikan komitmen kepada mereka. "Saya perlu berada di studio seawal pukul empat pagi dan jika pihak produksi boleh melepaskan saya dari lokasi pada 10 malam, saya mungkin akan lakukan kerana sekurang-kurangnya saya dapat berehat sebelum bertugas di radio," katanya. Dalam pada itu, Johan memberitahu, waktu lapang yang dimilikinya digunakan sebaik mungkin untuk dihabiskan bersama keluarga. Dia juga tidak mahu terlalu memikirkan soal kerja kerana merasakan keluarga adalah aset paling penting buat dirinya. "Mungkin sebelum kahwin matlamat saya berbeza tetapi selepas mendirikan rumah tangga ia berubah. Orang yang sudah kahwin mungkin akan faham apa yang saya ingin katakan. "Saya tidak mahu terlepas detik-detik indah bersama keluarga kerana terlalu sibuk mengejar wang ringgit," katanya. Dalam perkembangan lain, Johan bakal muncul dengan program bual bicaranya sendiri berjudul Acaner Tu Johan? di Astro Warna. Menerusi program itu Johan akan bergandingan dengan Didie Alias.

Kematian Bob Kuman Palsu, Bob Masih Sihat - Rakan Baik

KUALA LUMPUR: Khabar angin mengenai kematian pelakon dan pelawak, Bob Kuman atau Husni Mohd Rawi, 41, yang disebarkan melalui beberapa laman sosial pada Sabtu disahkan palsu. Rakan baiknya, Mohd Razali Harun, 39, berkata Bob Kuman masih sihat dan kini berada di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara. "Saya amat kesal dengan penyebaran khabar angin seperti ini dan sedih kerana perkara sebegini terjadi kepada Bob. "Saya berada di sisi beliau ketika mendapat tahu mengenai khabar angin tersebut dan ingin saya jelaskan di sini bahawa Bob sihat walaupun dibantu alat pernafasan," katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya tahap kesihatan Bob kini sentiasa dipantau oleh pembantu perubatan di rumahnya. Seorang rakan artis, Richie Rachman ketika dihubungi berkata, perbuatan menyebarkan berita palsu seperti ini merupakan satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab. "Soal hidup dan mati memang tidak boleh dibuat main-main tidak kira sama ada artis ataupun orang biasa dan perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku," katanya. - BERNAMA

Zizan Razak Enggan Masuk Campur Masalah Dira

PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara, Zizan Razak atau Zizan (Raja Lawak) enggan mencampuri urusan peribadi rakan pengacaranya dalam rancangan Melodi iaitu Dira Abu Zahar yang didakwa memukul seorang wanita di dalam sebuah kelab baru-baru ini. Zizan berkata, dia menganggap isu itu adalah sensitif dan sebagai orang luar, dia tidak berhak mencampuri urusan tersebut. "Sejujurnya satu-satunya individu yang berhak bercakap mengenai perkara ini adalah Dira sendiri kerana dia lebih mengetahui. Tambahan pula isu ini sangat sensitif dan kesahihan cerita tersebut belum tentu benar. "Jadi adalah lebih baik saya tidak mencampuri urusan orang lain kerana takut ia akan menimbulkan masalah," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Zizan juga enggan mengulas mengenai kehilangan Dira daripada program itu yang telah menimbulkan tanda tanya peminat setia rancangan hiburan tersebut. "Baik pihak produksi mahupun Dira saya memang tidak pernah bertanya mengenai kehilangannya daripada program itu kerana tidak mahu masuk campur. "Apabila penerbit memberitahu saya akan digandingkan dengan orang berbeza, saya anggap Dira mempunyai komitmen lain," ujarnya. Sementara itu, ditanya mengenai keserasiannya bersama Awal Ashaari yang menggantikan Dira, Zizan memberitahu dia senang bekerja dengan pengacara itu. Ujar Zizan, dia tidak pasti sama ada Awal akan terus kekal mengacarakan program itu bersamanya atau pun hanya untuk sementara. Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia ingin terlibat secara serius dalam dunia lakonan dengan membawa pelbagai watak dan tidak hanya tertumpu kepada genre komedi sahaja.

Zaibo Lalui Pengalaman Terguris Dengan Anak Tiri


PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zaibo menjelaskan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang baru dua tahun mendirikan rumah tangga bukannya mudah apatah lagi dia mempunyai sembilan orang anak tiri.

Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 56, berkata, kadang-kala perasaan terguris dengan sikap anak-anak yang masih belum matang itu wujud tetapi ia harus dibuang agar seorang bapa itu tidak berperangai seperti budak-budak.

“Saya mengaku, di awal perkahwinan, saya agak sukar untuk berhadapan dengan keletah anak-anak tiri yang masih kecil kerana saya tiada pengalaman mempunyai anak sebelum ini. Anak-anak yang dah dewasa tiada masalah kerana mereka pandai membawa diri dan ada pula yang sudah berkahwin

“Tetapi syukurlah saya mempunyai isteri yang banyak membantu serta mengajar saya bagaimana untuk mengendalikan anak-anak berdasarkan kepada pengalaman yang dia lalui,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.

Zaibo menamatkan zaman bujangnya dengan ibu tunggal beranak sembilan iaitu Siti Hawa Shawal,47, pada 3 Disember 2010.

Hubungan mereka sebagai sahabat yang terjalin selama 15 tahun itu bertukar sebaliknya apabila kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Siti Hawa mempunyai anak berusia di antara empat hingga 26 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Zaibo berkata, daripada sembilan orang anak tirinya, lima di antara mereka sudah bekerja dan masih belajar di pusat pengajian tinggi sementara empat yang lain masih bersekolah.

Katanya, sikap anak-anak yang sentiasa perlu diberi nasihat adalah satu perkara biasa tetapi ia sebenarnya agak baru dalam dirinya apabila bergelar “bapa segera”.

Zaibo menambah dia bertuah kerana telah mengenali keluarga isterinya sejak sekian lama dan perkara itu adalah kelebihan untuk dia mendekati anak-anak dengan lebih rapat.

“Saya gembira dalam masa empat bulan selepas kahwin, hubungan saya dengan anak-anak tiri saya menjadi rapat terutama sekali empat orang anak yang berusia dari empat hingga 11 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain menurut Ziabo, pada masa ini dia banyak menghabiskan masa dengan tinggal di rumah isterinya di Rengit, Batu Pahat, Johor dan akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya terdapat tawaran berlakon.

Selain belajar hidup cara orang kampung, Zaibo turut bercampur dengan masyarakat di kampung berkenaan selain mengambil serta menghantar anak-anak ke sekolah pada setiap hari.

“Suasana selepas berkahwin amat berbeza. Percaya atau tidak, saya dan isteri akan bergilir-gilir buat kerja dapur. Selepas pergi ke pasar, kadang-kadang saya yang masak. Kalau saya penat, dia pula yang sibuk di dapur. Menarik sangat pengalaman kami ini,” katanya.

Aida (Gadis Melayu) Tidak Anggap Penyakit Jantung Anak Sebagai Beban


PETALING JAYA: Bekas juara rancangan Gadis Melayu, Aida, 26, mengakui agak tertekan dengan masalah penyakit anak sulungnya, Aida Eirdeena Mohd Saiful Nizam, 10 bulan, yang mengalami Truncus Arteriosus Type 1 (jantung kongenital) sejak dilahirkan.

Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaaidah Zali berkata, tekanan itu menjadi semakin kurang apabila dia menganggap perkara itu adalah ujian daripada Tuhan selain bersyukur anaknya semakin pulih sejak menjalani pembedahan pada tahun lalu.

"Tipulah kalau saya tak rasa sedih dan tertekan, namun saya tidak anggap pun penyakit Eirdeena sebagai satu bebanan. Sebaliknya, saya reda dengan ujian.

"Sepatutnya saya perlu lebih bersyukur sekurang-kurangnya Eirdeena ada potensi untuk sembuh jika nak dibandingkan dengan kes-kes kanak-kanak yang mempunyai penyakit yang tidak dapat diubati langsung.

"Saya dan suami (Mohd, Saiful Nizam Ismail) juga bersyukur kerana kami masih lagi mampu untuk menanggung kos perubatan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Aida, walaupun berjaya menjalani pembedahan tersebut, penyakit berkenaan tidak akan sembuh seratus peratus.

"Eirdeena mungkin akan dibedah pada masa akan datang bergantung kepada aliran darah ke paru-paru yang menggunakan tisu homograf semasa pembedahan sebelum ini.

"Apa-apa pun, saya akan memastikan dia diberi ubat mengikut masa yang ditetapkan dan saya mengambil langkah mencari maklumat mengenai penyakit anak saya ini, sekiranya berlaku apa-apa kepadanya. Saya dan suami juga mencuba kaedah perubatan tradisional," ujarnya.

Dalam perkembangan Aida turut menjalankan perniagaan tudung di bawah jenamanya sendiri iaitu CitrAida yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dekat sini yang beroperasi sejak sebulan lalu.

Aida memberitahu dia menjual pelbagai jenis tudung seperti tudung ekspres, tudung Syria, pelbagai jenis selendang dan juga tudung bawal.

Katanya, kebanyakan tudung berkenaan diimport dari China, Indonesia dan Turki yang dijual dengan harga dari RM20 hingga RM100.

"Alhamdulillah apabila memiliki perniagaan sendiri ia lebih memudahkan untuk saya menguruskan masa," ujarnya.

Untuk melihat koleksi tudung yang dijual oleh Aida boleh lawat Facebook miliknya menerusi akaun CitrAida.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails