Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya tak masuk campu hal Fasha, Tiz!'


"MALAS saya mahu memanjangkan perkara ini. Bila difikir balik macam-macam perasaan yang timbul - marah, sakit hati, nak ketawa pun iya.

Biarlah Fasha (Sandha) dan Tiz (Zaqyah) mempertahankan pendirian dan prinsip masing-masing, saya tidak mahu masuk campur.

“Saya bimbang apabila terlalu banyak bercakap, nanti niat baik saya disalah tafsir dan akhirnya nama serta kerjaya saya menjadi korban. “Tak perlulah heret saya dalam kontroversi ini kerana bukan itu yang saya cari apabila memilih untuk menjadi anak seni empat tahun lalu,” kata Almy Nadia mengulas kontroversi antara dua pelakon itu yang turut mengheret sama namanya dalam kekalutan itu.

Almy, 24, berkata, dia tertanya sendiri mengapa perlu namanya dan kekasihnya, Fizz Fairuz diheret dalam permasalahan itu.

Sedangkan mereka tidak pernah mencampuri urusan peribadi dua nama popular itu.

Bahkan kata pemilik nama lengkap, Almy Nadia Aminuddin Shah ini, dia juga tidak mahu kontroversi itu akan menjauhkan hubungan baik yang dipupuk bersama pihak media selama ini.
Kata Almy yang menganggap dirinya menjadi mangsa dalam pertelagahan orang lain, dia lebih selesa mengunci rapat bibirnya daripada terus memburukkan keadaan.

“Jika saya terus berbalas kenyataan, mungkin nanti ada yang tersalah tafsir. Saya agak tertekan kerana bukan saya yang memulakan.

Cukup saya simpan sendiri saja segala cerita sebenar. Diam itu lebih baik kerana saya bimbang, jika tersalah langkah karier saya jadi taruhan,” katanya.

Akur dia juga tewas dengan perasaan ketika kontroversi itu mula diperkatakan, Almy berkata, setiap apa permasalahan yang berlaku dia akan merujuk kepada Fizz untuk mencari titik penyelesaian.

“Awal dulu Fizz agak melenting, malah saya juga menjadi mangsa kemarahannya gara-gara kontroversi itu. Alhamdulillah, Fizz seorang yang matang dan tangkas menangani isu itu. Selepas mendengar penjelasan, dia cepat tenang. Biasalah dalam setiap hubungan pasti ada turun naik. Ada hari kita ketawa, ada masanya menangis tetapi jangan kerana terlalu mengikut hati akhirnya memakan diri sendiri.

“Itu yang sedang saya lakukan dan saya berterima kasih kepada Fizz yang memberi kekuatan untuk saya matang menghadapinya,” katanya.

Gadis bertubuh kecil molek dari Pulau Pinang ini berkata, walaupun masih hijau dalam industri hiburan namun dia perlu pantas belajar untuk memahami permainan manusia di dalamnya.

Kata Almy, setiap apa juga perkataan yang terbit daripada bibir perlu diiringi pemikiran yang rasional supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.

“Disebabkan itu saya enggan memberi komen lanjut dalam hal ini. Biarkanlah Fasha dan Tiz menyelesaikan masalah mereka sendiri, cukup saya memandang dari jauh.


“Banyak hati yang perlu saya jaga, lebih lagi memikirkan amanah emak di kampung supaya saya sentiasa memelihara nama baik mereka.

Apabila terpalit kontroversi begini emak jadi bimbang. Kasihan dia. Itu yang buat saya begitu berhati-hati kerana tidak mahu terjerat kontroversi murahan seperti ini,” kata gadis yang meledak nama selepas membintangi drama bersiri, Dunia Baru.

Akur pernah menangis pada permulaan kontroversi itu hangat diperkatakan, Almy berkata, dia enggan mencipta permusuhan dengan sesiapa.

Telus akui Almy, dunianya cuma lokasi penggambaran dan rumah. Sesekali apabila mempunyai waktu terluang dia akan memenuhi permintaan media untuk berkongsi cerita mengenai kariernya.

“Saya mahu dikenali kerana hasil kerja dan bukan perkara seperti ini.

Peminat tidak bodoh, mereka juga boleh berfikir baik dan buruk sesuatu tindakan. Saya cuma menjadi diri sendiri dan bersikap jujur. Apabila ditanya wartawan, saya belajar untuk berterus terang. Tiada guna saya menyembunyikan hakikat sebenar, lambat laun pekung yang cuba ditutup akan terbuka juga.

“Emak ketika memberi restu untuk saya berlakon selalu berpesan supaya menjauhi kontroversi. Saya pun malu jika lebih dikenali kerana kontroversi dan bukan kerja,” katanya.


Mencabar bawa watak gadis bisu

BERALIH bicara mengenai kerjaya lakonan, Almy yang pernah membintangi filem seperti Nana Tanjung, Dunia Baru The Movie, Bisikan Ablasa, Skrip 7707 dan Jangan Tegur bersyukur kerana semakin meraih kepercayaan penerbit untuk memberinya watak mencabar.

Kini sibuk di lokasi drama komedi, Man Dengan Ida, Almy berkata, dia bertuah kerana penerbit mula berani mencungkil sisi baru lakonannya.
Juga dikenali dengan watak antagonis, Almy seronok apabila penonton mula memberi reaksi positif terhadap lakonannya dalam Janji Kekasih siaran TV3 setiap Jumaat.

Bagaimanapun, kata Almy, kepuasan sebenar dirasainya apabila membintangi drama, Jangan Bunuh Matahariku di samping Rita Rudaini dan Wan Elyas. Dalam drama itu, Almy memainkan peranan sebagai Cinta seorang gadis bisu yang mewarisi kecacatan daripada ibunya.

“Agak berat kerana watak Cinta memerlukan saya berkomunikasi dengan mahir menggunakan bahasa isyarat. Disebabkan waktu terbatas, saya cuma sempat membuat persiapan serba sedikit.

“Belajar bahasa isyarat pun hanya tiga jam sebelum penggambaran bermula. Bayangkan betapa sulitnya situasi saya ketika itu.

Mujur emak Wan Elyas bertugas sebagai guru pendidikan khas, jadi jika ada kemusykilan kami akan berhubung. Memang mencabar namun itu yang menguji keupayaan saya untuk menjadi pelakon yang baik,” katanya.

'Cuma putus cinta, bukan silaturrahim'-Zul-Aida


Zul Handy Black dan Aida Aris tetap berkawan meskipun putus kasih sejak Disember lalu

TIGA tahun menjalin percintaan, Disember lalu menjadi penamat ikatan cinta antara Zul Handy Black dan aktres jelita, Aida Aris.

Mereka akur kasih yang bersemi selepas masing-masing berdepan kegagalan tidak mampu membawa cinta yang disulam itu ke jenjang pelamin. Pemilik nama lengkap, Nurzul Suphian, 35, itu berkata, dia dan Aida akhirnya menyedari antara mereka cuma serasi sebagai teman dan tidak lebih daripada itu.

Bagaimanapun, kata Zul, cinta yang patah di pertengahan jalan tidak sesekali menjarakkan keakraban mereka berdua. Enggan terus dibaluti kekecewaan, Zul meluahkan mereka dipertemukan Tuhan cuma untuk mengenal erti cinta dan rindu.

“Selepas tiga tahun, kami akhirnya menyedari tidak mampu membawa hubungan ini pergi lebih jauh. Apa yang dirancang sejak awal hubungan kami berputik tidak menjadi kenyataan, mungkin kami lebih sesuai sebagai kawan. Apa juga yang berlaku, hubungan saya dan Aida masih baik. Kami masih berhubungan kerana saya juga rapat dengan keluarga Aida.

“Yang berakhir cuma hubungan kami berdua, tetapi silaturahim yang terjalin dengan keluarganya tidak akan putus,” kata Zul tenang meleraikan segala pertanyaan ketika ditemui pada sesi pratonton filem terbaru lakonannya, Mantra, Rabu lalu.
Tidak menafikan hatinya masih dilingkari kekecewaan lantaran hajat untuk bergelar suami kepada wanita yang dicintainya itu tidak kesampaian, Zul tetap berterima kasih kepada Aida. Baginya, kehadiran aktres tinggi lampai itu serta tiga tahun yang dilalui mereka bersama kekal sebagai detik terindah dalam kehidupannya.

“Cinta antara kami sudah berakhir tetapi Aida akan tetap menjadi teman baik saya. Mungkin berteman itu lebih baik buat kami berdua,” katanya.

Vokalis Handy Black itu turut memaklumkan, dia juga sudah menarik diri daripada syarikat produksi yang diasaskannya bersama Aida, Cintakasih Productions Sdn Bhd.

“Syarikat itu masih ada tetapi saya serahkan kepada Aida untuk menguruskannya sepenuhnya. Saya tidak akan membencinya kerana selama bersama Aida juga banyak membantu mematangkan karier seni saya,” kata Zul yang semakin aktif menggilap nama sebagai pelakon.

Beralih bicara mengenai kariernya, Zul yang diberi kepercayaan oleh MIG untuk menggalas watak utama dalam filem ke-38 terbitan syarikat itu, Mantra mengakui berpuas hati dengan peranan yang dimainkan. Membawa watak Muzir yang mengamalkan ilmu hitam, Zul berkata, dia bagaikan tidak percaya mampu mempamerkan mutu lakonan di luar jangkauannya.

“Mantra yang dibacakan itu memang wujud. Mungkin kerana terlalu banyak bermantera, jiwa saya seperti diresapi hingga memberi impak kepada persembahan lakonan saya.

“Jujurnya saya dapat merasakan seperti ada gangguan yang berlaku dan ada rahmatnya, semua itu membantu untuk meluahkan ekspresi yang melangkaui kemampuan. Menonton Mantra membuatkan saya tidak percaya mampu berlakon sebaik itu,” katanya yang bergandingan dengan Hasnul Rahmat dan Ana Dahlia dalam filem yang bakal menemui penonton 15 Julai ini.

Zul juga menjelaskan, mantera itu hanya dibaca ketika di lokasi penggambaran kerana berdepan pengalaman menakutkan ketika membuat kajian perwatakan.

“Ketika membacanya sendirian di rumah, saya terasa seperti ada angin yang datang dan ia agak menakutkan. Untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, saya cuma membaca mantera itu apabila di set penggambaran.

Alhamdulillah, Mantra membawa kerjaya lakonan saya lebih jauh dan itu cukup membanggakan,” katanya yang berlakon sejak 2005 bermula dengan Janji Diana.

Pelakon Santau dan Zoo itu berkata, ketika menerima skrip dan menghayatinya dia tercabar untuk menerimanya kerana tuntutan watak Muzir yang berat dari segi emosi dan fizikal. Kepercayaan MIG kata Zul, memberi impak besar kepada karier dan peribadinya kerana dari situ penonton dapat melihat kemampuan sebenarnya.

Nikki ketagih mangga muda


Tetap bersemangat jayakan Shout! walaupun mengandung sulung

KANDUNGAN yang semakin membesar bagai tidak membatasi rutin aktiviti seni Nikki Palikat, malah semangatnya tidak sedikit menurun biarpun perutnya semakin membesar.

Nikki yang sedang hamil lima bulan, hasil perkahwinan dengan komposer popular, Audi Mok dilihat begitu bertenaga ketika ditemui pada sesi latihan pementasan broadway, Shout! The Mod Musical, baru-baru ini. Kata Nikki, Shout! yang akan dipentaskan di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac), Kuala Lumpur dari 15 hingga 21 Julai ini adalah kemunculan terakhirnya sebelum berundur seketika.

Selepas itu, wanita dari Tambunan, Sabah, berusia 25 tahun ini memilih untuk berehat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kandungannya.

“Saya lepaskan semua aktiviti seni perlahan-lahan. Tawaran persembahan masih diterima, cuma Nikki terpaksa membataskan aktiviti.

Ditambah perut yang semakin besar, Nikki bimbang nanti akan menyukarkan pergerakan pula. Tetapi sepanjang lima bulan ini, Nikki memang aktif malah lebih bertenaga berbanding sebelum hamil dulu.
“Nikki sendiri tidak mahu terlalu memanjakan diri. Selagi bertenaga, mengapa tidak Nikki penuhi tawaran yang datang? Harap semangat yang Nikki bawa ini akan menurun kepada bayi nanti,” kata Nikki teruja menanti kelahiran anak lelaki yang dijangka awal November depan.

Kata Nikki yang bernikah dengan Audi pada 27 Jun 2009, tiga bulan pertama kehamilan memberikan cabaran yang cukup menduga.

Dia berdepan alahan yang teruk tetapi pada masa sama, tawaran persembahan sudah banyak dipersetujui. Mahu atau tidak, Nikki kuatkan juga semangat untuk meneruskan persembahan kerana enggan mengecewakan penganjur.

“Bayangkan Nikki sudah bersemangat untuk memulakan nyanyian tetapi ketika itulah Nikki mahu muntah dan sebagainya. Memburukkan lagi keadaan jika persembahan diadakan di lokasi tertutup. Nikki langsung tidak boleh terhidu makanan, jika tidak akan loya. Tiga bulan pertama memang Nikki terpaksa menolak makanan. Tetapi selesai melepasi trimester pertama, Nikki begitu berselera menikmati apa saja hidangan.

“Paling tidak tahan jika diberikan mangga muda. Ia cukup menyelerakan,” kata Nikki yang memilih untuk melahirkan anak pertamanya itu di ibu kota.

Penyanyi yang pernah muncul dengan dua album, Maharani dan Hawa bersyukur kerana suaminya sendiri menggalakkan dia supaya kekal aktif. Bagaimanapun, kata Nikki, sejak kandungannya mencecah lima bulan dia mula merasai sedikit kelainan barangkali kerana berat badannya semakin meningkat.

“Audi sendiri banyak membuat kajian dan membaca mengenai wanita hamil. Jadi dia selesa jika Nikki aktif asalkan aktiviti itu tidak membebankan serta membahayakan kandungan. Lepas berpantang nanti pun Nikki tidak bercadang untuk berehat lama. Apa yang Nikki dengar, Shout! akan memulakan siri jelajah akhir tahun ini.

“Jika perancangan itu menjadi kenyataan, kiranya Nikki kembali tepat pada masanya nanti. Nikki berdoa sangat proses pemulihan akan berjalan lancar kerana Nikki memang jenis tidak betah berehat lama di rumah,” katanya.

Disebabkan hamil juga Nikki menangguhkan perancangan untuk menghasilkan album ketiganya tahun ini. Nikki bimbang tidak berkesempatan melakukan promosi menyeluruh sedangkan seluruh tenaga sudah dicurahkan untuk pembikinan produksi itu.

“Apabila difikirkan balik, lebih baik Nikki bersabar dan menunggu supaya semua urusan selesai. Tidak guna juga bergegas membuat itu dan ini, sudahnya nanti Nikki tidak mendapat kepuasan yang dicari,” katanya.

Paksa diri untuk belajar

PROGRAM Shout! yang diterbitkan Broadway Entertainment serta dijayakan Ning Baizura, Tria Aziz, Tisha Zarina dan Shanel Shanty turut memberikan cabaran baru kepada Nikki. Bukan sekadar membawanya melangkah ke dunia lakonan, Nikki juga dituntut untuk belajar membaca nota muzik dalam pementasan yang diadaptasi daripada muzikal yang pernah menjadi fenonema sekitar 1960-an.

“Tekanan dirasai terutama apabila membabitkan nyanyian berharmoni. Mahu atau tidak, Nikki paksa diri untuk memahami nota muzik kerana sedikit kesilapan akan merosakkan keseluruhan lagu,” katanya mengenai muzikal arahan Michael Xavier Voon itu.

Kembali bergandingan dengan mentornya, Ning Baizura, Nikki yang memainkan watak sebagai The Yellow Girl begitu teruja untuk mencubanya.

“Nikki diminta menyertai uji bakat. Sangka Nikki ia adalah satu siri televisyen, jadi mengapa tidak mencuba nasib. Tidak sangka sebenarnya ia lebih daripada itu.

“Seronok kerana dapat kembali bekerjasama dengan kak Ning. Teater meruntuhkan jurang antara semua pelakon kerana setiap kami memiliki tanggungjawab untuk memastikan ia mencatat kejayaan.

“Jadi masalah persaingan atau mahu menandingi sesiapa wujud kerana setiap pelakon adalah sama,” kata Nikki yang memperoleh tawaran itu selepas dicadangkan oleh bekas mentornya.

Shout! adalah karya Broadway, New York yang diilhamkan daripada gaya hidup majalah pop Shout! yang terkenal. Ia mengembalikan nostalgia dunia fesyen dan pop pada era 1960-an dan 1970-an.

Muzikal yang menggabungkan lagu, drama dan fesyen bagi mewujudkan suasana sebenar zaman itu diterbitkan Broadway Academy (M) Sdn Bhd yang memperoleh lesen dari New York untuk mementaskan Shout! di sini.

Tidak sesal jadi janda muda-Farina Jamhari


DIA tidak pernah menyesal menjadi janda pada usia muda. Farina Jamhari yang digilap melalui Akademi Fantasia 8 (AF8) berkata, lapan tahun bergelar ibu tunggal adalah tempoh yang mematangkan dirinya untuk menjadi lebih kuat.

"Saya berkahwin pada usia 18 tahun. Bekas suami saya (Awang Hasni, 31, kakitangan Petronas) ada pertalian saudara dengan keluarga saya. Ketika umur saya 20 tahun, kami bercerai.

"Saya dan bekas suami sepakat untuk bercerai ketika usia anak sulung kami, tiga bulan. Kami bercerai kerana tiada persefahaman lagi dan saya tidak menyesal dengan apa yang ditakdirkan itu. Mungkin kerana kami berkahwin pada usia yang terlalu muda," katanya.

Kata Farina, 28, selepas bercerai, anaknya, Hasya Yasmin, 8, tinggal dengan ibunya di Sarawak.

"Demi masa depan karier seni, saya putuskan untuk menetap di Kuala Lumpur bersendirian. Sekalipun berjauhan, hubungan saya dan anak perempuan tetap rapat dan kami sering berhubung melalui telefon setiap hari. Hubungan saya dan bekas suami juga masih baik kerana kami bercerai secara baik," katanya.

Sampai hari ini, kata Farina, 28, yang berasal dari Bintulu, Sarawak, ini masih belum terbuka hati lagi untuk berkahwin semula.

"Saya memang ada kawan lelaki tapi hubungan itu tidak lebih daripada kawan saja. Justeru, apabila keluar gosip saya ada hubungan dengan bakal juruterbang yang dikenali sebagai U, saya rasa terkejut kerana kami hanya berkawan baik dan bukan kekasih.

"U yang hubungi saya kerana kawan-kawannya beritahu gambar simpanan peribadi kami dipaparkan di dalam akhbar. Kami pun tidak tahu bagaimana gambar kami makan di kedai mamak itu boleh tersebar. Saya hairan gambar itu yang tersebar dan bukan gambar saya dengan kawan-kawan lelaki lain," katanya.

Kata Farina, dia mula berkawan dengan U pada Disember tahun lalu.
"Kami sudah berkawan baik selama tujuh bulan dan ia tiada membabitkan soal hati. Kali terakhir, kami berjumpa ialah sebelum saya masuk AF8. Saya berharap gosip ini dihentikan segera kerana saya simpati pada U kerana dirinya dikaitkan dengan saya pula," katanya.

Buat masa ini, kata Farina, dia ingin fokus pada karier nyanyian yang diminatinya itu.

"Maklumlah, saya mulakan karier nyanyian pada waktu lewat iaitu ketika usia 28 tahun. Mungkin ramai orang yang tidak tahu, saya terpaksa menunggu selama enam tahun untuk masuk AF8. Sebelum ini, saya pernah buat uji bakat ketika AF2 dan hanya sekadar menjadi pelajar 'KIV' saja.

"Sekarang apabila dapat peluang menjadi artis di bawah pengurusan Best Malaysia Entertainment (BME), saya tidak akan lepaskan peluang mengejar impian saya menjadi penyanyi yang berjaya," katanya.

Pada sesi fotografi Rap bersama Farina yang diatur BME, baru-baru ini, Farina akui status ibu tunggal bukan penghalang buatnya mendapat tempat di persada muzik tanah air. Akuinya lagi, dia juga akan bekerja keras membina namanya kerana tidak mahu dilabel sebagai 'artis mi segera'.

Bagaimanapun kata Farina, ramai tidak tahu dia sudah keluar dari pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), sejak dua bulan lalu.

"Pihak AESB sudah keluarkan lima dari 12 artis yang bernaung di bawah pengurusan mereka dan saya salah seorang daripadanya. Selepas keluar dari AESB, pengurusan BME menawarkan saya bernaung dengan mereka.

"Sebenarnya, saya sudah kenal lama dengan Syuib Ismail yang juga pemilik syarikat BME ini ketika dia menjadi pengurus Bob AF lagi, Saya terus terima tawaran BME untuk mengikat kontrak setahun dengan mereka. Bukan saja Syuib, saya juga sudah kenal Bob kerana kami sering masuk pertandingan lagu asli ketika di Sarawak dulu kerana kami sama-sama berasal dari Sarawak," katanya.

Tambah Farina yang mengagumi penyanyi Dayang Nurfaizah dan Hetty Koes Endang, dia hanya mahu memandang ke depan.

"Saya berharap selepas ini pihak yang ingin mengundang saya menyanyi boleh berhubung terus dengan pengurusan BME kerana mereka yang menguruskan agenda seni saya sekarang," katanya.

Ketika ditemui, Farina memberitahu dia sibuk mempromosikan singlenya yang rancak bersama KRU, Hujung Minggu ciptaan Edry Halim.

"Lagu ini rancak dan 'catchy' seperti lagu dendangan Amy Mastura. Single kedua saya pula dijangka siap selepas raya nanti.

"Saya akan keluar dengan lagu raya dulu dan untuk single kedua pula kami masih cari lagu yang bagus lagi. Konsep single ini masih pop lagi. Antara komposer yang saya ingin bekerjasama untuk single seterusnya ialah Sharon Paul dan Rudy Mohd.

"Secara peribadi, saya ingin lari daripada imej AF8 dan kini saya Farina yang baru. Pihak BME juga tidak membelakangkan saya kerana mereka akan berbincang mengenai konsep dan lagu itu dengan saya terlebih dulu sebelum ia dijadikan single saya. Selepas single, barulah pihak mereka merancang untuk buat album penuh saya pula," katanya.

Sekalipun sudah keluar dari AESB, Farina tetap meluangkan masanya untuk menjayakan program Astro, Kalau Berani dan Gempak Selebriti Astro.

"Persembahan terbaru saya ialah di Laman Santai di Istana Budaya nanti," katanya.

Mengenai bidang lakonan pula, kata Farina, dia ingin dikenali dengan bersandarkan bakat nyanyiannya terlebih dulu.

"Sebelum ini, saya pernah pergi uji bakat drama Kau dan Aku untuk musim kedua dan ia sekadar suka-suka," katanya.

PROFIL

Nama sebenar: Zafarina Jamhari
Tarikh lahir: 7 Oktober 1982
Umur: 28 tahun
Asal: Bintulu, Sarawak
Kerjaya: Penyanyi
Status: Ibu tunggal
Anak: Hasya Yasmin, 8 tahun
Single popular: Hujung Minggu
Album: Album kompilasi AF8
Pencapaian: Finalis AF8 (tersingkir pada minggu kelapan)

Lufya kaki kikis


BUKAN gimik mahupun tuduhan tanpa usul periksa, tapi itulah pendedahan tanpa selindung gadis kacukan Melayu-Jawa-Arab, Lutfyah Sheikh Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Lufya Omar.

Lagu hasil sentuhan kreatif dirinya itu ibarat satu nafas baru genre lagu berentak ‘dance music’ dengan sentuhan ‘mood’ Arab yang sebati dengan darah yang mengalir dalam dirinya.


“Kebanyakan lagu yang saya cipta berbentuk penceritaan yang dikutip hasil pengalaman sejak terjun ke dalam bidang lakonan dan juga kehidupan seharian,” katanya.


Mula belajar menggubah lagu secara tidak formal ketika berusia lapan tahun, Lufya yakin bakat dikurniakan Yang Maha Kuasa melalui ‘humming’ itu sebenarnya satu petanda dia bakal bergelar komposer satu hari nanti.


Mungkin masih terlalu awal untuk melabel gadis ini sebagai profesional dalam bidang itu, namun ia seolah-olah bukan satu rahsia berikutan single pertama ciptaannya, Diam juga mula mendapat tempat di telinga pendengar.


Biarpun lagu itu tidak berkumandang secara menyeluruh di radio tempatan, ia ibarat satu perkembangan positif kepelbagaian bakat yang ada dalam diri gadis berusia 25 tahun ini.


Belum boleh menarik nafas lega, dia merancang mempelbagaikan kreativiti dengan percubaan untuk ketengahkan single pertama Diam sebagai lagu tema drama bersiri romantik komedi Awekku Bukan AwekMu yang dijangka memulakan siaran di Astro bulan depan.


“Lagu itu sesuai berikutan saya membawa watak gadis bisu yang terpesona dengan seorang lelaki namun tidak mampu meluahkan perasaan itu secara terus terang.


“Malah impian saya juga ingin melihat lagu ciptaan saya yang lain diangkat sebagai lagu tema drama dan filem tempatan,” katanya.


Lufya menjadikan realiti kehidupan seharian yang berlaku di sekelilingnya sebagai guru terbaik untuk mencapai impian bergelar bintang filem satu hari nanti.


Turut menyatakan kekaguman dan menghormati rakan sealiran iaitu Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang yang pernah mengalami jatuh bangun sebelum dikenali ramai kini, tidak dinafikan Lufya mampu menjadi artis serba boleh satu hari nanti.


Bercakap mengenai jatuh bangun, Lufya pernah dilabel gadis ‘gedik’ di pentas Akademi Fantasia 6 (AF6) hingga membuatkan segelintir pihak rasa kurang selesa, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya.


Malah secara telus, dia mengakui itulah dirinya yang sebenar — sentiasa peramah dan mudah mesra dengan semua orang.


Perjalanan Lufya untuk bergelar artis tidak semudah disangka, malah dia terpaksa menongkah arus deras dan ranjau penuh liku di pentas hiburan untuk mengejar cita-citanya bergelar artis serba boleh, baik dalam lakonan mahupun nyanyian.


Pernah menyertai program Siti Nurhaliza Mencari Bintang hingga melayakkan dirinya berada di Top 5 belum cukup untuknya mengecapi impian yang diinginkan sejak kecil.


Malah percubaan demi percubaan dalam program Malaysia Idol dan AF6 akhirnya hampir membuahkan hasil dan bakatnya berjaya dikesan segelintir pengarah dan penerbit tempatan untuk membawanya ke pentas hiburan aliran perdana.


“Selepas AF6, saya ditawarkan pihak tertentu untuk merakam album, namun janji hanya tinggal janji. Bagaimanapun saya tidak patah semangat,” katanya.


Tawaran pihak itu yang terus terkubur tanpa batu nesan memberi satu inspirasi bagi gadis ini mengatur strategi untuk mempromosi dirinya supaya dapat duduk seiring bukan saja sebagai penyanyi, malah pelakon yang kian sebati dalam jiwanya.


Selain Awekku Bukan Awekmu, Lufya dapat dilihat dalam drama Banifsha, Impian Sunsilk 2, Bukan Bidadari, Tuah Kembali dan Enam Sharifah. Dia juga aktif dalam iklan komersial seperti Kotex, Avon, Lipton, Standard Chartered, Pantene dan Nokia.


Menubuhkan syarikat sendiri, Luyfa Omar Agency (LOA) pula bagai satu jambatan yang dibina menggunakan kudrat dan titik peluh sendiri hasil pengalaman lebih tiga tahun bertapak dalam industri hiburan tanah air.


LOA turut bertindak sebagai pengurus induk aktiviti seninya di samping sebagai landasan kepada bakat baru dalam dunia peragaan. Melalui agensi itu juga, Lufya akan menerbitkan albumnya sendiri yang dijangka berada di pasaran menjelang tahun depan.


Album berkonsepkan pop dengan sentuhan glam rock dan teaterikal ini mengandungi enam lagu, termasuk satu lagu Inggeris yang turut menampilkan Akbar, Imran Ajmain, One Nation Emcee, Caprise dan Farah Asyikin.


Untuk memberi sedikit ‘jelingan’ kepada single baru yang bakal diterbitkan kelak, peminat boleh melayari laman web Lufya Official Fanpage dan mendengar sendiri keunikan hasil karya anak muda berbakat ini.

Hati Nurul disiat lagi


DIA terkilan. Banyak benar tohmahan melilit diri sejak kembali hidup solo empat tahun lalu. Bengkak di hati tidak tertanggung lagi hingga memaksanya meluahkan segala rasa yang terbuku selama ini.

Sepahit manapun tanggapan negatif masyarakat terhadapnya, wanita bertubuh langsing ini tidak terdaya menangkis. Segala kata nista ditelan biarpun kerongkongnya pedih umpama disiat sembilu.


“Banyak sungguh dugaan terpaksa Nurul tanggung. Paling menyedihkan, ada yang tergamak menuduh Nurul dibela golongan berada, walhal segala aset yang Nurul ada hari ini adalah hasil usaha sendiri. Fitnah itu sudah lama diperkatakan, malah terus menjadi buat mulut hingga ke hari ini. Lebih terkilan apabila orang yang pernah rapat dengan Nurul turut bercakap perkara sama.


“Selama ini Nurul diam sebab perkara itu tidak betul. Nurul kerja keras siang malam, bahkan pernah tidak tidur malam untuk beli aset, tapi senang-senang orang cakap Nurul dibela.


“Sepanjang tempoh empat tahun hidup sendirian, dugaan datang bertimpa-timpa. Macam-macam orang bercakap mengenai Nurul dan semuanya menyakitkan hati. Mereka buat penilaian luaran tanpa mengenal hati budi sebenar Nurul.


“Apa yang keluar dari mulut Nurul dimanipulasi. Isnin lalu, selesai joging Nurul muhasabah diri dan merenung kembali kehidupan empat tahun lepas. Apa yang terbuku di sanubari selama ini Nurul luahkan dalam Facebook. Bukan untuk tagih simpati, sekadar berkongsi rasa hati,” katanya ketika dihubungi Rabu lalu.


Tambah penyanyi dan pelakon berasal dari Pulau Mutiara ini, dia mahu lupakan segala kepedihan lalu dengan membuka lembaran baru dalam hidupnya. Fokusnya kini lebih kepada karier dan enggan lagi berkongsi cerita peribadi.


Bukan mahu berahsia, tetapi pengalaman mengajarnya supaya lebih berhati-hati. Tekadnya biar dia kembali seperti hari pertama menjadi penyanyi, di mana tumpuannya hanya kepada karier dan ruang untuk membina nama.


“Enam belas tahun Nurul dalam industri dan selepas berpisah dengan bekas suami empat tahun lalu, Nurul mula kembali dari bawah. Nurul mahu pergi lebih jauh dalam industri hiburan tanah air dan ini masanya untuk Nurul melipatgandakan usaha.


“Kalau ikutkan, banyak perkara yang buat Nurul kecewa, tetapi inilah rencah kehidupan. Suka atau tidak, Nurul kena redah juga. Barangkali apa yang berlaku ini kesan daripada kesilapan sendiri. Mungkin apa yang Nurul buat sebelum ini mengundang tanggapan negatif orang sekeliling. Ia jadi pengajaran dan Nurul belajar untuk tidak mengulanginya lagi.


“Apa lagi berada dalam bidang yang jadi perhatian ramai, Nurul tidak boleh lari daripada menjadi bahan tohmahan. Pun begitu, ralat apabila hasil penat lelah Nurul dikatakan pemberian orang. Penat bekerja untuk membeli aset seperti rumah dan kereta, dan bukan niat Nurul untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya itulah hasil pengorbanan Nurul,” katanya.


Soal cinta? Lupakan... Istilah itu tiada dalam hatinya buat masa ini. Mohon Nurul jangan tanya lagi soal itu kerana pintu hatinya tertutup rapat. Pengalaman mengenali beberapa jejaka yang gemar menipu dan mengambil kesempatan menjadikan penyanyi berkulit hitam manis ini fobia untuk membuka peluang kepada mana-mana jejaka. Cukup-cukuplah kerana dia selesa dengan kehidupannya kini.


“Ramai juga rakan bertanya bila mahu berumah tangga lagi. Jujur, Nurul tidak mahu fikir soal itu. Nurul pernah berkahwin dan mengenali beberapa lelaki selepas kembali solo. Banyak perkara yang Nurul belajar dan itu semua buat hati Nurul semakin keras. Bukan semua lelaki boleh bahagiakan wanita. Lebih baik Nurul cari duit kerana ia lebih menggembirakan Nurul. Setidak-tidaknya bila sedih atau tertekan, Nurul boleh hiburkan hati dengan membeli-belah.


“Kalau ditakdirkan hidup sendirian, Nurul terima. Seperti yang dikatakan tadi, Nurul pernah bersuami dan ada anak. Apa yang Nurul lalui cukup perit dan memalukan hingga merosakkan nama Nurul. Sudah-sudahlah, Nurul penat. Peminat setia pun ramai minta Nurul lupakan seketika soal hati dan perasaan, sebaliknya fokuskan perhatian terhadap kerjaya,” katanya.


Jelas Nurul, selain menanti single terbarunya dilancarkan dia kini rancak merancang penubuhan perniagaan dengan kenalan rapat, Darul Farik Abdul Karim. Sahabatnya itu antara insan paling banyak membantunya di kala susah, bahkan tidak putus-putus memberi kata-kata semangat apabila memerlukan.


“Darul dan isterinya sahabat yang baik dan sentiasa ambil berat keadaan Nurul. Merekalah yang bertungkus-lumus menubuhkan perniagaan yang bakal beroperasi tidak lama lagi. Sebagai kawan, Darul nampak Nurul ada banyak potensi lagi yang harus diteroka.


“Menerusi perniagaan ini, nama Nurul akan dijenamakan semula dan beberapa strategi akan direalisasikan. Nurul sangat bertuah kerana punya kawan yang sanggup berpenat lelah demi melihat karier Nurul terus berkembang.


“Alhamdulillah, biarpun tidak lagi bersama Ajai, rezeki Nurul tidak pernah putus. Nurul masih ada undangan persembahan, malah banyak tawaran berlakon menyusul. Terbaru, kontrak Nurul sebagai jurucakap Glow & Glamor disambung lagi.


“Ada beberapa lagi syarikat yang berminat menjadikan Nurul duta dan perkara itu masih dalam proses perbincangan,” katanya.

Antagonis Natasha Hudson


LEMPARKAN sahaja gelaran-gelaran negatif terhadapnya, semangat aktres jelita, Natasha Liana Hudson bagaimanapun tidak pernah luntur hanya disebabkan cakap-cakap orang di luar sana.

Bagi dirinya, sama ada kontroversi negatif ataupun positif, namun sebagai seorang artis, dia perlu menerimanya dengan pintu hati terbuka walaupun kadang-kala ia agak perit untuk ditelan.

Seperti semua sedia maklum, baru-baru ini, Natasha sekali lagi digelar 'ratu plagiat' gara-gara lagu single terbarunya, Hanya Tuhan Yang Tahu dikatakan mirip dengan lagu Right or Wrong nukilan Kimberley Chuah, yang sebelum ini diletakkan di laman Youtube.

Sebelum ini pula, Natasha dituduh memplagiat karya orang lain untuk dimuatkan dalam sebuah buku yang dihasilkannya iaitu Puisi Indah Si Pari-Pari dan antologi itu terus tersebar di kalangan blogger dan ahli forum Internet.

Walaupun berada di pihak yang benar, agak sukar untuk si jelita ini membersihkan namanya dan mengatakan dirinya teraniaya dan menjadi mangsa keadaan.

Enggan memeningkan kepalanya dengan-hal-hal remeh, Natasha telah menyusun langkah untuk mengembangkan karier lakonannya di negara seberang pula.

Malah, hasil perbincangan yang dilakukan, Natasha telah diberikan beberapa tawaran berlakon drama dan filem.

"Nampak macam senang bukan? Tapi agak sukar untuk saya tembus ke pasaran industri lakonan Indonesia.

"Saya perlu bermula dari bawah. Di sana, lain sangat. Saya perlu melalui proses demi proses. Setakat ini saya sudah berbincang dengan beberapa pengarah dan mereka sukakan saya.

"Kata mereka saya lebih sesuai memegang watak antagonis. Alhamdulillah saya ada pengurus di Indonesia yang membantu saya untuk mendapatkan tawaran berlakon di sana.

"Apa-apa pun, saya berharap mereka dapat menerima saya dan sekali gus dapat membuktikan bahawa pelakon-pelakon Malaysia juga hebat," katanya ketika ditemui pada sidang media Duyong Aridinata di Ampang minggu lepas.

Tambah Natasha, walaupun mahu mengembangkan kerjayanya di Indonesia, aktres berusia 28 tahun itu tidak mahu menetap di negara itu.

Baginya, dia tetap mengutamakan tanah airnya biarpun merantau ke negara orang.

"Rasanya, Malaysia juga yang terbaik. Walaupun pendapatan sebagai pelakon lebih lumayan di sana, saya tetap akan kekal dalam industri hiburan tempatan.

"Saya akan berulang-alik ke Indonesia jika ada tawaran berlakon. Tak bolehlah duduk sana lama-lama, perasaan rindu nak balik rumah membuak-buak," selorohnya.

Buat lagu baru

Lagu single pertamanya iaitu Hanya Tuhan Yang Tahu sepatutnya menjadi satu memori indah memandangkan ia sebagai produk pertama Natasha untuk bergelar seorang penyanyi.

Namun, kerana kontroversi plagiat yang diperkatakan, Natasha mengambil langkah selamat untuk 'membuang' saja lagu itu sebelum namanya terus tercemar.

"Saya malas nak pening-pening kepala. Selepas membuat perbincangan dengan pihak Alibi, kami membuat keputusan untuk menyingkirkan lagu tersebut dan buat lagu baru.

"Alhamdulillah, lagu baru saya sudah ada yang mana Cat Farish yang menghasilkan lagu tersebut. Cuma tinggal masa untuk proses rakaman sahaja.

"Melalui lagu baru saya harap perjalanan seni nyanyian saya dipermudahkan, insya-Allah," tuturnya.

Jadi duyong antagonis

Bercerita pula mengenai drama terbaru lakonannya, Duyong Aridinata, Natasha membawakan watak Puteri Antartinka.

Gembira dengan watak antagonis yang pertama kali dilakonkan, dia ternyata berpuas hati dengan hasil lakonannya. Tambah pula, wataknya sebagai ikan duyung memberikan cabaran buat wanita ini.

"Berbeza dengan lakonan sebelum ini, kali ini saya lebih kejam dan jahat.

"Menariknya pula, saya terpaksa membiasakan diri dengan memakai suit duyung. Kami diberi latihan cara untuk berenang menggunakan kostum tersebut sebelum memulakan penggambaran.

"Tambah pula, bila dah mula masuk laut, seharian saya dan rakan-rakan lain berendam ketika penggambaran. Sampai tak ingat nak balik," selorohnya sambil memain-mainkan 'ekornya'.

Sementara itu, menurut pengarahnya, Adam Hamid, drama ini mempunyai persamaan dengan drama Filipina, Dyesebel.

Bagaimana suasana dalam laut berbeza kerana pihak produksinya, Zeel Production, memilih lokasi Pulau Lang Tengah, Terengganu, sebagai tempat penggambaran.

"Kerja kami agak senang apabila kesemua pelakon memberi komitmen 100 peratus.

"Mereka sanggup berenang ke dasar laut sedalam tujuh meter tanpa penggunaan oksigen.

"Cuma sedikit mencabar untuk saya dalam memberi arahan kepada pelakon bagi babak dalam air," katanya.

Duyong Aridinata mengisahkan seekor duyong lelaki yang mengagumi kesempurnaan manusia setelah menyelamatkan seorang perempuan lemas di lautan.

Aridinata dan rakan baiknya, Bumatra kemudian merancang untuk keluar daripada empayar Insangrumpair kerana kerap kali mengingati perempuan yang diselamatkannya.

Dengan bantuan Dukun Mek Melusa, Aridinata dan Bumatra berjaya menukarkan ekor mereka kepada sepasang kaki manusia dengan syarat, mereka diberi tempoh selama tujuh bulan mencari cinta jika mahu kekal sebagi manusia.

Selain Natasha, drama rantaian dilakonkan oleh Zachery Francis, Fasha Sandha, Rozie Rashid, Tony Eusoff, Maria Farida, Zain Saidin dan Jasmin Hamid.

Teragak-agak terima tawaran Rosyam-Vanidah Imran


PERTAMA kali tawaran sebagai Isabella diterima daripada penerbit dan aktor terkenal Rosyam Nor, aktres jelita, Vanidah Imran teragak-agak untuk menerimanya.

Bukan tidak mahu bergandingan dengan Rosyam, tetapi sejak bernikah dengan aktor yang juga bekas anggota kumpulan muzik Deadmushroom, Rashidi Ishak, hanya sekali dia menerima tawaran untuk drama rantaian iaitu drama berjudul Kamasutra pada tahun 2006.

Semenjak itu, wajah Vanidah atau Vee hanya kelihatan dalam telefilem atau filem sahaja. Menurutnya bukan tiada tawaran drama bersiri yang datang tetapi tugasnya sebagai seorang ibu kepada Mikail Imran, 9, dan Maryam Rashika, 6, membataskannya untuk berjauhan dalam tempoh yang lama dengan dua buah hatinya itu.

Namun, tawaran yang datang daripada seorang sahabat yang dikaguminya itu tidak mampu ditolaknya. Apatah lagi, belum pernah dia berpeluang bergandingan dengan Rosyam untuk watak yang cukup besar.

Justeru, drama bersiri yang mengangkat nama watak utama sebagai judul iaitu Isabella, cukup menarik perhatiannya. Akui Vee, dia sebenarnya takut untuk berkata tidak kepada Rosyam.

"Bukan tidak pernah bergandingan dengan Rosyam tetapi belum pernah untuk watak yang besar seperti ini. Ketika Rosyam hubungi saya tahun lepas, dalam hati berdetik biar betul Rosyam mahu saya jadi heroinnya.

"Sebab apa yang saya tahu dia selalu bergandingan dengan aktres muda saja (ketawa). Dia pun sudah kejar saya untuk drama ini sejak tahun lepas, jadi saya tiada alasan untuk menolak, lagi pun jalan cerita cukup menarik," kata Vee yang ditemui pada majlis pelancaran drama Isabella di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengakui watak Isabella cukup berat buat dirinya, Vee memberitahu kerjasama yang diberikan Rosyam benar-benar membantunya di lokasi penggambaran.

'Bayangkan sebelum penggambaran Rosyam cakap, saya harus beri komitmen 200 peratus dan kalau saya tidak berjaya bawa watak Isabella, drama ini akan hancur.

"Saya jadi takut sebab kalau tidak berjaya habislah saya (ketawa). Tetapi alhamdulillah, melihat hasilnya saya boleh tersenyum, selepas ini terpulang kepada penonton untuk menilainya," ujar Vee mengenai drama yang menjalani penggambaran selama tiga bulan itu.

Kedinginan kota Paris

Cerita Vee, drama yang turut menjalani penggambaran selama lima hari di luar negara iaitu empat hari di London dan sehari di Perancis benar-benar menguji kemampuannya serta keseluruhan krew penggambaran.

Jika di London berlatarbelakangkan London Bridge, Sungai Thames, Big Ben dan Eyes of London. Di Paris pula, tentunya Menara Eiffle menjadi lokasi utama.

Tiada masalah dengan lakonan sepanjang di luar negara, bagaimanapun Vee dan krew harus berdepan dengan cuaca sejuk sehingga mencengkam tulang.

"Kami ingat di Paris sedang musim panas, jadi saya dan krew tidak bawa baju sejuk atau sarung tangan. Apabila sampai sahaja di sana cuaca di sebelah pagi dalam 15 darjah celcius dan waktu pagi dalam 5 darjah celcius.

"Sampai untuk keluarkan dialog pun menggigil-gigil sampai mulut keras tidak boleh bercakap. Sesekali bila angin bertiup, kami semua jadi keras macam batu menahan sejuk," cerita Vee sambil tertawa tentang pengalamannya di Paris.

Ditanya bagaimana bercinta dengan Rosyam yang memegang watak Nazman kekasihnya dalam drama ini, Vee tersenyum dan mengatakan tidak sukar untuknya bercinta dengan Rosyam.

"Senang bercinta dengan abang Rosyam. Dia sangat pemberi jadi tidak secara langsung keserasian antara kami cepat wujud," balasnya.

Disoal pula bagaimanakah dia melakonkan watak Isabella dan dalam masa yang sama menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Vee menjelaskan dia tidak pernah berhadapan sebarang masalah ketika menjalankan kerjanya sebagai pelakon.

"Memang saya sudah berkahwin tetapi kepercayaan itu harus ada dalam diri setiap pasangan. Macam saya dan suami, kami tahu batas-batas yang harus dijaga jadi tidak timbul sebarang masalah antara kami, sama juga halnya ketika saya berlakon dengan abang Rosyam.

"Sebagai isteri dan ibu, saya meneliti setiap watak yang ditawarkan terlebih dahulu. Saya tidak akan sesekali membawa watak yang memalukan suami dan anak-anak saya di sekolah. Saya juga tidak akan sesekali berkemban di dalam drama mahupun filem," ulasnya lagi.

Rosyam nyaris ditahan

Berbicara bersama penerbitnya yang juga peneraju Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Rosyam Nor, pertama kali produksi miliknya melakukan penggambaran di luar negara memberi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Penggambaran yang dilakukan tanpa permit terpaksa dilakukan secara curi-curi berbekalkan tiga buah kamera bersama 18 orang termasuk krew dan pelakon.

"Di sana mahal daripada segala segi termasuk makan dan pengangkutan. Sebab itu, kami redah sahaja walaupun beberapa kali didatangi oleh pihak berkuasa mereka yang meminta kami menghentikan penggambaran.

"Penggambaran di London dan Paris menelan belanja RM100,000 dan sebanyak 26 babak dijayakan di sana. Krew bekerja dari awal pagi sehingga tengah malam. Mujur siangnya lebih panjang dari malam, jadi banyak penggambaran boleh dilakukan dalam sehari," kata Rosyam.

Tambah Rosyam, dia juga nyaris ditahan pihak imigresen di lapangan terbang di London kerana mereka menyangka Rosyam bersama rombongannya datang ke London untuk bekerja.

"Memanglah muka kami semua macam agak selekeh sebab perjalanan yang jauh, jadi mereka ingat kami ke sana untuk bekerja.

"Akhirnya saya minta mereka menaip nama saya di Internet dan keluar semua artikel mengenai saya. Selepas itu baru mereka percaya saya pelakon dan membenarkan kami masuk ke London," ceritanya.

Drama 26 episod yang diarahkan oleh Amie Maziah itu turut dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Raja Norbaizura, Yuswaisar dan seorang pelakon baru yang membawa watak antagonis Izreen Azminda.

Sedikit sinopsis drama Isabella, ia menyingkap kisah cinta Isabella yang mengalami tekanan emosi sejak kehilangan kekasihnya Benjamin akibat kemalangan ketika berada di luar negara.

Ibu bapanya, Borhan dan Kasmah membawa Isabella bertemu pakar jiwa untuk mendapatkan rawatan. Selepas beberapa bulan, Isabella hampir pulih dan mula melupakan kesedihannya.

Ketika dirawat di hospital, Isabella berkenalan dengan seorang pesakit Dr Rahim yang lain iaitu Nazman (lakonan Rosyam) yang turut mengalami trauma dan gangguan emosi selepas kematian isterinya yang sedang mengandung.

Oleh kerana mengalami tragedi hampir sama, mereka mula tertarik antara satu sama lain dan seterusnya bercinta.

Selepas Isabella dan Nazman pulih, mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Namun begitu, pelbagai masalah timbul dan Isabella didatangi seorang gadis bernama Vivian yang mengaku kenalan lama Benjamin. Siapakah Vivian yang sebenar? Untuk mengetahui konflik yang melanda Nazman dan Isabella, jangan lupa menyaksikan drama Isabella setiap Selasa bermula 13 Julai pukul 9.30 malam di Astro Prima.

Radhi Jelaskan Siapakah Nur Shahira


PELAKON dan bekas vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali (gambar) belum bersedia untuk berumah tangga walaupun timbul gosip dia sudah mempunyai kekasih baru, Nur Shahira Ayu berusia 16 tahun.

Ketika diminta menjelaskan gosip tersebut, Radhi hanya mampu tergelak dan menafikannya.

"Kawan biasa sahaja. Tiada perhubungan serius. Lagipun dia masih bersekolah di tingkatan 4. Prioriti dia adalah pelajarannya dan bukan bercinta," katanya kepada MStar Online.

Radhi menjelaskan, dia mula mengenali Nur Shahira bertemu ketika Radhi terlibat dalam satu persembahan di pusat beli-belah The Curve, Damansara, Kuala Lumpur.

Bermula dari situlah mereka menukar nombor telefon masing-masing.

Berbicara tentang gambar yang diambilnya bersama gadis itu pada mesyuarat agung Karyawan di Finas tempoh hari, Radhi memberitahu, dia membawa Nur Shahira untuk mengajaknya menyertai Persatuan Karyawan.

Mengenai perkembangan semasanya, Radhi memberitahu, dia kini sedang dalam peringkat akhir menghasilkan single terbaru berjudul Limbo.

Katanya, dia sedang dalam proses mendaftarkan lagu tersebut bagi mendapatkan kod untuk muat.

Sejak perceraiannya dengan bekas isterinya, Shazlin Sharif bulan lalu, Radhi berkata, dia kini tinggal di Bangsar dan tidak menetap di Kota Damansara lagi.

Keluarga Restu Hubungan Ella & Elan


PETALING JAYA: Ratu rock negara, Norzila Aminuddin,44, atau Ella telah membawa kekasihnya, Elan Hasyim Abd. Rahman,28, bertemu keluarganya di Klang, Selangor beberapa bulan lalu untuk mendapat restu sebelum berkahwin.

Seorang ahli keluarga Ella yang dihubungi Mstar Online, Jumaat berkata, Elan berkunjung ke rumah mereka untuk mengenali ahli keluarga Ella selain meminta kebenaran berkawan dengan penyanyi itu.

“Ya... benar gosip mengatakan Ella sudah ada teman baru. Mereka sudah setahun berkenalan. Lelaki itu pun sudah datang ke rumah untuk berkenalan dengan keluarga kami.

"Kami tiada masalah dah merestui hubungan itu,” kata seorang ahli keluarga Ella yang minta dirahsiakan namanya.

Menurut sumber itu lagi, keluarganya menerima baik hasrat Elan untuk menjadi kekasih kepada Ella dan mendoakan agar mereka cepat berumah tangga.

Katanya, Ella juga sedang memikirkan hasrat itu tetapi keputusan untuk berumah tangga bukan dalam waktu terdekat.

“Dia pun ada cakap hendak kahwin tetapi belum memikirkan secara serius mengenai tarikh itu,” katanya.

Elan yang berasal dari Perak berkenalan dengan Ella ketika bekerjasama sewaktu menghasilkan kulit album kompilasi Ella pada tahun lalu.

Bermula dari situlah cinta mereka bersemi sehinggalah kedua-duanya dikatakan menjalinkan hubungan serius.

Kira-kira tiga tahun lalu Ella pernah membuat kejutan apabila mengumumkan hasrat untuk berumah tangga dengan lelaki muda tetapi sayangnya hasrat itu tidak terlaksana sehinggalah muncul gosip baru apabila dia dikaitkan dengan Elan.

Rela bermadu?-Sharifah Shahira


TUJUH tahun melayari rumah tangga hasil perkongsian hidup dengan Ijoy Azhari, Sharifah Shahira, 36, tidak menafikan kadang-kadang kebahagiaan yang dikecapinya direntap dengan kedukaan. Tapi mujur, ia tidak melarat sampai mengundang musibah yang tidak diingini.

Adat berkahwin, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa yang tidak lepas diuji. Perkahwinan keduanya selepas kegagalan perkahwinan pertama dengan vokalis Black Dog Bone, Jatt masih tegar dipertahankan.

Barangkali bersuamikan lelaki kacak yang diketahui menjadi kegilaan ramai antara satu dugaan dan cabaran yang harus diterima oleh setiap isteri. Malahan adik kesayangan Sharifah Haslinda ini mengakui pernah berseloroh dengan suaminya mengenai hidup bermadu.

“Bukan maksud saya menolak kehidupan bermadu, tapi saya rasa tak semua wanita yang sudah berkahwin, rela hidup bermadu. Tapi kita sebagai manusia hanya merancang. (Tapi) selalunya kisah bermadu ini menjadi modal usikan kami di rumah.

“Lumrah hidup berumah tangga, memang ada kalanya pernah terasa kecil hati. Ada pasang surutnya. Biasalah apabila bergaduh, ada salah faham, rasa rindu balik. Selalunya ia tak panjang dan meleret-leret.

“Saya pun tak cakap suami saya baik sangat. Saya pun bukanlah seorang yang sempurna. Cuma seboleh-bolehnya apabila ada masalah biarlah ia disimpan sendiri,” kata ibu kepada Allisya, Airell, Airra dan Auddra ini ketika ditemuinya pada majlis sidang media program terbaru Fesyenista Manja Baby, di Damansara, baru-baru ini.
Kata Shahira, memang kadang-kadang sebagai wanita biasa, perasaan cemburu melihat suami berpasangan dengan pelakon cantik terbit dalam hatinya. Malahan pernah ada kawan-kawan seperjuangan menghubunginya dengan tujuan mengusik sambil memberitahu Ijoy sedang ‘mesra’ dengan gandingan pelakon wanita di lokasi penggambaran.

“Tapi sekarang apabila selalu sangat tengok dia berlakon dengan perempuan cantik, perasaan itu sudah jadi biasa. Mungkin sudah kebal. Malah kadang-kadang, Ijoy berseloroh cakap, dia berlakon dengan pelakon cantik, sedangkan saya hanya layak berlakon watak ibu.

“Soal kepercayaan wujud dengan sendirinya. Dalam kami berlawak dan bergurau sesama sendiri, masing-masing tahu peranan dan tanggungjawab. Cuma saya pernah cakap kepadanya, apabila selesai penggambaran terus balik rumah. Itu saja permintaan saya.

“Saya juga selalu ingatkan jangan sampai menumpangkan kereta kepada pelakon wanita, bimbang timbul gosip bukan-bukan. Benda yang tak elok itu selalunya cepat tersebar sekalipun berniat baik,” katanya yang baru selesai penggambaran telefilem, Ibu Mee Segera arahan Michael Ang.

Bercerita mengenai dunia seninya, biarpun memulakan kerjaya sebagai pelakon agak lewat, Shahira yang sudah tiga kali diberi kepercayaan sebagai hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian ini, lebih cenderung dilihat melakukan kerja pengacaraan.

Katanya, rezekinya sebagai pengacara bermula sejak 2003 apabila terbabit dalam bidang ini bersama kakaknya dalam sebuah program yang disiarkan di RTM. Malah sehingga kini, selain mengacara program TV, dia juga kerap diundang menjadi pengacara majlis program membabitkan kehadiran orang kenamaan.

“Bukan meninggalkan terus kerjaya lakonan. Saya masih berlakon. Cuma peluang menjadi pengacara itu lebih banyak. Semuanya disebabkan faktor masa apatah lagi saya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

“Keutamaan saya memang sebagai pengacara. Tapi kalau ada tawaran berlakon yang tidak mengambil masa lama dan atas alasan mahu menolong kawan, saya cuba untuk memenuhinya.

“Sebenarnya, mengacara majlis atau program TV mengajar keberanian diri sebab saya sebenarnya sangat rendah keyakinan diri. Kalau diberi pilihan saya lebih selesa mengacarakan program berkonsepkan hiburan kerana ia lebih dekat dengan diri.

“Tapi apabila kena memikul tugas mengacara dalam program yang tidak dekat dengan jiwa sekalipun, saya sudah mula berdebar. Mulut pun kena jaga dan ikut rentak acara yang dihoskan,” katanya.

Shahira mula berlakon sejak 1992 selepas tamat persekolahan. Hakikatnya, dia bermula bukan sebagai pelakon komedi. Menyedari wajahnya tidaklah secantik mana, Shahira juga mengidamkan watak romantis seperti yang pernah dilakonkan Sandra Bullock dan Meg Ryan.

“Saya bukan hendak menafikan lebih senang berlakon komedi. Tapi saya juga teringin melakonkan watak serius. Saya boleh berlakon watak menangis,” katanya sambil berseloroh memberitahu mungkin watak yang diidamkan itu dapat direalisasi jika dia bergelar penerbit kepada produksi sendiri.

Takut masuk bertanding

Shahira kini baru saja menggalas tugas sebagai pengacara program Fesyenista Manja Baby yang disiarkan di Astro Ria, setiap Ahad, bermula 4 Julai ini, jam 6.30 petang. Program 30 minit sebanyak 10 episod ini turut menampilkan lapan artis popular bersama anak tersayang.

Antaranya ialah Lisdawati, Enot, Erra Fazira, Sabrina Ali, Rita Rudaini, Nadia Mustafar, Abby Abadi dan seorang peserta lelaki tunggal iaitu Khai. Program realiti ini menguji kreativiti artis dalam beberapa cabaran menguruskan anak kecil masing-masing.

“Pada mulanya saya ditanya sendiri oleh penerbit sama ada mahu menjadi peserta atau pengacara. Akhirnya, saya memilih mengacara kerana sebenarnya saya memang takut bertanding. Kalau suka bertanding, sudah lama saya masuk Sehati Berdansa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kandungan Berjenama dan Jualan Media, Haris Ismail menyifatkan kehadiran program ini ialah kesinambungan program yang menampilkan kerjasama dengan label produk popular.

“Astro mewujudkan hubungan baik dengan pengiklan. Kemunculan program sebegini dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mempromosikan sesebuah jenama dalam tempoh yang panjang.

“Sebenarnya kita mempunyai calon artis yang ramai untuk bertanding dalam program ini. Tapi kita meletakkan syarat usia anak artis yang boleh dipilih ialah di antara 2 hingga 4 tahun,” kata Haris.

Ana Raffali tiada niat saingi Yuna


JIKA Yuna tampil bertudung menyanyikan lagu berkonsepkan indie sehingga terbukti percubaan itu membuahkan hasil apabila berjaya ‘menawan’ pendengar menerusi Dan Sebenarnya, kini dia mempunyai pesaing terdekat, apabila seorang gadis comel yang sering tampil bersama gitar sambil mengenakan baju kurung atau kebaya, Ana Raffali

Nama Ana mula mencuri tumpuan peminat menerusi genre yang sama sehingga single pertamanya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur menjadi siulan, sekali gus melonjakkan namanya di persada seni.

Sekalipun mempunyai banyak persamaan antara Yuna dan Ana termasuk memperjuangkan genre muzik yang sama, tampil bersama gitar ketika membuat persembahan, selain graduan lulusan UiTM iaitu undang-undang dan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL), namun personaliti antara kedua-duanya jauh berbeza. Pertama kali bertemu Yuna, ternyata dia seorang yang amat pendiam, tanya sepatah jawab sepatah sehingga pernah dilabel sombong atau bersikap diva oleh segelintir rakan wartawan, namun tidak bagi Ana. Apabila terpandang wajah comelnya yang sedang beraksi di depan kamera di dalam studio, terus dia melemparkan senyuman dan menyapa setiap orang yang berada berhampirannya.

Melihat penulis yang duduk seorang diri di satu sudut menunggu dia selesai fotografi, Ana terus merapatkan kerusinya lalu duduk bersebelahan menandakan dirinya sedia untuk ditemubual.

Apa yang pasti, Ana mampu melemparkan perasaan malunya jauh-jauh apabila bertemu media massa sekalipun baru kali pertama bertentang mata dengannya.
Memulakan bicara, Ana mengakui dia tidak pernah belajar muzik secara profesional sekalipun semua enam lagu yang terdapat di dalam album sulung beliau adalah ciptaan dan lirik tulisan sendiri.
“Saya sebenarnya meminati bidang seni, lebih-lebih lagi muzik. Justeru, apabila masuk UiTM kecenderungan saya ke arah muzik dan penciptaan lagu terus memuncak. Saya suka bermain gitar sambil menyanyi. Saya belajar main muzik sendiri, tak pernah ada pendidikan formal. Saya beli buku muzik dan belajar daripada situ. Alhamdulillah, hasilnya tidak mengecewakan.

“Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa saya sering tampil membuat persembahan sambil mengenakan baju kurung atau kebaya. Ia bukan gimik, sebaliknya bermula sejak saya bermain muzik di UiTM lagi, saya memilih penampilan begitu.

“Apabila saya memuat naik lagu saya di laman sesawang YouTube, tak sangka ia berjaya menarik minat komposer terkenal, Aidit Alfian untuk bekerjasama dengan saya.

“Malah, persembahan saya turut disertai sekumpulan pemuzik, The Marhaens yang dianggotai Aidit sendiri. Saya berasa bertuah kerana mampu meraih kepercayaan daripada seorang pemuzik hebat seperti dirinya,” kata Ana yang kini bernaung di bawah pengurusan AA Records milik komposer berkenaan, selain isterinya, Azura Haniza Abdul Aziz bertindak sebagai pengurus.

Album sulung Ana, Ketika Aku Kecil adalah edaran Universal Music Malaysia sudah pun menjengah pasaran tempatan mulai akhir April lalu.

Ditebak pertanyaan sejauh mana persamaan muzik yang diperjuangkan Ana bersama Yuna, dia terus menyatakan, sekalipun genre yang sama, namun jiwa muzik mereka berdua jauh berbeza.

“Muzik saya terarah kepada semangat patriotisme dan sayang kepada negara sendiri. Muzik kita sendiri mampu pergi jauh, tak perlu berbangga dengan muzik negara luar. Itu sebenarnya objektif kita. Selain itu, saya tak pernah terfikir untuk membawa muzik kita ke negara luar. Bagi saya, buktikan kepada orang-orang kita dulu bahawa anak tempatan juga boleh berjaya bermain muzik ciptaan mereka di tempat sendiri.

“Saya tak mahu industri muzik kita ke laut! Seboleh-bolehnya biarlah orang kita sendiri menghargai lagu ciptaan anak tempatan. Justeru, faktor inilah yang membezakan saya bersama Yuna. Yuna ada misinya sendiri, kami tidak sama walaupun setiap kali muncul di pentas membuat persembahan, kami bermain gitar. Perjuangan saya dan Yuna sebenarnya berbeza.

“Tolong jangan samakan kami! Yuna adalah Yuna. Apabila orang mendengar lagu Yuna, kemudian mendengar lagu saya, peminat pasti dapat membezakan muzik kami berdua,” katanya yang menyifatkan persaingan yang sihat wujud menerusi lagu Yuna dan dirinya, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pendengar menentukan cita rasa muzik masing-masing.

Belum sedia kongsi cerita teman istimewa

SUDAH tentu gadis cantik seperti Ana ini, ramai peminat ingin mengetahui kisah peribadinya terumata mengenai percintaan atau siapa gerangan lelaki yang kini bertakhta di dalam hatinya.

Lebih menarik, Ana juga tidak keberatan berkongsi cerita peribadi, lebih-lebih lagi yang membabitkan soal hati dan perasaan. Tentunya ramai yang ingin tahu, dalam usia yang meniti 25 tahun, sudahkah dirinya mempunyai teman lelaki istimewa?

“Kalau orang tanya, adakah saya sudah berpunya, saya mengaku ya! Tapi, untuk bercerita panjang lebar siapakah lelaki berkenaan, rasanya ia tidak perlu dikongsi secara terbuka. Saya sedar, sebagai artis saya hak peminat dan masyarakat, tapi tidak semua cerita peribadi boleh dikongsi bersama.

“Saya juga seperti gadis remaja lain, ada ruang peribadi untuk diri sendiri.
“Dalam keghairahan memantapkan kerjaya sebagai penyanyi, saya tidak akan sesekali menjadikan hidup sebagai satu pekerjaan, sehingga tidak ada masa untuk bersama rakan sebaya.

Bagi saya, muzik hanya sebahagian daripada hidup. Disayangi dan menyayangi adalah fitrah kehidupan manusia, cuma saya tidak mahu kisah peribadi mengatasi kerjaya, jika berlebihan, ia boleh menjadi racun,” kata Ana yang petah berkata-kata dan bersikap terbuka.

Que akui Linda terlalu cerewet


LEWAT kebelakangan ini namanya dicanang dengan pelbagai spekulasi kurang sihat. Que Haidar didakwa harus berhenti berlakon kerana dipaksa isteri, Linda Jasmine yang dituduh terlalu cemburu. Pasangan yang bernikah tahun lalu ini turut dituduh pernah bergaduh di khalayak ramai. Dan banyak lagi nista yang dilempar kepada aktor hebat ini.

Que atau nama penuhnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 31, tenang dengan segala tuduhan itu. Dia tahu, semua yang diperkata orang kurang tepat. Ini kerana hanya dirinya yang tahu hal sebenar di sebalik isu yang digembar-gemburkan. Sedikit pun Que tidak melenting. Tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, satu persatu hal dihuraikan Que.

"Cemburu dalam rumah tangga itu perlu. Kalau isteri saya mahu cemburukan saya, itu hak dia. Sebab dia isteri saya. Begitu juga saya. Saya pun cemburu kalau lelaki lain pandang isteri saya.

"Tapi kami berdua berjaya mengawal emosi cemburu itu. Jangan tuduh Linda macam-macam. Kasihan dia. Orang patut berfikir, kami datang daripada latar belakang seni yang sama. Linda juga sudah terbiasa bergaul, begitu juga saya. Jadi seharusnya tidak timbul isu dia cemburukan saya untuk berlakon dan sebagainya.

"Macam yang saya katakan tadi, kalau dia cemburu pun, dia berhak. Saya juga berhak cemburu ke atas isteri saya. Tapi kami berdua tahu batas cemburu itu dan tidak pernah membebankan sesiapa," ulas Que tenang tentang isu dirinya dicemburui Linda yang menyebabkan dia kini tidak lagi aktif sebagai pelakon.

Kata Que, keputusan untuk memperlahankan langkah dalam pentas lakonan bukan disebabkan Linda. Sebaliknya ia datang daripada dirinya sendiri. Dan kebetulan pada saat dia mengendurkan tali 'anak wayang', dia masih di puncak dan serentak itu berkahwin.

Tegas aktor yang harum dengan kredibiliti lakonannya dalam sederet filem seperti Castello, Haru Biru, Zombie Kampung Pisang, Duhai Si Pari Pari dan terbaru dalam Lagenda Budak Setan, keputusan untuk memilih kehidupan yang lebih sederhana tanpa menonjol glamor seperti dahulu adalah pilihannya sendiri.

Barangkali, kerana keputusan itu telah mengheret spekulasi yang menuduh Linda banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikirannya kini. Masih lagi tenang saat dilemparkan soalan sebegitu, Que berkata, dalam rumah tangga adalah normal untuk saling mempengaruhi antara pasangan. Pandangan Linda amat penting bagi dirinya, begitu juga sebaliknya.

Selepas berkahwin, akui Que, berlakon bukan lagi keutamaan. Tapi keluarga berada dalam piramid paling atas kehidupannya. Namun, itu tidak bermakna dia mahu karier lakonannya berkubur. Hanya kepentingan kehidupan sekarang bagi Que sudah mula berubah.

Terutama selepas dia sendiri yang bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Malah dengan hati terbuka dia mahu memastikan segala isi rumahnya lebih terurus. Dia juga dengan rela hati untuk tidak lagi keluar melepak atau sibuk mengejar duit lakonan seperti zaman bujang. Kerana kata Que, dia dengan lapang dada, selesa dengan kehidupannya yang tidak terlalu sibuk seperti dahulu lagi.

Katanya: "Saya tahu sukar untuk membuang pandangan orang. Mungkin orang nampak saya memperlahankan rentak dalam dunia lakonan selepas saya berkahwin sedangkan nama saya berada di puncak pada waktu itu.

"Jadi orang fikir, saya berhenti berlakon sebab Linda dan ramai yang mula terpengaruh dengan hal itu. Walhal, saya sebenarnya sudah lama memikirkan untuk memperlahankan rentak lakonan bagi memberi tumpuan kepada keluarga. Dalam masa yang sama, saya mencari ruang lain untuk berkongsi ilmu lakonan saya dengan sesiapa yang berminat."

Que juga menegaskan, kehidupan rumah tangganya dengan guru tari popular dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, setahun enam bulan dan anak tiri Qalif Khan, 10 tahun, sangat bahagia.

"Linda memang seorang yang terlalu cerewet. Saya pula seorang yang terlalu asal boleh. Pertembungan sifat ini telah banyak menyatu dan saling melengkapi kehidupan kami. Kami juga senang beradaptasi dalam dua keluarga. Saya kira hal-hal seperti ini yang telah mengeratkan kasih sayang kami," katanya yang percaya Linda sentiasa menyokong serta menjadi tulang belakang dalam keadaan susah dan senang.

Bengkel Que

Sepanjang memperlahankan rentak lakonan, Que sebenarnya sedang memicu laju keupayaannya dalam bidang lain.

Mengaku tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengarahan atau penulisan skrip seperti teman seperjuangan lain, Pierre Andre atau Farid Kamil, kata Que, dia tahu dia perlu melakukan sesuatu sebelum bakatnya tidak diperlukan lagi kelak.

"Jujur saya katakan, sebenarnya selepas melihat Farid Kamil atau Pierre Andre mula menjurus ke arah lain, selain berlakon, saya bertanya kepada diri sendiri, apa yang akan saya lakukan kalau saya sudah tidak laku lagi?

"Mengarah memang saya tak pandai. Pernah menulis satu skrip, tapi saya rasa skrip itu sangat teruk. Jadi saya menggali kualiti diri yang lain dan saya temui bahawa apa yang saya boleh kongsi dengan orang lain atau individu yang berminat dalam dunia lakonan adalah mengadakan bengkel lakonan atau memberi ceramah.

"Jadi sekarang, saya sebenarnya sibuk dengan bengkel lakonan yang saya buka di studio milik Linda selain mengadakan ceramah. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya akan menyertai satu bengkel ceramah anjuran belia Johor Bahru.

"Sekurang-kurangnya, saya mahu memberi kembali kepada masyarakat dan berkongsi dengan mereka apa yang saya ada untuk sama-sama memajukan industri. Saya tahu saya mungkin tidak cukup bagus atau 'masak' untuk membuka bengkel, tapi saya percaya ilmu yang kita kongsi bersama-sama ini dapat memberi sesuatu yang lebih baik kelak," katanya panjang lebar.

Tambah Que, kesibukan menguruskan bengkel dan ceramah inilah yang menjadi faktor utama mengapa dia tidak lagi punya banyak masa untuk berlakon.

Malah, tanpa disedari, dia telah mula membuka bengkel kepada teman-teman artis yang rapat dan berminat menyertainya sebelum dia berkahwin lagi. Hanya kini, dia semakin serius memberi fokus terhadap apa yang sudah dilakukannya sejak lebih setahun lalu.

"Macam yang saya katakan tadi, berlakon kini sudah bukan satu keutamaan berbanding zaman bujang dulu. Saya juga tidak lagi mementingkan kuantiti atau mahu terus-terusan muncul di layar lebar atau kaca televisyen supaya orang terus mengingati saya.

"Sebaliknya lakonan kini sudah menjadi satu hobi. Saya akan tetap berlakon. Tapi mungkin setahun satu atau dua filem, kalau masih ada tawaran. Saya mahu walaupun saya hanya berlakon satu atau dua filem setahun sahaja dan ia bukan watak utama sekali pun, kualiti yang saya bagi dalam lakonan saya memberi impak besar terhadap industri," katanya yang tahun hadapan hanya akan muncul dengan sebuah filem, Misteri Jalan Lama.

Laman web Atilia popular


MENTERJEMAH album Indah di mata, hati dan telinganya, bukan perkara sukar buat Raja Putri Atilia Raja Haron atau lebih dikenali sebagai Atilia. Naskhah kedua itu selepas menghadirkan Sangkar pada tahun 2008, punya signifikan tersendiri sehinggakan ia tidak mampu terluah dengan kata.

Itu kepuasan total wanita berusia 36 tahun yang mengepalai pembikinan album barunya. Menggelarkan Indah, serba-serbi dianggap indah sementelah berkisar keakbarannya dengan teman-temannya - Sazzy Falak, Yasmin Hani, Serena C, Aishah Sinclair, Daphne Iking dan Dynas sekali gus menikmati hidup bahagia bersama keluarga, kekasih serta peminat.

Biarpun lagu-lagu Sangkar sulit meraih posisi istimewa di stesen-stesen radio, dia tidak pernah berputus harap. Wanita kecil molek dilahirkan pada 18 September 1974 itu bagaimanapun menganggap situasi berkenaan sebagai cabaran melahirkan Indah dengan kudrat sendiri.

“Perasaan macam melahirkan anak walaupun saya belum berdepan pengalaman ini. Dengan kemunculan Indah ditambah saya berperanan sebagai penerbit eksekutif yang menumpahkan segenap emosi sepanjang dua tahun lalu, ia menjadi kepuasan tidak terhingga.

“Kalau album terdahulu saya tulis enam lagu, kini saya buat semua benda untuk pembikinan Indah. Dari awal hingga akhir, proses perjalanan, paling menarik, ia disaksi sendiri oleh saya termasuk memilih 10 buah lagu, menulis dua lirik, konsep kulit album dan banyak lagi dengan Tok Khon dan Adam Sofian sebagai penerbit bersama.

“Tetapi nasib baik penghasilan album ini tidak ambil tempoh panjang berbanding Sangkar selama enam tahun kerana ia bersifat eksperimental. Sepanjang dua tahun, saya akui perjalanan Indah bersepah sikit sebab guna banyak studio merekod lagu seperti di Jakarta dan beberapa lokasi di Kuala Lumpur,” jelas Atilia ketika ditemui pada pelancaran albumnya di Celebrities Hall Of Music, Mon’t Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Puteri kesayangan penyanyi malar segar, Salamiah Hassan, 58, itu memberitahu, Indah yang mengandungi enam lagu Melayu manakala empat berbahasa Inggeris berkonsep tidak jauh daripada Sangkar iaitu Neo Jazz.

“Buat pertama kali saya bergabung dengan vokalis grup Hujan, Noh menerusi lagu Inggeris, Old Love. Walaupun baru jalani kolaborasi, ternyata lagu ciptaan Mike Bloemendal ini mampu mewujud keserasian kami. Malah, impian saya berduet bersama pemuzik Indonesia, Maliq And D’Essentials melalui lagu Harus Bagaimana serta Sore, menjadi kenyataan.

“Selain menyanyi dengan tiga nama besar diminati, Indah dianggap hadiah kepada peminat kerana lama menanti album penuh saya. Ia kedengaran lebih mesra dan komersial kerana saya bekerja dengan ramai komposer seperti Paul Morisson, Ifa Fachir, Tok Khon dan Mohariz Yaakup manakala saya menulis lirik Selainnya dan Indah.

“Saya telah melancarkan single pertama Silly Little Thing pada 1 April lalu di Jakarta, Indonesia. Mana tahu, selepas ini dapat buat persembahan dengan Maliq And D’Essentials atau Sore sambil menyelinap masuk ke Indonesia meluaskan sayap,” terang Atilia yang berpandangan karyanya mudah diterima di Indonesia kerana pencinta muzik di sana didedah secara meluas jalur muzik jazz.

Malah, untuk naskhah Indah, segala urusan menjadi lebih teratur apabila Atilia menandatangani kontrak bersama Alibi Music Sdn. Bhd. baru-baru ini. Syarikat rakaman tersebut akan mengendali segala hal berkaitan album termasuk publisiti, muat turun Internet dan pengedaran.

“Saya akui soal bajet menjadi sedikit masalah untuk memunculkan album kedua. Namun, demi kecintaan terhadap bidang nyanyian, saya sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri sekitar RM40,000. Cuma, nasib saya baik apabila Alibi bersedia hulur bantuan untuk klip video, kulit album dan promosi,” ucap Atilia turut terbabit pada pementasan teater muzikal, Little Red Riding Hood arahan Nell Ng tidak lama lagi.

Indah yang dibalut dengan deretan karya memikat hati terdiri daripada Indah, Harus Bagaimana, Terindah Pilihanku, Gelombang, SelainNya, Old Love, Leka, Change, Angel dan Silly Little Thing bakal dilancar selewat-lewatnya bulan depan di bawah rumah penerbitan milik Atilia, Mujik Productions Sdn. Bhd.

Mengenai aktiviti seni, pemilik laman web www.atilia.us yang kini mencecah 3.6 juta pengunjung memaklumkan akan meneruskan projek Malam Nada Biru, selain menjayakan persembahan di beberapa Festival Muzik Jazz bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Saya ingin fokus terhadap karier buat masa sekarang. Tidak dinafikan, saya sedang berkawan dengan seseorang istimewa. Tetapi, masih terlalu awal mahu memperkata perkara ini.

“Ada perancangan hendak berkahwin lagi ditambah saya suka anak.Jangan risau, jika sampai masanya, saya pasti berkongsi dengan peminat,” akui Atilia pernah menemui keruntuhan rumah tangga selepas hidup selama 10 dengan bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz, 35.

Rozita bawa siapa tu?


DISEBABKAN sering mendengar kehebatan taman tema, Universal Studio pertama di Asia Tenggara yang terletak di Singapura, teman baik Marilyn, Fasha Clara baru-baru ini tidak melepaskan kesempatan mengunjungi destinasi tarikan pelancong tersebut bersama teman lelakinya.

Biarpun hanya sehari berada di situ semata-mata hendak menyaksikan Universal Studio dan beli cenderahati, Fasha Clara bagaimanapun puas hati dapat berjalan di sekeliling kawasan yang menyediakan tujuh zon tarikan filem, termasuk sudut dikhaskan untuk Jurassic Park, Shrek dan Walk Of Fame. Dia juga sempat ambil gambar berlatar pengembaraan piramid Mesir, bandar cereka sains dan tarikan New York.

Tidak ketinggalan, Fasha Clara turut menyampai khabar tentang pelakon jelita tanah air, siapa lagi kalau bukan Rozita Che Wan. Fasha Clara bertembung dengan aktres berusia 37 tahun itu semasa beratur di pintu masuk Universal Studio. Tidak datang keseorangan, dia sebaliknya ditemani anak-anak - Ammar Effendy, 14 dan Aniq Ezzra, 12.

Menariknya, Rozita yang menyarung gaun pendek rona merah tetap berbulu mata palsu dengan tas tangan dan kasut jenama Prada itu turut ditemani seorang lelaki muda berkulit hitam manis. Rasanya, itu kekasih Rozita kerana mereka berpakaian sedondon. Malah, Fasha Clara sempat terdengar perbualan mereka yang cukup romantis. Oh, cemburu dengar!

Sepanjang perjalanan di kawasan itu, si lelaki memegang tangan anak Rozita manakala anaknya yang seorang lagi itu berada dekat dengan ibunya. Dalam fikiran Fasha Clara, betul agaknya lelaki itu merupakan individu kesayangan di hati Rozita. Sebelum ini, dia pernah membuat kenyataan kepada Kosmo! bahawa teman lelakinya berusia 34 tahun dan masih bujang. Nampaknya, benar belaka apa dikatakan Rozita.

Cuma, Marilyn terkilan sangat dengan Fasha Clara yang tidak sempat ambil gambar aksi pasangan itu. Kalau tidak, secara eksklusif pembaca kami dapat tengok sendiri sang jejaka bertakhta di hati Rozita sekali gus bakal menjadi bapa kepada dua cahaya matanya. Iyalah, sebelum ini terdengar dia mahu menamatkan zaman solo selepas beberapa tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Tidak sabar rasanya Marilyn hendak menelefon Rozita sambil bertanya kisah percutiannya di Universal Studio. Manalah tahu dia mahu berkongsi foto-foto menarik sepanjang hampir setengah hari berada di situ. Jangan lepas ini kalau Marilyn menelefon Rozita, takut dia tidak angkat pula. Begitupun, Marilyn tumpang gembira dengar bahagianya hidup artis itu dengan teman lelakinya.

Bakal akhiri zaman solo?


SEHARUSNYA, dia teruja meraih kesempatan muncul buat kali pertama di layar perak. Menerusi filem terbitan syarikat penerbitan Galaksi Seni Sdn. Bhd. (GSSB), Momok - Jangan Panggil Aku, satu watak diperuntukkan kepada Farah Asyikin Zulkifli. Tiada lain, ia bagi mempersembah sisi tersembunyinya selepas berstatus penyanyi, komposer dan penulis lirik.

Bahkan, artis berusia 31 tahun itu dijadualkan untuk bergandingan dengan ratu dangdut goyang gerudi Indonesia, Inul Daratista untuk beberapa babak dalam filem tersebut. Peluang itu tidak dinafikan, cukup besar. Sesiapa sahaja terutama pendatang baru tidak mampu menolaknya. Ia umpama rezeki datang bergolek di depan mata.

Malang sekali, penyanyi popular dengan lagu Seribu Penipuan itu terpaksa menolak tawaran daripada pengarah Momok - Jangan Panggil Aku iaitu M. Jamil sehari selepas memberi kata persetujuan. Mengaku agak kecewa tidak dapat terbabit dalam karya genre seram itu, Farah bagaimanapun harus merelakan keputusannya setelah berbincang dengan ahli keluarga.

Selain terdengar alasan Farah terikat dengan komitmen sebagai pemain di gelanggang seni, ada juga gosip bertebaran kononnya dia sedang sibuk melakukan persediaan majlis pernikahannya bakal berlangsung tidak lama lagi.

Waktu penggambaran dijangka bermula 19 Julai dan berakhir 5 Ogos ini, dikatakan menjadi penyebab utama Farah menolak peluang keemasan itu.

Dan sekitar tempoh itu juga, Farah dilaporkan bakal menamatkan zaman 'solo' selepas bekas suaminya, Dr. Fariz Yahya, 32, menjatuhkan talak pada 26 Mei 2008.

Khabarnya, individu menjadi pilihan Farah, tidak lain tidak bukan adalah duda berusia 36 tahun berasal dari Singapura seperti dihebah oleh media tempatan sekitar Oktober lalu.

Ketika pertanyaan sama dihadapkan kepada Farah, dia hanya tergelak kecil. Yang pasti, sepanjang perbualan hampir satu jam menerusi corong telefon pada Isnin lalu, suara Farah kedengaran cukup tenang. Tiada istilah dia cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

"Lebih baik jika saya tidak komen tentang hal (pernikahan) ini. Sebelum ini, ada juga wartawan bertanyakan kepada saya tentang gosip mendirikan rumah tangga selepas bercerai dua tahun lalu. Tetapi, saya ambil pendekatan malas hendak ulas lebih lanjut.

"Biarlah orang tahu tentang kualiti kerja saya dalam industri berbanding cerita personal. Lagipun saya bukan popular seperti artis lain sampai perlu berkongsi cerita peribadi termasuk soal perkahwinan. Terus-terang, saya sudah ambil iktibar selepas menjalani pengalaman perkahwinan terdahulu.

"Jangan bimbang, kalau sampai masa mendirikan semula rumah tangga, saya pasti akan beritahu berita baik ini kepada peminat. Tidak mahu cakap lebih, hal kahwin sifatnya tergantung. Kalau ada jodoh dalam waktu terdekat ini, saya terima seadanya," jelas Farah yang mengaku belum serik berdampingan dengan predikat perkahwinan dalam hidupnya.

Dia tahu, ada sesetengah pihak bakal mempertikai alasan kurang munasabah, dia mengenepikan tawaran beradu sebagai pelakon filem. Enggan mempeduli persepsi nakal dilempar kepada diri, kudrat Farah buat masa ini - hanya mampu membenarkan orang lain terus membuat konklusi sendiri.

"Saya terima peluang berlakon dalam Momok - Jangan Panggil Aku dengan hati gembira kira-kira dua minggu lalu. Tetapi, saya tidak beri pengesahan penuh. Selepas tengok balik jadual penggambaran, saya tidak yakin dapat beri sepenuh komitmen ditambah kena buat persediaan banyak benda termasuk album penuh.

"Ironinya, gambar saya sudah dicetak pada poster Momok - Jangan Panggil Aku dalam waktu singkat. Begitupun, saya sudah memohon maaf kepada M. Jamil dan seluruh tenaga produksi kerana menghampakan impian mereka untuk lihat saya melibatkan diri dalam projek ini," jelas Farah yang sepatutnya memegang karakter sebagai anak bunian di samping Inul sebagai pembawa watak ibu bunian.

Menjadi diri sendiri

Berbicara tentang penampilan baru, Farah segera mengisyarat bahawa tiada perubahan total pada dirinya. Yang jelas, permukaan luaran berubah dengan imej wanita berbaju kurung serta solekan lebih nipis. Namun, dalamannya, dia masih Farah Asyikin sama masyarakat kenali sejak beberapa tahun lalu.

"Semua yang peminat tahu tentang saya, ia masih sama. Cuma, mungkin pergerakan saya ketika buat persembahan di atas pentas sedikit terbatas berbanding sebelum ini. Kalau dulu boleh melompat atau bergerak ke sana ke mari, kini saya tidak boleh berlebih-lebihan.

"Penerimaan orang ramai amat positif tentang perubahan diri ini. Malah, ada golongan wanita berusia bagi kata perangsang kepada saya semasa buat pertunjukan di Bentong, Pahang baru-baru ini. Mungkin bagi sesetengah orang tidak mengenali saya, mereka agak terkejut melihatkan kelainan ini. Tetapi, bagi yang rapat, mereka tahu saya terbiasa menyarung baju kurung.

"Lantaran itu, keluarga juga tidak pernah halang saya melakukan penghijrahan bermula awal tahun ini. Sejujurnya, saya berada dalam bidang ini sebab mahu melampias bakat seni yang dimiliki. Saya bukan hendak jadi selebriti yang perlu berpakaian cantik dan kena sentiasa nampak menyerlah.

"Sebelum ini, saya akui, sering ikut telunjuk atau ingin menggembirakan hati orang lain. Lama-kelamaan, saya fikir semula, sampai bila kena jadi macam ini sedangkan jiwa saya entah siapa peduli. Sekarang, saya lebih suka ikut kata hati sendiri melakukan apa jua perkara," terang Farah yang memiliki lebih 100 baju kurung dalam gerobok miliknya.

Selain berbaju kurung, Farah masih memiliki naluri berfesyen seperti wanita Muslim lain. Biarpun menggaya seluar tirus, dia tetap menggabungkan baju panjang menutupi bahagian tertentu agar tidak menampakkan sosok badannya.

Berduet dengan Shamrin

Konsistensi Farah dalam bermuzik dilihat mula terhakis sedikit demi sedikit apabila jalur lagu pop rock sinonim dinyanyikan olehnya, kini dialir deras pada karya bercorak kerohanian atau pop fusion, sejalan dengan pembaharuan imejnya yang lebih bersopan.

"Sebelum ini, saya ada bikin lagu dan hasilkan lirik berkonsep keagamaan, alam sekitar dan patriotik. Namun, saya segan dan terlalu fikir penerimaan khalayak hendak menonjolkan karya-karya ini. Tetapi, selaras dengan penukaran personaliti, saya memberani diri tampil dengan hasil nukilan sendiri termasuk dalam album penuh nanti.

"Kini, saya lebih suka muncul di belakang tabir termasuk buat lagu untuk artis lain. Saya buat lagu Ada-Mu untuk single pertama manakala Penjaga-Ku bakal dilancar sebelum Ramadan ini. Selain itu, saya dalam proses menyiapkan lagu duet bersama vokalis Fotograf, Shamrin berjudul Kamu, Aku, Satu yang berirama rancak.

"Selepas Shamrin menyatakan minat ingin berkolaborasi dengan saya dalam sebuah lagu semasa kami buat persembahan di Pasir Gudang, Johor, awal tahun ini, saya fikir sudah tiba masa mempamer kebolehan diri. Nasib baik, dia suka dengan lagu kedengaran rock ini yang berkisar percintaan golongan lelaki dan wanita serta persahabatan.

"Jika susunan muzik untuk lagu ini dapat disiapkan, kami akan segera masuk studio rakaman pada minggu depan. Saya sendiri tidak sabar hendak bekerjasama dengan Shamrin. Bukan saja disifatkan sebagai penyanyi tampan menurut pendapat teman-teman saya, dia juga sentiasa merendah diri walaupun lama berada dalam lapangan hiburan," akhiri Farah sambil mengungkap keperibadian Shamrin.

Elyana sibuk persiapan kahwin


"DULU saya dengar orang cakap, proses persiapan kahwin memeningkan kepala. Saya tertanya-tanya apakah yang memeningkan itu?

"Fikir saya, beri sahaja tugasan kepada perancang perkahwinan, insya-Allah semuanya akan selesai. Rupa-rupanya memang memeningkan kepala.

"Saya tidak tahu apa yang patut dimulakan dahulu. Sekarang, barang hantaran pun belum dibeli," ujar penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23.

Dia masih merahsiakan tarikh perkahwinannya. Biar semuanya lancar dahulu, ujarnya. Namun, dalam tawa dan bunyi di hujung suaranya dalam talian telefon, dia sedang berbahagia bercampur debaran menunggu tarikh penting tersebut.

Dalam masa yang sama, dia sibuk merencana kembali album terbarunya bersama label FMC. Kembali menjadi artis syarikat rakaman tersebut, Elyana yang mesra dipanggil Nana itu baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama label tersebut.

"Sekarang saya kembali sibuk dengan pertunjukan pentas. Baru sahaja mahu masuk studio untuk merakamkan single terbaru yang dihasilkan oleh Aidit Alfian, mentor saya.

"Untuk album terbaru saya nanti, konsep masih sama cuma akan ada lebih kematangan dari aspek muzik dan lirik. Tetapi masih catchy seperti lagu-lagu yang dulu," katanya.

Penyanyi yang aktif berlakon ini turut menyatakan dirinya tidak terlalu memilih watak yang diberikan kepadanya. Namun, dia ada cara untuk memilih produk atau watak yang bakal dilakonkan.

"Saya ikut gerak hati. Kalau gerak hati kata okey, saya terima dan sebaliknya. Saya terima watak yang boleh saya bawa. Walaupun diberikan jumlah wang yang besar untuk watak yang saya rasa tidak boleh bawa, saya tidak akan terima," jujurnya yang pernah muncul dalam filem Gong, Dukun dan drama Dunia Baru serta Renjis.

Julia Ziegler kaki parti?


SI Kemar Burung Kakak Tua memang jadi sumber Diva untuk dapatkan gosip. Baru-baru ini dia menyerahkan gambar seorang pelakon yang sedang hebat berparti di sebuah kelab.

Perhati punya perhati rupa-rupanya dia ialah pelakon yang kini sedang hebat dalam drama Noktah Erna, Julia Ziegler.

Bukan main mesra dan berseronok nampaknya aktres kacukan itu berparti bersama rakan-rakannya. Diva fikir, itu mesti kes melepaskan tekanan kerja. Maklumlah, setiap orang berbeza cara untuk melepaskan stres.

Rita Rudaini – Adil Zafuan bergelora?


MENARIK nafas panjang Diva dibuatnya apabila satu demi satu cerita tidak seronok masuk ke gegendang telinga ini. Hendak menggeleng kepala rasanya tidak wajar sebab Diva sendiri bukanlah malaikat.

Diva bukan jenis percayakan gosip tanpa usul periksa tetapi setelah mengambil kira bilangan mulut yang rancak bercerita tentang gelora yang sedang dihadapi dramatis popular Rita Rudaini dengan suaminya, Aidil Zafuan itu sudah lebih daripada dua, Diva fikir, pasti ada sedikit kebenaran daripada bisikan angin panas itu.

Diva cuma terkenangkan wajah comel Aidit Raiyan Rizqin yang baru hendak mengenal dunia. Minta dijauhkanlah segala onar tidak diingini ya.

Sabrina peserta Sehati Berdansa keenam bercerai


KUALA LUMPUR 1 Julai - Peserta Sehati Berdansa (SB), Sabrina Ali Dad Khan, 30, dan pasangannya Mohamad Shahrin Abdul Halim, 38, menjadi pasangan keenam yang menyertai rancangan ini bercerai.

Sebelum ini, peserta SB terbitan Astro yang lain, Asheed Def Gab C dan pasangannya, Sharifah Noor Shima; Atilia - Ariff Johan Abdul Aziz; Dira - Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid; Radhi OAG - Shazlin Sharif dan Anne Ngasri - Abdul Wafi Hassan turut melalui proses penceraian.

Sabrina yang juga anak saudara pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, mengesahkan kepada Utusan Malaysia hari ini yang dia dan Shahrin sudah bercerai bulan lalu.

Bagaimanapun, Sabrina enggan mengulas lanjut berita perceraian itu.

Katanya, dia belum bersedia untuk mendedahkan tempat, tarikh dan maklumat lain berhubung perceraian mereka bagi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak.

"Maaf, saya perlu merahsiakan kisah penceraian kami ini demi menghormati keluarga saya dan Shahrin.

"Kami mencapai persefahaman untuk bercerai dan hubungan saya dengan Shahrin masih berkawan baik demi anak kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sabrina dan Shahrin bernikah pada 21 Mei 2006. Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ariyana, 2.

Lisdawati Beri Amaran Kepada Penyebar Fintah


PELAKON Lisdawati meminta sesiapa saja yang selama ini cuba meruntuhkan rumah tangganya yang dibina dengan pengarah Fauzi Nawawi supaya segera menutup mulut.

Kata Lisdawati telinganya sudah bernanah untuk mendengar tuduhan yang bukan-bukan apatah lagi terhadap perkara yang mengaitkan suaminya curang dan mempunyai wanita lain.

“Kami kahwin bukan untuk bercerai. Bila ada orang bawa mulut untuk merosakkan rumah tangga kami, tentulah saya tidak percaya,” katanya seperti dilaporkan KAMELIA OTHMAN dalam akhbar Mingguan mStar semalam.

Lisdawati yang sudah tiga tahun bernikah dengan Fauzi berkata, walau apa juga tuduhan, dia tetap percayakan Fauzi selain sudah menyiasat latar belakang lelaki itu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Malah Lisda juga turut menyifatkan individu yang menaburkan fitnah sedemikian adalah lebih kejam daripada rejim Zionis, Israel.

“Saya tak faham kenapa orang sanggup buat kerja yang tak ada faedah seperti ini? Lebih baik mereka buat kerja yang lebih berhasil,” katanya.

Tambah Lisda lagi, sebelum dia berkahwin dengan Fauzi, dia sudah bersedia menerima segala kekurangan dan kelemahan suaminya itu.

Dalam masa yang sama jika ada perbalahan, mereka dapat menyelesaikan masalah dengan baik yang biasnya dilalukan dengan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Perkara terbaik saya amalkan dengan menghantar SMS untuk mencari penyelesaian. Cara itu membolehkan kita untuk menapis dahulu apa yang kita nak cakap berbanding kata-kata yang akan keluar daripada mulut kita kalau masing-masing berdepan,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails