Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Afique Hussain. Show all posts
Showing posts with label Afique Hussain. Show all posts

Afique Hussain Berubah Kerana Sarah

PETALING JAYA: Pelakon Afique Hussain memberitahu tidak kisah apabila disuruh untuk memakai rambut palsu bagi menjayakan wataknya dalam drama bersiri Kerana Sarah untuk slot Azalea di TV3. Afique sebaliknya berkata, dia berasa amat berbangga dan bertuah apabila terpilih untuk berlakon dalam drama berkenaan dan berharap ia akan memberikan impak yang baik kepada kerjaya lakonannya. "Memakai rambut palsu langsung tidak menjadi masalah kepada saya kerana kepala saya memang botak dan demi menjayakan watak tersebut saya tidak kisah. "Tambahan pula ini adalah drama kedua saya untuk siaran TV3 selepas Seindah Sakura dan mahu lakonan saya itu nanti dapat memberikan impak kepada penonton," jelasnya kepada mStar Online. Selain Afique, drama tersebut turut dijayakan oleh Rita Rudaini, Lisdawati, Zarina Zainuddin dan Ako Mustapha.
Dalam pada itu, Afique berkata, dia teruja dengan drama bersiri tersebut kerana dia diberi peluang memegang watak kedua paling penting dan menganggap ia adalah detik penting dalam kerjaya lakonannya. Afique berkata, peluang berlakon disamping nama-nama besar seperti Rita dan Lisdawati banyak mengajarnya untuk menjadi pelakon yang lebih baik. "Saya sedar tanggungjawab memegang watak Murad itu sangat besar dan perlu melakukannya dengan baik supaya ia dapat memberikan kesan kepada penonton dan itu adalah cabaran buat masa ini," ujarnya. Sementara itu, Afique berkata, tahun ini dia menyasarkan untuk terlibat dalam 20 telefilem dan drama bersiri dan berharap angka itu dapat dicapai. Kata Afique, dia perlu membuat sasaran itu supaya sentiasa fokus dan dapat membawa karier lakonannya ke tahap yang lebih tinggi. "Tahun lalu saya berlakon dalam 15 buah drama dan ia satu angka yang agak besar memandangkan nama saya masih lagi belum begitu menyinar berbanding pelakon baru yang lain. "Namun itu bukan alasan untuk saya terus mengejar impian dan sasaran itu adalah sebagai satu cabaran buat diri sendiri," jelasnya. Selain Kerana Sarah, Afique kini sedang sibuk di lokasi drama Mencintaimu dan Wasiat Rendaini untuk siaran RTM.

'Gambar Hisap Dadah Itu Hanya Lakonan' - Afique Hussain

PETALING JAYA: Pelakon Afique Hussain menyangkal dakwaan kononnya dia mengambil dadah apabila gambarnya yang seolah-olah sedang khayal dikirimkan oleh peminat kepada mStar Online baru-baru ini. Afique, 27, bagaimanapun mengakui gambar tersebut adalah dirinya dan menjelaskan ia diambil oleh seorang krew semasa penggambaran drama bersiri berjudul Seindah Sakura yang ditayangkan di TV3 beberapa bulan lalu. "Ya gambar itu adalah diri saya tetapi ia hanyalah bagi memenuhi watak saya sebagai Roni dalam drama bersiri Seindah Sakura arahan Zul Huzaimy," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Dalam pada itu Afique memberitahu dia akan lebih berwaspada sebelum mendedahkan sebarang gambar peribadi miliknya selepas ini kerana bimbang pihak luar mungkin menggunakan ia untuk memburukkan namanya. Afique berkata, walaupun sedikit kesal dengan kejadian itu namun dia mengambilnya sebagai satu pengajaran.
"Foto itu saya pernah gunakannya sebagai gambar profil di Black Berry Messenger (BBM) tetapi tidak sangka pula ada pihak yang mengambilnya dan menyebarkan menerusi e-mel untuk memburukkan saya," ujarnya. Bagaimanapun kata Afique, penyebaran foto berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak memberi kesan kepadanya kerana yakin masyarakat sudah pandai menilai. "Mungkin kepada mereka yang mengikuti drama Seindah Sakura akan tahu bahawa gambar tersebut adalah salah satu adegan daripada drama tersebut kerana saya memegang watak jahat. "Saya juga tidak berasa marah atau terkilan kerana menganggap ia mungkin orang yang cuba menyebar gambar tersebut berniat baik untuk memberi peringatan kepada artis baru seperti saya bahawa tingkah laku kami diperhatikan," ujarnya.

Kesilapan Solat Kenangan Menarik Afique Hussain

PETALING JAYA: Pelakon baru, Afique Hussain memberitahu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri dia akan terkenangkan kisah pertama kali menunaikan solat sunat perayaan itu semasa usianya sembilan tahun. Menurut Afique, 27, dia telah melakukan kesilapan dalam solatnya apabila pada takbir pertama dia sudah melakukan rukuk tanpa menyedari perlu menyelesaikan tujuh kali takbir terlebih dahulu. "Bila dikenangkan kembali kelakar juga tetapi masa itu saya kecil dan itu adalah kali pertama saya pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri. "Tetapi memori itu sentiasa segar dalam ingatan saya setiap kali saya pergi menunaikan solat sunat Hari Raya," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Afique memberitahu dia merancang untuk berkunjung ke rumah kekasihnya di Shah Alam, dekat sini bersempena Hari Raya Aidilfitri ini. Afique bagaimanapun berkata, dia akan bertandang ke rumah wanita tersebut selepas pulang daripada bercuti di kampung halamannya di Johor Bahru selama seminggu. "Perancangan itu ada nak berhari raya dengan kekasih tetapi memandangkan saya balik ke kampung dan dia pun akan berhari raya di tempat lain, jadi saya tunggu dia kembali ke Shah Alam terlebih dahulu," katanya.
Masih pada peringkat perkenalan, Afique bagaimanapun enggan mendedahkan identiti wanita berkenaan dan memberitahu selesa berkawan dengannya. Sementara itu, bercerita mengenai pengalamannya menyambut Syawal sebagai artis, Afique berkata tiada banyak bezanya cuma sekarang ini dia mula dikenali oleh masyarakat. Afique yang sedang popular menerusi drama “Baitul Rahmah” memberitahu, setiap tahun persiapan Hari Raya yang dilakukan hanya sederhana dan mengikut kemampuan. Tambahnya pada tahun ini dia sekeluarga sepakat untuk tampil sedondon dan memilih rona merah sebagai tema warna baju. Dalam perkembangan sama, Afique akan berkumpul dengan rakan-rakan lamanya di Johor Bahru selain berkunjung ke Singapura.

Botak Punca Afique Hussain Hilang Banyak Tawaran

PETALING JAYA: Pelakon baru drama bersiri Seindah Sakura, Afique Hussain menyedari masalah botak yang dialaminya menjadi punca dia kurang mendapat tawaran berlakon. Afique, 27, dia bukan sengaja untuk berimej sedemikian sebaliknya masalah kegagalan rambut untuk tumbuh telah berlaku sejak sekian lama sehingga menjejaskan mata pencariannya dalam bidang seni. "Jika kepala saya tiada masalah memang saya akan simpan rambut tetapi malangnya masalah itu agak teruk sehingga memaksa saya tampil dengan imej botak. "Bagaimanapun saya tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk berputus asa hanya kerana ada pihak tidak mahu mengambil saya berlakon disebabkan imej tersebut," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui di sini pada Selasa. Bagaimanapun kata Afique, bukan semua syarikat produksi bersikap sedemikian kerana masih ada pihak yang mengambilnya berlakon dalam drama terbitan mereka. Dalam pada itu, Afique memberitahu dia sangat berbangga dapat berlakon di bawah arahan pelakon terkenal iaitu Sheila Rusly menerusi drama rantaian berjudul Baitul Rahmat yang bakal disiarkan sepanjang bulan Ramadan ini di TV1 nanti. Afique menjelaskan, walaupun Sheila agak garang di lokasi tetapi dia dapat belajar banyak perkara daripada pengarah itu terutamanya untuk mendalami sesuatu watak. "Kak Sheila marah bersebab dan setiap kali dia marah ada perkara yang saya dapat belajar daripadanya dan saya sangat bertuah dapat berlakon di bawah arahan beliau," katanya.
Tambah Afique, dia sangat berbesar hati jika dapat bekerjasama sekali lagi dengan Sheila dan suaminya, Jinggo pada masa hadapan. Baitul Rahmat bakal disiarkan bermula 21 Julai ini pada pukul 7.30 malam dan siaran ulangan pada pukul 5 pagi setiap Khamis dan Jumaat. Sementara itu, Afique melahirkan rasa gembira apabila mula dikenali oleh peminat selepas dia memegang watak sebagai Roni dalam drama bersiri Seindah Sakura di samping Fasha Sandha dan Fahrin Ahmad yang disiarkan di TV3 baru-baru ini. Kata Afique, dia berharap dengan penerimaan penonton terhadap dirinya akan membuka lebih banyak ruang untuk dia terus mengembangkan bakat lakonannya. "Alhamdulillah boleh dikatakan kini ada perubahan apabila saya sudah mula dikenali kerana watak Roni yang jahat dalam drama bersiri itu. "Harap-harap ia menjadi petanda baik buat diri saya," ujarnya yang memasang angan-angan untuk berlakon di bawah arahan Osman Ali, Bade Hj Azmi dan Syamsul Yusof. Selain Baitul Rahmat, lakonan Afique turut boleh disaksikan menerusi drama Puisi Cinta Rabiah setiap hari Rabu pukul 9 malam di TV2.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails