Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kematangan Zaquan yakinkan Ayu


TARIKH 10 Oktober 2010 sepatutnya menjadi hari bahagia kepada aktres jelita, Ayu Raudhah bersama kekasih hatinya, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak. Dikhabarkan akan bertunang pada hari tersebut, penyebaran berita itu bagaimanapun dinafikan oleh tuan punya badan.

Penafian itu bukan membawa maksud sesuatu buruk telah terjadi pada hubungan mereka. Cuma buat masa ini, pasangan itu terutama Zaquan tidak mempunyai masa secukupnya untuk meneruskan perancangan mereka.

Sungguhpun rancangan pertunangan itu perlu ditunda, Ayu yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! tampak gembira. Mengukir senyuman, Ayu mengaku dirinya amat bahagia di samping pemain bola sepak kebangsaan itu.

“Pada mulanya kami memang berbincang dengan keluarga masing-masing untuk menjalankan majlis pertunangan pada bulan Oktober ini. Namun, disebabkan jadual yang sibuk, kami membatalkan niat itu. Mungkin dari situ ada khabar angin yang tersebar bahawa kami akan bertunang pada tarikh tersebut,” ujar Ayu.

Tidak mahu mendesak, Ayu mahu menggunakan masa secukupnya untuk membuat perancangan. Dia tidak mahu majlis yang berlangsung secara kelam-kabut dan ingin menunggu masa lapang Zaquan supaya semuanya dapat berjalan lancar serta dalam keadaan relaks.

Baru-baru ini, keluarga kedua-dua pihak bagaimanapun sudah mengesahkan bahawa pasangan itu akan bernikah pada bulan Januari depan.

“Kami kedua-dua pihak keluarga memang merestui hubungan mereka. Jika ada jodoh, majlis pernikahan akan berlangsung awal tahun depan.

“Cuma setakat ini belum ada tarikh muktamad tetapi akan ditetapkan dalam masa terdekat,” ujar bapa Zaquan, Abd. Radzak Salleh, 61, kepada media baru-baru ini.

Berkenalan selama setahun, Zaquan menurut Ayu sebenarnya mahu bernikah terus. Ini semua disebabkan faktor masa. “Memang dalam adat kita akan merisik, bertunang dan kemudian bernikah. Tapi kalau bernikah terus juga tidak ada salahnya.

“Itu pandangan Zaquan kerana dia tidak mempunyai masa untuk melakukannya secara berperingkat. Jadi kami juga mungkin akan terus bernikah sahaja,” tambah Ayu yang beraya di Alor Setar, Kedah bersama keluarganya.

Mula meminati Zaquan selepas melihat papan iklan di tepi jalan raya, Ayu sebelum itu pernah menyaksikan perlawanan kekasihnya di Stadium Bukit Jalil bersama kakaknya sebagai seorang peminat.

Namun, mereka hanya berkenalan selepas kawan Ayu yang juga merupakan pemain bola memperkenalkan Zaquan. Akui dirinya amat cemas pada pertemuan pertama, Zaquan bagaimanapun menjadi pihak yang mula menghantar SMS.

“Kami hanya berhubungan menerusi telefon selepas pertemuan itu. Macam kawan biasa. Apabila Zaquan mengajak saya berkawan secara serius, saya sendiri tidak pasti. Tapi tidak sangka hubungan kami boleh sampai tahap ini dan sejujurnya saya amat bahagia,” senyum Ayu yang baru sahaja menghabiskan rakaman drama Nujum Siber.

Dilamar tiga bulan lalu, Zaquan sebenarnya sudah berbicara mengenai pertunangan tersebut sejak tahun lalu lagi. Namun, lamaran itu hanya berlaku menerusi satu panggilan telefon. Walaupun begitu, sifat dan perwatakan Zaquan telah membuatkan Ayu bersetuju dengan lamarannya.

“Dia seorang yang romantik dan ramah. Malah dia seorang yang berbudi bahasa terutama di hadapan orang tua. Disebabkan itulah ibu saya amat menyukai dia. Mungkin bagi orang yang tidak mengenali dia, wajahnya kelihatan sombong. Tapi sebenarnya dia seorang yang sopan,” tambahnya lagi.

Berumur 26 tahun, Ayu seperti yang diketahui umum lebih tua daripada Zaquan, 23. Ditambah dengan populariti Zaquan, tidakkah Ayu risau kekasihnya itu akan didampingi ramai wanita lain?

“Tidak susah dan senang sebenarnya untuk ‘mengawal’ dia. Tapi apa yang penting adalah kepercayaan. Saya amat mempercayai dia dan kalau tidak ada kepercayaan itu, kita sendiri yang susah. Kematangan Zaquan juga mengukuhkan lagi hubungan kami.”

Menyimpan hasrat untuk berkahwin pada usia 21 tahun sejak kecil lagi, harapan Ayu itu tidak kesampaian. Ini kerana Ayu bukan seorang wanita yang mementingkan karier tetapi suka memiliki keluarga sendiri.

Selain daripada mahu membina keluarga sendiri, Ayu juga berharap majlis perkahwinannya berlangsung secara kecil-kecilan dengan dihadiri hanya keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.

“Dari dulu lagi memang saya sukakan majlis peribadi di pulau. Tapi kalau keluarga Zaquan hendakkan majlis secara besar-besaran, saya tidak kisah. Cuma di pihak saya, saya memang mahu majlis kecil,” tambah Ayu yang sudah menerima banyak tawaran penajaan untuk majlis pertunangannya.

Amber Chia Selamat Lahirkan Bayi Lelaki


PETALING JAYA: Model antarabangsa, Amber Chia selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di sini, kira-kira pukul 5 petang Selasa.

Menurut rakan Amber, Stella Lim Bee Choo yang berada di hospital itu, kedua-dua Amber dan bayinya berada dalam keadaan sihat.

Katanya, bayi yang belum diberikan nama itu dilahirkan dengan berat 2.8 kilogram.

"Amber dan suami tersayangnya, Adrian Wong begitu teruja di saat menimang cahaya mata yang dilahirkan secara normal," katanya kepada mStar Online di sini.

Stella yang juga Pengarah S2Slimming memberitahu, bayi itu mirip ayahnya dan fizikal badannya tinggi seperti ibunya.

Katanya, bayi comel itu tidak banyak meragam.

Tambahnya, Amber yang merupakan duta S2Slimming sempat menghadiri perasmian Amber & Xavier PR Consultancy di Skewers Subang Avenue kelmarin.

"Bagaimanapun, dia mula mengalami simptom mahu bersalin pada pagi ini lalu dimasukkan ke wad hospital. Saya melawatnya pada 2 petang ini sebelum Amber bersalin pada 5 petang ini," katanya.

Bienda Rahsia Tarikh Nikah Walau Kad Jemputan Sudah Diedar


PETALING JAYA: Penyanyi Bienda masih mahu merahsiakan tarikh pernikahannya walaupun telah mengedarkan kad jemputan kahwin sejak beberapa hari lalu.

Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 25, berkata dia hanya akan menjelaskan tarikh pernikahannya pada majlis persandingannya nanti yang akan diadakan pada 8 Oktober akan datang.

"Ramai yang tanya tentang pernikahan saya, insya-Allah saya akan beritahu segalanya pada hari perkahwinan saya nanti dan memperkenalkan suami saya, Kamarul Zariman kepada semua.

"Buat masa sekarang saya sedang sibuk dengan persiapan terakhir majlis seperti memilih baju dan mengedarkan kad jemputan perkahwinan," katanya ketika di hubungi mStar Online, Selasa.

Bercerita tentang perasaan menghitung hari untuk menjadi raja sehari, Bienda mengakui debarannya semakin dirasai.

"Perasaan ketika ini bercampur baur dan berdebar. Saya tidak sabar untuk melaluinya. Persiapan untuk majlis ini saya sudah lakukan setahun lebih awal, jadi sekarang tidaklah terlalu terkejar-kejar.

"Tapi memang penat untuk siapkan semuanya. Nasib baik ramai yang membantu saya," katanya.

Menurut Bienda, majlis perkahwinan yang berkonsepkan ala Arab itu telah mendapat kerjasama sebanyak 14 penaja iaitu dari segi solekan, pelamin, katering, pakaian dan sebagainya.

"Saya memilih konsep Arab kerana mahukan kelainan. Selain itu imej dan genre lagu yang sering saya bawa bercorak “world” muzik.

"Kami sekeluarga yang bincang dan inginkan konsep ini. Lagi pula keluarga saya memang ada darah Pakistan jadi saya rasa ia adalah konsep paling sesuai," ujarnya yang akan mengayakan dua pasang busana pengantin rekaan D&D Beuty House.

Dalam majlis resepsi yang bakal diadakan di salah sebuah dewan di Selayang, Selangor itu, Bienda turut mengundang lebih 1,000 tetamu termasuk rakan-rakan terdekat dan pihak media.

Ashraf takut potong tali pusat


TANGGAL 22 September menjadi hari keramat buat pasangan Bunga Citra Lestari dan Ashraf Sinclair apabila bayi sulung mereka selamat dilahirkan sekitar pukul 1.15 tengahari (waktu Indonesia) di Brawijaya Women and Children Hospital, Jl. Brawijaya, Cipete, Jakarta Selatan, Indonesia.

Dikurniakan bayi lelaki seberat 3.5 kilogram yang dilahirkan secara pembedahan, Ashraf yang dihubungi Kosmo! memberitahu masih tidak percaya dirinya kini sudah rasmi bergelar bapa.

Begitu berbangga dengan Bunga yang telah melahirkan anak mereka dengan selamat, katanya: "Walaupun kami sudah berada di wad pada pukul 1 pagi dan Bunga hanya bersalin pada pukul 1.15 tengahari malah terpaksa menjalani pembedahan, syukur, semuanya berjalan lancar.

"Saya begitu berbangga kerana kini sudah menjadi seorang bapa. Rasa seperti tidak percaya apabila melihat bayi sendiri."

Menceritakan pengalamannya menemani Bunga sepanjang berada di dalam bilik pembedahan, Ashraf mengaku dia sedikit cemas.

"Saya begitu cemas sewaktu berada di dalam bilik pembedahan sehingga tidak berani memotong tali pusat anak kami. Sebaliknya, saya serahkan semua hal tersebut kepada doktor.

"Tetapi sebaik semuanya selesai, keluar daripada bilik bedah, saya banyak menghabiskan masa berbual dengan bayi sementara Bunga berehat," katanya yang turut memberitahu sepanjang hamil, mereka dua kali pulang ke Malaysia kerana Bunga mengidam roti canai dan indo mee daging di Hartamas, Kuala Lumpur selain ke Singapura dan Bali.

Tidak mempunyai perancangan khusus buat anaknya, sebaliknya Ashraf hanya mahu anak sulungnya itu akan mendapat pendidikan yang sempurna.

Berkemban itu seksi - Nora


RANTAIAN kerja seni Nora Danish, 28, seperti tidak pernah terusik oleh kehangatan sensasi yang terpalit di tubuh genitnya.

Bahkan selepas banyak episod kontroversi yang dilaluinya, pelakon itu semakin matang dan menjadi wanita yang kaya dengan pengalaman - sebagai anak seni, isteri, ibu dan janda muda.

Dia juga mampu tersenyum dan tertawa saat diusik tentang Shahrul, lelaki yang baru hadir dalam hidupnya sebagai teman. Nora wanita 'indie' yang bebas membuat pilihan.

Sedang dalam rangka promosi filem komedi seram pertama lakonannya, Jangan Pandang Belakang Congkak II arahan Ahmad Idham, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal, 1 tahun 9 bulan itu juga sibuk dengan penggambaran drama bersiri Putera Katak arahan Adam Hamid.

BERKEMBAN

BERKEMBAN boleh menampakkan keseksian seseorang wanita. Rasanya wanita dulu-dulu lebih kerap berkemban berbanding wanita sekarang. Tetapi saya tidak suka berkemban. Apabila disuruh berkemban dalam Jangan Pandang Belakang Congkak II, saya minta agar bahagian bahu yang terdedah ditutup dengan kain supaya tidaklah terlalu seksi.

CERITA HANTU

SAYA memang menggemari filem hantu sejak kecil. Bagi saya menonton cerita hantu satu keseronokan, paling seronok kerana daripada situ saya dapat mencabar diri untuk berani berdepan ketakutan. Filem hantu zaman kanak-kanak yang masih jelas dalam ingatan saya ialah filem hantu dari seberang, tajuknya Suzana Anak Sundel Bolong.

KOMEDI

SEBAGAI pelakon, saya memang banyak terlibat dengan cerita-cerita komedi. Dalam perhubungan seharian pula, kalau diberi pilihan saya suka bercampur dengan kawan-kawan yang pandai buat lawak.

Saya perlukan seseorang atau teman yang kelakar boleh membuatkan saya tertawa, kalau tidak saya akan lebih banyak diam. Saya tak pandai menghiburkan hati orang.

SAKA

SAYA tahu ada bomoh dan benda-benda berhubung saka dalam kehidupan masyarakat kita tapi saya tak nak memikirkannya. Setahu saya, saka itu bahaya dan akan menyusahkan anak cucu dan keturunan pemilik saka berkenaan.

PUASA SYAWAL

SAYA sedar itu satu amalan yang mulia dan sesiapa yang menjalankan ibadat itu akan dilimpahkan dengan pahala yang banyak. Tapi saya akui, seumur hidup saya, saya tidak pernah berpuasa enam sepanjang bulan Syawal.

Mungkin ia disebabkan banyak sangat rumah terbuka jadi susah nak kawal nafsu makan. Tahun ini, saya ada terfikir untuk mencuba. Lagipun, sekarang adalah masanya untuk saya kembali berdiet.

Misha belum diserang madu


ANGIN semilir sudah lama menerbangkan berita yang bunga mekar Negeri Cik Siti Wan Kembang ini sudah dipetik orang. Bukan sebulan dua berita itu kedengaran tetapi sudah setahun.

Cuma kebelakangan ini angin itu telah bertukar menjadi taufan. Misha dikatakan sudah menjadi isteri orang.

Lalu, sehari sebelum gadis berusia 28 tahun ini menaiki pentas Istana Budaya untuk pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir, dia dibidik dengan soalan demi soalan.

Bakal sibuk mulai Jumaat lalu hingga ke 4 Oktober untuk pementasan bersama Erra Fazira, Esma Daniel dan Zizan Nin, Misha cuba mengalihkan fokus agar tekanan yang diterimanya tidak berlarutan.

Manakan tidak, soalan perkahwinan bahkan dakwaan dia menjadi isteri kedua buat seorang ahli perniagaan yang berjaya dan terkenal di Kelantan menerpanya setiap hari sewaktu pulang berlebaran di kampung halaman.

Dalam resah yang cuba diredakan, Misha Omar yang bakal keluar dengan album The Best Of Misha hujung tahun ini merungkaikan persoalan bersama Sensasi Bintang.

Sebetulnya, anda sudah bergelar isteri atau belum?

MISHA: Tidak, saya tidak berkahwin seperti yang digembar-gemburkan. Malah, cerita ini sebenarnya sudah lama dibawa orang. Sejak bulan enam tahun lepas. Saya berani cakap sebab saya memang tak buat (kahwin).

Kalau betul saya berkahwin, saya akan berterus-terang. Sekarang, saya seperti didesak untuk menyatakan benda yang saya tidak lakukan.

Saya ubahsuai rumah kerana serangan anak-anai pun orang masih kata sebab saya nak buat majlis perkahwinan.

Anda kenal dengan ahli perniagaan yang dimaksudkan?

Saya memang kenal dengan lelaki yang dikatakan ‘suami’ saya itu. Saya menjual kereta Mercedes milik saya kepadanya. Memang ada berurusan tetapi kerana transaksi penjualan kereta. Persahabatan kami terjalin atas dasar itu.

Ada pihak yang turut mendedahkan nama jurunikah dan tempat anda berkahwin. Boleh komen?

Nama imam yang disebut itu saya kenal kerana saya membayar zakat dengannya. Malah, keluarga saya juga kenal baik dengan ‘tukang nikah’ tersebut.

Saya cabar mereka untuk tunjukkan bukti atau surat yang menyatakan saya sudah bernikah.

Saya sedih kerana orang turut melibatkan keluarga dan ibu. Ibu saya sendiri menangis dan minta penjelasan daripada saya.

Pernah diserang oleh isteri seseorang atau keluarganya?

Tidak pernah walaupun dengan satu panggilan telefon.

Apa pandangan peribadi anda terhadap poligami? Maklumlah anda juga digosipkan menjadi isteri kedua kepda seorang ahli perniagaan.

Selepas melalui pelbagai perkara dalam kehidupan, saya rasa saya berhak memiliki suami. Soal jodoh memang di tangan Tuhan. Pada penghujung hari kelak, semua Tuhan yang tentukan, jadi saya tidak berani cakap.

Pandangan anda tentang lelaki yang berpoligami?

Lelaki yang mahu berpoligami harus berani. Bukan menikus dan bernikah di Siam kemudian diam.

Dia juga harus terbuka dan berani berhadapan dengan keluarganya, keluarga bakal isteri dan juga isterinya sendiri.

Anda tidak akan berkahwin secara senyap-senyap seperti yang diuar-uarkan umum?

Kalau pun nanti berlaku atau siapa pun lelaki itu atau menjadi isteri yang ke berapa, saya janji akan beritahu.

Saya bukan jenis orang yang suka sorokkan perkahwinan. Saya tahu saya keluar dengan berita begini kerana khalayak mahu lihat saya berkahwin.

Eja jadi nelayan


PERNAH terdetik di hati aktres dan pengacara jelita, Siti Sharizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja mahu berehat panjang daripada lapangan seni selepas bergelar ibu kepada bayi comel, Nur Eishal yang dilahirkan pada 3 September tahun lalu.

Katanya, kalau boleh dia mahu berehat selama dua hingga tiga tahun untuk memberi fokus dan melihat puterinya itu membesar di depan matanya sendiri. Namun, hajat di hatinya itu ditewaskan dengan perasaan rindunya berada di set penggambaran.

Hanya selepas berehat selamat satu tahun setengah, kelibat wanita berusia 38 tahun itu mula mewarnai kaca televisyen dengan seleksi drama yang hebat antaranya Ramadan, Ya, Puan, Hijal Dikalbu dan terbaru Ahmad Durrah yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3 di dalam slot Zehra.

“Memang saya ingat nak berehat panjang sebab nak besarkan anak dengan air tangan sendiri tetapi tak tahulah, hati saya rindu sangat nak berlakon balik. Lama-lama duduk di rumah pun tidak boleh juga sebab saya sudah biasa bekerja sejak umur 19 tahun lagi,” ujarnya yang ditemui pada majlis rumah terbuka penerbit Global Station, Datin Zaiton Mohd. Jiwa baru-baru ini.

Akuinya lagi, sebaik sahaja dia habis berpantang banyak tawaran yang datang kepadanya. Bagaimanapun ketika itu semua tawaran terpaksa ditolak memandang anaknya masih menyusu badan.

“Macam mana saya nak bekerja dengan anak masih menyusu badan, jadi masa itu semua tawaran saya tolak sebab bagi saya anak saya lebih penting sampai ada ketika saya buat keputusan ingin jadi suri rumah sepenuh masa.

“Semuanya kerana anak, saya buat keputusan untuk jadi ibu pun ambil masa yang cukup lama jadi bila dapat anak sudah tentu saya ingin curahkan segala perhatian kepadanya. Sepanjang tempoh itu saya berehat dan sampai satu tahap saya pula yang tidak tahan sebab asyik duduk rumah sahaja,” katanya.

Keputusan untuk kembali bekerja tiga bulan yang lalu direstui oleh suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 41 tahun. Bagaimanapun Eja meletakkan syarat yang wajib dipatuhi oleh penerbit jika mahu menggunakan khidmatnya dalam karya mereka.

Ulasnya, kehidupannya sebelum menjadi ibu dengan selepas menjadi ibu cukup berbeza. Dia tidak lagi boleh bekerja di luar kawasan dalam tempoh yang lama, juga tidak boleh bekerja sehingga lewat pagi dan jika boleh mahu menggelak untuk bekerja pada hujung minggu.

“Kalau nak tahu semua rakan pelakon yang sudah mempunyai anak meletakkan syarat yang sama. Kalau tidak cakap pun, penerbit dan pengarah sedia maklum dengan status pelakon yang bergelar ibu,” ucapnya.

Berpisah

Luahnya lagi, sebelum ini dia seorang yang memilih dan agak cerewat tentang kerya yang ditawarkan kepadanya dan kini dia bertambah cerewat bukan sahaja mengenai karya tetapi juga watak.

Selepas menjadi ibu, automatik dirinya menjadi seorang yang lebih berani. Jika dulu banyak tawaran ditolak kerana tidak punyai keberanian untuk membawa watak terutama yang bergenre seram, kini tidak lagi.

“Dulu saya akui saya penakut, terutama kalau dapat tawaran cerita hantu memang saya tidak buat. Sekarang saya dapat rasakan diri saya agak berbeza, lebih berani dan buat pertama kalinya saya buat cerita seram dalam drama Durja Ningsung. Saya juga bersyukur apabila saya kembali bekerja, saya dapat semua karakter yang bagus,” katanya lagi.

Eja juga sempat menceritakan pengalamannya kali pertama berpisah dengan puteri kesayangannya apabila menjalani penggambaran selama 14 hari di Pulau Pinang untuk drama Ahmad Durrah.

“Mula-mula hati saya berbelah bahagi sama ada mahu ke pergi ke Pulau Pinang atau pun tidak. Kebetulan anak saya sudah bercerai susu dan ibu saya menasihatkan kalau melekat dengan anak sahaja pun susah juga. Jadi saya pun pergi ke Pulau Pinang, kalau tidak ada ibu saya yang jaga anak memang saya tidak pergi.

“Rindu dengan anak, Tuhan saja yang tahu. Hari-hari saya buat panggilan video untuk tatap wajah dia sebab dia bukannya boleh bercakap kalau nak berbual dengan saya pun. Itulah pengalaman berpisah dengan anak yang paling lama,” tuturnya.

Nelayan wanita

Eja yang wajahnya terbakar akibat panas matahari ketika berlakon dalam drama bersiri 13 episod Ahmad Durrah terbitan Global Station Sdn. Bhd. memberitahu, drama tersebut memberi pengalaman baru buatnya.

Tidak pandai berenang dan mempunyai fobia dengan laut, Eja terpaksa mengemudikan sebuah bot seorang diri di tengah laut yang bergelora demi menjayakan watak Islah seorang ibu tunggal yang menjadi nelayan demi menanggung kehidupan dan persekolahan anaknya.

“Itu antara pengalaman yang menakutkan saya. Bayangkan saya yang tidak pandai berenang diminta duduk tengah laut seorang diri. Sampai saya menjerit minta bot kru supaya jangan berada jauh dengan saya.

“Bila kami naik ke darat, nelayan di sana terkejut kerana mereka sendiri ketika itu tidak berani turun ke laut kerana ombak tengah besar. Nasib baiklah tidak ada apa-apa berlaku, ada dalam empat hari penggambaran di laut. Itu yang muka saya terbakar dan sekarang tengah buat rawatan,” balasnya.

Sungguhpun penggambaran yang berlangsung sebelum bulan Ramadan itu agak memeritkannya, namun setelah melihat hasilnya Eja berpuas hati dengan pengorbanan yang diberikanya untuk drama tersebut.

“Saya puas sebagai seorang pelakon melakukan sesuatu yang di luar jangkauan saya sendiri. Saya rasa belum pernah pelakon wanita lain melakonkan watak nelayan seperti mana saya yang betul-betul jadi nelayan,” katanya dalam tawa.

Jimmy Shanley Mula Edar Kad Kahwin


IKATAN pertunangan yang berlangsung pada Jun lalu antara pengacara popular Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy akan berakhir pada 1 Oktober ini.

Ini kerana, kedua-duanya akan melerai ikatan tersebut kepada ikatan pernikahan yang akan dilangsungkan pada tarikh tersebut.

Majlis akad nikah akan diadakan di rumah pengantin perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor. Majlis tersebut dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.

Jimmy atau nama sebenarnya Azmy @ Jimmy Shanley Norjahan Saleh telah mula mengedarkan kad undangan perkahwinannya yang penuh eksklusif dengan padanan warna hijau dan kain baldu berwarna biru.

Dalam kad tersebut turut memuatkan gambar pasangan itu yang dirakamkan pada April lalu di dalam studio.

Kini tak sampai seminggu lagi, pasangan itu akan disatukan. Tidak dinafikan debaran Jimmy semakin memuncak walaupun persiapan perkahwinan diserahkan kepada perunding perkahwinan Bahar Azman.

Jimmy yang merupakan anak yatim piatu dan bongsu daripada lapan beradik itu akan memberikan sembilan dulang hantaran kepada Suhaila manakala wanita itu akan membalas 11 dulang hantaran kepadanya.

Antara hantaran yang diberikan oleh Jimmy kepada Suhaila termasuklah wang hantaran berjumlah RM186 dan mas kahwin berjumlah RM31,000.

“Jumlah mas kahwin dan wang hantaran itu merupakan simbolik kepada tarikh lahir pengantin perempuan yang ditetapkan oleh keluarganya. Setakat ini tinggal dua hantaran yang belum dibeli dan saya memilih untuk membelinya pada hari minggu ini.

“Saya lebih rasa gementar untuk menghadapi majlis akad nikah itu nanti kerana bakal menggalas tanggungjawab yang besar untuk menjaga isteri saya nanti,” kata Jimmy ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dan Trek Selebriti ini, seramai 900 orang tetamu yang dijemput ke majlis resepsinya dan Suhaila pada 2 Oktober ini di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pukul 7.30 malam.

Antara rakan artis yang telah mengesahkan kehadiran mereka adalah Lisa Surihani, Linda Onn dan tenaga pengajar AF.

Jimmy dan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya itu akan mengenakan dua persalinan semasa upacara bersanding dan memotong kek.

Jimmy bagaimanapun mahu merahsiakan tema yang akan dihiasi dalam majlis resepsi itu. Yang pasti, bunga segar akan digunakan dalam majlis tertutup itu.

Sementara pada 16 Oktober ini, sebuah lagi majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan dilangsungkan di Batu Gajah, Perak.

Sebelum ini, Jimmy pernah memaklumkan yang dia akan membuat majlis resepsi berkonsepkan dalam taman di tempat percutian bersejarah, Kelly Castle, Batu Gajah.

Katanya, kos setiap majlis perkahwinan mereka ditanggung sendiri oleh pengantin dan tiada penajaan yang diterima.

Selepas berumah tangga nanti, Jimmy dan pasangannya akan tinggal di rumah yang dibeli sendiri oleh Jimmy di kawasan Lembah Klang.

Selain mengacara, Jimmy juga bekerja sebagai Pengarah Jualan menguruskan Natasya Resort di Cameron Highlands, Pahang.Jimmy juga bercita-cita untuk bangunkan Kelly Castle sebagai sebuah resort terkemuka.

Rina Cemburukan Rini


DARI raut wajah, penampilan dan gaya sukar untuk membezakan dua penyanyi kembar Rina dan Rini. Malah mereka berdua juga dianugerahkan bakat suara sebagai penyanyi.

Rini lahir dalam satu program realiti Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7), manakala Rina pula memulakan langkah sebagai penyanyi di bawah label Dream Music.

Biarpun Rini lebih dikenali melalui platform AF7, namun Rina tidak pernah berputus asa meneruskan perjuangan sebagai penyanyi. Dia juga mengakui sering dikatakan menumpang populariti kakaknya, Rini.

"Ya, ramai yang tersilap antara saya dan Rini, saya faham sebab Rini lebih terkenal dari saya. Ramai juga yang kata saya menumpang populariti dia.

"Jauh di sudut hati memang sedih sebab ketika awal dulu saya yang lebih beria-ia untuk sertai AF7 tapi dia yang terpilih. Tapi saya percaya rezeki dimana-mana.

"Mungkin masih terlalu awal dan ramai yang tidak dapat membezakan antara kami berdua," ujarnya.

Selain itu, Rina juga mengakui cemburu dengan populariti kakaknya Rini, namun cemburunya itu membuatkan dia lebih berusaha lebih keras lagi untuk berjaya.

"Saya cemburu sebab dia lebih dikenali dan berjaya dari saya. Tapi cemburu bukan berniat jahat, cemburu yang membuatkan saya bekerja lebih keras dan dua kali ganda dari dia.

"Langkah pertama ialah bagi masyarakat dapat membezakan antara kami berdua melalui cara dan suara kami," katanya yang telah keluar dengan single pertama berjudul Mana Satu.

Sudah Punya Kekasih

Seperti kakaknya, Rini yang sudah pun mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan sendiri, Rina juga mengakui sudah mempunyai kekasih.

"Saya sudah mempunyai kekasih, kami berkawan sejak tiga tahun lalu. Tapi kami tidak mahu mengikat tali pertunangan sebab kami merancang untuk terus berkahwin sahaja.

"Tentang godaan dari lelaki lain saya akui sejak jadi artis memang lagi banyak. Tapi setakat ini saya masih boleh bertahan dan hati saya hanya untuk dia sahaja," katanya yang mengakui berkawan dengan jejaka dari Kedah.

Dia, Redza membilang hari


MEREKA pernah lepak semeja, namun kurang berbual. Mungkin sengaja membataskan pergaulan kerana ketika itu masing-masing menghormati status sebagai kekasih orang.

Bagaimanapun November 2009 membuka lembaran baru dalam perhubungan mereka. Saat kedua-duanya masih bersedih dengan cinta yang tidak kesampaian, cinta baru pula bertandang di hati.

Hanya empat bulan menyemai kasih penyanyi lagu Aku Masih Setia, Nur Nadia Fadila Abu Bakar (Dia), 26, dan Redza Abdullah, 33, seorang eksekutif pemasaran di sebuah firma, mengambil keputusan untuk bertunang Mac lalu.

Sedar tiada gunanya bercinta lama-lama, pasangan ini sepakat untuk mengakhiri hubungan untuk diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri pada 1 Oktober ini.

Akui Dia yang juga seorang pensyarah vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dia sudah bersedia melangkah ke satu lagi fasa kehidupan sekali gus melambai pergi zaman solonya.

"Saya sebenarnya dah lama bersedia untuk berkahwin. Dulu saya angan-angan nak kahwin paling lewat bila umur 25 tahun tapi nampaknya dah terlajak satu tahun.

"Syukur alhamdulillah akhirnya saya temui lelaki yang sesuai. Keluarga kami pun merestui hubungan ini," katanya.

Istimewa Redza di mata Dia hanya mampu diungkapkan dengan sepotong ayat oleh Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2005 ini.

"Tak tahulah orang lain tapi satu ayat paling sesuai diungkapkan mengenai Redza - dia cukup sempurna buat saya. Redza memiliki segala yang diinginkan seorang wanita dalam mencari pasangan hidup. Redza matang dan jujur.

"Kalau ikutkan, kami kenal antara satu sama lain sejak dua tahun lalu tapi jarang sekali dapat berbual. Saya tak nafikan suka lihat wajah dan cara Redza tapi taklah sampai termimpi-mimpi sebab masing-masing ketika itu masih berpunya.

"Kami pernah terputus hubungan dan November lalu Redza menyapa dalam satu ruangan 'chatting' di Internet. Kami bertanya khabar dan masa itulah saya dapat tahu Redza dah kembali solo. Kebetulan pula saya juga baru putus cinta.

"Lalu satu hari Redza ajak saya keluar. Temujanji kami adalah di Solaris, Mont Kiara dan itulah kali pertama kami 'dating'.

"Pada pertengahan Februari, Redza datang ke majlis anjuran keluarga saya dan selepas bertemu ibu dan ayah saya, Redza cakap dia mahu melamar saya. Justeru, kami memilih Mac untuk melangsungkan pertunangan," katanya.

Kata Dia lagi, apa yang mengejutkannya, Redza tidak kekok berjumpa dengan ayahnya yang disifatkan seorang yang cukup tegas.


>PROFIL
Nama Sebenar: Nur Nadia Fadila Abu Bakar
Tarikh Lahir: 23 September 1984
Asal: Selangor
Kerjaya: Penyanyi, pengacara dan pensyarah vokal di Aswara
Album: Dia (2004), Na Na Na Kataku (2007) dan kompilasi Dia Fadila Terbaik Dariku
Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.
Akademik: Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005, Juara Kategori Pop, Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam pada 16 Oktober 2008.
Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersama Hattan).

Erti Syawal Maya Karin


DIA mengambil cuti selama tiga hari untuk meraikan hari kemenangan ini. Syawal yang masih panjang lagi, kata Maya Karin, dihabiskan bersama ibu dan sanak saudaranya di kampung.

Malah dia masih merasai ‘basah’ nikmat berhari raya di kampung selepas dua tahun tidak menyambut Aidilfitri bersama sanak saudara.

Pelakon cantik bermata galak ini mengaku bahawa raya tahun ini berbeza dengan tahun lalu.

Tahun lalu, kata Maya, sambutan rayanya lebih sederhana berbanding tahun ini yang disambut lebih meriah. Barangkali, kata Maya, kerana sambutan raya dewasa kini tidak sama lagi dengan sambutan raya seperti dahulu. Masa yang cepat berlalu telah membunuh keterujaan beraya kerana bulan berganti pantas dan tiba-tiba raya kembali datang menjelma.

“Boleh dikatakan, raya saya tahun ini lebih 'besar' berbanding tahun lalu. Tahun lalu saya hanya beraya di Kuala Lumpur bersama bekas suami dan kami menyambutnya dengan serba sederhana. Tidak ada yang istimewa.

“Barangkali kerana saya sendiri berasa terlalu cepat masa berlalu sehingga apabila raya datang lagi, saya tidak perasan atau sempat membuat persiapan dan kami beraya dengan serba sederhana,” kata Maya yang menggemari lontong sebagai hidangan pada pagi raya.

Berbanding tahun ini, sejak Ramadan dia sudah membuat sedikit persiapan untuk pulang berhari raya di Pulau Tikus, Pulau Pinang bersama ibunya. Yang membuat dia semakin teruja juga kerana dapat berkumpul dengan sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu.

“Bagi saya, signifikan raya adalah tentang kegembiraan dan kebahagiaan berkumpul dengan sanak saudara. Ia cara kita meraikan kemenangan bersama-sama selepas Ramadan. Justeru apabila dapat kembali berkumpul dengan sanak saudara, ia memberi saya kegembiraan yang tidak terhingga.

“Malah saya akui, raya tahun ini juga cukup berbeza. Ia seperti satu perjalanan buat saya. Jika waktu kecil saya pernah menyambut raya di Indonesia sewaktu menetap di sana dan menjalani ragam raya tersendiri, kemudian berkahwin dengan lelaki bukan Melayu dan tidak begitu meraikan raya, raya tahun ini sungguh bermakna bagi saya,” katanya panjang lebar.

Hubungan dengan ibu

Tidak berselindung, Maya sewaktu ditanya bagaimana dia melewati hari-hari barunya tanpa lelaki bernama suami memberitahu, ibu menjadi peneman setia dan penguat semangat buatnya. Bersama ibu, gundah dan gembira dikongsi bersama.

Begitu positif bahawa setiap mendung pasti beranjak pergi jika seseorang manusia menerima musibah yang menimpa dirinya dengan tabah, Maya memberitahu sinar yang diperoleh selepas menjanda adalah silaturrahim yang lebih intim terjalin antara dia dan ibu.

“Saya tidak kata perceraian lalu adalah hal yang buruk dalam hidup saya. Saya juga enggan mengatakan tentang perceraian itu membawa satu hikmah lain. Mungkin sewaktu berkahwin, saya sendiri sibuk menguruskan rumah tangga. Namun saya akui, selepas bercerai dan kembali solo, hubungan saya dengan ibu bertambah intim.

“Malah bukan ibu sahaja, sebaliknya dengan kebanyakan anggota keluarga yang lain. Saya banyak menghabiskan masa bersama mereka. Saya akui, sebagai manusia kita selalu alpa tentang apa yang ada di depan mata seperti ibu kita.

“Saya terleka seketika bahawa saya tidak banyak menghabiskan masa dengan mak selama ini. Saya larut dalam dunia saya, tapi kini saya mempunyai banyak masa dengan mak saya,” katanya.

Sebagai wanita biasa yang kadang kala rapuh hatinya, meledani kehidupan sebagai seorang wanita yang kehilangan cinta adalah hal yang menyakitkan. Sesekali dia akui, ruang hatinya diketuk rasa sunyi. Tetapi pantas dibuang jauh supaya dirinya tidak mati sendiri.

Katanya: “Saya mengaku, sesekali ada rasa sunyi. Tapi perasaan itu perlahan-lahan pergi apabila saya sendiri tidak mempunyai banyak masa untuk bersedih kerana sibuk dengan jadual penggambaran filem dan rakaman program Nona.”

Spiritual

Sedang menjalani fasa yang dianggap olehnya sebagai fasa penuh spiritual, dia tidak sesekali menyalahkan apa yang terjadi dalam kehidupannya sebelum ini. Katanya, setiap manusia tidak akan terlepas daripada melalui kesedihan.

“Sebagai manusia, kita tak boleh 'melompat' fasa kesedihan itu. Suka atau tidak, ia harus dilalui dan daripada situ baru kita boleh menganjak perjalanan baru. Itulah yang sedang saya lalui sekarang,” katanya tanpa selindung.

Ditanya bagaimana dia melihat sosok seorang lelaki selepas rumah tangganya roboh, Maya pantas memberitahu dia tidak pernah menyimpan prasangka atau persepsi negatif terhadap lelaki.

“Setiap manusia itu punya sifat tersendiri. Dan saya percaya setiap lelaki juga mempunyai sikap berbeza,” katanya yang tidak pernah menyimpan dendam terhadap lelaki.

Dengan yakin Maya mengatakan dia tahu cinta pasti akan singgah sekali lagi dalam hidupnya. Katanya: “Saya percaya pada cinta. Saya juga yakin, pada masa akan datang pasti ada jodoh dan cinta baru buat saya. Insya-Allah.”

Terus dijolok tidakkah ada lelaki yang kini cuba mengait cintanya, Maya dalam ketawa perlahan mengangguk, mengaku ada beberapa lelaki dari dalam dan luar industri seni yang cuba mendekatinya. Namun semua godaan tersebut ditepis baik.

“Memang ada yang mendekati, tapi buat masa ini, saya kurang berminat untuk sebarang perhubungan baru. Jadi saya membuat satu garis jelas kepada setiap lelaki yang menghampiri saya dengan menyatakan saya tidak berminat,” katanya.

Serentak itu juga, Maya memberitahu: “Saya masih belum bersedia untuk menjadi isteri buat kali kedua.”

'Kenyataan Abby melukakan saya'


PERANG perasaan, bertikam lidah di surat khabar dan saling menuding jari antara bekas pasangan ideal, Norman Hakim, 34, dan Abby Abadi, 32, cukup menjelaskan kepada sesiapa sahaja bahawa perceraian bukanlah jaminan masalah akan selesai sepenuhnya.

Mahkamah sebenar bukannya di kamar hakim tetapi tergantung di pintu hati kedua-dua belah pihak.

Dua tahun bercerai namun sehingga hari ini, pertelingkahan hati antara Abby dan Norman tidak pernah reda.

Jika tidak, masakan soal wang hantaran lapan tahun lalu kembali menggelegak dan menjadi peluru membidik sasaran.

Usai sahaja majlis pertunangan antara Norman dengan kekasihnya, Memey Shuhaiza, 22, yang selama ini dianggap punca keruntuhan mahligai Abby bersama Norman, Isnin lalu, ibu kepada tiga cahaya mata itu membuka pekung yang sudah melarat di dada.

Norman 'diisytiharkan' sebagai suami tidak bertanggungjawab. Bukan sahaja tidak membayar nafkah untuk anak-anak bahkan lebih memalukan, wang hantaran perkahwinan berjumlah RM11,111.11 yang dijanjikan semasa memeterai pernikahan mereka lapan tahun lalu didakwa belum dilangsaikan kepada Abby.

Di sebalik polemik Abby dan Norman itu, masyarakat sudah membuat pelbagai andaian.

Soal wang hantaran artis yang selalu menjadi kebanggaan adakalanya indah khabar daripada rupa.

Abby menyelar Norman masih berhutang dengannya manakala Norman menjelaskan sudah ada perjanjian lisan antara mereka bahawa wang hantaran itu digunakan untuk majlis perkahwinan.

Berikut merupakan pengakuan daripada hati Norman berhubung dakwaan bekas isterinya itu.

Apa perasaan anda bila timbul isu itu?

NORMAN: Selama ini saya tidak suka berbalas kenyataan dengan Abby. Tetapi sampai ke saat ini, saya sangat terkejut, kecewa dan sedih. Tidak sepatutnya perkara itu ditimbulkan lebih-lebih lagi untuk paparan umum.

Sebelum ini, dia (Abby) pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu ambil tahu soal hidup saya, tetapi sampai sekarang, rasanya hidup saya masih diceroboh.

Apa butiran perjanjian kalian berdua sehingga memutuskan wang hantaran itu tidak perlu dibayar oleh anda?

Perkara itu sudah menjadi persetujuan kami bersama. Lapan tahun lepas, kami sepakat untuk menggunakan semua jumlah wang hantaran itu untuk menampung belanja majlis perkahwinan.

Sebelum ini, perkara itu langsung tidak dibangkitkan tetapi bila ada perselisihan faham begini, soal hantaran jadi sebab untuk menyalahkan saya. Sedangkan masa bercerai, perkara itu tak dibangkitkan pun.

Kurang bertanggungjawab terhadap nafkah anak-anak malah hanya pernah sekali memberikan wang berjumlah RM200 untuk belanja anak-anak, benarkah?

Kenapa saya harus sebut jumlah nafkah yang saya belanjakan setiap bulan untuk anak-anak? Anak-anak semakin besar dan memahami.

Setiap bulan, bukan hanya duit, bahkan saya cuba berikan kasih sayang, ambil berat tentang pelajaran dan keperluan sosial mereka.

Itu yang tidak pernah saya abaikan. Saya berikan apa yang termampu mengikut gerak hati saya.

Jadi apa maksud kenyataan Abby itu?

Dia mahu melepaskan geram dengan niat untuk sengaja melukakan hati saya sebab katanya saya adalah lelaki yang tidak menghormati hak isteri.

Tetapi jika saya ini dihormati sebagai bapa kepada anak-anak saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Saya masih ada maruah diri. Saya akui, saya ada kelemahan tetapi kenapa kelemahan itu yang sengaja diperbesarkan.

Jadi tindakan berbalas kenyataan ini untuk apa?

Saya tidak pernah mahu mengaibkan bekas isteri saya memandangkan anak-anak semakin besar.

Nampaknya kebaikan saya tidak diendahkan. Selama ini saya tunduk bukan mahu dipijak.

Saya tidak mahu mengungkit tetapi semua itu tidak adil untuk saya kerana apa yang saya buat semuanya nampak salah. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Kenapa anda tidak mahu mendedahkan jumlah nafkah yang diberikan kepada anak-anak?

Saya boleh cakap berapa banyak dihabiskan untuk anak-anak tapi untuk apa? Saya hanya boleh cakap saya berikan makan minum yang terbaik untuk mereka.

Apa yang menyedihkan anda ketika ini?

Saya paling terluka apabila Abby mengeluarkan kenyataan bahawa sudah tiga tahun anak-anak beraya tanpa ayah sedangkan kami baru dua tahun bercerai.

Dia cakap seolah-olah saya sudah meninggal dunia padahal setiap tahun saya menghabiskan cuti perayaan bersama anak-anak. Bagi saya itu kenyataan yang tidak berperikemanusiaan.

Pada hari raya baru-baru ini, saya beraya bersama anak-anak pada hari raya pertama, hari raya kedua pula saya bawa mereka beraya ke rumah saudara-mara, sama macam tahun lepas.

Tidak adil kata anak-anak beraya tanpa ayah. Cuma saya akui, baju raya dan kelengkapan anak-anak tahun ini disediakan oleh Abby.

Zahida Rafik Perjelas Kahwin Ahli Politik


RASANYA bukan sekali dua pelakon cantik Zahida Rafik (gambar) dikatakan telah berkahwin dengan VIP.

Yang terbaru, pelakon ini mengejutkan industri hiburan tempatan apabila dikatakan sudah berkahwin dengan seorang ahli politik bergelar Datuk Seri.

Desas-desus itu sudah kedengaran sejak sekian lama tetapi tiada pihak yang mahu mengesahkannya.

Menurut laporan sebuah blog hiburan, Zahida dan ahli politik itu dikatakan telah melangsungkan pernikahan mereka di London sebelum bulan Ramadan lalu. Majlis tersebut dilakukan secara tertutup.

Lebih mengejutkan apabila ada akhbar yang mengeluarkan dakwaan tersebut tanpa mengesahkan cerita itu terlebih dahulu.

“Saya tak kahwin pun dan masih tinggal dengan ibu bapa saya. Saya juga masih single and available.

“Saya memang tahu tentang penyebaran gosip itu di Internet tetapi saya hanya diamkan sahaja kerana bimbang nanti orang ingat saya sengaja hendak menggembar-gemburkan cerita itu. Pada hal gosip itu langsung tak betul.

“Saya nak tahu daripada mana sumber tersebut mendapat gosip itu kerana ia menyusahkan saya. Selepas ia tersebar, ramai kawan yang mengucapkan tahniah,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Justeru, bagi menghalang lebih banyak gosip liar yang dirasakan melampau itu, pelakon yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan ini tidak menolak untuk mengambil tindakan selepas ini jika cerita yang tidak betul itu tersebar lagi.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Mami Jarum dan Anak Mami The Movie itu belum mampu mengisi masanya untuk kembali ke pentas lakonan kerana sibuk dengan program amal.

“Sekarang saya sedang sibuk dengan majlis rumah terbuka dan majlis amal sehingga tidak mengizinkan saya untuk berlakon.

"Apabila ada tawaran pula, tiba-tiba timbul masalah lain. Jika ada tawaran lain suatu hari nanti, saya akan cuba menerimanya.

“Saya rindu nak berlakon semula selepas dua tahun tak berlakon,” beritahunya.

Maizawati Dakwa Waheeda & Akhil Halang Jumpa Anak


PETALING JAYA: Bekas isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal atau Maiza mendakwa tidak berpeluang bertemu anak-anaknya selepas dia mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Yassin Rahim,23, pada 9 Ogos lalu.

Maizawati berkata sebagai seorang ibu dia amat sedih kerana tidak dapat bertemu dua orang anaknya iaitu Siti Nur Maisarah, 13, dan Mohd Sharis, 12, selain beranggapan anak-anaknya itu sudah diracun fikiran supaya membencinya.

Siti Nur Maisarah dan Mohd Sharis diserahkan kepada Akhil selepas penyanyi itu mendirikan rumahtangga dengan Waheeda pada 17 Ogos 2009.

Empat orang lagi anak Akhil dan Maizawati iaitu Diana Sofea, 17, Daniel Arif, 16, mohd shakir, 9, dan Mohd Syathiri,4, berada di bawah jagaan Maizawati.

Maiza mendakwa Waheeda dan Akhil tidak menggalakkan dua anaknya itu untuk berjumpanya dengan memberikan alasan kedua anak-anaknya itu perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

"Waheeda dan Akhill sudah tukar nombor telefon dan hanya nombor abang kepada Akhill sahaja yang saya ada dan dia yang menjadi orang tengah diantara kami.

"Saya hanya diberi kebenaran untuk berjumpa dengan anak-anak jika mereka balik kampung di Gopeng, Perak.

"Nak ikutkan, hati ibu mana yang tak sedih bila sudah lama tidak melihat anak-anak. Saya tak kisah Akhill dan Waheeda mahu memberikan pelajaran yang terbaik buat anak-anak saya tapi jangan putuskan hubungan saya dan anak-anak," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Kata Maiza, kadang-kala dia teringin untuk membawa anak-anaknya itu keluar berisar.

Malah selama dua kali menyambut Hari Raya, Maiza tidak berpeluang beraya bersama mereka.

"Saya Akhil dah ada keluarga masing-masing, kenapa perlu buat begini kepada saya?

"Setahu saya, sebelum ini, Akhil tidak ada apa-apa masalah dengan saya cuma perempuan itu (Waheeda) yang bermasalah dengan saya," ujarnya.

Maiza memberi amaran, dia akan bertindak dengan pelbagai cara jika Waheeda melakukan sesuatu di luar batasan terhadap anak-anaknya.

"Dia mula nak membentuk macam-macam perkara terhadap anak-anak saya, itu yang saya tak puas hati.

"Saya tak pernah pun kacau hidup dia, kenapa perlu dia burukkan saya kepada anak-anak? Itu sudah melampau.

"Kadang-kala saya bertanya sendirian, apa gunanya dia bertudung jika berpelakuan begitu? Sepatutnya, sebagai saudara sesama Islam, kita perlu berbaik antara satu sama lain," tegasnya.

Batalkan majlis kahwin di rumah


SETIAP insan pasti mempunyai hasrat untuk berubah menjadi lebih baik. Kehadiran seseorang yang berjaya mencuri hati, yang menjadi antara faktor mendorong seseorang itu untuk berubah ke arah yang lebih positif turut dibuktikan oleh penyanyi Elyana.

Terkenal dengan lagu Niat, pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal itu berhasrat untuk menjayakan niatnya untuk berubah menjadi lebih baik sebelum dia mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.

Menurut Elyana, antara perubahan utama yang dia ingin dalam dirinya seperti mengikis perangai malasnya agar menjadi lebih rajin.

“Sebelum ini saya boleh dikatakan agak pemalas juga tetapi nanti bila dah jadi isteri orang takkan nak terus jadi malas jugak.

“Saya harus berubah lagipun sikap itu bukan sikap yang baik,” katanya pada sesi fotografi di Hotel Quality, Kuala Lumpur baru baru ini.

Tambah Elyana, selain berubah menjadi lebih baik, dia juga kini sedang belajar memasak gulai tempoyak ikan patin.

“Saya terpanggil untuk belajar memasak gulai tempoyak ikan patin itu sebab ia merupakan makanan kegemaran bakal suami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Elyana membawa perkhabaran bahawa dia bakal muncul dengan single terbarunya.

“Lagu itu ciptaan oleh Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad. Konsep yang cuba diketengahkan dalam single itu nanti masih sama seperti sebelum ini tetapi perbezaannya pada single kali ini menunjukkan kematangan Elyana sekarang,” ujarnya yang belum menentukan judul single tersebut.

Sebelum ini, Elyana yang mula menceburi bidang seni pada usia 14 tahun juga pernah berlakon dalam beberapa drama bersiri dan filem.

Antara drama dan filem yang pernah dilakonkan oleh Elyana ialah Dunia Baru, Seriau dan Gong.

Persiapan kahwin

Bercerita mengenai majlis perkahwinan Elyana bersama seorang pengusaha makanan Jepun, Khairul Anuar Hussin, dia mengaku persiapan untuk majlis itu baru 50 peratus di buat.

Kata Elyana, pada awalnya dia merancang hendak buat majlis perkahwinannya di rumahnya di Shah Alam. Namun dia terpaksa membatalkan hasrat itu dan menukarkan lokasi majlis perkahwinan ke suatu tempat yang lebih luas. Apabila ditanya di manakah lokasi terbaru majlis perkahwinannya itu nanti, Elyana sekadar memberitahu: “Di sebuah banglo mewah di sekitar Ampang, Selangor.”

“Kalau boleh, memang nak buat di rumah kami sebab hari yang bersejarah itu kalau di rumah sudah tentu ada kenangan tersendiri.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, perkahwinan kakak saya buat di rumah kami tetapi kurang luas untuk menampung tetamu dalam bilangan yang banyak dan mungkin menimbulkan rasa kurang selesa mereka nanti.”

Tambahnya, pada majlis itu nanti dia mahu semua tetamunya berada dalam keadaan selesa terutama neneknya.

“Masa majlis kakak dahulu, kesian dekat nenek sebab tidak dapat tengok pengantin dari jarak dekat,” katanya.

Menyentuh mengenai bakal suaminya, anak kedua daripada empat adik-beradik itu menegaskan, dia merasakan keserasian dengan tunangnya itu kerana mereka berdua merupakan orang yang serba ringkas.

Pada hari raya tahun ini, Elyana tidak mengikut tunangnya beraya di Pahang kerana baginya dia mahu merasai nikmat sambutan itu pada tahun depan.

“Kami sudah nak kahwin jadi biarlah saya tidak ikut dia tahun ini. Jadi bila tahun depan bila sudah sah menjadi isteri dia baru dapat merasai nikmat berhari raya dengan lebih lagi,” ujarnya yang mengakui tidak teruja sangat menyambut raya.

Sambutan raya 2010

Menurut Elyana, sempena hari raya kali ini dia telah menjual kuih samprit dan usahanya itu meraih sambutan yang menggalakkan.

“Mengandungi 53 hingga 54 biji dalam satu balang, ia dijual pada harga RM19. Sambutan yang diberikan sangat memberansangkan.

“Orang yang dah beli kuih saya biasanya akan beritahu orang lain, itulah strategi pemasaran saya,” katanya lagi.

Cerita Elyana, dia juga merupakan seorang yang rajin membeli tetapi tidak suka makan benda yang dibelinya itu.

“Saya ini jenis yang suka coklat chip, jadi kalau jalan-jalan nampak sahaja menarik pasti saya beli. Biasanya kuih yang cantik itu tidak berapa sedap.

“Tapi kalau kuih-kuih yang pelik, emak saya yang buat sendiri,” katanya.

Akuinya, persiapan untuk raya pun adakalanya sehari sebelum sambutan raya barulah dia pergi membelinya.

Menghitung hari - Bienda


Bienda masih perlukan keluarga jadi penasihat untuk perkahwinannya

PERTEMUAN dengan Bienda yang diatur untuk sesi temu bual dan fotografi ini sepatut dapat bermula dan diselesaikan dengan lebih awal. Bagaimanapun, ia menjadi agak lewat kerana Bienda kurang sihat.

Dia hampir membatalkan sesi ini pada saat akhir tetapi mengenangkan sudah berjanji, Bienda tetap mengotakan janjinya itu bagi tidak menghampakan harapan Hip yang mahu merakamkan gambarnya dalam persalinan pengantin.

Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 25, kini sedang menghitung hari bergelar isteri. Bulan depan, dia dan jejaka yang sudah dikenali tiga tahun lalu bakal disatukan sebagai pasangan suami isteri. Bila tarikh pernikahan serta lokasi yang bakal menjadi detik keramat kepada dua hati ini, masih menjadi rahsia mereka. Bienda hanya memaklumkan kepada media pada majlis persandingannya yang berlangsung pada 8 Oktober di Selayang, Selangor nanti.

Kelihatan tenang tanpa, anak kedua daripada tiga beradik ini mengakui tidak sabar untuk menjadi isteri. Tidak seperti wanita lain yang berdebar menantikan hari bahagia mereka, Bienda pula berdebar memperkenalkan calon suaminya buat pertama kali kepada khalayak.

Biarpun masih muda, Bienda tidak gentar memikul tanggungjawab berumahtangga. Namun, terlebih dulu nasihat daripada ibunya Sheeda yang pernah melalui jatuh bangun dalam episod rumah tangga dijadikan panduan artis kelahiran Kelantan ini.

Memang mama adalah penasihat Bienda kerana pernah melalui kegagalan dalam rumah tangga. Mama selalu nasihatkan Bienda dari segi kesabaran. Paling penting katanya, dalam hubungan rumah tangga perlu ada kesabaran kerana mama tahu Bienda jenis cepat marah, katanya yang bakal menggayakan tema Arab serta Bollywood pada majlis persandingan di sebelah keluarganya.
Bienda juga ternyata beruntung apabila banyak pihak sudi menghulurkan tajaan pada hari istimewanya. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia serta bakal suami tidak mengeluarkan belanja satu sen pun untuk majlis perkahwinannya.

Katanya, dia masih perlu mengeluarkan wang. Malah mereka sudah mula menyimpan dan membuat persiapan sedikit demi sedikit untuk tidak menyusahkan keluarga.

Bienda memang tak harapkan bantuan kewangan dari mama, kerana tak mahu menyusahkan dia. Bienda faham mama pun ada keluarga sendiri, sebab itu sejak merancang untuk berkahwin, Bienda dan bakal suami sudah mula menyimpan.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna Bienda mengetepikan mama dalam soal persiapan perkahwinan. Bienda masih merujuk pada mama terutama, soal menguruskan tetamu untuk diundang ke majlis kami nanti. Mama sudah bersusah payah membesarkan Bienda, kalau boleh Bienda tak mahu menyusahkan dia. Kami bukannya berasal dari keluarga senang, jadi sejak membuat perancangan berkahwin, Bienda memang bekerja keras.

Bagi Bienda cukuplah pada hari bahagia nanti, semua orang yang Bienda sayang ada di samping Bienda. Fasal duit biarlah Bienda uruskan sendiri, sebab itu Bienda terima apa saja tawaran yang datang, termasuk berniaga sepanjang Ramadan lalu bagi menambah lagi simpanan kami, kata wanita itu yang mengakui beruntung mengenali bakal suaminya.

Bukan saja seorang penyokong kuatnya, jejaka berkenaan juga berjaya membuatkan Bienda berasa selesa tatkala bersama dengannya. Malah dia seorang yang lemah lembut serta memahami kehendaknya. Jejaka yang bertugas di salah sebuah stesen televisyen itu juga tidak pernah menghalang minat bakal isterinya meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian, mahupun lakonan setelah berkahwin nanti.

Bienda harap perkahwinan tidak menghalang kerjaya dalam bidang seni. Bienda terbabit dalam dunia seni disebabkan minat, jadi Bienda berharap peminat akan terus menerima Bienda walaupun setelah Bienda berkahwin, katanya.

Bercerita mengenai zuriat pula kata Bienda, dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata sekiranya ada rezeki. Namun dia tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat zuriat dalam waktu terdekat kerana bimbang dirinya hampa.

Saya tidak kisah sama ada cepat atau lambat dikurniakan zuriat. Kalau boleh tentulah saya mahu segera mendapatkan zuriat tetapi saya tak mahu terlalu berharap nanti bimbang akan kecewa. Setakat ini kesihatan saya tidak menjejaskan impian saya untuk mendapatkan anak, katanya yang mengimpikan untuk mendapat anak kembar.

Elak adegan 'pegang-pegang'

BIARPUN statusnya nanti bakal berubah, tumpuan gadis kelahiran Kelantan ini terhadap kerjaya seni tidak akan padam. Bakal suaminya juga tidak pernah menghalang minatnya untuk terus berlakon dan menyanyi.

Bagaimanapun kata Bienda, sebagai isteri dan wanita bertudung, dia memang selektif soal watak sejak dulu kerana bimbang mencetuskan sensitiviti. Walaupun bakal suaminya menyokong apa saja yang dilakukan, Bienda tetap bertanyakan pendapatnya.

Bakal suami seorang yang sangat memahami dan dia juga memberi kepercayaan 100 peratus kepada saya, tetapi saya lebih suka bersikap terus terang dalam setiap pekerjaan yang mahu dilakukan. Jadi setiap kali dapat tawaran, saya akan minta pendapat dia terlebih dulu.

Sebelum berkahwin lagi sebenarnya saya agak memilih karakter untuk disesuaikan dengan imej saya. Alhamdulillah kebanyakan penerbit dan pengarah memahami, jadi mereka hanya memberikan watak yang bersesuaian dengan imej saya yang bertudung.

Saya juga cuba mengelak adegan pegang-pegang jika membabitkan watak suami isteri, katanya yang mengakui kecewa dengan perkembangan kerjaya nyanyiannya.

Kata Bienda lagi, dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah single selepas berkahwin nanti. Menurutnya, kerjaya lakonan ternyata banyak membantunya kerana wang menghasilkan album keduanya dulu juga diperoleh hasil dari wang lakonan.

Dia yang mendapat banyak pujian ketika membintangi filem 4 Madu bersyukur kerana kehadirannya dalam bidang lakonan semakin diterima. Namun kata Bienda, kejayaan itu tidak akan diraih tanpa bantuan dari rakan-rakan seperjuangan serta pengarah.

Dalam filem 4 Madu saya cuba mencari kelainan dengan membawakan watak wanita bertudung yang tamak. Saya tak mahu dilihat wanita bertudung mesti bawa watak baik, ia seakan klise.

Sikap peribadi saya pun tidaklah seperti itu, jadi saya sengaja memilih membawakan watak sedemikian dan nampaknya Profesor Madya A Razak Mohaideen menerimanya, katanya.

Isteri Orang Serang Julia Ziegler


ADA sebab mengapa aktres Julia Ziegler fobia untuk berlakon watak antagonis seperti penggoda, kaki kikis dan skandal.

Bukan sahaja enggan dilabel sebagai wanita liar dan pelacur, Julia atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, 26, mempunyai kisah sebaliknya.

Pengalaman pernah digoda oleh cikgu bahasa Inggerisnya sewaktu di tingkatan 4 yang merupakan suami orang membuatkan dia serik dan bimbang jika lakonannya sebagai penggoda bakal memberikan kesan kepada dunia realitinya.

“Saya tak nak orang cop saya yang bukan-bukan setelah menonton lakonan saya membawakan watak wanita jahat. Sejak akhir-akhir ini, tidak dinafikan saya kerap menerima tawaran untuk berlakon sebagai penggoda suami orang, kaki kikis, penagih dadah dan wanita liar.

“Suatu hari tu, kawan baik saya sendiri mengatakan lakonan jahat saya memberikan kesan sehingga dia rasa seperti mahu melanggar saya jika saya berada di tepi jalan.

“Lagipun, sebelum ini isteri cikgu saya pernah menyerang saya dan menuduh saya merampas suaminya. Sedangkan waktu itu cikgu itu yang menelefon saya dan sering memberitahu masalahnya serta mahu bercerai dengan isterinya itu.

"Padahal isterinya sedang mengandung. Sejak daripada itu, saya rasa fobia untuk berkawan dengan suami orang lagi,” kata Julia ketika dihubungi mStar Online.

Namun begitu, tidak bermakna model ini mahu ditawarkan watak baik kerana gusar sekiranya penonton membandingkan watak berkenaan dengan personalitinya di luar selain menganggapnya hipokrit.

Baginya, kalau boleh biarlah watak itu benar-benar mencabar dan belum pernah dilakonkan olehnya sebelum ini.

Wajah pan Asian kacukan Jerman, Amerika, Melayu dan Jawa yang dimilikinya ditambah pula dengan dirinya yang seksi membuatkan ramai lelaki bujang dan suami orang tertarik dengan Julia.

Tidak dinafikan, dia sanggup mengelak daripada berjumpa dengan suami rakan-rakannya termasuk mereka daripada kalangan artis.

“Saya bukan nak perasan tapi apabila memandang bahasa badan lelaki itu, saya dapat rasakan dia mahu menggatal dengan saya. Daripada berlaku perkara yang tidak baik, lebih baik saya mengelak terlebih dahulu.

“Lelaki bujang pun ada juga yang memikat tetapi saya tak boleh terima sebab merasakan mereka bukanlah lelaki yang sesuai. Bukan saya cerewet tetapi saya takut untuk bercinta sebab pernah banyak kali dikecewakan lelaki.

“Kadangakala, apa yang kita kejar bukan senang nak dapat. Jadi saya rasa lebih baik relaks dulu dan bila hati dah terbuka, insya-Allah ia akan menjadi,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Kini selepas empat tahun dia hidup solo, Julia lebih selesa berkawan dengan lelaki terlebih dahulu untuk kenal hati budi sebelum dijadikan sebagai calon suami.

Apa yang pasti, wanita berasal dari Ampang, Selangor ini semakin pandai menilai perangai kawan lelaki yang berkualiti ataupun tidak.

Walaupun pernah dilamar untuk berkahwin oleh lima hingga enam orang lelaki, Julia tidak pernah mengambil pusing dan menganggap ia sebagai gurauan semata-mata.

Namun lelaki yang hadir dalam hidupnya itu bukanlah orang biasa sahaja, malah ada juga dari kalangan selebriti dan VVIP.

“Ada yang melamar menerusi Facebook dan ada juga berjumpa dengan saya. Yang serius pun ada sehingga menangis-nangis dan merayu untuk memperisterikan saya kerana terlalu menyayangi saya.

“Macamana pun, saya berserah kepada jodoh kerana saya tak tahu di mana jodoh saya. Mana tahu mungkin jodoh saya di Australia atau di Amerika Syarikat,” katanya berseloroh.

Biar apa pun yang berlaku selepas ini, pelakon filem Kayangan, Cicakman 2 dan Jangan Tegur ini mahu memenuhi niatnya untuk mengerjakan umrah dan mencari diri-sendiri terlebih dahulu.

Dalam perkembangan lain, Julia sedang sibuk membantu kakaknya, penerbit filem Linda Ziegler mempromosikan filem Crayon yang akan ditayangkan pada 11 November ini.

M.Rajoli Dalam Kenangan


PEMERGIAN Allahyarham M.Rajoli ternyata memberi kesan yang mendalam buat industri hiburan tanah air.

Bakatnya yang pelbagai mampu membuatkan penonton ketawa dan menangis mengikut watak yang diberikan.

Apalagi dengan gurau senda yang sering menjadi usikannya kepada keluarga dan rakan-rakan, ia pastinya menjadi memori yang indah.

Sepanjang detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Allahyarham hanya ditemani isteri, Hashimah Md Din dan anak bongsunya, Muhammad Arif.

Kedua-dua anak beranak itu tenang menerima ketentuanNya.

Arif berkata, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan mengalirkan air mata sejak pemergian ayahanda tercinta. Apa pun mereka reda dengan pemergian pelakon itu.

"Sebelum itu, sempat juga arwah berpesan, jaga mak dan kalau boleh dia tidak mahu adik-beradik bergaduh.

"Saya bangga dengannya kerana semangatnya yang begitu kuat ketika bertarung nyawa.

"Apapun, saya enggan memikirkan kenangan bersamanya kerana ia akan membuat saya menangis mengenangkannya," katanya.

Hashimah pula berkata, dia sedikit kekok tanpa suaminya di sisi dan terpaksa menerima hakikat bahawa suami tercinta kini telah pergi.

Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Kopratasa, Sanisudin sangat sedih dengan pemergian pelakon berusia 64 tahun itu.

Katanya, sepanjang Allahyarham sakit, dia tidak berkesempatan untuk menjenguk pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.

"Kalau saya kata sibuk, memang saya tak perlu beri alasan bukan. Tapi itulah, saya terasa sangat bila Sabri Yunus menghubungi saya tentang pemergian arwah.

"Sekali pun saya tak jenguk dia. Saya harap, dia pergi dengan aman," katanya.

Sabri yang merupakan teman artis yang sering bekerjasama dengannya berkata, dia sempat melawat Allahyarham sebulan lalu dan Allahyarham meminta Sabri untuk mendoakannya sembuh agar dapat aktif semula di bidang lakonan.

"Sepanjang perkenalan saya dengannya, dia seorang lelaki yang suka bergurau dan gemar menghiburkan orang-orang sekelilingnya.

"Tambah pula bila kami bekerjasama dalam sitkom Salam Pantai Timur di sekitar tahun 2001 hingga 2005, banyak kenangan manis yang kami kongsi bersama.

"Setahu saya juga, dia tidak pernah marah orang," ujar Sabri.

Bagi penerbit drama serta pelakon, Ziela Jalil pula gembira kerana sempat pergi menunaikan umrah dengan Allahyarham bersama rakan-rakan yang lain.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada hari pengebumian arwah pelakon Syukri Hashim. Cuma dalam tahun ini saja saya tidak sempat menjenguknya.

"Bila mengenangkan arwah, saya kenal dia sebelum saya berkahwin lagi. Waktu itu kami bekerjasama dalam filem Pendekar Mata Satu dimana dia menjadi pembantu Pengarah.

"Saya akui, bekerja dengannya membuatkan kita sentoasa terhibur dengan lawak-lawak spontannya itu," katanya.

Liyana Jasmay Tak Pilih Anak Jutawan


TEMPOH lima tahun bermula sekarang dikira masih panjang untuk Liyana Jasmay menentukan siapakah pasangan hidupnya. Ini kerana tuan empunya badan sendiri menetapkan lima tahun lagi untuk memikirkan tentang jodoh.

Siapa pun jodohnya nanti, Liyana sendiri masih kabur lebih-lebih lagi belum bertemu kekasih hati. Baru-baru ini, timbul cerita pelakon berusia 22 tahun ini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi dan komposer Aizat Amdan.

Peluang bertemu dengan kedua-dua ibu bapa Liyana, Habsah Simpon, 53, dan Jasmay Md Shah, 57, baru-baru ini menerbitkan perasaan ingin tahu sama ada anak gadis mereka pernah disunting orang atau belum?Apa pun persoalan yang berkait tentang jodoh hanya dijawab dengan penuh senyuman dan bersahaja.

Kedua-duanya amat terbuka dan seratus-peratus menyerahkan kepada Liyana tentang urusan tersebut seperti yang dilakukan kepada anak-anak yang lain.

Abang Liyana, Juzaili Jasmay, 33, serta dua kakaknya, Faradilla Jasmay, 30, dan Adriana Jasmay, 28, sudah mendirikan rumah tangga. Kini, tinggal Liyana seorang sahaja yang masih bujang.

“Walaupun dia seorang artis, dia juga manusia biasa sama seperti orang lain. Kami menganggap semua anak-anak kami sama sahaja dan tidak mengongkong mereka untuk membuat keputusan sendiri dalam soal mencari pasangan masing-masing.

“Kami tidak meletakkan apa-apa syarat kepada calon suami Liyana dan lelaki itu tidak semestinya seorang anak jutawan,” kata Jasmay selaku ketua keluarga.

Sementara Habsah berserah kepada Allah yang lebih mengetahui siapakah jodoh anak mereka. Sama seperti suaminya, dia juga tidak kisah tentang latar belakang bakal menantunya itu nanti.

“Jodoh dan pertemuan merupakan rahsia Tuhan. Sama seperti perjalanan hidup kita, mungkin si A pada mulanya dirasakan sesuai sebagai jodoh kita tetapi akhirnya berlaku sebaliknya pula dan si B yang datang,” ujar Habsah.

Menyelit tentang dakwaan hubungan cinta Liyana dan Aizat, Habsah akui hubungan akrab pasangan itu telah disalahtafsirkan kerana ia terjalin berlandaskan satu persahabatan.

“Pada peringkat umur seperti Liyana itu, sudah semestinya dia mempunyai ramai kawan lelaki dan perempuan. Bukan Aizat seorang sahaja yang menjadi kawan baiknya. Tetapi disebabkan Aizat adalah artis, jadi sebab itu ramai yang fokuskan kepada mereka,” katanya.

Biarpun pelakon filem Niyang Rapik ini merupakan seorang artis, Jasmay tidak pernah terfikir untuk meletakkan jumlah wang hantaran yang tinggi seperti sesetengah artis lakukan. Bagi dia dan isteri, mereka akan meminta jumlah yang sama seperti perkahwinan dua kakak Liyana. “Memandangkan usia Liyana masih muda, jadi kami rasakan dia layak mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun ke atas. Tetapi kami tidak menghalang jika jodohnya sampai terlebih awal,” beritahu Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn Bhd ini.

Rasanya kahwin muda tidak menjadi masalah besar dalam keluarga ini memandangkan ibu Liyana sendiri berkahwin seawal usia 19 tahun.

Tetapi setelah memerhatikan perangai dan sikap duta Maybeline ini yang agak manja dan ditatang bagaikan seorang puteri raja, bagi pandangan ibunya biarlah anaknya terlebih dahulu menamatkan pengajian Diploma Seni Persembahan & Media di Kolej Sunway pada November tahun depan.

Ayu Masih Menunggu Rombongan Merisik Zaquan


PETALING JAYA: Pelakon jelita Ayu Raudhah,25 memberitahu mereka masih belum membuat apa-apa keputusan tentang tarikh pertunangan atau pernikahan dengan kekasihnya, pemain bola sepak kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak,23.

Malah menurut Ayu keluarga mereka masih belum menerima kunjungan merisik daripada pihak keluarga Zaquan yang dijangka datang selepas raya ini.

"Kami memang merancang pada awal tahun depan untuk bertunang, tapi belum ada kata putus lagi sebab keluarga lelaki masih belum datang merisik.

"Isya-Allah dalam bulan Syawal ini mereka akan datang beraya ke rumah saya di Alor Setar dan berbincang tentang hal tersebut. Namun kami akan bertunang terlebih dahulu sebelum melangsungkan pernikahan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Ayu, pihak keluarga mahu mereka disatukan secepat mungkin namun biarlah dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa dan mengikut adat perkahwinan.

Pelakon Nur Kasih ini mengaku sudah menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu dan merancang mengakhiri zaman bujang mereka dalam masa terdekat ini.

Saling Percaya Penyebab Rumah Tangga Vee & Rashidi Bahagia


SIKAP saling mempercayai di antara satu sama lain menjadi pegangan utama pasangan pelakon romantis Vanidah Imran dan Rashidi Ishak dalam melayari bahtera rumah tangga.

Pasangan selebriti ini menyambut ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka lebih awal iaitu pada Isnin lalu.

Mereka berkahwin pada 1 Oktober pada 2000.

Kedua-dua mereka begitu bersyukur kerana perkahwinan yang dibina atas dasar cinta berkekalan sehingga ke hari ini.

Menurut Vanidah atau lebih mesra disapa Vee, sejak mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah mempunyai sebarang rahsia.

"Alhamdulilah, perkahwinan kami berkekalan hingga kini. Seperti pasangan suami isteri lain perkara utama dalam rumah tangga ialah sikap saling mempercayai. Sebagai artis perkara ini adalah yang paling utama sebab kita lebih terdedah dengan bahan gosip dan dugaan dari luar.

"Setakat ini saya dan abang (Rashidi) sentiasa bercerita tentang setiap yang berlaku di set penggambaran. Pernah ada kru produksi yang cuba untuk dekat dengan saya tetapi saya terus beritahu perkara tersebut kepada abang," ujarnya.

Selain itu, Rashidi mengakui sikap kontra antara dia dan Vanidah menjadikan hubungan mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

"Vee seorang yang terlalu pentingkan kesempurnaan. Setiap perkara yang dilakukan perlu teliti dan terancang manakala saya pula sebaliknya. Jadi selepas 10 tahun ini banyak yang kami pelajari dan saya lebih berdisiplin.

"Dari segi emosi juga sama, dia seorang yang cepat panas baran tapi saya lebih tenang. Bila dia marah saya tahu bagaimana nak kawal keadaan supaya kembali stabil," ujar Rashidi.

Bagaimanapun, pasangan ini mengakui mereka juga tidak pernah terlepas dari dugaan dalam perkahwinan. Namun perkara tersebut dilalui dengan tabah.

"Setiap perkahwinan pasti ada ombaknya, pada tahun pertama perkahwinan kami dugaan utama ialah dari segi kewangan. Ketika itu masing-masing belum stabil dan sebagai artis kami tidak ada pendapatan yang tetap.

"Saya pula ketika itu tujuh bulan tiada sebarang undangan nyanyian sehingga Vee mengandung anak pertama, saya ditawarkan untuk iklan makanan segera. Alhamdulilah selepas itu rezeki kami tidak pernah putus.

"Sebelum berkahwin lagi kami juga sudah berjanji tidak akan bergaduh fasal duit," kata Rashidi yang bakal keluar dengan album EP kedua bersama kumpulannya Dead Mushroom tidak lama lagi.

Mengimbau kenangan lalu, pasangan yang dianugerahkan dua cahaya mata ini iaitu Mikail Aimran,7, dan Mariyam Rashika,6, ini mengakui jatuh cinta pandangan pertama mereka apabila berlakon bersama dalam drama Athirah.

"Saya dan abang kenal ketika kami berlakon bersama dalam drama Athirah dan ketika itu juga kami masing-masing mempunyai kekasih. Tapi gerak hati saya kuat mengatakan dia merupakan pasangan hidup saya.

"Dua minggu selepas itu dia terus melamar saya dan kami mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun perkenalan," jelasnya Vee.

Majlis ulang tahun perkahwianan ke-10 yang diadakan di sebuah restoran di PNB Darby Park itu turut dihadiri oleh ahli keluarga, peminat dan beberapa rakan artis seperti AC Mizal, Emilia Rosnaida, Sofea Jane, Syarifah Aleya dan Syarifah Amani.

AC Mizal Sahkan Terima Gelaran Datuk


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara AC Mizal mengesahkan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang.

Bekas pengacara Akademi Fantasia itu mengakui telah menerima surat penganugerahan tersebut pada awal Ramadan lalu dan bakal menerima secara rasmi gelaran berkenaan mengikut adat istiadat istana pada akhir tahun ini.

"Saya sudah menerima surat dari pihak istana berhubung perkara ini namun belum lagi menghadiri majlis penganugerahan secara rasmi di istana.

"InsyaAllah ia mungkin diadakan pada hujung tahun ini, tapi pihak istana sudah memberi keizinan untuk saya terus mengunakan gelaran tersebut," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke10 Perkahwinan Vanida Imran dan Rashidi Ishak, Isnin.

Bagaimanapun, menurut AC dia masih belum mengunakan gelaran tersebut dan masih dalam proses mempersiapkan diri.

"Gelaran itu satu anugerah kepada saya. Ia bagus untuk bisnes yang sedang saya jalankan sekarang, namun begitu buat masa ini saya belum berani untuk mengunakannya kerana belum menghadari majlis penganugerahan.

"Saya masih dalam proses untuk berubah daripada seorang artis kepada ahli perniagaan selain mahu menerima gelaran tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi AC Konsortium Sdn Bhd ini juga memberitahu gelaran Datuk yang diterimanya merupakan rezeki selepas dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

"Saya dapat gelaran ini disebabkan kejayaan saya sebagai artis yang berjaya dalam perniagaan. Walaupun belum setahun lagi perniagaan saya ini tapi Alhamdulilah rezeki perniagaan saya semakin baik.

"Secara tidak langsung saya boleh memberi contoh yang baik kepada artis-artis muda yang lain. Saya tidak mahu artis hanya dikaitkan dengan cerita-cerita negatif sahaja," katanya.

Selain itu, AC memberitahu dia tidak pernah meningalkan dunia seni sejak bergelar usahawan. Namun dia mengakui lebih memilih tawaran yang bersesuaian dengannya.

"Saya masih dalam industri seni. Saya ada kontrak dengan Astro selama dua tahun lagi. Insya-Allah lepas raya ini ada program yang akan saya kendalikan.

"Untuk tawaran berlakon memang sekarang saya kurangkan sedikit sebab saya ada tanggungjawab terhadap perniagaan yang saya usahakan ini. Namun begitu saya masih menerima tawaran yang bersesuaian dengan umur dan masa saya," kata AC.

Kereta Baru Shahir (AF8) Berpusing Lima Kali


PETALING JAYA: Kereta jenis Nissan Fairlady berwarna putih milik juara AF8, Ahmad Shahir Zawawi, 22, berpusing sebanyak lima kali sebelum merempuh pembahagi jalan di lebuh raya antara Bidor ke Sungkai, Perak.

Kemalangan pada pukul 6.30 petang, Isnin itu berlaku semasa penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di Kampar, Perak ke Kuala Lumpur setelah menjalani penggambaran sebuah program terbitan Astro.

Menurut ibunya, Mahanum Osman, 45, tiada apa yang mampu diluahkan selain bersyukur ke hadrat Ilahi setelah mendengar berita anak sulungnya itu selamat daripada kemalangan tersebut.

Dia turut bersyukur kerana insiden berkenaan tidak melibatkan kenderaan dan orang lain.

Katanya, kereta yang berharga sekitar RM180,000 itu baru dibeli oleh Shahir pada bulan Ramadan baru-baru ini.

“Shahir dan kawannya, Aman yang berada dalam kereta itu selamat. Alhamdulillah. Cuma keretanya remuk teruk di bahagian belakang dan hadapan.

“Shahir cuma mengadu sakit-sakit badan dan bengkak sedikit di bahagian kepalanya akibat terhantuk. Dia sudah mendapatkan rawatan doktor dan membuat laporan polis. Alhamdulillah doktor kata dia okey dan memberikan ubat tahan sakit.

“Tetapi dia belum membuat rawatan x-ray. Bagaimanapun, saya berharap supaya dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman. Sekarang, dia sedang berehat di rumah dan menghantar keretanya ke bengkel,” kata Mahanum ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Bercerita tentang bagaimana Shahir boleh terlibat dalam kemalangan tersebut, Mahanum berkata waktu itu hujan lebat dan cermin kereta Shahir menjadi kabur.

“Air hujan di tepi lebuh raya itu begitu banyak sehingga Shahir merasakan kereta yang dinaikinya itu seperti terapung-apung. Lantas dia menekan brek dan selepas itu keretanya berpusing sebanyak lima kali sehingga melanggar pembahagi jalan.

“Selepas itu terus dia berhenti ke tepi jalan sebelum mendapatkan bantuan. Nasib baik kereta yang lalu-lalang di situ sempat mengelak dan tidak terlibat sama dalam kemalangan tersebut. Walaupun keretanya rosak teruk, tetapi pada saya yang penting Shahir dan kawannya selamat. Saya anggap semua yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya lagi.

Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, Shahir pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ini merupakan kemalangan besar kedua berlaku dalam hidupnya.

Ashraf & Bunga Dapat Anak Lelaki


PETALING JAYA: Penyanyi Bunga Citra Lestari,27, selamat melahirkan bayi lelaki, pada pukul 2 petang (3 petang waktu malaysia) seberat 3.5 kilogram di Rumah Sakit Brawijaya, Jakarta, Rabu.

Isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair, 31, itu bersalin melalui proses pembedahan dan kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat.

Menurut pengurus Bunga, Doddi, Bunga ditemani kedua ibu bapanya serta Ashraf ketika proses kelahiran anak sulung pelakon itu.

"Bunga telah masuk ke hospital pada pukul 3 pagi (4 pagi waktu Malaysia) dan atas nasohay doktor Bunga disarankan untuk melahirkan anak secara pembedahan walaupun Bunga mahu melahirkan secara normal.

"Ibu bapa Ashraf turut berada di sini dan mereka datang dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada Sabtu lalu. Apa yang pasti, Ashraf dan Bunga begitu gembira dengan kelahiran anak sulung mereka," katanya.

Pasangan tersebut telah bernikah pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta.

Sementara itu, adik kepada Ashraf iaitu Aishah Sinclair juga melahirkan anak perempuan yang dinamakan Soraya Ann pada 15 Ogos lalu.

Rita Rudaini Patut Maafkan Keluarga Kami - Ruzie


PETALING JAYA: Kakak kepada pemain bintang bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak,23, iaitu Ruzie,39, menafikan tuduhan keluarganya tidak boleh menerima perkahwinan kembar pemain bola sepak itu, Aidil Zafuan, 23, dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 37.

Ruzie berkata, pada mulanya keluarga mereka terutama ibu dan bapa tidak merestui hubungan tersebut tetapi lama-kelamaan setelah kelahiran anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia lebih setahun, mereka mula menerima Rita.

"Ingin saya jelaskan, selepas Rita melahirkan anak sulungnya, mak dan ayah saya ada melawat cucunya di hospital. Kiranya mereka dah terima Rita dan Aidil.

"Aidil pun dah balik rumah keluarga kami di Seremban, Negeri Sembilan. Cuma Rita sahaja yang tak pernah nak jumpa kami. Saya pun tak tahu kenapa?

"Sehingga hari ini kami tertanya-tanya sama ada Rita sudah memaafkan kami atau tidak?

"Lagipun keluarga kami dah pun menemui keluarga Rita. Mungkin dia fikir yang kami masih tidak menerima dia sebab kes lama.

"Masa Hari Raya pun dia tak balik ke kampung nenek kami di Kedah kerana Rita beraya di rumah orang tuanya di Perlis. Aidil pun tak sempat nak ke Perlis kerana dia ada latihan bola sepak di Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Ruzie menjelaskan perkara tersebut selepas timbul isu kononnya keluarga lelaki masih tidak merestui perkahwinan Rita dan Aidil ketika kembar pemain bola sepak itu, Zaquan Adha bakal bertunang dengan pelakon Ayu Raudhah.

Menurut Ruzie lagi, sepatutnya Rita sebagai orang yang lebih muda sudah boleh memaafkan keluarganya memandangkan kedua ibu bapanya telah meminta maaf daripada Rita sebelum ini.

Dalam pada itu Ruzie turut menafikan gosip yang disiarkan sebuah akhbar tabloid Selasa lalu kononnya Rita menghalau ibu bapa Aidil sewaktu berkunjung ke rumah mereka baru-baru ini.

"Setakat ini, ibu bapa saya belum lagi pergi ke rumah Rita di Kepong, Selangor. Bila masa pula Rita nak halau mereka? Ibu bapa saya cuma berjumpa dengan ibu bapa Rita di kedai makan sahaja sebelum ini untuk berbincang hal keluarga.

"Ada juga gosip mengatakan Aidil tak balik rumah jenguk isteri dan anak. Tapi Aidil sebenarnya telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.

"Setakat ini Aidil tak pernah tak balik rumah walaupun dia habis latihan pada pukul 2 pagi atau 3 pagi," tegasnya

Bagaimanapun, mengenai masalah rumah tangga Aidil pula, Ruzie berkata, Aidil tidak pernah menceritakan masalah peribadinya dengan keluarga.

Rita dan Aidil telah bernikah pada pertengahan Februari 2008 di Songkhla, Thailand. Perkahwinan itu pada mulanya mendapat tentangan keluarga pihak lelaki.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails