Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sudah lama sabar - Elly Mazlein


Akhirnya impian Elly muncul dengan album terbaru tercapai

KARIER seninya bermula sebagai penyanyi. Siapa yang boleh lupa akan suaranya ketika lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Bicara Kasih, Merry Go Round, yang bait liriknya cukup menyentuh hati.

Sememangnya, pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi atau lebih dikenali dengan panggilan Elly Mazlein ini dikenali kerana bakat semula jadinya. Namun, sejak kebelakangan ini, namanya seakan-akan sepi dalam bidang nyanyian. Sebaliknya, wajah Elly Mazlein ini sering kelihatan di layar kaca. Bakatnya kini lebih kerap kelihatan melakonkan watak demi watak menerusi drama dan telefilem.

Apakah dia melupakan bidang seni suara yang pernah menaikkan namanya atau sekadar berehat seketika?

Ditemui ketika menghadiri pelancaran drama Seruan Pulau Nami baru-baru ini, Elly mempunyai berita baik untuk dikongsi bersama peminatnya.

Dengan perasaan teruja, dia memberitahu, penantian selama lima tahun bakal berakhir apabila album terbarunya bakal muncul tidak lama lagi dan ia diterbitkan oleh komposer, Julfekar.
“Bukan niat untuk tak nak menyanyi, tapi Elly banyak memenuhi tawaran berlakon membuatkan terpaksa melupakan bidang itu buat seketika. Namun tak nafikan yang Elly memang rindu sangat hendak menyanyi. Alhamdulillah, Elly kini sudah bernaung di bawah syarikat rakaman Millenium Art milik abang Julfekar dan sekarang dalam pembikinan album terbaru.

“Disebabkan bahan-bahannya sudah ada, kali ini memang Elly sudah bertekad meluangkan masa merakamkan lagu untuk album ini. Sekarang Elly baru rakam dua lagu yang berjudul Please Forgive Me dan Kata Saja I Love You. Untuk single pertama Elly, kami memilih lagu Please Forgive Me yang dicipta oleh Julfekar” katanya.

Seakan-akan mengerti apa yang bermain di minda penulis, Elly menjelaskan dua lagu itu sengaja diberi judul sedemikian kerana mahu mencipta kelainan sekali gus mencipta gimik bagi menarik perhatian peminat.

“Kedua-dua buah lagu itu sebenarnya dalam Bahasa Melayu tetapi judulnya memang sengaja diberikan untuk memancing perhatian peminat. Elly sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk melihat reaksi peminat selepas mereka mendengarkan lagu dalam album ini. Seronok dan teruja rasanya.

“Maklum sajalah, sudah lama tidak bertemu mereka, jadi bila sudah ada lagu baru, barulah bersemangat. Pertama kali bekerjasama dengan Julfekar, Elly menyifatkan gandingan dengan komposer kontroversi itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan walaupun mengakui pernah mendengar cerita kononnya Julfekar memang suka bergaduh dengan penyanyi di bawah pengurusannya.

“Tapi daripada apa yang saya lihat dan lalui, Julfekar sangat profesional ketika bekerja dan setakat ini saya selesa apabila bekerjasama dengannya,” kata Elly.

Tidak rahsiakan perkahwinan

SEPANJANG mengenali penyanyi ini, pelbagai gosip hangat dilemparkan kepadanya sehingga dia pernah menitiskan air mata ketika menjawab segala dakwaan nakal itu.

Terbaru, Elly dikatakan sudah pun bergelar isteri seorang kenamaan dan pernikahan itu dilangsungkan secara senyap-senyap.

Andaian itu tersebar luas apabila Elly dikatakan mengambil cuti selama dua bulan dari bidang lakonan. Apakah cuti rehat yang diambil Elly sebenarnya adalah cuti kahwin yang dirahsiakan dari media?

Menjawab soalan itu, sekali lagi penyanyi ini menegaskan bahawa dia masih solo dan tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Saya sedar selama ini media banyak membantu saya dalam membina kerjaya sehingga ke tahap ini. Jadi takkanlah saya nak merahsiakan hari bahagia ini dari anda semua. Gosip mengatakan saya sudah berkahwin tidak benar.

“Saya sudah penat menjawab gosip mengenai perkahwinan ini. Bukan sekali dua tetapi sudah banyak kali saya dikatakan sudah berkahwin. Apabila tiba masanya nanti dan sampai jodoh, saya akan menjemput kawan-kawan media untuk sama-sama meraikan hari bahagia saya ini,” katanya sambil mengakui kurang selesa apabila bercakap soal peribadi berlebih-lebihan.

Angelina Jolie seperti Elizabeth Taylor


APABILA ditawarkan peluang berlakon dalam filem The Tourist, Johnny Depp tidak perlu menunggu lama kerana dia mempunyai beberapa sebab untuk menerima tawaran itu.

Selain daripada jalan cerita yang cukup menarik perhatian, Depp mengakui tarikan utama mengapa dia bersetuju membintangi The Tourist adalah kerana Angelina Jolie.

Sementelah The Tourist merupakan filem pertama yang menggandingkan Depp dan Jolie sebagai teraju utama.

Biarpun sudah menjadi seorang aktor tersohor dunia, namun, peluang untuk dia bergandingan dengan Jolie tidak pernah kunjung tiba.

Secara jujurnya, Depp tidak pernah mengenali Jolie secara personal. Kalau ada pun hanyalah bertegur sapa secara ringkas di majlis formal mahupun anugerah.

“Saya memang sudah bertahun-tahun mengenali pasangan Jolie iaitu Brad Pitt yang merupakan salah seorang kawan karib saya.

“Begitu juga perkenalan saya dengan bapa Jolie iaitu Jon Voight yang saya kenali sudah cukup lama.

“Bayangkan, saya sendiri tidak pernah duduk secara empat mata dengan Jolie dan saya tidak tahu bagaimanakah karakternya yang sebenar.

“Saya seorang yang bukan suka menghakimi seseorang tanpa mengenalinya dahulu. Biarpun banyak kisah Jolie yang dipaparkan di media massa, ia sedikit pun tidak berupaya mempengaruhi saya,” ujar Depp ketika diminta mengulas tentang Jolie yang memainkan peranan sebagai Elise Clifton-Ward dalam filem The Tourist.

Apabila bertemu buat pertama kalinya dengan Jolie pada sesi pra produksi The Tourist, Depp tidak mampu menyembunyikan naluri lelakinya yang cukup kagum dengan keperibadian Jolie.

Walaupun secara luaran wanita itu tampak agresif dengan raut wajah yang serius, namun selepas mula mengenali Jolie, Depp dapat menyimpulkan bahawa kekasih Brad Pitt itu sebenarnya seorang yang lucu.

“Bayangkan apabila dia masuk sahaja ke dalam set penggambaran, semua orang mengagumi dan ‘cair’ melihatnya. Begitu juga dengan saya (ketawa).

“Dia memang seorang wanita hebat dan saya sendiri tidak pernah menyangka dia begitu melucukan. Memang tanpa ragu, Jolie memiliki rasa humor yang sangat tinggi.

“Bukan itu sahaja, saya memang kagum dengan tenaga yang ada dalam dirinya itu yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa. Tenaganya itu dapat menyamai kuasa yang dimiliki oleh 300 orang! Itu memang gila,” kata aktor berusia 47 tahun yang mula mencipta nama menerusi siri televisyen 21 Jump Street sekitar lewat tahun 80-an itu lagi.

Serupa

Memang tidak habis-habis Depp memuji Jolie yang pada pandangannya merupakan seorang wanita yang menakjubkan.

Bukan mahu mengangkat tinggi wanita pujaan ramai lelaki itu, tetapi selepas mengenali Jolie, dia melihat Jolie tidak ubah seperti Elizabeth Taylor yang juga mempunyai perwatakan yang serupa.

“Saya bertuah kerana berpeluang mengenali Elizabeth Taylor dan apabila saya fikirkan kembali, saya dapat melihat kedua-dua wanita ini memiliki persamaan dari segi karakter.

“Personaliti sebenar mereka akan terserlah apabila saya dapat duduk secara empat mata dengan mereka. Daripada situ, semuanya akan keluar secara automatik dan keserasian serta keselesaan itu timbul untuk berdampingan,” ujar Depp yang cukup popular dengan watak Kapten Jack Sparrow menerusi filem trilogi, Pirates of the Caribbean itu lagi.

Seperkara lagi yang membuatkan Depp mempunyai rasa hormat terhadap pemenang Oscar itu adalah fokus dan tumpuannya tidak pernah lari biarpun sibuk dengan tugasan hariannya sebagai ibu, aktres dan duta kemanusiaan.

“Dalam pada dia sibuk dengan kerjanya sebagai seorang aktres, Jolie masih lagi mampu membesarkan anak-anaknya dengan sempurna. Dia bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya selain kerja-kerja kemanusiaan.

“Bukan semua mampu dapat melakukan perkara yang serupa seperti Jolie. Saya harus katakan ini juga, sebagai seorang aktres, dia juga cukup hebat dan profesional. Dia tahu apa yang dia lakukan,” katanya sambil merujuk kepada profesionalisme Jolie ketika di lokasi The Tourist.

Namun, Depp melahirkan rasa kasihannya terhadap Jolie dan Pitt serta anak-anak mereka yang seringkali menjadi mangsa paparazzi.

“Memang pelik kehidupan ini bukan? Dan bayangkan apabila kita bangun setiap pagi dan keluar rumah, kita sudah diekori oleh mereka yang bagaikan tidak mengerti apa yang kita mahukan iaitu privasi,” luah Depp melahirkan kekesalan terhadap penceroboh seperti paparazzi itu.

Sungguhpun begitu, jelas Depp, dia tetap mengagumi kekasihnya, Vanessa Paradis yang merupakan ibu kepada dua orang anaknya iaitu Lily-Rose Melody Depp dan John “Jack” Christopher Depp III masing-masing kini berusia 11 dan lapan tahun.

“Dia telah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik dan saya bertuah kerana dapat memilikinya sebagai pasangan,” katanya ringkas yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan Winona Ryder dan Kate Moss.

NTV7 Sediakan Rancangan Menarik Sempena 2011


PETALING JAYA: Sempena kehadiran tahun baru 2011, stesen televisyen ntv7 membawakan pelbagai program menarik sebagai santapan penonton.

Antara program tersebut ialah Buddha’s Palm, Mad Monkey Kung Fu, Song of Tomorrow, Apartment for Ladies dan Flower In The Rain.

Berkisar dari sebuah komik terkenal Hong Kong, filem Buddha Palm akanmembuka tirai pada 1 Januari ini.

Padat dengan aksi kung fu, filem ini mengisahkan kuasa seni pertahanan mistik yang hebat dan membariskan bintang kung fu popular seperti Hui Ying-hung, Derek Yee dan Alex Man.

Filem yang penuh dengan aksi ini merupakan filem yang popular pada tahun 1982.

Selain itu, tayangan hebat diteruskan lagi dengan sebuah filem arahan legenda kungfu Liu Chia-liang berjudul Mad Monkey Kung Fu, menemui penonton pada 8 Januari.

Filem ini merupakan sebuah klasik sepanjang zaman. Liu melakonkan watak Kung fu master Chen, yang ditipu oleh penjahat kejam, Tuen, dilakonkan oleh Lo Lieh. Hou Hsiao (bermaksud "monyet kecil") meyakinkan Chen mengajarnya kung fu monyet untuk membalas dendam.

Aksi latihan dan pertembungan menghiburkan seperti seni akrobatik yang hebat sekali.

Filem Song of Tomorrow pula ditayangkan pada 15 Januari, diteraju oleh artis veteran Ivy Ling Po, yang menyamar sebagai lelaki.

Ivy akan mengubah penampilannya secara drastik dalam filem kontemporari dan muzikal ini.

Ivy melakonkan watak penari dan teraju utama Chiao Chuang sebagai pemain drum jazz, tapi dengan suatu perbezaan.

Chiao adalah penagih heroin dan Ivy pula memahami bahawa heroin merupakan musuh yang membawa kemusnahan dalam menjaga keutuhan perkahwinan mereka.

Sementara itu, drama Apartment For Ladies atau Nu Zi Gong Yu akan disiarkan pada 29 Januari. Ia merupakan sebuah filem komedi Hong Kong Shaw Brothers yang diarahkan oleh Umetsugu Inoue.

Manakala pada hari yang sama juga sebuah filem istimewa iaitu Flower In The Rain akan disiarkan.

Filem tragedi romantis ini pastinya bakal menambat hati penonton. Filem ini lebih tragis apabila melibatkan kisah cinta antara seorang gadis berada dan seorang pemuzik yang tidak berharta.

Ia dibintangi pelakon Nan Kung-hsun manakala Lily Ho dan Ling Yun pula melakonkan kisah cinta yang penuh rintangan dan penderitaan sehingga akhirnya disatukan semula.

SOROTAN 2010 : Kecemerlangan Jadi Sandaran

PETALING JAYA: Untung bak si ayam, tuahnya nampak di kaki. Tuah anak seni apabila menggenggam sebuah trofi.

Tahun 2010 memberi sinar kepada ramai karyawan seni apabila mereka menerima pelbagai anugerah dan pencapaian.

DATUK SITI NURHALIZA: Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza melebarkan profil kerjayanya ke dalam bidang perniagaan apabila tampil dengan produk kecantikan Simply Siti yang dilancarkan pada 30 Mac 2010.

Rangkaian kosmetik dan penjagaan kulit wanita itu menampilkan SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age, SimplySiti Acne Solution.

Melengkapi perjalanan seninya untuk 2010, Siti turut dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009), 4 April lalu.

Kejayaan itu merupakan pengiktirafan kali keenam buat Siti dalam sejarah penganjuran ABPBH.

AC Mizal

DATUK AC MIZAL:Pelakon dan pengacara AC Mizal dikurniakan darjah kebesaran iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk pada Ramadan lalu.

Biarpun status barunya itu mengundang kontroversi, AC terus cemerlang melebarkan jaringan perniagaannya.

Syamsul Yusof

SYAMSUL YUSOF: Tuah anak bujang kepada penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam ini terserlah apabila diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), 24 Oktober 2010.

Kejayaan Syamsul itu diiktiraf barisan juri menerusi air tangannya, Evolusi KL Drift 2.

Syamsul bakal membuka tirai filem Melayu 2011 menerusi filem seram pertamanya iaitu Khurafat pada 13 Januari depan.

Edry Abdul Halim

EDRY ABDUL HALIM: Karyawan muzik yang berjinak-jinak dalam dunia pengarahan filem ini pasti tersenyum puas mengimbas semula pencapaiannya menerusi filem Magika pada tahun ini.

Bukan saja filem pertama arahannya itu mendapat pujian meluas, malah ia turut mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM3.14 juta apabila ditayangkan pada minggu kedua Hari Raya Aidilfitri lalu.

Tambah manis, Magika turut dijulang sebagai Filem Terbaik FFM23, selain lima Anugerah Cipta. Salah satunya, Edry turut dinobat sebagai Pengarah Harapan.

Terus mengorak langkah, Edry kini sedang dalam proses persiapan untuk filem keduanya, sebuah muzikal yang berjudul 29 Februari.

METROWEALTH INTERNATIONAL GROUP (MiG): Tahun 2010 terus melakarkan episod gemilang buat syarikat produksi milik David Teo ini.

Menerusi tayangan sembilan judul filem setakat ini iaitu Adnan Sempit, Semerah Cinta Stilleto, Zoo, Mantra, Senario Asam Garam, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Cuti-Cuti Cinta, Ngangkung, Aku Masih Dara (masih ditayangkan), MiG boleh berbangga dengan kutipan pecah panggung untuk kesemua judul tersebut.

Lebih manis lagi, rekod pecah panggung yang dikutip oleh Adnan Sempit sebanyak RM7.66 juta pada awal tahun ini telah dipecahkan oleh Ngangkung yang mengutip RM8 juta sejak ditayangkan, 25 November lalu.

Terbaru, filem kesepuluh keluaran produksi itu untuk tahun ini, Damping Malam arahan Ahmad Idham melabuhkan tirai tayangan filem Melayu 2010 apabila ditayangkan bermula semalam.

MiG juga dijangka beroperasi sepenuhnya di premis tujuh tingkat di Wisma Metrowealth, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya menjelang 2011 ini.

Salah sebuah babak dalam filem Muallaf.

MUALLAF: Filem Muallaf arahan Allahyarham Yasmin Ahmad yang ditayangkan pada 24 Disember 2009 gagal meraih kutipan memberangsangkan ekoran kekangan promosi dan publisiti.

Malah, filem itu turut diperbahaskan oleh banyak pihak ekoran sentimen keagamaan yang dipentaskan oleh Yasmin.

Bagaimanapun, menerusi Festival Filem Asia Pasifik ke-54 (APFF54) yang berlangsung di Taiwan awal Disember lalu, Yasmin telah diangkat sebagai Pengarah Terbaik hasil paparan kritis yang dipertaruhkannya dalam filem itu.

Meskipun filem itu terpinggir tanpa penjelasan kukuh di FFM23, maruah filem itu ditebus kembali apabila memenangi anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik Filem dan Pelakon Wanita Terbaik Filem (Sharifah Amani) di Anugerah Skrin 2010 (ASK2010), 24 Disember lalu.

Pengiktirafan yang diterima oleh Muallaf itu boleh disifatkan sebagai anugerah posthumous yang paling membanggakan untuk Allahyarham dan peminatnya.

Search dan Wings

SEARCH dan WINGS:Dua lagenda rock tanah air iaitu kumpulan Search dan Wings mencipta sejarah tersendiri tahun ini apabila kedua-dua kumpulan ini bersatu semula dalam rantaian konsert Double Trouble (DT) selepas 17 tahun.

Bermula dengan siri konsert itu di Equestrian Park, Bukit Kiara pada 1 Mei 2010 yang berjaya menghimpunkan lebih 20,000 penonton, jelajah DT diteruskan ke beberapa lokasi seperti Johor Bahru, Johor, Seberang Jaya, Pulau Pinang dan berakhir di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 25 Disember lalu.

Ekoran sambutan luar biasa peminat, Search dan Wings dijangka kembali dalam DT 2011 ke beberapa lokasi baru termasuk Sarawak dan Singapura.

Faizal Tahir

FAIZAL TAHIR: Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan yang membelenggunya, penyanyi pujaan ramai Faizal Tahir berjaya melakarkan pencapaian 2010 yang layak untuk dipaparkan.

Kejayaan bapa kepada tiga anak ini bermula apabila dia berjaya menduduki tempat ketiga pada malam Anugerah Juara Lagu 24 (AJL24), 10 Januari lalu menerusi lagu Bencinta.

Kegemilangannya dalam muzik diteruskan apabila album kedua iaitu Adrenalin dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17), 2 Mei lalu, sekalipun album itu belum dilancarkan apabila pertandingan berlangsung.

Faizal akan meneruskan kemaraannya pada 2011 ini apabila bakal beraksi di pentas AJL25 menerusi dua lagu Selamat Malam dan Hanyut pada 9 Januari depan.

Lisa Surihani

LISA SURIHANI: Aktres jelita ini cukup menyerlah sepanjang 2010. Populariti dan pencapaiannya yang bergerak seiring melonjakkan nama pelakon berusia 24 tahun ini sebagai pelapis ‘heroine’ filem Melayu.

Lisa memenangi anugerah keramat Pelakon Wanita Terbaik di FFM23 menerusi filem cinta Legenda Budak Setan.

Selain lambakan judul filem dan drama sepanjang tahun ini, Lisa turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi artis Malaysia yang pertama berjaya mengumpul lebih 1 juta peminat di akaun laman sosial Facebook.

Lisa yang mengembangkan profilnya ke dunia pengacaran menerusi program Mari Menari dijangka terus laris pada 2011 dengan kemunculan beberapa judul filem seperti Ombak Rindu, Sekali Lagi dan banyak lagi.

Mila

MILA: Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 23, melakar pencapaian tersendiri dalam profil nyanyiannya apabila berjaya mengharumkan nama negara menerusi pertandingan Open Mic UK 2010.

Bermula dengan pentas saringan yang disertainya pada Ogos lalu di Newcastle, Mila berjaya melepasi peringkat itu bersama sembilan peserta yang lain untuk mewakilti Newcastle di pertandingan separuh akhir yang berlangsung di North England Dewsbury Town Hall, November lalu.

Nasib kurang menyebelahi juara Akademi Fantasia 5 itu di peringkat separuh akhir ekoran faktor kekurangan undian penonton.

Sekalipun tidak berjaya menempah tiket ke pertandingan akhir, kembara Mila ke United Kingdom telah membuka mata beberapa wakil syarikat rakaman di sana terhadap potensi penyanyi dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini.

Terbaru, mStar Online difahamkan, Mila bakal terbang ke UK semula pada Januari ini untuk berbincang dengan beberapa agen syarikat rakaman di sana bagi proses rakaman dan pemasaran albumnya ke benua itu.

Shaheizy Sam

SHAHEIZY SAM: Adik bongsu kepada dramatis popular Zizie Ezette ini juga tidak ketinggalan memahat namanya dalam jurnal pencapaian anak seni 2010.

Tahun ini menyaksikan kebangkitan Sam di persada seni apabila satu persatu kejayaan digenggamnya.

Bermula dengan populariti mendadak selepas kejayaan filem Adnan Sempit pada Januari lalu, Sam terus melakar sejarah perfileman apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Selain sibuk dengan tawaran lakonan yang silih-berganti, Sam sempat melabuhkan tirai pencapaiannya untuk 2010 dengan menerima Anugerah Yasmin Ahmad pada malam ASK2010, 24 Disember lalu.

Pencapaian dan kejayaan sepanjang 2010 ini harus dijadikan sebagai pembakar semangat untuk anak-anak seni kita agar terus berjaya.

Semoga kehadiran tahun baru 2011 bermula esok, diharapkan dunia hiburan akan terus malap dengan kontroversi sebaliknya cerah dengan pencapaian dan kejayaan.

Selebriti Ucap Tahniah Kemenangan Bola Sepak

PETALING JAYA: Kemenangan pasukan bola sepak Malaysia pada piala Suzuki AFF menentang Indonesia malam Rabu lalu sememangnya membanggakan seluruh warganegara Malaysia.

Golongan artis turut tidak melepaskan peluang dengan tidak putus-putus memberi kata semangat dan ucapan tahniah kepada pemain-pemain bola sepak kebangsaan sepanjang perlawanan berlangsung.

Kebanyakan mereka menyampaikan ucapan dan kata-kata tersebut melalui Twitter dan laman sosial Facebook masing-masing.

Dalam perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu, Malysia tewas pada Indonesia 1-2, tetapi menang secara agregat 4-2 dan sekali gus membawa pulang Piala Suzuki 2010 buat pertama kali ke negara ini.

Berikut ini ucapan-ucapan mereka:

Zahid Baharudin : Tahniah Malaysia. Tahun 2010 memang memberi banyak kenangan manis untuk pasukan Malaysia.. Iskk.. Emo lak aku.. Terima kasih Safee dan Apek (Khairul Fahmi) sebab selamatkan penalti. Aku bangga kad pengenalan ade warganegara Malaysia.

Umie Aida: Tahniah kepada juara team Malaysia. Dan tahniah juga kepada team Indonesia yang bermain dengan baik sekali.

Lisa Surihani : Bangga jadi rakyat Malaysia.

Ashraf Sinclair: Tahniah Malaysia! Caya sama lu! good work Timnas Indonesia! Final yg cukup memuaskan. Sporting dan penuh semangat. Pemainan "qualitas" tinggi.

Nora Danish: Bangga jadi rakyat Malaysia. Safee & Fahmi both of u are my sweethearts XOXO call me.

Alif Satar: Subhanallah Alhamdulillah amin amin... Rasa ingin menangis dengan kemenangan ini, bersyukur, terharu dan kita adalah juara sebenar.

Farish Aziz: Kami Menang 'Piala Dunia' Kami.

Fasha Sandha: Yeay! Betullah... Jangkaan saya 2-1 tadi.. Tahniah Harimau Malaya.

Ummi Nazeera: Kita juara bola Asia Tenggara! Allahuakbar! Alhamdulillah.

Diana Danielle: Malaysia. Kita menang! Kita menang! Terima kasih Harimau Malaya.

Aznil Nawawi: Tahniah Harimau Malaya. Laser kat muka pun takde nak komplen. Inilah semangat seorang pemenang.

Juliana Evans: Tahniah tanah tumpahnye darahku.

Dalam pada itu, beberapa selebriti Indonesia turut mengucap tahniah kepada pasukan Malaysia dengan aksi cemerlang mereka.

Malah ramai yang berterima kasih kepada Malaysia kerana perlawanan ini telah menyatukan seluruh rakyat Indonesia dan membakar semangat nasionalisme mereka yang telah lama pudar.

Berikut ini catatan atis-artis Indonesia:

Luna Maya: Menangis, tapi tetap bangga sama Indonesia dan pasukan bola sepak Nasional. Latihan harus lebih baik lagi dan banyak belajar dari lawan. Mereka bermain bagus. Tahniah.

Ipang Wahid: Kita seharusnya berterima kasih pada Malaysia. Tanpa mereka (sebagai 'musuh bersama'), kita tidak pernah nasionalisme setinggi ini sebelumnya.

Bunga Citra Lestari : Masih berbangga dengan pasukan Indonesia! dan tahniah kepada Malaysia.

Gosip Cinta Zizan Bukan Untuk Publisiti Murah


KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan (Raja Lawak) menganggap gosip cinta yang sering dikaitkan dengannya bukan untuk meraih publisiti murahan.

Namun dia mengaku sengaja memulakan gosip tersebut sekadar suka-suka dan hanya untuk gembirakan peminatnya.

“Saya dan Juliana tiada apa-apa. Kami balas membalas Twitter hanya sekadar suka-suka sahaja. Saya teruja bila ramai peminat akan tertanya-tanya tentang hubungan itu.

“Dan media akan beri jawapan tersebut. Saya hanya ingin mengembirakan peminat saya sahaja. Namun begitu saya tidak berniat untuk mencari publisiti murahan dengan cara ini,” katanya.

Jelas Zizan, kemesraannya dengan pelakon Juliana Evans melalui laman Twitter bukanlah satu hubungan istimewa.

Malah dia tidak pernah terfikir untuk bercinta dengan pelakon muda tersebut.

“Saya senang berkawan dengan dia kerana cara pemikiran dia lain dari yang lain. Dia lebih terbuka dalam sesuatu hal.

“Jika ditanya tentang percintaan, saya lebih memilih untuk jadi kawan sahaja kerana hubungan persahabatan itu lebih kekal dari cinta,” ujarnya.

Tambah Zizan, jika dia benar-benar dalam sebuah hubungan percintaan dengan seseorang, dia lebih suka merahsiakannya dari pengetahuan umum.

“Kalau saya bercinta dengan seseorang tak mungkin saya akan beritahu secara umum dan datang bersama di sesebuah majlis.

“Saya lebih selesa menyimpan kisah peribadi terutama cinta daripada umum melainkan mereka tahu sendiri,” katanya yang mengakui masih belum mempunyai teman istimewa.

Dari perkembangan kerjaya Zizan akan keluar dengan dua buah filem berjudul Hantu Bonceng dan Untuk Tiga Hari.

Manakala dia juga akan mengendalikan rancangan popular Raja Lawak musim lima bersama Johan.

Farah Asyikin Enggan Komen Kekasih Baru


PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 31, enggan memberi komen tentang kehadiran seorang lelaki yang sentiasa bersamanya sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua mereka turut kelihatan pada majlis perkahwinan penyanyi Elyana di Dutches Place, Ampang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Farah enggan memberi komen mengenai lelaki yang dikatakan kekasih barunya itu.

"Maaf, saya enggan beri komen. Saya lebih selesa untuk tidak menghebohkan hal peribadi saya lagi.

"Berdasarkan pengalaman yang dilalui saya mahu hal peribadi saya tidak dihebohkan. Kalau orang tahu saya sudah ada kekasih atau tidak, tahulah. Saya tidak kisah.

"Cuma saya tidak mahu lagi mengumumkan apa-apa perhubungan cinta melainkan saya benar-benar akan berkahwin.

"Saya tahu ada yang suka bila saya bercinta dan ada yang tidak. Bagi yang tak suka, macam-macam doa yang saya akan terima. Cukuplah dengan dugaan yang saya terima sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Tambah Farah, memandangkan dia tahu dirinya sering melalui pelbagai dugaan, penyanyi yang popular dengan lagu Hello itu akan memastikan kisah-kisah peribadinya tidak akan diperkatakan lagi.

"Masalah terhadap saya terjadi satu persatu. Selain hal-hal peribadi, kerjaya saya juga sukar untuk kukuh.

"Tapi saya terpaksa telan itu semua kerana saya percaya itu adalah takdir. Mungkin ini sebagai dugaan dan ujian tuhan yang perlu saya lalui. Saya tidak ada pilihan melainkan menerimanya dengan redha.

"Selain itu, segala perancangan saya untuk tahun ini juga tidak menjadi. Antaranya seperti projek lagu single saya bersama arwah Shamrin (Fotograf), Kamu Aku Satu, juga tersangkut.

"Bagaimanapun, lagu tersebut akan saya masukkan untuk album terbaru saya," katanya yang sedang menyiapkan album baru pada tahun depan.

Farah kini sedang bekerjasama dengan beberapa komposer seperti Taja (Meet uncle Hussein) dan Omar K yang berkonsepkan pop rock dan jazz.

Sementara itu, selain projek album terbaru, Farah turut membuat perancangan bersama kakaknya untuk mengadakan program perkhemahan khas buat gadis remaja, It's A girl Thing, pada awal tahun depan.

Program perkemahan tersebut diadakan untuk berkongsi pengalaman yang dilaluinya bersama gadis remaja yang mempunyai masalah peribadi serta kerjaya.

Rosyam Langgar Pantang, Dedah Dua Anak


PETALING JAYA: Pelakon Rosyam Nor, 43, sebelum ini pernah menegaskan bahawa dia tidak akan mendedahkan keluarganya kepada umum walaupun sebaliknya pelakon itu dilihat muncul bersama dua anak gadisnya pada majlis Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 24 Disember lalu.

Kata Rosyam, kehadiran dua anaknya iaitu Arniesha Azureen, 21, dan Nur Anis, 17, pada majlis itu bukan kerana dia tidak tegas dengan pendiriannya tetapi kedua-dua anaknya itu memujuknya untuk merasai kehangatan majlis tersebut.

"Sebenarnya saya tak terfikir pun untuk membawa mereka tapi pada saat-saat akhir mereka pujuk saya sebab teringin nak rasa kehangatan ASK2010 bersama saya. Selain itu mereka merupakan peminat Anuar Zain.

"Lagipun bila anak-anak dah besar, mereka pandai pujuk ayah mereka sampai saya pun kesian. Selalunya bila saya bawa keluarga, mereka akan duduk di bahagian penonton, bukan bersama saya.

"Bagaimanapun, saya masih dengan pendirian untuk tidak mahu menonjolkan keluarga saya kepada umum," katanya.

Tambah Rosyam, sehingga kini dia masih tegas dalam mendidik anak-anaknya untuk memberi didikan yang terbaik.

Pada majlis ASK2010, kemunculan Rosyam bersama dua gadis jelita mengundang persoalan di kalangan tetamu yang hadir.

Malah, kedua-dua anak gadis itu turut menjadi perhatian pelakon-pelakon lelaki di majlis tersebut.

Sementara itu, Rosyam baru sahaja habis menerbitkan drama bersiri Trilogi Cinta yang akan ditayangkan di RTM1, bermula pada 2 Januari 2011.

Drama yang turut membabitkannya sebagai pelakon utama, turut menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Fouziah Gous, Raisuddin Hamzah, Siti Fazurina, Aida Khalida, Amyza Aznan serta tiga artis Pilih Kasih, Ray Redzuan, Reza Hasbi dan Zulin Aziz.

Trilogi Cinta merupakan drama bersiri pertama terpanjang yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Ia juga merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada tiga novel Sharifah Abu Salem iaitu Tak seindah mimpi, Tak semanis Impian dan Tiada lagi Mimpi iaitu terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.

Michael Douglas Terima Anugerah Ikon


TANGGAL 13 Januari akan datang, aktor Michael Douglas akan menerima penghargaan sebagai anugerah ikon dalam Palm Spring International Film Festival.

Perhargaan ini berikutan penglibatannya selama lima dekat dalam dunia perfileman Hollywood.

Menurut Splash News, anugerah berkenaan hanya diberikan kepada pengiat filem yang banyak memberi sumbangan kepada industri filem Inggeris.

“Kami sangat bangga untuk memberikan penghargaan ini kepada Micheal kerana kretivitinya dan sumbangannya dalam dunia perfileman yang tidak boleh dipertikaikan lagi,” ujar pengarah festival ini, Darryl MacDonald.

Bagaimanapun, ini bukanlah petanda berakhirnya perjuangan Micheal dalam industri ini. Dia bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Wall Street: Money Never Sleeps bagi pencalonan Golden Globe Awards dan anugerah Oscar.

“Pendek kata, Micheal merupakan aset yang sangat bernilai oleh Amerika Syarikat,” ujar Darry lagi.

SOROTAN 2010: Panas & Kontroversi Santapan Anak Seni

PETALING JAYA: Kalau tidak ada sesuatu yang hangat dan penuh kontroversi, dunia seni tentu sekali tidak akan bersemi.

Tahun 2010 mencatatkan banyak kisah-kisah panas artis seperti berikut:

DADAH

Artis: Benjy (Khaeryll Benjamin Ibrahim)Tarikh: 11 Mac 2010

Penangkapan anak lelaki seniwati Azean Irdawaty, Benjy, 32, mengejutkan ramai pihak. Pelakon itu ditahan reman berhubung dakwaan penemuan dadah yang bernilai RM652,000 di sebuah kondominium.

Pertuduhan tambahan juga dikenakan terhadap Benjy kerana memiliki dadah jenis methamphetamine juga dikenali "syabu" dan memasukkan dadah ke dalam badannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada 8.24 pagi, 15 Mac lepas.

Pelakon itu dibebaskan selepas Azean membayar wang jaminan sebanyak RM2,000 namun Benjy ditahan semula kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.

Pada 8 April lalu, Benjy menfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi supaya dia dibebaskan segera daripada ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menolak permohonan pelakon itu dan dia ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor selama dua tahun mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.

Artis: Saiful Apek (Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff)Tarikh: 13 Jun 2010

Pelawak Saiful, 41, Apek ditahan bersama lima rakannya ekoran dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja di sebuah apartmen di Subang Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Apek dibebaskan dengan jaminan polis. Akibat tertekan dengan kejadian yang berlaku, Apek hampir membuat keputusan untuk mengundur diri daripada karier seninya.

Artis: Ameng Spring (Wan Aminuddin Wan Ismail)Tarikh: 12 Mei 2010

Penyanyi kumpulan Spring, Ameng dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, pada awal bulan April. Dia dijatuhkan hukuman dua bulan penjara atau denda RM 4,000.

Ameng membela dirinya dengan menyatakan bahawa dia menjadi mangsa keadaan oleh bekas isterinya, pelakon A.Aida dan suami, sebagai konspirasi.

Kenyataan Ameng membuatkan A.Aida berasa bengang dan dia telah membuka rahsia Ameng yang kerap mengugut pelakon itu. Lantas, A.Aida telah memfailkan kes saman malu terhadap Ameng

SAMAN

Artis: Fahrin AhmadTarikh: 26 Januari 2010

Kenyataan bekas kekasih Fahrin Ahmad iaitu Linda Onn yang menuduhnya sebagai kaki pukul, membuatkan Fahrin mengambil keputusan untuk menyaman deejay radio Suria FM itu jika dia tidak membuat kenyataan memohon maaf dalam tempoh masa tujuh hari yang ditetapkan.

Aktor bertubuh sasa itu telah membuat sidang akhbar berkaitan isu tersebut dan telah mengejutkan media yang hadir apabila dia telah menangis kerana terkilan dengan kejadian yang berlaku.

Bagaimanapun, Linda enggan meminta maaf dan akan tidak kisah jika dirinya disaman dan bersedia untuk bertemu dengan aktor tersebut di mahkamah.

Setelah mendengar nasihat daripada para penggiat seni, Fahrin menarik balik kes tersebut.

Artis: Nabil Raja Lawak (Ahmad Nabil Ahmad)Tarikh: 24 Februari 2010

Pelawak Nabil, 27, hampir disaman kerana mencemuh filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Penerbit filem tersebut, SDAF Pictures ingin menyaman Nabil sebanyak RM2 juta melalui syarikat guaman Hing & Alvin Advocate & Solicitor

Kes saman tersebut ditarik balik atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

KHALWAT

Artis: Aman ShahTarikh: 16 November 2010

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cinta Tak Seindah Yang Diucapkan, Aman Shah, telah ditangkap khalwat bersama pasangannya, iaitu seorang janda anak dua di Presint 15, Putrajaya. Ketika ditangkap, Aman Shah memberikan alasan mengunjungi wanita tersebut sempena Hari Raya Aidilfitri.

Penyanyi itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dan minta dibicarakan. Manakala, pihak Jabatan Agama islam Wilayah (Jawi) dan pendakwa raya telah bersedia mengemukakan fakta yang berkaitan dengan kes khalwat ini dan akan dibicarakan pada Januari tahun depan.

MASALAH RUMAH TANGGA

Artis: Rita RudainiTarikh: Sejak Februari 2008 hingga sekarang

Kisah masalah rumahtangga pelakon Rita Rudaini, 32, dan bintang bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, tidak pernah surut sejak pasangan itu berkahwin di Songkhla, Thailand.

Rita menjelaskan bahawa pergolakan rumahtangganya berlaku akibat campur tangan pihak ketiga iaitu keluarga Aidil sendiri yang kononnya cuba meleraikan ikatan perkahwinan mereka.

Hal ini membuatkan keluarga Aidil tidak senang dengan kenyataan Rita dan memberitahu sebenarnya Rita yang enggan berbaik semula dengan keluarga tersebut.

Kemudian Aidil menfailkan dua tuntuan iaitu hak penjagaan anak sulung mereka, Aidit Rayyan Rizqin dan perintah isteri kembali taat (nusyuk). Tindakan Aidil yang tidak dijangka itu membuatkan Rita terkilan dengan perbuatan suaminya itu.

Sehingga kini, pasangan itu belum menemui penyelesaian.

Artis: Jimmy Shanley (Jimmy Shanley Norjahan Saleh)Tarikh: 17 Disember 2010

Rumah tangga pengacara Jimmy Shanley,30, yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah lagi.

Pasangan tersebut mengambil pendekatan itu apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka. Difahamkan buat masa ini Jimmy tinggal di rumahnya di Subang Jaya manakala Nurshuhaila Eliani tinggal dengan keluarganya di Sungai Buloh, Selangor dan pasangan tersebut dikatakan dalam usaha untuk menyelamatkan rumah tangga itu mereka.

Jimmy dan Suhaila turut mendapatkan khidmat kaunseling bagi memulihkan keadaan tetapi setakat ini usaha tersebut tidak mencapai apa-apa perkembangan positif.

GADUH

Artis: Ammar Alfian AzizTarikh: 12 Mac 2010

Pelakon Tari Tirana, Ammar, meluahkan rasa tidak puas hatinya di laman sosial Facebook pada Jumaat, 5 Februari 2010, dengan melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada wartawan hiburan Malaysia di Facebook.

Ammar tidak berpuas hati dengan sikap jurugambar yang meminta kekasih hatinya, Puteri Sarah Liyana bergambar bersama Nabil semasa preview filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Keberanian Ammar akhirnya memakan diri apabila dia diboikot oleh wartawan hiburan.

Setelah diberi kaunseling oleh aktor Zed Zaidi selaku Biro Seniman Muda, artis bermasalah itu akhirnya akur dengan kesilapannya dan menuntut maaf kepada wartawan hiburan melalui sebuah sidang akhbar khas yang bertempat di Dewan Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Artis: Johan Raja Lawak (Mohd.Yazid Lim Mohamad Aziz)Tarikh: 13 Mei 2010

Pelawak, Johan Raja Lawak, 26, cedera di muka sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dibaling dengan gelas kaca oleh seorang pengarah drama, Javerd Nizar dalam satu pertengkaran di sebuah restoran di Taman Sri Pulai, Sikamat, Seremban.

Kejadian itu berlaku sewaktu Johan dan Javerd sedang berbincang mengenai sebuah projek drama yang membabitkan mereka berdua dan bagaimanapun ia bertukar menjadi sebuah pertelingkahan.

Tindakan mengejut Javerd yang membaling gelas tepat ke muka Johan memebuatkan pelawak itu mengambil tindakan menuntut ganti rugi RM1 juta dan Javerd dituntut agar meminta maaf secara terbuka.

Bagaimanapun Javerd telah mendiamkan diri dan Johan nekad untuk meneruskan saman terhadap pengarah itu.

Artis: Erma FatimaTarikh: 23 Oktober 2010

Penulis buku kisah Natrah, Fatini Yaacob dikatakan kurang menyukai karya pengarah Erma Fatima, 40, bagi pementasan teater Natrah tahun lalu.

Fatini tidak suka apabila Erma telah menonjolkan salib besar dalam beberapa babak pada teater tersebut dan ia dikatakan agak negatif untuk ditonton umum.

Kerana menerima kritikan berterusan, Erma hampir menarik diri daripada mengarahkan musim kedua teater tersebut dan kenyataan itu mengejutkan para pelakon yang sedang dalam latihan serta pihak Istana Budaya.

Selepas beberapa hari, pengarah itu menyedari dia tidak patut membiarkan pihak produksinya terkapai-kapai kerana tindakan yang dibuat itu.

CINTA/ KAHWIN

Artis: Zizie EzetteTarikh: 20 April 2010

Selepas kontroversi perkahwinan rahsia aktres Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, pada tahun lalu, pasangan itu menyambung kontroversi mereka apabila kedua-dua mereka mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur kerana berpoligami tanpa izin mahkamah.

Bagaimanapun, pasangan itu hanya dikenakan bayaran denda oleh pihak mahkamah.

Artis: Nabil/ Irma Hasmi/ UqashaTarikh: Oktober 2010

Setelah dua tahun menyulam cinta, aktres Irma Hasmie nekad membuat keputusan untuk memutuskan perhubungannya dengan pelawak Nabil akibat kecurangan Nabil yang berjaya dihidu Irma.

Kemudian, selepas beberapa hari kenyataan putus cinta Irma, muncul pula gambar-gambar mesra Nabil dan Uqasha yang tersebar di internet termasuklah gambar bercumbuan yang dikatakan mirip wajah mereka.

Bagaimanapun Nabil menegaskan bahawa, Uqasha tidak ada kaitan langsung dengan masalahnya dengan Irma. Sebaliknya Uqasha merupakan kenalan baru Nabil.

Artis: Fasha SandhaTarikh: 1 Julai 2010

Aktres kontroversi, Fasha Sandha, 26, akhirnya mengaku bercinta dengan bekas suami pelakon popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli pada sidang akhbar drama bersiri Duyong Aridinata.

Pasangan itu mula menjadi pasangan kekasih selepas peristiwa Rizal atau dengan panggilan nama Jejai membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter pada 17 Mei 2010.

Pengakuan itu diumumkan selepas Jejai dikatakan menerima gangguan SMS daripada aktres Tiz Zaqyah yang mengajaknya keluar sekitar jam 4 pagi.

Perselisihan faham antara Fasha dan Tiz dapat dihidu pihak media selepas Fasha menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu di laman Twitter miliknya.

Artis: Ayu OIAM (Norayu Damit)Tarikh: 23 April 2010

Juara One In A Million (OIAM) kedua, Ayu, 21, mengaku telah berkahwin dengan seorang duda, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, pada awal tahun lalu dan kini telah dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Nashrul Haikal.

Kehilangannya hampir setahun dari industri hiburan tanah air dikatakan Ayu hamil anak luar nikah tetapi Ayu menjelaskan dia senyap daripada kariernya kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan anaknya.

FILEM/TEATER

Artis: Dr. Rozmey (Datuk Dr Che Rozmey Che Din)Tarikh: Awal tahun 2010

Sejak kontroversi filem pertama penerbit filem 2 Alam, Dr. Rozmey, 42, yang dikatakan siap separuh jalan gara-gara penyingkiran pengarahnya, Hairie Othman dan digantikan dengan pengarah lain, ada saja kenyataan tidak logik yang dibuat oleh Dr. Rozmey yang juga merupakan tauke produk kurus badan, Jus Mate.

Pada mulanya penerbit itu meletakkan sasaran luar biasa terhadap filem sulungnya, 2 Alam untuk mencapai kutipan sebanyak RM12 juta.

Malah dia turut mengatakan bahawa dia tidak memerlukan Finas untuk menayangkan filemnya itu di pawagam. Bagaimanapun dia terpaksa akur dengan segala prosedur yang telah ditetapkan oleh Finas tentang hal-hal berkaitan dengan wajib tayang.

Kemudian, Dr Rozmey menukar sasarannya bahawa filem sulungnya itu akan berjaya meraih kutipan sebanyak RM40 juta.

Namun, selepas tayangan 2 Alam bermula dari 18 November lalu, kutipan filem tersebut hanya mampu mencapai RM430,000 dan sejak itu, Dr rozmey terus mendiamkan diri.

Artis: Fauziah NawiTarikh: 28 Sepetember 2010

Filem kisah hidup primadona Zaiton Sameon berjudul Zaiton-Ceritaku arahan Fauziah Nawi yang sudah siap penggambarannya dikatakan tidak berkualiti dan gagal memenuhi kriteria sesebuah filem oleh penerbit filem tersebut, Burhanuddin Md Radzi.

Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn Bhd memberitahu dia kecewa dengan mutu pengarahan Fauziah Nawi (gambar) dan berhasrat melakukan penggambaran semula keseluruhan filem berkenaan.

Bagaimanapun, Fauziah terus menyiapkan suntingan filem Zaiton-Ceritaku biarpun didakwa tidak berkualiti oleh penerbitnya

Artis: Zizan NinTarikh: 10 Disember 2010

Pelakon Zizan Nin tidak ditawarkan menyertai pementasan teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) musim kedua selepas pihak pengurusannya dikatakan menuntut bayaran yang tidak munasabah iaitu sebanyak RM40,000 untuk membawa watak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penerbit teater muzikal itu, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya terkejut apabila syarikat pengurusan artis tersebut, Aquila Emas, meminta bayaran sedemikian yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Zizan, Aquila Emas Sdn Bhd, memberi alasan pihaknya meminta bayaran setinggi itu kerana mahu menolak tawaran itu atas beberapa sebab.

Selain itu, pihak produksi teater muzikal itu mengeksploitasi Zizan dengan menjual poster, cekera padat lagu dan buku autograf teater yang pertama tanpa memberikan apa-apa royalti kepada pelakon itu.

Pelakon Baru, Sharnaaz Belum Sedia Bertanding


KUALA LUMPUR: Aktor Sharnaaz Ahmad, 25, belum bersedia untuk bertanding dalam apa-apa kategori dalam acara gah seperti Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada 24 Disember lalu.

Pelakon drama Tari Tirana, Dottie, Kum Kum dan Pontianak Kampung Batuini merasakan tahap lakonannya sejak lebih setahun lalu belum mencapaitahap yang melayakkan untuk bertanding.

"Saya tak boleh cakap bersedia untuk bertanding kerana semuanya bergantung kepada penonton yang menentukan.

"Selagi peminat mengatakan saya tidak layak untuk bertanding, saya tidak akan lakukan.

"Saya sentiasa meningkatkan mutu lakonan saya. Misalnya apabila saya menonton lakonan dalam drama Pontianak Kampung Batu, saya masih tidak berpuas hati kerana saya masih boleh lakukan yang terbaik," katanyakepada mStar Online.

Tambahnya: "Ikutkan saya boleh menangis dalam drama itu tetapi saya tidak menangis. Jadi, terus terang saya tidak bersedia lagi untuk bertanding."

Menurutnya, drama Pontianak Kampung Batu merupakan drama pertama lakonannya setelah dilamar oleh penerbit Box Lite Film Sdn Bhd.

Kini dia yang pernah bekerja sebagai eksekutif di syarikat hartanah ini telah melakonkan tujuh buah drama terbitan Box Lite.

Salah Faham Punca Maher Zain Tidak Muncul Di TV9


KUALA LUMPUR: Penyanyi Popular, Maher Zain mengakui terdapat salah faham antara pihak produksi rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9 dengan pihak pengurusannya menyebabkan dia tidak hadir ke program tersebut, Ahad lalu.

Justeru, Maher meminta maaf terhadap kekeliruan yang menyebabkan masalah berkenaan.

“Saya tidak tahu langsung yang saya perlu hadir ke TV9 pada hari Ahad lalu. Keesokkannya baru kami tahu tentang hal itu. Terdapat sedikit salah faham tentang tarikh yang sepatutnya saya hadir.

“Saya minta maaf kepada semua, saya tahu ramai yang kecewa dalam hal ini dan kami telah berjanji dengan pihak TV9 untuk menghadirinya pada minggu depan,” katanya selepas majlis sidang media Maher Zain Live In Concert 2011.

Kegagalan Maher hadir ke program NLKO itu menyebabkan slot temubual selama 17 minit bersamanya digantikan dengan slot lain.

Penyanyi yang baru sahaja membuat persembahan pada Malam Amal anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia itu bakal mengadakan konsert Maher Zain Live In Concert 2011 pada 25 dan 25 Februari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Konsert tersebut adalah sebagai penghargaan kepada peminat-peminat yang berada bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Brunei, Singapura, Indonesia dan Filipina.

“Saya memilih Malaysia kerana negara ini memberi sokongan kepada saya, bukan sahaja peminat tetapi juga media-media di sini.

“Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana diterima baik di negara ini. Saya juga menganggap Malaysia sebagai negara kedua saya,” katanya.

Dalam konsert tersebut Maher akan berkolaborasi dengan lebih 10 orang pemuzik antarabangsa termasuk kumpulan Inteam.

Segala maklumat konsert termasuk tiket yang berharga dari RM50 hingga RM200 akan diberitahu di laman web www.inteam.com.my dalam masa terdekat ini.

Bercerita tentang kerjaya, Maher memberitahu sedang dalam proses pembikinan album keduanya. Dia juga dalam proses merakam semua lagu Isha Allah versi Bahasa Malaysia.

“Saya akan keluar dengan album kedua tidak lama lagi. Dan lagu Insha Allah dalam Bahasa Malaysia, saya sudah melihat seni katanya dan masih belajar untuk sebutan yang betul,” ujar penyanyi yang dalam percutian di Malaysia bersama keluarga sehingga 1 Januari ini.

Ekin Jalani Rawatan Tradisional Untuk Dapat Anak


KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi popular Mawi, Nora' Asikin Rahmat atau Ekin, 30, memberitahu masih belum terdesak untuk menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dalam usahanya untuk mendapatkan zuriat.

Jelasnya, mereka masih terus berusaha untuk mendapatkan cahaya mata dengan menggunakan kaedah tradisional.

“Setakat ini saya memang sedang berusaha untuk mengandung tetapi melalui rawatan tradisional sahaja seperti urut tradisional dan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba.

“Namun begitu untuk melakukan kaedah tabung uji itu kami belum bersedia. Saya banyak dengar cerita tentang rawatan tersebut sangat sakit,” ujarnya yang pernah mengalamni keguguran sebanyak dua kali sejak berkahwin.

Pasangan yang bernikah pada 21 Disember 2008 itu juga memberi tempoh selama enam tahun untuk berusaha mendapatkan zuriat mereka sendiri.

“Kalau boleh memang saya ingin anak sekurang-kurangnya seorang pun jadilah. Insya-Allah jika enam tahun lagi masih tiada rezeki kami akan mengambil anak angkat.

“Dalam tempoh tersebut kemungkin kami lebih bersedia, yalah untuk ambil anak angkat juga memerlukan tanggung jawab yang berat sebab kita membela anak orang lain,” ujarnya.

Jelasnya, 20 Disember lalu genap dua tahun dia melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia bersama suami tercinta biarpun belum dikurniakan cahaya mata.

“Saya bersyukur Mawi memahami keadaan ini dan dia juga sentiasa memberi semangat kepada saya. Kami menyerahkan kepada Allah mengenai anak,” ujarnya.

Gambar Cium Tersebar, Julie Woon Beri Penjelasan


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Julie Woon, 26, (gambar) menolak tuduhan kononnya dia mengamalkan hubungan sejenis lesbian berikutan penyebaran gambarnya sedang bercium dengan seorang wanita di internet.

Mengaku wanita dalam gambar tersebut adalah dirinya, pengacara 8TV Quicky itu malu dengan penyebaran gambar tersebut dan menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Saya dapat tahu tentang gambar itu daripada rakan saya, Qi dan tak tahu siapa yang menyebarnya.

"Apa-apa pun diakui itu adalah saya dan gambar tersebut diambil ketika di zaman sekolah. Ia berlaku secara tidak langsung dan suka-suka sahaja bersama kawan-kawan wanita saya. Di sini saya ingin menegaskan yang saya bukan lesbian.

"Kerana gambar itu juga, saya sudah dicop sebagai wanita lesbian dan ramai wanita lesbian yang mula menghantar SMS kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Julie, dia kesal dengan perlakuannya itu dan ia sebagai peringatan untuknya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya pun tak tahu apa yang saya fikirkan ketika perkara itu berlaku kerana ia agak melampau walaupun ia sekadar suka-suka sahaja.

"Perkara itu membuatkan saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang baik dari segi pemakaian, percakapan serta cara pengambilan gambar kerana sebagai seorang selebriti, masyarakat akan melihat baik buruk saya," jelasnya.

Sementara itu, Julie yang telah putus cinta dengan pelakon Blogger Boy, Qi atau Qushairi Razali, pada Mei lalu kini masih lagi belum menemui cintanya.

Katanya dia kini ingin fokus dengan karier pengacaraannya dan pada tahun depan, Julie akan aktif berlakon semula.

"Saya ada keluar dengan seseorang tetapi belum ke tahap serius lagi. Tapi saya masih berkawan baik dengan Qi. Tambah pula kami merupakan rakan perniagaan bagi syarikat kami, Popcorn Studio bersama seorang lagi rakan kongsi lain.

"Memang ada beberapa isu yang membuatkan kami tidak boleh bersama tapi kami mempunyai keserasian dalam berkawan," katanya.

Album Aqasha tertangguh


SELEPAS memilih tarikh bersejarah 10 Oktober 2010 (10.10.10) untuk mengabadikan hari bahagianya bergelar suami, pada 25 Disember lalu pula, pelakon dan penyanyi, Firdee Akasha Rosli atau Aqasha, 28, selamat diraikan dalam majlis persandingan yang meriah.

Di samping isteri tercinta, Nur Baizura Mohd Sabri, 27, resepsi bagi pihak pengantin lelaki itu berlangsung di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam.
Bahkan, seperti diharapkan Aqasha, ia dihadiri keluarga, sanak-saudara dan kenalan rapat.

Memilih gabungan warna putih dan kuning, Aqasha nyata cukup gembira kerana majlis resepsi yang ditunggu dan dirancangnya selama ini akhirnya terlaksana.
Malah, dua hari selepas majlis persandingan mereka iaitu semalam Isnin, Aqasha dan isteri ke Australia.

Menurut Aqasha, dia dan Baizura memilih negara yang sinonim dengan kangaru itu sebagai destinasi bulan madu mereka.

Katanya, sepanjang berada di sana, mereka akan menjelajah seluruh bahagian timur Australia bermula di Perth.

“Ia pengalaman kami impikan berdua. Sebelum pergi berbulan madu, penting untuk saya mengadakan majlis resepsi di sebelah pihak pengantin lelaki.

“Malah, saya memang memilih cuti umum sempena sambutan Hari Natal ini supaya seluruh anggota keluarga dapat berkumpul.

“Saya tahu persandingan ini agak lewat diadakan, tetapi tak mengapa asalkan semua keluarga dan sanak-saudara sama ada jauh atau dekat dapat bersama. Tidak terkecuali, kenalan rapat yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Jujurnya, saya seorang lelaki yang sangat mementingkan kehadiran keluarga. Bahkan, saya ada seorang bapa saudara yang belayar di laut. Jadi, persandingan saya memang harus dibuat pada hujung tahun ini untuk membolehkan dia hadir.

“Keutamaan saya pada kehadiran keluarga nampaknya membuahkan hasil kerana memang ramai yang hadir. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan semua pihak terbabit dalam menjayakan majlis ini. Selepas selesai, bulan madu pula,” katanya.

Baizura yang bertugas di Astro@15 (saluran 109) berjaya bertakhta di hati aktor filem Embun dan drama popular, Mentua vs Menantu itu.

Kata Aqasha, dia terpikat dengan Baizura kerana sikap isterinya yang mudah berurusan dan tidak suka besarkan perkara remeh.

“Hidup saya lengkap de�ngan kehadiran Baizura di sisi. Dia seorang yang sangat memahami dan menghormati saya. Dua bulan kami bersama, mudah saya berurusan hidup dengannya. Baizura, seorang isteri yang baik dan mampu menguruskan rumah tangga.

“Apapun, buat masa kami masih belum dikurniakan cahaya mata. Barangkali, selepas balik daripada berbulan madu dan terserah kepada Yang Maha Esa. Apa yang pasti, kami tidak merancang untuk mendapatkan anak dan sekiranya cepat syukur Alhamdulillah,” katanya.

Menyentuh soal majlis pernikahannya yang diadakan secara sederhana, Aqasha berkata dia lebih mengutamakan kehadiran keluarga dan menghormati bapa mentuanya.

Pasangan sejoli ini diijab�kabulkan di Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan tema perkahwinan dalam taman pada Oktober lalu.

Pada majlis itu juga, Baizura menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 dan hantaran pula 13 dulang berbalas 11.

Menyorot perkenalan dan jalinan bibit cinta yang terjalin antara Aqasha dan Baizura, ia bermula pada pertemuan tak terduga sekitar 2008 ketika hadir di majlis pertemuan semula rakan mereka.

Dua tahun berkenal mesra, mereka bertunang pada 23 Mei lalu.

Pasaran album Aqasha ditangguh

PERNAH memaklumkan dia akan kembali ke pentas nya�nyian semula dengan album terbaru berbentuk EP berjudul Qashanova yang dijangka berada di pasaran November lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan Aqasha kerana dia sibuk dengan perkahwinannya.

Ujarnya, album itu kemungkinan berada di pasaran pada sekitar Februari 2011 pula.

Ini kerana semua urusan penting sudah selesai.

Menurut Aqasha, dia terlalu sibuk dengan urusan majlis perkahwinannya hingga tiada masa untuk album itu.

“Album baru saya ini sudah siap sepenuhnya dan hanya belum dipasarkan saja lagi.

“Saya harus membuat perancangan teliti dan tidak boleh terburu-buru. Bagi saya, adalah lebih baik memberi ruang menguruskan majlis perkahwinan ini lebih dulu.
“Tidak dinafikan, saya sa�ngat teruja dengan penghasilan album ini. Akhirnya, harapan untuk muncul dengan album baru menjadi kenyataan.

“Ditambah lagi, peranca�ngan untuk album ini sudah saya lakukan agak lama dan kini masa yang sesuai,” katanya.

Sebelum aktif berlakon, nama Aqasha pernah tercatat di pentas seni sebagai penyanyi dan popular dengan lagu Cahaya Hati di bawah naungan syarikat rakaman
Suria Records. Bagaimanapun, akhirnya bakat lakonan Aqasha yang lebih menyerlah.

“Saya gembira harapan untuk muncul dengan album lagi nampaknya betul-betul terjadi. Selepas tujuh tahun menyepi, rezeki saya dalam nyanyian masih ada. Enam lagu ciptaan saya dimuatkan dalam album ini dan ia diterbitkan di bawah label, StarMount Records.

“Album ini berkonsepkan pop kontemporari. Malah, single pertama akan dipertaruhkan nanti ialah lagi Disco Cinta Travolta.

“Lagu lain pula ialah Obsesiku, Cantik, Cinta Romeo Kita, 1,2,3,4 dan Rhapsody Kekasih. Syarikat StarMount Records milik rakan saya.

“Kami memang sepakat menghasilkan projek album ini dalam bentuk EP. Harapan saya sangat tinggi dan semoga peminat sedia menunggu dan menerima konsep yang pertama kali saya perkenalkan ini. Harapnya ia dapat dinilai dengan pemikiran terbuka,” katanya.

Dalam perkembangan lakonannya, Aqasha berkata, dia sibuk berlakon kerana menerima banyak tawaran. Apapun, katanya, dia terikat dengan lakonan di bawah arahan Erma Fatima selepas ini.

Bahkan, Aqasha juga selesa berlakon drama berbanding filem.

Kejayaan Muallaf tebus kecewa


SEDARI awal lagi, filem Muallaf yang diarahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad dilihat sebagai calon utama untuk mendominasi Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) yang baru sahaja melabuhkan tirainya malam Jumaat lalu.

Dengan kemenangan filem tersebut yang merangkul tiga trofi iaitu Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik (Yasmin Ahmad) dan Pelakon Filem Wanita Terbaik (Sharifah Amani), mungkin ia dapat menutup mulut beberapa pihak yang selama ini kurang senang dengan filem itu.

Pastinya, filem Muallaf dilihat sebagai penebus kekecewaan untuk filem itu sendiri yang ditolak mentah-mentah daripada menyertai Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang baru lalu.

Alasan utama yang diberikan oleh panel juri yang bijaksana ketika itu adalah apabila Muallaf dikatakan tidak layak untuk dipertandingkan atas alasan penggunaan bahasa Inggeris sebagai perantara utama filem itu.

Tidak mengapalah. Mereka pun memang cukup bijak dalam menilai karya yang dirasakan paling layak untuk diangkat sebagai yang terbaik. Muallaf pun bukannya tewas di pentas FFM23. Buktinya, menang juga sebuah trofi atas tiket Anugerah Khas Juri.

Apabila melihat filem Muallaf sebagai antara 25 buah filem yang layak bertanding dalam ASK2010, ramai melihat Muallaf sebagai peluang terbaik untuk filem itu menyerlah dalam anugerah yang dianggap paling berprestij abad ini.

Biarpun dicerca dan dihina oleh sesetengah pihak yang mungkin ada sentimen peribadi terhadap Yasmin dan juga terhadap filem Muallaf itu sendiri, sememangnya sudah ditetapkan rezeki tetap berpihak kepada arwah.

Cuma sedihnya apabila arwah tiada untuk naik ke pentas dan menerima trofi Filem dan Pengarah Filem Terbaik yang julung kalinya dimenangi olehnya.

Pernah beberapa kali tercalon sebelum ini, nampaknya, rezeki masih belum berpihak kepada Yasmin tetapi dengan kemenangan Muallaf pada tempoh hari, ia diibaratkan sebuah penutup yang begitu indah buatnya.

Ditambah pula dengan kemenangan Yasmin di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-54 baru-baru ini, melengkapkan mimpi indah itu tersemat rapi dalam diari hidup Yasmin.

Barangkali akan ada yang beranggapan, tulisan ini berbaur personal tetapi apabila difikirkan kembali kemenangan Muallaf, memang tidak syak lagi karya hebat itu memang benar layak untuk diangkat sebagai juara.

Bukanlah filem-filem lain yang tercalon dalam lima senarai terbaik iaitu Papadom, Evolusi KL Drift 2, Pisau Cukur dan Setem tidak bagus. Mungkin tahun ini barisan juri yang bertauliah memutuskan untuk mencari kelainan, pembaharuan dan keberanian dalam sesebuah karya itu.

Mungkin akan ada yang bertanya apa yang hebat sangat tentang filem Muallaf kerana ada sesetengah yang sudah menontonnnya merasakan ia tidak ubah seperti filem Yasmin yang lain iaitu Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime.

Kalau dikaji secara mendalam cerita yang diketengahkan dalam Muallaf, ia memang sebuah karya yang cukup mencabar minda. Benar, bukan mudah bagi masyarakat dan penonton tempatan untuk menghargai atau menikmati filem yang seberat itu.

Tetapi, setidak-tidaknya, Yasmin telah mengorak langkah dengan memperkenalkan sebuah filem bercorak seperti itu sebagai indikator bahawa sebenarnya industri perfileman kita yang masih 'bayi' ini memerlukan sebuah karya yang dapat mencabar minda masyarakat.

Mengapa perlu melihat subjek kepetahan dua beradik, Rohani (Sharifah Amani) dan Rohana (Sharifah Aleysha) yang sering membincangkan tentang agama sebagai sesuatu yang provokatif seperti yang didakwa segelintir pihak?

Mengapa tidak sahaja menyelami apa yang dituturkan itu sebenarnya merupakan tunjang utama kepada keseluruhan jalan cerita Muallaf yang membicarakan tentang kemaafan.

Tahniah kepada panel juri yang bijak membuat pilihan tepat dengan memilih Muallaf sebagai Filem Terbaik. Tetapi, kemenangan Muallaf juga sebenarnya tidak mampu untuk menutup mulut orang ramai daripada terus membuat telahan dan andaian masing-masing.

Pasti akan ada yang berkata Muallaf menang kerana TV3 yang sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan Yasmin. Dan percayalah, tidak kurang juga akan ada yang mencanang dengan mengatakan kemenangan Mullaf adalah sebagai memberi penghargaan kepada pengarahnya yang sudah pergi dan tiada lagi di muka bumi untuk meneruskan perjuangannya sebagai seorang sutradara.

Yasmin sendiri sebelum ini pernah memberitahu, dia membikin filem bukan untuk mengejar anugerah tetapi mahu berkongsi cerita dan kasih sayang yang diterapkan dalam filem-filemnya.

Kalau dia seorang yang kemaruk anugerah, pasti dia akan membuat bising seandainya setiap kali dia tewas dalam mana-mana festival filem waima di negara sendiri mahupun di luar negara.

Sampai bila masyarakat harus disogokkan dengan karya yang murah, picisan dan sekadar memberi hiburan kosong semata-mata.

Kalau diperhatikan kepada 25 buah filem yang layak bertanding dalam ASK2010, filem yang benar-benar berkualiti hanya boleh dibilang dengan jari.

Itupun bukan dalam konteks berkualiti yang dapat mencapai tahap piawaian seperti mana piawaian yang ditetapkan oleh Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM).

Sebetulnya matlamat utama ASK adalah untuk menghargai anak seni dalam bidang penerbitan drama tetapi apabila ASK membuka pintunya untuk karyawan filem, secara tidak langsung ia juga sesuatu yang cukup penting dan wajar diberi pembelaan selayaknya.

Itulah keunikan ASK yang tidak bersifat prejudis dan membuka pintunya kepada semua anak seni untuk sama-sama bertanding serta bersaing secara sihat di dalam industri.

Biarlah karya itu bertutur dalam pelbagai bahasa sekali pun. Tetapi jika ia sebuah karya yang berkualiti dan baik, tidak salah untuk ia diiktiraf dan dijulang sebagai juara.

'Kehilangan' Once sukar diganti


KHABAR yang bertiup kencang mengatakan vokalis utama Dewa 19, Once menarik diri daripada kumpulan itu telah pun disahkan sendiri oleh ketuanya, Ahmad Dhani.

Kehadiran Ahmad Dhani ke Malaysia atas tiket untuk menjayakan Konsert Ria 2010 di I-City, Shah Alam baru-baru ini sememangnya dinantikan media tempatan untuk mendapatkan kepastiannya selaku ketua Dewa 19.

Bagaimana pun, pengunduran penyanyi lagu Dealova itu atau nama sebenarnya Elfondra Mekel tidaklah begitu mengejutkannya malah ia disambut dengan senyuman penuh makna.

Ditanya adakah berlaku perselisihan faham antara Once dengan anggota Dewa 19 yang lain, Ahmad Dhani cuma membalas soalan itu dengan gelengan kepalanya. Tiada satu pun kata-kata yang menafikannya mahupun mengiyakannya.

Seolah-olah, bekas suami kepada Maia itu tidak mahu berkongsi apakah masalah sebenar yang berlaku di sebalik berita eksklusif yang diterima oleh media Malaysia itu.

Menurut Dhani, dalam kandungan surat perletakan jawatan tersebut, Once hanya menyatakan bahawa dia agak jenuh dengan kumpulan tersebut dan ingin fokus dengan projek solonya selepas ini.

"Itu sahaja yang boleh saya beritahu. Selain itu, biarlah saya sendiri dan anggota kumpulan saya yang tahu.

"Kami harap dia berjaya di masa akan datang. Lagipun, album solonya sebelum ini sukses," katanya ringkas mengenai hal itu.

Bagaimana pun, Ahmad Dhani tetap meluahkan rasa kecewanya kerana memikirkan untuk mencari pengganti kepada Once.

Jujur katanya, dia pasti ada peminat yang kecewa dengan hal ini dan kredibiliti Once selaku pemuzik cukup susah untuk dicari ganti.

"Kami sedang mengadakan sesi uji bakat untuk mencari pemuzik persis Once sejak awal tahun lalu.

"Sehingga sekarang, masih belum ada lagi yang mampu menyaingi bakat Once. Saya akui, dia memang hebat.

"Memandangkan Once sudah menarik diri secara rasminya, Dewa 19 merancang untuk bekerjasama dengan stesen televisyen Indonesia untuk menerbitkan sebuah program realiti yang mencungkil bakat-bakat pemuzik tempatan.

"Saya harap, program itu nanti dapat membantu kami untuk mencari pengganti Once," terangnya dalam satu sidang akhbar yang diadakan sebelum dia muncul menghiburkan 25,000 pengunjung konsert itu.

Sebelum menamatkan sesi sidang akhbar tersebut, akhirnya Ahmad Dhani terbuka untuk berkongsi sedikit hal yang berlaku antara Once dan Dewa 19.

"Sebenarnya sudah lapan bulan kami tidak bercakap dan kali terakhir kami membuat persembahan bersama ialah pada Ogos lalu.

"Sepanjang lapan bulan itu, kami sekadar bekerja secara profesional di mana bila di belakang pentas, kami duduk berasingan, tetapi bila di atas pentas, kami membuat persembahan bersama," cerita Ahmad Dhani kepada pemberita.

Dalam pada itu, tambah Dhani, dia tidak kisah dengan kekurangan dan penambahan ahli dalam kumpulan itu kerana menganggap Dewa 19 sebagai tempat untuk ahli-ahlinya berhibur.

Terang Ahmad Dhani, kumpulan itu bukanlah platform buat anggotanya untuk mencari pendapatan tetap memandangkan masing-masing mempunyai projek tersendiri termasuklah dirinya yang juga mempunyai band sendiri iaitu TRIAD (The Rock Indonesia Ahmad Dhani).

Pada malam Konsert Ria 2010 itu, selain membuat persembahan bersama TRIAD, Ahmad Dhani turut tampil bersama anak-anaknya, kumpulan The Lucky Laki menerusi lagu Munajat Cinta.

Manakala bersama TRIAD pula, penyanyi itu membawakan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi, Madu Tiga, Pangeran Cinta, Sedang Ingin Bercinta, Aku Cinta Kau dan Selir Hati.

Selain Ahmad Dhani, konsert yang berlangsung selepas hujan berhenti itu turut membabitkan ramai artis tempatan demi meraikan penonton setia rangkaian Astro terutamanya saluran Ria.

Antara artis yang turut menjayakannya ialah Black, Meet Uncle Hussein, M. Nasir, Misha Omar, Datuk David Arumumugam, Anuar Zain, One Nation Emcees, Mawi, Aril, Stacy, Hafiz, Azlan & The Typewriter, Aizat, Tilu dan ramai lagi.

Pintu Kedai Pecah, Peminat Serbu Justin Bieber


PENYANYI remaja popular, Justin Bieber (gambar) dikerumuni peminat ketika berada di sebuah pusat beli-belah di negara kElahriannya, Kanada.

Menurut femalefirst, dalam kejadian Sabtu lalu, Bieber yang popular menerusi lagu The Baby itu mahu meraikan hari Krismas dengan membeli belah di Fairview Mall, Kitchener, Ontario tetapi hasratnya itu terganggu apabila sekumpulan gadis mengerumuninya di sebuah kedai yang dikunjunginya.

Akibat keadaan yang tidak terkawal itu Bieber terpaksa meninggalkan kedai berkenaan dengan segera untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Keadaan peminat yang ramai itu membuatkan pintu kaca kedai berkenaan turut pecah sehingga Bieber diarahkan keluar oleh pihak keselamatan,” kata sumber.

Selain itu pengurs kedai berkenaan juga mengaku telah meminta Bieber supaya tidak berada di kedai tersebut agar kekacauan yang berpunca daripada peminatnya itu tidak terus berpanjangan.

'Ustaz Amirul' Papar Kisah Ustaz Berpoligami


AMPANG: Ustaz Amirul, drama terbaru di slot Zehra menampilkan seorang ustaz yang hidup dalam dilema dalam percintaan sehingga dia memilih untuk hidup berpoligami.

Bagi pengarahnya, Ahmad Idham, drama Ustaz Amirul cuba merungkai tentangkisah hidup seorang ustaz dari kaca matanya sebagai seorang manusia biasa.

"Biasanya kita melihat ustaz sebagai seorang yang baik dan alim tetapibagaimanapun seorang ustaz tidak boleh lari dari nafsu dan perasaancinta.

"Jadi saya cuba menyampaikan cerita tentang kisah cinta seorang ustaz yang dalam dilema kerana mencintai dua orang wanita," katanya semasa sidang media pelancaran drama itu di Restoran Istana Bambu, di sini, Selasa.

Menurut Idham, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyunting Ashraf Muslim melakonkan watak Ustaz Amirul.

Idham tekad mengambil Ashraf untuk memegang watak utama itu dan sanggup menunggu sehingga pelakon itu betul-betul mempunyai masa terluang.

Ini kerana Idham berasa yakin watak itu hanya layak dibawakan oleh Ashraf selain permintaan daripada pihak TV3 sendiri.

"Saya dah lama bincang dengan Ashraf tentang cerita ini dan setelah dia bersetuju, baru kita memulakan penggambaran," ujarnya lagi.

Drama ini akan disiarkan di TV3 mulai 7 Januari ini, setiap Jumaat pukul 9 malam.

Ustaz Amirul, sebuah drama rantaian terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd yang skripnya ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim.

Drama ini membawa penonton menyelami perjalanan emosi seorang ustaz yang dicabar oleh pelbagai rintangan dan dugaan realiti, cinta, keluarga dan diri-sendiri.

Selain Ashraf, turut membintangi drama ini adalah Eira Syazira, Siti Saleha, Lydiawati, Safura, Kuna, Zarynn Min, Fauzi Nawawi dan Zoey Rahman.

SOROTAN 2010 : Pergi Tinggalkan Nama, Jasa Tidak Dilupa


PETALING JAYA: Agak mengejutkan apabila orang yang di sayang meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang hidup pastikan mati… itu adalah janji tetapi perginya mereka, sedikit pun tidak di lupa.

1. AHMAD C ( Lahir 1932 - 14 Januari 2010)

Pelakon veteran, Mohamad Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Ahmad C meninggal dunia pukul 12 tengah hari di Hospital Kota Tinggi, Johor Bahru akibat masalah jantung yang dialaminya sejak dua tahun lalu.

Antara filem yang pernah mengangkat namanya sebagai pelakon berbakat ialah Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Abu Hassan Penchuri, Ibu Mertuaku, Ali Baba Dan 40 Penyamun, Raja Bersiong dan banyak lagi.

Beliau juga pernah menganggotai kumpulan Panca Sitara 1 dan 2 sekitar tahun era 50-an bersama P Ramlee, Kassim Masdor, Aziz Jaafar dan Normadiah.

2. LYANA SAMSUDIN (Lahir 1978 – 20 Januari 2010)

Adik kepada aktres Zarina Zainuddin, Lyana Samsudin, 32, meninggal dunia di rumah ibunya di Ipoh, Perak pukul 11 pagi akibat penyakit misteri.

Lyana adalah seorang ahli perniagaan dan juga bekas pelakon di era 90an. Allahyarham pernah membintangi filem Panggilan Pulau (1994) arahan Ahmad Fauzee.

Selepas mengundurkan diri daripada bidang seni, Lyana dan ibunya bergiat aktif dalam perniagaan jamu.

3. DR. ANUAR NOR ARAI (Lahir 1943 - 21 Januari 2010)

Dr. Anuar Nor Arai, 66, merupakan seorang pengkaji filem dan pengarah yang pernah mencipta sejarah dalam bidang perfileman tanah air kerana mengarah filem dengan durasi terpanjang selama lima jam berjudul Johnny Bikin Filem. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.25 petang di Pusat Perubatan Selangor kerana menghadapi komplikasi paru-paru di sisi isterinya, Zahrah Ibrahim serta tiga anaknya iaitu Mazura, 39, Zuraira, 37, dan Ifa Mutiara, 36.

Selain aktif menulis skrip dan mengarah filem sejak tahun 1980-an, Allahyarham atau nama sebenarnya Anuar Mohd. Nor @ Arai juga merupakan Timbalan Rektor di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

4. AHMADI HASSAN (Lahir 1947 - 17 Februari 2010)

Penyanyi nasyid era 70-an, Ahmadi Hassan, 63, meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru di sini kira-kira pukul 6 petang akibat penyakit buah pinggang.

Beliau dikenali ramai dengan panggilan Pak Chat iaitu watak yang dipegangnya menerusi drama radio yang begitu popular pada 70-an, Fajar Di Bumi Permata.

Allahyarham berasal dari Padang Menora, Seberang Perai, Pulau Pinang, meninggalkan tujuh anak menerusi dua perkahwinannya serta lima cucu.

5. YANIE MENTOR (14 November 1985 - 21 Mac 2010)

Penyanyi Siti Suriane Julkarim atau dikenali sebagai Yanie, 25, meninggal dunia pada pukul 1.15 tengah hari di Hospital Keningau, Sabah akibat ketumbuhan paru-.paru.

Allahyarhamah menderita sakit tersebut sejak dikesan pada Disember 2009 dan dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan rapi pada Februari lalu.

Yanie merupakan pemenang tempat ke-3 musim pertama Mentor telah berkahwin pada November 2007 dengan Irfin Abdul Manan dan meninggalkan seorang anak bernama Iris Sofea Irfin berusia 2 tahun.

6. DIN BERAMBOI (22 Disember 1966 - 2 April 2010)

Pelawak Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad Meor Badri,44, meninggal dunia pada 2 April 2010 pukul 4.30 pagi di Hospital Selayang akibat demam denggi berdarah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu bernama Suhaini Che Man dan tiga orang anak, iaitu Nil Aina Adibah, 18, Mior Shafiq, 12, Nir Aina Syuhada,6.

Din Beramboi disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 malam di Hospital Selayang selepas dimasukkan ke ICU kerana penyakit itu.

7. ACHIK SPIN (1 Julai 1982 - 17 April 2010)

Artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas).

Allahyarham yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas setelah melanggar papan tanda dan beliau meninggal dunia di tempat kejadian sebelum api marak membakar kereta MPV yang dipandu Achik ekoran kejadian malang itu.

Achik meninggalkan seorang balu, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, dan dua orang cahaya mata, Puteri Saffiya, 3. dan Puteri Sofia 10 bulan.

8. SITI ROHANI WAHID (Lahir 1957 - 11 Julai 2010)

Siti Rohani Wahid 53, yang juga isteri kepada pengarah, M. Jamil, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya.

Menantu pelakon wanita veteran popular, Datuk Sarimah Ahmad ini meninggal dunia akibat kanser payu dara.

Allahyarhamah membintangi beberapa buah filem, Sepi Itu Indah, Jauh Di Sudut Hati, Bujang Selamat, Gila-Gila Remaja, dan Momok The Movie.

9. MARIAM BAHAROM (Lahir 1935 – 9 Ogos 2010)

Seniwati filem Melayu tahun 50-an, Mariam Baharum 75, iaitu ibu kepada penyanyi terkenal Singapura, Rahimah Rahim meninggal dunia di rumahnya, Yishun, Singapura.

Mariam, bekas pelakon veteran di Studio Malay Films Production di Jalan Ampas, meninggal dunia kerana sakit tua.

Mariam pernah berlakon dalam filem seperti “Aloha” (1950), “Dewi Murni” (1950), “Kembar” (1950), “Aladdin” (1952), “Kipas Hikmat” (1955), “Abu Hassan Penchuri” (1955) dan “Antara Dua Darjat” (1960).

10. M.RAFIEE (Lahir 1924 – 16 September 2010)

Pelakon M. Rafiee Haji Khair, meninggal dunia 7.51 malam pada 16 September selepas lebih seminggu dirawat kerana sakit tua di Hospital Besar Changi (CGH).

Beliau pernah membintangi filem Madu Tiga dan Seniman Bujang Lapok bersama Allahyarham P. Ramlee. M.Rafee juga diingati dengan ayat '... kesian... kesian.. kesian' dalam filem Madu Tiga.

11. M.RAJOLI (26 Jan 1988 - 17 September 2010)

Pelakon veteran M. Rajoli, 65, yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor selepas dimasukkan ke hospital itu petang Khamis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.45 malam, Jumaat, di sisi isterinya Hassimah Mat Din dan anak bongsunya, Mohd. Arif.

Bagaimanapun terdapat sedikit persengketaan antara isteri pertamanya Hassimah Mat Din dengan isteri kedua Wan Chik Daud yang menjadi kontroversi.

12. YUSOF CHONG (Lahir 1947 - 5 September 2010)

Pelawak dan pelakon veteran terkenal, Yusof Chong, 63, meninggal dunia di Hospital Selayang dekat sini, kira-kira 3.30 petang Ahad akibat komplikasi penyakit, termasuk sakit jantung dan darah tinggi.

Allahyarham dirawat di hospital itu sejak lima hari lepas setelah mengalami komplikasi penyakit tersebut.

13. YALAL CHIN ( Lahir 1943 -16 Oktober 2010)

Pelakon dan dramatis terkenal, Yalal Chin, 67, meninggal dunia kerana sakit jantung dan komplikasi pendarahan dalam otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada pukul 12.15 pagi, Sabtu.

Yalal Chin atau nama sebenarnya Yalal Abu Chin, 67, meninggalkan seorang balu iaitu Suriani Mohd Yusof.

14. SHAMRIN FOTOGRAF ( Lahir 1965 - 11 November 2010)

Penyanyi Shamrin (gambar) atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad,45, dari kumpulan Fotograf meninggal dunia petang, Khamis.

Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang.

15. TONY CASTELLO (Lahir 1946 - 13 Disember 2010)

Pelakon filem Anakku Sazali, Tony Castello atau nama Islamnya Mohd Nor Abdullah, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang, Isnin di Hospital Changi, Singapura.

Pelakon yang terkenal dengan watak Sazali dalam filem itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi, Chua Chu Kang, Singapura.

Tony meninggalkan tiga anak, seorang hasil perkahwinannya dengan wanita Amerika Syarikat manakala dua lagi dengan wanita Singapura. Manakala seorang isteri warga Filipina.

Semoga mereka ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan tentu sekali nama mereka tetap segar dalam ingatan kita buat selama-lamanya. Al-fatihah.

Hikmah Azma Aizal Selepas Ambil Dadah


KUALA LUMPUR: Pelakon Azma Aizal Yusof, 28, atau sebelum ini dikenali sebagai Isma tidak kesal dengan sejarah hitamnya yang pernah terjerumus dengan najis dadah beberapa tahun lalu.

Beritahu Azma, dia percaya kehidupannya dengan dadah sebelum ini pasti ada hikmah di sebaliknya kerana ia mampu menjadikan dia lebih matang.

Malah Azma tidak malu untuk berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan mahupun masyarakat di sekeliling yang ingin menjadikan kisahnya sebagai iktibar.

"Kini, hidup saya lebih sempurna. Sudah setahun saya bersih dari dadah dan saya langsung tidak menyesal dengan apa yang telah kerana ia mempunyai hikmah buat saya.

"Sebelum ini saya pernah rasa gagal dan ingin berhenti daripada dunia seni. Tetapi saya cuba bangkit dari kegagalan hidup dan ingin menjadi manusia yang lebih berguna.

"Alhamdulillah, kini saya lebih sihat dan mengabdikan diri kepada Tuhan agar tidak lagi lalai seperti dulu.

"Mungkin pada ketika itu saya rasa muda dan kononnya ingin tunggu seru, tapi sebenarnya salah tanggapan itu kerana kita sebagai seorang manusia yang perlu mengejar seru untuk hidup lebih positif dan matang," katanya yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki terbaik menerusi drama Antara Garisan dalam Anugerah Skrin 2010 (ASK) pada 24 Disember lalu.

Tambah Azma, dia mungkin akan menghasilkan sebuah drama berkisarkan tentang kehidupannya yang lepas agar dapat dipertontonkan kepada masyarakat untuk dijadikan pengajaran.

Malah anak kelahiran Kuala Lumpur itu ingin berkongsi penderitaannya sepanjang pengambilan dadah yang sering tidak cukup wang pada ketika itu.

"Sebagai seorang pengarah, apa yang berlaku pada diri saya sebelum ini agak menarik untuk dijadikan sebagai sebuah drama kerana terlalu banyak perkara yang telah saya lalui.

"Saya ingin visualkan apa yang saya rasa dan apa yang saya pelajari, di mana pada masa yang sama juga saya ingin dikelilingi oleh orang yang berfikiran positif agar dapat naikkan semangat saya.

"Selain itu, saya juga mula berzakat," selorohnya yang bakal mengarah drama berjudul Kashaf Imani sempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Sementara itu, kejayaan Azma meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama ternyata menggembirakannya dan kemenangan itu dijadikan sebagai pembakar semangat pelakon itu untuk menjadi anak seni yang lebih kreatif.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails