Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan proses yang mudah


NAMPAKNYA rezeki buat aktor dan pengacara Ashraf Sinclair di negara seberang setelah bernikah dengan penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari semakin melimpah.

Selepas setahun hidup bersama Bunga apabila menikah pada 8 November 2008, Ashraf semakin selesa menetap serta mencari rezeki di Indonesia.

Namun, ada khabar angin sepoi-sepoi bahasa yang mendakwa lelaki berusia 30 tahun itu bakal menukar kewarganegaraannya dan menjadi warga Indonesia. Berita ini pastinya mengecewakan banyak pihak terutama peminat Ashraf di Malaysia. Kenapa sampai perlu menukar kerakyatan? Itu tanya mereka.

Meskipun ketika dihubungi Kosmo! Ashraf sedang sibuk menjalani penggambaran sinetron Cinta dan Anugerah, dia masih sempat melayani setiap soalan yang diajukan.

Sedikit terkejut dengan persoalan yang diajukan, menurut Ashraf berita kononnya dia mahu menukar status kewarganegaraan hanyalah khabar angin semata-mata selain bukanlah satu proses yang mudah.

"Sekarang saya memang kerja di sini (Indonesia). Saya masih menggunakan pasport Malaysia. Kalau mahu tukar kerakyatan negara perlu tinggal sehingga lima tahun. Saya baru setahun menetap di sini, maknanya saya perlu menunggu empat tahun lagi kalau mahu membuat permohonan.

"Tetapi saya tidak pernah memikir atau merancang untuk menukar kerakyatan. Bagaimana pun dalam masa lima tahun macam-macam boleh jadi. Jadi jawapannya saya tidak mahu mengiya atau menidakkan kerana masa depan kita tidak pernah tahu apa akan terjadi," ujarnya yang fasih bertutur dalam bahasa Indonesia.

Walau apa yang dihebohkan orang di luar sana Ashraf selesa dan gembira dengan apa yang dimiliki hari ini. Isu status kerakyatannya bukanlah perkara utama kerana paling penting Ashraf berbangga menjadi anak Malaysia.

"Ingin saya tekankan walau pun rezeki saya banyak di sini, saya menetap dan berkahwin dengan orang di sini, saya masih anak Melayu dari Malaysia dan saya berbangga dengan status itu.

"Bila orang kata saya lebih popular di Indonesia, saya berbangga kerana ini bermakna saya adalah anak Malaysia yang berjaya," tuturnya dalam nada serius.

Berbicara terus tentang isu kerakyatan, jelas Ashraf itu bukanlah perkara baru baginya kerana bapanya sendiri memegang status kerakyatan England tetapi menjadi penduduk tetap di Malaysia apabila berkahwin dengan ibunya seorang rakyat Malaysia.

"Bapa saya boleh bekerja dengan bebas di Malaysia walaupun dia rakyat England, begitu juga halnya dengan saya. Saya lahir di England tetapi saya dan adik-beradik yang lain memilih untuk menjadi rakyat Malaysia.

"Mungkin saya juga akan melakukan hal yang sama seperti bapa saya menggunakan status penduduk tetap untuk bekerja dan terus tinggal di Indonesia, suatu hari nanti" kata Ashraf.

Ashraf juga menafikan dakwaan kononnya Bunga mempengaruhinya supaya menukar status kerakyatannya kerana Bunga menyerahkan segala keputusan di bahu Ashraf sendiri.

"Dia (Bunga) cakap terpulang kepada saya dan tidak pernah mencadangkan supaya saya menukar kerakyatan. Andai kata kami memiliki anak, saya mempunyai banyak pilihan. Saya boleh sama ada mendaftar anak di Malaysia, Indonesia mahupun England. Perkara ini masih panjang dan saya tidak fikirkannya lagi," ungkapnya.

Sakit bertimpa-timpa

Tidak dinafikan pada peringkat awal nama Ashraf di Indonesia dikenali hanyalah kerana dia merupakan suami kepada Bunga tetapi kini senarionya semakin berubah.

Akui Ashraf yang masih mendapat tawaran daripada penerbit di Malaysia, dia kini berasa lega kerana penggiat seni serta peminat di Indonesia semakin menerima kehadirannya kerana bakat yang dimiliki bukan kerana isterinya.

Bukan sahaja diberi peranan dalam dua buah filem iaitu Saus Kacang dan The Real Pocong, malah, Ashraf juga membintangi beberapa telemovie dan sinetron yang memiliki rating tertinggi di Indonesia seperti Sekar yang telah pun ditayang di Malaysia serta terhangat kini sinetron Cinta dan Anugerah.

"Saya bersyukur kalau dulu orang akan cakap itu dia suami Bunga tetapi kini orang panggil nama watak saya, Reza dalam sinetron Cinta dan Anugerah

"Maknanya orang ramai yang menonton. Saya difahamkan hampir 100 juta penonton yang mengikuti sinetron ini dan saya amat gembira dengan penerimaan orang ramai," katanya yang bekerja di bawah produksi Cinemart.

Mungkin dihantui kesibukan kerja kerana setiap sinetron akan berpanjangan sehingga 200 episod bergantung kepada rating, kerap kali Ashraf jatuh sakit dan ditimpa kecelakaan.

Sebelum ini Ashraf telah dimasukkan ke hospital kerana demam denggi, kemudian pada 26 Ogos lalu, aktor yang pernah popular dengan drama dan filem Gol & Gincu ini terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kereta Lexus Harrier yang dipandu oleh pembantunya itu terbalik dan rosak teruk. Mujur Ashraf hanya mengalami kecederaan kecil sahaja.

Bagaimanapun ia tidak berakhir di situ terbaru pada 9 Disember lalu Ashraf sekali lagi dikejarkan ke hospital pada pukul 5 pagi kerana apendiks.

Ashraf dibedah pada pukul 9 pagi hari yang sama dan terpaksa berehat selama lima hari sebelum memulakan penggambaran sinetron pada Selasa lalu.

"Bukan nasib tidak baik, demam denggi boleh kena di mana-mana sahaja dan saya ditakdir terkena di Indonesia. Lepas itu masuk hospital kerana apendiks dan saya dipaksa berehat. Sekarang sudah okey dan boleh kembali bekerja," tuturnya.

Jika ada yang mengatakan Ashraf kerap sakit sejak menetap di Indonesia, Ashraf menentang perkara itu sekeras-kerasnya.

Katanya ketika di Malaysia, dia juga kerap sakit dan terlibat dalam kemalangan tetapi berita itu tidak pula menjadi bahan laporan media di Malaysia.

"Tidak betul saya asyik sakit sejak tinggal di sini. Kalau di Kuala Lumpur saya sakit tidak ada yang hirau atau jadikan berita. Apabila di Indonesia situasinya berbeza, industri hiburannya lebih besar, artis lebih ramai. Sebab itu kalau ada hal yang kecil juga menjadi heboh," katanya yang bekerja lima hari seminggu di lokasi penggambaran.

Di samping itu, Ashraf juga sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap segelintir pihak yang menuduhnya sebagai orang Malaysia yang lupa daratan dek kerana kefasihannya berbahasa Indonesia.

"Saya fasih bahasa Indonesia kerana saya menetap dan bekerja di sini. Jika saya bekerja di Hollywood pastinya saya berbicara menggunakan bahasa Inggeris.

"Kalau bekerja di Malaysia, saya cakap bahasa Melayu. Itu bukan hal yang besar. Saya mahu ajak pihak yang mengatakan saya lupa daratan melihat sendiri situasi di sini.

"Apa salahnya jika mereka berbangga apabila anak Malaysia berjaya di lapangan seni Indonesia. Siapa artis Malaysia yang tidak mahu bekerja di sini, pendedahannya lebih besar kerana jumlah penontonnya juga besar. Malangnya, bila berjaya sedikit mula keluarkan cerita negatif," katanya penuh kecewa.

Beralih kepada keluarga, Ashraf memberitahu, dia kini bahagia bersama isterinya dan merancang untuk mempunyai anak pada tahun depan.

"Tahun ini amat sibuk mencari wang, rasanya tahun depan. Biar saya beli rumah dan dapat siapkan semuanya dengan lengkap baru kami akan menyambut orang baru dalam keluarga," terangnya yang kali terakhir pulang ke Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails