Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Adam AF. Show all posts
Showing posts with label Adam AF. Show all posts
KELUARGA BAHAGIA FIZA HALIM & ADAM AF
Selepas hampir sebulan rujuk, akhirnya gambar-gambar mesra Fiza Halim dan Adam AF2 kembali mewarnai Instagram selepas gambar sebelum ini 'di delete'. Malah ramai peminat mereka juga tumpang bahagia melihat perkembangan tersebut.
Bak kata pepatah, laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan. Oleh itu, buang yang keruh ambil yang jernih. Anggaplah apa yang berlaku sebelum ini sebagai ujian daripada Allah SWT.
Adam (AF2) & Fiza (Elite) Cerai Talak Satu Selepas 7 Bulan Nikah
Pasangan selebriti Adam (AF) dan Fiza (Elite) sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada tengah hari Isnin selepas tujuh bulan menjadi suami-isteri.
Lafaz cerai dilakukan dihadapan hakim syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi kira-kira pukul 1.05 petang mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia dan Fiza bercerai secara baik tanpa sebarang tuntutan.
"Ya, hari ni sudah jatuh talak. Dan itulah ia," katanya ringkas selepas selesai prosiding kes perceraian mereka.
Fiiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, pula menyifatkan mereka sudah tiada jodoh selepas pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga dilakukan.
"Saya anggap kami tiada jodoh. Siapa yang nak bercerai bukan? Tambah pula ini adalah perkahwinan saya yang kedua.
"Saya reda dengan ketentuan Allah," katanya.
Terdahulu suasana di ruang mahkamah menjadi kecoh apabila Fiza memohon kepada mahkamah agar mengarahkan para wartawan tidak berada di dalam ruang mahkamah.
Fiza berkata, dia enggan kisah peribadinya bersama Adam didedahkan pihak media kepada umum.
Permohonan itu kemudiannya dibenarkan oleh Tuan Muhamad Nazri.
"Saya memohon agar kes kami dibicarakan tanpa wartawan atau pihak-pihak lain dalam ruang mahkamah ini.
"Ini adalah atas alasan saya seorang selebriti yang dikenali. Saya tidak mahu masyarakat tahu tentang hak peribadi kami," kata Fiza sebelum bermulanya prosiding.
Adam dan Fiza tiba di mahkamah sekitar pukul 12 tengah hari dan prosiding kes penceraian mereka bermula kira-kira 45 minit kemudian.
Pasangan itu telah bernikah pada 26 September tahun lalu hanya selepas dua bulan berkenalan.
Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.
Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5.
Ia merupakan perkahwinan pertama buat Adam.
Rumah Tangga Goyang? Adam (AF2) Akan Beri Penjelasan
Penyanyi dan pelakon Adam (AF2) memohon diberi sedikit masa untuk dia mengumumkan kedudukan status rumah dengan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza yang didakwa goyah.
Adam atau nama sebenar Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia enggan mengulas panjang tentang dakwaan keretakan rumah tangganya dan berharap peminat mendoakan yang terbaik.|
“Saya tidak mahu komen panjang tentang perkara ini, doakan sahaja yang terbaik untuk rumah tangga kami.
Apa-apa berita tentang rumah tangga kami, Insya-Allah saya akan beritahu kelak,” katanya kepada mStar Online, ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pra tonton filem Bahaya Cinta, di TGV One Utama, di sini, Rabu.
Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang rumah tangga yang dibina pada 26 September 2013 dikatakan sedang mengalami masalah.
Tambah Adam mengulas tentang gossip tersebut, dia akui sebagai selebriti segala berita baik dan buruk akan dapat dihidu oleh pihak media dan masyarakat.
“Apa yang saya boleh cakap kami baik-baik sahaja dan tidak bergaduh, kami cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Saya anggap ia sebagai satu ujian,” katanya.
Sementara itu, Adam turut menafikan dakwaan melarikan diri daripada media bagi mengelak ditanya isu tersebut dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Dia terpaksa pulang awal dan membatalkan beberapa sesi fotografi kerana mempunyai masalah peribadi yang terpaksa diselesaikan.
“Saya balik awal pada majlis berkenaan minggu lalu sebab ada hal peribadi, manakala saya terpaksa membatalkan sebuah sesi fotografi kerana mahu pulang ke Sabah berikutan ada perkara peribadi yang perlu diuruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Adam melakonkan watak Iskandar dalam filem Bahaya Cinta yang merupakan filem kerjasama dengan penerbit dari negara Vietnam. Ia bakal ditayangkan pada 1 Mei Depan.
Adam nafi rumah tangga goyah
MENGUCAP panjang apabila membaca kisah rumah tangga pasangan pengantin baharu, Adam AF2 dan isterinya Fiza (bekas anggota kumpulan Elite) yang kini dikatakan sedang goyah tersenarai dalam sebuah akhbar tempatan keluaran Ahad lalu.
Penulis akhbar tersebut mendakwa memperoleh berita tersebut (rumah tangga Adam, Fiza goyah) daripada seorang sumber yang juga kru penerbitan sebuah produksi baharu.
Antara yang terkandung dalam artikel akhbar tersebut menyebut Adam atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman, 30, cemburu apabila melihat isterinya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 32, berbual dengan bekas kekasih ketika mereka secara kebetulan bertemu di sebuah stesen minyak.
Pergaduhan yang disifatkan penulis itu seperti ‘perang dunia ketiga’ bermula apabila pasangan tersebut pulang ke rumah.
Sumber kepada penulis itu juga memaklumkan, semasa pertelingkahan antara Adam dan Fiza terjadi, penyanyi yang kini mempunyai sebuah pusat perubatan Islam sendiri iaitu Nur Khalifah Al-Hasani di Kota Damansara, Selangor itu sempat mempertikaikan kisah silam isterinya itu dengan dakwaan negatif.
Akibatnya, mereka bergaduh besar sehingga terkeluar perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang isteri kepada suaminya.
Sumber tersebut juga menyebut, Fiza telah memaki Adam kerana tidak puas hati dengan sikap suaminya yang kuat cemburu itu. Akibatnya, rumah tangga pasangan suami isteri yang berlangsung kira-kira sebulan lalu itu goyah.
Adam dan Fiza, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pada 26 September lalu.
Enggan peminat membuat pelbagai andaian buruk, Kosmo! cuba menghubungi Adam untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut.
Adam yang sedang menjamu selera bersama isteri dan dua anak tirinya, Ferra Arynna, 5, dan Feeeya Adyrra, 4, ketika dihubungi, tersentak tatkala diberitahu akan hal itu.
Kosmo!: Adam, sila komen mengenai dakwaan yang mengatakan rumah tangga anda kini sedang goyah?
ADAM: Apa yang terjadi antara kami (Adam dan Fiza) tidaklah sehingga rumah tangga menjadi goyah.
Jadi, adakah benar pertelingkahan terjadi selepas Fiza bertemu dan berbual dengan bekas kekasihnya di sebuah stesen minyak?
Ya, memang ada pertemuan berlaku tetapi apa yang terjadi selepas itu bukan pergaduhan, sebaliknya perbincangan atau muzakarah antara suami dan isteri. Saya sekadar menasihatinya (Fiza).
Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan Fiza maki anda kerana sikap kuat cemburu anda?
Itu semua fitnah! Seorang isteri tidak akan buat macam itu (maki) kepada suaminya.
Apakah perasaan anda apabila cerita-cerita tidak benar mengenai anda dan isteri ditulis?
Saya tidak reda dengan apa yang ditulis oleh wartawan itu. Dalam setiap rumah tangga, Allah akan berikan ujian. Kalau benar sekalipun pergaduhan terjadi, ia tidak perlu dihebah-hebahkan.
Jangan kerana mahu menjual akhbar sanggup memporak-perandakan rumah tangga orang. Bayangkan akhbar tersebut dibeli beratus-ratus ribu orang dan kisah rumah tangga saya dibaca.
Apakah tanggapan mereka? Baru kahwin tetapi sudah dilanda masalah. Berita seperti ini yang saya tidak mahu.
Apakah tindakan anda selepas membaca dakwaan tersebut?
Saya mahu sumber iaitu kru penerbitan sebuah produksi baharu yang dimaksudkan penulis itu tampil ke depan. Saya mahu sumber dan penulis akhbar tersebut sama-sama tampil ke depan membuktikan kesahihan cerita yang dikeluarkan.
Adakah anda pelik bagaimana seorang kru penerbitan sebuah produksi boleh bercerita tentang rumah tangga anda? Dari mana dia peroleh cerita hal dalam rumah tangga anda?
Disebabkan itu, saya mahu mereka tampil ke depan bukti kesahihan cerita tersebut.
Apakah perkembangan seni anda dan isteri sekarang?
Saya masih fokus dengan pusat perubatan Islam milik saya. Pada masa yang sama, single terbaharu saya berjudul Pengodam Jiwa sedang dimainkan di corong- corong radio.
Itu adalah lagu rancak terakhir saya. Selepas ini, saya tidak lagi menari ketika membuat persembahan.
Sekadar menyanyi sahaja. Lagu-lagu saya selepas ini juga akan lebih santai seperti konsep lagu-lagu Anuar Zain.
Fiza pula, masih lagi berlakon. Cuma watak-watak yang diterima mestilah menjaga batas-batas seorang isteri. Tiada sebarang sentuhan walaupun berlapik atau tercuit. Buat masa ini, Fiza sedang menjalani penggambaran drama berjudul Istiraj untuk TV Alhijrah.
ADAM & FIZA, 2 MINGGU LEPAS KAHWIN
Ramai yang gembira dan mendoakan kebahagiaan pasangan Adam AF2 dan Fiza Elite. Ini kerana, selepas dua minggu berkahwin, nampaknya mereka makin serasi dengan kehidupan sebagai suami isteri.
Meskipun Fiza kini banyak bertindak sebagai suri rumah tangga, namun dia tetap menyokong kerjaya seni suaminya. Pesanan Fiza agar peminat mengundi lagu 'Penggodam Jiwa' nyanyian Adam di Era FM Muzik Hit menandakan betapa mereka sememangnya sehati dan sejiwa.
RAGAM ADAM DAN FIZA LEPAS KAHWIN
Pasangan bahagia yang sememangnya tidak menjadikan status sebagai halangan untuk mendirikan rumah tangga. Pernikahan mereka pada 26 September lalu mengejutkan ramai peminat mereka sendiri, namun itulah yang dikatakan 'jodoh'.
Dan pada hari Jumaat yang mulia ini, apa kata kita lihat ragam pasangan yang masih 'berdarah manis' ini selepas bergelar suami isteri. Nampaknya Adam begitu cepat menyesuaikan diri demi menggalas tanggungjawab sebagai suami.
Rahsia jodoh ADAM-FIZA
TIDAK ramai lelaki boleh terima status ibu tunggal untuk dijadikan suri hidup. Tetapi tidak Adam," kata pelakon Fiza, 32, selepas rasmi bergelar isteri kepada Adam, 30, pagi Khamis lalu.
Malah ibu kepada Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, terpikat pada kebaikan Adam yang tidak pernah menilai dirinya berdasarkan cerita masa silam yang pernah dilalui.
Sementelah sudah berhijrah dan mencari pasangan hidup yang boleh menjadi pemimpin ke jalan Allah, Fiza memanjatkan kesyukuran apabila doanya bertemu jodoh termakbul.
Bahkan Fiza menganggap Adam adalah imam terbaik kurniaan-Nya dan seharusnya dijaga hingga ke akhir hayat.
"Penghijrahan hidup yang dibuat saya sebelum Ramadan lalu membuatkan hidup saya tenang. Dan rasa ketenangan itu bertambah-tambah selepas selesai majlis nikah dengan Adam.
"Saya percaya soal jodoh dan rezeki adalah dua perkara itu amat rahsia dan sukar dijangka. Perkahwinan ini adalah hadiah penghijrahan saya.
"Sebab saya tak menyangka jodoh saya begitu mudah dengan Adam. Dua bulan kami berkawan rapat dan terus berkahwin. Berbanding kisah cinta saya dengan dua teman lelaki sebelum ini yang cukup sukar.
"Perjalanan kehidupan kita sudah ditetapkan-Nya. Semakin dekat kita menghambakan diri kepada-Nya, semakin dipermudahkan urusan kehidupan kita," katanya.
Fiza sebelum ini pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 2006 sebelum bercerai empat tahun kemudian.
Sementara itu Fiza dan Adam selamat dinikahkan kira-kira pukul 10.30 pagi oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakif dengan diwalikan bapa Fiza, Abdul Halim Abdul Aziz.
Dalam majlis itu Fiza menerima sepersalinan lengkap barangan solat seperti telekung, al-Quran, cincin dan mas kahwin berjumlah RM300.
Sengaja mengusik Fiza yang bertemu jodoh lebih dulu berbanding Ahmed Farriq yang dijangka berkahwin hujung tahun ini, wanita ini tersenyum sebelum berkata: "Dah jodoh. Nak buat macam macam mana".
Menafikan dia menyasarkan tempoh tertentu untuk menamatkan zaman solonya selepas kegagalan perkahwinan pertama, Fiza menambah perkara itu bukan keutamaan sebaliknya mahu melihat anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang.
"Alhamdulillah hubungan saya dengan bekas suami dan bekas keluarga mentua baik. Sewaktu saya mengkhabarkan mereka tentang perkahwinan ini pun mereka dapat menerima dengan terbuka.
"Saya juga bersyukur apabila Adam menerima baik kehadiran Ferra dan Feeya. Sebenarnya anak-anak amat menyenangi Adam pada kali pertama saya memperkenalkan pada mereka.
"Anak-anak tanya bila Mummy nak bawa jumpa Abi (Adam), saya tak sangka mereka boleh menerima Adam sebegitu cepat.
"Saya juga bersyukur apabila keluarga suami menerima status saya sebagai ibu kepada dua anak hasil pernikahan terdahulu. Itu yang menyentuh perasaan wanita saya," katanya penuh syukur.
Adam Letak Syarat, Anak-Anak Fiza Senang
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Adam (AF2) tidak menghalang isterinya Fiza (Elite) untuk meneruskan kerjaya lakonannya pada masa akan dengan syarat Fiza perlu menjaga batas-batasnya sebagai seorang isteri.
"Dia boleh berlakon, tak ada masalah. Cuma kena jaga batas-batas seperti tidak boleh melakonkan babak bersentuhan, pegang-pegang. Dia boleh teruskan kerjaya dia dan saya akan tumpukan pada pusatan rawatan saya iaitu Nur Salam", kata Adam ketika ditemui sejurus usai majlis ijabkabul bertempat di banggunan Jabatan Agama Islam Selangor, semalam.
Pasangan ini sah sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz kira-kira jam 10.30 pagi, semalam
{ Baca lagi : Foto: Nikah di MAIS, Adam-Fiza Sah Suami Isteri Sekali Lafaz }
Dalam pada itu Adam menjelaskan majlis pernikahan mereka bukanlah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Sebaliknya mereka telah membuat persiapan sejak bulan Ramadan lalu. Namun berita mengenai pernikahan mereka terdedah beberapa hari sebelum majlis dilaksanakan.
"Kami bukan tergesa-gesa. Persiapan kami nak kahwin dah dibuat sejak bulan puasa lalu. Cuma baru beberapa hari ini orang baru dapat tahu. Patutnya kami nak bernikah sama dengan tarikh ulang tahun kelahiran saya iaitu pada 19 September lalu. Tapi banyak urusan yang kami perlu selesaikan.
Sebenarnya kalau diikutkan, dua hari saya jumpa Fiza saya dah terus ajak dia nikah", dedah Adam.
Bercerita lanjut mengenai hal itu, penyanyi yang popular dengan lagu 'Jatuh' ini berkata, setelah lama todak berhubung, dia mula memberanikan diri untuk mennghubungi Fiza apabila terpandang status di BB pin bekas kumpulan Elite itu sudah bertudung.
"Sebelum ni memang saya pernah jumpa dia di acara hiburan. Tapi masa tu dia belum berhijab lagi. Ketika tu kami mula tukar BB pin. Selepas lama tak berhubung, alih-alih sebelum bulan puasa lalu saya nampak di status BB pin dia, yang dia dah berhijab.
" Saya ajak dia berjumpa dan kali pertama kami di Kota Damansara, selepas solat Tarawih. Sejak pertemuan itu, saya terus cama rindu, angau dan saya asyik terbayang-bayang wajah Fiza. Semasa kali kedua saya jumpa dia, saya nyatakan hasrat saya nak menikahi dia. Dia pun tersenyum-senyum", katanya yang turut terpikat dengan kelembutan dan ketegasan isterinya itu terutama dalam hal menguruskan anak-anak.
Adam juga memberitahu pada Aidilfitri lalu dia ada membawa Fiza pulang ke Sabah dan diperkenalkan kepada keluarga, ternyata keluarganya sangat menyenangi kehadiran Fiza.
Ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai bapa segera kepada dua cahaya mata Fiza (hasil daripada perkahwinannya sebelum ini), Adam berkata dia tidak mempunyai masalah kerana sudah terbiasa dengan kanak-kanak. Ini kerana jarak di antara dia dan adik-diknya agak jauh, jadi selain sebagai abang ada ketika dia juga sebagai ayah.
Mengenai perancangan bulan madu, setakat ini mereka belum memikirkan destinasinya. Manakala untuk menimang cahaya mata sendiri Adam hanya menyerahkan kepada Allah. Tetapi dia dan isterinya tidak menolak jika mereka dikurniakan zuriat dalam masa terdekat.
Sengaja Reka Gosip
Sementara itu Fiza yang turut berada di sisi suaminya meluahkan rasa syukur dan menharapkan perkahwinan kali keduanya ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
"Sebelum ni saya ada juga berkawan dengan orang lain, tapi anak-anak saya tak berkenan dengan kawan lelaki saya itu. Tapi bila saya bawa mereka jumpa Adam, mereka sangat mudah mesra. Baru pertama kali jumpa mereka dah panggil Adam dengan panggilan Abi.
"Jadi bila saya tengok penerimaan anak saya terhadap Adam okay, jadi saya terus yakin untuk menerima Adam", katanya.
Pada masa sama Fiza menjelaskan gosip yang timbul mengatakan dia tidak jadi berkahwin dengan sesorang lelaki sebelum menerima lamaran Adam, adalah tidak benar. Ia hanya rekaan semata-mata daripada pengurus Fiza sendiri.
"Oh tentang nak kahwin tak jadi tu, sebenarnya gosip tu direka oleh pengurus saya. Memandangkan saya dah lama tak ada publisiti jadi En. Bad (pengurus) saja lah buat cerita tu. Sebelum Adam melamar saya, Adam kata dia ada google malah bertanyakan saya tentang perkara itu. Dan semuanya tak benar", tuturnya.
- mD
Adam (AF2) Sedia Jadi Bapa Kepada Dua Anak Tiri
Penyanyi Mohd Aizam Mat Saman atau Adam sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak hasil perkahwinan pertama isterinya, pelakon Fiza (Elite) sebelum ini.
Adam, 30, berkata, dia menganggap perkara itu sebagai satu kelebihan kurniaan Allah dan bersyukur kedua-dua kanak-kanak tersebut cukup rapat dengannya.
"Mereka memanggil saya 'Abi' dan tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mengabaikan kebajikan mereka kerana mereka kini adalah anak saya juga.
"Saya juga tidak kekok menjaga kanak-kanak kerana sebelum ini sudah terbiasa menjaga adik-adik kerana perbezaan umur kami yang agak besar," katanya kepada mStar Online.
Adam dan Siti Zaidatul Fiza Abd Halim atau Fiza, 32, selamat bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis serba sederhana yang diadakan di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di sini pada pagi Khamis.
Adam menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin kepada Fiza selain sepersalinan barangan solat sebagai hantaran.
Dalam perkembangan sama, Adam menjelaskan dia tidak berniat untuk menyorokkan majlis berkenaan daripada pengetahuan peminat dan media kerana merasakan dirinya sudah tidak popular.
Malah Adam menafikan majlis itu dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya ia telah dirancang awal manakala berita pernikahannya tersebar beberapa hari sebelum majlis berlangsung.
"Saya ingat tidak ada orang peduli pun saya hendak kahwin kerana merasakan diri sudah tidak popular dan hanya mahukan sebuah majlis sederhana sahaja.
"Kami juga berhasrat untuk memaklumkan perkahwinan ini selepas semuanya selesai," katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata, dia tidak dapat menjelaskan secara khusus mengapa dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Fiza dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun kata Adam, dia mengakui perasaan yang wujud terhadap wanita itu adalah cinta pandang pertama dan bersyukur Allah memudahkan jodoh mereka.
"Sejak bertemu kembali pada Ramadan lalu saya sering teringat-ingat akan dia dan apabila melakukan solat istikharah wajah Fiza muncul dalam mimpi saya.
"Saya yakin dia adalah jodoh saya dan Alhamdulillah Fiza juga mudah menerima saya walaupun perkenalan kami sangat singkat," jelasnya.
Tambah Adam, dia juga tidak akan menghalang jika Fiza ingin terus aktif berlakon namun perlu menjaga batas-batas sebagai seorang Muslimah.
Sementara itu, Fiza berkata, dia juga tidak dapat melafazkan secara lisan mengapa memilih Adam sebagai suami namun mengakui selesa apabila bersama pemuda itu.
Kata Fiza, anak-anaknya juga cukup menyenangi kehadiran Adam dan ia telah memudahkannya untuk membuat keputusan menerima Adam sebagai suami.
"Ini yang dikatakan jodoh dan saya sendiri tidak pernah menyangka akan menjadi isterinya namun saya berharap perkahwinan kedua ini akan kekal sehingga akhir hayat," jelasnya.
Bercakap mengenai anak, Fiza berkata dia menyerahkan soal itu kepada rezeki dan jika diizinkan dia mahu cepat menimang anak memandangkan usianya semakin meningkat.
Tambah Fiza, mereka berdua masih belum merancang lokasi berbulan madu kerana sibuk dengan tugas masing-masing.
Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4.
Majlis persandingan pasangan itu akan diadakan pada pertengahan Oktober depan di kampung halaman Adam di Kota Kinabalu, Sabah.
Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini
TIADA ANGIN, tiada ribut, tiba-tiba sahaja keluar berita di sebuah akhbar semalam, penyanyi dan pengamal perubatan, Adam dan Fiza Elite akan bernikah pada 26 September ini pada pukul 10 pagi di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Shah Alam dan sebuah majlis persandingan yang akan diadakan di kampung halaman Adam di Sabah.
Khabar gembira itu benar-benar mengejutkan banyak pihak kerana tidak pernah keluar cerita tentang percintaan mereka berdua sebelum ini.
Sebaliknya Fiza atau nama sebenarnya, Siti Saidatul Fiza Abdul Halim, 32, ibu tunggal kepada dua puteri, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, sebelum ini dikatakan kecewa kerana perkahwinan yang dirancang pada Jun lalu dengan seorang lelaki yang enggan didedahkan identitinya telah dibatalkan.
Adam atau nama penuhnya, Mohd Aizam Mat Saman, 30, pula juga sebelum ini dilihat berkawan dengan ramai wanita tetapi tidak pernah dikaitkan dengan Fiza. Sedar ramai yang terkejut dengan berita pernikahannya itu, Adam dengan tenang mengaku, Fiza adalah wanita pilihannya walaupun hubungan mereka hanya mula rapat sejak bulan Ramadan lalu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adam semalam.
Kosmo!: Benarkah Adam akan berkahwin dengan Fiza pada 26 September ini?
ADAM: Memang benar. Jika diizinkan insya-Allah saya akan bernikah dengan Fiza pada tarikh tersebut di bilik pelamin Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Shah Alam.
Mengapa tiba-tiba ingin bernikah kerana sebelum ini tidak ada cerita kalian bercinta?
Dalam minda orang ramai kalau artis bercinta mesti keluar gosip terlebih dahulu. Ramai yang tidak terhidu hubungan kami dan kami tidak dedahkan ketika itu kerana belum ada apa yang ingin disahkan. Sekarang memang sah kami akan berkahwin, saya pun tidak mahu sorok-sorok kerana orang akan tahu juga.
Bagaimana hubungan kalian boleh terjalin?
Semuanya bermula pada bulan Ramadan lalu menerusi Blackberry Messenger (BBM). Waktu pertama kali saya berjumpa dengannya dia belum berhijab, kemudian saya lihat dia ubah gambar profil dengan memakai hijab, ingatkan watak dia bertudung dalam lakonan. Saya tegur dalam BBM dan dia kata, itu memang imejnya sekarang, sejak itulah kami mula rapat.
Adakah pernikahan ini tergesa-gesa kerana baru beberapa bulan sahaja kalian rapat dan terus ambil keputusan untuk bernikah?
Sebenarnya, sebelum ini saya sasarkan untuk berkahwin pada usia 28 tahun, sekarang umur saya sudah 30 tahun. Memang saya berdoa pada Allah untuk mendapat jodoh dengan segera, Alhamdulillah Allah bukakan hati saya untuk menerimanya. Hari kedua kami berjumpa, terus kami berbincang soal pernikahan. Saya sendiri hairan dengan keterbukaan hati saya, mungkin ini sudah jodoh saya.
Apakah yang membuatkan anda tertarik kepada Fiza?
Dia seorang wanita yang lemah lembut dan memahami diri saya. Sejujurnya, sebelum ini saya pernah bercinta dengan beberapa orang wanita tetapi dengan Fiza perasaannya berbeza. Saya tidak pernah rasa perasaan ini dengan wanita lain, ketika itu saya tahu dialah wanita pilihan saya.
Sudahkah anda bersedia menerima Fiza yang berstatus ibu tunggal kepada dua orang anak?
Pada mulanya ketika saya suarakan hasrat untuk berkahwin dengannya, ibu saya membantah kerana statusnya.
Mampukah saya menjaga wanita dengan dua orang anak?
Selepas Fiza melawat keluarga saya pada hari raya lalu, mereka semua sukakan dia dan terus merestui hubungan kami.
Saya sendiri tidak kisah dengan statusnya kerana saya menerima diri dia seadanya.
Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini
Adam AF2 Tidak Peduli Status Janda Fiza Elite
Penyanyi Adam AF2 mengakui tidak peduli dengan status janda bakal isterinya iaitu penyanyi dan pelakon Fiza Elite.
Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 30, berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak selebriti tersebut.
"Secara jujurnya saya tidak pernah kisah tentang status seseorang wanita itu, memang ramai yang bertanya saya sama ada saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.
"Saya sudah bersedia insyaAllah, harap semua piahk dapat doakan agar saya dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan ikhlas," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita pernikahanya yang bakal diadakan pada Khamis ini di Jabatan Agama Islam Selangor pada pukul 10 pagi.
Biarpun baru mengenali wanita tersebut pada pertengahan Julai lalu, Adam berkata, dia mula jatuh cinta dan ingin menjadikan Fiza sebagai isterinya yang sah.
"Kami sebelum ini pernah berjumpa tetapi tiada apa-apa perasaan tapi selepas perubahan dia kearah menjadi insan yang lebih baik saya mula rasa ingin mendekati dirinya.
"Daripada beberapa pertemuan dengan dia, saya semakin suka dan jatuh hati sehingga melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah," katanya.
Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2.
Tambah Adam, walaupun pada awalnya ibu agak risau dengan status Fiza yang juga merupakan seorang selebriti, namun tanggapan itu mula berubah selepas kedua-duanya dipertemukan.
"Ibu saya mula-mula risau sebab takut Fiza tidak boleh terima keluarga kami, maklumlah kami bukan golongan kaya dan hanya tinggal di kampung.
"Tapi selepas membawa Fiza bertemu dengan keluarga pada Hari Raya lalu, semua keluarga saya menyukai dia," katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata majlis pernikahannya akan dijalankan dalam keadaan yang sederhana yang hanya dihadiri kedua-dua belah pihak keluarga.
Bagaimanapun, majlis persandingan masih belum ditetapkan.
Adam (AF) Sudah Boleh Ubati Penyakit Misteri
PETALING JAYA: Penyanyi Adam (AF) mengakui dia sekarang sudah mampu merawat beberapa penyakit misteri selepas mendalami ilmu perubatan Islam berkenaan sejak dua tahun lalu.
Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 29, berkata, kebolehan itu membuatkan dia merancang untuk membuka sebuah klinik perubatan Islam di sekitar Kuala lumpur tidak lama lagi.
"Selain penyakit sihir, saya juga boleh merawat pesakit darah tinggi dan kencing manis.
"Alhamdulillah, setakat ini rawatan penyakit asas sudah boleh saya lakukan. Banyak lagi ilmu perubatan Islam yang harus saya pelajari. Namun saya merancang untuk membuka klinik sendiri dalam masa terdekat ini," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, tambah Adam, dia berharap agar masyarakat tidak tersalah tafsir mengenai rawatan yang dilakukan kerana ia bukanlah syirik di sisi Islam ataupun mahu menjadi bomoh.
Sebaliknya teknik rawatan yang dibuat mengikut garis panduan berpandukan kitab Al-Quran selain berdoa kepada Allah.
"Ada yang beranggapan, mengubat penyakit sihir adalah syirik tetapi harus diingat perubatan saya tidak menggunakan kaedah memakai tangkal atau memanggil makhluk halus kerana cara itu sudah dikira menduakan Allah," tuturnya.
Dalam pada itu, Adam juga menegaskan perubahan yang berlaku terhadap dirinya yang lebih bersifat Islamik sejak kebelakangan ini bukan bermaksud dia sudah berhijrah, namun ia adalah sebahagian tanggungjawabnya sebagai umat Islam yang pernah lalai sebelum ini.
"Saya harap orang luar tidak menganggap perubahan diri ini sebagai satu penghijrahan, sebaliknya ia ada adalah tanggungjawab saya sebagai orang Islam yang harus diamalkan sejak dahulu lagi.
"Pada mulanya, saya berjumpa dengan Ashraf Muslim menerusi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mendalami ilmu agama. Kemudian saya memecahkan cabang ilmu itu kepada mempelajari hal-hal perubatan Islam pula.
"Alhamdulillah, setakat ini saya cuba memperbaiki kelemahan saya untuk menjadi manusia yang lebih baik.
"Dan sebagai manusia biasa, biasalah, lebih dekat kita mahu mendekati diri kepada Allah, lebih banyak dugaan yang muncul. Bagaimanapun saya cuba mengharunginya dengan baik," tuturnya yang bakal muncul album solo terbaru berkonsepkan balada pada tahun depan.
“Saya Akui Kecewa Dengan Industri Tetapi…” – Adam AF2
Perjalanan seni mantan naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Mohd Aizam Mat Saman atau lebih dikenali sebagai Adam AF2 ini boleh dilihat agak berliku. Daripada bergerak sebagai penyanyi solo seterusnya menubuhkan sebuah kumpulan, VIP, kehadirannya tetap dilihat kurang menyinar seperti beberapa artis realiti yang semakin gah mencipta nama, pendek kata masih di takuk sama walhal sudah hampir tujuh tahun dia bergelar anak seni.
Ia diakui sendiri oleh Adam. Namun dia merasakan pencapaian sederhana sepanjang tempoh pembabitannya dalam bidang seni itu dirasakan memadai kerana percaya bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang artis terus bertahan lama apatah lagi dalam tempoh tersebut.
Ditanya sama ada dia berkecil hati dan merasa seperti dianak tirikan oleh industri lantaran kariernya seakan tidak seimpresif artis baru lain sedangkan dia terlebih dahulu mencipta nama. Adam punya jawapannya.
“Saya mengakui sedikit kecewa dengan industri kerana ada segelintir pihak yang gemar ‘pilih bulu’, kurang memainkan lagu mahupun klip video dan ada juga yang hanya tahu mengkritik tapi tidak pula membantu,” ujarnya ketika ditemui sewakti sidang media BN Youth Music 2011 di sini Selasa lalu.
Namun begitu Adam tidak mahu terus menyalahkan mana-mana pihak kerana dia sedar akan senario di mana dia perlu beralah memberi laluan kepada artis-artis baru.
Malah dia turut sedar bahawa sebagai seorang artis, perlu juga bergantung pada usaha dan keupayaan sendiri untuk berjaya. Dan ia menjadi peniup semangatnya terus berjuang dalam bidang yang dicintainya selain sokongan padu peminat setianya.
Menyentuh tentang kelibatnya yang agak kurang menghiasi dada akhbar, majalah hiburan mahupun laman hiburan (online) sehingga kewujudannya semakin dilupai. Adam merasakan dia perlu membuat keputusan bijak agar dia tidak dicop artis gilakan publisiti murahan.
“Memang ramai yang meminta saya membuat sesi photo shoot tapi saya tolak dengan cara baik. Zaman muka saya saban hari menghiasi dada akhbar dan majalah dengan gosip-gosip hangat sudah berlalu. Kalau boleh biarlah saya muncul kerana ada produk baru, itu baru berkualiti.
Selain bakal melancarkan semula album barunya, ‘ADAM 4′ yang memuatkan himpunan lagu-lagu ciptaannya sambil menanti filem lakonannya, ‘Apokalips’ arahan Mamat Khalid ditayangkan, Adam dijangka akan mengadakan showcase solo eksklusif buat para peminatnya di Actor Studio, Lot 10 pada 31 Disember ini.
Adam (AF4) Dapat Rawatan Penyakit Ganjil Dengan Ashraf Muslim

PETALING JAYA: Penyanyi Adam AF4 mengakui diganggu makhluk halus sehingga membuatkan dia sukar untuk bersolat sejak tahun lalu.
Adam berkata, berikutan itu dia telah mendapatkan rawatan dengan pelakon Ashraf Muslim yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional di sebuah klinik tersebut di Gombak, Selangor.
“Saya ke klinik tempat Ashraf bekerja kerana mendapatkan rawatan cara Islam untuk membuang makhluk yang berada dalam badan saya.
“Sejak beberapa bulan lalu badan saya lemah, sakit, dan hilang tumpuan terutamanya ketika ingin bersolat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Suria Wheels & Red Riders, di sini, Khamis.
Katanya, setelah beberapa bulan mendapatkan rawatan tersebut keadaannya semakin pulih terutamanya ketika melakukan ibadah.
“Saya tahu ini dugaan kecil buat saya yang baru ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Selepas berubat Alhamdulillah rasa yang saya alami itu semakin berkurangan dan perjalanan hidup saya menjadi lebih baik,” katanya.
Selain itu, Adam turut menganggap persahabatannya dengan Ashraf membantu dirinya mendalami dan mempelajari lebih banyak lagi tentang agama Islam.
“Saya sering datang ke klinik dia bukan sahaja untuk berubat tetapi saya banyak belajar tentang Islam.
“Kami bertukar-tukar pendapat, kerana bagi saya dia memahami situasi yang sedang saya alami kerana dia juga seorang artis,” ujarnya.
Jelas Adam, kehidupannya kini lebih tenang sejak melakukan perubahan iaitu mula mendekatkan diri kepada Allah sejak akhir tahun lalu.
“Saya memang sedang belajar banyak ke arah itu dan mendalami tentang Islam.
“Tentang apa yang saya lakukan sekarang iaitu menyanyi saya menganggap ia sebagai rezeki dalam bidang ini. Apa yang penting ialah niat kita dan menjaga ibadah wajib,” katanya.
Jelas Adam, dia kini dalam perancangan untuk membuat beberapa lagu tentang ketuhanan bagi projek album akan datang.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]


















