Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zizan kahwin bulan depan


GOSIP serta kisah cinta si jejaka bernama Zizan Nin ini sememangnya agak kurang diperkatakan termasuk dihebahkan media. Dengan siapa dia bercinta atau berpasangan, semua rahsia mengenainya seakan terkunci rapat dalam kotak hatinya.

Diakui, Zizan bukanlah artis yang suka menjaja kisah peribadi dan lebih memfokus kepada soal karier.

Untuk itu, bukan mudah untuk sesiapa mengorek rahsia Zizan, pelakon kacak yang mula membina nama menerusi Table For Two, beberapa tahun lalu.

Namun begitu, tanpa disangka, hati Zizan seakan terbuka untuk berterus terang mengenai masa depannya dengan mengakui akan melangsungkan perkahwinan bersama insan yang dicintai.

Merancang untuk mendirikan rumah tangga sekitar Januari depan, Zizan berkata, dia terlebih dahulu akan mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya itu dalam masa terdekat ini.

Sudah mengenali hati budi sang puteri idaman sejak lebih setahun lalu, pelakon kacak berusia 36 tahun ini menjelaskan bahawa kekasihnya itu bukanlah insan seni atau selebriti.

"Dia orang biasa dan bukannya selebriti. Kami sudah saling mengenali sejak lebih setahun lalu. Saya dan dia menjadi rapat selepas diperkenalkan oleh kawan-kawan.

"Alhamdulillah, dia memahami saya dan karier saya. Arwah ibu saya sempat bertemu dengannya sebelum ibu meninggal dunia Oktober lalu,'' katanya ketika ditemui media sewaktu pembukaan Celebrity Fitness di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju, minggu lalu.

Pembukaan di Wangsa Walk Mall merupakan cawangan Celebrity Fitness yang kelapan dan cawangan ketiga yang berkonsepkan Celebrity Fitness Express selepas di Lot 10 dan Sunway Pyramid.

Majlis pembukaan itu telah dihadiri Pengarah Urusan Celebrity Fitness, Choi Kwang Ho, Duta Celebrity Fitness, Amber Chia serta barisan artis antaranya Tony Eusof, Daphne Iking, Dina, Akim, Aril dan Vince.

Mengulas lanjut, Zizan berkata, sebelum melangkah ke alam perkahwinan, dia dan teman wanitanya sudah pun menjalani kursus perkahwinan yang diadakan pada cuti Aidiladha yang lalu.

Ketika ini, jelasnya, dia sedang sibuk membuat persiapan untuk bertunang terlebih dahulu dan selepas itu menguruskan pula persiapan berkahwin.

"Buat persiapan bertunang dahulu. Untuk majlis pernikahan dan bersanding nanti, selain kami berdua, akan ada perunding perkahwinan untuk menguruskan persiapan tertentu.

"Insya-Allah, saya akan mengambil cuti selama dua minggu untuk pernikahan nanti. Tidak boleh cuti lama-lama kerana jadual kerja saya cukup padat,'' katanya yang masih teringat akan pemergian arwah ibunya pada Oktober lalu.

Ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga teman wanitanya, Zizan menjelaskan, dia mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan keluarga bakal mertuanya mengenai kedudukannya sebagai orang popular.

"Kita artis, sibuk dengan kerja. Ditambah dengan perihal perceraian di kalangan artis yang dilaporkan di media.

"Semua itu sedikit sebanyak membuatkan mereka bimbang. Tetapi, Alhamdulillah, mereka dapat menerima saya seadanya,'' kata Zizan yang sentiasa melemparkan senyuman.

Bakal isteri bertudung

Ketika ini, ramai yang ingin mengenali bakal isteri pelakon popular itu.

Biarpun tidak pernah mendedahkannya, namun menurut Zizan, teman wanitanya itu merupakan wanita yang cukup bersederhana.

"Keluarganya pun begitu. Dia bertudung dan apa yang penting, dia dapat menerima saya seadanya. Hati budi dan pekertinya sangat baik termasuk ahli keluarganya.

"Atas dasar itu, saya sendiri melamarnya pada bulan Ramadan lepas di rumahnya,'' jelasnya sambil memberitahu bakal isterinya itu berusia lewat 20-an.

Pada pertemuan itu, Zizan bagaimanapun, masih belum bersedia untuk mengumumkan nama kekasihnya itu.

"Tunggulah. Nanti saya edarkan kad jemputan,'' kata Zizin memohon pengertian media.

Tentang soalan akan rancangannya untuk berbulan madu selepas bernikah pula, Zizan turut menjelaskan perkara itu belum dibincangkan.

Sibuk berlakon drama

Sementara itu, Zizan sempat bercerita tentang perkembangan kariernya yang agak sibuk dengan jadual penggambaran drama.

Drama lakonannya yang sedang ditayangkan di televisyen adalah Di Sebalik Tirai Besi dan Sanggar Cinta Raudhah.

Zizan juga akan menjalani penggambaran untuk slot Lagenda berjudul Siong serta sebuah lagi drama iaitu Sara Aqasha.

Dalam Sanggar Cinta Raudhah yang bersiaran setiap Khamis di TV2 pada pukul 8.30 malam, Zizan melakonkan watak sebagai Izwan, lelaki berusia 27 tahun yang mengahwini seorang wanita berusia 40 tahun bernama Raudhah lakonan Aida Radzwill.

"Drama ini sangat mencabar kerana saya terpaksa memegang watak sebagai suami kepada isteri yang jauh lebih tua.

"Aida merupakan pelakon yang sangat menghayati watak. Pernah dalam satu babak, saya ternampak hidungnya mengeluarkan darah kerana terlalu menghayati mood sedih,'' tambah Zizan.

Melalui Sanggar Cinta Raudhah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Izwan terpaksa mengahwini Raudhah selepas mereka ditangkap khalwat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails