Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Penipuan jujur Pekin Ibrahim

BERKUMIS dan berjanggut nipis, barangkali itu memang aksesori cari makan buat lelaki dengan nama Mohd Iznan Ibrahim, 33. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, siapa sangka anak muda yang dahulunya mengenal Kuala Lumpur dari kaca mata kru restoran makanan segera, A&W di Petaling Jaya itu sedang menjejaki laluan terang dalam dunia sinema tempatan. Bertahun-tahun dalam lakonan, berubah prinsip daripada sekadar mahu menjadi artis dan kini lebih fokus kepada lakonan, sudah banyak fasa yang dilalui pelakon itu. Mengenal filem sejak ditemui pengarah Silver Chong untuk sebuah naskhah berjudul Di Ambang Misteri, kini Pekin Ibrahim menjadi antara pelakon yang mudah diajak bekerjasama dalam naskhah-naskhah berjiwa besar. “Saya masih Pekin yang dahulu, cuma laluan karier saya berjalan seperti mana yang saya mahukan. Saya mahu bekerja dengan pengarah besar, masuk dan berkawan dengan orang-orang seni yang besarnya jiwanya, saya dapat. Rasa kerja ini memang direstui,” kata Pekin yang semakin rileks tanpa diburu kisah sensasi. Tidak segera mencari pengganti saat cinta lokasinya bersama Uqasha Senrose putus sebelum sempat memeterai janji, Pekin sedia maklum, belum masa untuknya memberi jiwa kepada wanita. Sekarang, masa untuk bekerja dan memburu kecintaan terhadap karya. “Saya juga tidak pernah hendak menyalahkan sesiapa jika banyak kisah peribadi saya diperkatakan selama ini. Saya jenis yang tidak kisah. Apa yang berlaku dalam hidup saya, dalam kisah cinta, memang itulah yang diketahui semua. Saya jalan terus, benda dah jadi, saya tak perlu menyesal jika ramai orang tahu hal peribadi saya. “Sekarang saya mahu buat apa yang saya suka. Saya tak kisah orang kata saya pernah mendapat publisiti dan populariti gara-gara sensasi percintaan. Ada ketikanya, publisiti yang negatif itu baik juga untuk saya,” katanya yang baru selesai penggambaran drama bersiri Seludup, arahan Jehan Miskin.
Bercakap tentang Seludup, istimewanya projek berkenaan kata Pekin, drama yang membariskan pelakon-pelakon seperti Nam Ron dan Raja Ilya itu kerana menjalani proses seperti pembikinan sebuah filem. “Dalam Seludup, saya memegang watak bernama Amran. Dia seorang nelayan dan usahawan. Kontra dengan watak yang macam baik, Seludup sebenarnya membawa cerita berat tentang aktiviti penyeludupan barang-barang haram seperti rokok, dadah, minuman keras dan pemerdagangan manusia. “Seronoknya dalam Seludup, saya dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Tiz Zaqyah, Nam Ron, Syafie Naswip dan Raja Ilya,” cerita Pekin tentang drama yang bakal menemui penonton di Astro Prima dan Maya HD bermula Disember nanti. Fasa perit bertukar dimensi Menunggu tarikh untuk memulakan penggambaran dua buah filem lagi, satu bersama Mamat Khalid berjudul Rock 3 dan sebuah lagi projek filem terbaharu dengan Dain Said, Pekin sendiri mempunyai barisan judul filem yang sedang menunggu waktu untuk ditayangkan. Melihat kepada judul-judul seperti Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Rentas, Villa Nabila, Tujuh, Ophilia, Red Warrior, Keindahan Hidup, Coverina, Juvana II dan Juvana III, semua itu memberikan gambaran betapa larisnya nama Pekin di layar perak ketika ini. Cerita Pekin, terlalu banyak keperitan dialami sepanjang pendakian hendak menjadi pelakon. Tinggal menumpang tidak berumah sudah menjadi lumrah. Tinggal di studio bersama teman-teman juga tidak menjadi satu beban.
Dari satu sisi lain, adakah keterbukaan Pekin menerima tawaran filem-filem itu demi pulangan bayaran kewangan untuk hidup mewah atau kepuasan menelaah naskhah filem itu sendiri? Ditanya lagi, adakah selepas Bunohan, Pekin menggunakan keteguhan profil filem berkenaan untuk menempah kepercayaan pengarah dan penerbit lain? “Bukan hendak kata saya tidak memilih, sebenarnya saya hanya sasarkan hanya dua buah filem setahun tetapi kalau ada tawaran yang menarik, saya terima. Pegangan saya ialah karakter dan cerita filem itu sendiri. “Tengok daripada judul memang nampak banyak tapi kalau lihat dari segi karakter, semua filem itu menampilkan watak yang berbeza-beza. “Dalam filem Ophilia contohnya, saya pegang watak remaja skinhead bersama-sama dengan Que Haidar. Dalam Red Warrior, saya pegang watak bapa. Dalam Juvana II dan Juvana III saya cari karakter gengster yang tak pernah dipaparkan dalam mana-mana filem gengster sebelum ini. Selagi boleh, saya cuba elak terima tawaran watak hampir sama. “Kalau boleh, saya mahu ‘penipuan’ saya menerusi karakter-karakter yang saya bawa itu diterima yang dipercayai wujud oleh penonton. Saya akan terus bereksperimen dengan 'penipuan-penipuan' lain lagi sekiranya terus diterima,” jelas Pekin panjang lebar. Istilah ‘penipuan’ dalam lakonan bukan berniat untuk menipu peminat, sebaliknya memberi emosi ciptaan kepada penonton demi menjayakan sesebuah karya. “Saya masih percaya bahawa lakonan amat berkait rapat dengan emosi, bukannya dialog yang panjang-panjang. Setiap lakonan atau watak yang saya bawakan, itu adalah emosi saya, emosi Pekin. Saya harus jujur, menipu juga kena jujur. Namun, saya jarang merasa bahagia dengan penipuan saya tetapi, asalkan penonton suka dengan ‘penipuan’ saya, saya akan gembira,” ucap Pekin seperti berfalsafah. Dari satu sisi yang lain juga, Pekin mengakui, dia tidak akan sesekali menerima karakter yang dirasakan tidak mampu untuk dilakonkan. “Memang orang nampak saya banyak berlakon tetapi saya juga tidak tamak. Saya akan buat sehabis baik dalam lakonan tapi kalau sesebuah watak itu terlalu besar untuk saya, saya tidak akan mencuba. Daripada saya 'membunuh diri' dan 'mati' dalam karakter, lebih baik lepaskan watak itu untuk orang lain. Itu prinsip saya,” luahnya serius.
Lima tahun yang sukses Menanyakan Pekin tentang sandaran masa depan, pemuja senior di lapangan yang sama, Khir Rahman itu berkata, dia sudah pun memulakan langkah untuk berjinak-jinak dengan dunia penerbitan. Sedikit pengalaman yang ditelan sepanjang berbelas tahun sebagai pelakon telah memberanikan Pekin melabur dana menerbitkan filem sendiri. “Cuma saya belum berani untuk tubuhkan syarikat. Sebagai permulaan, saya hanya bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk dua buah filem iaitu Ophilia dan Coverina. “Saya mahu belajar selok-belok pembikinan filem. Mula-mula belajar dari bawah, tengok dulu cara orang buat kerja dan ambil tahu pasal pemasaran,” kata Pekin yang menganggap fasa lima tahun kebelakangan ini sebagai fasa selesa buatnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails