Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Adnan Abu Hassan. Show all posts
Showing posts with label Adnan Abu Hassan. Show all posts

Adnan Abu Hassan Kecil Hati Dengan Dunia Hiburan

PETALING JAYA: Komposer Adnan Abu Hassan berkecil hati dengan kerenah dan 'politik' dunia muzik tanah air sehingga memaksa dia menjauhkan diri daripada industri hiburan. Komposer berusia 53 tahun itu berkata, dia sudah tidak berminat untuk bersaing atau menonjol dalam bidang muzik kerana bosan dengan permainan ‘politik’ segelintir pihak yang mempunyai kepentingan peribadi. “Lihatlah apa yang sudah berlaku pada industri kita yang semakin nazak kerana dipolitikkan atas kepentingan pihak-pihak tertentu. Yang berkuasa dan licik dalam permainan politik mereka akan terus berkembang sedangkan sebahagian besar komposer lama seperti saya makin terpinggir. “Maka, lebih baik saya kembangkan bakat pada cabang baru seperti pengarahan dan menghasilkan lagu untuk industri muzik di Indonesia,” katanya. Adnan berkata, dia masih aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi baru dan lama walaupun dia sudah jarang muncul di televisyen berbanding sebelum ini. “Mana ada saya bersara atau lenyap daripada industri muzik. Kalau hendak tahu saya masih aktif menghasilkan lagu untuk penyanyi-penyanyi baru dan lama. “Alhamdulillah, setakat ini tawaran mencipta lagu tidak pernah putus. Cuma mungkin lagu-lagu saya tidak mendapat perhatian di radio, televisyen dan media, sebab itu ada pihak sangka saya sudah berhenti membuat lagu,” katanya. Adnan berkata senario industri muzik yang semakin merudum membuatkan dia beralih tumpuan kepada cabang pengarahan drama khususnya bagi beberapa produksi di Sabah. “Saya aktif mengarah telefilem di Sabah sejak dua tahun lepas. Telefilem-telefilem arahan saya adalah dalam dialek tempatan Sabah kerana masyarakat di sana lebih menghargai karya-karya seni dalam dialek mereka. “Memandangkan ada permintaan dan peluang di sana, mengapa tidak saya sahut cabaran itu. Jika tiada aral saya akan mengarahkan filem berjudul Borneo Drift di bawah produksi sana selepas Hari Raya nanti,” katanya. Menyentuh perkembangan terkini, Adnan yang kini terbabit sebagai juri tetap program Kilauan Emas (KE) musim kedua berkata majoriti peserta yang menghadiri uji bakat sejak ia diadakan di Sabah pada 28 April lalu memperlihatkan peningkatan berbanding musim pertama. “Kalau hendak dibandingkan dengan para peserta musim pertama, orang ramai yang menghadiri uji bakat KE2 lebih bersedia dan berbakat. “Mereka sudah ada rujukan daripada program musim lalu dan menampakkan evolusi pada program realiti,” katanya. Selain bertindak sebagai juri tetap pada sesi uji bakat, Adnan turut membimbing aspek vokal para peserta di samping seorang lagi juri iaitu penyanyi Juliza Adlizan. Program Profil Separuh Akhir KE2 akan ditayangkan pada 27 Jun depan, pukul 8.30 malam selama setengah jam di Astro Prima (saluran 105). Ia disusuli Konsert Separuh Akhir KE2 pada pukul 9 hingga 10.30 malam, pada tarikh dan saluran yang sama. Program Profil Akhir KE2 akan disiarkan secara langsung pada 4 Julai depan dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada pukul 8 hingga 8.30 malam di saluran yang sama. Ini diikuti dengan tayangan Retro Karpet KE2 pada pukul 8.30 malam selama setengah jam, pada tarikh dan lokasi sama. Konsert Kemuncak KE2 pula menyusul pada pukul 9 hingga 11 malam, secara langsung dari lokasi yang sama pada tarikh dan saluran sama. Untuk maklumat lanjut, layari www.kilauanemas.com.my.

Kes Fasakh Adnan Abu Hassan Selesai Cara Baik


KUALA LUMPUR: Komposer terkenal tanah air, Adnan Abu Hassan (gambar) dan isterinya, Siti Aminah Datu Bachtiyal difahamkan telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan permohonan fasakh pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini secara baik.

Perkembangan positif itu dimaklumkan kepada Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi oleh peguam syarie Muhyieddin Murad yang mewakili Adnan.

Mohd Suhaily seterusnya menetapkan 16 Disember depan untuk Adnan, 51, dan Siti Aminah, 39, hadir ke mahkamah memandangkan kehadiran mereka pada Isnin, telah dikecualikan.

Pada prosiding itu, Muhyieddin turut menyebut bagi pihak peguam syarie yang mewakili Siti Aminah, Ishak Syaaban yang difahamkan mengalami masalah dengan keretanya.

Bagaimanapun, usaha media untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung kes tersebut tidak berjaya kerana Muhyieddin telah menerima arahan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan.

Persoalan mengenai rumah tangga komposer yang juga guru vokal rancangan realiti Akademi Fantasia itu timbul selepas mereka dilihat hadir ke mahkamah secara berasingan pada 27 Oktober lalu.

Semasa itu, Adnan dan Siti Aminah menghadiri prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Mohd Suhaily.

Sumber menyatakan, mereka hadir bagi prosiding fasakh yang difailkan Siti Aminah mengikut Seksyen 52, Akta Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.

Bagaimanapun, pada 16 November lalu, Adnan memberitahu dia tidak berhasrat untuk menceraikan isterinya dan mendakwa kehadiran mereka hanya untuk mendapatkan nasihat melalui mahkamah.

Dia yang pernah bekerjasama dengan artis popular negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Fauziah Latif juga memberitahu masih tinggal serumah dengan isteri dan tiga anak mereka yang berusia antara 9 dan 14 tahun.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 15 tahun yang lalu.

Tuntutan Fasakh Isteri Adnan Abu Hassan 22 November


KUALA LUMPUR: Permohonan isteri komposer terkenal tanah air, Adnan Abu Hassan untuk bercerai secara fasakh ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada 22 November ini.

Tarikh itu ditetapkan selepas Adnan, 51, dan Siti Aminah Datu Bachtiyal, 39, menghadiri prosiding yang diadakan secara tertutup selama 20 minit di hadapan Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi pada Selasa.

Pada prosiding itu, Adnan yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam syarie Muhyieddin Murad manakala peguam syarie Ishak Syaaban mewakili Siti Aminah selaku plaintif.

Adnan yang berasal dari Kedah dan merupakan guru vokal bagi rancangan realiti Akademi Fantasia dilihat berada di mahkamah seawal pukul 8.30 pagi disusuli isterinya pada pukul 10 pagi.

Mereka kemudiannya masuk ke kamar hakim pada pukul 12 tengah hari dan bergegas meninggalkan mahkamah tanpa mahu ditemubual oleh media.

Peguam-peguam yang mewakili pasangan itu juga enggan memberikan sebarang komen kerana dimaklumkan telah menerima arahan daripada anak guam untuk tidak memberikan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, sumber menyatakan pasangan itu hadir untuk prosiding fasakh yang difailkan Siti Aminah mengikut Seksyen 52, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.

Pasangan itu difahamkan berkahwin pada 1994 dan dikurniakan tiga orang anak.

Adnan merupakan salah seorang komposer terkenal dan antara artis yang pernah berkerjasama dengannya termasuklah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Misha Omar, Fauziah Latiff dan Nora.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails