Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

MAJLIS RESEPSI FOUZIAH GOUS & ZHAFRAN

Gambar-gambar majlis resepsi Fouziah Gous dan Md Zhafran Md Yusof yang berlangsung semalam (29 September) di Hotel Marriot Putrajaya. Tahniah diucapkan kerana majlis tersebut memang meriah dan penuh warna warni. Untuk imbasan, pasangan ini telah bernikah pada 21 September lalu di Dewan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

KUNCI CINTA BLACK & NAQUIA DI KOREA

Meskipun bulan Madu Black Mentor Dan Isterinya Naquia terganggu akibat cirit-birit, muntah-muntah dan keletihan gara-gara keracunan makanan ketika berada di Langkawi, Kedah, namun percutian mereka seterusnya di Korea Selatan berjalan lancar. Apa yang menarik, mereka yang bernikah pada 13 September lalu itu sempat memasang padlock di sana, iaitu tradisi yang dinamakan love lock atau kunci cinta. Untuk info, 'kunci cinta' kebiasaannya dilakukan oleh pasangan bercinta di mana nama dan perasaan ditulis pada padlock sebelum anak kuncinya dilempar jauh.

Awi Rafael Sudah Temui Pengganti Hanez Suraya?

Setelah beberapa bulan hubungan cinta antara penyanyi Awi Rafael dan pelakon Hanez Suraya berakhir, tersebar khabar angin mendakwa kononnya Awi Rafael mula menjalinkan hubungan cinta dengan Sasha Saidin. Dan dalam masa yang sama timbul juga spekulasi yang mengatakan bahawa Hanez Suraya sudah bertemu teman lelaki baru, berikutan tersebarnya beberapa foto mesra mereka sekitar 17 September lalu. Bagaimanapun, masing-masing telah menepis khabar angin tersebut dan menjelaskan bahawa hubungan mereka sekadar teman biasa sahaja. Terbaru, penyanyi yang popular dengan lagu Kalau Aku Kaya ini dikatakan sudah menemui cinta baru. Gosip tersebut dikukuhkan lagi ekoran Awi memuat naik beberapa fotonya bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Sarah Anne. Ramai peminat yang memuji kecantikan gadis itu. Akan tetapi Awi telah membalas respon tersebut dengan menjelaskan bahawa dia dan Sarah sekadar teman biasa dan tiada sebarang ikatan istimewa antara mereka. Hmm...

Berita Aaron Aziz Meninggal Dunia Berita Palsu!

Tergelak besar sekejap bila kami mendengar berita ini. Pelakon kesayangan ramai Aaron Aziz diberitakan meninggal dunia. Yang buat kami tergelak, beliau dikatakan meninggal sewaktu mengalami kemalangan ketika sedang bermain luncur salji di Zermat Ski Resort, Switzeland. Ya, berita kematian memang tak boleh dibuat main - kami serius! Pagi ini, sedang kami semua kelam kabut menyediakan berita-berita terbaik untuk tatapan para pembaca MD pagi ini, penulis mendapat satu panggilan telefon dari seorang teman, katanya, "Nak tanya ni, betul ker Aaron Aziz meninggal dunia? Masa main salji kat Switzeland. Ada kat internet", kata si teman. "Hah?! Mana dapat cerita ni???, terkejut penulis dibuatnya. Tiba-tiba meja hiburan kami jadi kecoh dengan berita itu. Namun setelah dipastikan, berita kematian pelakon Aaron Aziz yang tersebar di internet adalah palsu belaka. Dari pemantau kami menerusi Twitter dan Instagram milik Aaron - dua hari lalu pelakon filem KL Gangster 2 ni memaklumkan dia berada di Doha.
Dan kali terakhir pelakon ini mengemaskini di lama Instagramnya ialah semalam, di mana Aaron meluahkan rasa rindunya kepada anak perempuan.
Kami doakan Aaron dalam keadaan baik-baik saja.

'Aksi Panas' Bersama: Aishah Ilyas Letak Syarat, Johan Bimbang

Pertama kali dituntut melakonkan babak menghairahkan dan diranjang bersama pelakon Johan As'ari dalam filem seram Paku, Aishah Ilyas mengakui berasa segan dan malu. Bagaimana pun bakat baru yang mula dikenali menerusi drama bersiri Dejavu di Kinabalu ini tetap menyahut cabaran daripada pengarahnya iaitu P. Ramesh. Namun disebabkan perasaan segan dan bimbang menyelebungi dirinya, Aishah meletakkan syarat sebelum melakonkan babak panas tersebut. Ini disebabkan dia bimbang kalau-kalau lakonannya disalah erti dan sengaja disensasikan. "Ni kali pertama saya melakonkan babak intim dan berpegang-pegangan. Jadi saya memang tak tahu macam nak buat ekspresi untuk babak tu. Saya minta bantuan dari pengarah. Selain Johan juga membantu saya. Tak dinafi, saya malu dengan Johan sebenarnya. "Semasa melakonkan babak tu, saya letak syarat. Walaupun ia hanya camera trick tapi saya beritahu pengarah dalam bilik tersebut tak boleh ada ramai orang. Hanya beberapa orang penting yang boleh saksikan lakonan kami ketika itu. Lagipun untuk adegan tu saya memakai tiub, jadi saya rasa segan", katanya yang ditemui pada pelancaran trailer Paku bertempat di TGV, One Utama, baru-baru ini. Sementara itu, Johan yang turut hadir juga meluahkan rasa bimbang mengenai babak lakonan mereka itu akan disalah erti sekaligus risau kalau-kalau ianya menimbulkan fitnah apabila filem tersebut ditayangkan kelak. "Saya pun bimbang juga. Tapi ingin saya jelaskan yang itu hanyalah lakonan semata. Hanya ekpresi saya saja untuk mejayakan adegan itu. Saya sendiri pun minta hanya orang-orang tertentu saja yang berada dalam bilik itu sewaktu penggambaran dijalankan. "Tapi yang pasti kami tak lakukan apa-apa yang melampaui batas. Lakonan kami juga dibantu camera trick. Saya harap ianya tidak menimbulkan fitnah nanti", ujarnya.
Filem Paku berkisarkan tentang seorang suami yang tidak dapat menerima kematian isteri, lantas menggunakan ilmu hitam untuk menghidupkan kembali isterinya. Filem terbitan Nusantara Seni Karya ini dibintangi oleh Aishah Ilyas, Johan As’ari, Azad Jasmin, Diddy Hirdi, Zaidi Omar dan Kamal Adli. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 12 Disember depan. - mD

Rahsia jodoh ADAM-FIZA

TIDAK ramai lelaki boleh terima status ibu tunggal untuk dijadikan suri hidup. Tetapi tidak Adam," kata pelakon Fiza, 32, selepas rasmi bergelar isteri kepada Adam, 30, pagi Khamis lalu. Malah ibu kepada Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, terpikat pada kebaikan Adam yang tidak pernah menilai dirinya berdasarkan cerita masa silam yang pernah dilalui. Sementelah sudah berhijrah dan mencari pasangan hidup yang boleh menjadi pemimpin ke jalan Allah, Fiza memanjatkan kesyukuran apabila doanya bertemu jodoh termakbul. Bahkan Fiza menganggap Adam adalah imam terbaik kurniaan-Nya dan seharusnya dijaga hingga ke akhir hayat. "Penghijrahan hidup yang dibuat saya sebelum Ramadan lalu membuatkan hidup saya tenang. Dan rasa ketenangan itu bertambah-tambah selepas selesai majlis nikah dengan Adam. "Saya percaya soal jodoh dan rezeki adalah dua perkara itu amat rahsia dan sukar dijangka. Perkahwinan ini adalah hadiah penghijrahan saya. "Sebab saya tak menyangka jodoh saya begitu mudah dengan Adam. Dua bulan kami berkawan rapat dan terus berkahwin. Berbanding kisah cinta saya dengan dua teman lelaki sebelum ini yang cukup sukar. "Perjalanan kehidupan kita sudah ditetapkan-Nya. Semakin dekat kita menghambakan diri kepada-Nya, semakin dipermudahkan urusan kehidupan kita," katanya. Fiza sebelum ini pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 2006 sebelum bercerai empat tahun kemudian.
Sementara itu Fiza dan Adam selamat dinikahkan kira-kira pukul 10.30 pagi oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakif dengan diwalikan bapa Fiza, Abdul Halim Abdul Aziz. Dalam majlis itu Fiza menerima sepersalinan lengkap barangan solat seperti telekung, al-Quran, cincin dan mas kahwin berjumlah RM300. Sengaja mengusik Fiza yang bertemu jodoh lebih dulu berbanding Ahmed Farriq yang dijangka berkahwin hujung tahun ini, wanita ini tersenyum sebelum berkata: "Dah jodoh. Nak buat macam macam mana". Menafikan dia menyasarkan tempoh tertentu untuk menamatkan zaman solonya selepas kegagalan perkahwinan pertama, Fiza menambah perkara itu bukan keutamaan sebaliknya mahu melihat anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang. "Alhamdulillah hubungan saya dengan bekas suami dan bekas keluarga mentua baik. Sewaktu saya mengkhabarkan mereka tentang perkahwinan ini pun mereka dapat menerima dengan terbuka. "Saya juga bersyukur apabila Adam menerima baik kehadiran Ferra dan Feeya. Sebenarnya anak-anak amat menyenangi Adam pada kali pertama saya memperkenalkan pada mereka. "Anak-anak tanya bila Mummy nak bawa jumpa Abi (Adam), saya tak sangka mereka boleh menerima Adam sebegitu cepat. "Saya juga bersyukur apabila keluarga suami menerima status saya sebagai ibu kepada dua anak hasil pernikahan terdahulu. Itu yang menyentuh perasaan wanita saya," katanya penuh syukur.

Gabungan Awie-Erra, Isteri tak cemburu

PASTI ramai yang menanti-nantikan kemunculan Awie dan Erra Fazira di satu pentas dan rencana untuk menggabungkan mereka bakal terlaksana pada satu konsert tahun hadapan. Tentu sahaja ini satu berita yang mengujakan bagi peminat mereka apatah lagi gabungan itu turut melibatkan Ziana Zain. Apatah lagi tiga nama ini masih kekal berpengaruh sehingga kini selepas menggegarkan industri seni dengan kemunculan masing-masing sekitar tahun 1990-an dulu. Malah filem Sembilu lakonan mereka pernah menjadi antara filem pecah panggung ketika ditayangkan. "Kehebatan gabungan kami bertiga masih diingati sampai hari ini. Saya percaya peminat kami satu ketika dahulu masih ternanti-nanti kesinambungan apakah yang akan kami buat pada masa hadapan. "Rentetan daripada permintaan-permintaan tersebut akhirnya membuatkan saya terfikir kenapa tak gabungkan sahaja kami bertiga. Ini idea yang baik dan perlu diteruskan. "Sebab itu saya bercadang untuk buat satu persembahan yang melibatkan kami bertiga. Konsepnya, persembahan nyanyian dan lakonan yang akan diadakan di Istana Budaya," jelas Awie baru-baru ini. Sejak insiden putus cinta satu ketika dahulu, Awie dan Erra Fazira cukup jarang sekali digandingkan sama ada di dalam persembahan pentas atau mana-mana filem. Meskipun begitu, tidak ada isu yang harus dibangkitkan sementelah masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga dan melupakan kisah yang terjadi antara mereka. Saat ditanya apakah isterinya, Rozana Misbun tidak cemburu melihat dirinya yang akan bergabung dengan Erra Fazira nanti, Awie tidak merasakan itu satu isu yang harus diperbesarkan. "Setiap kali ada majlis atau apa-apa persembahan yang melibatkan saya dan Erra pastinya dia akan saya beritahu dahulu. Masing-masing sudah ada keluarga dan tak ada apa yang harus dirisaukan. "Cuma saya berterima kasih kepadanya kerana selalu memahami saya. Tidak cemburu dan tak kisah memandangkan pertemuan saya dan Erra atas dasar kerja dan profesionalisme semata-mata. "Bila melibatkan hal-hal yang sensitif ini sudah pasti banyak hati yang perlu dijaga. Apa-apa pun setakat ini isteri tidak ada masalah untuk membenarkan saya bekerjasama dengan Erra," jelasnya. SuperMokhSelain sibuk merencanakan konsert tersebut, Awie juga bakal terlibat di dalam teater SuperMokh The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bulan November ini. Teater muzikal yang diinspirasikan daripada kisah legenda bola sepak tanah air, Datuk Mokhtar Dahari yang digelar SuperMokh itu bakal digalas oleh Awie selaku tunjang utama. Meskipun begitu, vokalis kumpulan Wings ini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghidupkan watak Mohktar Dahari di atas pentas teater. "Sebenarnya saya pernah berjanji untuk tidak terlibat dengan mana-mana teater muzikal. Tapi bila Hans Isaac menawarkan watak SuperMokh ini kepada saya, saya rasa tidak ada sebab untuk menolak. "Ini watak legenda dan sudah tentu cerita tentang Supermokh ini menjadi inspirasi kepada ramai peminatnya. Saya anggap pemilihan saya sebagai penghormatan saya kepada Supermokh yang dikenali di seluruh Asia. "Ini kisah yang menarik untuk ditonton. Walaupun wajah Supermokh nampak garang tetapi hatinya lembut dan dia memang lelaki yang baik. Banyak lagi kisah yang tidak diketahui umum bakal diceritakan melalui SuperMokh The Musical nanti," kata Awie.

Jangan 'kotorkan' wanita - Sharifah Amani

JIWANYA resah, hatinya gelisah melihat persekitaran industri yang semakin tidak menentu. Ketidaktentuan industri hiburan tempatan secara amnya dilihat sebagai satu perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Tidak hanya melihatkan jumlah kutipan tiket wayang yang tidak memberangsangkan tetapi yang lebih dikesalkan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid adalah isu watak wanita tidak mengangkat martabat wanita. "Apa yang kita ada? Banyak drama atau pun filem hanya meletakkan wanita watak sebagai isteri teraniaya, hidup bermadu, kena rogol atau watak-watak pelacur yang hidup terumbang ambing. "Kebanyakan karya meletakkan wanita yang pada tahap paling rendah. Sampai bila wanita harus diletak sebagai 'penyedap' dalam sesebuah karya? "Padahal peranan wanita lebih daripada itu. Saya pasti kebanyakan wanita di luar sana pun tak ingin melihat kaum mereka digambarkan sebagai manusia yang lemah," katanya. Cukup mesra disapa dengan panggilan Nani, dia sedar isu ini sedikit sensitif memandangkan melibatkan beberapa pihak lain yang punya alasan tersendiri mengapa wanita harus digambarkan sedemikian. "Alasan mereka penonton mahu menonton dan karya begitu mendapat rating tinggi," tambahnya kesal. Menganggap wanita tidak semestinya digambarkan sebagai wanita yang lemah, Nani masih teringat karya-karya lalu saat dia terlibat dengan produksi Yasmin Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2009 yang lalu. "Cuba lihat beberapa tahun kebelakangan ini mana karya yang mengangkat kaum wanita? Boleh dikatakan wanita tetap digambarkan sebaliknya sampai hari ini. "Sampai bila kita nak terus mengajar penonton yang wanita hanya tempat melepas nafsu? Mungkin suara saya sedikit lantang tapi apa yang saya katakan adalah kebenaran. "Kalau saya tak perjuangkan nasib wanita siapa lagi? Dan isu yang paling besar adalah sampai bila?" soalnya. Rentetan daripada isu berkenaan, wanita yang menginjak usia 27 tahun itu enggan lagi terlibat dalam naskhah-naskhah yang merendahkan wanita. "Saya dengan rela hati menolak untuk terlibat dalam naskah sebegini. Tak ada masalah besar pun untuk menolak asalkan saya tidak menjatuhkan kami, kaum wanita. Kalau orang nak kata saya memilih pun saya tak ada masalah dengan gelaran itu," ujarnya. Filem tak laku, di mana silapnya? Menyorot kembali apa yang telah berlaku kepada industri sejak akhir-akhir ini jumlah kutipan filem tempatan di panggung sedikit menakutkan. Meskipun membariskan nama-nama besar dengan jalan cerita yang baik tetapi penonton enggan ke panggung dan ini tentunya merencatkan sedikit pertumbuhan industri perfileman, Paling dekat sudah pasti melihatkan filem Psiko Pencuri Hati yang meletakkan Nani sebagai tunjang utama karya arahan Namron itu. "Orang kita enggan ke panggung dan menonton filem tempatan. Mereka lebih gemar pada filem-filem antarabangsa dan langsung tidak memberikan ruang kepada karya sendiri. "Sejujurnya saya sangat takut dengan keadaan ini. Ini isu yang semakin meruncing tetapi sampai sekarang belum menunjukkan jalan penyelesaian. "Golongan urban bagi alasan tak mahu tengok filem tempatan tapi orang biasa pun tak mahu juga ke panggung? Habis macam mana?" katanya. Tidak mahu meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak, Nani menegaskan semua ini perlu berbalik kepada asas pendidikan di sekolah yang kurang menerapkan semangat untuk mencintai karya tempatan. Jika keseluruhan rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi sudah pasti tidak akan menimbulkan isu yang lebih rumit seperti yang berlaku hari ini. "Lihat sahaja hasil seni kita seperti makyung, wayang kulit, menora, main puteri dan macam-macam lagi sudah semakin dilupakan oleh generasi hari ini. "Kalau kita tak ada semangat untuk mengambil tahu akar budaya dan seni sendiri tak mustahil pada masa akan datang tak ada apa yang boleh kita ceritakan pada anak cucu. "Sebab itu kita perlu usaha yang menyeluruh untuk mengatasi isu ini. Masalah depan mata kita buat tak nampak tapi kita sibuk dengan hal lain yang tak penting," katanya penuh sinis. Disayangi Pernah dilabel lantang dan panas baran satu ketika dahulu, Nani menganggap dia berjaya mengawal sikap tersebut sedikit demi sedikit seiring dengan peningkatan usia. "Saya dah kurangkan banyak sikap tersebut sejak beberapa tahun lalu. Dulu mungkin saya tak boleh dikutuk dan akan mempertahan diri saya. Tapi sekarang saya lebih rileks. "Tak ada guna nak melatah dengan isu yang sengaja digembar-gembur orang yang tak puas hati dengan kita. Selagi kita menjawab selagi itu sesuatu isu itu tak akan habis. "Saya ini jenis yang berterus terang dan jujur. Kalau tak elok pada mata saya pasti saya cakap yang benar. Tak guna nak jadi hipokrit, cakap pusing-pusing. "Cuma saya bersyukur kerana dikelilingi oleh mereka yang menyayangi saya seperti keluarga, teman-teman dan rakan-rakan artis yang menjadi guru terbaik buat saya. "Bila mereka ada sudah cukup untuk membuat saya selesa. Mereka bukan sahaja bagi semangat tetapi bagi inspirasi dan kekuatan pada saya menempuh hari-hari mendatang," katanya. Namun yang dirisaukan oleh Nani adalah apabila melihat keghairahan peminat menegur di laman sosial seperti Instagram sejak akhir-akhir ini. "Ada yang terlalu mahukan perhatian sehingga mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Ini bukan caranya untuk mereka bergaduh sesama sendiri atau tulis bukan-bukan. "Banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk diterokai daripada terus taksub kepada media sosial seperti itu," tegas Nani. Jadi pilihan Larut dalam emosi, Nani sebenarnya masih boleh tersenyum lebar apabila dia terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar jelas Akademi Fantasia 2013 (AF2013) bersama Roslan Aziz dan Edry Abdul Halim . Menganggap dirinya berupaya, dia sebenarnya mewakili golongan muda yang tahu apa 'ramuan dan rencah' untuk mencari bintang baru melalui AF2013. "Saya tidak boleh menilai diri sendiri tapi apa yang boleh saya katakan mungkin mereka melihat saya generasi muda yang cukup dekat dengan peserta AF2013 kali ini. "Jarak umur yang tak jauh ditambah dengan pengalaman saya sebagai anak seni membuatkan saya tahu peserta mana yang berbakat dan boleh dilahirkan sebagai bintang pada masa hadapan. "Saya mungkin tak tahu mendalam mengenai muzik tapi saya boleh mencari dan menilai orang lain dengan cara lain. Melihat mereka berjalan, bercakap dan aspek-aspek lain. "Kalau betul dengan caranya tak mustahil AF2013 melahirkan superstar seperti yang diharapkan semua," jelas pengkritik tetap AF2013 itu. Pun begitu, Nani cukup gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peminat yang teruja dengan kemunculannya bersama rancangan tersebut. "Ramai yang tweet dan hantar mesej menyatakan kegembiraan mereka melihat saya di kaca TV (televisyen). Saya pun tak selalu keluar TV sebab itu saya tahu ramai yang ternanti-nanti. "Setidak-tidaknya saya tahu masih ada peminat yang sayang dan rindu dengan saya," katanya tertawa. Bagi Nani, dia tidak pernah meletakkan perspektif buruk mengenai rancangan realiti TV meskipun ramai yang menganggap rancangan seperti itu sudah tidak relevan buat masa ini. Ujarnya, masih banyak program realiti yang bagus terutama membabitkan program antarabangsa yang boleh dikutip sebagai pelajaran. Dan kongsi Nani sebelum beredar, selepas hampir sedekad meninggalkan pentas teater, dia akan kembali, kali ini bermonolog untuk karya Namron berjudul Aku Nak Jadi Bintang. Bermula 29 Oktober hingga 3 November ini, antara artis yang terlibat sama adalah Sofia Jane, Vanidah Imran dan Aqasha. Teater itu bakal dipentaskan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails